Wednesday, April 20, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan D


Piala Eropah 2016: Kumpulan D.

Sepanyol.

Masih segar dalam benak kepala aku melihat pasukan handal Sepanyol dibelasah Belanda 5-1 dalam Piala Dunia 2014. Tetapi di mana pasukan Belanda dalam kempen Piala Eropah 2016 ini? Marilah kita amek sedikit masa untuk berdekah mengenangkan nasib pasukan The Oranje ini. Kahkahkah...Ok done.

Walaupun Sepanyol kehilangan aura juaranya. Namun mereka masih lagi pasukan pilihan utama di Piala Eropah ini dengan rekod sembilan kemenangan dalam sepuluh perlawanan kelayakan membuktikan segalanya.

Sepanyol boleh menjadi pasukan pertama melakukan hatrik untuk kejuaraan Piala Eropah. Dengan limpahan bakat pemain yang mereka miliki, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang mustahil. Walaubagaimanapun pasukan Sepanyol ini masih memiliki masalah dalam pemilihan pemain untuk posisi penyerang. Siapakah yang akan dibawa oleh Vicente del Bosque? Costa? Morata? Alcacer? Aduriz? Ataupun Torres? Hah?


Croatia

Croatia melalui satu kempem kelayakan yang sukses. Mereka seri kedua-dua perlawanan menentang Itali. Dengan hanya satu kekalahan, Croatia menyudahkan aksi mereka di tempat kedua belakang Itali dan kemudiannya layak secara automatik.

Secara dasarnya di atas kertas pasukan Croatia mempunyai senarai skuad yang mantap. Darijo Srna seorang ketua pasukan yang berinspirasi. Luka Modric dan Ivan Rakitic adalah perancang untuk pasukan Real Madrid dan Barcelona. Kedua mereka akan dibantu oleh Marcelo Brozović dan Ivan Perišić. Sekali imbas bahagian tengah pasukan Croatia ini kelihatan amat padu sekali.

Manakala serangan pula mereka mengharapkan gandingan Nikola Kalinic dan Mario Mandzukic menggegar setiap inci gawang pasukan lawan. Ketajaman Mario Mandzukic di dalam kotak penalti tidak perlu diceritakan lagi. Nikola Kalinic pula setakat ini sudah menjaringkan 11 gol dalam 31 perlawanan Serie A untuk pasukan Fiorentina. Sudah tentu Croatia akan menjadi pasukan yang merbahaya sekiranya tidak diberi perhatian secara serius oleh lawan mereka.


Turkey

Turki kembali ke Piala Eropah sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 2008. Edisi yang memperlihatkan mereka layak sehingga ke peringkat separuh akhir dalam cara yang amat bergaya sekali. Nama-nama seperti Nihat Kahveci, Hamit Altıntop, Mehmet Aurélio, Tuncay Şanlı, Hakan Balta, Semih Şentürk dan bintang yang sedang meningkat naik ketika itu - Arda Turan pantas meniti dibibir munggil setiap peminat bola sepak dunia.

Kini Fatih Terim hadir semula melatih Turki sama seperti pada edisi 2008 yang lalu. Walaupun mereka menyudahkan kempen kelayakan di tempat yang ketiga, namun mereka tidak perlu beraksi di perlawanan playoff (menjadi pasukan terbaik di tempat ketiga).

Berdasarkan info, Liga Super Turki kali ini telah mengenakan had bagi pengambilan pemain import dan ini semestinya memberikan pool pemain tempatan yang lebih besar kepada Fatih Terim. Ia juga dilihat sebagai satu kelebihan buat pasukan Turki.

Mari kita tumpukan perhatian kepada pemain Barcelona, Arda Turan dan Bayer Leverkusen, Hakan Calhanoglu. Mungkin inilah pemain yang akan membawa Turki dengan lebih gemilang pada Piala Eropah 2016 nanti.


Republic Czech

Kejayaan layak ke perlawanan akhir Piala Eropah 1996 dan juga separuh akhir edisi 2004 seakan-akan mustahil untuk diulangi oleh generasi terkini Czech walaupun mereka layak tahun ini selaku juara kumpulan mengatasi pasukan Iceland, Turki dan semestinya Belanda.

Selain daripada Petr Cech, tiada nama-nama besar lain yang menghiasi Liga Perdana Inggeris, La Liga mahupun Serie A. Manakala Tomas Rosicky pula masih bergelut dengan kecergasan selepas kerapkali mengalami kecederaan meskipun hanya ketika berjalan-jalan di sekitar pasaraya.

Walaupun mereka kekurangan kualiti di bahagian serangan, namun kehadiran pemain tengah Borek Dockal mungkin mampu memberi sedikit dimensi kepada pasukan Republic Czech ini.


Perlawanan Tumpuan: Turki melawan Croatia

Pertembungan suku akhir antara Turki dan Croatia merupakan antara yang paling epik dalam sejarah Piala Eropah 2008. Seri 0-0 dalam masa perlawanan normal. Mati-mati Croatia merasakan mereka akan memenangi perlawanan ini apabila Ivan Klasnic menjaringkan gol pada minit ke-119.

Namun secara tiba-tiba Semih Senturk menyumbat gol penyamaan dalam masa kecederaan di masa tambahan tersebut. Perlawanan diheret ke acara sepakan penalti. Dan apa yang lebih pilu buat Croatia ialah mereka tewas dalam penentuan penalti sementara seluruh Turki bergegar meraikan kejayaan layak ke separuh akhir.

Marilah kita semua berdoa agar pelawanan peringkat kumpulan di Parc des Princes pada 12 Jun nanti akan mengiburkan kita semua seperti 8 tahun yang lalu.


Pertembungan Force:  Casillas melawan De Gea.

Ini adalah peperangan dalaman bagi skuad Sepanyol. Iker Casillas adalah ketua pasukan Sepanyol. Dia telah memenangi segalanya baik di peringkat kelab mahupun negara. Namun San Iker bukanlah satu figura yang diyakini untuk mengawal selia gawang La Roja buat masa ini.

Bagi De Gea pula mungkin inilah masa paling sesuai buat dirinya mempamerkan prestasi sebenar sebagai peganti tulen kepada Casillas. Di Eropah, beliau antara penjaga gol terbaik dunia yang berada di belakang Manuel Neuer. Beliau mempamerkan aksi cemerlang ketika perlawanan kelayakan menentang Ukraine dan ini mungkin mempengaruhi Del Bosque dalam pemilihan penjaga gol utama pasukan Sepanyol.


Keistimewaan Kumpulan D: Pengaruh Orang Dalam 

Arda Turan, Ivan Rakitic, Luka Modric dan Mateo Kovacic bermain untuk pasukan utama dalam La Liga iaitu Real Madrid dan Bercelona. Setiap minggu mereka bertarung dan bertemu dengan pemain Sepanyol yang beraksi untuk negara tersebut.

Sedikit sebanyak mereka ini sudah biasa dengan stail dan gaya permainan pasukan Sepanyol. Dan ini mungkin juga akan menghasilkan satu dua kejutan kepada juara bertahan tersebut. Ditambah pula dengan kehadiran serta kekuatan sokongan kepada pasukan Turki dan Croatia yang akan memberikan sorak sorai bertenaga yang menghidupkan lagi gentar suasana perlawanan.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...