Saturday, December 16, 2017

Piala Dunia 2018: England.


 
Piala Dunia 2018: England.

Kenangan

6, October 2001 | Old Trafford.

Ketinggalan 2-1 menentang Greece pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002. England memerlukan menang ataupun seri. Pada minit ke-93 Greece memberikan sepakan percuma kepada England betul-betul 27 meter dari gol mereka. Ia seolah-olah petanda rezeki yang turun dari langit buat The Three Lions.

Beckham selaku ketua pasukan mara bergaya kacak tampan untuk mengambil sepakan percuma tersebut. Seluruh stadium senyap bagaikan di rumah mayat. Beckham dengan tenang seperti rutinnya melepaskan satu sepakan percuma yang tak terjangkau oleh penjaga gol Greece. Bola menerjah jaring. Old Trafford bergegar dengan sorak-sorai peminat England. Bingit. Harok. England berjaya menyamakan kedudukan dan layak secara automatik selaku juara kumpulan. Meletakkan Jerman sebagai naib juara.

Beckham meraikan gol tersebut dengan penuh bergaya. Emile Heskey, Rio Ferdinand, Martin Keown antara pemain yang meluru meraikan gol tersebut bersama ketua pasukan England yang berpengaruh itu.

16 tahun berlalu...dan mungkin inilah antara momen yang terbaik untuk dijadikan kenangan buat semua peminat setia pasukan bola sepak England.

Menjejak Juara

Semasa aku menulis tentang pasukan England ini, pasukan bola sepak Malaysia baru sahaja gagal layak ke Piala Asia secara rasmi dan Itali pula terlepas aksi Piala Dunia buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun. Marilah kita bertafakur barang sejenak mengenangkan peristiwa sedih nak mampos ini. Pejam mata dan diam.....

Okay done. Mari kita sambung bercerita tentang pasukan England.

England datang lagi. Mampir sekali lagi ke Piala Dunia buat kali ke-6 berturut-turut yang mana kali terakhir mereka gagal ialah pada tahun 1994. Secara jumlahnya sudah 14 Piala Dunia yang mereka harungi. Untuk edisi 2018 ini juga seperti kebiasaannya England dengan mudah melayakan diri. Menjuarai kumpulan F Zon Eropah dengan 8 kemenangan, 2 seri dan tiada kekalahan. Mengumpul 26 mata meninggalkan Slovenia di tempat ke-2 dengan 18 mata.

Dahsyat juga England bila pusingan kelayakan ni. Tapi bila tiba kejohanan sebenar, mulalah menggelabah ayam. Ingatkah kita pada Piala Dunia 2014, apabila England tersingkir hanya selepas dua perlawanan yang mereka lalui? Lemah.

Peminat bola sepak juga sudah tentu tahu yang pasukan England ini hanya gah pada reputasi, tetapi tidak pada prestasi. Ini terbukti apabila England masih gagal memenangi Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 1966 di laman sendiri. Pemain bintang silih berganti. Jurulatih bertukar ganti. Kejayaan Piala Dunia masih tercari-cari. Adakah tahun 2018 akan jadi milik England nanti?

Liga Iggeris juga begitu sebati dengan darah daging kita semua dek kerana kesan penjajahan British ke atas negara yang aman damai ini. Munculnya ramai pendukung susah mati kelab bola sepak Inggeris juga bukanlah lagi perkara rahsia seperti jantina Nursajat.

Ramai mengaku menganut Manchester United, Liverpool, Spurs, Chelsea dan Arsenal. Tentu sekali kita sukar untuk mengumpulkan peminat setia Bayern Munich, Valencia, Boca Juniors, Flamengo dan Paris Saint Germain waima dalam sebuah kereta kancil sekalipun. Itulah uniknya sokongan Bani Malaysia ke atas kelab-kelab Inggeris.

Namun begitu aku secara peribadi berpendapat, gahnya kelab-kelab Inggeris dari segi sokongan dan kerancakan liga mereka bukanlah kunci utama yang akan membawa England kepada gelaran Piala Dunia yang kedua buat mereka. Kau percaya tak apa yang aku cakap ni? Hah?


Tahun ini tahun England

Walaupun begitu, skuad bola sepak England pada peringkat umur bawahan telah mengecapi banyak kejayaan pada tahun 2017. Pada tahun 2017 sahaja England telah mara ke perlawanan akhir dalam:
  • Euro Bawah-17
  • Euro Bawah -19
  • Euro Bawah -21
  • Piala Dunia Bawah -20
  • Piala Dunia Bawah -17
  • Toulon Tournament.
Adakah England juga akan turut mara ke Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 di Russia nanti? Sudah tentu TIDAK. Secara peribadi sekali lagi aku menegaskan yang pasukan England kali ini masih belum cukup resepi untuk pergi sejauh itu.

Semasa generasi emas yang membariskan David James, Beckham, Frank Lampard, Gerrard, Rio Ferdinand, John Terry, Wayne Rooney, Owen, Paul Scholes, A.Cole, G. Neville dan J.Cole pun tidak mampu memberikan gelaran Piala Dunia kepada England. Apatah lagi pasukan yang meletakkan H.Maguire, Joe Gomez, Jack Cork, Livermore, Dominic Solanke dan Tammy Abraham dalam perlawanan pemanas badan untuk Piala Dunia? (Sengaja aku tak sebut Harry Kane,Marcus Rashford, Dele Alli dan Kyle Walker untuk menggambarkan England sebagai skuad yang kurang stabil kah kah!)



Gareth Southgate

Mari aku ceritakan kisah antara kenangan yang selamanya terpahat di memoriku tentang Gareth Southgate selaku bekas pemain England (kini Pengurus England). Aku harap kau orang baca dengan nada berkobar-kobar sambil berdiri ye, walaupun di dalam tandas.

Piala Eropah 1996 di England telah membawa pasukan Three Lions ini sejauh separuh akhir yang menemukan mereka dengan musuh tradisi iaitu Jerman. Malam sejuta keterujaan. Stadium penuh dengan 76,000 penonton bersesak-sesak ke Stadium Wembley. Perlawanan yang berkelas tinggi ini juga ditonton secara domestik di televisyen dengan 26 juta umat terpacak di serata bar sekitar England. Dan ia sebenarnya akan menjadi perlawanan yang tidak akan dilupakan oleh peminat-peminat England.

England menggegar gawang seawal minit-3 dengan Alan Shearer melepaskan tandukan tipikalnya, disudahkan dengan gaya keraian seperti kebiasaan. Seluruh Wembley bergegar. Malangnya tidak lama selepas itu, Stefan Kuntz menyamakan kedudukan pada minit-16. Wembley senyap bagaikan dewan peperiksaan SPM.

Perlawanan diheret ke masa tambahan. Kedudukan kekal 0-0 dan pemenang terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti. Kesemua pemain Jerman dan England berjaya menyempurkan 5 sepakan penalti.

Tibalah giliran Southgate mengambil sepakan penalti sudden-death. Bola diletakkan di tengah dengan penuh tenang. Beberapa langkah diambil sehingga sedikit terkeluar dariapda kotak penalti. Fikiran Southgate kini tenang dan fokus 70%. Lagi baki 30% tidak tahu hanyut ke mana. Southgate melakukan larian seperti bersiar-siar di pasaraya Harrods. Pegawai kejurulatihan pasukan England mula tidak sedap hati. Berjayakan pemain jersi nombor 6 ini menyelamatkan England?

"Zaaaaaaaaaaaaas."

Satu sepakan penalti yang lemah dilepaskan Southgate. Mudah diselamatkan Andy Kopke - Lagenda Jerman. Kini seluruh Stadium gempita dengan sorak sorai pendukun setia pasukan Die Mannschaft. Terry Venables menggigit jari di tepi padang.

Kemudian Andreas Moller pula menjaringkan penalti untuk Jerman dan mencalarkan maruah England di laman mereka sendiri. Begitulah Garerth Southgate yang aku kenal.

Namun, tidak adil seandainya aku mengadili prestasi Southgate bersandarkan karier beliau selaku pemain satu ketika dulu. Sebenarnya, kehandalan beliau dalam bidang kejurulatihan akan mula diuji apabila tibanya Piala Dunia 2018 bulan Jun nanti.

Pada Piala Dunia Jun ini, England akan berlaga keting dengan pasukan penuh bintang Belgium, wakil Afrika iaitu Tunisia dan Panama yang berjaya mencuri slot dari pasukan Amerika Syarikat.

Tanpa menidakkan kemampuan Southgate, aku berharap England kali ini mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik seiring dengan reputasi tanpa kekalahan di peringkat kelayakan sebelum ini.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...