Tuesday, February 27, 2018

Piala Dunia 2018: Denmark



Piala Dunia 2018: Denmark.

Kejayaan Manis 1992.

Apabila ada yang menyebut tentang pasukan Denmark, tidak boleh tidak kita mesti akan teringat pada nostalgia mereka menjuarai Piala Eropaah 1992. Ketika itu Denmark hanyalah dipanggil untuk menggantikan Yugoslavia 11 jam sebelum sepak mula Piala Eropah 1992.

Sejarah sebenarnya banyak mengajar kita erti kesengsaraan dan kerugian. Begitulah yang berlaku kepada Yugoslavia yang secara tiba-tiba bencikan keamanan dan menjadi garang mengangkat senjata berperang saudara.

Bagi pasukan Denmark pula peristiwa ini adalah rezeki besar buat mereka.  Mereka menjadi pilihan automatik menggantikan Yugoslavia kerana pada pusingan kelayakan mereka berada di tempat kedua di belakang pasukan ini. Tiada perbincangan lanjut yang dilakukan dan Persatuan Bola Sepak Denmark tidak mampu menolak tawaran UEFA kerana ini adalah melibatkan reputasi dan hubungan baik dengan Konfederasi Bola Sepak Eropah. Denmark kemudiannya menerima tawaran ini dengan hati yang terbuka.

Mengikut undian pula mereka berada dalam kumpulan yang terdiri daripada Sweden, England dan Perancis. Sekali imbas Denmark melihat peluang mereka agak tipis lebih-lebih lagi wujudnya kelibat pasukan gergasi seperti England dan Perancis.

Denmark melangkah yakin ke Piala Eropah 1992 dengan berbekalkan semangat dan selepas itu segalanya tercatat molek dalam sejarah bola sepak dunia. Negara Viking ini muncul kuasa bola Eropah yang baru dalam tempoh yang singkat selepas menjuarai Piala Eropah 1992.

Kenangan Manis
Mungkin skuad emas Belanda dekad 1970-an, skuad Portugis dekad 1990-an dan juga generasi emas England dekad 1980-an memandang sinis kejayaan ini dan mengaitkannya dengan nasib baik sahaja. Ataupun dalam bahasa bola sepak yang cantik ‘Danish fairy tales’. Tetapi ia sebenarnya lebih daripada itu.

Selain daripada nasib baik yang menyebelahi mereka, kejayaan ini juga berpunca daripada penstrukturan semula liga bola sepak Denmark yang berlaku pada penghujung tahun 80-an. Maka muncullah nama-nama seperti Michael Laudrup, Brian Laudrup, Peter Schmeichel, John Sivebæk dan Lars Olsen antaranya.

Tiga tahun kemudian pasukan Denmark menjuarai Piala Konfederasi 1995 di Arab Saudi selepas menewaskan pasukan Argentina dengan skor 2-0. Kesinambungan kehebatan generasi selepas era ‘Laudrup Bersaudara’ dieteruskan di Piala Dunia 1998 apabila mereka mara sehingga ke peringkat suku akhir. 

Sendu di Penjuru Viking

Selepas daripada era emas ini bola sepak Denmark mula menjadi sendu. Buktinya mereka gagal layak ke Piala Dunia 2006 dan juga Piala Dunia 2014 di Brazil. Ramai yang berpendapat mengekalkan konsistensi adalah jelas masalah utama mereka. Dan kehadiran Denmark setiap 4 tahun adalah lebih kepada melengkapkan jadual pusingan kelayalakan sahaja.

Walaupun begitu Denmark mara ke Piala Dunia 2002 sehingga ke suku akhir dan Piala Dunia 2010 sehingga pusingan kedua. Tetapi impaknya masih minima jika kita bandingkan dengan kejayaan Piala Eropah 1992 mereka. Mampukah bola sepak Denmark kembali berahi dan besinar?

Go Viking!

Sinar di Lembah Viking.

Mujur juga pemain generasi baru seperti Kasper Schmeichel, Simon Kjær, Andreas Christensen, Christian Eriksen dan Thomas Delaney antaranya muncul memberi sedikit sinar harapan kepada pasukan Denmark ini. Dan mengikut purata umur mereka ini dalam usia yang sedap dan sedang ranum mencapai kemuncak karier masing-masing.

Pada kempen kelayakan Piala Dunia 2018 yang lepas mereka menyudahkannya di tempat kedua di belakang pasukan Poland. Ini membuatkan Denmark terpaksa menentang pasukan Ireland namun ia bukanlah halangan besar buat mereka apabila dengan mudah menumpaskan pasukan tersebut dengan aggregate 5-1. Ia sekaligus melayakan Denmark berada dalam balang undian Piala Dunia 2018.

Undian Piala Dunia 2018 pula meletakkan pasukan yang berada di rangking nombor 12 FIFA ini bersama-sama Perancis naib juara Piala Eropah 2018, Australia bekas handalan OCEANIA dan juga Peru yang sedang mencari semula kegemilangan lama. Macam mana sedara-sedari rasa peluang pasukan Denmark nanti? Kepada pemain manakah hendak disandarkan segala harapan?

Harapan di bahu Eriksen

Jika pasukan Belgium berapi-rapi bangga dengan prestasi semasa Eden Hazard dan juga Kevin De Bruyne, pasukan Denmark juga boleh mendabik dada dengan kewujudan pemain bernama Christian Eriksen.

Sebelum Barcelona mendapatkan tandatangan Coutinho, ada kedengaran bahawa kelab Catalan ini berminat untuk mendapatkan Christian Eriksen. Ini kerana pemain jenis ‘Nombor 10’ jelas sekali amat sesuai dengan corak permainan yang diterapkan oleh pasukan Barcelona. Tetapi akhirnya urusan pembelian dengan kelab Liverpool berjalan lancar dan nama Eriksen dilupakan buat sementara oleh barisan pentadbiran pasukan Bercelona.

Penyelamat Denmark?

Sebagai contoh lihat sahaja hasil kerjanya dengan pasukan Spurs. Setakat artikel ini ditulis, Eriksen sudah menjaringkan 7 gol dalam 26 penampilan. Manakala pada kempen kelayakan yang lepas beliau menjadi penjaring terbanyak pasukan Denmark dengan 8 gol.

Rasanya cukuplah dalil-dalil di atas bahawasanya harapan Piala Dunia buat pasukan Denmark terletak di atas bahu Eriksen. Sah!

Perancangan Åge Hareide untuk Denmark

Nama Åge Hareide sebenarnya agak popular di sekitar negara scandinavian. Sebagai bukti beliau pernah memenangi tiga gelaran liga kebangsaan di Denmark, Sweden dan Norway. Apa yang jelas pengurus yang juga berasal dari Norway ini benar-benar memahami budaya serta perangai pemain bola sepak yang berasal dari rantau ini. Menjadikan tugas beliau agak mudah dan hampir 55 peratus beliau sudah boleh berlapang dada bernafas lega.

Mudah Ketawa
Mengikut sumber rujukan di internet, beliau mula dilantik menjadi pengurus pasukan Denmark pada 10 Disember 2015 bagi menggantikan Morten Olsen yang gagal dalam usahanya membawa Denmark ke Piala Eropah 2016. Dan sasaran  Hareide untuk membawa Denmark ke Piala Dunia berhasil pada tanggal bulan November 2017.

Bagaimana beliau ingin merencana taktikal pasukan Denmark apabila berhadapan dengan pasukan sehandal Perancis? Selincah pasukan Peru? Dan sedegil pasukan Australia? Mari kita semua doakan beliau berjaya dalam tugasan maha berat ini.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...