Saturday, December 13, 2014

Bertenanglah Andy Perjalanan Masih Jauh.


Bertenanglah Andy Perjalanan Masih Jauh.

Sam Allardyce ataupun Big Sam bukanlah figura asing dalam kancah Liga Inggeris. Pada sebahagian besar musim lalu, masa depan beliau sentiasa terumbang ambing dan tidak menentu. Ada laporan mengatakan David Moyes, Tony Pulis dan pengurus Sunderland, Gus Poyet menjadi pilihan lembaga pengarah di Upton Park untuk menggantikan Big Sam.

Namun setakat 15 perlawanan ini, nasib Big Sam sangat berbeza berbanding apa yang telah beliau lalui musim lepas. Kini West Ham berada pada tempat ke-4 ekoran kejayaan memungut 3 mata dalam 3 perlawanan berturut-turut bermula dengan menewaskan Newcastle, West Brom dan seterusnya Swansea pada minggu lepas. Pada pertemuan dengan Swansea, aksi Andy Caroll yang menyumbat 2 gol melalui tandukan banyak diperkatakan di serata dunia. Di twitter sahaja ia sudah menjadi trending seluruh cakerawala. Adakah penyerang kebangsaan England ini sudah dilahirkan semula? Entahlah..

Andy Caroll adalah pemain kebanggaan West Ham. Dia hampir tidak boleh ditewaskan di udara. Geordie yang tinggi lampai ini dikenali ramai kerana mampu mempermain-mainkan pertahanan lawan. Dengan Shukor Adan mungkin tidak sama sekali. Musim lepas dia tidak banyak menyepak bola di atas padang ekoran masalah kecederaan yang beliau alami. Namun musim ini  Andy Caroll sudah mula bersuara lantang dengan melaungkan keyakinan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Walhal baru skor 2 gol dan bermain dalam 5 perlawanan sahaja. Ini membuatkan Chelsea dan Manchester bersaudara perlu lebih berhati-hati dan sentiasa memerhatikan perkembangan pasukan West Ham. Sekali-sekala nengok-nengoklah tim bawahan ni. Mereka penuh dengan kejutan.

Pasukan West Ham sebenarnya beruntung pada musim ini kerana mereka memiliki barisan pemain yang berada pada prestasi terbaik masing-masing. Kecemerlangan Winston Reid di bahagian pertahanan misalnya berjaya menarik perhatian Liverpool dan Arsenal yang haus dalam posisi ini. Carl Jenkinson pula beraksi dengan sangat baik berbanding 37 penampilannya bersama Arsenal sejak tahun 2011 yang mana sentiasa menjadi macai kepada Bacary Sagna. Di bahagian tengah mereka mempunyai Alex Song yang masih berkualiti dan merupakan satu penambahan yang baik dalam skuad West Ham musim ini. Sementara itu, Stewart Downing pula telahpun melakukan 6 bantuan gol dalam 14 penampilannya setakat ini melangkaui apa yang telah dia lalui sepanjang 65 perlawanan ketika bersama pasukan Liverpool (hanya 5 bantuan gol).

Di bahagian serangan West Ham mempunyai bintang Piala Dunia dari Ecuador, Enner Valencia dan juga Diafra Sakho. Diafra Sakho sendiri setakat ini telahpun menjaringkan 7 gol dalam 8 penampilannya di Liga Perdana Inggeris. Hasilnya,  West Ham berjaya mengumpul 27 mata selepas 15 perlawanan sekaligus ia merupakan pencapaian terbaik mereka dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Hari ini West Ham akan bertandang ke Stadium of Light untuk beradu tenaga dengan Sunderland. Dan sebagai rekod, The Hammers telah gagal menjaringkan gol dalam 4 pertemuan menentang Sunderland dalam Liga Perdana Inggeris. Tetapi aku secara peribadi merasakan 3 mata akan menjadi milik West Ham dan seterusnya mereka akan berada di tangga ketiga. Selepas itu Manchester United pula tewas dengan pasukan yang sedang bermurung duka iaitu Liverpool. Juga dalam masa yang sama Burnley berjaya menyekat Southampton daripada memungut 3 mata

Dengan persaingan musim ini masih lagi terbuka luas. Mana-mana pasukan mampu melakar kejutan. Tidak kiralah sama ada pasukan itu tidur nyenyak pada pertengahan minggu ataupun bermain di pertengahan minggu hanya untuk melengkapkan jadual.

1 comment:

  1. dia ni gol sebijik riuh sekampung. mcm skor 2 gol lawan man city 2010/11 dulu lah pastu memanjang injured. cilake betul

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...