Showing posts with label Antarabangsa. Show all posts
Showing posts with label Antarabangsa. Show all posts

Friday, January 26, 2018

Piala Dunia 2018: Maghribi



Piala Dunia 2018: Maghribi

Maghribi, Kemodenan dan Piala Dunia.

Mengikut kajian sejarawan lama, kawasan Maghribi moden telah didiami oleh manusia sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sekurang-kurangnya sejak 8000 tahun sebelum masihi. Kini Maghribi pantas membangun dengan ekonominya yang berteraskan pertanian, pelancongan, aeroangkasa, automotif dan juga tekstil antaranya.

Selain itu pembangunan bola sepak jugak tidak pernah diabaikan. Ia meriah sejajar dengan kepentingan memajukan negara. Seperti yang kita tahu sukan bola sepak adalah perkara yang mampu menyatukan sesiapa sahaja. Yang bercerai boleh rujuk semula. Yang berbeza parti politik boleh duduk semeja di kedai warong. Begitulah perumpamaannya.

Pada tahun 1955, Federasi Bola Sepak Maghribi atau nama inggerisnya Royal Moroccan Football Federation (RMFF) telah ditubuhkan secara rasmi. Dengan wujudnya badan ini, maka perjalanan bola sepak di Maghribi dapat dikawal selia dengan lebih sistematik dan lancar.

Rentetan daripada itu, pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi yang bergelar Singa Atlas ini akhirnya berjaya menyertai FIFA pada tahun 1960. Kemunculan sulung mereka di Piala Dunia adalah pada tahun 1970 di Mexico dan mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Dua edisi Piala Dunia selepas itu Maghribi menyepi.  Dan sensasi mereka sudah pastinya ketika Piala Dunia 1986 juga di Mexico apabila menjadi pasukan dari Afrika yang pertama menjuarai peringkat kumpulan.

Seterusnya Maghribi hadir lagi di Piala Dunia 1994 tetapi hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Maghribi juga cuba membida Piala Dunia 1998 namun mereka terlepas peluang tersebut kepada Perancis.

Piala Dunia 1998 turut menjadi kejohanan yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Maghribi. Mereka memerlukan 3 mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati dan mereka berjaya melunaskan tugasan tersebut dengan cemerlang. Scotland dibelasah 3-0 tanpa belas ehsan.

Malang sekali Brazil yang sudah layak ke pusingan kalah mati telah tewas kepada Norway sekaligus menidakkan peluang Maghribi untuk mara lebih jauh. Sorakan kegembiraan di Saint-Étienne tadinya terbantut dan bertukar menjadi babak kesedihan. Kalau diingatkan semula memang boleh menitis air mata jantan ni.

Lagenda Hadji Mengorak Langkah

Apabila ada orang bertanya kepada aku, apa yang aku tahu tentang pasukan Maghribi? Dengan tanpa ragu aku akan menjawab, Mustapha Hadji. Siapa Mustapha Hadji? Mari sini aku ceritakan.


Selain daripada gol cantik Michael Owen yang membuka namanya di pentas dunia, satu lagi gol hasil jaringan Mustapha Hadji – Lagenda Maghribi meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong berkecuali semasa Piala Dunia 1998.

Ketika perlawanan pertama menentang Norway, dalam satu gerakan serangan balas, pemain tengah bertahan Maghribi, Taher el Khalej melorongkan bola di sebelah kiri kepada Hadji yang sudah melakukan larian sepantas harimau bintang. Dengan berbekalkan satu 'stepover' yang lincah, pertahanan Dan Eggen berjaya ditipunya. Kemudian Hadji melepaskan rembatan rendah bawah di penjuru kiri penjaga gol Norway, Frode Grodas. Gooooooooooool!!!! Dan gol ini diiktiraf antara gol terbaik kejohanan Piala Dunia untuk tahun itu.
 
 
Kehebatan Hadji di Piala Dunia 1998 ini membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika pada tahun yang sama menewaskan dua orang lagenda Nigeria - Jay Jay Okocha dan Sundah Oliseh. Selepas itu perpindahannya dari Deportivo ke Coventry City hanya menjadikan namanya lebih dikenali di serata dunia.

Muncul Selepas Ghaib 20 tahun.

Dalam penentuan peringkat Kumpulan C Zon Afrika, Maghribi berjaya mengenepikan cabaran pasukan Ivory Coast apabila menjuarai kumpulan dengan 12 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 3 seri. Yillek kekalahan.

Maghribi menempah tiket Piala Dunia selepas 20 tahun ghaib dan ini adalah penampilan mereka yang kelima dalam sejarah FIFA.

Pada undian Piala Dunia yang lalu, dengan ranking FIFA mereka di tangga ke-40, mereka diundi dalam kumpulan B bersama juara semasa Piala Eropah - Portugal, bekas JUARA DUNIA YANG POWER NAK MAMPOS - SEPANYOL dan wakil dari Asia yang hebat Iran.



Jika tiada aral melintang pukang, Medhi Benatia sudah pasti akan mengetuai pasukannya menentang cabaran 3 pasukan yang aku sebutkan tadi. Pengalaman beliau dengan Juventus tidak perlulah aku ceritakan di sini hari ini. Barangkali di lain masa sahaja.

Pengalaman Benatia sudah pasti ditagih untuk membimbing pemain muda seperti Achraf Hakimi yang baru sahaja berusia 19 tahun namun sudah beroleh kontrak bersama pasukan Real Madrid. Ketika artikel ini ditulis beliau sudah menjaringkan 1 gol dalam 5 penampilannya musim ini bersama Real Madrid.

Manakala bahagian tengah pasukan Maghribi mempunyai adunan pemain yang matang dan sedang ranum. Mereka memiliki Karim El Ahmadi (30 tahun) dan Nordin Amrabat (33 tahun). Dan dua orang veteran ini akan dibantu oleh Sofiane Boufal (24 tahun) serta sensasi Hakim Ziyech juga berusia 24 tahun. Nampak sedap bukan?

 
Tetapi sebagai seorang penulis cerita bola yang tegas, aku secara realistilk meramalkan peluang Maghribi untuk melepasi peringkat kumpulan adalah dalam lebih kurang 28% sahaja.  Walaupun begitu aku sedikit yakin dengan sentuhan ajaib Herve Renard. Mungkin mereka mampu mencetuskan kejutan jika Renard berjaya mengadun dan mengorek yang terbaik daripada skuad Maghribi ini.


Sentuhan Afrika Hervé Renard



Siapa dia ni? Hervé Renard dilahirkan pada 30 September 1968. Seorang yang kacak bergaya berasal dari Perancis dan merupakan jurulatih semasa pasukan kebangsaan Maghribi. Betul kata orang-orang lama, lelaki Perancis ini seksi juga orangnya. Contoh terdekat cuba lihat Arsene Wenger.

Nama Hervé Renard mungkin agak asing di bumi Asia. Tetapi di rantau Afrika beliau dikenali sebagai Raja Piala Afrika. Individu ini mengukir namanya dengan Zambia dan Ivory Coast apabila membawa dua negara Afrika ini menjuarai Piala Afrika pada tahun 2012 dan 2015. Dan ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah apabila seorang jurulatih berjaya menjuarai Piala Afrika dengan dua pasukan yang berbeza.

Meskipun ramalan di 'socmed' banyak mengatakan Portugal dan Sepanyol akan menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya, namun reputasi Renard yang rajin menghasilkan kejutan mungkin akan merosakkan ramalan tak bertauliah ini. Kau orang tengok sahajalah nanti. Aku nak sambung makan nasik kejap.

Piala Dunia 2018: Arab Saudi.



Piala Dunia 2018: Arab Saudi.

Perjalanan dari Tangkak ke Kuala Pilah amat melelahkan. Mentari panas mencanak betol-betol di atas kepala. Pandangan mata aku berpinar. Unta yang aku tunggani kelihatan penat sekali. Macam berpuasa sebulan pula lagaknya. Kesian aku melihat Ramdin, si unta yang patuh.

Lalu aku mengambil keputusan untuk berhenti berehat. Aku menambat untaku di bawah sepohon tamar yang rendang lagi rimbun daunnya. Fuuuuh..lega kemain dapat berehat barang sejenak. Air sirap bandung JDT bekalan yang aku bawa dalam balang buluh tadi ditonggak secara gelojoh. Glup..glup..glup..Rengkung kini berasa lega.

Perlahan aku buka beg FILA yang aku sandang lalu aku keluarkan sehelai kulit kambing dan sebatang pena bulu ayam belanda. Hujungnya yang tajam aku calitkan dengan darah dari ibu jari aku. Lalu aku mula menulis di atas kulit kambing itu tentang pasukan bola sepak Arab Saudi yang akan beraksi pada Piala Dunia 2018.


Arab Saudi Dalam Kenangan.

Arakian..maka tersebutlah kisah Arab Saudi pada suatu masa dahulu adalah sebuah pasukan gergasi di rantau Asia. Dari Yaman ke Oman membawa ke Qatar hingga ke Syria, semuanya gempita cemburu dengan kehandalan pasukan bola sepak Arab Saudi ini. Namun begitu, kini reputasi hebat mereka semakin menyusut. Bagaikan nilai matawang ringgit. Arab Saudi hari ini hanyalah pasukan yang ke-5 terbaik di Asia. Di samping itu mereka turut telepas dua edisi Piala Dunia yang lepas iaitu pada 2010 dan 2014. Bola sepak seolah-olah menjauhi negara yang kaya dengan minyak ini. Sumpahan apakah? Paling terbaru skuad bawah 23 tahun mereka tewas kepada Malaysia - pasukan asuhan Ong Kim Swee yang hebat. Apa sudah jadi dengan pasukan Arab Saudi ini?

Jika sejarah kegemilangan mereka diselak kembali satu demi satu, mereka pernah menjadi juara Piala Asia pada tahun 1984, 1988 dan juga 1996. Selepas itu mereka kemarau kejuaraan Piala Asia. Nama-nama lagenda seperti Mohamed Al-Deayea dan Sami Al-Jaber semakin pupus tidak mampu dijelma dan diganti dengan yang baru. Kesedihan yang menyayat hati bagi bola sepak Arab Saudi.

Seperti yang kita tahu, komitmen Arab Saudi terhadap bola sepak pada satu masa dahulu tidak boleh dinafikan begitu saja. Pembinaan Stadium King Fahd di Riyadh yang menjadi tuan rumah Piala Konfederasi 1993 merupakan mercu kegemilangan bola sepak Arab Saudi ketika itu. Stadium yang dibuka pada tahun 1987 ini mempunyai kapasiti sebanyak 67,000 tempat duduk. Selain itu, stadium ini turut termasuk dalam FIFA 13, FIFA 14, FIFA 15, FIFA 16, FIFA 17 dan FIFA 18. Hebat.


Megah di Persada Dunia atau Mengah di Persada Dunia?

Apa yang boleh dikatakan ialah Arab Saudi sememangnya berusaha keras untuk mengecapi yang terbaik bagi bola sepak mereka. Berkat dari niat suci Arab Saudi ini juga mereka berjaya layak ke Piala Dunia sebanyak 4 edisi iaitu pada tahun 1994, 1998, 2002 dan juga 2006. Malangnya persembahan mereka tidak berapa membanggakan. Atau dalam bahasa lain, sendu. Paling sedap pun Arab Saudi layak ke pusingan 16 pasukan pada edisi 1994.

Pada temasya Piala Dunia tahun 1994 ini juga Saeed Al Owairan menjaringkan gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia ketika menewaskan Belgium dengan gol 1-0. Dari kawasan Arab Saudi sendiri, beliau menggelecek menewaskan 6 orang pemain termasuk penjaga gol. Seluruh stadium bingit dengan sorakan. Dan gol ini kekal menjadi antara jaringan tercantik di Piala Dunia. Terima kasih kerana mengizinkan aku bernostalgia sedikit dengan jaringan gol Saeed Al Owairan ini.

Malang sekali penyertaan Piala Dunia Arab Saudi selepas itu hanya sangkut di peringkat kumpulan serta gagal pula merekodkan sebarang kemenangan. Lebih baik jadi macam Malaysia. Terus tak layak daripada layak tetapi memalukan seluruh Bani Arab. Ye dak?

Kemudian ia ditambah pula dengan episod sedih pada edisi Piala Dunia 2002, yang mana Arab Saudi mengalami kekalahan yang sangat memalukan kepada Jerman apabila tewas 8-0. Tamat sahaja kejohanan ini, Federasi Bola Sepak Arab Saudi berjanji akan membaik pulih sistem akar umbi mereka serta memulihkan struktur pengurusan dan kejurulatihan mereka. Walaupun begitu, hasilnya masih suam-suam kuku.


Sinar Piala Dunia 2018.


Keputusan kelayakan Piala Dunia 2018 mereka secara keseluruhan bolehlah dikatakan agak baik dan sederhana. Arab Saudi menang 6 perlawanan, seri 1 dan kalah 3 pertembungan secara keseluruhannya. Arab Saudi akhirnya menamatkan Kumpulan B dikedudukan yang kedua di belakang Jepun dan seterusnya layak secara automatik ke Russia.

Seperti ada yang tidak kena, Federasi Bola Sepak Arab Saudi selepas itu tidak menyambung kontrak Bert van Marwijk walaupun jurulatih ini berjaya membawa Arab Saudi ke Russia. Ada sumber mengatakan van Marwijk dipaksa untuk menjadi penduduk tetap Arab Saudi. Sudah tentulah beliau tak bersetuju dengan cadangan mengarut macam ni. Tempatnya diganti oleh Edgardo Bauza. Malang berganda pula buat Edgardo Bauza apabila turut dipecat selepas hanya mampu membimbing Arab Saudi dalam 5 perlawanan.

Kemudiannya muncul pula Juan Antonio Pizzi, individu dari Argentina yang mengabdikan dirinya semasa muda dengan mewakili pasukan bola sepak Sepanyol. Sebagai pengurus, Antonio Pizzi diingati dengan kejayaannya membawa pasukan Chile menjulang kejuaraan Copa America Centenario yang berlangsung di Amerika Syarikat. Semasa Piala Konfederasi 2017 di Russia pula beliau berjaya membimbing Chile sehingga ke perlawanan akhir. Namun mereka tewas 1-0 kepada pasukan Jerman. Selepas itu beliau dipecat lantaran kegagalan membawa Chile ke Piala Dunia 2018 yang menyebabkan Alexis Sanchez terpaksa meneruskan latihan bermain piano apabila bulan Jun 2018 muncul kelak.

Agaknyalah...berapa lama pula jodoh Juan Antonio Pizzi dengan pasukan Arab Saudi ni ye?

Sembang Ular
Peluang Arab Saudi

Persatuan bookie sedunia mungkin tidak akan berani mempertaruhkan Arab Saudi untuk layak ke pusingan yang kedua. Malahan ada yang begitu yakin bahawa Arab Saudi tidak mampu menamatkan peringkat kumpulan ini di tangga yang lebih tinggi dari empat. Apatah lagi Arab Saudi turut diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan pasukan tuan rumah Russia, Mesir dan juga Uruguay.

Elemen kejutan juga mungkin tidak mampu dijelmakan oleh pasukan Arab Saudi ini. Ramalan cerdik pandai mengatakan peluang Arab Saudi layak ke peringkat kedua ialah 14.2 peratus sahaja. Begitulah kejinya bola sepak Asia sekarang ini di mata dunia.

Aku menoktahkan tulisan ini dengan kelopak mata yang berkaca. Arab Saudi yang begini handal di rantau Asia pun masih tidak mampu pergi jauh apabila berlaga bahu dengan pasukan dunia yang lain. Bagaimana pula nasib bola sepak Malaysia yang semakin tiada arah tuju? Ketika ini aku memandang wajah sayu Ramdin, si unta yang setia. Wajah kusamnya turut memaparkan kesedihan. Baru aku teringat yang beliau belum makan dedak lagi dan sedang kelaparan gamaknya.

Friday, November 17, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: 2050



Dari Kaki Ke Pena Hitam: 2050

Selepas Malaysia secara rasmi terlepas aksi Piala Asia, aku tidak berasa apa. Sedih tidak. Gembira pun tidak. Apa yang aku buat ialah makan nasik dengan lauk ikan tenggiri asam pedas seperti tiada apa musibah yang menimpa negara. Mungkin kerana sudah terlalu biasa dengan kekalahan. Aku menjadi lali. Tidak lut. Aku menengok sendiri pelbagai reaksi dilepaskan oleh seluruh umat Malaysia. Pecat Vingada. Amek pemain kacukan. Presiden FAM sila letak jawatan. Ambil segera jurulatih tempatan. Bila Irfan Bakti nak latih Malaysia? Ya, aku yakin ini semua adalah jenis desakan segera yang mahukan kejayaan segera. Aku secara peribadi pula merasakan semua ini perlu ditahan terlebih dahulu. Kenapa?

Ini kerana liga kita masih perlukan perubahan. Liga kita sakit. Perlu kepada ubat yang sangat handal. Jawapannya ada pada Presiden FAM. Kita berilah peluang kepada Presiden FAM yang baru ini untuk membuktikan sesuatu. Diakan power. Cuma aku syak mereka yang mahu Presiden FAM ini meletak jawatan segera mungkin dek kerana meluat dengan perilaku dan perkataan yang kadangkala keluar dari mulut beliau. Ya, aku juga kadangkala kecewa dengan beberapa tindakan beliau yang aku rasakan tak perlu pun menggelabah ayam keluarkan video yang tak patut-patut. Teruskan fokus pada bola sepak negara. Bola sepak negeri tu bagilah orang lain buat. Ye tak?

Dahulu aku pernah menulis tak henti-henti pasal Soltan Bola, mengharap beliau meletakkan jawatan, dan diganti dengan seorang muda yang lebih bersemangat dan bercita-cita tinggi. Nah. Sekarang kita sudah ada Presiden FAM yang power resume negerinya. Masa inilah kita perlu bagi sokongan sepadunya. Lagipun Kementerian sudah menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia 2050. Ini benda bukan main-main. Ia perlukan sokongan ramai. Jika kita cintakan bola sepak, kita perlu bersama misi negara ini. Jadi buat masa ini, aku masih beranggapan Vingada perlu dikekalkan. Presiden FAM pun perlu diberi peluang. Cuma Vingada ni agak berusia bagi aku. Kalau dapat yang muda macam Villa-Boas tu sedap jugak. Harapan akulah. Kau orang pulak?

Sejak aku mula mengenali bola sepak, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat muda. Tak perlulah aku ulang pasal ni. Aku dah pernah tulis lama dahulu. Jadi aku harap semua baka baik bola sepak sekarang ini akan bermain di liga yang lebih mantap dan hebat pada masa hadapan. Dan aku rasa inilah peranan yang sedang dimainkan oleh Football Malaysia LLP. Dengan pemantauan garang dan rapi dari Presiden FAM, kita bolehlah memasang sedikit harapan kepada masa depan bola sepak Malaysia. Setiap masa pun nak fikir negatif, payah jugak.

Satu perkara yang menggembirakan aku ialah orang politik politaik dalam bola sepak Malaysia sudah mula berasa gerun. Setiap gerak-geri perilaku mereka sentiasa dipantau oleh Presiden FAM. Tiada ruang untuk memenuhkan kantung peribadi lagi. Padan muka. Lama sangat hidup selesa dengan makan duit kerajaan negeri yang disalurkan ke bola sepak. Duit ADUN kau amek. Duit exco itu ini. Puih! Kalau tak selesa dan gembira, letak jawatan. Bagi mereka yang betul-betul ikhlas menguruskan bola sepak negeri. Aku cukup pantang jenis Menteri Besar yang menempel dekat Stadium cuma pada perlawanan akhir. Muat naik status facebook bagi ucap selamat berjuang macam dialah punca bola sepak negeri dia power. Ehhhhhhhh...Geram aku.

Sudahlah. Sebelum aku marah-marah tak tentu arah, baik aku berhenti menaip sekarang. Mana nak makan nasik lemak sedap malam-malam gini?

Ramalan: Bola sepak Malaysia sudah bertukar ketua. Kini aku harap Liga Malaysia berubah wajah. Apabila liga kita power, pemain yang power nak mampos akan muncul mencanak. Tapi aku risau jugak bila Presiden FAM umumkan 5 pemain import untuk tahun hadapan. Ermmmmmmmsss.

Tuesday, January 17, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Make The Ball Happy.



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Make The Ball Happy.

'Make The Ball Happy'.

Satu masa dahulu Eric Cantona dan Ronaldinho membawa sedikit fenomena kepada penggemar dan pejuang bola sepak yang seusia dengan aku. Setiap kali turun bermain bola, frasa ini tidak pernah lekang dari mulut. Kalau kau tak tahu itu maknanya kau masa tu masih di alam roh.

Bagi aku secara peribadi beginilah caranya bola sepak sepatutnya dilayan. Menjadikan bola itu gembira dan hidup dengan ceria. Menimang dan melambungya dengan seni dan liuk lintuk penuh bergaya di atas padang. Bergerak kemas dan cantik di atas padang. Dengan satu sentuhan selembut kapas...Gol!!!! Kita yang menonton pun jadi sedap dan seronok. 'Make the ball happy' dan kita semua gembira. Faham?

Apa yang telah kita kecapi di Zurich beberapa minggu yang lalu adalah sekelumit hasil daripada 'make the ball happy'. Segala hukum fizik, teknikal dan saiz badan penjaga gol Pahang menjadikan bola sepak itu satu kegembiraan. Roberto Carlos pernah melakukannya serta ramai lagi pemain bertaraf dunia berjaya berbuat demikian. Begitu juga Faiz Subri yang berjaya menggembirakan bola sepak. Dan kita punya satu hari untuk melupakan segala sampah sarap yang sedang terjadi dalam bola sepak Malaysia. Kenapa kita tidak boleh bergembira untuk sehari? Kau dah gila ke?

Ini kerana di Malaysia bukanlah 'make the ball happy'. Tetapi lebih kepada 'make the bangsawan happy' dan 'make the politikus happy'. Semuanya bersebab dan berkepentingan. Bukanlah aku kata semua. Tetapi sistem lapok di Malaysia ini menjadikan ada sesetengah individu yang masih kekal menggunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri. Tidak payahlah disebut namanya. Kita sudah boleh mengagak sendiri.

Setiap hari berbalas status di facebook. Saling salah menyalahkan. Kita yang membacanya pun naik bosan muak nak muntah. Padahal taraf status liga kita ni tidaklah gah sangat untuk diribut petirkan dengan perkara itu dan ini. Apabila tiada keikhlasan, makanya timbullah pelbagai perkara buruk yang selama ini cuba disorokkan. Aku bersimpati dengan anak-anak muda yang terpaksa membesar dengan mengenali bola sepak Malaysia gaya seperti ini. 

Bola sepak sepatutnya adalah sesuatu yang menggembirakan. Bila setiap hari asyik membaca sindiran ikan, sindiran tabuan, sindiran harimau, sindiran kijang - makin jelaslah bola sepak Malaysia sudah pun menuju ke dalam hutan.

Wednesday, September 7, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Hilang Dalam 21 minit

Aku tak menghabiskan masa aku yang emas itu dengan menonton perlawanan bola sepak tahap rendah antara Malaysia dan Indonesia. Sebaliknya aku memilih saluran Fox untuk menyaksikan pertembungan antara Thailand dengan Jepun bagi merasakan ejakulasi sebenar dalam bola sepak. Thailand walaupun agak bergelut menahan asakan Jepun, namum pasukan Gajah Putih itu hanya bolos dua gol. Tak dapat dibayangkan berapalah Malaysia akan bolos apabila melawan Jepun sekiranya Fadhli Shas yang bermain sebagai pertahanan.

Dalam pada itu, ketika negara dalam peperangan seperti Syria dan Iraq menumpang Stadium di negara kita. Malaysia pula terpaksa membawa malu dengan terbang ke Indonesia untuk mengatur perlawanan persahabatan yang kononnya kelas A. Juga perlu diingatkan yang pasukan Indonesia ini sudah lama tidak bermain dalam perlawanan kompetitif. Kalau nak dibandingkan dengan Malaysia yang kerap berjalan ke luar negara, memang kita sepatutnya menang ke atas Indonesia secara selesa. Bukankah pasukan Malaysia kali terakhir baru pulang dari jelajah Oceania? Berapa banyak duit yang telah digunakan hanya untuk melihat Harimau Malaysia hilang dalam 21 minit.

Malaysia bukan sahaja hilang dalam 21 minit sebenarnya. Namun sudah lama hilang apabila Ong Kim Swee mendedahkan senarai pemain pilihannya. Banyak nama yang kita boleh persoalkan pemilihannya jika kita benar-benar menonton Liga Malaysia juga benar-benat melihat statistik dan persembahan terkini pemain. Nampak sangat OKS memilih pemain gaya MSSD. Budak yang power dia tak pilih. Habis satu team sekolah dia sahaja yang dipilihnya. Begitulah caranya OKS memikul tanggungjawab negara. Kau takkan tak rasa marah walau sedikit? Atau engkau jenis menyokong bersorak ketika maruah pasukan bola sepak dilenjan kencingkan?

Aku yang berjiwa bola sepak ini terus rasa nak mencarut tengahari tadi selepas menengok Youtube bagaimana mudahnya Malaysia bolos 3 gol. Semuanya adalah kesilapan pemain kita sendiri dan Indonesia hanya mengambil kesempatan ke atasnya. Aku langsung tidak tahu apakah identiti, corak permainan dan jenis taktikal yang OKS gunakan. Dengan bakat yang terhad adakah ini cara terbaik untuk mengatasi masalah ini? Mengatasi maksud aku di sini ialah memanggil pemain kegemaran dan hanya berdasarkan reputasi semata-mata.

Masih aku ingat dahulu ada yang begitu yakin dengan OKS dan barisan Harimau Mudanya. Sehingga berani mengatakan pasukan tersebut mampu menggegar Asia. Sekarang engkau tengok apa sudah jadi kepada pasukan tersebut? Hanyut ke laut.

Secara bahasa kasarnya aku tetap optimis untuk mengatakan bahawa bola sepak Malaysia tidak akan ke mana-mana selagi tiada perubahan secara total. Jika tiada perubahan menyeluruh dan perkara seperti ini berterusan kita akan dapat menengok pemain pertahanan jenis sepak bola tak kena, pemain tengah hantar bola ke pertahanan tapi tak sampai juga cubaan bermain long ball bodoh tapi sangkut di kepala pasukan lawan. Bukan sahaja untuk malam tadi, malahan untuk selama-lamanya.

Ramalan: Tiada apa yang hendak diramalkan untuk pasukan Malaysia ini selain daripada kekalahan demi kekalahan yang seperti sudah menjadi darah daging buat kita semua. Kau ingat jelah apa yang aku tulis ni.


Thursday, July 14, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Suai Kenal.


Semua yang ada ada pada dirimu
Membuat aku ku aku jatuh cinta
Come on baby say you love me
Love me say you love me - Ayda Jebat -

Haaaaa...dek kerana minat mendalam aku terhadap bola sepak, aku tak dapat berhenti daripada bercakap mahupun menulis tentang perihal bola sepak. Bolehlah dikatakan ini sebagai usaha terbaru aku untuk memuaskan diri sendiri di samping memberi korang yang rajin membaca sesuatu hidangan sampingan apabila bosan tak keruan tidak dapat melayari web Peta Jansen mahupun Nicole Aniston.

Okeh. Semasa aku hendak memulakan kolum ini, aku pun bertanyalah kepada sahabat sekalian alam tentang tajuk yang sesuai untuk digunapakai setiap minggu. Antara tajuk yang muncul ialah Punai ku tegak dipagi hari, Ketam ku lari mencanak, Dari Kuala Lipis ke Paris : Kisah Cinta Nwakaeme & Siti Rokiah, Suamiku,bola & kene pijak, Kau Aku Bola. Selesai membaca cadangan tajuk tersebut aku lantas menggeleng kepala perlahan-lahan.

Sekali imbas kalau tidak tebal ilmu di dada sudah pasti akan ada sahabat aku tu yang menjadi tajuk muka depan Harian Metro. Contohnya 'Seorang Lelaki Tersumbat Anunya Dengan Botol Kicap'. Tapi aku rileks dan menerima cadangan mereka dengan hati yang terbuka. Dalam banyak-banyak tajuk tu ada satu yang aku rasa bersesuaian iaitu Dari Kaki Ke Pena Hitam. Ia adalah sumbangan saudara Jaaa. Nama facebook dia ialah Ahmad Fairurizal Mns. Kau orang add lah dia. Dia ni hitam manis orangnya dan berwajah Terengganu.

Zaman belajar dulu, Jaaa ni pernah kejut aku masa tengah tidor sebab nak bincang taktikal bola sepak untuk pasukan Pecah Penjara kami. Masa tu dia datang bersama Ricerd - seorang lagi sahabat tua aku. Dengan berbekalkan beberapa helaian kertas A4 yang dikepil menggunakan pastener, maka terhasillah satu formasi maha agung untuk pasukan Pecah Penjara. Blueprint taktikal ini kemudiannya bocor ke tangan Rajagopal dan seterusnya Malaysia menang Piala Suzuki 2010. Okeh yang ini aku tipu. Sambung semula pasal Jaaa tadi.

Betullah kata orang malang itu tidak berbau hamis. Jaaa secara tiba-tiba terpaksa pulang ke kampung (kalau tak silap aku) pada hari kejohanan dan tempatnya digantikan dengan seorang pemain misteri (boleh bermain banyak posisi termasuk penjaga gol). Dan apa yang lebih pawer lagi ialah pasukan Pecah Penjara mara sehingga ke Separuh Akhir. Satu pencapaian yang di luar jangkaan kami. Kalau sekarang aku bagi contoh macam pasukan Wales hari itulah. Begitulah serba sedikit kenangan bola sepak Jaaa dengan aku yang aku boleh ingat.

Sebut pasal Wales, terus aku teringat nak sentuh sikit pasal Euro 2916 yang lepas. Selain daripada kejayaan Portugal, apa yang menarik perhatian aku ialah beberapa figura pemain tua yang masih berbakti kepada negara mereka. Antaranya ialah Gabor Kiraly, Shay Given (40 tahun), Buffon, Ricardo Carvalho (38 tahun) dan Tomas Rosicky (35 tahun).

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Shukor Adan dan Indra Putra semasa membantu Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki 2014 masing-masing berumur 34 dan 32 tahun.

Namun begitu, jauh nun di Selatan Tanahair terdapat empat orang pemain yang sudah bersara daripada arena bola sepak antarabangsa pada usia 28, 29 dan 30 tahun. Kau ingat kau Messi?

Ramalan: Penatlah asyik nak meramal ajek. Eh kejap, Tengku Bola Malaysia bila mahu bersara? Kau nak aku ramal bila beliau mahu bersara?


Tuesday, July 5, 2016

Separuh Akhir Piala Eropah 2016: Jerman Melawan Perancis.


SEPARUH AKHIR PIALA EROPAH 2016.

Jerman Melawan Perancis | Friday | 8 July 2016.


Apabila ada salah seorang sahabat tua aku berkata bahawa Jerman itu adalah Kedah. Aku terus percaya.

Neuer adalah Ahmad Sobri. Nidzham Adza adalah Mesut Ozil. Draxler itu sendiri adalah jelmaan roh Jan Janostak - penyerang yang sangat pandai mencari ruang. Jerome Boateng pula ialah Olubunmi Adigun - pertahanan terbaik yang pernah dimiliki oleh Kedah. Mempunyai corak permainan keras dan sangat berstamina tinggi. Juga pernah meninggalkan 'kenangan' manis buat seorang gadis tempatan.

Adakah Jerman sedang mengulangi sejarah Kedah Tua 1993? Perlahan-lahan kepala aku mengangguk tanda setuju.

Namun lawan Jerman nanti juga adalah bekas Juara Dunia iaitu Perancis. Jerman mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Itali dalam penentuan sepakan penalti. Satu perlawanan yang sepatutnya menjadi perlawanan akhir bagi kejohanan ini.

Dalam perlawanan tersebut Jerman lebih agresif dengan menguasai bola lebih daripada 50 peratus serta melakukan 13 percubaan tepat ke gawang. Dan Jerman juga ketika ini sudah merekodkan 7 gol dalam lima perlawanan yang mereka telah harungi. Inilah statistik yang perlu diperhatikan serta dikaji secara mendalam oleh Didier Deschamps.

Ketika menewaskan Itali, Jerman menunjukkan yang mereka tidak hanya bergantung harap pada Thomas Muller dan Mario Gomez untuk menjaringkan gol. Mesut Özil berjaya membuktikannya. Sekiranya ini berterusan berlaku, Jerman tidak perlu risau kerana ramai lagi pemain boleh memberikan kejayaan kepada Die Mannschaft.

Sementara itu Pasukan Perancis pula layak ke separuh akhir dengan menumpaskan Iceland 5-2 hasil jaringan Giroud (2 gol), Paul Pogba, Griezmann dan Payet. Sekarang ini sedang heboh mengatakan bahawa yang Paul Pogba sudah berjaya menjelmakan roh Patrick Viera ke dalam dirinya dengan cemerlang. Sekaligus meletakkan beliau sebagai pemain yang paling dikehendaki pada musim perpindahan yang akan datang.

Secara keseluruhannya ia adalah persembahan mantap dari pasukan Perancis. Seperti juga Jerman, Perancis masih lagi belum tewas dalam kejohanan kali ini.

Namun begitu lawan mereka yang seterusnya iaitu Jerman adalah jauh lebih hebat berbanding pasukan yang telah mereka tentang baik dalam peringkat kumpulan mahupun kalah mati (Ireland dan Iceland antaranya).

Ramai pengkaji bola sepak percaya Jerman - Perancis adalah dua pasukan yang bermain bola sepak dengan penuh gaya dan berseni serta tahu bila masa yang sesuai untuk menjaringkan gol. Kelebihan inilah yang memberi faedah kepada semua penonton yang gilakan gol. Termasuk kaki judi amatur di dunia cyber.

Ramalan: Jerman dijangka akan lebih mendominasi penguasaan bola yang mana akan menyusahkan pasukan Perancis untuk memberi saingan sepanjang 90 minit permainan.

Aku berpendapat pemenang akan ditentukan dalam masa 90 minit permainan sahaja. Tiada masa tambahan ataupun penalti. Jerman akan menewaskan Perancis dengan skor 1-0 sekaligus akan mara ke perlawanan akhir untuk memburu kejuaraan back-to-back Piala Dunia dan Piala Eropah.

Betullah kata pepatah lama 'Jangan pernah menafikan kewujudan Jerman'. Ini adalah Piala Eropah yang akan menjadi milik Jerman sekaligus ia akan kekal sebagai model terulung sebagai sebuah pasukan yang konsisten dan berwibawa serta KEDAH. RIP Perancis.

Monday, January 25, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan B


England

Kempen kali ini menyaksikan England menang kesemua perlawanan kelayakan mereka. Adakah ini membuktikan mereka sudah bersedia untuk menakluk Eropah pertengahan tahun ini?

Malangnya aku berpendapat pasukan England masih belum menampakkan peluang meyakinkan bagi mereka untuk menjuarai Piala Eropah ini. Apatah lagi selepas melalui satu aksi longlai dalam Piala Dunia 2014 yang lepas. Khabarnya ketika itu ramai juga penyokong pasukan Singa Tiga Bersaudara ini yang ketiaknya hitam dek kerana England yang pulang bungkus awal. Sekali imbas England yang ketika itu membariskan Joe Hart, Steven Gerrard, Daniel Sturridge, Wayne Rooney dan sensasi Raheem Sterling mampu pergi jauh. Malangnya ia tidak berlaku dan telah menjadi rutin bagi pasukan England yang mana hips-nya melebihi kemampuan sebenar keseluruhan pasukan.

Sekali lagi Tok Roy Hodgson berhadapan tugas mencabar membawa generasi yang lebih muda usianya berbanding skuad yang dibawanya ke Brazil dua tahun yang lalu. Secara dasarnya hanya Wayne Rooney sahaja daripada generasi emas sebelum ini yang masih tinggal cuba menuai simpati Tok Roy. Tetapi kemerosotan prestasi semasanya mungkin akan mengakibatkan dirinya terlepas daripada menjadi pilihan utama dalam kesebelasan skuad England. Terpilih itu sudah pasti. Tetapi untuk bermain sebagai pemain utama mungkin masih samar-samar. Ini kerana Tok Roy masih mempunyai banyak pilihan lain sebagai contoh Jamie Vardy dan sudah tentu Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (cilaka aku ter-ulang pulak tulisan yang lepas)

Tok Roy mungkin berhasrat untuk mengekalkan kerjanya sehingga Piala Dunia Russia 2018 kerana simpanan EPF dan KWSP-nya masih belum mencukupi untuk dijadikan bekalan di hari muka. Walaubagaimanapun KPI untuk beliau sangat tinggi. Layak ke suku akhir sahaja khabarnya belum mampu memuaskan hati FA England. Greg Dyke - Pengerusi FA England sudah pasti tidak akan berdiam diri sekiranya skuad England sekali lagi menjadi hiburan sarkis pada Piala Eropah 2016 ini nanti.
Tidak Perlukan Sentuhan Yang Banyak Untuk Meyumbat Gol

Wales 

Semenjak tahun 1958, Piala Eropah 2016 yang akan datang ini adalah kejohanan besar pertama buat negara yang begitu popular dengan kambing biri-biri dan janda Michael Douglas - Catherine Zeta-Jones. Emmmmmms...

Sepanjang tempoh itu juga ramai nama-nama besar sudah kecewa tak patut punya. Antaranya ialah Ian Rush, Mark Hughes, Mendiang Gary Speed, Craig Bellamy dan tidak lain tidak bukan Lagenda Kerinting - Ryan Giggs. Kali ini Chris Coleman yang mewakili kekecewaan generasinya berupaya menebus kesedihan lampau dengan membuktikan skuad asuhannya mampu memberikan sedikit harapan ataupun kegembiraan kepada seluruh warga Wales. Dan ketika entri ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) telah menerima 52,160 permohonan tiket berbanding hanya 17,000 yang diperuntukkan untuk mereka. Begitulah terujanya rakyat Wales untuk melihat aksi pasukan kesayangan mereka di hadapan mata mereka sendiri.

Seperti yang kita semua tahu pasukan ini dibentuk dengan tiang asasnya berdiri satu figura bernama Gareth Bale dan bukannya Pirlo Versi Liverpool iaitu Joe Allen. Bale adalah nadi pasukan Wales. Dia menjaringkan gol, membantu jaringan dan menghuru-harakan pasukan lawan dengan larian kencang serta gerakannya yang licik dan penuh visi. Wales begitu berharap agar Bale mampu menyuntik inspirasi kepada pasukannya walaupun dia berkemungkinan besar akan dikawal ketat sepanjang aksinya di Perancis nanti. Apa yang pasti sekiranya Wales mampu layak ke pusingan kedua sahaja pun ia umpama kenduri besar berlauk Biryani Biri-biri buat seluruh umat Wales.

From Russia With Love

Russia 

Seperti biasa apabila sebut sahaja pasal Russia, aku mesti terbayang Maria Sharapova dengan dress pendeknya menjerit-jerit garang membalas asakan pihak lawan dengan pukulan kilasnya. Mesti. Aku masih ingat kata-kata Maria ketika beliau muncul dalam mimpi aku dua tahun yang lalu.

"Wahai abang Hadri, sekiranya pukulan kilas Maria dapat ditingkatkan, permainan Maria juga akan bertambah padu di atas gelanggang." Begitulaaah...

Bolehlah aku simpulkan di sini kempen kelayakan Piala Eropah bagi pasukan Russia sebagai kacau bilau. Haru biru. Hancor lodoh. Mana tidaknya, dalam proses ini mereka terpaksa memecat Fabio Capello dan melantik pengurus CSKA Moscow, Leonid Slutsky pada bulan Ogos yang lalu serta dalam masa yang sama beliau masih berkhidmat untuk kelabnya.

Slutsky yang dipertanggungjawabkan untuk membawa Russia layak ke Perancis adalah seorang ahli sukan yang sedih ketika hayatnya masih menyepak bola. Ini kerana pada usia 19 tahun dia terpaksa bersara daripada arena bola sepak selepas terjatuh daripada pokok ketika hendak menyelamatkan kucing jirannya. Walaupun begitu, masih tidak diketahui tentang tahap kesahihan cerita ini kerana ia bukannya datang daripada 'wasap group sebelah'.

Walaupun Slutsky berjaya menang baki perlawanan kelayakan yang dibimbingnya, beliau masih menghadapi masalah yang sama dengan Capello. Iaitu kekurangan 'pool' pemain kerana kebanjiran pemain import di dalam Liga Perdana Rusia yang sedang meningkat naik. Dengan kebanyakan pemain Russia yang agak veteran, Slutsky perlu segera mencari resepi terbaik untuk mengelak daripada pasukan Russia terpaksa pulang awal.


Slovakia

Secara dasarnya ramai yang tidak meletakkan sebarang harapan besar kepada skuad Slovakia. Berdasarkan rekod juga ini adalah penampilan kedua mereka dalam kejohanan besar selepas menyertai Piala Dunia 2010. Ketika menulis entri ini aku berasa hairan kenapa pasukan Malaysia pada suatu masa dahulu seronok benar ke Slovakia untuk program latihan. Apa kurangnya Jepun dan Amerika Syarikat? Ini membuktikan bola sepak Malaysia sangat pelik. Kita abaikan isu ini buat sementara waktu.

Masih terbayang-bayang di layar fikiran aku ketika Piala Dunia 2010 lalu yang mana Slovakia menewaskan Itali (ketika itu Itali adalah penyandang juara) dalam satu perlawanan penuh dramatik berkesudahan dengan skor 3-2. Itali tersungkur dan pendukung Azzurri serata dunia menangis tersesak-esak sambil nama Kamil Kopunek menjadi zikir cacian di bibir mereka. Manakala Slovakia pula meneruskan survial mereka untuk layak ke pusingan 16 pasukan tetapi kemudiannya tewas kepada pasukan Belanda (naib juara Piala Dunia 2010).

Pasukan bimbingan Jan Kozak menampilkan aksi garang di sepanjang kempen kelayakan yang lepas. Mereka menewaskan Ukraine ketika bertandang di Kiev serta mengejutkan Sepanyol dalam proses mengumpul kemenangan dalam 6 perlawanan berturut-turut. Ia sekaligus secara keseluruhannya meletakkan Slovakia di tangga kedua untuk beraksi automatik di Perancis.

Sebenarnya Slovakia adalah pasukan yang perlu diberi perhatian walaupun di atas kertas nasib perjalanan mereka di Perancis kelak masih kelihatan terumbang-ambing. Ini kerana Slovkia secara taktikalnya adalah sebuah pasukan yang serba boleh. Mereka mampu menyerap dalam semua keadaan. Dan sudah tentu mereka perlu dilihat sebagai pasukan yang merbahaya kerana memiliki seorang pemain yang bernama Marek Hamsik.

Hamsik Yang Berwajah Peragut

Perlawanan Tumpuan:  England Melawan Wales

Jurulatih Wales, Chris Coleman seboleh-bolehnya tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepadanya. Tetapi apa boleh buat. Sudah takdir menemukan antara Wales dan England. Tanggal 16 Jun nanti kedua pasukan ini akan bertembung di Lens dalam perlawanan yang disifatkan sebagai penuh dengan talian persaudaraan.

Berdasarkan rekod Wales tidak pernah menewaskan England secara kompetitif sejak tahun 1984. Statistik pertemuan kedua pasukan dari tahun 1879 pula menunjukkan England memenangi sejumlah 66 perlawanan, seri 21 dan tewas hanya 14 pertemuan.

Namun kini Wales sudah banyak berbeza dengan kewujudan pemain seperi Aaron Ramsey dan sudah tentu Gareth Bale yang mana pernah menolak untuk mewakili England ketika usianya masih muda remaja. Oleh itu pertembungan bersejarah ini pastinya akan menjadi tumpuan buat seluruh penggemar bola sepak Great Britain.

POWER BALE

Pertembungan Force:  Skrtel Melawan Penyerang England
Siapa yang tidak kenal kepada Martin Skrtel? Belliau adalah seorang pemain pertahanan yang keras, berani mati serta berhati kering. Dia pernah berlaga kepala dengan Diego Costa dan sering menjadikan Olivier Giroud seakan-akan seperti Safee Sali di atas padang.

Sekali lagi dia berpeluang beradu tenaga dengan penyerang dari England yang saban minggu dihadapnya tanpa rasa jemu. Namun siapakah yang akan Skrtel tentang di Perancis nanti? Adalah Wayne Rooney akan kembali ke prestasi asalnya? Ataupun Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (eh aku ter-ulang lagik) Mungkin juga Daniel Sturridge - rakan sepasukannya di Liverpool yang mampu pulih sebelum sepak mula di Perancis. Siapa tahu bukan?

Aaaahhhhh!!! Persetankan siapa pun yang akan dipilih oleh Tok Roy kelak. Apa yang pasti ketua pasukan Slovakia ini bersedia untuk menyabit dan meragut kaki siapa pun yang akan berdepan secara fizikal dengannya nanti.


Ini Makan Dia!!!

Keistimewaan Kumpulan B: Sejauh Mana Perjalanan England?

Banyak yang diperkatakan tentang kemampuan pasukan England setiap kali mereka beraksi di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa. Tidak ketinggalan juga pada Piala Eropah kali ini. Kemungkinan besar keyakinan mereka sedikit meningkat berbanding semasa menyertai Piala Dunia 2014 yang mana mereka berada dalam kumpulan yang sama dengan Italy dan Uruguay. Namun begitu Slovakia, Russia dan terutamanya Wales masih mempunyai faktor-x yang tersendiri untuk mengejutkan England.

Perlawanan pertama menentang Wales kelak akan menentukan arah tuju pasukan England. Jika kalah, tugas untuk layak ke pusingan seterusnya akan lebih sukar dan mencabar.

Perlu diingat kali terakhir England memenangi kesemua perlawanan kelayakan mereka adalah ketika Piala Eropah 1988. Mereka kemudiannya tewas dalam perlawanan pembukaan dengan satu lagi pasukan jiran, Ireland dengan skor 1-0. Seterusnya tewas lagi baki dua perlawanan kepada pasukan Belanda dan USSR. Hasilnya bungkus dan pulang awal. Adakah akan berlaku dejavu kepada pasukan Tiga Singa Bersaudara? Hah?

Friday, November 13, 2015

Palestin Melawan Malaysia.



Palestin Melawan Malaysia.

1. Permainan dimulakan dengan penuh keyakinan dari pasukan Palestin. Menyerang dari segenap padang. Kiri, kanan. Depan, belakang. Manakala Malaysia kekal bertahan seperti kebiasaannya.

2. Semuanya elok belaka bagi pasukan Malaysia sehinggalah pada minit ke-37 apabila Malaysia bolos gol yang pertama. Seminit kemudian Malaysia bolos lagi. Dan selepas itu Malaysia bolos lagi buat kali ke-3.

3. Rehat separuh masa pertama pasukan Harimau Malaya melangkah longlai ke bilik persalinan dengan berboloskan 3 gol.

4. Penyokong pasukan Palestin benar-benar enjoy menengok bola. Mereka bersorak-sorai bagaikan tiada peperangan di tempat mereka. Sementara di Malaysia kita kerap menitiskan air mata mendoakan keamanan buat mereka setiap kali lepas sembahyang. Lepas ni tapayana susah-susah sangat boikot Mekdi.

5. Separuh masa kedua bermula dan Malaysia sekali lagi bolos pada minit ke-58. Kedudukan kini menjadi 4-0.

6. Aku mula berpendapat yang engko letak siapa pun main untuk pasukan Harimau Malaya ni, bolos 4 gol ke atas memang dalam tangan. Engko bayangkan setakat aku selesai menaip entri ini perbezaan gol bagi pasukan Harimau Malaya ialah 2-26. Bola sepak jenis apakah yang mereka berikan kepada umat Malaysia? Hah?

7. Secara peribadi juga aku merasakan kita perlu mempunyai pemain bola sepak yang berpendidikan tinggi. Bukanlah yang jenis kahwin cerai dengan artis, isap vape atau rokok tayang dekat instagram, bila kita tegur kesilapan mereka disuruhnya kita pulak yang turun bermain. Kita tidak perlu pemain seperti ini. Kita mahukan pemain yang paham dan senang hadam apabila jurulatih memberi arahan berbentuk taktikal. Tenaga sahaja tidak cukup. Bagaimana seorang pertahanan berfungsi ketika pasukan sedang menyerang, peranan pemain tengah untuk set tempo permainan, kebolehan peyerang mencari ruang sehingga gol dapat dihasilkan, kehandalan pemain sayap melancarkan serangan serta membuat hantaran lintang dan macam-macam lagi. Ini yang kita mahu. Kita mahukan pemain yang bergeliga dan otaknya bergerak sekata dengan tenaga di atas padang.

8. Point nombor 7 dah panjang sangat dan semasa aku menulis point nombor 8 ni Malaysia bolos buat kali ke-5.

9. Gol ke-6 pasukan Palestin jugak amat menarik. Pemain nombor 7 mereka tenang membuli pemain Malaysia di sebelah kanan sebelum membuat hantaran lintang. Bola ditanduk keluar oleh Aidil (kalau tak silap aku) hanya untuk singgah ke kaki seorang lagi pemain Palestin yang rileks membuat cubaan terus lalu menerjah gawang pasukan Malaysia.

10. Priiiiiiiiiiiiiiiiiiit!!! Tamat permainan dan Malaysia tewas 6-0.

11. Kita ajek yang berkobar-kobar berjaga malam, bangun pagi maki hamun dekat facebook. Orang besar dekat Wisma FAM rileks pergi kerja masuk jam 9.00 pagi. Keluar rumah 8.45 pagi siap dengan eskot. Masuk dalam jem suruh semua kereta ketepi. Bangkai kuda.  

12. Moga berjumpa lagik. XOXO.

Tuesday, September 8, 2015

Malaysia Melawan Arab Saudi

Malaysia Melawan Arab Saudi.

1. Datuk Ong Kim Swee (OKS) bermula positif dengan tidak menyenaraikan Afif dan Amir Taj. Dua pemain yang sering tertinggal otaknya ini digantikan terus dengan Razman Roslan dan Fadhli Shas. Muka baru lain ialah Alex, Davies, Baddrol Bahktiar dan Nazirul Naim yang merupakan antara faveret OKS.

2. Besor-besor juga pemain Arab Saudi. Tapi besor lagi semangat pemain Malaysia yang berjaya bertahan dengan cemerlang selama 45 minit.

3. Aku menengok live streaming dalam bahasa Arab. Ada seorang pemain Arab Saudi berjersi nombor 7. Al-Faraj namanya. Terganggu jugak aku bila pengulas tu asyik sebut nama pemain ni berkali-kali.

4. Arab Saudi ni memang tak handal mana buat masa sekarang. Bukan macam masa sekitar era 90-an dulu.

5. Separuh masa pertama tamat dengan skor 0-0. Macam biasa corak permainan bosan, tetapi boleh diharapkanlah jugaaaaaak.

6. Separuh masa kedua bermula dengan biase-biase ajek. Tetapi agak fizikal. Namun Arab Saudi masih terkial-kial hendak membolosi gawang Malaysia. Entah berapa besor pawang yang Malaysia guna malam ini agaknya.

7. Jurulatih Arab Saudi bernama Van Marwijk. Individu yang membawa pasukan Belanda muncul naib Juara Piala Dunia 2010. Manakala Malaysia dikawal selia oleh OKS. Itu sahaja yang aku nak bagitau.

8. Gol pada minit ke-69 berjaya disumbat oleh Kapitan Mabeles Misai Kucing Safiq Rahim. Seluruh Malaya bergegar seketika.

9. Malang sekali Arab Saudi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72. Kali ini seluruh Malaya terdiam sejenak mengenangkan nasib.

10. Sekali lagi Malaysia bolos pada minit ke-75 menerusi satu tandukan cantik yang menewaskan Apek. Kelihatan pasukan Harimau Malaya sudah kembali ke fitrah asalnya.

11. Perlawanan secara tiba-tiba terbehenti pada minit ke-88 dek kerana ada mercun, suar, kerusi dan bunga api yang secara bergilir-gilir memasuki padang. Aku rileks bangun pergi amek wuduk dan solat Isyak.

12. Tengku Bola baru umum akan meletak jawatan secara berperingkat-peringkat dan Harimau Malaya hanya kena dua gol berbalas satu. Bayangkan indahnya kalau dia terus meletak jawatan dua hari lepas.

13. Apa pun keputusan pada malam ini secara peribadi aku sambut dengan penuh kesyukuran kerana ia membuktikan bola sepak kita masih kekal terkebelakang 44 tahun berbanding negara Asia yang lain. Baik dari segi mentaliti Presiden, FA Negeri dan juga penyokong-penyokong hijau.


Posted via Blogaway

Sunday, February 16, 2014

Piala Dunia 2014: Greece



Pengenalan 

Greece akan membuat penampilan ke 3 dalam kejohanan Piala Dunia 2014. Meskipun dihimpit dengan masalah hutang, mereka masih ada lagi secebis kegembiraan untuk dihadiahkan kepada rakyatnya.  Ya, dan ianya adalah melalui bola sepak. Sukan yang sepatutnya adalah untuk golongan rakyat marhaen, dan ianya bukannya sebidang tanah jajahan, seorang panglima berjambang mahupun koleksi kereta mewah serta wanita jelita. 

Macam mana teruk pun krisis hutang Greece, mereka masih mampu layak ke Piala Dunia. Tidak seperti negara Malaysia yang mana dijangka akan ada 26 peratus peningkatan daripada KDNK menjelang 2016. Tetapi di mana bola sepak kita jika dilihat daripada peta ASIA? Satu persoalan yang masih belum ada jawapannya sehingga saat ini. 

Greece dalam 2 penampilan pada 1994 dan 2010 hanya mampu menyudahkan kejohanan di peringkat kumpulan sahaja. Dalam 6 perlawanan mereka di Piala Dunia, mereka hanya mampu mencatat 1 kemenangan dan menghasilkan 2 biji gol sahaja. Jika statistik ini diambil kira oleh akal yang waras, amat sukar untuk kita melihat Greece pergi lebih jauh. Namun tiada apa yang mustahil apabila mereka diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama Colombia, Ivory Coast dan Japan. 

Jurulatih : Fernando Santos. 


Jurulatih berbangsa Portugis ini dilantik menjadi pengurus pasukan Greece pada 1 July 2010 bagi menggantikan Otto Rehhagel. Nama Fernando Santos tidak perlu diperkenalkan lagi di Greece kerana beliau banyak menguruskan kelab di sini. Antaranya AEK Athens (sebanyak dua kali), Panathinaikos dan PAOK F.C. 

Setakat ini pencapaian peribadi terbaik beliau bersama pasukan Greece adalah ketika membawa pasukan ini layak ke Suku Akhir Euro 2012. 

Ketua Pasukan: Giorgos Karagounis. 


Beliau kini sudah memiliki 131 penampilan untuk pasukan Greece. Pemain tengah Fulham dan Greece ini menyimpan kenangan manis sewaktu menjuarai Euro 2004. 

Pemimpin sebenar di dalam pasukan. Seorang yang kental di bahagian tengah dan mempunyai kawalan bola yang baik. Dia sangat berkesan dalam sesuatu perlawanan yang penting. Tanpa kehadirannya bahagian tengah Grecee pasti ketandusan ilham.

Pemain Bintang: Dimitrios Salpingidis. 


Antara pemain veteran yang masih menjadi nadi kepada pasukan Greece. Sudah memiliki 32 penampilan untuk pasukan Greece sejak dari tahun 2005 hingga kini. 

Pencapaian terbaik peribadi beliau ialah menjadi pemain Greece yang pertama menjaringkan gol di kedua-dua kejohanan Piala Dunia dan Piala Eropah.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Konstantinos Mitroglou 



Pemain yang mendapat gelaran 'Mesin Gol' Greece ini pada kempen kelayakan Piala Dunia yang lalu telah menjaringkan 5 gol. Pada musim lepas juga beliau telah menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan ketika bermain untuk pasukan Olympiakos.

Lantaran itu Fulham terus pantas menyambar pemain ini pada 31 Januari yang lalu dengan membelanjakan sejumalah 12 Juta bagi menyelamatkan kelab mereka dari tersingkir ke Liga Kejohanan.

Thursday, January 2, 2014

Piala Dunia 2014: Cameroon



Pengenalan

Apabila berbicara tentang pasukan Cameroon, ingatan aku pantas terimbas pada aksi gelek Roger Milla di penjuru padang meraikan jaringannya. Siapa yang boleh melupakan keraian gol sebegitu rupa? Sehingga kini rekod penjaring tertua dalam sejarah Piala Dunia juga masih dipegang oleh lagenda Cameroon ini. Iaitu menjaringkan gol pada usia 42 tahun dan 39 hari. 

Negara yang mempunyai keluasan 1.44 kali lebih daripada Malaysia ini akan membuat kemunculan ke-6 dalam Piala Dunia 2014 dengan pencapaian terbaik mereka masih lagi pada tahun 1990 ketika layak sehingga ke Suku Akhir. Pada ketika itu mereka tewas kepada England di Naples dalam masa tambahan dengan jaringan 3-2.

Walaupun hanya layak menerusi penentuan aksi 'play-off', skuad 2014 ini perlu segera keluar dari bayang-bayang kejayaan pada tahun 1990 dan melakar sejarah baru dalam bola sepak Cameroon. Jadi, jatuh bangun pasukan Cameroon tahun depan semuanya akan bergantung pada strategi Jurulatih mereka iaitu Volker Finke.

Jurulatih: Volker Finke.


Ramai yang menganggap Volker Finke adalah kejutan sebenar daripada pasukan Cameroon. Ini kerana beliau adalah seorang bekas guru yang telah menghabiskan masa selama 16 tahun di SC Freiburg dan hanya dilantik untuk menguruskan Cameroon pada May 2013.

Walaupun begitu dia mempunyai rekod cemerlang setakat ini dengan memenangi kesemua 3 perlawanan sejak dilantik menjadi pengurus pasukan Cameroon.

Ketua Pasukan: Samuel Eto’o.


Penyerang terbaik Cameroon sejak era Roger Milla, Samuel Eto'o memiliki peluang untuk mengulangi atau mungkin mengatasi pencapaian heronya itu. Eto'o yang kini berusia 32 tahun merupakan penyerang untuk pasukan hebat Chelsea dan dia juga adalah penjaring terbayak pasukan negaranya dengan 55 gol.

Eto'o yang gagal beraksi di Jerman 2006 dan tidak berjaya membawa pasukannya melepasi peringkat kumpulan pada 2010 kini berpeluang sekali lagi untuk mengetuai sebuah negara Afrika yang semetinya mahu memperbaiki pencapaian gemilang tahun 1990.

Pemain Bintang: Stephane Mbia. 


Pemain ini mempunyai pengalaman luas dalam karier remajanya. Bermain dalam Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun dan juga Olimpik 2008 di China. Membuat penampilan sulung dalam skuad utama Cameroon untuk kejohanan Piala Afrika pada 2008 di Ghana.

Dia juga berada dalam pasukan QPR yang telah diturunkan divisyen dan kini sedang dipinjamkan ke kelab Sevilla. Di samping pemain Barcelona, Alex Song, Stephane Mbia juga akan memegang peranan penting untuk menjana kejayaan pasukan Cameroon.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Fabrice Olinga.


Jika Malaysia berbangga dengan penyerang handal Izzaq Faris, Cameroon juga tidak mahu mengalah dengan melahirkan bakat sehebat Fabrice Olinga. 

Beliau akan berumur 18 tahun apabila kejohanan Piala Dunia Brazil ini dilangsungkan. Dengan ketinggian hanya mencecah 5 kaki 7 inici pemain ini telahpun menyinar bersama kelab Malaga di La Liga. Gelaran bintag muda ini ialah 'Happy Feet' gitu. 

Thursday, October 24, 2013

Mahabola Cinta

Bila aku baca komen macam gini...

"Mamat yg tulis blog tu pandai sangat ke main bola?"

Aku istighfar panjang sambil mengurut dada. Kenapa tak tanya jek Arsene Wenger, Alex Ferguson, Jose Mourinho, Jurgen Klopp tu pandai main bola ke tidak? Tak hairanlah rangking FIFA steady jek 160.

From Paris With Love: Fiksyen Ranjau Menjejak Titus James.




Kabooom!!

Pintu bilik ditutup rapi. Aku pulang ke bilik hotel dengan penuh ceria selepas melepak dengan Baggio dan Maldini. Suasana senja di Florence memang mengasyikkan. Sedang aku leka melihat matahari terbenam di Sungai Arno, pintu bilik aku diketuk beberapa kali.

Ketika aku membuka pintu, tiada sesiapa di luar melainkan sebuah beg kecil berbentuk kotak empat persegi. Aku menoleh ke sebelah kiri dan kanan. Setelah mendapati tiada sesiapa pun di situ, barulah aku berani mencapai beg itu. Tatkala dibuka sahaja, terdapat sekeping tiket kapal terbang dan juga nota yang turut sama disertakan. Nota tersebut berbunyi.

"Paris sungguh indah menjelang senja. Merupakan kota romantis dan eksotis. Titus James Palani permata beharga yang makin dilupakan"

Nampaknya aku ditugaskan untuk menjejak Titus James Palani. Kali terakhir aku dengar cerita pasal dia ialah apabila Shebby Singh mempelawa Titus James untuk sesi percubaan bersama Blackburn Rovers. Aku tidak mahu guna perkataan Misi dalam tugasan ini. Sebabnya siapa yang guna perkataan Misi ni kebanyakannya akan berakhir dengan melingkup. Semacam ada satu sumpahan pula.

Titus James, suatu masa dahulu adalah budak remaja berusia 12 tahun yang menjadi tumpuan satu Malaya dek kerana kehebatannya menimbang bola tanpa rasa ragu. Aku masih ingat lagi kata-kata seorang sahabat aku, Kudin.

"Apabila aku sudah akil baligh nanti, aku nak jadi Titus James"

Aku yang ketika itu mempunyai kecerdikan 5 tahun kehadapan berbanding rakan sebaya yang lain hanya mampu tersenyum mendengar cita-cita si Kudin. Begitulah betapa hebatnya penangan fenomena Titus James. Mujur masa beliau muncul, belum ada artis yang kemaruk nak berkahwin dengan pemain bola. Kalau ada..entahlah apa akan jadi pada budak yang berasal dari Brickfield, Kuala Lumpur ini.

Mula-mula aku sampai di lapangan terbang antarabangsa Charles de Gaulle, aku tahan teksi Peugeot 406. Aku memang dah pasang niat dari Malaysia lagi nak naik teksi ni. Semuanya gara-gara terpengaruh dengan filem Taxi. Filem Taxi yang aku maksudkan ialah filem yang asal buatan Perancis tu dan bukannya yang ditiru oleh Hollywood. Cuma bezanya teksi Peugeot 406 ini ialah, ia jenis yang standard punya.

Pemandu teksi tersebut memperkenalkan dirinya sebagai Pascal Cygan. Bermuka bengis dan berkepala botak. Wajahnya mirip bekas pemain pertahanan sebuah kelab bola sepak dari London. Aku cuba berteka-teki di dalam hati sahaja. Tapi tidak berani bertanya secara mulut ke mulut.

Masuk dalam teksi, sejurus aku menutup pintu kereta...

"Ya abanglah pemain pertahanan Arsenal yang 'flop' tu. Kau tak payahlah nak tahan-tahan gelak. Abang dah lali dengan caci maki orang ramai. Padahal bukan abang saja yang 'flop'. Wiltord, Jeffers pun bangang jugak. Tapi balik-balik nama abang jugak yang naik."

Menerusi cermin pandang belakang sahaja dia berkata-kata kepada aku. Renungan matanya tajam menikam kalbu. Tiba-tiba emosi pula orang tua ni. Aku terus tersengih-sengih mendengar luahan emosi si Pascal Cygan tadi. Aku cakap nak pergi Nanteuil, nak tengok rumah Titus James. Jarak Nanteuil dari Paris ada dalam 389 kilometer lebih kurang.

Dalam perjalanan, Pascal Cygan, si pemandu teksi yang juga bekas pemain Arsenal, bertanya tujuan aku bertandang ke Perancis. Aku pun dengan peramahnya berceritalah serba sedikit kepada beliau.

"Oh begitu rupanya. Abang pun kenal Titus James ni. Kalau tak silap, Nanteuil FC ni kelab kelima yang dia wakili selepas Le Havre, Quevilly, Meaux dan juga Villenoy. Dulu masa dia baru sampai sini, dia duduk dekat Rouen, rumah sepupu belah mak abang punya jiran. Kalau tak silap abang nama dia Francis Herbert. Francis Herbert dengan isteri dia, Slyvaine Wairin juga khabarnya jadi keluarga angkat Titus masa tu." - begitu mesra Pascal Cygan menceritakan perihal ringkas berkenaan Titus James.

Aku terdiam. Pandanganku dilontarkan jauh ke luar teksi. Sekawan bison yang berlari-lari di bahu jalan seolah-olah sedang mengejar teksi membuatkan diriku seperti di dalam satu percutian mewah. Biasanya pemandangan sebegitu hanya terdapat di Taman Negara Yellowstone. Entah macam mane bison boleh muncul di sini pun aku kurang periksa.

"Betol ke zaman gemilang Titus adalah semasa dia beraksi dengan kelab Villenoy?" - soal aku lagi kepada Pascal Cygan dengan kemas dan cerdas.

Pascal Cygan tidak terus menjawab. Diseloknya poket pakaian seragam, lalu sebiji 'chewing tobacco' dikeluarkan. Dibuka sarungnya dan beliau mula menyambung cerita sambil mengunyah laju.

"Ya memang betol. Titus masa tu adalah ketua pasukan bawah 18 tahun kelab Villenoy. Dia juga penjaring terbanyak pasukan dengan 16 gol. Pada hujung musim pula, Villenoy menamatkan kedudukan di tangga ke-5 liga di Paris. Satu pencapaian yang bolehlah dikatakan hebat bagi seorang pemain Asia Tenggara"

Mata aku semakin layu akibat keletihan melalui perjalanan yang jauh. Kini teksi kami sudah menginjak melalui kota Orleans. Aku lihat bangunan lama klasik masih berdiri teguh di kiri dan kanan jalanraya. Kagum melihat keutuhan struktur bangunan lama yang masih gah berdiri. Apabila teringatkan Terengganu, aku termalu sendiri sambil menggeleng kepala perlahan.

"Creeeeeeeeeeeeeet" - Teksi berhenti mengejut.

Dekat tiga jam berkereta akhirnya aku selamat sampai di Nanteuil tempat bertapaknya kelab yang diwakili oleh Titus James ketika ini. Dari sini untuk menjejak rumah Titus James tidak sukar. Sebut saja nama Titus James dan semua orang kenal anak muda ini. Ternyata 'Black Pearl from Brickfield' ni memang besar pengaruhnya di Perancis.

Aku bertanya pada seorang anak remaja, Steve Marlett yang sedang menimbang bola di kaki lima. Bandannya yang berpeluh dan tidak berbaju aku abaikan. Aku nekad menghampirinya.

Setelah memperkenalkan diri dengan serba mantap, aku ceritakan segala-galanya tentang tujuan aku ke sini. Tentang tugasan aku menjejak Titus James, kegilaan aku terhadap Chelsea dan bagaimana rindunya rakyat Malaysia kepada Titus James ini membawa aku terbang jauh ke Perancis dari Itali, walaupun dekat-dekat raya Deepavali ni susah nak dapat tiket sebenarnya.

"Oooh..pahamlah saya kenapa abang datang ke sini. Tapikan bang, kenapalah agaknya Malaysia selalu jek abaikan pemain berbakat yang main luar daripada Liga M? Ape hebat sangat ke Liga Malaysia tu? Tengok macam Wan Kuzain Wan Kamal, sekarang ni dah wakil USA bawah 17 tahun. Tak rasa ralat ke terlepas pemain berbakat macam ni?"

Satu soalan dari Marlett yang seakan-akan cuba bermain dengan emosi aku. Aku beristighfar bertalu-talu sambil memikirkan jawapan yang sesuai untuk diberikan kepada anak muda ini. Dengan semangat yang padu, aku lontarkan senyuman semanis tebu sambil menjawab.

"Dulu tahun 2005 kita dah panggil Titus berlatih di bawah bimbingan Bertalan Bicskei. Tapi masa ni dia tak cergas. Masa 2008 pulak, dia tidak menjawab panggilan Sathianathan untuk bermain menentang Chelsea atas alasan permit kerja. Jadi sebenarnya memang sudah ada usaha untuk membawa pulang Titus James ni. Cuma masanya sahaja belum tahu." - kemas aku melontarkan jawapan kepada Steve Marlett.

“Sebenarnya kitorang dekat Perancis ni pun tak berapa berkenan kalau Titus main untuk Malaysia. Bukannya ada faedah pun. Rosaklah reputasi pemain sehebat Titus kalau turun bermain untuk negara yang berkedudukan di tangga ke-160 FIFA. Kami semua dekat Perancis ni kira berterima kasih jugalah sebenarnya pada Malaysia sebab melahirkan bakat sehebat Titus. Meriah sikit liga kitorang”

Tidak mahu bertekak panjang, aku pun meminta arah jalan menuju ke rumah Titus James. Dari Marlett aku diberikan petunjuk ke rumah keluarga Titus. Belok kanan, belok kiri, jalan lurus, jalan bengkang-bengkok, semua ada. Sebelum aku beredar Marlett sempat bertanya soalan cepu mas.

“Bro, bila Malaysia nak layak ke Piala Dunia?”

Aku memilih untuk berdiam diri. Soalan macam tu biarlah FAM yang jawab.

Selepas beberapa minit berjalan dan beberapa batang rokok dihabiskan. Eh, maksud aku orang lain di tepi jalan yang aku ternampak hisap rokok, aku tak hisap rokok, akhirnya aku tiba juga di rumah Titus James.

Aku lihat habis basah baju aku dengan peluh. Berpeluh itu memang satu nikmat, tapi angin yang bertiup sepoi-sepoi bahasa mengenai wajahku ini lebih memberi nikmat kepadaku.

Aku lihat jam di tanganku. Tepat jam 4 petang aku tiba di hadapan rumah Titus James. Aku menunggu di luar dengan penuh mantap. Titus melangkah keluar dari rumahnya dengan sebuah senyuman manis dilontarkan kepadaku.

"Jemputlah masuk. Makanan dah lama terhidang"

Ramahnya Titus James umpama sudah bertahun mengenali diri ini. Aku melangkah penuh tertib ke dalam rumahnya. Di dalam hati aku masih lagi berharap agar susuk ini pulang berbakti kepada negara satu hari nanti.

TAMAT.
 
Nota: Selamat Hari Besday Soltan Bola. Tahniah pada Datuk Jamal dan Datuk Rossa. Kahkahkah...

From Brazil With Love: Fiksyen Piala Dunia 2014



Selepas mengetahui secara rasmi 21 buah pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2014. Aku dijemput oleh 2 orang lagenda bola sepak dan juga rakan sepermainan aku untuk minum petang di sebuah restoran terkemuka di Itali sana. Aku agak terkejut. Tetapi aku cuba tenangkan diri apabila aku membaca pesanan yang tertera di telefon pintar aku ini.

"Minggu depan teman belikan kome 2 teket kapal terobang. Kome datang sini tau. Lama bebenor tak berborak dengan mengkome pasal bola."

Rileks jek Roberto Baggio me-whatsapp aku. Itu memang dah perangai dia sejak azali lagi. Rileksnya perangai Baggio ni sampaikan sepakan penalti dia pun sengaja disepak tinggi melangit ketika perlawanan akhir Piala Dunia 1994. Siapa yang boleh melupakan kejadian super pilu tersebut?

'The Divine Ponytail' ini juga kata yang Paolo Maldini pun nak lepak sekali nanti. Aku akur dan tidak banyak membantah. Lagipun memang dah lama tak lepak buang masa dengan depa semua.

Aku nak bawak siapa pergi Itali ni? Takkan nak bawak makwe muda? Aaaah...bukankah aku seorang lelaki merangkap suami dan bapa yang soleh. Masakan aku mempunyai makwe yang muda. Ketika ini, aku hanya terbayangkan satu susuk sahaja. Taruddin.

Sampai di Itali, aku duduk makan spaghetti dengan Roberto Baggio dan seorang lagi lagenda The Azzurri, Paolo Maldini. Aku memesan minuman halal, sebotol coke tanpa alkhohol.

Turut serta ialah Taruddin, kutu yang aku pilih untuk dibawa ke Itali. Dia betul-betul bernasib baik sebab aku teragak nak ajak dia sekali. Bukan main gembira si Taruddin. Sampai berbuih mulut beliau kegembiraan.

Sambil makan, Maldini membuka mulut memulakan bicara.

“Aku fikir pasukan Bosnia sangat bertuah kerana telah layak ke Piala Dunia tahun depan .,”

Baggio meletakkan sudu dan garfu. Aku dan Taruddin hanya terdiam. Muka tegas Roberto Baggio tajam merenung mata kami berdua secara bergilir-gilir. Kemudian dia mengalihkan pandangan matanya ke arah Maldini pula.
“Itu aku tau Dini...tapi yang hairannya negara depa baru saaaaat ja merdeka tahun 1992. Masa Bosnia perang dulu, Malaysia kelam kabut hantar askar pergi sana tolong. Entah apa depa buat dekat bola depa, tiba-tiba layak ke Piala Dunia 2014.,” - jawab Baggio pula.

Maldini kelam kabut menelan baki spagetti yang berada di dalam mulutnya. Tak sabar ingin menambah cerita. Gelojoh gila orang Itali ni. Komen aku sendiri di dalam hati.

"Macam Malaysia ni pulak, Merdeka saja dah dekat 56 tahun. Tapi jangankan Piala Dunia, bau Piala Asia pun masih samar-samar akibat dikerjakan oleh Presiden FAM dan orang bawahannya.," - pedih apabila aku mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Maldini itu.

Ketika ini aku hanya mampu terdiam seribu bahasa. Memang ada betulnya apa yang mereka berdua ini katakan. Aku cuba hafal sebaik mungkin kenyataan Baggio dan Maldini dalam kepala. Taruddin pula aku lihat sedang cuba hendak mengeluarkan buku nota merah jambu dan pen merah jambu dari poket baju beliau, cuba mencatat sesuatu. Aku menghalangnya dengan memijak kaki beliau. Perjanjian aku dengan kutu kacukan Portugis-Cina ini, hanya aku boleh buat laporan eksklusif perbincangan dengan Baggio dan Maldini. Dia hanya berstatus sebagai tukang eskot sahaja.

"Hadri, aku nak tanya hang satu benda. Itu hari ketua pasukan yang pakai nombor 8 masa lawan Bahrain tu memang pemain terhebat yang negara kamu ada ke? Kenapa aku tengok dia main sangat teruk? Dia macam tak tahu tugas dia adalah memegang bola dengan tenang dan set tempo permainan.,"- sambil tersengih Maldini merenung aku, seolah-olah meletakkan cabaran berbentuk soalan kepada aku.
Taruddin di sebelah aku buat muka manja seperti mengejek kepada aku. Menyampah pulak aku tengok. Ikutkan hati memang aku nak tumbuk muka Taruddin dengan kedua belah tangan aku. Tapi kami ditempat orang. Tidak manis kalau kami tunjuk budaya buruk depan Maldini dan Baggio. Aku kuatkan iman sambil cuba baca zikir penenang.

“Kita tidak boleh bandingkan pemain Malaysia dengan pemain Itali Dini..Bagi aku kelas mereka sangat jauh berbeza. Kebanyakan pemain Itali telah menunjukkan diri mereka sebagai seorang pemain bola sepak yang kuat dan cemerlang dalam permainan berpasukan sejak berdekad lamanya . Bagi aku Malaysia harus segera mencari bakat baru dan berhenti daripada mengamalkan prinsip kronisme dalam memilih barisan pemain yang hendak mewakili negara.," - tegas aku dengan penuh bergaya, tidak mahu terperangkap dengan provokasi dari Maldini.

Aku berbisik dengan nada keras menyuruh Taruddin makan tembikai susu yang ada di atas meja. Dia akur sahaja mendegar arahanku. Mungkin barangkali bimbang ditumbuk di halkum sekali lagi.

Roberto Baggio lantas menyalakan sebatang rokok Nazionali. Rokok tersebut disedut dalam-dalam. Kemudian dia pun menghembuskan asap berkepul-kepul dari mulut dan hidungnya dengan penuh nikmat. Sampai terpejam mata beliau menikmati aroma asap membunuh tersebut. Aku biarkan Baggio menyambung hujahnya pula.

"Aku rasalah..pasukan bola Malaysia sekarang dah makin nazak. Bosnia yang baru merdeka tahun 1992 dah layak ke Piala Dunia. Iceland yang sebahagian besar daripada negaranya diliputi ais pun mungkin boleh layak ke Piala Dunia. Apa lagi alasan untuk Malaysia tidak layak ke Piala Dunia? Negara tidak aman? Negara kelaparan? Tiada stadium?.," - semakin serius Baggio aku lihat petang ini.

Maldini diam seketika. Aku pula memikirkan kata-kata dari Baggio tadi. ‘pasukan bola Malaysia sekarang dah makin nazak’. Tinggi makrifat ayat Baggio ini. Memang susah kalau tidak pandai bahasa Itali dan terpaksa guna Google translate.

Maldini aku lihat masih diam. Taruddin pula menghabiskan hirisan tembikai susu yang terakhir, menikamnya dengan garfu yang tajam. Tapi mungkin tidak setajam pasukan Itali bak kata Maldini.

“Jangan risau wahai rakyat Malaysia. Usai sahaja Soltan Bola letak jawatan. Bola sepak Malaysia akan kembali cemerlang dan gemilang,”

Maldini tiba-tiba bangun dan bersuara penuh yakin. Roberto Baggio tersenyum manis, aku sekali lagi terdiam sementara Taruddin pula hanya memegang garfu.

Dengan kata semangat itu, aku yakin satu hari nanti selepas tamat era pemerintahan Soltan Bola, kita boleh melihat pasukan Harimau Malaya bermain di Piala Dunia. Cuma soalnya bila?

Taruddin pula awal-awal lagi dah pesan. Kalau jadi pergi Brazil tahun depan, dia nak ikut. Aku pasrah.

Kah..kah..kah..sudah la. Tak larat aku nak menipu pagi-pagi ni.

TAMAT
 
Nota: Selamat Hari Besday SOltan Bola.