There was an error in this gadget

Thursday, March 5, 2015

Di mana mereka? Marc-Vivien Foé (Cameroon)

Di mana mereka? Marc-Vivien Foé (Cameroon)

Hari Ini, 9:30 AM. City of Manchester Stadium.

Pagi yang mendamaikan. Burung berkicauan seolah-olah sedang mengalunkan irama dari kumpulan Oasis. Merdu tapi ada off-key sikit. "Pedulik hape haku." Mungkin itu yang dikatakan burung tersebut di dalam hatinya.

Namun Winfried Schafer masih pegun berdiri di hadapan sebuah batu peringatan yang diletakkan di satu sudut di Stadium Etihad. Dia tidak menghiraukan apa yang berlaku disekitarnya. Tertulis jelas di batu tersebut 'Marc-Vivien Foé 1975 - 2003'. Tanpa Schafer sendiri sedari air matanya menitis laju. Lebih laju daripada air terjun niagara. Cepat-cepat dia mengesat air matanya dengan tisu. Terasa sebak di hatinya. Secara tiba-tiba juga ingatannya terimbas pada kejadian sayu lebih kurang 11 tahun yang lalu.

26 June 2003, Separuh Akhir Piala Konfedarasi FIFA antara Camerron dan Colombia di Stade de Gerland, Lyon.

Pada minit ke-71 Cameroon masih mendahului Colombia dengan jaringan 1 gol hasil sumbangan daripada pemain penyerang Pius Ndiefi seawal minit ke-9. Dan Ndiefi juga tidak tahu bahawa itu adalah jaringan pertama dan terakhir daripadanya untuk Indomitable Lions.

Dari kejauhan terlihat Marc-Vivien Foé sedang berlari-lari anak sehinggalah secara tiba-tiba dia terjatuh betul-betul di bulatan tengah padang. Cameroon yang ketika itu sedang mahu mengatur gerak serangan terus mengeluarkan bola dari permainan. Kepada budak-budak yang baru hendak mengenal bola sepak, ini antara contoh fair play kalau engko nak tahu.

Ivan Codoba dan Mario Yepes yang kebetulan berada hampir dengan kawasan tengah padang berlari laju ke arah Foé. Cordoba memangku kepala Foé sambil berkata "Woih...woih...nak buek apo ni woih? Dio pengsan niha.."

"Medik. Medik. Moh doreh. Ado pemain pengsan nihaaa. Doreh woih. Siamang gagap lambek pulaaaak ekau ni terhegeh-hegeh." Secara spontan Mario Yepes melambai-lambai tangan ke arah pegawai perubatan pasukan Cameroon yang berada di luar padang.

Wisel ditupkan oleh Markus Merk sebagai tanda menghentikan permainan. Kelihatan pegawai perubatan pasukan Cameroon sedang sibuk melakukan pernafasan dari mulut ke mulut. Beberapa pemain sudah mengerumuni Foé di tengah padang. Semuanya kaget.

"Den bawak dio keluar dulu," kata Ryan Stomple, pegawai perubatan pasukan Cameroon kepada pengadil perlawanan dari Jerman tersebut, Markus Merk.

"Haaa..yolah." Jawab Merk ringkas. Markus Merk menunjukkan isyarat pertukaran pemain apabila Winfried Schafer kelihatan sudah bersedia untuk memasukan pemain baru bagi menggantikan Foé yang telahpun di usung keluar padang.

Perlawanan kemudiannya diteruskan seperti biasa. Tamat 90 minit permainan. Cameroon menang dengan skor 1-0.

Seluruh skuad Cameroon meraikan kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Konfederasi dengan penuh gembira. Mereka berjoget sakan serupa menang piala dunia di dalam bilik persalinan.

Namun kegembiraan mereka terganggu apabila ketua pasukan Rigobert Song muncul dengan wajah suram di pintu masuk bilik persalinan pasukan Cameroon.

"Marco...Marco.." Tergagap-gagap Song mengatur ayat di dalam sebak. Lalu menyambung.."Marco dah takdo. Dio dan poie meninggalkan kito semuo..selamo-lamonyo."

Seluruh skuad terkejut tak patut punya. Idriss Kameni meraung serupa kerbau kena sembelih. Geremi menumbuk dinding bilik persalinan melepaskan kekecewaannya. Eric Djemba Djemba pula termenung jauh teringatkan kata-kata terakhir Foé beberapa bulan yang lepas.

"Ekau jangan risau Jem. Sampai Manchester nanti den bawak ekau poie makan lomang pilah dengan daging salai. Den ado warih kek Manchester tu haaa. Bab makan ekau rileeeeksss...den kan adooooo"

Manakala Samuel Etoo jatuh terjelepuk di atas lantai akibat terlalu terkejut dan terperanjat dengan berita yang baru diterimanya itu. Setiap sudut di bilik persalinan kini penuh dengan sedu dan tangisan daripada skuad Cameroon.

Schafer melangkah keluar dari bilik persalinan. Dia terdengar suara esakan yang amat kuat. Dua orang wanita - isteri dan ibu Foé sedang meraung di sebelah jasad beliau yang terbaring kaku di atas meja. Schafer menghampiri Foé yang sudah tidak bergerak lagi. Dia menyentuh kaki pemain tersebut. Sejuk. Schafer yang tidak dapat menahan sebak terus keluar dan melepaskan tangisannya tanpa rasa malu.

"Pakcik...Pakcik nak choki-choki? Saya ada jual ni." Lamunan Schafer terhenti apabila seorang kanak-kanak menarik baju kotnya mahu menjual choki-choki.

Schafer tersenyum kelat sambil mengesat air matanya yang masih laju menitik. Ya, choki-choki adalah antara makanan kegemaran Foé yang selalu dibawanya ketika latihan. Tidak pernah tercicir sekalipun choki-choki daripada mulut Foé. Schafer membeli kesemua choki-choki tersebut lalu dia meletakkannya di sebelah batu peringatan Marc-Vivien Foé.

Sebelum beredar Schafer sempat menoleh ke belakang sekali lagi dengan melepaskan satu pandangan sayu ke arah batu peringatan tersebut.  "Tenanglah engkau di alam roh sana wahai Marc-Vivien Foé."


Posted via Blogaway

1 comment:

Silakan Laser Saye...