Sunday, April 22, 2018

Piala Dunia 2018: Croatia



Piala Dunia 2018: Croatia.

Kembara Bola Sepak Croatia.

Jika kita kaji secara mendalam sejarah Croatia, mereka sebenarnya tidak pernah wujud sebagai sebuah negara sehinggalah pada tahun 1991. Croatia kemudiannya mendapat pengiktirafan FIFA pada Jun 1993. Namun begitu mereka sudah terlambat untuk bersaing ke Piala Dunia Amerika 1994.

Selepas itu impak mereka kepada bola sepak dunia amatlah besar. Pertamanya ialah apabila Croatia layak sehingga peringkat suku akhir Piala Eropah 1996 sebelum tewas kepada pasukan Jerman dengan skor 1-2. Masa ini sekitar Eropah mula berbisik manja tentang pasukan Croatia.

Croatia tiba untuk aksi sulung Piala Dunia mereka pada tahun 1998 sebagai sebuah pasukan yang misteri lagi tidak ternama. Entah siapa pemain mereka pun masih ramai yang tidak mengenalinya. Bermula sahaja kejohanan ini Croatia mula menarik perhatian dunia. Mereka menamatkan aksi peringkat kumpulan di belakang Argentina selepas tewas kepada pasukan Amerika Selatan itu 1-0, namun berjaya menewaskan Jamaica 3-1 dan Jepun dengan skor 1-0.

Menunggu Croatia di pusingan kedua selepas itu ialah Romania. Sekali lagi Romania ditewaskan dengan jaringan 1-0. Croatia kemudiannya melakar sejarah apabila menewaskan Jerman 3-0 pada peringkat suku akhir. Dan ini kekal sebagai salah satu kejutan terbesar di Piala Dunia.

Di separuh akhir pasukan tuan rumah Perancis ternyata terlalu kuat untuk Croatia. Mereka tewas 2-1 kepada Perancis dan Croatia dijadual bertemu dengan Belanda di perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Pasukan Croatia akhirnya menamatkan kejohanan Piala Dunia 1998 dengan gilang-gemilang apabila berjaya menduduki tempat ke-3 selepas menewaskan Belanda dengan jaringan 2-1. Wow!




Pasca Piala Dunia 1998

Pencapaian penuh sejarah ini juga mengangkat nama Davor Suker sebagai penjaring terbanyak kejohanan dengan 6 gol. Siapa yang tidak kenal beliau, sila terjun Sungai Kinabatangan sekarang jugak! Figura ini juga telah dilantik menjadi Presiden Bola Sepak Croatia pada tahun 2012. Sesuatu yang agak mustahil akan berlaku di Malaysia yang mana untuk kita melihat bekas pemain memegang jawatan setinggi ini.
Selain Davor Suker, nama seperti Slaven Bilić, Zvonimir Boban, Igor Tudor dan Robert Jarni selepas itu sentiasa meniti di bibir peminat bola sepak seluruh dunia. Secara tidak langsung mereka ini telah menjadi Generasi Emas 1998 untuk bola sepak Croatia.

Malangnya selepas kejayaan tahun 1998 tersebut, pasukan Croatia lebih gemar bersandarkan pada kenangan silam. Cerita tahun 1998 telah diulang beberapa kali sehinggakan generasi pemain selepas itu gagal memberikan kejayaan yang setaraf dengan Generasi Emas 1998.
Dua kejohanan berikutnya agak mengecewakan jika mahu dibuat perbandingan, yang mana Croatia gagal melepasi peringkat kumpulan di edisi Piala Dunia Korea/Jepun 2002 dan Jerman 2006.

Lebih menyedihkan lagi mereka gagal layak pada edisi 2010 dan pada tahun 2014 mereka bergelut untuk layak selepas hanya berjaya menumpaskan Iceland dalam perlawanan play-off. Croatia kemudiannya tersangkut lagi di peringkat kumpulan apabila hanya mampu berada di tangga ke-3 kumpulan A di belakang Brazil dan Mexico.

Bagaimana Mereka Layak Ke Russia?

Untuk Piala Dunia 2018 ini sekali lagi Croatia terpaksa turun bermain di perlawanan play-off menentang Greece. Dan seperti dijangka mereka mudah menerajang keluar pasukan Greece dengan aggregate 4-1. Kini Croatia mula digelar sebagai pasukan Playoff Master.

Walaupun begitu, Croatia masih dianggap sebagai pasukan yang mantap dan mampu mencabar sesiapa sahaja ketika di kemuncak prestasi. Kini mereka perlu mengembalikan semula era kegemilangan Generasi Emas lewat 90-an. Dengan majoriti pemain pasukan Croatia kini bermain secara kerap untuk pasukan utama di liga serata Eropah, tiada sebab mereka tidak mampu memberi impak maksima di Russia 2018.




Pemain Harapan Croatia.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Luka Modric adalah pemain paling penting untuk pasukan Croatia. Buktinya beliau dinamakan sebanyak 6 kali sebagai pemain terbaik Croatia. Bekas pemain bintang Spurs yang kini bermain dengan Real Madrid ini merupakan asas penting kepada pembinaan pasukan Croatia secara keseluruhannya. Beliau merupakan seorang pemain tengah yang berkemahiran tinggi dan mampu menghadirkan pelbagai bentuk ancaman serangan di sekitar padang.

Hari ini Modric antara pemain tengah terbaik dunia dan pada usia 32 tahun mungkin inilah Piala Dunia terakhir buatnya. Telah menjuarai Champions League sebanyak 3 kali dan hanya kejayaan peringkat kebangsaan sahaja yang masih beliau dambakan. 

Seorang lagi pemain tengah yang mampu memacu Croatia lebih jauh ialah Ivan Rakitic. Sama seperti Modric, beliau mula mencipta nama sebagai pamain nombor 10 yang tipikal. Tetapi persembahan dan aksi Rakitic pada hari ini telah berkembang dan merangkumi segenap sisi di atas padang. Beliau seorang pemain yang mempunyai teknik permainan yang hebat serta sepakan jarak jauh yang merbahaya.

Macam mana hebat pun pemain tengah seperti Modric dan Rakitic ini, pastinya ia tidak akan lengkap tanpa kehadiran seorang penyerang yang berbisa dan tajam di hadapan gol. Siapa lagi tuan-tuan kalau bukan Mario Mandzukic. Beliau bukan sahaja seorang penyerang yang rajin dan bekerja keras di atas padang, tetapi juga amat kuat di udara dan mempunyai penyudah yang baik di hadapan gol. Buat masa ini beliau telah mengumpul 30 gol untuk negaranya dan pada usia 31 tahun, ini adalah masa yang tepat untuk Mandzukic menyerlahkan kehebatannya di pentas dunia.

Zlatko Dalic Pembawa Sinar Baru.

Zlatko Dalic yang berumur 51 tahun ini pada mulanya hanyalah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan Croatia pada tanggal Oktober 2017. Beliau yang menggantikan Ante Cacic ini akhirnya mendapat kerja tetap sebagai pengurus pasukan Croatia pada November 2017.
Tugasan pertamanya berjalan lancar apabila berhasil menewaskan Ukraine 2-0 sekaligus menempah tiket ke perlawanan play off untuk bertemu pasukan Greece.


Mengikut data di internet, sebelum itu beliau pernah menjadi staff kejurulatihan pasukan bawah 21 tahun Croatia selama 5 tahun (2006-2011). Manakala sebagai ketua jurulatih beliau telah menguruskan pasukan seperti Varteks Varazdin, Rijeka dan Slaven Belupo di Croatia dan pasukan Dinamo Tirana di Albania.

Selain itu beliau turut menguruskan pasukan di Lembah Arab seperti Al Faisaly Harmah, Al Hilal dan Al-Ain. Dalic yang mana pada usia mudanya adalah seorang pemain tengah pastinya akan mengadun segala pengalaman miliknya menjadi satu resipi terbaik untuk Croatia berhadapan dengan pasukan hebat seperti Argentina, Nigeria dan juga Iceland.