Monday, January 25, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan B


England

Kempen kali ini menyaksikan England menang kesemua perlawanan kelayakan mereka. Adakah ini membuktikan mereka sudah bersedia untuk menakluk Eropah pertengahan tahun ini?

Malangnya aku berpendapat pasukan England masih belum menampakkan peluang meyakinkan bagi mereka untuk menjuarai Piala Eropah ini. Apatah lagi selepas melalui satu aksi longlai dalam Piala Dunia 2014 yang lepas. Khabarnya ketika itu ramai juga penyokong pasukan Singa Tiga Bersaudara ini yang ketiaknya hitam dek kerana England yang pulang bungkus awal. Sekali imbas England yang ketika itu membariskan Joe Hart, Steven Gerrard, Daniel Sturridge, Wayne Rooney dan sensasi Raheem Sterling mampu pergi jauh. Malangnya ia tidak berlaku dan telah menjadi rutin bagi pasukan England yang mana hips-nya melebihi kemampuan sebenar keseluruhan pasukan.

Sekali lagi Tok Roy Hodgson berhadapan tugas mencabar membawa generasi yang lebih muda usianya berbanding skuad yang dibawanya ke Brazil dua tahun yang lalu. Secara dasarnya hanya Wayne Rooney sahaja daripada generasi emas sebelum ini yang masih tinggal cuba menuai simpati Tok Roy. Tetapi kemerosotan prestasi semasanya mungkin akan mengakibatkan dirinya terlepas daripada menjadi pilihan utama dalam kesebelasan skuad England. Terpilih itu sudah pasti. Tetapi untuk bermain sebagai pemain utama mungkin masih samar-samar. Ini kerana Tok Roy masih mempunyai banyak pilihan lain sebagai contoh Jamie Vardy dan sudah tentu Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (cilaka aku ter-ulang pulak tulisan yang lepas)

Tok Roy mungkin berhasrat untuk mengekalkan kerjanya sehingga Piala Dunia Russia 2018 kerana simpanan EPF dan KWSP-nya masih belum mencukupi untuk dijadikan bekalan di hari muka. Walaubagaimanapun KPI untuk beliau sangat tinggi. Layak ke suku akhir sahaja khabarnya belum mampu memuaskan hati FA England. Greg Dyke - Pengerusi FA England sudah pasti tidak akan berdiam diri sekiranya skuad England sekali lagi menjadi hiburan sarkis pada Piala Eropah 2016 ini nanti.
Tidak Perlukan Sentuhan Yang Banyak Untuk Meyumbat Gol

Wales 

Semenjak tahun 1958, Piala Eropah 2016 yang akan datang ini adalah kejohanan besar pertama buat negara yang begitu popular dengan kambing biri-biri dan janda Michael Douglas - Catherine Zeta-Jones. Emmmmmms...

Sepanjang tempoh itu juga ramai nama-nama besar sudah kecewa tak patut punya. Antaranya ialah Ian Rush, Mark Hughes, Mendiang Gary Speed, Craig Bellamy dan tidak lain tidak bukan Lagenda Kerinting - Ryan Giggs. Kali ini Chris Coleman yang mewakili kekecewaan generasinya berupaya menebus kesedihan lampau dengan membuktikan skuad asuhannya mampu memberikan sedikit harapan ataupun kegembiraan kepada seluruh warga Wales. Dan ketika entri ini ditulis, Persatuan Bola Sepak Wales (FAW) telah menerima 52,160 permohonan tiket berbanding hanya 17,000 yang diperuntukkan untuk mereka. Begitulah terujanya rakyat Wales untuk melihat aksi pasukan kesayangan mereka di hadapan mata mereka sendiri.

Seperti yang kita semua tahu pasukan ini dibentuk dengan tiang asasnya berdiri satu figura bernama Gareth Bale dan bukannya Pirlo Versi Liverpool iaitu Joe Allen. Bale adalah nadi pasukan Wales. Dia menjaringkan gol, membantu jaringan dan menghuru-harakan pasukan lawan dengan larian kencang serta gerakannya yang licik dan penuh visi. Wales begitu berharap agar Bale mampu menyuntik inspirasi kepada pasukannya walaupun dia berkemungkinan besar akan dikawal ketat sepanjang aksinya di Perancis nanti. Apa yang pasti sekiranya Wales mampu layak ke pusingan kedua sahaja pun ia umpama kenduri besar berlauk Biryani Biri-biri buat seluruh umat Wales.

From Russia With Love

Russia 

Seperti biasa apabila sebut sahaja pasal Russia, aku mesti terbayang Maria Sharapova dengan dress pendeknya menjerit-jerit garang membalas asakan pihak lawan dengan pukulan kilasnya. Mesti. Aku masih ingat kata-kata Maria ketika beliau muncul dalam mimpi aku dua tahun yang lalu.

"Wahai abang Hadri, sekiranya pukulan kilas Maria dapat ditingkatkan, permainan Maria juga akan bertambah padu di atas gelanggang." Begitulaaah...

Bolehlah aku simpulkan di sini kempen kelayakan Piala Eropah bagi pasukan Russia sebagai kacau bilau. Haru biru. Hancor lodoh. Mana tidaknya, dalam proses ini mereka terpaksa memecat Fabio Capello dan melantik pengurus CSKA Moscow, Leonid Slutsky pada bulan Ogos yang lalu serta dalam masa yang sama beliau masih berkhidmat untuk kelabnya.

Slutsky yang dipertanggungjawabkan untuk membawa Russia layak ke Perancis adalah seorang ahli sukan yang sedih ketika hayatnya masih menyepak bola. Ini kerana pada usia 19 tahun dia terpaksa bersara daripada arena bola sepak selepas terjatuh daripada pokok ketika hendak menyelamatkan kucing jirannya. Walaupun begitu, masih tidak diketahui tentang tahap kesahihan cerita ini kerana ia bukannya datang daripada 'wasap group sebelah'.

Walaupun Slutsky berjaya menang baki perlawanan kelayakan yang dibimbingnya, beliau masih menghadapi masalah yang sama dengan Capello. Iaitu kekurangan 'pool' pemain kerana kebanjiran pemain import di dalam Liga Perdana Rusia yang sedang meningkat naik. Dengan kebanyakan pemain Russia yang agak veteran, Slutsky perlu segera mencari resepi terbaik untuk mengelak daripada pasukan Russia terpaksa pulang awal.


Slovakia

Secara dasarnya ramai yang tidak meletakkan sebarang harapan besar kepada skuad Slovakia. Berdasarkan rekod juga ini adalah penampilan kedua mereka dalam kejohanan besar selepas menyertai Piala Dunia 2010. Ketika menulis entri ini aku berasa hairan kenapa pasukan Malaysia pada suatu masa dahulu seronok benar ke Slovakia untuk program latihan. Apa kurangnya Jepun dan Amerika Syarikat? Ini membuktikan bola sepak Malaysia sangat pelik. Kita abaikan isu ini buat sementara waktu.

Masih terbayang-bayang di layar fikiran aku ketika Piala Dunia 2010 lalu yang mana Slovakia menewaskan Itali (ketika itu Itali adalah penyandang juara) dalam satu perlawanan penuh dramatik berkesudahan dengan skor 3-2. Itali tersungkur dan pendukung Azzurri serata dunia menangis tersesak-esak sambil nama Kamil Kopunek menjadi zikir cacian di bibir mereka. Manakala Slovakia pula meneruskan survial mereka untuk layak ke pusingan 16 pasukan tetapi kemudiannya tewas kepada pasukan Belanda (naib juara Piala Dunia 2010).

Pasukan bimbingan Jan Kozak menampilkan aksi garang di sepanjang kempen kelayakan yang lepas. Mereka menewaskan Ukraine ketika bertandang di Kiev serta mengejutkan Sepanyol dalam proses mengumpul kemenangan dalam 6 perlawanan berturut-turut. Ia sekaligus secara keseluruhannya meletakkan Slovakia di tangga kedua untuk beraksi automatik di Perancis.

Sebenarnya Slovakia adalah pasukan yang perlu diberi perhatian walaupun di atas kertas nasib perjalanan mereka di Perancis kelak masih kelihatan terumbang-ambing. Ini kerana Slovkia secara taktikalnya adalah sebuah pasukan yang serba boleh. Mereka mampu menyerap dalam semua keadaan. Dan sudah tentu mereka perlu dilihat sebagai pasukan yang merbahaya kerana memiliki seorang pemain yang bernama Marek Hamsik.

Hamsik Yang Berwajah Peragut

Perlawanan Tumpuan:  England Melawan Wales

Jurulatih Wales, Chris Coleman seboleh-bolehnya tidak mahu perkara seperti ini berlaku kepadanya. Tetapi apa boleh buat. Sudah takdir menemukan antara Wales dan England. Tanggal 16 Jun nanti kedua pasukan ini akan bertembung di Lens dalam perlawanan yang disifatkan sebagai penuh dengan talian persaudaraan.

Berdasarkan rekod Wales tidak pernah menewaskan England secara kompetitif sejak tahun 1984. Statistik pertemuan kedua pasukan dari tahun 1879 pula menunjukkan England memenangi sejumlah 66 perlawanan, seri 21 dan tewas hanya 14 pertemuan.

Namun kini Wales sudah banyak berbeza dengan kewujudan pemain seperi Aaron Ramsey dan sudah tentu Gareth Bale yang mana pernah menolak untuk mewakili England ketika usianya masih muda remaja. Oleh itu pertembungan bersejarah ini pastinya akan menjadi tumpuan buat seluruh penggemar bola sepak Great Britain.

POWER BALE

Pertembungan Force:  Skrtel Melawan Penyerang England
Siapa yang tidak kenal kepada Martin Skrtel? Belliau adalah seorang pemain pertahanan yang keras, berani mati serta berhati kering. Dia pernah berlaga kepala dengan Diego Costa dan sering menjadikan Olivier Giroud seakan-akan seperti Safee Sali di atas padang.

Sekali lagi dia berpeluang beradu tenaga dengan penyerang dari England yang saban minggu dihadapnya tanpa rasa jemu. Namun siapakah yang akan Skrtel tentang di Perancis nanti? Adalah Wayne Rooney akan kembali ke prestasi asalnya? Ataupun Harry Kane - penyerang yang tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. (eh aku ter-ulang lagik) Mungkin juga Daniel Sturridge - rakan sepasukannya di Liverpool yang mampu pulih sebelum sepak mula di Perancis. Siapa tahu bukan?

Aaaahhhhh!!! Persetankan siapa pun yang akan dipilih oleh Tok Roy kelak. Apa yang pasti ketua pasukan Slovakia ini bersedia untuk menyabit dan meragut kaki siapa pun yang akan berdepan secara fizikal dengannya nanti.


Ini Makan Dia!!!

Keistimewaan Kumpulan B: Sejauh Mana Perjalanan England?

Banyak yang diperkatakan tentang kemampuan pasukan England setiap kali mereka beraksi di pentas tertinggi bola sepak antarabangsa. Tidak ketinggalan juga pada Piala Eropah kali ini. Kemungkinan besar keyakinan mereka sedikit meningkat berbanding semasa menyertai Piala Dunia 2014 yang mana mereka berada dalam kumpulan yang sama dengan Italy dan Uruguay. Namun begitu Slovakia, Russia dan terutamanya Wales masih mempunyai faktor-x yang tersendiri untuk mengejutkan England.

Perlawanan pertama menentang Wales kelak akan menentukan arah tuju pasukan England. Jika kalah, tugas untuk layak ke pusingan seterusnya akan lebih sukar dan mencabar.

Perlu diingat kali terakhir England memenangi kesemua perlawanan kelayakan mereka adalah ketika Piala Eropah 1988. Mereka kemudiannya tewas dalam perlawanan pembukaan dengan satu lagi pasukan jiran, Ireland dengan skor 1-0. Seterusnya tewas lagi baki dua perlawanan kepada pasukan Belanda dan USSR. Hasilnya bungkus dan pulang awal. Adakah akan berlaku dejavu kepada pasukan Tiga Singa Bersaudara? Hah?

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...