Thursday, July 28, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Pengaruh Wenger.



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Pengaruh Wenger.

Selesai melipat baju sambil melayan drama tivi sembilan lakonan Sharifah Eja, dari kedudukan bersimpuh di atas lantai aku terus melakukan balik kuang dan mendarat duduk di kerusi terus menghadap komputer riba dengan jari yang beku memikirkan apa benda lagi aku nak taip kali ini. Satu lagi tetingkap di skrin komputer ini aku mainkan drama siri Preacher musim pertama episod tujuh. Aku sengetkan kepala dan leher aku sebanyak 45 darjah sambil berharap idea mudah datang mencurah-curah. Mata yang semakin kuyu ni menandakan aku sedang kehilangan idea tahap filem arahan Professor Razak Mohiden. Dungu. Mabok kas-kas.

Oh ya..sebut pasal Razak Mohiden terus aku teringat kepada Arsene Wenger. Apa khabar agaknya si tua tu ye? Ketika aku menaip entri ini Arsenal sudah pun membeli 3 orang pemain. Granit Xhaka yang kononnya sensasi baru dari Switzerland. Selain itu juga Arsenal berjaya membida seorang anak muda yang sungguh misteri dari negara matahati terbit - Takuma Asano - macam nama orang Negeri Sembilan. Serta Rob Holding Sdn. Bhd. - seorang pemain yang mempunyai nama umpama anak syarikat milik kroni kilang roti.

Secara jujur dan ikhlas aku hendak mempersoalkan pengaruh Wenger yang semakin ditelan zaman. Boleh ke tidak?

Ataupun ini sebenarnya adalah mainan politik beliau. Licik dan bergeliga nak mampos. Susah jugak untuk kita katakan ini adalah strategi beliau kerana musim lepas Arsenal menduduki tempat kedua berbanding tempat keempat yang selalu mereka jadikan rumah. Adakah ini tidak mampu menarik minat pemain-pemain ternama untuk datang ke London?

Duit juga bukan masalah Arsenal kerana kita semua tahu perbelanjaan mereka dilakukan dengan penuh berhemah dan bukannya boros seperti YAPEIM. Bolehkah Arsenal bersaing merebut pemain terbaik dunia dengan pasukan lain yang berada di dalam Liga Perdana Inggeris? Sementara itu, bagaimana pula keadaanya dengan pasukan yang lain?

Pertama sekali kita lihat Jose Mourinho yang kini berada di Manchester United. Setakat ini mereka sudah berjaya memiliki Henrikh Mkhitaryan, Zlatan dan mungkin juga Pogba tidak lama lagi. Liverpool dengan asuhan Jurgen Klopp sudahpun dapat memancing Joël Matip, Sadio Mané, Georginio Wijnaldum - daripada 6 orang pemain yang beliau tandatangani. Chelsea pula tidak menunggu lama untuk mendapatkan Michy Batshuayi dan N'Golo Kanté untuk bermain di bawah seliaan Antonio Conte.  Tidak lupa juga Manchester City yang bersama-sama Pep Guardiola telah berjaya mengikat İlkay Gündoğan dan Nolito.

Bolehkah Arsenal sekali lagi melakukan kejutan tahap babi sepertimana mereka berjaya mengikat Mesut Ozil dan Alexis Sanchez? Masih ada lebih kurang sebulan untuk Wenger membuktikan dirinya masih berpengaruh di Arsenal sekaligus kekal relevan dalam saingan antara pengurus di Liga Perdana Inggeris.

Ramalan: Mungkin Arsenal akan dapat memiliki Ryad Mahrez tanpa perlu Wenger bergambar dengan pendrive. Eh kejap. Betol ke Liverpool kalah dengan Chelsea baru-baru ini?

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...