Wednesday, March 27, 2019

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

Dari Kaki Ke Pena Hitam: The Pengurus II

 

Steven Gerrard.

Setakat hari ini tugas Gerrard sebagai seorang pengurus berjalan lancar. Dari 42 perlawanan beliau bersama Rangers, 22 daripadanya menang, 13 seri dan hanya 7 kekalahan yang dialaminya. Secara matematik mudah ia bersamaan dengan 52.38% kemenangan menjadi milik beliau. Handal jugaklah. Kheeeen..

Ketika masih bergelar sebagai seorang pemain, segala jenis piala telah beliau julang kecuali trofi Juara Liga Perdana Inggeris. Paling hampir ialah pada tahun 2014, namun Gerrad gagal merealisasikan impiannya setelah tergelincir ketika bertemu Chelsea.

Gerrard kini berusia 38 tahun. Masih muda dan punyai banyak masa untuk mengumpul pengalaman dan kembali semula ke Anfield seterusnya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Liverpool sebagai seorang pengurus yang berwibawa dan terampil.


Claude Makélélé

'Makélélé role' sebagai seorang pemain bola sepak berkali ganda lebih hebat berbanding 'Makélélé role' sebagai seorang pengurus. Kenapa aku berani berkata seperti ini? Hah?

Ini kerana sejak beliau memulakan karier sebagai sang pengurus di Bastia pada Mei 2014, Makélélé masih belum merasai nikmat kejayaan sebenar sebagai seorang pengurus. Ini kerana tidak sampai 6 bulan menjadi pengurus Bastia beliau telah dipecat. Kesian.

Kemudiannya antara Januari 2016 sehingga Januari 2017, beliau telah berkhidmat sebagai pembantu jurulatih di PSG, pengarah teknikal di AS Monaco dan sekali lagi sebagai pembantu jurulatih - kali ini bersama Swansea pula. Bolehlah dikatakan ini sebagai proses awal pembelajaran beliau selepas kegagalan di Bastia.

Tanggal Nov 2017, beliau telah menjadi pengurus pasukan Eupen - kelab bola sepak Liga Belgium. Berjaya mengekalkan pasukan ini daripada turun divisyen pada musim pertamanya. Dan hari ini berada di tangga ke-11 daripada 16 pasukan. Bergelut jugaklah tu kan? Aduhai Makélélé..

Brad Friedel.

Penggemar sebenar Liga Perdana Inggeris ataupun dalam kata yang lain peminat EPL, pastinya kenal benar dengan nama ini. Karier Friedel yang amat nomad di England membolehkan beliau merekodkan 310 perlawanan dengan mewakili 4 pasukan sepanjang tempoh dari tahun 1997 hingga 2015.

Sebagai tambahan buat pedoman semua, beliau pernah menjaringkan satu gol ketika mewakili Blackburn Rovers. Ianya hadir dalam satu perlawanan yang penuh dramatik menyaksikan Blackburn tewas 2-3 kepada Charlton di masa kecederaan. Menitis air mata mengenangkan semangat Blackburn yang dibunuh kejam pada saat-saat akhir perlawanan.

Selepas bersara di Spurs pada tahun 2015, Friedel mula berjinak-jinak dalam dunia pengurusan dengan melatih pasukan anak muda Amerika Syarikat pada tahun 2016. Awal November 2017 pula beliau disunting oleh pasukan New England untuk menjadi pengurus sepenuh masa mereka.

Friedel bolehlah dikatakan masih hijau dalam arena pengurusan. Namun tahun lepas berjaya meletakan New England di tangga ke-8 dalam Eastern Conference di Major League Soccer. Satu pencapaian sederhana baik berdasarkan pengalaman yang beliau miliki.

Friedel untuk Amerika?


The Pengurus - Paul Scholes. 

Tempoh jodoh Paul Scholes dan Oldham Athletic hanya berkekalan selama 31 hari dan 7 perlawanan. Sangat sedih. Seterusnya ini adalah antara rekod tempoh tugasan paling pendek dalam sejarah bola sepak moden yang berasaskan VAR. Cheeeewaaaah..

Info mengatakan Paul Scholes dan pemilik kelab Oldham, Abdallah Lemsagam tidak sehaluan dan 'talak' antara mereka terlerai melalui satu pesanan ringkas dalam talian.

Sebelum ini sekitar musim 2013-2014, Scholes bersama-sama Nicky Butt menjadi anggota kejurulatihan pasukan bawah-19 tahun Manchester United. Scholes kemudiannya pada tahun 2015 diumum sebagai 'caretaker managers' untuk pasukan Salford City - kelab bola sepak milik secara berjemaah 'Class of 92' yang terdiri daripada Neville bersaudara, Paul Scholes sendiri, Nicky Butt, Ryan Giggs dan David Beckham. Dengan setiap daripada memilliki 10% saham perkongsian bersama-sama 40% daripada Peter Lim.

Setakat hari ini masih tidak diketahui arah tuju Scholes dalam dunia pengurusan. Adakah beliau akan melakukan kebangkitan semula ataupun lebih selesa duduk bersantai di halaman rumah sambil mengira jumlah wang simpanan pekerjanya?





No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...