Piala Dunia 2018: Arab Saudi.
Perjalanan dari Tangkak ke Kuala Pilah amat melelahkan. Mentari panas mencanak betol-betol di atas kepala. Pandangan mata aku berpinar. Unta yang aku tunggani kelihatan penat sekali. Macam berpuasa sebulan pula lagaknya. Kesian aku melihat Ramdin, si unta yang patuh.
Lalu aku mengambil keputusan untuk berhenti berehat. Aku menambat untaku di bawah sepohon tamar yang rendang lagi rimbun daunnya. Fuuuuh..lega kemain dapat berehat barang sejenak. Air sirap bandung JDT bekalan yang aku bawa dalam balang buluh tadi ditonggak secara gelojoh. Glup..glup..glup..Rengkung kini berasa lega.
Perlahan aku buka beg FILA yang aku sandang lalu aku keluarkan sehelai kulit kambing dan sebatang pena bulu ayam belanda. Hujungnya yang tajam aku calitkan dengan darah dari ibu jari aku. Lalu aku mula menulis di atas kulit kambing itu tentang pasukan bola sepak Arab Saudi yang akan beraksi pada Piala Dunia 2018.
Arab Saudi Dalam Kenangan.
Arakian..maka tersebutlah kisah Arab Saudi pada suatu masa dahulu adalah sebuah pasukan gergasi di rantau Asia. Dari Yaman ke Oman membawa ke Qatar hingga ke Syria, semuanya gempita cemburu dengan kehandalan pasukan bola sepak Arab Saudi ini. Namun begitu, kini reputasi hebat mereka semakin menyusut. Bagaikan nilai matawang ringgit. Arab Saudi hari ini hanyalah pasukan yang ke-5 terbaik di Asia. Di samping itu mereka turut telepas dua edisi Piala Dunia yang lepas iaitu pada 2010 dan 2014. Bola sepak seolah-olah menjauhi negara yang kaya dengan minyak ini. Sumpahan apakah? Paling terbaru skuad bawah 23 tahun mereka tewas kepada Malaysia - pasukan asuhan Ong Kim Swee yang hebat. Apa sudah jadi dengan pasukan Arab Saudi ini?
Jika sejarah kegemilangan mereka diselak kembali satu demi satu, mereka pernah menjadi juara Piala Asia pada tahun 1984, 1988 dan juga 1996. Selepas itu mereka kemarau kejuaraan Piala Asia. Nama-nama lagenda seperti Mohamed Al-Deayea dan Sami Al-Jaber semakin pupus tidak mampu dijelma dan diganti dengan yang baru. Kesedihan yang menyayat hati bagi bola sepak Arab Saudi.
Seperti yang kita tahu, komitmen Arab Saudi terhadap bola sepak pada satu masa dahulu tidak boleh dinafikan begitu saja. Pembinaan Stadium King Fahd di Riyadh yang menjadi tuan rumah Piala Konfederasi 1993 merupakan mercu kegemilangan bola sepak Arab Saudi ketika itu. Stadium yang dibuka pada tahun 1987 ini mempunyai kapasiti sebanyak 67,000 tempat duduk. Selain itu, stadium ini turut termasuk dalam FIFA 13, FIFA 14, FIFA 15, FIFA 16, FIFA 17 dan FIFA 18. Hebat.
Megah di Persada Dunia atau Mengah di Persada Dunia?
Apa yang boleh dikatakan ialah Arab Saudi sememangnya berusaha keras untuk mengecapi yang terbaik bagi bola sepak mereka. Berkat dari niat suci Arab Saudi ini juga mereka berjaya layak ke Piala Dunia sebanyak 4 edisi iaitu pada tahun 1994, 1998, 2002 dan juga 2006. Malangnya persembahan mereka tidak berapa membanggakan. Atau dalam bahasa lain, sendu. Paling sedap pun Arab Saudi layak ke pusingan 16 pasukan pada edisi 1994.
Pada temasya Piala Dunia tahun 1994 ini juga Saeed Al Owairan menjaringkan gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia ketika menewaskan Belgium dengan gol 1-0. Dari kawasan Arab Saudi sendiri, beliau menggelecek menewaskan 6 orang pemain termasuk penjaga gol. Seluruh stadium bingit dengan sorakan. Dan gol ini kekal menjadi antara jaringan tercantik di Piala Dunia. Terima kasih kerana mengizinkan aku bernostalgia sedikit dengan jaringan gol Saeed Al Owairan ini.
Malang sekali penyertaan Piala Dunia Arab Saudi selepas itu hanya sangkut di peringkat kumpulan serta gagal pula merekodkan sebarang kemenangan. Lebih baik jadi macam Malaysia. Terus tak layak daripada layak tetapi memalukan seluruh Bani Arab. Ye dak?
Kemudian ia ditambah pula dengan episod sedih pada edisi Piala Dunia 2002, yang mana Arab Saudi mengalami kekalahan yang sangat memalukan kepada Jerman apabila tewas 8-0. Tamat sahaja kejohanan ini, Federasi Bola Sepak Arab Saudi berjanji akan membaik pulih sistem akar umbi mereka serta memulihkan struktur pengurusan dan kejurulatihan mereka. Walaupun begitu, hasilnya masih suam-suam kuku.
Sinar Piala Dunia 2018.
Keputusan kelayakan Piala Dunia 2018 mereka secara keseluruhan bolehlah dikatakan agak baik dan sederhana. Arab Saudi menang 6 perlawanan, seri 1 dan kalah 3 pertembungan secara keseluruhannya. Arab Saudi akhirnya menamatkan Kumpulan B dikedudukan yang kedua di belakang Jepun dan seterusnya layak secara automatik ke Russia.
Seperti ada yang tidak kena, Federasi Bola Sepak Arab Saudi selepas itu tidak menyambung kontrak Bert van Marwijk walaupun jurulatih ini berjaya membawa Arab Saudi ke Russia. Ada sumber mengatakan van Marwijk dipaksa untuk menjadi penduduk tetap Arab Saudi. Sudah tentulah beliau tak bersetuju dengan cadangan mengarut macam ni. Tempatnya diganti oleh Edgardo Bauza. Malang berganda pula buat Edgardo Bauza apabila turut dipecat selepas hanya mampu membimbing Arab Saudi dalam 5 perlawanan.
Kemudiannya muncul pula Juan Antonio Pizzi, individu dari Argentina yang mengabdikan dirinya semasa muda dengan mewakili pasukan bola sepak Sepanyol. Sebagai pengurus, Antonio Pizzi diingati dengan kejayaannya membawa pasukan Chile menjulang kejuaraan Copa America Centenario yang berlangsung di Amerika Syarikat. Semasa Piala Konfederasi 2017 di Russia pula beliau berjaya membimbing Chile sehingga ke perlawanan akhir. Namun mereka tewas 1-0 kepada pasukan Jerman. Selepas itu beliau dipecat lantaran kegagalan membawa Chile ke Piala Dunia 2018 yang menyebabkan Alexis Sanchez terpaksa meneruskan latihan bermain piano apabila bulan Jun 2018 muncul kelak.
Agaknyalah...berapa lama pula jodoh Juan Antonio Pizzi dengan pasukan Arab Saudi ni ye?
Sembang Ular |
Peluang Arab Saudi
Persatuan bookie sedunia mungkin tidak akan berani mempertaruhkan Arab Saudi untuk layak ke pusingan yang kedua. Malahan ada yang begitu yakin bahawa Arab Saudi tidak mampu menamatkan peringkat kumpulan ini di tangga yang lebih tinggi dari empat. Apatah lagi Arab Saudi turut diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan pasukan tuan rumah Russia, Mesir dan juga Uruguay.
Elemen kejutan juga mungkin tidak mampu dijelmakan oleh pasukan Arab Saudi ini. Ramalan cerdik pandai mengatakan peluang Arab Saudi layak ke peringkat kedua ialah 14.2 peratus sahaja. Begitulah kejinya bola sepak Asia sekarang ini di mata dunia.
Aku menoktahkan tulisan ini dengan kelopak mata yang berkaca. Arab Saudi yang begini handal di rantau Asia pun masih tidak mampu pergi jauh apabila berlaga bahu dengan pasukan dunia yang lain. Bagaimana pula nasib bola sepak Malaysia yang semakin tiada arah tuju? Ketika ini aku memandang wajah sayu Ramdin, si unta yang setia. Wajah kusamnya turut memaparkan kesedihan. Baru aku teringat yang beliau belum makan dedak lagi dan sedang kelaparan gamaknya.
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...