Wednesday, November 27, 2013

FAM Kuasa Besar Bola Sepak Dunia.



Aku sedang leka menumis bawang putih dan bawang merah untuk masakan makan malam ketika mendapat berita yang Annuar Musa sekali lagi terlibat dalam konflik bersama FAM. Cadangnya aku nak masak asam pedas ikan merah ala Johor. Aku terduduk selepas selesai membaca pesanan ringkas dari Taruddin. Apa lagi hal Annuar Musa dengan FAM ni?

Dari kedudukan aku terduduk di atas sofa, aku melakukan balik kuang lantas duduk di hadapan meja komputer. Aku perlu membuat sedikit kajian. 5 minit aku berada di hadapan komputer aku berasa letih. Aku cuba duduk di tepi komputer pula. Haaaa...baru lega sedikit.

Dalam kes Annuar Musa yang terkini. Aku lihat FAM bukan main cergas pergi merujuk kepada AFC. FAM juga pantas mengeluarkan akta AFC sebagai rujukan. Ini kerana menurut Artikel 22 Kod Disiplin AFC berkaitan individu yang menjalani penggantungan, seseorang itu mungkin akan dilarang daripada terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan bola sepak merangkumi pentadbiran, sukan dan lain-lain. 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) juga boleh digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sekiranya terdapat bukti campur tangan kerajaan dalam apa perkara sekali pun dan jika berlaku ia adalah penamat kepada bola sepak Malaysia. Demikian ditegaskan Pengerusi Jawatankuasa Status Pemain FAM, Datuk Takiyuddin Hassan ketika merujuk kepada kuasa FIFA seperti yang terkandung di dalam Artikel 17 Statut FIFA.

Melihatkan perangai cergas FAM tak kena tempat ni, aku pantas teringat pada isu pemain Myanmar yang melebihi had umur. Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ketika itu tidak mengemukakan bantahan rasmi kepada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) berhubung dakwaan Myanmar menurunkan pemain lebih umur pada pusingan kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun. Ini kerana kononnya FAM tidak boleh membuat bantahan semata-mata menggunakan bukti yang disiarkan media. Walhal di dalam sistem simpanan data FIFA jelas pemain ini melebihi had umurnya.

FAM juga menjelaskan mereka tidak menghantar sebarang surat bantahan rasmi kepada AFC dalam tempoh bantahan 48 jam selepas perlawanan itu tamat. Paling bangang adalah kenyataan daripada Datuk Azzuddin Ahmad yang berbunyi begini “Kita kena bantah berserta bukti kukuh. Jika tidak, ia boleh beri implikasi terhadap imej FAM dan hubungan kita dengan negara-negara ASEAN kerana Presiden FAM (Sultan Ahmad Shah) juga adalah Presiden AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN)."

Dari sini aku lihat FAM memang suka merumitkan hal-hal yang bangang yang melibatkan individu tertentu. Sedangkan hal yang sepatutnya FAM buat dan patuh, tidak pula mereka hiraukan. Atau dalam bahasa kasarnya 'buat selamber hanjeng'.

Macam mana pula dengan individu atau persatuan yang sengaja mengendalikan 2 pasukan dalam liga yang sama? Sebagai contoh JDT dan JDT II. Tidak lupa juga T-Team dan Terengganu (sudahlah nama pasukan masing-masing serupa gampang). Adakah ini tidak melanggar integriti yang telah FIFA tetapkan? Kalau mahu tahu lebih lanjut. Boleh baca di sini dan sini.

Adakah liga kita bebas dari campur tangan kerajaan? Tidak. Seperti yang kita tahu kebanyakan pasukan negeri kita ditadbir oleh Presiden yang terdiri daripada Menteri Besar. Mereka juga ada yang menggunakan bajet negeri untuk menjana perjalanan pasukan bola sepak (tidak semua pasukan). Itu belum kira hadiah atau ganjaran yang bagaikan durian runtuh setiap kali memenangi sesuatu piala. Adakah ini bukan campur tangan kerajaan? Aaaaaaaah...cilakenya cara bola sepak Malaysia diuruskan. 

Tulaaaaa...bila ada orang kata liga kita sampah, korang melenting. 

Mana satu paling berkuasa antara FAM, AFC dan FIFA? Aku juga merasa sangat keliru dengan keadaan ini. Tetapi bila aku terkenangkan ini semua adalah hasil kerja FAM yang ditadbir rapi oleh Soltan Bola, aku redha. Aku terus bangun ke dapur dan menyambung semula masakan aku. Asam pedas ikan merah ala Johor.  

1 comment:

  1. sebab tu aku sampai tak suka pemain2 dapat ganjaran daripada kerajaan negeri atau negera bila menang piala.

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...