Saturday, July 12, 2014

Prebiu Perlawanan Akhir Piala Dunia 2014: Jerman vs Argentina


Prebiu Perlawanan Akhir Piala Dunia 2014: Jerman vs Argentina

Monday, July 14, 2014  | 3.00 AM

Perlawanan akhir Piala Dunia 2014 menemukan dua gergasi bola sepak dunia iaitu Jerman dan Argentina. Ini merupakan pertemuan ketiga mereka dalam pentas akhir Piala Dunia. Pada Piala Dunia 1986, Argentina menewaskan Jerman 3-2. Empat tahun kemudian di Italia 1990, Die Mannschaft menebus kembali kekecewaan mereka dengan menundukkan Argentina 1-0 hasil jaringan penalti Andreas Brehme selepas Rudi Voller jatuh dalam kotak penalti dengan cara yang amat mencurigakan. Selepas 24 tahun kedua pasukan ini ditakdirkan untuk bersemuka kembali dalam perlawanan akhir yang semestinya menjanjikan penuh debaran dan aksi.

Argentina menyahut seruan Jerman selepas menewaskan Belanda 4-2 dalam penentuan sepakan penalti. Ketika penentuan penalti Sergio Romero telah menjadi wira Albiceleste apabila menyelamatkan 2 sepakan pasukan Belanda. Sebelum kejohanan beliau adalah 'the weakest link' dalam skuad Argentina. Namun status beliau daripada seorang pemain 'todi' berubah menjadi hero hanya dalam satu malam sahaja merupakan sesuatu kejutan. Tevez yang baru nak mula tergelak dekat rumah pun tiba-tiba diam seribu bahasa apabila Argentina memenangi pertarungan sepakan penalti.

Lionel Messi. Ermmmmsss..Bagi aku minum sirap limau kejap. Okeh. Walaupun jelas Messi kerapkali hilang di atas padang. Tetapi nampaknya Argentina masih percaya individu ini adalah Messi-ah mereka dengan pemain ini seolah-olah secara individu memacu Argentina ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014.

Messi ketika ini masih lagi mencari golnya yang kelima dalam kejohanan ini selepas kali terakhir menjaringkan gol ketika pertemuan dengan Nigeria di peringkat kumpulan. Saingan Messi nanti tidak lain dan tidak bukan ialah Thomas Muller yang juga dalam misi memintas ataupun menyamai jaringan enam gol milik James Rodriguez. Nah!! Pentas akhir sudah terbentang luas untuk Messi dan Muller bagi membuktikan mereka adalah pemain terbaik dalam kejohanan kali ini. Ulasan selanjutnya tentang kedua pemain ini akan berada di bawah.




Pasukan Jerman menempah tiket ke perlawanan akhir dengan penuh gaya. Menewaskan Brazil dengan skor 7-1. Ramai yang terkedu. Tak kurang juga berbuih mulut terkena sawan dek kerana tidak dapat menerima kenyataan bahawa pasukan Brazil begitu mudah diratah. Tetapi sesiapa yang mengenali Jogi Low, pastinya langsung tidak hairan dengan keputusan seperti ini. Tambahan pula apabila menentang pasukan seperti Brazil.

Joachim Low ada sejarah manis apabila bertemu dengan Argentina sejak 2006 lagi. Ketika menjadi pembantu Klinsmann, beliau menyaksikan pasukan Jerman menewaskan Argentina 4-2 dalam penentuan penalti di Suku Akhir Piala Dunia 2006. Manakala empat tahun yang lalu Low membimbing Jerman memalukan Argentina 4-0 juga pada pusingan suku akhir.

Adakah Jogi Low mampu mengukir satu lagi kenangan manis menentang Argentina di Maracana? Sekaligus menjadi negara pertama dari benua Eropah yang menjulang piala teragung ini di bumi Amerika Latin ketika seluruh umat Brazil pastinya berdiri teguh di belakang Argentina yang dalam misi menyelamatkan maruah CONMEBOL.

Jerman mampu menjadi negara pertama dari benua Eropah yang menjulang Piala Dunia di bumi Amerika Latin kerana mereka adalah sebuah pasukan yang berada pada kelasnya yang tersendiri. Mereka menjadi pasukan pertama yang menjaringkan tujuh gol dalam laga separuh akhir dalam sejarah Piala Dunia. Dan ketika ini mereka merupakan pilihan utama untuk muncul juara buat kali pertamanya sejak tahun 1990. Rekod lain turut dicipta oleh Miroslav Klose apabila individu ini menjadi pejaring terbanyak dalam sejarah Piala Dunia dengan 16 gol. Pada usia 36 tahun, ini mungkin Piala Dunia yang terakhir buat dirinya. Nampaknya Klose bersedia untuk mengakhiri kariernya dalam cara yang penuh bergaya.

Tiada sesiapa yang boleh menidakkan kehebatan Jerman dalam melakukan hantaran serta merencana gerakan cantik sesama mereka. Ketika menewaskan Brazil, kadangkala kelihatan pemain Jerman bergaduh sesama sendiri untuk menjaringkan gol. Berebut-rebut bak kata orang. Tetapi bergaduh dalam cara yang positif. Cara yang membolehkan Thomas Müller melengkapkan 10 jaringannya hasil daripada dua kejohanan Piala Dunia yang telah dia sertai setakat ini. Ya, Thomas Müller inilah yang mana bakatnya mula-mula dicungkil oleh Lim Teong Kim, bekas jurulatih remaja Bayern Munich's seorang manusia berbangsa Malaysia. Sekiranya Jerman menjulang Piala Dunia dan Muller muncul penjaring terbanyak kejohanan, sudah mesti Lim Teong Kim akan menjadi individu yang paling gembira.

Sebut pasal Lim Teong Kim ni, terus aku teringat pada Raisyyah Rania. Baik aku pergi bukak puasa dahulu.




Done With Iftooooor!!!! Mari kita sambung lagi prebiu berdasarkan posisi pula. Jom!

Penjaga Gol.


Reputasi Manuel Neuer sebagai salah seorang penjaga gol tebaik dunia telah mencanak naik di bumi Brazil dan ianya semakin terserlah ketika pusingan kalah mati. Selain daripada berkemampuan melakukan aksi menyelamat bertaraf dunia, penjaga gol Bayern Munich ini juga mampu beraksi sebagai 'sweeper-keeper'. Ia terbukti ketika menentang Algeria apabila dia kerap kali naik ke atas membantu barisan pertahanannya. Kadangkala kita boleh lihat Jogi Low menggeleng-geleng kecil memikirkan aksi berani mati dari penjaga golnya ini. Neuer juga menafikan cubaan gol dari Karim Benzema pada laga suku akhir. Dan apabila menentang Brazil...

"Kami nampak Neuer ada 3!!!" - begitulah kata Fred selain daripada "Aku main mane ni? Aku main mane ni?"...secara berkali-kali.

 

Macam yang aku cakap sebelum ini, Sergio Romero adalah 'the weakest link' buat Argentina. Dia hanyalah penjaga gol 'backup' buat pasukan AS Monaco sepanjang musim lepas. Mungkin kali ini rezeki berpihak kepada beliau. Tiga perlawanan tanpa bolos dalam pusingan kalah mati berjaya beliau lakukan. Tetapi cabaran sebenar  Romero adalah apabila berdepan dengan barisan serangan Jerman yang klinikal

Pada posisi ini kelebihan berpihak kepada pasukan Jerman.

Pertahanan

Pertahanan pasukan Jerman lebih tersusun selepas Joachim Low meletakkan kembali Philip Lahm bermain di posisi pertahanan kanan pada aksi menentang Perancis. Matt Hummels pula membuktikan dia bukan hanya memiliki wajah yang kacak, tetapi beliau juga adalah 'steady anchor' di posisi pertahanan tengah pasukan Jerman. Mampukah mereka kali ini menyerap asakan daripada Messi dan rakan-rakan?

Sebelum bermulanya kejohanan Piala Dunia 2014, posisi pertahanan pasukan Argentina merupakan antara masalah utama mereka. Mungkin kerana tidak setara dengan kekuatan di bahagian serangan. Tetapi mereka sekarang tidak melepaskan gol selama 330 minit dalam pusingan kalah mati - termasuk masa tambahan. 'The back four' yang terdiri daripada duo Manchester City, Pablo Zabaleta dan Martin Demichelis telah berjaya membuatkan penyerang Belanda, Arjen Robben dan Robin van Persie terpinga-pinga pada pertemuan yang lepas. Kadangkala Arjen Robben seperti sedang mencari jarum emas di atas padang, kejap-kejap jatuh, kejap-kejap jatuh.

Juga pada posisi pertahanan ini masih berpihak kepada pasukan Jerman.

Tengah
Haaa..ini adalah kekuatan pasukan Jerman. Bagaimana lancarnya enjin kereta buatan Jerman, begitulah juga licinnya bahagian tengah mereka beroperasi. Bastian Schweinsteiger dan Sami Khedira ditugaskan untuk bertahan secara kemas. Sementara itu, Toni Kroos dan Mesut Ozil pula diberi kebebasan untuk menyerang namun masih ada hadnya iaitu menyerang menggunakan akal. Jika mereka mampu bermain secara efisyen dan klinikal dihadapan gol, pastinya amat sukar buat Argentina menangani mereka.

Bagi Argentina pula mereka masih berharap yang Angel Di Maria akan pulih sebelum sepak mula perlawanan ini. Aksinya memecah benteng pertahanan dari sebelah sayap amat dirindui ketika ini. Ketika menentang Belanda, Albiceleste kelihatan bergelut dalam melakukan serangan. Manakala pemain tengah bertahan Javier Mascherano diyakini akan menjadi kunci untuk mengekang pasukan Jerman dari menyerang secara berleluasa.

Walaupun pahit, aku masih merasakan posisi tengah akan turut menjadi milik Jerman.

Serangan

Jerman memiliki Miroslav Klose, penjaring terbanyak Piala Dunia setakat ini dengan 16 gol. Dan juga Thomas Muller yang sudahpun merekodkan 10 jaringan dalam 2 penampilan di Piala Dunia.

Tetapi Argentina mempunyai Messi. Empat golnya semasa peringkat kumpulan mengingatkan kita kenapa beliau adalah individu yang menjadi pemain terbaik dunia sebanyak empat kali. Walaupaun memiliki Sergio Aguero dan Gonzalo Higuain, Messi masih merupakan kunci utama kejayaan pasukan Argentina. Jika Argentina mahu menewaskan Jerman, Messi harus mencipta gol. Tidak kiralah sama ada untuk dirinya mahupun rakan sepasukan yang lain.

Buat pertama kalinya hati aku memlih Argentina untuk memenangi pertarungan di posisi ini.

Pemain Tumpuan Jerman : Thomas Müller


Penjaring kedua terbanyak ketika ini di belakang James Rodriguez (6 gol). Sebuah akhbar Inggeris ada menulis "Muller covered the most ground in the World Cup (68.8 kilometers)". Ini kerana dia mampu untuk bermain dipelbagai posisi bergantung kepada keperluan pasukannya. Dan Muller sendiri menggelarkan dirinya sebagai 'tukang interpretasi ruang' dan bukannya penyerang tradisional yang hanya menunggu bola di kaki dan menyepak tonjol dengan rambut pekannya. Adakah anugerah kasut emas tahun ini akan menjadi milik Muller?

Pemain Tumpuan Argentina : Lionel Messi


Apa lagi yang aku perlu katakan tentang pemain ini? Messi seolah-olah mempunyai gam pada sepasang kakinya. Dia secara bersahaja boleh memilih sama ada untuk menghantar bola kepada rakannya ataupun menjaringkan gol secara individu. Tekanan sebagai pemain berjersi nombor 10 sudah dapat Messi tangani dengan baik sekali. Kini dia dalam proses mengulangi legasi yang telah Maradona tinggalkan. Dan setakat ini Messi kelihantan berjaya melakukannya dengan cemerlang. Lapan gol telah dijaringkan oleh Argentina, dan empat daripadanya adalah milik Messi membuktikan betapa pentingnya pemain ini kepada  Albiceleste.

Ramalan: Jerman 3-1 Argentina

Secara kasarnya aku merasakan Jerman akan menang. Mereka hadir ke Piala Dunia ini dengan status sebagai pasukan kedua terbaik dalam ranking FIFA. Susah untuk kita menidakkan fakta bahawa pasukan Jerman adalah yang terbaik ketika ini. Mereka menjaringkan gol dari segenap posisi yang mana menjadi kelebihan utama buat Jerman.

Kemudian kita ambil kira pula pasukan Argentina yang terpaksa bermain lebih 30 minit ketika menewaskan Belanda. Manakala Jerman pula bermain sehari sebelum itu dan tidak terlampau keji sekiranya kita katakan Jerman bermain bola sepak sebenar hanya dalam tempoh 45 minit pertama ketika menewaskan Brazil.

Sebenarnya tidak patut untuk kita menafikan peluang Argentina dalam perlawanan ini. Walaupun Jerman tidak tewas sepanjang kempen Piala Dunia kali ini (Argentina juga tidak tewas), mereka pernah seri 2-2 dengan Ghana serta menang dengan skor 1-0 dalam dua perlawanan bertemu Amerika Syarikat dan Perancis. Sekiranya Argentina ingin mengejutkan Jerman, ia adalah lebih daripada sekadar bergantung harap kepada Messi.

Sekian..Selamat Menonton!!! Seperti biasa 'Majulah Bola Sepak Untuk Semua Kecuali Malaysia'.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...