Di mana mereka? Diego Tristan.
Haaaa...Anda kenal pada Diego Tristan? Tidak? Itu bermakna anda adalah seorang yang masih hijau dalam arena bola sepak dunia. Tetapi sebelum apa-apa, izinkan saya menidurkan anak-anak dan isteri saya terlebih dahulu.
............................Okeh Done!!!
Dekat mane kita berhenti tadi? Ha ye...Diego Tristan.
Lama sebelum wujudnya Diego Costa yang berwajah tua kerepot, dunia bola sepak awal era 2000 pernah dihiasi dengan kelincahan aksi Diego Tristan di hadapan gol sehinggakan beliau digelar 'The Slippery Lizard'. Lain pula ceritanya dengan bola sepak Malaysia ketika itu yang lebih banyak melahirkan penyerang berjenis 'The Sleepy Wizard'. Abaikan sahaja kisah mereka ni.
Sepanjang tempoh singkat kemahsyuran Diego Tristan, beliau telah membantu Deportivo La Coruña - pasukan agong daripada Sepayol ketika itu memenangi Copa del Rey dan Supercopa de España pada tahun 2002, serta kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Champions League musim 2004. Siapa boleh melupakan kejayaan dramatik Deportivo menewaskan AC Milan ketika itu? Walaupun watak utama masa itu adalah seorang lagi lagenda iaitu Walter Pandiani, namun nama Diego Tristan kekal terpalit dalam sejarah Champions League sebagai antara anggota pasukan 'fairy tales' yang dibimbing oleh Javier Irureta.
Mari kita imbas serba sedikit berkenaan latar belakang Diego Tristan.
Dia mula mencipta nama dengan RCD Mallorca apabila menjaringkan 18 gol dalam 35 penampilannya pada musim 1999/2000. Presiden Real Madrid ketika itu, Lorenzo Sanz dengan segera cuba mendapatkan Diego Tristan bagi menambah koleksi penyerang The Galacticos yang sudah pun memiliki Raul dan Fernando Morientes. Namun perpindahan ini tidak berjaya dilaksanakan apabila Florentino Perez melangkah sebagai Presiden di Bernabeu dan memulakan legasi pemerintahannya di Real Madrid.
Selepas itu Deportivo muncul dengan bidaan £8 juta yang mana ia dilihat sebagai antara pembelian berbaloi dalam sejarah bola sepak moden. Diego Tristan kemudiannya membina repustasinya sebagai pemain nombor 9 yang lengkap; pakar dalam memecah pertahanan lawan, skill bola sepak yang tinggi dan kepantasan serta ketangkasan menjaringkan gol.
Musim pertama Diego Tristan di Deportivo dibayangi dengan kehebatan seorang lagi penyerang pawer iaitu Roy Makaay. Tetapi beliau masih mampu menjaringkan 19 gol dalam 29 penampilannya di atas padang. Musim 2001/2002 pula dia menyudahkan kempen dengan merekodkan 21 gol dalam 35 aksi di La Liga serta 6 biji gol di pentas Eropah. Ia sekaligus membolehkan beliau menjulang trofi Pichichi pada penghujung musim tersebut.
Kecemerlangan beliau pada musim ini menarik perhatian José Antonio Camacho si ketiak basah untuk memanggil beliau masuk ke dalam skuad Sepanyol bagi kejohananPiala Dunia Korea Japan 2002. Malangnya beliau tercedera ketika kejohanan berlangsung dan gagal membuat penampilan bersama skuad La Furia Roja pada ketika itu.
Diego Tristan kemudiannya menyudahkan enam musim bersama Deportivo La Coruña dengan 78 gol dalam 177 perlawanan. Selepas itu beliau ada juga menyepak bola di kelab bola sepak lain seperti Mallorca, Livorno, West Ham dan Cádiz. Namun nama 'The Slippery Lizard' semakin hilang ditelan zaman dek kerana kecederaan berulang yang sering dialami serta kehidupan tidak tentu hala beliau di luar padang.
Mungkin ini adalah antara kisah dongeng tipikal seorang pemain bola sepak yang hebat namun dihalang oleh kecederaan dan juga kegagalan membendung populariti. Jika Diego Tristan berjaya mengawal kehidupannya, siapa tahu nama beliau sudah sebaris dengan Raul, Ronaldo ataupun paling tidak Morientes.
Tetapi ia masih pengakhiran yang mulia jika kita hendak bandingkan dengan terjun ke landasan keretapi.
Posted via Blogaway
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...