Tuesday, February 11, 2014

Terowong Larkin dan Pergaduhan Darul Makmur Bukan Satu Peristiwa Revolusi Bola Sepak Malaysia


Terowong Larkin dan Pergaduhan Darul Makmur Bukan Satu Peristiwa Revolusi Bola Sepak Malaysia.

Aku sebenarnya takdelah teruja sangat dengan peristiwa terowong larkin ni. Cuma secara tiba-tiba selepas bangun pagi dan membuang hadas, hati aku terbuka nak komen sikit perihal ajaib ini sambil melihat biri-biri berkejaran di belakang rumah. Jadi, aku  harap engkorang baca dengan tenang pendapat peribadi aku yang tak seberapa ini atas kapasiti aku yang mula memahami erti bola sepak Malaysia sejak dari tahun 1993. Sejak daripada aku mengenali John Hunter yang rongak dan Alan Davidson, Nasir Yusof si genius dan Radhi Mat Din. Kalau engkorang ada percanggahan pendapat, apa kata engkorang penuhkan ruangan komen nanti ye. Sudah bersedia? Nah!!!

1. Pergaduhan di terowong dan angkat sumpah tidak akan berlaku sekiranya bola sepak kita ditadbir oleh mereka yang berakal dan bijaksana tanpa ada campur tangan daripada entiti luar yang kononnya pandai dan serba tahu dalam bola sepak. Ingin sekali lagi aku tegaskan. Bola sepak adalah sukan untuk rakyot marhaen, rakyat kebanyakan, sukan kaum buruh, sukan golongan proletariat. Dan ia masih kekal sukan untuk semua orang hingga ke hari ini. Bola sepak bukan hanya sekadar mahir bermain POLO, kemewahan kereta, kepandaian menahan lori roti dan juga kek kuda. Ia mencakupi lebih besar daripada itu. Tidak salah sekiranya golongan ini ikhlas membantu bola sepak mereka asalkan ilmu bola sepak mereka penuh di dada. Apabila akal tidak digunakan pada jalan yang benar dan stabil. Maka berlakulah adegan terowong, angkat sumpah dan beberapa lagi ceritera pandir yang akan muncul. Mereka ini merasakan pangkat serta jawatan adalah tiket untuk melakukan apa sahaja. Inilah sebabnya bola sepak Malaysia tidak pernah maju dan kita tidak akan pernah ke Piala Dunia. Kerana bola sepak kita dipasung oleh FA yang dipimpin ahli politik atau orang istana yang bertindak mengikut keinginan mereka sendiri.

2. Mendidik akal peminat bola sepak ke suatu tahap yang mencapai professionnalisme sejati adalah satu lagi masalah utama dalam bola sepak di Malaysia. Setiap kali selepas perlawanan mesti berlaku kekecohan. Tidak kiralah menang atau kalah. Dan ini berpunca daripada segelintir penyokong yang aku gelarkan mereka sebagai 'baru hendak naik' atau lebih manis lagi 'hijau'. Suatu masa dahulu ianya pernah terjadi kepada Kelantan. Menang ke, kalah ke mesti ada kejadian bakor kereta dan kerusi di stadium. Tapi sebenarnya bukan Kelantan sahaja yang pernah berperangai macam gini. Hampir semua penyokong bola sepak pasukan negeri di Malaysia pernah buat aksi konon-konon ganas ni. Apa yang engkorang dapat dengan melakukan kehancuran semata-mata kerana Liga Malaysia yang entah tahap apa agaknya di mata dunia?

3. Hooliganism dalam Liga taraf D, E, F hatta Z sekalipun adalah sesuatu yang payah hendak diterima akal dan bagi aku sangat merugikan. Kalau di Eropah mereka bertindak ganas apabila pasukan mereka bermain di Piala Dunia, Piala Eropah, Liga Juara-Juara dan juga liga tempatan yang sangat power seperti Liga Inggeris dan Liga Turki misalnya. Jadi aku ishtiharkan ia sebagai berbaloi. Benar kata seorang sahabat yang mana scene bola sepak Malaysia ni ketinggalan 40 tahun ke belakang. Bukan sahaja dari segi corak permainan dan pentadbiran, penyokong juga seakan-akan ketinggalan 40 tahun ke belakang daripada Korea Selatan dan Jepun. Semangat kesukanan dicampak keluar, diisi penuh dengan emosi kebencian, caci maki pasukan lawan. Api yang marak merebak kepada pergaduhan yang lebih teruk. Apakah budaya bola sepak sebegini yang kita mahu? Budaya yang penuh keganasan?

4. Rasanya sudah sampai masanya setiap penyokong mengkritik pengurusan masing-masing dan pasukan anda sendiri supaya lebih profesional dan lahirkan pemain bola lebih bagus. Berhenti daripada bergaduh sesama penyokong. Berhenti daripada menuuduh penyokong pasukan lain dengki dengan pasukan anda. Cuba perhatikan adakah pasukan kegemaran anda bermain bola secara cantik dan tidak berterabur serta terkial-kial dalam menahan dan menghantar bola? Jangan menyokong secara membuta tuli. Kelak anda juga yang rugi.

5. Semangat kenegerian yang melampau sudah menjadi sebati dalam darah daging rakyat Malaysia dek kerana mereka dibesarkan dengan "13 pasukan negeri dan 1 pasukan wilayah persektuan serta kelab-kelab bola yang bangang serta hidup segan mati tunggu masa ajek". Tak kira sama ada negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, P.Pinang, Selangor, Perak, N.Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor mahupun Wilayah Persekutuan pasti mempunyai penyokong-penyokong sendiri yang kebanyakannya obses dan fanatik dengan semangat kenegerian. Semangat menyokong negeri kelahiran sekaligus menyokong bola sepak tempatan amatlah digalakkan tetapi adakah perbuatan menghina penyokong negeri lain, bergaduh sesama sendiri dan permusuhan antara negeri boleh dibiarkan? Lama kelamaan ia akan menjadi wabak hati yang tiada faedah. Bukak mata hati dan istighfar banyak-banyak. Ini aku belum bukak cerita tentang larangan sesetengah keluarga 'jangan kahwin dengan orang Sarawak' , 'jangan carik jodoh orang Kelantan'. Itu cerita lain yang juga penyakit bahaya dalam masyarakat Malaysia.

6. Sebenarnya dalam kes terkini ni aku masih lagi menyalahkan Presiden FAM yang secara jelas sudah gagal dalam mewujudkan satu institusi sukan yang mantap dan berakal serta berotak. Kenapa aku kata gagal? Engkorang akan tahu jawapannya jika engkorang betol-betol masak dan perhatikan dengan mendalam bagaimana bola sepak kita ditadbir, diuruskan dan dilingkupkan secara pukal.

1 comment:

  1. projek macam JDT ni lah buat kan semangat kenegerian dan benci negeri orang ni jd menular semula. ada hikmahnya jugak kenapa team bola negeri2 ni bangang dan tunggu masa nak mati macam perlis FA dan KL fa supaya senang sikit nak evolusi kan bolasepak malaysia ni.

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...