Thursday, March 27, 2014

Piala Dunia 2014: Switzerland


Piala Dunia 2014: Switzerland

Pengenalan 

Mungkin ramai yang masih belum melupakan detik manis pasukan ini pada perlawanan pembukaan Piala Dunia 2010 bagi kumpulan H ketika menentang Sepanyol. Switzerland ketika itu berjaya menundukkan Juara Eropah tersebut dengan skor 1-0 hasil jaringan Gelson Fernandes pada minit ke-52. Namun kejutan ini masih tidak mampu untuk melepaskan mereka ke peringkat seterusnya apabila selepas itu hanya mampu seri 0-0 dengan Honduras serta kalah 1-0 kepada Chile. Mereka menyudahkan Piala Dunia 2010 dengan menduduki tangga ke-3 dalam kumpulan H di belakang Chile dan Sepanyol.

Pencapaian terbaik pasukan Switzerland kekal dengan kejayaan layak ke suku akhir pada tahun 1934, 1938 dan juga 1954 iaitu ketika mereka menjadi tuan rumah. Mereka terlepas aksi Euro 2012 yang lalu. Kini mereka kembali untuk menggegar Piala Dunia 2014 di Brazil dengan semangat yang baru dan membara. 

Switzerland diletakkan bersama-sama Perancis, Ecuador dan Honduras sekali lagi pada edisi kali ini. Di atas kertas, Switzerland berpeluang mara ke pusingan kedua. Jika ia menjadi kenyataan, ia adalah satu rahmat buat pengurusan bola sepak negara ini. 


Jurulatih: Ottmar Hitzfeld. 


Beliau adalah seorang penyerang yang prolifik semasa hayatnya sebagai seorang pemain dengan merekodkan sejumlah 169 gol daripada 300 penampilannya bersama 4 buah kelab iaitu Basel, VfB Stuttgart, Lugano dan Luzern. 

Manakala sebagai jurulatih pula beliau sudah memenangi 2 kejuaraan Piala Eropah bersama pasukan gergasi Jerman Bayern Munich dan Borussia Dortmund. 

Kini beliau sudah berusia 64 tahun dan telah membimbing skuad Swiss ini sejak tahun 2008.


Ketua Pasukan: Gokhan Inler. 


Napoli telah membelanjakan sejumlah £11.5 Juta pada 2011 untuk mendapatkan khidmat pemain tengah elegan ini. Bersama Napoli, beliau berjaya menjulang Coppa Italia pada musim 2011-12 dengan menewaskan Juventus. 

Sebelum beraksi untuk pasukan kebangsaan Switzerland, dia sempat bemain dengan skuad bawah 21 tahun pasukan Turki. Ini kerana ibu bapanya adalah rakyat Turki. Penampilan pertama beliau bersama pasukan Switzerland adalah pada 2 September 2006 ketika menentang Venezuela. Sebagai ketua pasukan, sudah tentu beliau akan memikul tanggungjawab yang besar untuk mendorong semangat rakan sepasukan yang lain.


Pemain Bintang: Diego Benaglio. 


Penjaga gol kacak dan tinggi lampai ini bermain untuk pasukan Bundesliga, VfL Wolfsburg sejak 2008 lagi. Bersama pasukan Switzerland pula, dia sudah mengumpul 52 penampilan antarabangsa. 

Sangat tangkas dan memiliki susuk tubuh yang sasa melengkapi segala keperluan untuk seorang penjaga gol...dan model barangkali.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Granit Xhaka.


Dia adalah pemain naturalisasi Switzerland yang dilahirkan di Yugoslavia. Keluarganya yang juga merupakan warga Albania pula lari daripada Kosovo dan berhijrah ke Switzerland semasa beliau masih kecil lagi. 

Ottmar Hitzfeld juga secara geli-geli menggelar pemain ini sebagai 'Schweinsteiger Muda'. Antara pemain muda yang sedang diburu oleh kelab besar di Eropah. 

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...