24 Januari 2014 (Jumaat)
Selangor PKNS vs ATM
8.45 mlm, Stadium Majlis Perbandaran Selayang
Momentum kejayaan pasukan ATM mengutip tiga mata dijangka akan dapat dikekalkan apabila bertemu dengan pasukan Selangor PKNS. Buat masa ini ATM sedang berada pada prestasi terbaik mereka walaupun pada perlawanan pertama tempohari mereka tidak menurunkan beberapa tonggak utama. Sekali lagi Marlon Alex akan dijadikan sandaran untuk menjaringkan gol di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang sememangnya sudah sebati dengan pasukan ATM meskipun mereka akan turun sebagai pelawat pada perlawanan ini. Walaupun begitu, luka tewas kepada Sime Darby dalam aksi Piala FA mungkin merencatkan sedikit persiapan The Gladiators menjelang pertemuan menentang PKNS.
Malang buat pasukan PKNS pada perlawanan pertama bertemu Terengganu apabila jaringan pendahuluan pada minit ke-17 daripada Hamka Hamzah masih belum mampu menghadidahkan pasukan Sang Semut Merah ini kemenangan sulung musim ini. Wan Jamak sudah pasti akan merencana persediaan terbaik buat PKNS melakar kejutan ke atas pasukan yang gah seperti ATM. Dengan sedikit magis dari Wan Jamak, B. Sahthianathan akan terkulai di Selayang. Perhatikan juga aksi Hamka Hamzah yang telah menjaringkan 2 gol dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA ketika PKNS menewaskan JDT II.
Pemain Tumpuan Selangor PKNS : Hamka Hamzah
Pemain Tumpuan ATM : Jayaseelan
Ramalan: Selangor PKNS 2 - ATM 1.
25 Januari 2014 (Sabtu)
Lions XII FC vs Selangor
7.45 mlm, Bishan Stadium
Dahulu Lions XII memiliki Shahril Ishak, Baihaki Khaizan dan Hariss Harun. Tidak lupa juga padang plastik. Tetapi kini semua itu tiada lagi. Cuma yang boleh dibanggakan hanyalah Izwan Mahbud sahaja yang masih kekal kebal di posisi penjaga gol dan beliau adalah antara punca utama kepada kejayaan Lions XII menjuarai Liga Super 2014 dengan penuh sombong.
Selangor pula bertuah kerana memiliki Mehmat Durakovic pada musim ini. Selain itu, kehadiran Paulo Rangel juga merupakan satu rahmat besar kepada skuad Gergasi Merah. Mengikut kajian majalah bola terkemuka Brazil, 'TheGoaLines'. Sekiranya sesebuah pasukan itu memiliki Paulo Rangel, maka pasukan itu sudahpun lengkap 99.99%. Gandingan Mehmat Durakovic-Paulo Rangel kini mengatasi mana-mana gandingan jurulatih-pemain seperti Seedorf-Balotelli dan Simeone-Costa. Paolo Rangel telah menjaringkan 2 gol yang cantik ketika menentang T-team minggu lepas. Dan dijangka dia akan sekali lagi berjaya mengulangi aksi yang sama di Bishan.
Pemain Tumpuan Lions XII FC : Gabriel Quak Jun Yi
Pemain Tumpuan Selangor : Paulo Rangel
Ramalan: Lions XII FC 1 - Selangor 3
Sarawak vs Kelantan
8.45 mlm, Stadium Negeri Sarawak
Juara Liga Perdana 2013, Sarawak akan menanti kehadiran Kelantan di Stadium keramat mereka Stadium Negeri Sarawak. Sarawak yang kecewa pada perlawanan pertama kerana tewas kepada ATM di Selayang minggu lepas sudah tentu mahu bangkit apabila menghadapi Kelantan. Mungkin kini mereka sudah mulai terasa kehilangan mesin gol mereka iaitu Bobby Gonzalez yang berpindah ke pasukan PDRM musim ini. Dengan Akmal Rizal dibarisan serangan, sedikit sebanyak akan menyulitkan peluang mereka untuk memburu gol atas kerana faktor usia pemain tersebut.
Kelantan pula kelihatan garang bagaikan amukan Haiyan dengan kehadiran semula Mat Ghaddar. 'The Kijang' menewaskan KL Sime Darby FC 2-1 untuk mengutip mata penuh pertama musim ini. Meskipun mereka ketinggalan seawal minit ke-7, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buah Steve Darby membolehkan mereka berjaya mengatasi pasukan KL Sime Darby FC. Secara kasarnya kelebihan berpihak kepada pasukan Kelantan untuk menewaskan Sarawak di Kuching.
Pemain Tumpuan Sarawak : Hairol Mokhtar
Pemain Tumpuan Kelantan : Mat Ghaddar
Ramalan: Sarawak 2 - Kelantan 0
Perak vs Terengganu
8.45 mlm, Stadium Perak
Dalam tempoh seminggu pasukan Perak sudah mengalami 2 kekalahan. Tewas kepada pasukan paling agung, JDT ketika saingan Liga Super dan kemudiannya disingkirkan oleh Pahang dalam aksi Piala FA. Jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim perlu menaikkan semula moral pasukan yang pada ketika ini berada di tahap yang amat rendah. Meskipun aksi beberapa pemain baru seperti Kyaw Zayar Win dan lagenda Hardi Jaafar agak memuaskan, pasukan Perak sebenarnya perlu lebih daripada itu sekiranya ingin menewaskan Terengganu.
Sementara itu Terengganu yang kembali mendapat sentuhan ajaib Haji Abdul Rahman sudahpun mengumpul 3 mata hasil daripada perlawanan pertama mereka menentang PKNS. Bukan itu sahaja, Terengganu juga mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA apabila membelasah Shahzan Muda 4-0. Jika dinilai secara kasar, pasukan Terengganu berpeluang menewaskan pasukan tuan rumah Perak meskipun tidak beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Pemain Tumpuan Perak : Kyaw Zayar Win
Pemain Tumpuan Terengganu : Nor Farhan
Ramalan: Perak 0 - Terengganu 2
Terengganu PBDKT T-Team vs Johor Darul Ta'zim
8.45 mlm, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah
Umum mengetahui pemburuan menjadi juara liga super bukanlah satu tugas semudah membaca Aliff Ba Ta. Banyak halangan yang perlu ditempuhi, tidak lupa juga ujian-ujian yang mendatang tiba baik di atas padang mahu pun di luar padang. Inilah yang sedang dihadapi oleh pasukan paling agung di dunia iaitu JDT. Walaupun terlalu banyak cerita luar padang yang mengganggu JDT, tetapi fokus pasukan ini tidak pernah luntur walau sekelumit pun. Bertemu T-Team, sudah pasti ia bukan masalah besar buat mereka.
Minggu ini T-Team akan melayani kunjungan JDT di Kuala Terengganu dengan penuh debar. Tekanan mungkin kurang dirasai oleh para pemain T-Team kerana turun sebagai pasukan bukan pilihan. Jika mereka bermain secara tenang dan kurang melakukan kesilapan, maka tidak mustahil mereka sekurang-kurangnya mampu mengutip satu mata.
Pemain Tumpuan PBDKT T-Team: TIADA
Pemain Tumpuan Johor Darul Ta'zim: Amri Yahyah
Ramalan: PBDKT T-Team 2 - Johor Darul Ta'zim 4
KL Sime Darby FC vs Pahang 8.45 mlm
Stadium Majlis Perbandaran Selayang
Sime Darby hampir berjaya mengejutkan Kelantan pada perlawanan pertama liga super. Dalam aksi Piala FA pula mereka dengan tenang menewaskan ATM 2-1 menerusi 2 gol jaringan Mahmoud Al Amna . Maka tidak mustahil anak buah Ismail Zakaria boleh menewaskan Juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih ini.
Berdasarkan prestasi semasa pula, pasukan Pahang gagal mempamerkan status mereka sebagai pasukan pilihan musim ini. Mungkin kelemahan di bahagian pertahanan perlu diperbaiki di samping aksi longlai Azidan Sarudin yang bermain di bahagian tengah yang nampaknya masih belum mampu menampung kehilangan Amirulhadi. Stadium Selayang sekali lagi akan menjadi saksi rebahnya sebuah pasukan gergasi pantai timur.
Pemain Tumpuan KL Sime Darby FC : Mahmoud Al Amna
Pemain Tumpuan Pahang : Azidan Sarudin
Ramalan:KL Sime Darby FC 1- Pahang 0
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...