Friday, March 23, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Betulkah Bola Sepak Malaysia Tidak Lagi Makmur? Malahan Huru-Hara?

Apa benda nak jadi dengan bola sepak Malaysia hari ini?

Ya, sememangnya ada pemain JDT yang tak patut berada dalam kem Malaysia. Tetapi bukanlah sampai 14 orang semua tu tak layak. Kalau ye pun buat keputusan begini atas desakan peminat di socmed, takkanlah rabak sampai koyak panggil semua 14 orang tu balik?

Insiden terbaru ni memburukan lagi imej FAM dan juga JDT yang sudah sediakala buruk. Kenapa ego masing-masing tinggi nak mampos? Tak boleh ditegur? Tak boleh fikir rasional?

Di mana kepentingan negara diletakkan?

Inilah jadinya apabila kepentingan peribadi diutamakan lebih daripada negara. Buat sesuatu hanya untuk naikkan nama sendiri. Hanya untuk pujian. Apabila dikritik, merajuk bagai serupa budak-budak.

Adakah keputusan buang 14 pemain ini datangnya dari Tan Cheng Hoe? Hanya Tuhan sahaja yang tahu. Jika kita sebagai peminat bola sepak ini semudahnya dipermainkan perasaan sebegini, memang layaklah bola Malaysia ni melingkup selama-lamanya. Sudahlah buat kerja tak ikhlas demi negara Malaysia, menipu pula dengan gaya licik. Maka seluruh individu yang terlibat dalam organisasi FAM ini harus bertaubat segera.

Tahniah pada pemain yang baru dipanggil. Buatlah yang terbaik untuk negara walaupun sukan bola sepak di Malaysia sekarang ni sudah makin susah untuk dipulihkan. Tunjuk semangat juang pendekar Malaya. Buktikan anda lebih baik daripada 14 ekor pemain tersebut. Kalah sudah tentu. Yang penting melawanlah dengan bergaya.

Buat 14 pemain hebat yang berlatih bola dengan fasiliti berkelas dunia, korang bolehlah sambung tayang gambor kereta dekat facebook. Itu aje yang korang handal buat kan?


Piala Dunia 2018: Nigeria


Piala Dunia 2018: Nigeria.

Nigeria Membuka Lembaran.

Nigeria dengan populasi besar seramai 194 juta penduduk dan mempunyai lebih 500 kelab bola sepak, muncul pada era 90-an sebagai salah satu kuasa bola sepak dari benua Afrika. Kemunculan sensasi mereka sudah tentulah semasa Piala Dunia 1994 dan 1998 yang mana mereka layak sehingga ke pusingan kedua.

Ia sebenarnya adalah kesinambungan daripada kejayaan skuad remaja bawah umur mereka. Pada tahun 1985 mereka memenangi Kejohanan Dunia bawah-17 tahun – pasukan Afrika pertama memenangi kejohanan rasmi FIFA. Pada tahun 1989, Nigeria menjadi Naib Juara Kejohanan Dunia bawah-20 tahun. Dan pada tahun 1993, skuad yang juga terkenal dengan jolokan ‘Super Eagles’ ini memenangi gelaran kedua Kejohanan Dunia bawah-17 tahun. Handal. 

Sejarah Piala Dunia

Penampilan sulung Piala Dunia mereka pada tahun 1994 di Amerika Syarikat hampir-hampir menjadi satu hikayat yang indah buat bangsa Nigeria. Dengan tenang mereka menjuarai kumpulan D selepas menewaskan Bulagaria (3-0) dan Greece (2-0). Di pusingan kedua pula Nigeria hanya ditewaskan oleh Itali pada masa tambahan dengan skor 1-2.

Di celah-celah itu pula Nigeria berjaya memenangi pingat emas Sukan Olimpik pada tahun 1996 dengan menewaskan Brazil di separuh akhir dan Argentina di pentas akhir. Jadi apabila mereka melayakan diri ke Piala Dunia 1998 di Perancis pula, ada cakap-cakap di jalanan yang mengatakan pasukan ini akan menjuarai Piala Dunia. Astaga..tinggi betul cita-cita umat Afrika ni.

Ya, seperti empat tahun yang sebelumnya Nigeria sekali lagi berjaya menjuarai peringkat kumpulan. Menewaskan Sepanyol 3-2 (aku menangis masa ni nengok Sepanyol kalah) dan Bulgaria dengan skor 1-0. Malangnya kemaraan Nigeria disekat oleh Denmark apabila tewas pada pusingan kedua dengan jaringan 4-1.

Di Piala Dunia 2002 mereka tidak pergi jauh apabila terkandas di peringkat kumpulan dengan menghuni tangga tercorot. Empat tahun kemudian di Jerman pula mereka tidak layak langsung. Di Piala Dunia 2010 sekali lagi Nigeria sangkut di peringkat kumpulan dan menamatkannya di tempat tercorot.


Walaubagaimanapun sedikit sinar menjengah Nigeria di Piala Dunia 2014. Mereka akhirnya berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan dan layak ke pusingan 16 pasukan terbaik. Tetapi kali ini kempen mereka ditamatkan pula oleh Perancis apabila ditewaskan dengan skor 2-0.

Bagaimana Mereka Layak Ke Russia?

Nigeria adalah juara kumpulan B pusinga kelayakan dengan 5 mata mendahului Zambia dan 6 mata meninggalkan Cameroon. Sejumlah 11 gol telah berjaya mereka jaringkan dalam 6 perlawanan. Manakala Victor Moses muncul sebagai penjaring terbanyak pasukan Nigeria dengan 3 gol. Pemain Chelsea ni. Power.


Piala Dunia 2018 ini akan menjadi penampilan keenam mereka dan yang ketiga secara berturut-turut. Selain itu, ‘The Super Eagles’ juga telah berjaya layak sebanyak 3 kali ke pusingan 16 pasukan terbaik – 1994, 1998 dan 2014. Namun begitu mereka masih belum pernah mara lebih jauh dari ini.

Mungkinkah nasib mereka akan berubah pada tahun 2018 ini? Entahlah.

Pemain Fokus

Majoriti skuad Nigeria kali ini adalah pemain yang masih muda dan bertenaga. Oleh itu, siapakah pemain harapan untuk pasukan Nigeria ini? Hah?

John Obi Mikel Si Kapitan adalah pemain paling berpengalaman dalam skuad Nigeria dengan 80 caps telah menjadi miliknya. Bekas pemain Chelsea ini sedang berkelana di China dengan mewakili pasukan Tianjin Teda. Pastinya beliau akan menjadi figura penting kepada ‘Super Eagles’ di Russia nanti. Tahun ini juga merupakan penampilan kedua Piala Dunia buatnya. Pemain yang berusia 30 tahun ini adalah antara wajah penting yang membantu Nigeria layak ke peringkat kalah mati pada edisi 2014 – kali pertama sejak 1998.


Selain itu, tidak dapat dinafikan juga kelincahan Kelechi Iheanacho dan Alex Iwobi yang sudah tentu amat ditagih oleh pasukan Nigeria. Walaupun begitu masih banyak ruang yang  boleh diperbaiki oleh kedua pemain ini. Hanya masa yang akan menentukan kemajuan dua anak muda ini.

Antara pemain lain yang boleh menjadi kunci kejayaam pasukan Nigeria nanti ialah Victor Moses –
Pemain Chelsea yang dianugerahkan sebagai pemain terbaik tahunan Nigeria pada bulan Februari lepas. Dan juga Wilfred Ndidi -  Pemain tengah kental yang beraksi untuk kelab Leicester City. 

Gernot Rohr


Individu ini telah mengembara ke serata dunia bermula dari Nice ke Gabon, dari Burkina Faso ke Nigeria. Pengalamannya sangat luas. Pengetahuan bola sepak beliau juga sangat mantap. Pada usia 64 tahun beliau masih lagi bertenaga merangka strategi untuk mengeluarkan yang terbaik daripada skuad Nigeria ini.

Sebagai seorang pemain pula Rohr pernah beraksi untuk pasukan Bayern Munich dan Bordeaux. Dan bersama Bordeaux beliau melalui satu karier yang gemilang dengan merekodkan 352 penampilan.
Beliau turut menjadi pengurus pasukan Bordeaux ketika kelab ini tewas kepada Bayern Munich di perlawanan akhir 1996 Piala UEFA

Antara pasukan lain yang pernah dilatih oleh Rohr ialah Nantes, Young Boys Berne di Switzerland dan juga Etoile du Sahel dari Tunisia.

Monday, March 19, 2018

Piala Dunia 2018: Iceland


Piala Dunia 2018: Iceland.

Cara Iceland Memperkenalkan Diri Kepada Dunia.

Piala Eropah 2016 telah menjadi titik permulaan Iceland memperkenalkan diri mereka kepada bola sepak dunia. Mereka layak ke kejohanan ini dengan penuh bergaya termasuk menewaskan Belanda di laman sendiri dan di tempat lawan.

Apabila mendapat peluang beraksi di Perancis pula, sekali lagi Iceland mempamerkan persembahan hebat. Antaranya menumpaskan pasukan gergasi England dalam usaha mereka mara sehingga peringkat suku akhir namum ditewaskan pula oleh pasukan tuan rumah, Perancis dengan skor 5-2.

Rentetan dari itu serta merta ranking FIFA pasukan Iceland naik daripada tangga 36 ke tangga 21. Lihatlah betapa pentingnya ranking FIFA dalam bola sepak. Ia ibarat cerminan pasukan bola sepak itu sendiri. Jika beraksi sedap, maka lazatlah ranking FIFA mereka. Sebaliknya jika  beraksi sendu pula, maka pilulah menjunam ranking FIFA sesebuah pasukan bola sepak itu.

Inilah semangat juang yang ada pada pendekar Viking yang mana pendekar Melayu seperti kita ini tidak bola nafikan ia begitu sahaja. Jadikan perkara ini sebagai pedoman dalam mengamalkan fahaman bola sepak sejati. Kheeeen?

Program Sistematik Power Ya Amat (PSPYA)

Menurut Persatuan Bola Sepak Iceland, untuk tempoh dua tahun yang lepas terdapat terdapat 179 padang bola sepak di serata negara itu. Ini bermakna satu padang bagi setiap 128 pemain yang berdaftar di Iceland. Ia tidak termasuk dengan 166 padang mini yang dibina menggunakan rumput tiruan.

Namun begitu saudara saudari sekalian, padang sahaja tidak mencukupi bagi melahirkan pemain berbakat. Peningkatan infrastruktur ini turut diiringi satu revolusi kejurulatihan yang mantap.

Sebagai bukti, pada 2003 tiada seorang pun warga Iceland yang mempunyai lesen kejurulatihan peringkat A atau B Uefa. Tetapi kini jumlah individu yang mempunyai lesen Uefa telah mencecah 800 orang dan mungkin lebih dari itu.

Bolehlah saya simpulkan kejayaan Iceland ini diperolehi beradasarkan gerak rangka kerja yang berdisplin serta etika berpasukan yang dibina padu oleh setiap warga Iceland sama ada kerajaan, rakyat jelata dan juga Persatuan Bola Sepak Iceland itu sendiri.

Dengan populasi penduduk hanya 332,529 orang, Iceland membuktikan saiz populasi negara mereka yang kecil bukanlah penghalang untuk mencari 25 pemain yang mampu bersaing secara kompetitif dalam kempen kelayakan Piala Dunia 2018.

Bagaimana Mereka Layak ke Russia?

Buat pertama kalinya dalam sejarah pasukan Iceland berjaya layak ke Piala Dunia. Mereka merupakan antara 14 negara Eropah yang akan bersaing di temasya bola sepak terbesar dunia itu yang akan dihoskan oleh Russia.


Kehebatan Iceland menjamin tempat ke Russia 2018 menjadi lebih menakjubkan kerana ada beberapa gergasi bola sepak Eropah lain seperti Belanda dan Itali hanya akan sekadar menjadi penonton apabila kejohanan itu bermula nanti. Kesian.

Ada yang turut mengatakan kejayaan ini merupakan kesinambungan daripada prestasi membanggakan mereka ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2014. Pada waktu itu Iceland hanya tewas 0-2 secara agregat kepada Croatia dalam perlawanan play-off. Selangkah sahaja lagi hendak ke Piala Dunia 2014. Namun belum rezeki mereka lagi.

Bagi menempatkan diri ke Russia, laluan Iceland bagaimanapun tidak semudah yang disangka. Untuk menjuarai kumpulannya dan layak secara automatik ke Russia, pasukan pimpinan Heimir Hallgrimsson perlu mengatasi Croatia, Ukraine dan Turkey - setiap satu daripada tiga negara itu pernah melayakkan diri di suku akhir Piala Dunia sejak 20 tahun lalu.

Dengan mempamerkan semangat juang pendekar Viking, pasukan bola sepak Iceland menamatkan pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 dengan menjuarai kumpulan I. Menang tujuh perlawanan, seri dan kalah masing-masing dengan dua perlawanan. Manakala Gylfi Sigurðsson pula muncul sebagai penjaring terbanyak untuk pasukan Iceland dengan empat gol.

Di Piala Dunia 2018 nanti, Iceland diundi bersama pasukan Argentina, Nigeria dan Croatia. Apalah agaknya nasib yang sedang menunggu mereka? Baik atau buruk?

Siapa Pemain Tumpuan?

Kajian secara rambang di internet menunjukkan kesemua 25 pemain dalam skuad Iceland hari ini bermain untuk kelab asing termasuk enam di Britain dan dua di Jerman. Namun siapakah yang akan menjadi tonggak bagi pasukan ini?

Seringkali nama Gylfi Sigurðsson disebut-sebut sebagai nadi pasukan Iceland. Beliau seorang pemain yang bijak membaca permainan dan merupakan pemain penting dalam setiap perubahan  gerakan pasukan Iceland daripada bertahan kepada menyerang. Namun begitu Gylfi Sigurðsson yang berpindah dari Swansea ke Everton dengan bayaran £45 juta telah mengalami kempen yang sedikit mengecewakan pada musim ini.

Selain itu nama-nama seperti Ragnar Sigurðsson (Rostov) pemain pertahanan yang kental, ketua pasukan yang berkarisma - Aron Gunnarsson (Cardiff City), penyerang berbisa si Kolbeinn Sigþórsson (Nantes) dan Arnór Ingvi Traustason (Malmo FF) antara pemain yang perlu diberi perhatian apabila Piala Dunia 2018 bermula.

Kepakaran Doktor Gigi

Heimir Hallgrimsson mengambil alih pasukan Iceland sepenuhnya pasca Piala Eropah 2016. Sebelum itu beliau adalah pengurus pasukan Iceland secara berjemaah bersama seorang lagi lagenda dalam bidang kejurulatihan sekitar 'scandinavia' iaitu Lars Lagerbäck.


Hallgrimsson bertemu dengan Lagerbäck buat kali pertama semasa Hallgrimsson mengambil lesen kejurulatihan 'A' Uefa di England. Dan sepanjang tempoh mereka menguruskan Iceland, sudah pasti banyak ilmu Lagerbäck yang sudah berjaya disedut oleh Hallgrimsson.

Kehebatan Hallgrimsson membawa Iceland layak ke Piala Dunia mendapat perhatian dunia. Sehinggakan Persatuan Bola Sepak Scotland turut berminat untuk mendapatkan sentuhan beliau. Tetapi Hallgrimsson tetap setia dengan Iceland dan mahu menyelesaikan tugasan yang beliau sendiri mulakan ini.

Persefahaman yang jitu serta semangat berpasukan yang tinggi mungkin menjadi ramuan kejayaan pasukan Iceland yang diasuh oleh Hallgrimsson ini. Dalam satu temubual, Hallgrimsson ada menegaskan mengenai kekuatan semangat bepasukan di antara pemain Iceland.

"Jika engkorang nengok pasukan kami, pemain yang berprofil  tinggi seperti Gylfi Sigurðsson adalah yang paling rajin di atas padang. Jika beliau bertungkus lumus, siapa yang berani jadi pemalas dalam pasukan kami? Kami juga pernah ada pemain seperti Eiður Guðjohnsen yang menjulang kejuaraan Champions League serta bermain untuk Chelsea dan Bercelona. Namun dia hanyalah seorang pemain simpanan pada penghujung kariernya. Tetapi dia mampu memberikan sokongan penuh dari bangku simpanan. Dah tu, kenapa orang lain tidak? Hah?"

Macam mana sekarang? Bolehkah Iceland menjadi 'giant killer' dalam Piala Dunia 2018 nanti? Tunggu!

Friday, March 16, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Meletak Jawatan

Rangking FIFA pasukan Malaysia jatuh lagi. Tiada apa yang nak dihairankan. Kita kena terima hakikat pasukan Malaysia tak dapat nak naikkan mata sebab tak terlibat dengan game melawan pasukan yang power. Masa pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia pulak kalah memanjang dan tak pergi jauh. Kalau tak silap aku satu jek kemenangan yang dicapai sejak tahun 2016. Macam mana nak tambah mata?

Liga M masih syok sendiri. Jurulatih negara bersilih ganti. Anak muda bawah umur yang power pula masih belum masuk dalam team senior. Dan ini perlukan masa. Depa ni pulak ada yang main pulak dalam Liga M yang korang akan menangis apabila menontonnya. Ya, aku memang tengok bola Malaysia sejak dah ada banyak siaran langsung sekarang ni. Kau sendiri pun ada yang tak sanggup dan mengeluh panjang apabila disuruh menonton Liga M.

Menambah garam di luka ialah Vietnam kini nombor satu di Asia Tenggara. Pasukan belasahan Malaysia suatu masa dahulu. Nampak dah hasil usaha mereka. Malaysia bila lagi?

Presiden FAM pula meletak jawatan dengan menjadikan pencapaian pasukan bawah umur bola sepak Malaysia sebagai penanda aras legasi beliau. Bukankah sejak zaman berzaman lagi memang pasukan bola Malaysia power nak mampos pada usia 23 tahun ke bawah? Sebelum mereka kenal makwe artis? Sebelum mereka beli kereta mewah dan tayang dalam facebook?

Paksi akar umbi dah ada. Pemain muda handalan memang setiap tahun akan keluar. Liga Malaysia masih dalam proses transformasi. Entah apa yang melukakan hati Presiden FAM pun tak tahulah.

Tapi apa yang aku tahu bola sepak Malaysia dah susah nak diselamatkan. Melainkan satu perubahan besar-besaran dapat dilakukan. Bola sepak Malaysia perlu diniagakan dan dijadikan perniagaan. Kita masih mempunyai liga M yang syok sendiri.

Nampak tak dua kali aku ulang frasa "Liga M syok sendiri".

Mana tak syok sendiri, undang-undang Liga dibuat ikut sedap tekak dan dilanggar ikut sedap perut. Kena denda sebab salah sendiri mengamuk sakan nak tarik diri dari liga. Denda pulak serupa nak bawak satu delegasi FAM pergi tunaikan haji balik hari.

Dahlah. Aku nak pergi mesjid bentang sejadah.


Sunday, March 11, 2018

Piala Dunia 2018: Argentina


Piala Dunia 2018: Argentina

Wajah uzur penuh kedut Rahmat tidak menghalang dirinya daripada menyedut asap rokok Saat sehingga kempong pipinya. Sehingga nampak tulang rahangnya. Semakin ke penghujung rokoknya, semakin laju pula hisapannya.

Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Kerusi malasnya berayun perlahan di hadapan anjung yang dibinanya sendiri. Melepaskan lelah sambil melayan rokok selepas penat turun ke laut adalah syurga kecil bagi nelayan seperti Rahmat. Matanya dikecilkan memandang jauh kejiranan sekitarnya. Susunan rumah kampung yang rapat dan mesra tetangga menjadikan pemandangan jerlus terlihat kepada anjung rumah jiran hadapan. Ya, Rahmat bersyukur kerana mempunyai seorang jiran yang peramah orangnya.

Mat Jambang - jiran Rahmat begitu berkobar mengibarkan bendera Argentina bersempena Piala Dunia yang bakal tiba.

"Woih! Argentina la woih! Ape bendeee Malaysiaaaa." Sergah Mat Jambang pada satu hari dengan rambutnya yang kuning. Mat Jambang memang berperangai cilake. Kalau dia mengejek orang tak apa. Kalau dia kena ejek orang, habis satu kampung dia sembang baktinya sebagai ketua pasukan kompang Kampung Telangi. Eleh..pasukan kompang aje pun.

Rahmat sediakala tahu jirannya itu meminati Argentina. Dia berhajat mengajak Mat Jambang menyertainya melepak di anjung rumah sambil melayan rokok barang sebatang dua.

Keyakinan Kepada Messi dan Argentina

Mat Jambang berjalan tenang ke rumah Rahmat selepas jirannya yang pendiam itu melambai-lambai dari kejauhan persis Ratu Dunia.

Penuh santun Mat Jambang mengambil tempat duduk di sebelah Rahmat. Kerusi yang diperbuat daripada rotan itu tidak berayun seperti yang Rahmat punya. Ia statik namum Mat Jambang masih bersyukur dapat duduk di atas kerusi dan bukannya bersila di atas lantai bagai Hang Tuah melawat Sultan Melaka.

"Kenapa kau panggil aku Rahmat?" Tidak menunggu lama Mat Jambang terus bertanya dengan muka konfiden.

"Saja nak ajak engko borak-borak," balas Rahmat sambil merenung tajam ke dalam biji mata Mat Jambang.

Mereka berdua bertentang mata selama 3 saat. 1, 2, 3...apabila terbit perasaan lain macam, masing-masing kembali memandang ke hadapan. Seperti tiada apa yang berlaku.

"Aku nengok beria betul kau gantung bendera Argentina. Boleh ke Argentina menang Piala Dunia tahun ni?" Soal Rahmat lalu sebatang rokok dan sekotak mancis Superman dihulur kepada Mat Jambang

Mat Jambang menyambut dengan tertib.

"Rokok je? Al-Pacino tak ada?" Mat Jambang cuba-cuba berlawak dengan menukar cappuccino kepada nama seorang aktor veteran terkenal dari Hollywood. Menyedari lawaknya tak berapa 'punch' dan  disambut Rahmat dengan muka kelat, Mat Jambang terus fokus pada rokok yang dihulur oleh jirannya itu.

Rokok dikepit di hujung bibir. Batang mancis dilagakan dengan sekali hentak sahaja di tepi kotak  mancis. Api menyala. Perlahan Mat Jambang merapatkan mancis yang berapi dengan hujung rokok.

Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Asap rokok berkepul-kepul dilepaskan dari mulut Mat Jambang. Dia masih memikirkan jawapan yang hendak diberikan kepada Rahmat.

"Kali terakhir Argentina menang Piala Dunia ialah pada tahun 1986. Kejohanan paling gemilang untuk Argentina dan Maradona khususnya. Selepas itu Argentina kemarau kejuaraan sehinggalah pada empat tahun yang lepas di Brazil. Mereka layak ke perlawanan akhir tetapi tewas pula kepada Jerman. Errrrmmmss..entahlah Rahmat. Tapi aku rasa Argentina masih lagi penguasa bola sepak dunia yang sebenar," ulas Mat Jambang panjang lebar. Sedikit keluhan kedengaran sayup di hujung hujahnya.



Rahmat hanya diam mendengar jawapan Mat Jambang dengan penuh teliti sebelum menyambung dengan pendapatnya sendiri.

"Aku rasa pula ada dua atau tiga pasukan yang lagi bagus daripada Argentina sebenarnya. Pertama ialah Brazil, kemudian Jerman dan Sepanyol. Selepas itu barulah Argentina kot aku rasa. Kau jangan marah pulak dengan apa yang aku cakap ni."

"Takkanlah aku nak marah. Dalam meraikan pendapat, kita tak boleh rasa yang kita sentiasa betul. Lagipun aku masih tetap yakin dengan adanya Messi, peluang Argentina untuk menang Piala Dunia tahun ni masih cerah dan terbuka luas. Bersama Argentina, Messi sudah menjaringkan 61 gol dalam 123 penampilan. Bukankah ia satu pencapaian yang maha dahsyat?" Soal Mat Jambang kepada Rahmat.

"Iyelaaah..takkanlah Messi seorang sahaja penyelamat bangsa Argentina? Macam mana dengan pemain-pemain yang lain?" Soalan Mat Jambang dijawab dengan satu lagi soalan oleh Rahmat.

"Rumah engko takde internet ke Rahmat?"

Rahmat menjeling tajam Mat Jambang.

"Heeeee..aku gurau jek. Janganlah marah. Begini ceritanya. Walaupunlah skuad Argentina yang agak berusia ini banyak bergantung kepada Messi, tapi mereka masih memiliki barisan serangan yang mantap. Paulo Dybala dan Mauro Icardi misalnya melalui musim yang hebat bersama Juventus dan Inter Milan sejak dua musim yang lepas. Kedua mereka musim ini menyumbat gol tak kurang daripada 20 jaringan. Masing-masing baru berumur 25 tahun. Mereka inilah masa depan bola sepak Argentina. Si Dyabala ni pula memang serasi apabila bermain dengan Gonzalo Higuaín di Juventus. Haaa..Higuaín ni satu lagi pemain yang perlu diberi fokus. Kalau kena pada aturan formasi, Jorge Sampaoli akan mendapat banyak manfaat pada Piala Dunia nanti."


Mat Jambang berhenti bercakap dan menyedut rokok percuma dengan syahdu serta penuh nikmat. Abunya diketis ke dalam 'ashtray' sebelum dia menyambung kembali...

"Selain itu Argentina juga memiliki Angel Correa yang bermain untuk Atlético Madrid. Pemain yang berusia 23 tahun ini sesuai dijadikan sebagai 'super-sub' seperti mana yang dilakukan oleh Diego Simeone. Sekali imbas beliau seperti jelmaan Carlos Tevez dari segi kualiti dan gaya permainan. Pemain seperti Correa dan Dybala mungkin akan menjadi nadi penting kepada Albiceleste pada kempen Piala Dunia nanti. Jangan dilupa juga kepada Ángel Di María serta dua pemain yang berkelana di China iaitu Ezequiel Lavezzi dan Nicola Gaitan. Power tak Argentina punya berisan serangan?"

Rahmat mengangguk perlahan seakan akur dengan pendapat Mat Jambang.

"Tapikan Naziman Rizky, bila kita lihat pasukan Argentina ni, kita akan nampak 10 penyerang berbisa. Kita bermain bola sepak bukan bergantung pada penyerang sahaja. Pertahanan juga sangat penting. Kau tengok kempen kelayakan Piala Dunia mereka yang lepas. 16 gol mereka telah bolos daripada 18 perlawanan. Ini petanda kurang baik untuk pasukan Argentina. Mungkin sahaja Jorge Sampaoli seorang individu yang bertuah kerana mempunyai barisan serangan yang hebat. Namun begitu beliau masih dikira sebagai tidak bertuah kerana ketiadaan pemain pertahanan yang mantap."

Mat Jambang buat muka terkejut. Bukan kerana mendengar pendapat yang Rahmat lontarkan. Ia adalah disebabkan kerana jirannya itu tahu namanya yang sebenar. Wow!

"Aku tak nafikan apa yang engko cakap tu Rahmat. Buat masa ni aku masih tetap yakin dengan kehadiran Javier Mascherano dan pengaruhnya di atas padang. Nicolas Otamendi juga musim ini agak mantap bersama Manchester City. Selain itu Argentina turut mempunyai Mateo Musacchio dan Federico Fazio yang menyerlah di Serie A. Aaaaahhhh...macam manapun aku tetap akan sokong Argentina masa Piala Dunia nanti. Argentinalah pasukan yang akan menjadi juara. Tidak ragu lagi. Kau sokong Malaysia jugak keeeeee?"

Sekali lagi Mat Jambang cuba berseloroh tetapi tak kena tempat. Rahmat masih dengan muka ketatnya.

"Hehe..janganlah marah..aku gurau jek," Mat Jambang cuba menyejukkan hati Rahmat.

Kedua mereka diam memandang jauh kehadapan. Mat Jambang masih dengan keyakinannya terhadap pasukan Argentina. Manakala Rahmat tetap berahsia tentang pasukan yang disokongnya untuk Piala Dunia nanti. Entah-entah betul dia sokong Malaysia.

Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Rahmat dan Mat Jambang a.k.a Naziman Rizky terus menghembus asap rokok mereka sehinggalah matahari terbenam di celahan ufuk barat.