Dan sekali lagi seluruh rakyat
Malaysia dikecewakan. Episod duka kembali berulang, yang berbeza hanyalah
pelakonnya sahaja yang beraksi di atas layar hijau padang bola sepak. Buat
peminat bola sepak era Manja Man mahupun Muhammad Radhi Mat Din, kegagalan ini mungkin mudah
untuk ditelan. Tetapi bagaimana pula dengan kanak-kanak Ultra yang hanya mula
menonton bola sepak Malaysia sejak 2007? Sudah pasti mereka kecewa umpama Allif
Aziz yang ditolak cintanya oleh Anne Ngasri.
Peminat-peminat bola Malaysia era Justin Bibir terkenal dengan perangai cepat teruja. Dulu-dulu bila menang Piala Suzuki atau emas Sukan SEA mereka akan bilang ‘this is our year’. Akhirnya ‘year’ yang dinanti-nantikan bertahan 3 tahun sahaja. Kemudian apabila muncul Safee Sali mereka bercakap pula tentang ‘a striker reborn’ atau ‘a team reborn’ secara khasnya.
Bagaimana kita hendak menguasai pentas ASIA sedangkan kita masih lagi terkial-kial bagaikan kanak-kanak kecil bertatih di ASIA TENGGARA? Selepas kita berjaya menguasai rantau ini selama 3 tahun, kini kita kembali ke fitrah sebenar. Kembali menjadi pasukan bola sepak yang tidak bedaya saing walaupun dikelilingi fasiliti serta kelengkapan bertaraf dunia.
Bola sepak Malaysia TENAT.
Bola sepak Malaysia memang dah
lama sakit, bermula dari tingkat atas Wisma FAM merebak sampai ke akar umbi. Baik
Soltan Bola mahupun Tengku Bola, mereka semua wajar dipersalahkan. Kemenangan
bertemu Indonesia hanyalah satu janji palsu semata. Sedang pemain Harimau Malaya sibuk bertarung di atas padang memikul
maruah seluruh umat Malaya, Soltan Bola pula asyik masyuk melihat pertunjukan Dior’s Summer Collection.
Paling selalu kita dengar ialah
jurulatih pasukan kebangsaan dipecat ataupun meletak jawatan. Ada juga pemain
yang pantas mengaku kesilapan mereka adalah punca kepada kekalahan sesuatu
perlawanan. Namun adakah kita pernah mendengar Soltan Bola mengaku kesalahan
beliau selama 40 tahun gagal membawa Malaysia ke Piala Dunia? Siapa pernah
dengar atau membacanya di mana-mana, sila beri tahu saya. Saya berani kerat errrrrr....tak perlu berjanji seperti remaja baru hendak akli baligh!
Tiada bakat bertaraf dunia.
Kegagalan FAM melahirkan ramai
pemain berbakat adalah antara contoh institusi ini berada dalam keadaan nazak. Mengharapkan
hanya pada Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) sahaja adalah sesuatu yang tidak sihat.
Lihatlah hasilnya apabila lebih separuh graduan SSBJ berada dalam pasukan
Harimau Malaya ketika ini. Mereka seolah-olah terlalu selesa dan menjadi
pilihan automatik jurulatih walaupun prestasi di Liga amat mendukacitakan. Orang putih kata 'a ticket to heaven'.
Ya pemain macam Safee Sali sememangnya hebat
tetapi hanya di Asia Tenggara, bukan hebat di Asia. Itupun dahulu semasa tahun
2010 sebelum Safee Yang Menunggang!!! Namun eranya sudah berlalu seperti air
terjun Gunung Ledang yang jatuh menjunam. Yang ada bermain di Eropah pun tidak
dipanggil pulang untuk berbakti pada nusa dan bangsa. Apa ke halnya dengan semua
ini??
Nazmi, Tony dan Vincent bukan kunci kejayaan.
Bola sepak sebuah negara bukan
dimajukan dengan menghantar satu atau dua pemain bermain di liga bola sepak
negara lain yang lebih maju. Ia juga tidak dimajukan dengan mempunyai rakyat
tempatan yang kaya-raya dan membeli kelab bolasepak luar. Jauh sekali ia dapat
dimajukan dengan mempunyai syarikat seperti TM, Mister Potato, Genting atau
Tune jadi penaja liga bolasepak negara lain.
Rakyat Malaysia juga mudah
terpedaya dengan situasi seperti ini. Maka berebut-rebutlah mereka meminta
Orang Kaya Raya itu meyerap masuk pemain si polan dan si polan ke dalam pasukan tersebut. Apa yang kita
mahu adalah tokoh tempatan seperti Allahyarham Ahmad Basri Akil. Revolusi bola
sepak Kedah yang beliau bawa amat dahsyat.
Ketika itu, Ahmad Basri Akil
selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan.
Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat
perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama ditaja oleh
syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan
Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf
dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu.
Rombakan struktur Liga Malaysia secara 'TOTAL'
Persatuan Bola sepak negeri yang
ada sekarang ini sama sahaja naik bangangnya dengan FAM. Sebab itulah diulangi
banyak kali supaya hapuskan sahaja pasukan bola sepak negeri dan gantikan
dengan kelab-kelab. Perbanyakan pasukan yang beraksi dalam Liga Malaysia. Jadi,
pemain-pemain kita akan beroleh jumlah perlawanan setaraf dengan liga berprestij di dunia.
Seorang pemain bola sepak bergelar
pro kerana itulah profesion mereka dan kerana mereka berstatus profesional.
Pekerjaan seorang pemain bola ialah bermain bola. Jika seorang pekerja ladang
kelapa sawit dikehendaki turun menombak sawit di ladang sekerap mungkin dalam
setahun maka seorang pemain bola yang berstatus pro juga dikehendaki turun ke
padang sekerap mungkin dalam semusim. Dan dalam bola sepak era moden kekerapan
ini adalah pada purata 35 kali dalam satu musim.
Contohilah Negara Hebat dalam bolasepak.
Kita kena ikut resam bolasepak
negara seperti Jepun dan Korea, atau Australia dan Amerika Syarikat. Mereka ini
semua 20 tahun dulu mempunyai liga bolasepak yang hidup segan mati tak mahu.
Tetapi atas kesedaran sendiri mereka rombak liga mereka, tubuhkan kelab
bolasepak yang benar-benar kelab bolasepak sejati dan mulakan program
pembangunan akar umbi secara menyeluruh. Hasilnya hari ini, biarpun bukan
bertaraf kuasa bolasepak dunia, tetapi 4 negara ini adalah peserta tetap Piala
Dunia.
Pujian perlu diberikan kepada Kelantan FA ketika ini yang mana organisasi mereka ditadbir secara teratur dan efisyen. Maka tidak hairanlah KAFA seringkali menjadi mangsa FAM yang sememangnya jelas mengkambing hitamkan persatuan ini sesuka hati mereka. Apa yang telah menimpa Anuar Musa adalah sama seperti yang pernah dialami oleh Ahmad Basri Akil.
Presiden FAM sila letak jawatan
Menunggu Presiden FAM meletakkan jawatan dalam tempoh terdekat ini adalah sama seperti menunggu kucing bertanduk. FAM sebagai sebuah badan organisasi bola sepak yang terkenal dengan budaya
mengampu dan membodek lebih berjaya melahirkan ramai pak turut berbanding mereka yang benar-benar bernafsu memajukan bola sepak Malaysia.
Percayalah selagi Presiden FAM tidak meletak jawatan, selama itulah juga bola sepak kita tidak akan ke mana-mana.