Wednesday, March 27, 2019

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

 

Steven Gerrard.

Setakat hari ini tugas Gerrard sebagai seorang pengurus berjalan lancar. Dari 42 perlawanan beliau bersama Rangers, 22 daripadanya menang, 13 seri dan hanya 7 kekalahan yang dialaminya. Secara matematik mudah ia bersamaan dengan 52.38% kemenangan menjadi milik beliau. Handal jugaklah. Kheeeen..

Ketika masih bergelar sebagai seorang pemain, segala jenis piala telah beliau julang kecuali trofi Juara Liga Perdana Inggeris. Paling hampir ialah pada tahun 2014, namun Gerrad gagal merealisasikan impiannya setelah tergelincir ketika bertemu Chelsea.

Gerrard kini berusia 38 tahun. Masih muda dan punyai banyak masa untuk mengumpul pengalaman dan kembali semula ke Anfield seterusnya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool sebagai seorang pengurus yang berwibawa dan terampil.


Claude Makélélé

'Makélélé role' sebagai seorang pemain bola sepak berkali ganda lebih hebat berbanding 'Makélélé role' sebagai seorang pengurus. Kenapa aku berani berkata seperti ini? Hah?

Ini kerana sejak beliau memulakan karier sebagai sang pengurus di Bastia pada Mei 2014, Makélélé masih belum merasai nikmat kejayaan sebenar sebagai seorang pengurus. Ini kerana tidak sampai 6 bulan menjadi pengurus Bastia beliau telah dipecat. Kesian.

Kemudiannya antara Januari 2016 sehingga Januari 2017, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih di PSG, pengarah teknikal di AS Monaco dan sekali lagi sebagai pembantu jurulatih - kali ini bersama Swansea pula. Bolehlah dikatakan ini sebagai proses awal pembelajaran beliau selepas kegagalan di Bastia.

Tanggal Nov 2017, beliau telah menjadi pengurus pasukan Eupen - kelab bola sepak Liga Belgium. Berjaya mengekalkan pasukan ini daripada turun divisyen pada musim pertamanya. Dan hari ini berada di tangga ke-11 daripada 16 pasukan. Bergelut jugaklah tu kan? Aduhai Makélélé..

Brad Friedel.

Penggemar sebenar Liga Perdana Inggeris ataupun dalam kata yang lain peminat EPL, pastinya kenal benar dengan nama ini. Karier Friedel yang amat nomad di England membolehkan beliau merekodkan 310 perlawanan dengan mewakili 4 pasukan sepanjang tempoh dari tahun 1997 hingga 2015.

Sebagai tambahan buat pedoman semua, beliau pernah menjaringkan satu gol ketika mewakili Blackburn Rovers. Ianya hadir dalam satu perlawanan yang penuh dramatik menyaksikan Blackburn tewas 2-3 kepada Charlton di masa kecederaan. Menitis air mata mengenangkan semangat Blackburn yang dibunuh kejam pada saat-saat akhir perlawanan.

Selepas bersara di Spurs pada tahun 2015, Friedel mula berjinak-jinak dalam dunia pengurusan dengan melatih pasukan anak muda Amerika Syarikat pada tahun 2016. Awal November 2017 pula beliau disunting oleh pasukan New England untuk menjadi pengurus sepenuh masa mereka.

Friedel bolehlah dikatakan masih hijau dalam arena pengurusan. Namun tahun lepas berjaya meletakan New England di tangga ke-8 dalam Eastern Conference di Major League Soccer. Satu pencapaian sederhana baik berdasarkan pengalaman yang beliau miliki.

Friedel untuk Amerika?


The Pengurus - Paul Scholes. 

Tempoh jodoh Paul Scholes dan Oldham Athletic hanya berkekalan selama 31 hari dan 7 perlawanan. Sangat sedih. Seterusnya ini adalah antara rekod tempoh tugasan paling pendek dalam sejarah bola sepak moden yang berasaskan VAR. Cheeeewaaaah..

Info mengatakan Paul Scholes dan pemilik kelab Oldham, Abdallah Lemsagam tidak sehaluan dan 'talak' antara mereka terlerai melalui satu pesanan ringkas dalam talian.

Sebelum ini sekitar musim 2013-2014, Scholes bersama-sama Nicky Butt menjadi anggota kejurulatihan pasukan bawah-19 tahun Manchester United. Scholes kemudiannya pada tahun 2015 diumum sebagai 'caretaker managers' untuk pasukan Salford City - kelab bola sepak milik secara berjemaah 'Class of 92' yang terdiri daripada Neville bersaudara, Paul Scholes sendiri, Nicky Butt, Ryan Giggs dan David Beckham. Dengan setiap daripada memilliki 10% saham perkongsian bersama-sama 40% daripada Peter Lim.

Setakat hari ini masih tidak diketahui arah tuju Scholes dalam dunia pengurusan. Adakah beliau akan melakukan kebangkitan semula ataupun lebih selesa duduk bersantai di halaman rumah sambil mengira jumlah wang simpanan pekerjanya?





Wednesday, January 30, 2019

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus I

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus

Frank Lampard. 

Satu susuk yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Disukai kawan, disenangi lawan. Seorang anak muda yang cekal hati datang dari West Ham dan berkelana ke Stamford Bridge. Sejak dari itu Lampard mula membina reputasinya sebagai lagenda The Bleus.

Berdasarkan pemerhatian aku sendiri, sebagai seorang pemain beliau sangat berjaya bersama Chelsea, tetapi tidak apabila ketika beraksi untuk England. Kini sebagai seorang pengurus, Lampard adalah antara nama yang dijangka bakal menyerlah pada masa hadapan dalam arena pengurusan. Mungkin namanya akan sebaris dengan lagenda JDT, Luciano Figueroa.




Ole Gunnar Solskjaer. 

Sekiranya aku tidak salah, rekod Ole Gunnar di Liga Perdana Inggeris sebagai seorang pemain bola sepak ialah - 235 penampilan, 91 gol, 144 kemenangan, 39 kekalahan dan 6 kejuaraan liga. Masyaallah..urut dada aku dibuatnya.
Beliau yang turut digelar 'baby face' ini adalah antara 'super sub' paling berjaya dalam sejarah bola sepak dunia selain daripada Rusdi Suparman. Ole kembali ke Old Trafford dalam usaha mengembalikan air muka pemuja Syaitan Merah yang dicalit lumpur oleh Jose Mourinho.

Sejak kedatangan Ole, Manchester United belum tewas, Rashford semakin menjadi-jadi, kelahiran semula Pogba, De Gea melakukan 11 aksi menyelamat dalam satu perlawanan, Phil Jones dapat 2 'clean sheets', seri dengan Burnley dan kini sedang dalam proses mengejar 'top 4' Liga Perdana Inggeris.

Ya! Secara peribadi aku merasakan jodoh Ole dengan Manchester United kali ini akan lebih panjang daripada ketika hayatnya sebagai seorang pemain. Percayalah. Letak duit atas meja judi.

Thierry Henry 

Sebagai seorang pemain Henry telah mengecapi pelbagai kejayaan, antaranya Juara Piala Dunia dan Piala Eropah. Anugerah peribadi pula sangatlah banyak. Tak terkira dek jari tangan. Namun adakah ini kunci untuk beliau sukses dalam arena pengurusan? Jawapannya..tidak ye tuan-tuan.





Khabarnya taktikal yang tidak konsisten dan bercelaru serta beberapa tindakan dan keputusan yang kurang matang, adalah antara penyebab kegagalan beliau dalam percubaan pertama sebagai seorang pengurus bola sepak.

Adakah kita akan dapat melihat lagi kelibat Henry sebagai seorang pengurus? Ataupun Henry akan mengikut jejak langkah malang Makelele? Hanya Tuhan sahaja yang tahu. 

Santiago Solari. 

Aku memang tidak berapa minat dengan Solari ketika hayatnya sebagai seorang pemain bola sepak dahulu. Dengan rambut basah belah tengah, tidak banyak yang dapat ditawarkan oleh Solari selain daripada kaki kirinya yang boleh tahan berbisa. Tambahan pula ketika itu beliau terpaksa bersaing dengan galatico lain seperti Luis Figo sepanjang tempoh beliau bersama Real Madrid dari 2000 hingga 2005.

Solari tiba di Santiago Bernabeu bagi menggantikan Julen Lopetegui yang ternyata gagal dalam tugasannya. Meneruskan legasi yang ditinggalkan Zidane dan Ronaldo bukanlah satu kerja yang mudah. Namun Solari setakat ini dilihat berjaya mengharungi cabaran di Real.

Tetapi rasanya Real Madrid pasti tidak akan mengekalkan beliau untuk musim hadapan. Biasalah..Real-kan gemar bertukar salin pengurus. Tidak mengapalah Solari. Mana tahu satu hari nanti boleh menguruskan pasukan kebangsaan Argentina pula. Kan?

Tuesday, November 6, 2018

Piala Suzuki 2018: Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara.

Pagi ini aku bangun dalam keadaan paling harmoni serta terampil. Bukan seperti malam-malam yang sebelum ini. Tiada mimpi ngeri dikunjungi 'bend-neck lady'. Aku bingkas bangun dan menggeliat seperti kura-kura baru selesai qada' hajat. Lega. Urat sarap yang tersimpul rapi terasa ringan. Lalu aku lepaskan satu kuapan bagaikan singa aslan yang kekenyangan rusa. Comel.

Dalam kedudukan menghadap timur, aku termenung di hujung katil. Kaki yang terjuntai aku hanyunkan ke depan dan ke belakang. Memandang sendu almari baju di hadapanku. Dua tiga kali aku terkebil-kebil melihat jersi Harimau Malaya versi 2010. Imbasan kejayaan skuad bimbingan Rajagopal segera terpampang bagaikan 'slide-show' pembentangan projek semester akhir sebuah kolej swasta. Dari perlahan kepada laju. Laju. Laju. Semakin laju. Akhirnya ia hilang menjadi debu. Hitam. Aku mengeluh panjang apabila mengenangkan tak berapa hari lagi pasukan Malaysia akan turun bertarung tenaga dalam kejohanan Piala Suzuki 2018.

Apakah jenis pasukan yang menjadi taruhan Tan Cheng Hoe untuk beraksi dalam kejohanan ini? Pasukan muda berdaya saing? Pasukan veteran berpengalaman? Atau sekali lagi sebuah pasukan rojak yang menjadi persembahan sarkis? Dan bakal ditertawakan selepas tamat kejohanan?

Seperti biasa juga ada nama-nama yang kononnya hebat tetapi tidak terpanggil menjadi zikir bualan seluruh peminat bola sepak Malaysia. Brendan Gan, Insa bersaudara, Lee Tuck, Faiz Nasir, Corbin Ong dan Azam Azih antaranya. Betulkah mereka semua ini lebih berhak berada dalam skuad Malaysia? Hah?

Namun begitu Tan Cheng Hoe nampaknya mempunyai perancangan yang tersendiri. Kita juga perlu hormat dengan pilihan pemain beliau. Jika menjadi, baguslah. Jika hancor lodoh, tunggu maki jelah. Siapa yang menjadi pilihan Tan Cheng Hoe? Hah? Mari aku ceritakan serba ringkas. Hiaaaaaaap!

Bermula di posisi penjaga gol kita ada Apek, Hafizul Hakim dan Farizal Marlias. Dari segi pengalaman, Apek dan Farizal mempunyai kelebihan berbanding Hafizul Hakim. Tetapi selepas melihat aksi Hafizul pada perlawanan akhir Piala Malaysia tempohari, kita semua wajar berasa risau kerana pemain ini berpotensi melakukan aksi-aksi seperti Romero Manchester.

Sejak zaman Rita Rudaini masih lagi panas sehinggalah menjadi janda beranak dua, pasukan bola sepak Malaysia tidak pernah berasa jemu bergantung harap kepada Aidil Zafuan. Tak faham aku. Namun begitu aku merasakan ini juga peluang terbaik buat Shahrul Saad menampilkan diri sebagai masa depan pertahanan tengah negara. Menambah rencah dalam senarai barisan pertahanan Malaysia antaranya ialah Adam Nor Azlin, Irfan Zakaria, Andik Vermansyah, Syahmi Safari dan Nazirul Naim.

Biar aku sebutkan nama-nama yang dipanggil untuk mengisi barisan tengah. Syamir Kutty, Akram Mahinan dan Kenny Palraj. Apa macam? Boleh pergi jauh tak? Atau nanti barisan tengah pemain Malaysia akan hanyut ke laut dalam?

Sedikit senyuman manis terukir di bibir munggil ini apabila melihat senarai pemain sayap Malaysia. Safawi Rashid, Akhyar Rashid, Sumareh dan juga Syazwan Zainon. Melihat kepada aksi sepanjang musim ini, bolehlah kita sandarkan harapan kepada mereka ini semua. Tidak banyak, sedikit pun jadilah.

Di samping itu, dua orang pemain veteran - Mat Yo dan Zaquan Adha akan mengetuai barisan serangan Malaysia. Mereka berdua akan diiringi oleh Shahrel Fikri, Hazwan Bakri dan Syafiq Ahmad. Berbisa jugaklah jika dilihat sekali imbas senarai penyerang-penyerang yang dipanggil kali ini.

Apa macam? Selepas melihat senarai pemain, kita boleh mengagak dari segi taktikal bagaimana corak pernainan yang akan Tan Cheng Hoe serapkan kelak. Sama ada berhasil ataupuk tidak, sama-samalah kita tunggu dah lihat.

Dan aku berasa yakin bahawa Malaysia Bakal Melangkah Sebagai Juara........kumpulan.


Wednesday, October 10, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kiblat Bola Sepak Malaysia Berubah Lagi.

Hendak dijadikan cerita, beberapa hari yang lepas ada rakan sepermainan aku bertanya dalam nada yang santun, apa sudah jadi dengan Mata Pena Si Hitam? Masa Piala Dunia hari tu aktif kemain. Lepas Piala Dunia? Maneeee? Maneeee?

Aku yang mendengarnya hanya diam tertunduk lesu. Takkanlah aku nak sembang pasal Chelsea? Sudahlah main liga kedua Eropah. Buat malu bangsa ajek. Tapi sebenarnya ada jugak terdetik rasa gian nak mengarang pasal bola panjang-panjang. Cuma kekangan masa dan juga tanggungjawab selaku bapak yang berwibawa menjadi faktor penghalang. Hiaaaap!

Apa yang aku perasan dua tiga minggu ini bola sepak Malaysia seperti biasa haru biru. Caca marba. Ghoplah jingga. Banyak cerita yang tak sedap berbanding yang lazat. Antaranya Malaysia gagal layak ke Piala Dunia U-16 di Peru. Ini lumrah. Aku tak faham kenapa ramai yang menggelabah tetek. Gaji Lim Teong Kim didedahkan kepada umum. Habis 'PNC' dilanggar si Menteri Debat. Kedudukan LTK pula masih menjadi tanda tanya. Selain itu padang dan kelengkapan Akademi Mokhtar Dahari juga berada dalam keadaan yang menyedihkan. Sendu. Melihat kepada siri baharu drama bola sepak Malaysia ini bermakna lama lagilah kita nak maju dalam sukan yang menjadi raja di dalam hati kita semua.

Aku nak tanya secara jujur. Sila jawab dalam hati juga secara tulus mulus. Sebenarnya bola sepak Malaysia ni masih boleh diselamatkan lagi atau tidak? Apa yang telah FAM dan segala mak nenek yang terlibat dalam pembangunan bola sepak Malaysia telah lakukan sepanjang ditugaskan untuk memelihara sukan kesayangan kita ni? Patutkah usia NFDP yang baru 4 tahun ini menjadi kayu pengukur masa depan bola sepak negara?

Ambil contoh Jerman. Mereka menjulang Piala Dunia 2014 selepas 10 tahun merangka pelan yang dinamik diketuai oleh Jurgen Klinsmann. Belgium pula bukan baru setahun dua berjaya melahirkan pemain seperti Thibaut Courtois, Dries Mertens, Kevin de Bruyne, Mousa Dembele, Steven Defour, Axel Witsel dan Nacer Chadli. Info di alam maya mengatakan usaha mereka bermula sekitar tahun 1998 hingga 2002. Maka akhirnya negara yang memiliki 11 juta penduduk dan 34 kelab bola sepak professional ini berjaya menduduki tangga ke-3 Piala Dunia 2018 yang lepas.

Sementara itu di Malaysia pula jurulatih kebangsaan pelbagai peringkat umur datang dan pergi bagai cinta yang tak sempat berputik dah terpaksa ditinggalkan. Begitulaaah.

Baiklah. Adakah akan ada lagi program bola sepak 'kosmetik' yang akan diperkenalkan untuk menjadi ubat penyedap hati kepada rakyat Malaysia?

Masih laratkah bagi kita yang cintakan bola sepak ini terus-menerus melayan siri kegagalan dan drama yang tiada kesudahan? Banyak betul persoalan yang perlu kita jawab. Oleh itu marilah kita semua bertaubat.


Friday, July 27, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menteri Debat.

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menteri Debat.

Beberapa hari yang lepas aku ada melepak dengan seorang sahabat lama. Kami berdiskusi tentang beberapa perkara. Antaranya perihal surat Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Ya, selaku lelaki dewasa berwatak abah-abah, hal sukan antara menjadi tajuk perbualan selain perihal Antu Tetek yang semakin serius menyerang penempatan kami. Yang ini aku bohong. Tak payahlah percaya.

Selepas dibaca secara teliti surat KBS tersebut, memang ada banyak kesalahan tatabahasa. Secara peribadi aku tolak tepi sahaja masalah ini. Sebabnya yang duk kondem tatabahasa surat tu pun menaip serupa Mat Minah Cendol Rempit. Kalau mengeja cantik dan penuh tu takpelah nak kondem surat tersebut. Kheeen?

Yelah..dari segi fakta memang banyak yang salah. Biasalah budak baru. Beliau bukan kena jaga sokan bola lisut ataupun ping pong sahaja. Malahan keseluruhan sukan di Malaysia. Sangat berat bukan?

Lama sebelum KJ jadi Menteri KBS dulu dia dah buat macam-macam. KJ bersama Jason Lo, Bojan Hodak dan Shebby Singh menubuhkan My Team di mana KJ menjadi pengerusinya. KJ juga pernah memegang tampuk Bendahari Kehormat Perak FA untuk musim 2006-2008 dan pada Oktober 2007, KJ dipilih menjadi Naib Presiden FAM. Cuba bandingkan pula dengan Menteri Debat. Anda nilaikan sendiri.

Berbalik semula kepada hal surat tadi. Bahaya jugak sekiranya surat sebegini menjadi bukti awal campur tangan kerajaan pemerintah kepada bola sepak Malaysia. Kalau kena gantung dengan FIFA tak ke harok? Ini perkara asas yang Menteri Debat kena tahu. Lagi satu, takkan aku nak kena melayan Leong Mun Yee dan Farah Ann Hadi? Mana tak dapat tempurung kelapa nanti?

Nota Si Hitam: Sebenarnya aku terus terasa seperti orang bodoh sebaik sahaja tamat Piala Dunia tempohari. Nak menengok bola Malaysia lagilah tak berselera. Takkan aku nak kena melayan Leong Mun Yee dan Farah Ann Hadi? Mana tak dapat tempurung kelapa nanti?