Friday, February 2, 2018

Piala Dunia 2018: Australia


Piala Dunia 2018: Australia

Buah Dan Bola di Negara Kanggaru.

"Gaji RM6,000 petik buah di Australia" - Berita Harian
"Harap gaji RM12,000 petik buah di Australia...cuma dapat RM2,200" - The Malay Mail Online.

Ungkapan di atas adalah sebahagian daripada tajuk berita yang mendapat liputan berkaitan dengan industri buah di Australia.

Seperti yang kita ketahui idustri memetik buah di Ausralia sedang 'hype' dan hangat diperkatakan ketika ini dari mulut wangi ke mulut berbau dan dari bibir nipis ke bibir tebal. Dan khabarnya umat Malaysia juga berbondong-bondong mahu berhijrah ke negara kanggaru tersebut. Diberitakan pada tahun 2012 dan 2013 sahaja dianggarkan seramai 56,700 pekerja diambil untuk aktiviti menanam buah-buahan dan sayur-sayuran bagi memenuhi keperluan domestik dan juga pengeksportan ke luar negara.

Okay, itu cerita buah. Bagaimana pula dengan cerita bola sepak?

Bola sepak di Australia pada awalnya gagal menapak dengan mantap kerana ragbi adalah sukan utama yang menjadi pilihan rakyat Australia. Cubaan membudayakan bola sepak dilakukan dengan penubuhan liga bola sepak domestik mereka pada tahun 1977 dengan diberi nama National Soccer League (NSL). Sedih sekali ia masih gagal menarik pemain bintang untuk bermain di liga ini. Hinggakan ramai antara mereka seperti Alan Davidson, David Evans, Abbas Saad, Scott Ollerenshaw, Alistair Edward dan John Hunter lebih rela berkelana hingga ke Tanah Melayu untuk menyepak bola dan membina nama di sini.

Kemudiannya pada 2004, Hyundai Australia League telah ditubuhkan menggantikan NSL sebagai liga bola sepak divisyen tertinggi di Australia. Sejak dari itu ia telah menaikkan nama dan populariti sukan bola sepak yang sentiasa di belakang sukan kriket dan ragbi. Nama-nama seperti Robbie Fowler, Emile Heskey, William Gallas, Damien Duff, Alessandro Del Piero, Shinji Ono, Luis GarcĂ­a dan David Villa antaranya sudi beraksi di A-League meskipun sudah berumur agak senja.

Perubahan Australia daripada Kefederasi Bola Sepak Ocenia (OFC) ke Kefederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada tahun 2006 pula hanya mencerahkan peluang mereka untuk layak ke Piala Dunia selepas seringkali terkandas pada perlawanan 'play-off'.

Memori Piala Dunia.

Australia layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya pada tahun 1974. Selepas itu mereka secara berturut-turut layak pada edisi 2006, 2010, 2014 dan terkini 2018. Manakala pasukan Malaysia pula, sejak dari Piala Dunia edisi 1974 hinggalah membawa kepada edisi 2018. Juga dari zaman televisyen tidak canggih serta hitam putih, hinggalah ke zaman BigoLive, dan Istagram, pasukan bola sepak Malaysia hanya banyak berlegar-legar dengan senang hati dalam lingkaran Sukan Asia Tenggara dan Piala AFF Suzuki. Maaf. Kasar sangatkah gurauan ini?

Penampilan pertama mereka di Piala Dunia 1974 dibarisi dengan majoritinya adalah pemain amatur. Meskipun berjaya mendapatkan keputusan seri ketika bertemu Chile, namum Australia pulang hampa dengan gagal menjaringkan sebarang gol pada kemunculan sulung mereka. Masih terkial-kial bak kata orang. Tidak mengapalah. Proses berjalan dan berlari sememangnya bermula dengan bertatih. Takkan bisa dengan memecut bagai Watson Nyambek. Chewaaaah.

Kemudiannya di antara tahun 1978 hingga 2002, kempen Piala Dunia Australia banyak tersangkut diperlawanan 'play-off'. Sebagai contoh terdekat mereka tewas kepada Argentina pada edisi kelayakan Piala Dunia 1994, Iran (1998) dan Uruguay (2002). Untuk ke Piala Dunia juga pasukan dari Zon Oceania ketika itu terpaksa melalui banyak peringkat kelayakan.

Setelah lama menyepi, Socceroos kembali dengan mantap di Piala Dunia Jerman 2006 sebagai wakil Oceania buat kali yang terakhir. Dan aku berani potong jari mengatakan barisan pemain yang dibawa oleh Guus Hiddink ini adalah yang terbaik dalam sejarah penglibatan Australia di Piala Dunia.

Pemain seperti Mark Schwarzer, Lucas Neill, Tim Cahill, Brett Emerton, Mark Viduka, Harry Kewell, John Aloisi dan Mark Bresciano antaranya adalah nama yang sering kita dengar sekiranya bola sepak Eropah menjadi hidangan hujung minggu kita.

Akhirnya kesungguhan mereka terbayar apabila mara ke pusingan 16 pasukan terbaik sebelum hanya tewas tipis dengan skor 1-0 kepada pasukan yang muncul juara, Itali.


Lapan tahun yang lalu di Afrika Selatan, mereka diletakkan dalam kumpulan yang agak sukar terdiri daripada pasukan Jerman, Ghana dan Serbia. Walaupun begitu Australia tetap berjaya mengutip 4 mata selepas seri dengan Ghana 1-1 dan menang 2-1 ke atas Serbia. Namun kekalahan teruk 4-0 kepada Jerman dalam aksi pembukaan menjadi punca mereka terpaksa mengakhiri kejohanan 2010 ini di tangga yang ketiga.

Mungkin masih belum ada rezeki buat Socceroos apabila tahun 2014 mereka sekali lagi ditempatkan dengan pasukan-pasukan hebat seperti Sepanyol, Belanda dan Chile. Kalah semua perlawanan dan terpelosok di tangga tercorot kumpulan B. Aduhai..belasan.

2018, Australia Datang!

Australia mengakhiri kempen pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2018 mereka yang terumbang-ambing di tempat ke-3 di belakang Jepun dan Arab Saudi. Ini memaksa Australia menempah tiket ke Krubong, Melaka untuk berentap denga Syria di Stadium Hang Jebat. Warga Melaka dan Syria menjadi saksi gol jaringan Robbie Kruse sebagai bekalan mereka ke Sydney. Perlawanan kedua mereka menang dengan skor 2-1 selepas Tim Cahill sekali lagi muncul sebagai penyelamat maruah bola sepak Australia. Sebagai rekod juga ini adalah jaringan ke-50 bagi Cahill bersama Socceroos termasuk 5 gol yang telah dijaringkannya ketika di pusingan akhir Piala Dunia.

Walaupun begitu, tugas Australia untuk layak ke Piala Dunia bukan habis di situ sahaja. Mereka kemudiaannya perlu bertemu dengan Honduras secara timbal balik. Selepas seri 0-0 di San Pedro Sula, Australia berjaya mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri apabila Mile Jedinak menyumbat hatrik untuk menewaskan Honduras 3-1. Seluruh Australia bergembira dengan kejayaan terbaru ini.

Hatrik woih!

Untuk undian Piala Dunia 2018 ini Australia diletakkan dalam Kumpulan C bersama Peru, Denmark dan bekas juara dunia Perancis. Jika diteliti berdasarkan pengalaman, Australia boleh mara ke pusingan 16 pasukan sekiranya pasukan Denmark dan Peru berjaya mereka tewaskan.

Mungkin inilah masanya bagi Aaron Mooy (Huddersfield Town) dan Tom Rogic (Celtic) sebagai generasi baru mampir menggegar Piala Dunia 2018  seterusnya mengembalikan romantis era Viduka-Kewell.

Kewell-Viduka dalam persalinan Leeds United.

Pak Mertua Mark van Bommel 'in da house'.

Jodoh Ange Postecoglou dengan pasukan Australia tidak berpanjangan dek kerana prinsip bola sepak dan filosopi taktikal beliau yang menjadi punca keretakan hubungan ini sekaligus membawa kepada perpisahan. Sayu.

Dan baharu sahaja beberapa minggu yang lepas Federasi Bola Sepak Australia mengumumkan pelantikan Van Marwijk sebagai pengurus pasukan mereka. Kerusi panas yang ditinggalkan oleh Ange Postecoglou sejak November lalu ini akhirnya sudah kembali terisi.


'Resume' yang dimiliki Van Marwijk di peringkat pengurusan bolehlah dirumuskan sebagai baik juga. Membimbing Arab Saudi layak ke Piala Dunia pada 5 September 2017 yang lepas. Serta kejayaannya yang paling diingati ialah ketika berjaya membawa pasukan Belanda ke perlawanan akhir Piala Dunia 2010 sebelum tewas kepada SEPANYOL - PASUKAN TERBAIK DUNIA.

Jika diteliti pemilihan Van Marwijk ini sebenarnya adalah lebih kepada sasaran kejayaan jangka pendek. Buat masa ini Australia memang memerlukan jurulatih yang mampu membentuk pasukan yang berdaya saing di Piala Dunia dalam masa yang singkat. Sekurang-kurangnya pengaruh Van Marwijk sebagai pengurus mungkin dapat memacu Australia ke arah lebih baik berbanding 4 tahun yang lalu.

1 comment:

  1. wah mari lihat bagaimana Australia bermain kelak :)

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...