Thursday, December 5, 2013

Piala Dunia 2014: Prolog Pemanas Badan.



Piala Dunia 2014: Prolog Pemanas Badan.

Pada 2010 pasukan bola sepak Malaysia menjulang Piala Aff Suzuki iaitu tahun yang sama juga berlangsungnya Piala Dunia 2010 Afrika. Eh, kejap. Kalau ada yang rasa meluat dengan apa yang aku selalu tulis ini, baik jangan teruskan 'scroll down'. Aku tak paksa pun untuk dapatkan '1 like 1 doa'. Tapi bolehlah PM/SMS/WHATSAPP aku kalau ada yang tak puas hati. Tahulah aku nak buat apa nanti. Baik, kita teruskan.

Ya saudaraku sekalian. Dalam masa 4 tahun juga pelbagai perkara sudah berlaku di serata alam. Yang berkulop sudah selamat menginjak usia dan sudah memasang 2 orang makwe sekaligus. Seorang di sesi petang dan seorang lagi di sesi pagi. Yang bujang pula masih ada terus membujang. Entah bila ketemu jodoh pun kita tidak tahu. Semuanya kena berserah pada yang SATU. Manakala yang berkahwin pada 2010 kini sudahpun berkira-kira hendak mencari pasangan hidup yang kedua. Begitulah berjalannya kehidupan seluruh alam hanya dalam tempoh masa 4 tahun. Bagaimana pula dengan bola sepak Malaysia?

Bola sepak Malaysia pula hanya menyajikan kita dengan siri berita sedih dan syahdu bertalu-talu. Setiap kali aku dikecewakan, aku akan pantas duduk bertahyat sambil zikir aku lafazkan secara lazim dan tulus dari lidah aku. Dengan harapan agar hati aku berasa tenang dan tidak marah-marah.

Sepanjang 4 tahun ini juga pelbagai perubahan berlaku ke atas struktur liga Malaysia kita. Contohnya daripada tiada langsung pemain import, kini sudah menjadi 4. Daripada tiada JDT, kini sudah ada 2 JDT dan mungkin akan menjadi 7 menjelang tahun 2020. Siapa tahu bukan?Daripada stadium kosong, kini kembali penuh. Daripada stadium penuh, kini sudah kosong. Daripada juara Piala Malaysia kini sudah masuk Liga Perdana. Tidak ketinggalan juga daripada Safee Yang Menunggang kini menjadi Safee Yang Menonggeng.

Tetapi kalau kita lihat perubahan ini tidaklah berapa power pun. Yang paling power seperti biasa ialah Soltan Bola juga kerana masih kekal sebagai Presiden FAM yang mampan dan berdaya saing. Itu hakikat yang tiada sesiapapun boleh menidakkannya.

Kini Piala Dunia kembali lagi. Malaysia seperti biasa meneruskan rutin untuk tidak layak ke kejohanan agung dalam kalendar bola sepak dunia ini. Adakah kita sudah bersedia dengan negara angkat masing-masing?

Tahun 2014 adalah tahun Sepanyol. Seluruh dunia mengakuinya dengan cemburu di hati. Pada setiap hari yang mereka lalui, mereka berharap semoga Piala Dunia kali ini sekali lagi milik negara mereka. Pasti... tahun 2014 adalah tahun milik Sepanyol. Pasti! Itulah kegembiraan dan itulah harapan rakyat Sepanyol kerana piala dunia yang akan berlangsung di Brazil ini akan pasti mereka miliki sekali lagi. Kejayaan menjulang Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut hanya akan menjadikan Sepanyol sebuah pasukan bola sepak paling power di muka bumi.

Jauh di Amerika Selatan, skuad yang dicanang-canangkan sebagai skuad paling berbakat di dunia sedang gigih menjalankan persiapan. Tidak ada yang kurang. Mereka ada Neymar, Luiz, Oscar, Alves, Paulinho dan Hulk. Semua serapah sudah cukup cuma belum diuji di padang rumput. Kelebihan sebagai tuan rumah tidak akan mereka sia-siakan. Iringan muzik samba pasti memukau. Disulami juga dengan aksi penuh helah serta seni yang tiada tolok bandingnya.

Kembali ke Eropah, di sebuah stadium yang kosong di Itali, kelibat seorang pemain yang bakal menggegarkan Piala Dunia tahun depan sedang gigih berlatih. Dia bukan sandaran utama tetapi sesuatu akan terjadi, sesuatu yang akan menobatkannya menjadi lagenda kepala angin yang bernama Mario Balotelli. Ini adalah penampilan pertamanya dalam Piala Dunia. Sesuatu mesti dibuktikan kepada seluruh dunia yang dia adalah pemain bola sepak terbaik dalam eranya.

Jauh di Argentina pula, pekik tawa pemain bercampur baur dengan satu semangat. Semangat mahu menjuarai Piala Dunia selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 1986. Di sebalik kelibat pemain-pemain yang penuh semangat itu, terselit seorang legenda yang sedang dalam pembikinan. Piala Dunia 2014 adalah yang ketiga untuknya, Piala Dunia yang akan mengajarkan erti perjuangan, dan hari-hari Lionel Messi pun semakin hampir. Banyak cakap-cakap mengatakan Messi perlu memenangi Piala Dunia ini sekiranya ingin menjadi pemain yang sempurna.

Di Eropah Selatan, di hujung padang berdiri satu susuk pemain, memandang jauh ke langit Portugis. Dia sedang memasang azam yang kukuh. Dia mahu menjadi yang terbaik dan dia mahu menjadi yang paling hebat. Dia mahu menunjukkan kepada dunia siapa Cristiano Ronaldo. Adiwira negara Portugis ini bolehlah dikatakan sebagai individu yang bertanggungjwab membawa pasukannya mara sejauh ini. Hanya dia. Ya, hanya dia. Itulah Cristiano Ronaldo.

Sementara itu jauh di hujung benua Asia. Di sebuah negara yang masih memegang kuasa antara negara paling korup, seorang lelaki menatap berita di telefon pintar androidnya dengan wajah yang kecewa. Tahun 2014, sekali lagi dia terpaksa mencari negara angkat untuk disokong pada Piala Dunia. Ini kerana selepas 40 tahun tidak melayakkan diri ke Piala Dunia, dia semakin hampa. Entah bila dia akan mampu bersorak untuk negaranya sendiri dalam kejohanan bola sepak paling berprestij di dunia itu.

2 comments:

Silakan Laser Saye...