Tuesday, November 6, 2018

Piala Suzuki 2018: Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara.

Pagi ini aku bangun dalam keadaan paling harmoni serta terampil. Bukan seperti malam-malam yang sebelum ini. Tiada mimpi ngeri dikunjungi 'bend-neck lady'. Aku bingkas bangun dan menggeliat seperti kura-kura baru selesai qada' hajat. Lega. Urat sarap yang tersimpul rapi terasa ringan. Lalu aku lepaskan satu kuapan bagaikan singa aslan yang kekenyangan rusa. Comel.

Dalam kedudukan menghadap timur, aku termenung di hujung katil. Kaki yang terjuntai aku hanyunkan ke depan dan ke belakang. Memandang sendu almari baju di hadapanku. Dua tiga kali aku terkebil-kebil melihat jersi Harimau Malaya versi 2010. Imbasan kejayaan skuad bimbingan Rajagopal segera terpampang bagaikan 'slide-show' pembentangan projek semester akhir sebuah kolej swasta. Dari perlahan kepada laju. Laju. Laju. Semakin laju. Akhirnya ia hilang menjadi debu. Hitam. Aku mengeluh panjang apabila mengenangkan tak berapa hari lagi pasukan Malaysia akan turun bertarung tenaga dalam kejohanan Piala Suzuki 2018.

Apakah jenis pasukan yang menjadi taruhan Tan Cheng Hoe untuk beraksi dalam kejohanan ini? Pasukan muda berdaya saing? Pasukan veteran berpengalaman? Atau sekali lagi sebuah pasukan rojak yang menjadi persembahan sarkis? Dan bakal ditertawakan selepas tamat kejohanan?

Seperti biasa juga ada nama-nama yang kononnya hebat tetapi tidak terpanggil menjadi zikir bualan seluruh peminat bola sepak Malaysia. Brendan Gan, Insa bersaudara, Lee Tuck, Faiz Nasir, Corbin Ong dan Azam Azih antaranya. Betulkah mereka semua ini lebih berhak berada dalam skuad Malaysia? Hah?

Namun begitu Tan Cheng Hoe nampaknya mempunyai perancangan yang tersendiri. Kita juga perlu hormat dengan pilihan pemain beliau. Jika menjadi, baguslah. Jika hancor lodoh, tunggu maki jelah. Siapa yang menjadi pilihan Tan Cheng Hoe? Hah? Mari aku ceritakan serba ringkas. Hiaaaaaaap!

Bermula di posisi penjaga gol kita ada Apek, Hafizul Hakim dan Farizal Marlias. Dari segi pengalaman, Apek dan Farizal mempunyai kelebihan berbanding Hafizul Hakim. Tetapi selepas melihat aksi Hafizul pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari, kita semua wajar berasa risau kerana pemain ini berpotensi melakukan aksi-aksi seperti Romero Manchester.

Sejak zaman Rita Rudaini masih lagi panas sehinggalah menjadi janda beranak dua, pasukan bola sepak Malaysia tidak pernah berasa jemu bergantung harap kepada Aidil Zafuan. Tak faham aku. Namun begitu aku merasakan ini juga peluang terbaik buat Shahrul Saad menampilkan diri sebagai masa depan pertahanan tengah negara. Menambah rencah dalam senarai barisan pertahanan Malaysia antaranya ialah Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Andik Vermansyah, Syahmi Safari dan Nazirul Naim.

Biar aku sebutkan nama-nama yang dipanggil untuk mengisi barisan tengah. Syamir Kutty, Akram Mahinan dan Kenny Palraj. Apa macam? Boleh pergi jauh tak? Atau nanti barisan tengah pemain Malaysia akan hanyut ke laut dalam?

Sedikit senyuman manis terukir di bibir munggil ini apabila melihat senarai pemain sayap Malaysia. Safawi Rashid, Akhyar Rashid, Sumareh dan juga Syazwan Zainon. Melihat kepada aksi sepanjang musim ini, bolehlah kita sandarkan harapan kepada mereka ini semua. Tidak banyak, sedikit pun jadilah.

Di samping itu, dua orang pemain veteran - Mat Yo dan Zaquan Adha akan mengetuai barisan serangan Malaysia. Mereka berdua akan diiringi oleh Shahrel Fikri, Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad. Berbisa jugaklah jika dilihat sekali imbas senarai penyerang-penyerang yang dipanggil kali ini.

Apa macam? Selepas melihat senarai pemain, kita boleh mengagak dari segi taktikal bagaimana corak pernainan yang akan Tan Cheng Hoe serapkan kelak. Sama ada berhasil ataupuk tidak, sama-samalah kita tunggu dah lihat.

Dan aku berasa yakin bahawa Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara........kumpulan.