Wednesday, October 10, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kiblat Bola Sepak Malaysia Berubah Lagi.

Hendak dijadikan cerita, beberapa hari yang lepas ada rakan sepermainan aku bertanya dalam nada yang santun, apa sudah jadi dengan Mata Pena Si Hitam? Masa Piala Dunia hari tu aktif kemain. Lepas Piala Dunia? Maneeee? Maneeee?

Aku yang mendengarnya hanya diam tertunduk lesu. Takkanlah aku nak sembang pasal Chelsea? Sudahlah main liga kedua Eropah. Buat malu bangsa ajek. Tapi sebenarnya ada jugak terdetik rasa gian nak mengarang pasal bola panjang-panjang. Cuma kekangan masa dan juga tanggungjawab selaku bapak yang berwibawa menjadi faktor penghalang. Hiaaaap!

Apa yang aku perasan dua tiga minggu ini bola sepak Malaysia seperti biasa haru biru. Caca marba. Ghoplah jingga. Banyak cerita yang tak sedap berbanding yang lazat. Antaranya Malaysia gagal layak ke Piala Dunia U-16 di Peru. Ini lumrah. Aku tak faham kenapa ramai yang menggelabah tetek. Gaji Lim Teong Kim didedahkan kepada umum. Habis 'PNC' dilanggar si Menteri Debat. Kedudukan LTK pula masih menjadi tanda tanya. Selain itu padang dan kelengkapan Akademi Mokhtar Dahari juga berada dalam keadaan yang menyedihkan. Sendu. Melihat kepada siri baharu drama bola sepak Malaysia ini bermakna lama lagilah kita nak maju dalam sukan yang menjadi raja di dalam hati kita semua.

Aku nak tanya secara jujur. Sila jawab dalam hati juga secara tulus mulus. Sebenarnya bola sepak Malaysia ni masih boleh diselamatkan lagi atau tidak? Apa yang telah FAM dan segala mak nenek yang terlibat dalam pembangunan bola sepak Malaysia telah lakukan sepanjang ditugaskan untuk memelihara sukan kesayangan kita ni? Patutkah usia NFDP yang baru 4 tahun ini menjadi kayu pengukur masa depan bola sepak negara?

Ambil contoh Jerman. Mereka menjulang Piala Dunia 2014 selepas 10 tahun merangka pelan yang dinamik diketuai oleh Jurgen Klinsmann. Belgium pula bukan baru setahun dua berjaya melahirkan pemain seperti Thibaut Courtois, Dries Mertens, Kevin de Bruyne, Mousa Dembele, Steven Defour, Axel Witsel dan Nacer Chadli. Info di alam maya mengatakan usaha mereka bermula sekitar tahun 1998 hingga 2002. Maka akhirnya negara yang memiliki 11 juta penduduk dan 34 kelab bola sepak professional ini berjaya menduduki tangga ke-3 Piala Dunia 2018 yang lepas.

Sementara itu di Malaysia pula jurulatih kebangsaan pelbagai peringkat umur datang dan pergi bagai cinta yang tak sempat berputik dah terpaksa ditinggalkan. Begitulaaah.

Baiklah. Adakah akan ada lagi program bola sepak 'kosmetik' yang akan diperkenalkan untuk menjadi ubat penyedap hati kepada rakyat Malaysia?

Masih laratkah bagi kita yang cintakan bola sepak ini terus-menerus melayan siri kegagalan dan drama yang tiada kesudahan? Banyak betul persoalan yang perlu kita jawab. Oleh itu marilah kita semua bertaubat.