Wednesday, April 15, 2015

Mengintai Peluang Piala Dunia dan Piala Asia Buat Kali Ke-876123.

Ini Tim Bola Bhutan. Tahu?

Mengintai Peluang Piala Dunia dan Piala Asia Buat Kali Ke-876123.

RIP. Bungkus awal. Itu antara segelintir respon daripada umat Malaysia selepas menengok undian awal Piala Dunia dan Piala Asia kelmarin. Aku tak marahkan mereka ni semua sebab aku rasa mereka cukup masak dengan perihal masalah bola sepak negara kita. Bagaimana pula dengan harapan sesetengah peminat hijau Harimau Malaya? Perlukah kita optimis dengan peluang layak ke Piala Dunia dan Piala Asia buat kali ke 876123? Yang itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Aku ok jeeeek sebenarnya.

Baiklah. Jika kita melihat secara mendalam dari segi corak permainan dan kemahiran bermain bola sepak. Aku yakin kita akan terlepas kedua-dua peluang untuk layak ke kejohanan ini. Kenapa aku terlampau negatif? Hah? Sebabnya ialah:

1) Kita tiada pemain pertahanan yang betol-betol mantap dan mampu fokus pada permainan lebih daripada 65 minit.

Kita ambil contoh Aidil Zafuan, Fadli Shas dan Muslim Ahmad. Mereka ini kalau dah beraksi lebih daripada 65 minit mulalah buat benda-benda merapu. Contohnya melakukan bentesan bahaya tak patut di dalam kotak penalti, mencari kad merah secara rela hati ataupun terpinga-pinga melihat hantaran lintang pasukan lawan di dalam kawasan sendiri. Manakala tak kurang juga pemain macam Mahali Jasuli yang gemar naik ke atas tapi tidak mampu turun secara segera bagi bertahan semula. Ada juga pemain pertahanan berstamina tinggi macam Zubir Azmi dan S. Kunanlan. Tapi mereka ini lebih kepada skuad perentas desa olimpik dan kawalan bola mereka amat mengecewakan. Kesannya pemain pertahanan Harimau Malaya akan gagal bertahan dengan baik dan ia akan membuka peluang kepada penyerang lawan untuk merobek gawang gol pasukan kita. Harus diingat (baca gaya Arwah Hasbollah Awang) penyerang yang akan dihadapi oleh Harimau Malaya nanti ada kemungkinan besar ialah Ali Mabkhout dan Ahmed Khalil dari Emiriah Arab Bersatu  yang merupakan pengumpul 9 gol secara berjemaah dalam Piala Asia 2015 yang baru sudah.

Nota tambahan: Aku paling ngeri kalau K. Ruben yang dipanggil untuk tugasan macam gini. Mujur nama beliau sudah hilang dari kamus bola sepak tempatan.
 
2) Pemain tengah yang hanya kreatif dalam Liga Tempatan.

Ini aku tujukan khos buat pemain macam Safiq Rahim dan Badri Radzi. Umum mengetahui bagaimana kemahiran mereka di dalam liga tempatan dalam melakukan 'through-pass', mencipta peluang buat penyerang dan membuat cubaan gol yang menarik. Kehebatan menjaringkan gol daripada sepakan penjuru dan sepakan percuma. Amboih bukan main pawer lagi mereka beraksi dalam liga Malaysia ye. Tetapi bila tiba aksi di pentas antarabangsa, semuanya ghaib bagaikan ditelan kapsul masa. Itu aku belum sebut pasal melakukan penetrasi ke atas pertahanan lawan, bermain secara segitiga, mencari ruang buat penyerang menjaringkan gol serta sentiasa kreatif dan geliga merencana setiap gerakan dari tengah padang yang mana merupakan antara komponen terpenting dalam sesebuah pasukan bola sepak. Lihat sahaja nama-nama seperti Zidane, Pirlo mahupun Xavi. Bagaimana mereka membina reputasi mereka dari tengah padang dan menjadi pemain juga merangkap ketua pasukan yang disegani. Salute!!!

Apakah jenis pemain tengah yang kita ada? Pemain tengah yang kita ada hanya mampu berlari-lari anak di tengah padang. Kadangkala mendongak menengok bola yang dihantar oleh pemain pertahanan terus mencari penyerang gendut di hadapan. Renung-renungkanlah ye.

3) Tiada pemain sayap yang memiliki pakej lengkap sebagai pemain sayap.

Sebenarnya secara jujur kita ada pemain sayap yang bagus. Sebagai contoh Gopinathan, Nazrin Nawi, Azamuddin Alex Akil dan Chanturu Express. Mereka ini pemain sayap yang bagus, cumanya tidak memiliki pakej yang lengkap sebagai seorang pemain sayap. Seorang pemain sayap tidak sepatutnya hanya tahu menggelecek bola tetapi lintang pukang dalam melakukan hantaran lintang (mentang-mentanglah namanya hantaran lintang). Pemain sayap juga tidak perlu gopoh menyepak bola ke langit apabila berhadapan situasi menjaringkan gol. Dan pemain sayap juga tak perlulah menggelecek sehingga ke penjuru padang hanya untuk mengeluarkan bola dari permainan dengan menggunakan keting. Jika mahukan contoh pemain sayap terbilang tahap lagenda, lihat sahaja corak permainan Ryan Giggs dan Marc Overmars. Ataupun Robert Pires dan Fredrik Ljungberg. Inilah sebenarnya jenis-jenis pemain sayap yang tidak dilahirkan di dalam Liga Malaysia. Kalau ada. Sila bagitau aku sekarang!!! Tegas jugak aku ni rupanya.

4) Mencari penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim.

Okeh. Sekarang aku nak tanya. Bilakah kali terakhir penyerang tempatan berjaya menggondol anugerah kasut emas untuk Liga Super dengan menjaringkan lebih daripada 20 gol semusim? Apa? Tak ingat? Tak tahu? Mari sini aku bagitau. Dekat sikit telinga tu aku nak bisik. Dengar ye...

Berdasarkan statistik kuno, kali terakhir penyerang tempatan berjaya menggondol anugerah kasut emas untuk Liga Super dengan menjaringkan 20 gol semusim ialah pada 2011 iaitu dilakukan oleh Hadi Yahya. Hanya 20 gol sahaja. Cukup-cukup makan. Manakala Hashim Mustapha lebih cemerlang dengan rekod 25 gol pada tahun 1994 bersamaan ketika aku masih darjah 4. Apakah maknanya kejadah semua ini?

5) Betolkah Dollah Salleh ini Hristo Stoichkov versi Malaya?

Sebut sahaja nama Hristo Stoichkov, mesti ramai yang teringat akan ketajaman beliau ketika bermain sebagai seorang penyerang suatu masa dahulu. Tetapi adakah kita tahu beliau juga pernah melakukan kerja gila ketika membimbing Bulgaria dengan memilih formasi 2-4-4? Mintak dijauhkan Dollah Salleh daripada menjadi perangai sebegini.

Dollah Salleh jika tidak mahu berperangai seperti Stoichkov wajar mempelbagaikan taktik ketika berhadapan lawan yang berbeza-beza saiz, taktikal dan corak permainan. Bagaimana mahu berhadapan dengan pasukan yang bermain dengan formasi 4-3-3? Perlukah mengubah formasi daripada 4-4-2 yang biasa digunakan oleh Harimau Malaya ini kepada formasi 4-2-3-1 yang mana lebih menarik dan berkesan. Dan formasi ini juga mampu melumpuhkan dengan cepat lawan yang bermain secara 4-4-2 dan 4-3-3. Ini sekadar contoh sahaja kerana Dollah Salleh perlu merencana pelbagai formasi yang mampu mencipta peluang gol.

Tetapi melihat kepada nama-nama pemain yang sering Dollah gunakan setakat ini, aku tertunduk sambil menggeleng kepala secara perlahan-lahan.

Baiklah anak mude sekalian. Aku bagi 5 sahaja dalil buat masa ini. Yang lain-lain kita boleh tambah ataupun fikirkan secara berjemaah ketika sedang duduk meneran di rumah masing-masing. Tidak salah kalau kita hendak memasang angan-angan untuk menjadi seperti Senegal dan Korea Selatan pada Piala Dunia 2002. Mahupun Greece dalam Piala Eropah 2004. Malangnya jika dikaji jirim dan jisim bola sepak Malaysia itu sendiri, angan-angan seperti ini adalah lebih baik disimpan di dalam Arkib FAM sahaja.

Sudahlah aku nak pergi makan nasik.


Posted via Blogaway

1 comment:

  1. Bro...tak der cite pasal JDT dah ker..Rindulah kutukan Bro pada JDT.Bukan banyak pun ludah patah balik kat muka tu..

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...