Heboh cakap-cakap di jalanan mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Zainal Abidin Hassan. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa sudah sampai masanya dia beroleh gelaran Datuk sekaligus menjadi detik yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah JDT di Bukit Jalil menjadikan semangat dalam dirinya berkobar-kobar.
Sebelum perlawanan lain pula ceritanya. Tiket semuanya habis dalam sekelip mata. Tidak kiralah yang membeli secara atas talian mahupun yang beratur. Kebanyakannya habis dilanyak oleh Pak Menteri yang sibuk menghadiahkan tiket untuk orang kampung yang memangkah mereka menang di DUN masing-masing. Maka tidak hairanlah banyak kelihatan muka-muka yang seperti pertama kali turun ke stadium.
Pada jam 6.00 petang, penyokong sudah mula membanjiri stadium. Segenap pelosok Stadium penuh dengan kenderaan. Jumlah penonton yang ramai pada malam ini dijangka akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga air, kuaci dan berger.
Sementara itu di dalam bilik persalinan Razman Roslan si ketua pasukan tidak henti-henti meniupkan semangat rakan-rakan.
"Aku Razman Roslan. Dan aku sedang melihat sebuah pasukan bola sepak negeri kesayangan aku menuju ke arah kejayaan. Malam ini tiada alasan untuk kalah!!! Kita telah mara sejauh ini dan tamatkan ia dengan penuh kebanggaan!!!!"
Pesanan Razman disambut dengan sorak sorai gemuruh dari seluruh pasukan. Ada antara mereka yang hampir menangis mengenangkan terpaksa berpuasa dek kerana bonus kejuaraan Piala FA yang masih belum kelihatan dalam Maybank2u dan CIMB Clicks. Terlalu banyak cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka berjuang habis-habisan merebut kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut.
Hujan yang turun membasahi rumput di Bukit Jalil pada hari perlawanan bagaikan satu rahmat buat anak buah Zainal Abidin Hassan. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan penuh bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan hitam kuning. Lagu negaraku berkumandang dan secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain Pahang. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Gopinathan dan Matias Conti yang memohon ketenangan dengan cara mereka yang tersendri.
Preeeeetttt!!!!
Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.
Sepuluh minit pertama Pahang lebih mengancam dengan larian-larian deras dari Azamuddin Akil dan Gopinathan dari sebelah kanan dan kiri padang. Peluang Pahang muncul pada minit ke-14 apabila Gopi dijatuhkan disebelah kiri kotak penalti pasukan JDT. Sepakan percuma diambil oleh Azidan Sarudin yang berambut kuning. Tangan diangkat memberi isyarat kepada rakan yang berada dalam kotak penalti. Satu sepakan lencong dilepaskan secara deras. Bola berpusing menuju tepat ke arah kepala satu susuk sasa yang dikenali ramai - Dickson Nwakaeme yang sebelum itu melompat tinggi menewaskan Asraruddin Putra.
Gooooooool!!!!!!
Seluruh penyokong JDT terdiam sebentar. Ada juga yang berpura-pura melihat talipon di tangan masing-masing. Kini yang kedengaran hanya keluhan tak sudah dari lidah pendukung setia JDT.
Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan JDT, Bojan Hodak bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Mahali Jasuli yang bermain di bahagian pertahanan kanan. Nampaknya Mahali diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian pertahanan Pahang dengan melakukan lebih kerap hantaran silang ke dalam kotak penalti.
JDT akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 selepas hantaran silang Mahali berjaya mengkucar-kacirkan keadaan dalam kotak penalti pasukan Pahang. Secara tiba-tiba juga bola terjatuh tepat dihadapan Diaz yang seperti biasa tidak mensia-siakan peluang yang terhidang sebegitu rupa.
Dua minit selepas itu malapetaka mula menimpa Pahang. Ketua pasukan mereka, Razman Roslan didapati menampan bola menggunakan tangan dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT. Figueroa tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memberi nafas lega kepada seluruh penyokong JDT. Khairul Azhan tertewas lagi buat kali yang kedua.
Tamat separuh masa pertama. JDT 2 - Pahang 1.
Ketika masa rehat, Zainal Abidin Hassan berpesan kepada pemainnya agar menyerang habis-habisan.
"Dalam kamus bola sepak aku, tiada istilah kalah. Seri apatah lagi. Hari ini hari kita. Masuk padang dan selesaikan JDT. Serang mereka dari segenap arah. Ingat tu!!!"
Sekali lagi bulatan dibuat. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Razman Roslan yang masih sedih dengan kesilapannya pada separuh masa pertama tadi melaungkan kata-kata semangat dengan tona suara sedikit syahdu sambil disambut oleh rakan sepasukan yang lain.
"HOGOH PAHANG HOGOH!!!!" Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.
Sejurus sebelum semua pemain keluar dari bilik persalinan, Zesh Rehman dipanggil oleh Zainal Abidin Hassan. "Zesh, aku nak kau bersiap sedia. Aku tak sedap hati ni", bisik Zainal ke telinga capang milik Zesh Rehman.
Separuh masa bermula. Namun nampaknya tuah masih menjauhi Pahang apabila Saifulnizam Miswan didapati menumbuk perut Amri Yahyah pada miniti ke-68. Kelihatan Amri Yahyah berguling-guling serupa kena 'chokeslam'. Tipudaya cilik yang kemas. Saifulnizam a.k.a Poyeng dilayangkan kad merah. Seluruh Pahang seakan-akan berduka.
Namun Pahang masih tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Rezeki Tuhan siapa yang tahu?
Khalid Jamlus yang dari tadi tidak henti-henti menyuruh pemain Pahang berjuang habis-habisan (padahal dia dulu pun sibuk 'berjuang' dalam disko) akhirnya tersenyum di bilik ulasan Astro Arena apabila Nwakaeme berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71. Ini adalah gol keduanya malam ini. Mengucap panjang semua penonton JDT di stadium hatta di rumah sekalipun. Manakala keraian gol dari pasukan Pahang dilakukan dengan penuh inzal. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh sirap. Manakala seluruh kedai di sekitar Pekan dan Temerloh kembali ceria dengan sorakan gembira. Inilah yang dinamakan bola sepak sebenar. Kini rakyat Pahang semakin yakin peluang buat mereka menjulang Piala Malaysia sekali lagi masih ada.
Preeeeetttt!!!!
Keadaan kekal 2-2 sehingga tamat masa penuh.
Zainal Abidin Hassan melakukan perubahan taktikal pada permulaan masa tambahan dengan mengeluarkan Conti bagi memberi peluang kepada Zesh Rehman mempamerkan bisa. Razman ditarik bermain di posisi pertahanan kanan manakala Damion Stewart dan Zesh Rehman membentuk gandingan padu di bahagian pertahanan tengah. Kebijaksanaan ini berhasil apabila Pahang berjaya mengheret JDT ke penentuan sepakan penalti dengan hanya bermain dengan 10 orang sahaja.
Penentuan penalti dimulakan dengan Pahang terlebih dahulu mengambil sepakan penalti. Gol demi gol dijaringkan oleh pemain yang dipertanggungjawabkan. Kini kedudukan menjadi 4-3. Penendang ke-4 bagi pasukan JDT iaitu Mat Yo mesti menjaringkannya jika tidak mahu melihat JDT menangis di hujung perlawanan.
Penyerang kebangsaan, Mat Yo 'The Linesman' meletakkan bola di titik penalti. Para pemain yang lain masih menunggu dengan penuh debaran di tengah padang. Penjaga gol Pahang sudah bersedia. Jika dia berjaya menepis sepakan ini dan kemudian Pahang berjaya menjaringkan gol terakhir, maka dia akan dianggap wira. Penyokong Pahang ketika ini bersorak untuk memberi sokongan. Mat Yo berlari-lari anak dan dengan kencang merembat ke sebelah kanan gol. Khairul Azhan bagaikan seorang Spiderman Pencen melayangkan badan ke arah yang betul dan berjaya menepis bola tersebut keluar.
Pemain JDT tergamam. Penyokong dan pemain Pahang melompat kegembiraan. Kini kedudukan masih lagi 4-3 dan Pahang mempunyai kelebihan. Jika penalti terakhir ini berjaya dijaringkan, maka Pahang akan menjadi Juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.
Tugas penalti terkahir diserahkan kepada Hafiz Kamal. Setelah mengucup bola dan meletakkannya di atas titik penalti, cuma satu sahaja benda yang ada dalam fikiran beliau. Sepak sekuat hati ke arah kiri gol! Al Hafiz cuba memberi sedikit tekanan dengan melakukan aksi melompat-lompat di atas garisan gol dan menendang tiang. Mulutnya terkumat-kamit menbaca doa. Dari kejauhan terlihat Zanal Abidin Hassan menutup muka tidak mahu melihat sepakan ini. Hafiz Kamal tenang dan membuat satu sepakan padu ke kiri gol. Al Hafiz melayangkan badan ke arah yang bertentangan. Bola menerjah jaring. Goooooooooooool!!!!!!
Para penyokong yang tadi belum habis meraikan kejayaan Khairul Azhan, kini terus menyambung sorak kemenangan Pahang. Pemain JDT tertunduk kecewa. Semua pemain serta pegawai Pahang meluru ke arah Hafiz Kamal bagi meraikan sepakan penalti beliau. Dua hero pada malam ini disanjung, Dickson Nwakaeme dengan 2 gol darinya dan Hafiz Kamal dengan penalti kemenangan.
Pahang kini sah bergelar juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Tamat perlawanan dengan Pahang menang penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam masa penuh permainan. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Sudah tentu malam ini akan menjadi satu malam yang panjang buat warga Pahang untuk meraikan kegembiraan mereka.
Akhirnya Pahang berjaya juga melenyapkan angkuh pasukan JDT dan dalam masa yang sama masih ramai yang berkerut seribu apabila nama Safiq Rahim diumum sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Heh?
Tamat.
Man of the match tu baik bagi ke Gopi sebab aku tengok (aku duduk kat penyokong pahang) dia sorang je pemain yang betul2 wujud sampai wisel penamat minit ke-120.
ReplyDelete