Tuesday, July 1, 2014

Prebiu Piala Dunia 2014: Brazil vs Colombia


Prebiu Piala Dunia 2014: Brazil vs Colombia 

Saturday, July 5, 2014 4:00 AM 

Cerita kehebatan Colombia pada Piala Dunia 204 kali ini telah tersebar di seluruh dunia. Kini mereka berjaya ke suku akhir buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak Colombia. Kegembiraan ini turut dikongsi oleh Lagenda Colombia, Carlos Valderrama. Komen beliau ketika ditemubual oleh seorang wartawan majalah sukan di gerai berger milik isterinya. 

"Abang ingat lagi masa tahun 1994 dulu ramai yang menjangkakan Colombia akan menang Piala Dunia. Tapi masa tu abang dengan Higuita telah memadam impian seluruh rakyat Colombia. Kami sangat menyesal ketika itu. Abang yakin Piala Dunia 2014 ini, Colombia boleh pergi lebih jauh ke hadapan. Tambahan pula abang perati James Rodríguez ni main sebijik macam abang muda-muda dulu." 

Valderrama juga menambah sebelum menutup gerai berger isterinya hari ini lebih awal dari biasa dek kerana mahu pulang menengok siaran langsung Piala Dunia. 

"Apa yang abang perasan ada kemerosotan ketara dalam corak permainan Brazil ni. Dan sekiranya Colombia berjaya julang Piala Dunia 2014 ini kami akan dedikasikan kejayaan ini khas buat Andreas Escobar." Kata Valderrama lagi sambil mengesat air mata di pipinya akibat tidak dapat menahan sebak. 

Kita sudah lihat bagaimana menggelabahnya Brazil hendak menewaskan Chile. Jika bukan kerana tuah Julio Cesar pada hari tersebut, seluruh Brazil sudah pasti akan kecewa. Neymar, Fred dan Oscar kelihatan hilang punca apabila melihat barisan pemain Chile yang menentukan arah tuju permainan sama ada ingin bertahan ataupun menyerang. Dunia kini sudah tahu yang pasukan Brazil boleh ditewaskan dengan terdedahnya beberapa kelemahan dan kepincangan dalam skuad Scolari ini. Oleh itu setiap pemain Brazil perlu melipatgandakan usaha jika tidak mahu malu di laman sendiri.

Mengikut rekod kedua pasukan telah bertemu sebanyak 25 kali. 15 perlawanan telah dimenangi oleh Brazil dan Colombia hanya merekodkan 2 kejayaan sahaja. Baki 8 lagi perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Manakala rekod jaringan juga lebih berpihak kepada Brazil dengan sejumlah 55 gol telah dijaringkan oleh mereka. Sementara Colombia hanya menyumbat 11 gol sepanjang kedua pasukan ini bertemu.

Sudah tentu rekod silam ini tidak boleh dijadikan sebagai kayu pengukur nasib pasukan Colombia pada perlawanan ini. Mereka dengan bergaya menendang bekas Juara Dunia, Uruguay keluar dari pusingan 16 pasukan terbaik. Aksi James Rodríguez pula semakin memikat. 5 gol daripada 4 perlawanan ketika ini meletakkan dirinya selaku pendahulu penjaring terbanyak kejohanan. Pertahanan mereka yang diketuai Mario Yepes juga bermain dengan kemas. Hanya bolos 2 gol sahaja dalam 4 perlawanan. Jika mereka berjaya menewaskan Brazil, sejarah sekali lagi bakal tercipta dengan kemaraan mereka ke peringkat separuh akhir.

Kesimpulannya siapa yang akan memenangi saingan ini?

Brazil sudah pasti akan bermain dengan lebih baik lagi berbanding ketika menewaskan Chile. Namun mereka akan tewas dari segi skil dan kemahiran yang lebih memihak kepada pasukan Colombia. James Rodríguez juga akan menjaringkan gol dalam perlawanan ini sekaligus menghantar Brazil ke lembah kekecewaan.

Pemain Tumpuan Brazil : Neymar Jr.
Pemain Tumpuan Colombia : James Rodríguez
Ramalan : Brazil 2-3 Colombia

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...