Friday, February 28, 2014

Piala Dunia 2014: Costa Rica


Piala Dunia 2014: Costa Rica

Pengenalan

Dalam bola sepak, konsistensi dan resilien adalah perkara paling penting untuk menjadi hebat. Perkara inilah yang diterapkan oleh pasukan Costa Rica sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2014 yang lepas. Mereka hanya tewas 2 kali sahaja (kepada Amerika Syarikat dan Honduras) dalam 10 perlawanan dan mengumpul sejumlah 18 mata untuk menduduki tempat kedua di belakang Amerika Syarikat.

"Tidak apa Costa Rica kalah satu atau dua perlawanan berprofil tinggi asalkan kami menang dengan semua perlawanan celah gigi yang lain", kata seorang bekas pemain Costa Rica, Paulo Wanchope yang pernah menempa nama bersama kelab Manchester City.

Piala Dunia 2014 ini adalah penampilan yang ke-4 buat Costa Rica. Pertama kali membuat kemunculan ialah pada Piala Dunia 1990 dan layak sehingga ke pusingan 16 pasukan. Ianya juga kekal pencapaian terbaik mereka setakat ini berbanding edisi 2002 dan 2006.


Jurulatih: Jorge Luis Pinto. 


Pada usia 61 tahun, jurulatih yang berasal dari Colombia ini sudahpun menguruskan 15 kelab bola sepak yang berbeza dalam masa 30 tahun karier kejurulatihannya termasuk turut pernah melatih pasukan negaranya sendiri iaitu Colombia pada tahun 2007 hingga 2008.

Ini merupakan kali kedua beliau bersama pasukan Costa Rica selepas kali pertama melatih pasukan ini pada tahun 2004-2005.


Ketua Pasukan: Bryan Ruiz. 


Pemain ini menyertai PSV Eindhoven pada 15 Januari 2014 sebagai pemain pinjaman sehingga tamat musim ini. Walaupun tidak dapat menyerlahkan potensi sebenarnya bersama Fulham namun beliau adalah pemain penting dalam kempen kelayakan Piala Dunia untuk Costa Rica.


Pemain Bintang: Keylor Navas.


Penjaga gol yang berpotensi besar ini melakukan debutnya untuk pasukan utama Costa Rica pada usia 18 tahun. Kecermelangannya turut dibawa bersama pasukan Levante apabila dia membantu pasukan itu layak ke Europa League buat pertama kalinya dalam sejarah kelab tersebut.

Kini sudah berusia 27 tahun dan merupakan antara penjaga gol yang sedang meningkat naik namanya di persada bola sepak antarabangsa.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Joel Campbell.


Arsenal telah menandatangani pemain ini pada 2011. Tetapi akibat masalah permit, dia telah dipinjamkan ke 3 buah kelab iaitu Lorient, Real Betis dan Olympiacos.

Seorang pemain yang pantas, penuh skill dan tajam di hadapan gol. Ciri terbaik buat seorang penyerang mantap. Ingat nama ini 'Joel Campbell'.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...