Wednesday, January 8, 2014

Piala Dunia 2014: Mexico



Pengenalan. 

Angkat tangan siapa ada jersi England? Belanda? Jerman? Argentina? Haaaa...Bagus...bagus. Sekarang siapa pula yang ada jersi Mexico? Huuurrrmmmms....Tak bagus ni. 

Ceritanya begini wahai kawan-kawan. Sebelum Tanah Melayu bergegar dengan gelekan Maria Mercedes di kaca televisyen saluran NTV7 pada sekitar tahun 1999, aku sudah pun khatam jumlah warna yang digunakan untuk mencorak jersi penjaga gol Jorge Campos. Selepas itu gerak skill kepit bola-lompat Cuauhtémoc Blanco juga aku berjaya praktikkan setiap petang ketika turun menewaskan Pasukan Anak-Anak Pekerja Persatuan Peladang Tangkak. Sejarah tidak pernah menipu apabila pasukan yang aku wakili sentiasa menang. Begitulah kuatnya pengaruh pasukan Mexico dalam kehidupan aku. 

Seperti yang kita tahu, Mexico telah mengalami krisis mata wang yang sangat teruk pada tahun 1994. Dan ianya masih lagi berlaku sehingga kini. Walaupun begitu, Krisis Matawang Peso ini masih gagal menyekat perkembangan bola sepak Mexico. Sebagai rekod, ini adalah penampilan ke-6 Mexico secara berturut-turut sejak dari Piala Dunia edisi 1994 lagi. 

Penyeludupan manusia, pengedaran dadah dan masalah senjata semuanya ditutup rapi dengan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia. Biarpun hanya sebulan. Kegembiraan ini wajib diraikan bersama di serata Mexico. Viva El Tri!!!! 

Jurulatih: Miguel Herrera. 




Nama susuk ini sudah tidak asing lagi dalam kancah bola sepak di Mexico. Perkara pertama yang beliau lakukan apabila dilantik menjadi jurulatih untuk perlawanan play-off menentang New Zealand ialah dengan memanggil 10 orang pemain yang dilatihnya ketika bersama kelab America. Ia langkah drastik yang berkesan apabila 7 daripada pemain itu diletakkan dalam kesebelasan utama dan berjaya menewaskan New Zealand dengan aggregate 9-3 sekaligus memacu Mexico layak ke Piala Dunia 2014 setelah mengharungi satu kempen yang terumbang-ambing.

Miguel Herrera yang berbadan gempal ini masih lagi berjaya mengekalkan rekod 100% kemenangan untuk pasukan Mexico apabila sudah memenangi kesemua 3 perlawanan sejak daripada dilantik menjadi jurulatih Mexico pada bulan Oktober 2013.

Ketua Pasukan: Rafael Marquez Alvarez




Pemilihan semula Rafael Marquez ke dalam pasukan Mexico adalah sesuatu tindakan tepat yang dilakukan oleh Herrera. Pada usia 34 tahun, ketenangan yang dibawanya ke dalam barisan pertahanan Mexico banyak membantu pasukan ini.

Telah mengumpul sejumlah 116 penampilan untuk Mexico dan bekas pertahanan Barcelona ini masih lagi belum hilang sentuhan emasnya. Kemahiran dalam melakukan hantaran jauh yang sangat tepat sudah pasti akan menjadi senjata utamanya.

Pemain Bintang: Javier Hernandez.


Little Pea menggegar kancah bola sepak England pada musim pertamanya dengan Manchester United apabila berjaya menjaringkan 20 gol. Tetapi kariernya dengan pasukan kebangsaan Mexico mengalami sedikit penurunan. Beliau hanya mampu menjaringkan 12 gol sahaja sepanjang tahun 2012 dan 2013  untuk pasukan Mexico. Statistik yang amat membimbangkan.

Walaupun begitu, ketajamannya dihadapan gol masih didambakan Mexico bagi memacu arah tuju pasukan ini dalam kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil nanti.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Raul Jimenez


Penyerang sensasi kelab America ini baru sahaja berusia 22 tahun. Namun pada usia muda begini dia adalah harapan utama untuk kelab dan negaranya. Menyelamatkan Mexico dengan jaringan melalui sepakan gunting sekaligus memberi kejayaan menewaskan Panama dan seterusnya membawa skuad El Tri untuk bertemu dengan New Zealand.

Raul Jimenez pastinya akan menggegar Piala Dunia 2014 bersama-sama Oribe Peralta dan Javier Hernández yang akan membentuk gandingan merbahaya buat pasukan Mexico.











1 comment:

Silakan Laser Saye...