Sunday, December 10, 2017

Piala Dunia 2018: Iran

Piala Dunia 2018: Iran


Lagenda.

Semasa aku kecil dahulu, aku membesar dengan mengenali nama-nama pemain bola sepak lagenda Iran seperti Karim Bagheri, Khodadad Azizi, Mehdi Mahdavikia, Ali Karimi dan semestinya Ali Daei

Karim Bagheri dan Khodadad Azizi diingati dengan membantu Iran layak ke Piala Dunia pada tahun 1998 menyingkirkan Australia. Mehdi Mahdavikia pula menyinar di Bundesliga dengan 2 kali dinamakan sebagai pemain terbaik liga. Ali Karimi pernah digelar sebagai Maradona Asia dek kerana kelincahannya menggelek bola. Manakala sesiapa yang tidak kenal kepada Ali Daei, dipersilakan pergi meninggal sekarang.

Inilah nama-nama permain berkaliber bola sepak Iran ketika mereka berlegar-legar  di Piala Dunia 1998 dan 2006.

Hari ini nama Sardar Azmoun pula disebut-sebut sebagai penyelamat dan pembawa maruah Iran yang baru. Iran sudah banyak kali layak ke Piala Dunia. Cuma kita selaku Bangsa Asia masih menunggu Juara Piala Dunia yang datangnya dari benua ini. Mungkinkah Iran adalah calonnya?


Kuasa Asia Yang Baru.

Selain Syiah, Perang Iran-Iraq, dan makwe-makwe yang ‘hot’, apakah lagi yang kita tahu tentang negara yang terkenal dengan perindustrian petroleum ini? Ya, betol. Kita tahu mereka mempunyai sebuah pasukan bola sepak yang jauh hebat berbanding Malaysia yang mengamalkan Ahlussunnah Wal Jamaah.

Ketika ini (October 2017) Iran merupakan pasukan terbaik di Asia dalam ranking FIFA. Namun secara keseluruhannya Iran jatuh sembilan anak tangga untuk menduduki tangga ke-34 dunia

Di rantau Asia, pasukan Iran memiliki reputasi yang sangat membanggakan. Sebagai contoh, untuk Piala Asia sahaja mereka sudah layak 14 kali (termasuk 2019) dan muncul juara 3 kali berturut-turut pada edisi tahun 1968, 1972 dan 1976. Manakala bagi Piala Dunia pula, mereka bermain pada edisi 1978, 1998, 2006, 2014 dan 2018.

Pada tanggal 13 Jun 2017, Iran muncul pasukan ketiga layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia selepas menang ke atas Uzbekistan 2-0 di Tehran. Dua gol menerusi pemain bintang mereka Sardar Kazmoun dan Mehdi Taremi sudah cukup buat skuad bimbingan Carlos Queiroz itu mara menerusi saingan Kumpulan A biar pun masih ada baki dua lagi perlawanan. Power nak mampos.



Carlos Quieroz

Jodoh terumbang-ambing Carlos Quieroz dengan pasukan Iran sememangnya bukan perkara yang boleh disorok-sorok. 6 tahun adalah satu tempoh yang agak lama bagi seorang jurulatih asing di negara Asia. Dan jika ia diterjemahkan dalam bentuk hubungan perkahwinan, sudah tentu tahun depan anak mereka akan masuk ke sekolah rendah. Selama 6 tahun inilah juga pelbagai pahit manis dilalui termasuk beberapa kali mahu meletakkan jawatan.

Apa yang beliau lakukan kepada pasukan Iran ini wajar diberikan kredit. Mereka melalui pelbagai kekangan termasuk sukar mendapatkan lawan untuk aksi persahabatan kelas A dek kerana perbezaan politik. Namun ini bukanlah alasan utama untuk Iran tunduk apabila bertemu negara asia yang lain dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Tahniah Carlos Quieroz! (berdiri dan menepuk tangan). Walaupun kerjayanya di Eropah gagal menyerlah. Namun aku berani meletakkan nama beliau sebaris dengan Philippe Troussier, Carlos Alberto Parreira dan Guus Hiddink. Di mana pula kedudukan Vingada?

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...