Thursday, October 24, 2013

From Brazil With Love: Fiksyen Piala Dunia 2014



Selepas mengetahui secara rasmi 21 buah pasukan yang telah layak ke Piala Dunia 2014. Aku dijemput oleh 2 orang lagenda bola sepak dan juga rakan sepermainan aku untuk minum petang di sebuah restoran terkemuka di Itali sana. Aku agak terkejut. Tetapi aku cuba tenangkan diri apabila aku membaca pesanan yang tertera di telefon pintar aku ini.

"Minggu depan teman belikan kome 2 teket kapal terobang. Kome datang sini tau. Lama bebenor tak berborak dengan mengkome pasal bola."

Rileks jek Roberto Baggio me-whatsapp aku. Itu memang dah perangai dia sejak azali lagi. Rileksnya perangai Baggio ni sampaikan sepakan penalti dia pun sengaja disepak tinggi melangit ketika perlawanan akhir Piala Dunia 1994. Siapa yang boleh melupakan kejadian super pilu tersebut?

'The Divine Ponytail' ini juga kata yang Paolo Maldini pun nak lepak sekali nanti. Aku akur dan tidak banyak membantah. Lagipun memang dah lama tak lepak buang masa dengan depa semua.

Aku nak bawak siapa pergi Itali ni? Takkan nak bawak makwe muda? Aaaah...bukankah aku seorang lelaki merangkap suami dan bapa yang soleh. Masakan aku mempunyai makwe yang muda. Ketika ini, aku hanya terbayangkan satu susuk sahaja. Taruddin.

Sampai di Itali, aku duduk makan spaghetti dengan Roberto Baggio dan seorang lagi lagenda The Azzurri, Paolo Maldini. Aku memesan minuman halal, sebotol coke tanpa alkhohol.

Turut serta ialah Taruddin, kutu yang aku pilih untuk dibawa ke Itali. Dia betul-betul bernasib baik sebab aku teragak nak ajak dia sekali. Bukan main gembira si Taruddin. Sampai berbuih mulut beliau kegembiraan.

Sambil makan, Maldini membuka mulut memulakan bicara.

“Aku fikir pasukan Bosnia sangat bertuah kerana telah layak ke Piala Dunia tahun depan .,”

Baggio meletakkan sudu dan garfu. Aku dan Taruddin hanya terdiam. Muka tegas Roberto Baggio tajam merenung mata kami berdua secara bergilir-gilir. Kemudian dia mengalihkan pandangan matanya ke arah Maldini pula.
“Itu aku tau Dini...tapi yang hairannya negara depa baru saaaaat ja merdeka tahun 1992. Masa Bosnia perang dulu, Malaysia kelam kabut hantar askar pergi sana tolong. Entah apa depa buat dekat bola depa, tiba-tiba layak ke Piala Dunia 2014.,” - jawab Baggio pula.

Maldini kelam kabut menelan baki spagetti yang berada di dalam mulutnya. Tak sabar ingin menambah cerita. Gelojoh gila orang Itali ni. Komen aku sendiri di dalam hati.

"Macam Malaysia ni pulak, Merdeka saja dah dekat 56 tahun. Tapi jangankan Piala Dunia, bau Piala Asia pun masih samar-samar akibat dikerjakan oleh Presiden FAM dan orang bawahannya.," - pedih apabila aku mendengar kata-kata yang dilontarkan oleh Maldini itu.

Ketika ini aku hanya mampu terdiam seribu bahasa. Memang ada betulnya apa yang mereka berdua ini katakan. Aku cuba hafal sebaik mungkin kenyataan Baggio dan Maldini dalam kepala. Taruddin pula aku lihat sedang cuba hendak mengeluarkan buku nota merah jambu dan pen merah jambu dari poket baju beliau, cuba mencatat sesuatu. Aku menghalangnya dengan memijak kaki beliau. Perjanjian aku dengan kutu kacukan Portugis-Cina ini, hanya aku boleh buat laporan eksklusif perbincangan dengan Baggio dan Maldini. Dia hanya berstatus sebagai tukang eskot sahaja.

"Hadri, aku nak tanya hang satu benda. Itu hari ketua pasukan yang pakai nombor 8 masa lawan Bahrain tu memang pemain terhebat yang negara kamu ada ke? Kenapa aku tengok dia main sangat teruk? Dia macam tak tahu tugas dia adalah memegang bola dengan tenang dan set tempo permainan.,"- sambil tersengih Maldini merenung aku, seolah-olah meletakkan cabaran berbentuk soalan kepada aku.
Taruddin di sebelah aku buat muka manja seperti mengejek kepada aku. Menyampah pulak aku tengok. Ikutkan hati memang aku nak tumbuk muka Taruddin dengan kedua belah tangan aku. Tapi kami ditempat orang. Tidak manis kalau kami tunjuk budaya buruk depan Maldini dan Baggio. Aku kuatkan iman sambil cuba baca zikir penenang.

“Kita tidak boleh bandingkan pemain Malaysia dengan pemain Itali Dini..Bagi aku kelas mereka sangat jauh berbeza. Kebanyakan pemain Itali telah menunjukkan diri mereka sebagai seorang pemain bola sepak yang kuat dan cemerlang dalam permainan berpasukan sejak berdekad lamanya . Bagi aku Malaysia harus segera mencari bakat baru dan berhenti daripada mengamalkan prinsip kronisme dalam memilih barisan pemain yang hendak mewakili negara.," - tegas aku dengan penuh bergaya, tidak mahu terperangkap dengan provokasi dari Maldini.

Aku berbisik dengan nada keras menyuruh Taruddin makan tembikai susu yang ada di atas meja. Dia akur sahaja mendegar arahanku. Mungkin barangkali bimbang ditumbuk di halkum sekali lagi.

Roberto Baggio lantas menyalakan sebatang rokok Nazionali. Rokok tersebut disedut dalam-dalam. Kemudian dia pun menghembuskan asap berkepul-kepul dari mulut dan hidungnya dengan penuh nikmat. Sampai terpejam mata beliau menikmati aroma asap membunuh tersebut. Aku biarkan Baggio menyambung hujahnya pula.

"Aku rasalah..pasukan bola Malaysia sekarang dah makin nazak. Bosnia yang baru merdeka tahun 1992 dah layak ke Piala Dunia. Iceland yang sebahagian besar daripada negaranya diliputi ais pun mungkin boleh layak ke Piala Dunia. Apa lagi alasan untuk Malaysia tidak layak ke Piala Dunia? Negara tidak aman? Negara kelaparan? Tiada stadium?.," - semakin serius Baggio aku lihat petang ini.

Maldini diam seketika. Aku pula memikirkan kata-kata dari Baggio tadi. ‘pasukan bola Malaysia sekarang dah makin nazak’. Tinggi makrifat ayat Baggio ini. Memang susah kalau tidak pandai bahasa Itali dan terpaksa guna Google translate.

Maldini aku lihat masih diam. Taruddin pula menghabiskan hirisan tembikai susu yang terakhir, menikamnya dengan garfu yang tajam. Tapi mungkin tidak setajam pasukan Itali bak kata Maldini.

“Jangan risau wahai rakyat Malaysia. Usai sahaja Soltan Bola letak jawatan. Bola sepak Malaysia akan kembali cemerlang dan gemilang,”

Maldini tiba-tiba bangun dan bersuara penuh yakin. Roberto Baggio tersenyum manis, aku sekali lagi terdiam sementara Taruddin pula hanya memegang garfu.

Dengan kata semangat itu, aku yakin satu hari nanti selepas tamat era pemerintahan Soltan Bola, kita boleh melihat pasukan Harimau Malaya bermain di Piala Dunia. Cuma soalnya bila?

Taruddin pula awal-awal lagi dah pesan. Kalau jadi pergi Brazil tahun depan, dia nak ikut. Aku pasrah.

Kah..kah..kah..sudah la. Tak larat aku nak menipu pagi-pagi ni.

TAMAT
 
Nota: Selamat Hari Besday SOltan Bola.


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...