Showing posts with label Suzuki 2014. Show all posts
Showing posts with label Suzuki 2014. Show all posts

Sunday, November 20, 2016

Piala Suzuki 2016: Malaysia.


Piala Suzuki 2016: Malaysia.

Penjaga Gol.

Penjaga gol yang dipilih oleh Ong Kim Swee ialah Khairul Fahmi yang berpengalaman, Khairul Azhan yang terampil dan anak muda dari pasukan Perak iaitu Hafizul Hakim.

Mengikut statistik sepanjang Liga Super 2016 berjalan Apek dan Hafizul masing-masing beroleh clean sheet sebanyak 6 kali bersama-sama Farizal Harun dan Izham Tarmizi yang terlepas kapal terbang ke Myanmar.

Manakala Khairul Azhan pula semua sudah maklum bagaimana prestasi beliau bersama pasukan Selangor yang kerap digilirkan dengan Norazlan

Namun apabila ia berkaitan dengan pasukan Malaysia, segala statistik mak nenek mahupun ranking akan ditolak ke tepi. Untuk posisi ini aku merasakan Khairul Azhan akan menjadi pilihan utama. Kau tak ingat ke aksi lincah beliau semasa perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari? Tak? Oooo..sebab pasukan engko tak main final ye tak?

Pertahanan.

Kalau prestasi semasa menjadi ukuran, gandingan pertahanan tengah secara semulajadi boleh disandarkan kepada Shahrom Kalam dan Khairul Helmi. Duo dari pasukan Selangor dan Kedah ini beraksi secara konsisten selama dua musim untuk pasukan negeri mereka. Kenapa sahaja tidak mereka ini digandingkan berdua?

Pemilihan Fadhli Shas pula telah mengerutkan banyak dahi di bumi Malaysia. Akan tetapi terpilihnya Ronny Harun pula membuatkan terangkat telor sebelah kiri sang penulis. Mujur Fadhli Shas yang menjadi pemanas kerusi simpanan JDT ini kadangkala beroleh peluang bermain di Piala AFC. Jadi kita takdelah terasa syahdu sangat menengok namanya terpilih kerana sedikit sebanyak pengalamannya nanti mungkin dapat membantu pasukan negara. Mungkin.

Si Ronny Harun ni pula aku rasa dia jarang-jarang turun bermain untuk pasukan Sarawak tahun ni. Mungkin sebab itulah Sarawak telah berjaya merekodkan 40 bolos dengan hanya pasukan Terengganu sahaja yang melebihi mereka dengan 44 kali bolos(Penjaga gol Terengganu ialah Sharbinee Allawee).

Shahrul Saad adalah pemain utiliti yang juga boleh bermain di posisi pemain tengah bertahan. Namun aksi terakhir menentang Papa New Guinea memperlihatkan mutu permainan yang agak steady daripada beliau. Mungkin juga beliau akan dapat menyingkirkan Khairul Helmi dan bermain bersama Shahrom Kalam di posisi pertahanan tengah.

Sementara itu Nazirul Naim, Matthew Davies dan Rizal Ghazali melengkapkan senarai pemain pertahanan yang akan diberi kepercayaan sepanjang kejohanan ini berlangsung kelak. Aku tak banyak sangat masalah dengan Matt dan Rizal. Aku Cuma risau Nazirul ni ajek. Entah-entah dia ni terpilih sebab yang sama dengan Irfan Fazail jugak. Bukankah kita Melayu yang kuat bersangka buruk?

Tengah.

Beberapa hari yang lepas aku ada mengatakan yang gandingan tengah antara Baddrol Bakhtiar dan Irfan Fazail adalah yang paling mengelirukan pihak lawan dan kawan. Ya, aku tahu bermain di posisi tengah ni amatlah susah. Ia memerlukan stamina yang tinggi, gaya kerja keras, kreativiti tiada sempadan dan cekal hati. Jika semua ini tiada pada kedua pemain ini aku berharap agar wujud sedikit kerajinan untuk berusaha menang dan bagi aku itu sudah memadai. Nak mengharap mereka berdua bermain seperti Zidane dan Makelele umpama berharap Farahdhiya menjadi suri hati. Sukar direalisasikan.

Namun begitu kehadiran Veenod adalah ibarat mutiara yang muncul dari dalam tiram. Veenod ialah seorang pemain yang tidak kenal maksud penat dalam kamus dewan bahasa dan pustaka. Mr. Duracell, 4 Jantung dan pelbagai lagi gelaran yang diberikan kepada beliau dek kerana stamina luar biasanya yang sentiasa berada di mana-mana sahaja pelusuk padang. Mungkin OKS akan beroleh manfaat daripada sifat semulajadi pemain yang juga dipanggil King Veenod ini. Buat pengetahuan semua King Veenod ini masih bujang dan belum pernah bernikah. Ape macam?

Selain itu Hadin Azman, Syazwan Zainon, Zaquan Adha dan Fakri Saarani melengkapkan barisan pemain tengah Malaysia. Kesemua mereka kecuali FakriMan kini sedang berada dalam prestasi terbaik. Kenapa FakriMan masih terpilih ye wahai abang adik kakak sekalian? Aku pun tiada jawapan sedap untuk itu. Mungkin inilah takdir yang perlu kita hadap secara ikhlas.

Serangan.

Apabila 11 pemain import mendominasi senarai teratas penjaring terbanyak Liga Super 2016, ini bermakna kita terpaksa bergantung harap kepada Hazwan Bakri, Amri Yahyah, Mat Yo, Safee Sali dan seorang pemain misteri Darren Lok untuk meyumbang gol kepada pasukan Malaysia. Apa sudah jadi dengan pemain tempatan sekarang? Susah betol aku nak menjawab permasalahan seperti ini. Tapi jawapannya kita semua sudah sedia tahu dan lebih baik kita simpan sendiri di dalam hati.

Hazwan Bakri walaupun tidak dapat memecahkan senarai penjaring terbanyak Liga Super, tetapi dia adalah harapan Malaysia buat masa ini. Muda dan pantas adalah senjata utamanya. Jika pasukan lawan terleka barang sesaat, Hazwan sedia menghukum mereka.

Terpilihnya The Tripple Tua – Wak Am, Mat Yo dan Safee pada aku adalah tidak lebih kepada pengalaman luas yang mereka telah miliki. Walaupun sudah agak senja, tapi jika kena pada taktikalnya mereka bertiga ini boleh mendatangkan gerun dan bahaya kepada pertahanan lawan. Pada tahun 2014 kita dapat lihat Indra Putra dan Shukor Adan berjuang habis-habisan demi membuktikan pemilihan mereka adalah tepat. Kali ini giliran The Tripple Tua pula menyerlahkan perkara yang sama.

Seorang lagi penyerang misteri ialah Darren Lok. Punyalah power dia ni dengan hanya bermain 45 minit sahaja sudah terpilih mewakili negara. Macam yang aku kata tadi, istimewanya bola sepak di Malaysia ini apabila boleh pergi mampos sama semua statistik. Darren Lok membuktikan perkara yang sama semasa bertemu Papa New Guinea. Aku yang turun stadium secara percuma menyaksikan sendiri bagaimana Darren seringkali menyukarkan pertahanan lawan dengan lariannya yang kencang serta body contact shoulder to shoulder yang boleh tahan garang sehinggakan bersepah rentak pemain pertahanan Papa New Guinea pada petang tersebut.

Antara Hazwan, The Tripple Tua dan Si Misteri Darren, siapalah agaknya yang akan menjadi pilihan Ong Kim Swee ye..


Sunday, December 21, 2014

Kenapa Aku Tengok Harimau Malaya Begitu Terkial-kial Di Rantau Asia Tenggara?


Kenapa Harimau Malaya Begitu Terkial-kial di rantau Asia Tenggara?

Dari mana aku nak mula ni? Aku pun jadi serba-salah. Bagi aku simpan Keris Pusaka dalam kain kuning dulu.

Hah? Apa? Malaysia kalah? Suka? Sedih? Terpulanglah pada kehendak masing-masing. Aku okay jek....

Tapi aku secara peribadi bergembira dengan kekalahan ini. Kerana ia sepatutnya segera dapat menyedarkan FAM betapa pentingnya perubahan drastik dalam budaya bola sepak di Malaysia. Cuma aku tak pasti berapa banyak lagi kekecewaan yang kita semua perlu tanggung untuk menyedarkan FAM dan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga hal bola sepak di Malaysia.

Aku tak nafikan pembangunan bola sepak di Malaysia ini amat bagus. Aku berikan beberapa contoh. Dahulu kita ada skuad projek Olimpik 1996 yang dibimbing oleh ketua jurulatih berpengalaman dari Perancis yang begitu tegas sifatnya serta mempunyai etika profesionalisme yang tinggi iaitu Mr. Claude Le Roy. Beliau dibantu oleh Encik Irfan Bakti dan Encik Lim Chuan Chin sebagai jurulatih penjaga gol. Mereka ini bukan calang-calang individu. Namun di mana pengakhiran pemain-pemain dalam skuad ini?

Kemudian kita ada skuad Piala Dunia Belia 1997 yang dilatih oleh Hatem Souissi yang bermisai lagi lebat daripada Wak Doyok. Masa ini nama-nama V. Saravanan, Gilbert Cassidy Gawing, Mohd Sany Muhammad Fahmi, Nik Ahmad Fadly Nik Leh dan Tengku Hazman Raja Hassan antaranya menjadi bualan di jalanan. Mereka berpeluang bergesel keting dengan Fabián Carini, Marcelo Zalayeta dan Nicolás Olivera. Tetapi di manakah pemain Malaysia ini berada ketika Fabián Carini menjadi penjaga gol pilihan ke-4 pasukan Inter Milan di belakang Francesco Toldo, Júlio César dan Paolo Orlandoni?

Skuad Rajagopal pula yang terdiri daripada bakat hebat dari Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya menggegar Asia Tenggara pada 2009 dan 2010 sebelum dimalukan oleh Singapura untuk terkandas dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Dan sehingga kini sebahagian besar kelompok pemain ini berada dalam skuad utama Harimau Malaya.

Beberapa tahun dahulu kita mempunyai skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee yang seolah-olah mampu menembusi tembok ASIA. Setakat mana pula bakat Irfan Fazail, Gary Stevan Robbat mahupun Nazmi Faiz berjaya diketengahkan?

Dan terbaru kita masih lagi segar dengan pencapaian skuad Bawah 16 negara yang hanya tersingkir di pentas suku akhir Kejohanan Asia Bawah 16 Tahun. Juga penubuhan Frenz United Football Academy. Serta Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mana sedang di selenggarakan oleh lagenda Lim Teong Kim yang amat disegani di Bayern Munich.
Persoalan besar di sini ialah kemana nanti berakhirnya limpahan bakat-bakat ini? Adakah hanya cukup dengan status gah di benua Asia Tenggara barang dua hingga tiga tahun dan kemudiannya kembali ke fitrah asal iaitu bergelut untuk mencapai kemenangan dengan pasukan seperti Myanmar?

Kita ada penyokong yang besar semangatnya. Kita ada fasiliti bertaraf dunia. Namun malang sekali tanpa kita sedari kita mempunyai sebuah liga kecil yang hanya ditubuhkan untuk berubah-ubah formatnya setiap tahun. Penswastaan liga yang sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 akan ditangguhkan ke satu tarikh lain. Dalam masa yang sama juga FAM mengizinkan setiap pasukan di Liga Malaysia tahun depan menurunkan kesemua 4 pemain import dalam satu perlawanan. Dan aku melihat perkara ini amat merbahaya. Sudahlah kita punya jumlah pemain berbakat yang terhad. Kini mereka terpaksa pula bersaing dengan pemain import yang mana kita tahu secara automatiknya akan menjadi pilihan utama setiap jurulatih dalam pasukan yang bermain di Liga Malaysia.

Bagi aku, FAM badan berwajib yang mengelolakan sukan bola sepak negara mempunyai tugas yang berat selepas ini untuk membangunkan semula bola sepak negara. Wujudkan gaya permainan yang baharu dan lebih berkesan serta pemerkasaan terhadap Liga Malaysia. Kelab-kelab bola sepak yang diuruskan secara POWER NAK MAMPOS  macam JDT harus ditambah agar 'pool' pemain dapat diperluaskan. Dan apabila pasukan telah bertambah, secara tidak langsung perlawanan kompetitif dalam liga juga akan bertambah. 22 perlawanan liga untuk semusim adalah terlalu sedikit dengan peluang pemain tempatan bermain semakin terhad. Penat kalau main banyak perlawanan semusim? Engko berhenti jelah main bola kalau macam gitu.

Sudahlah. Setakat ini sahaja yang aku nak tuliskan. Jadik aku takkan pernah salahkan kawan-kawan aku bila ada yang cakap "Ini yang aku malas layan bola sepak Asia Tenggara ni".

Posted via Blogaway

Friday, December 12, 2014

Dollah Salleh Apa Yang Engko Dah Buat?

 


Dollah Salleh Apa Yang Engko Dah Buat?

Sebenarnya aku masih lagi nak menangis memikirkan Malaysia menang dengan Vietnam ni. Aku yang pergi nengok satu perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Syiria itu hari memang awal-awal lagi menjangkakan pasukan Harimau Malaya kali ini akan bungkus. Dengan 'set of player' yang lebih kurang sama dengan jurulatih Datuk Rajagopal, aku selaku penyokong yang bersorak ketika gol, memaki hamun kalau pemain tanduk bola guna hidung memang tidak meletakkan harapan sejauh ini. Ya, sejauh melangkah ke peringkat akhir. Dan bagi aku kejayaan ini wajar kita raikan buat seketika tanpa terlebih-lebih. Bak kata pepatah jangan over sangat kalau kita menilai dari segi persembahan seni bola sepak yang dipamerkan setakat ini. Tapi daripada segi keputusan, aku bagi 'A' pada skuad asuhan Dollah Salleh kali ini. Pasukan Dollah Salleh adalah pasukan yang berorientasikan keputusan dan bukannya permainan cantik semata-mata.

Dollah Salleh memulakan aksi kedua bertemu Vietnam dengan melakukan 5 pertukaran berbanding perlawanan pertama. Meletakkan S.Kunanlan sebagai pemain pertahanan kanan. Menyingkirkan Mahali Jasuli. Ramai yang tidak tahu ini antara posisi yang pernah dimainkan oleh Kunanlan ketika bersama Negeri Sembilan dahulu dan kadangkala ketika beraksi untuk Selangor musim ini. Shukor Adan bermain semula selepas penggantungan kad kuning. Berpasangan dengan Fadli Shas di bahagian pertahanan tengah. 

Sebelum itu aku menengok pertukaran antara Khairul Fahmi dengan Farizal Marlias juga sebagai sesuatu yang agak misteri. Namun ia boleh dilakukan memandangkan kebolehan mereka lebih kurang sama sahaja. Tetapi misterinya kenapa Farizal bermain pada malam tadi masih kekal misteri sehingga saat ini. 

Di bahagian tengah Dollah Salleh meletakkan Badri Radzi yang turun buat pertama kalinya sebagai pemain utama.  Amri Yahyah pula bermain di posisi sayap kiri milik Kunanlan sebelum ini. Sambil Indra Putra mengambil alih peranan Safee Sali sebagai pasangan serangan untuk Mat Yo. 

Nah!!! Inilah perubahan yang dilakukan Dollah Salleh ketika nyawa pasukan Harimau Malaya betol-betol di hujung tanduk. Sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh jurulatih sebelum ini. Ini aku tak masukkan lagi peranan Azamuddin Akil yang tidak banyak naik ke atas sebaliknya lebih membantu pertahanan dan inilah karekter jurulatih yang kita mahukan. Orang kata berani mencuba alang-alang perlawanan itu sendiri sudah bagaikan yang terakhir untuk mereka. Dan secara bagusnya pemain-pemain kali ini memberikan respon yang amat positif. 

Bagaimana mereka membalas kepercayaan yang Dollah Salleh berikan? Mari sini aku ceritakan... 

1) Gol Pertama : Kunanlan memintas hantaran pihak lawan dari sebelah kanan. Dia kemudiannya menghantar bola tersebut kepada Azamuddin Akil yang seterusnya menyilangkan kepada Indra yang telah berlari ke dalam kotak penalti. Indra dijatuhkan dan penalti untuk Malaysia. Gol!!!! Sepakan penalti penuh yakin dari Safiq Rahim. Gol ke-4 beliau dalam kejohanan ini dan mendahului carta penjaring terbanyak. 

2) Gol Kedua : Zubir Azmi memenangi perebutan bola di sebelah kiri, bola dihantar kepada Amri. Amri melambungkan bola ke hadapan untuk mencari Mat Yo. Penjaga gol Vietnam dan dua orang pertahanannya menjadi pening. "Amri bagi siapa? Amri bagi siapa?". Sepantas kilat Mat Yo mencelah di antara dua pertahanan tersebut dan sempat menguis bola menewaskan penjaga gol Vietnam yang sudah pun terlajak ke depan. 

3) Gol Ketiga : Hantaran cantik Piya mencari Indra di sebelah kiri berjaya memecah barisan pertahanan Vietnam. Indra meluru ke dalam kawasan Vietnam dan melakukan hantaran silang. Bola terkena pertahanan Vietnam, Dinh Tien Thanh lalu menerjah gawang gol buat kali ke-3. 

4) Gol Keempat : Malaysia dengan powernya menjaringkan gol keempat melalui sepakan penjuru Piya. Fadhli menanduk bola kepada Shukor yang mudah menewaskan penjaga gol Vietnam dengan tandukan dari jarak dekat. Lambang bendera di dadanya dicium penuh bangga oleh Kapitan Shukor. 


 


Kejayaan ini memadam rekod duka pasukan Harimau Malaya yang tidak pernah menang sejak tahun 1991 di Stadium My Dinh, Vietnam. Lawan seterunya nanti bukannya pasukan selengit Liverpool. Lawan Harimau Malaya adalah Thailand. Semangat 1 Malaysia perlu disematkan dalam jiwa setiap pemain Harimau Malaya. Kemenangan Didahulukan Piala Diutamakan. Kita mesti menewaskan Thailand dan seterunya menjulang sekali lagi Piala AFF Suzuki ini. Jika dahulu memenangi Piala Tiger ini ibarat bir Tiger masuk membasahi tekak yang kekeringan. Ia berbeza kali ini kerana kejayaan menjulang Piala Suzuki pula bagaikan sireh pulang ke gagang kerana ia hanya berhak berada dalam kabinet di Wisma FAM. 

Sebagai seorang pendukung tegar bola sepak Malaysia, aku menyeru semangat Ngap Sayot dan roh pejuang-pejuang Jang seperti Dato Siamang Gagap, agar memenuhi setiap ruang pelusuk di Tanah Melayu sekaligus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Harimau Malaya. 

Bersediakah kita semua untuk berdiri teguh di belakang Harimau Malaya? Tidak kisahlah sama ada kita pergi ke stadium kelak ataupun menonton di rumah makwe tercinta. Setiap sokongan dan doa itu amat penting untuk mereka. Lupakan sementara keputusan serta permainan buruk yang lalu. Kini perlawanan akhir menjadi taruhan. Thailand bukan lawan yang mudah, tetapi tidak mustahil untuk ditewaskan. 

KAMI DATANG!!!! KAMI DATANG!!!! DEMI MALAYSIA DARUL POWER!!!! HIAAAAAAAAAAAAAAAAAPPPP!!!!!!!!!!!!!!!!

Posted via Blogaway

Sunday, November 30, 2014

Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.


Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.
 
Malam tadi Malaysia menang dengan Singapura 3-1. Ia sekaligus melebarkan rekod  Harimau Malaya apabila bertemu dengan negara Temasik ini menjadi kepada 21 menang, 24 seri dan hanya tewas 18 perlawanan. 

Malam tadi juga kedengaran satu Malaya bersorak macam orang gila dan lupa pada sistem FAM yang bangang. Lupa pada penswastaan liga yang ditunda oleh FAM, lupa masih ada lagi pemain liga Malaysia yang tidak dibayar gajinya dan juga lupa pada perjalanan Liga Malaysia yang serba kelam kabut. Mujur juga selepas perlawanan malam tadi tiada yang berkata "Kita seronok menang bola, adakah kita ingat saudara kita di Palestin?". 

Tapi aku tahu Malaysia menang bukan sebab handal. Aku memang dah lama kaji bende ni. Malaysia menang sebab Singapura memang 10 takuk ke belakang. Majoriti pemain daripada kedua-dua pasukan pun sama-sama beraksi dalam liga Malaysia yang syok sendiri tu. Apa lagi yang kita jangkakan?

Aku secara peribadi bukan mahu berbicara tentang menang atau kalah. Apa yang perlu kita sedari ialah bagaimana caranya mereka mencapai kemenangan dan kekalahan dalam sesebuah permainan. Lihat sahaja perbezaan kualiti bola sepak antara Malaysia dan Thailand tempohari. Sangat jauh sekali ketinggalan dari segenap segi.

Menang pula dengan Singapura adalah perkara biasa bagi aku. Tiada apa-apa yang istimewa jika dilihat dari segi visi, misi dan variasi taktikal yang dipamerkan. Cumanya memang Singapura itu sendiri adalah sebuah pasukan bangang sekiranya tanpa kuderat pemain naturalisasi. Dengan corak permainan macam gini, celah gigi Vietnam sahaja Harimau Malaya akan dikeronyok nanti. Tetapi aku sedikit kecewa lawan Harimau Malaya seterusnya adalah Vietnam. Bukannnya ape, nak ajak bergaduh pun tak seronok. Bukan diorang faham pun bahasa kita. Lainlah kalau Indonesia ke...Sedap sikit bergaduh. 

Okeh, kita kembali kepada persoalan serius. Jadi, bilakah kita mahu menguasai rantau Asia secara total ketika kita masih lagi terkial-kial hendak menewaskan Myanmar, Singapura dan mungkin juga Vietnam minggu depan? 

Bagaimana kita hendak menguasai pentas ASIA sedangkan kita umpama kanak-kanak kecil bertatih di ASIA TENGGARA? Walaupun sekiranya jika kita berjaya menguasai rantau ini semula, aku yakin kita akan kembali ke fitrah sebenar. Kembali menjadi pasukan bola sepak yang tidak bedaya saing walaupun dikelilingi fasiliti serta kelengkapan bertaraf dunia.

Aku berharap peminat-peminat bola Malaysia era Justin Bibir dapat kurangkan perangai cepat teruja ni. Baru menang dengan Singapura mereka sudah bilang ‘this is our year’. Bukannya apa...aku takut akhirnya ‘year’ yang dinanti-nantikan bertahan 7 hari sahaja. Kemudian apabila muncul Safee Sali yang merokok menjaringkan gol, mereka bercakap pula tentang ‘a striker reborn’ atau ‘a team reborn’ secara khasnya. Bertenanglah wahai anak mude...

Tapi aku bagi muka sikitlah dekat korang yang nak sambut kegembiraan mengalahkan Singapura semalam. Bak kata pepatah 'Biar kita tak menang Piala, asalkan Singapura jadi mangsa'.