Sunday, January 12, 2014

Piala Dunia 2014: Holland


Pengenalan.

Aku lebih senang memanggil mereka Belanda. Pasukan ini seperti biasa akan memulakan aksi di Piala Dunia dengan harapan untuk menjadi Juara. Pencapaian terbaik mereka adalah apabila menjadi Naib Juara pada tahun 1974, 1978 dan 2010. Belanda adalah satu-satunya pasukan yang paling berpotensi di muka bumi untuk menjadi Juara Piala Dunia yang masih belum menjulang Piala teragung ini (selain Malaysia).

Sebab itu ada yang mengatakan sejarah Belanda di Piala Dunia amat tidak sesuai dengan reputasi mereka selaku antara kuasa besar dalam era moden bola sepak dunia. Pada edisi kali ini, sekali lagi mereka tampil untuk membuktikan yang mereka masih berpengaruh meskipun pada hakikatnya mereka masih lagi di bawah tahap sebenar dalam sejarah Piala Dunia.

Pemain seperti Robin Van Persie, Wesley Sneijder dan Arjen Robben masih lagi menjadi sandaran utama Belanda untuk menggegar Piala Dunia tahun ini. Ternyata bahagian serangan Belanda sangat kuat dan bertaraf dunia. Kepintaran teknikal Van Persie, kualiti gerakan Sneijder dan kepantasan menggelecek Arjen Robben pasti menjadi ancaman besar pada mana-mana sahaja lawan mereka. Jika cergas sepenuhnya, trio ini pastinya menjadi senjata yang amat merbahaya.


Jurulatih: Louis Van Gaal.

Ketika artikel ini ditulis, Van Gaal sedang hangat diburu oleh pasukan Tottenham Hotspurs. Walaupun begitu fokusnya tidak akan terganggu dan perhatiannya masih 100% untuk pasukan Belanda. 

Pada pusingan kelayakan, pasukan Belanda bimbingan Van Gaal ini berjaya mengutip 28 mata daripada 10 perlawanan yang meletakkan mereka di tangga pertama kumpulan D. Sekaligus menjadikan pasukan Belanda ini berada dalam kedudukan 8 pasukan pilihan di Brazil Jun depan. 


Ketua Pasukan: Robin Van Persie.

Beliau kini sudah berjaya memintas rekod Patrick Kluivert untuk menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Belanda dengan 41 gol. Manakala persembahannya untuk peringkat kelab juga amat memberansangkan buat pemain yang berasal dari Rotterdam ini. Musim lepas memperlihatkan Van Persie menjadi tonggak utama untuk pasukan Manchester United dalam menjulang kejuaraan ke-20 liga mereka. 

Pemain ini semasa remajanya banyak menghabiskan masa dengan bermain 'street soccer' yang mana banyak membantunya mencipta asas untuk skil dan kepintaran tekniknya. Menurut Arsene Wenger suatu ketika dahulu "Tiada pemain yang boleh memegang bola begitu hampir dengan kaki pada sentuhan pertamanya seperti Van Persie". Itu dulu punya ceritalaaaa.


Pemain Bintang: Arjen Robben.

Arjen Robben adalah pemain lagenda yang telah memenangi 3 kejuaraan liga di 3 negara yang berbeza : Chelsea, Real Madrid, Bayern Munich. Pemain sayap lincah dan berkemahiran tinggi ini boleh membuatkan lawannya menjadi gila isim. Skil menggelecek dan kepantasan beliau memang hebat dan ia menjadikan beliau pemain yang akan sentiasa berjaya memecahkan kebuntuan perlawanan dan menjadi punca kemenangan dalam sesuatu pertarungan. 

Jika cergas sepenuhnya pada Piala Dunia 2014 nanti, Robben akan menjadi senjata berbahaya kepada mana-mana pasukan yang akan bertemu dengan Belanda.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Stefan de Vrij.

Baru berusia 21 tahun. Ketua pasukan untuk kelab Fayenoord ini mempunyai ketinggian 6 kaki 2 inci. Merupakan pertahanan tengah yang tenang dan mantap dalam kawalan bola.

Debut pertamanya adalah pada 15 Ogos 2012 dan sejak itu dia sudah mengumpul 9 penampilan untuk skuad Louis Van Gaal.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...