Friday, January 26, 2018

Piala Dunia 2018: Portugal.




Piala Dunia 2018: Portugal.

Sejarah Penglibatan Portugal di Piala Dunia.

Bermulanya bola sepak Portugal dikenali seluruh alam adalah apabila Eusebio secara sensasi menerajui negaranya di Piala Dunia England 1966. Kempen Piala Dunia mantap mereka ketika itu ditamatkan di tangga ketiga selepas menewaskan Kesatuan Soviet.

Kemudiannya Portugal terlepas empat edisi Piala Dunia. Gagal. Namun mereka muncul semula di Mexico 1986 dengan hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Edisi kali ini Portugal gagal menyerlah secara keseluruhannya walaupun menewaskan England di perlawanan pembukaan. Portugal kemudiannya bungkus awal selepas tewas kepada Maghribi dan Poland.

Siri kegagalan Portugal layak ke Piala Dunia diteruskan lagi untuk tiga edisi yang seterusnya (1990, 1994 dan 1998). Tetapi mereka seolah-olah menemui pedoman apabila layak ke Piala Dunia 2002 dan ketika ini muncul nama-nama hebat seperti Victor Baia, Abel Xavier, Fernando Couto, Luis Figo, Nuno Gomes dan Rui Costa antaranya. Walaubagaimanapun jodoh Portugal dan Piala Dunia kelihatannya masih jauh. Portugal gagal mara ke peringkat seterusnya selepas tewas mengejut kepada Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Sedih.

Betol kata peribahasa lama, payah-payah dilamun ombak, tercapai juga tanah di tepi. Nasib bola sepak Portugal akhirnya berubah di Piala Dunia 2006 Jerman. Dengan mendapat asuhan daripada Felipe Scolari, Portugal berjaya mara sejauh peringkat separuh akhir. Perjuangan mereka terkandas selepas ditewaskan oleh Perancis dan Portugal juga turut gagal dalam perebutan tempat ketiga apabila ditumpaskan oleh pasukan tuan rumah, Jerman.

Portugal kemudiannya sekali lagi berjaya ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Di Afrika Selatan 8 tahun yang lalu, impian Portugal tamat di pusingan 16 pasukan. Mereka tewas kepada pasukan juara kejohanan Sepanyol dengan skor 1-0. Manakala empat tahun lalu di Brazil, mereka kembali ke fitrah asal iaitu gagal melepasi peringkat kumpulan meskipun diketuai oleh pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo.

Penyandang Juara Eropah.


Portugal kali ini layak ke Piala Dunia 2018 dengan membawa status sebagai juara bertahan Piala Eropah. Masih segar lagi imej ikonik Cristiano Ronaldo terkinja-kinja serupa berok mak yeh memberikan arahan di tepi padang kepada rakan sepasukannya dalam perlawanan akhir Piala Eropah dua tahun yang lalu. Mungkin ramai yang tidak menyangka Portugal boleh menewaskan pasukan tuan rumah Perancis pada ketika itu. Dengan prestasi yang tidak berapa meyakinkan dan tunggang-langgang, ia mungkin rezeki dari langit kepada seluruh umat Portugis. Bola sepak berjaya, rakyat gembira. Begitulah.

Selama dua kejohanan Piala Dunia (2010 dan 2014) mereka terpaksa mengharungi perlawanan penentuan. Menewaskan Bosnia Herzegovina untuk ke Afrika Selatan dan menutup peluang Sweden beraksi di Brazil.

Bagi Piala Dunia 2018 pula, Portugal layak dengan penuh bergaya. Merekodkan 9 kemenangan daripada 10 perlawanan dengan menjaringkan sejumlah 32 gol dan mengumpul 27 mata serta menjuarai kumpulan B Zon Eropah.

Bagaimana dengan nasib mereka di Piala Dunia nanti? Secara peribadi bolehlah aku merumuskan yang Portugal bernasib malang apabila diundi bersama Pasukan Terbaik Dunia, SEPANYOL. Mujurlah dua pasukan yang lain ialah Maghribi dan Iran. Jadi, secara logik bola sepaknya Portugal akan mudah mara ke pusingan seterusnya mengiringi Sepanyol-Pasukan Terbaik Dunia.

Cristiano Ronaldo dan Peluang Terakhir.

Ini adalah peluang terakhir buat Cristiano Ronaldo. 'DO OR DIE' kata orang putih. Dua tahun yang lepas tiada siapa menyangka Portugal dan Ronaldo berjaya menjulang kejuaraan Eropah. Namun itulah bola sepak. Sedap dan penuh dengan elemen kejutan yang tidak terjangka. Sama ada Ronaldo mampu atau tidak menjulang Piala Dunia buat Portugal, bersama-samalah kita tunggu kelak.

Ronaldo akan berusia 33 tahun apabila Piala Dunia bermula nanti. Jadi adalah mustahil untuk kita melihat beliau akan bermain untuk 4 tahun lagi di Qatar. Mungkin inilah peluang terakhir untuknya mencatat nama dalam sejarah bola sepak dunia. Sekiranya beliau cergas dan tidak tercedera, maka dapatlah kita melihat yang terbaik daripada beliau. Dengan Ronaldo ditahap terbaiknya, Portugal bolehlah berasa teruja menjelang kempen mereka di Russia.

Mencari Magis Fernando Santos


Jurulatih berbangsa Portugis ini dilantik menjadi pengurus pasukan Portugal pada 23 September 2014 bagi menggantikan Paulo Bento. Nama Fernando Santos tidak perlu diperkenalkan lagi di Portugal kerana beliau banyak menguruskan kelab di situ. Antaranya Benfica, Sporting CP dan FC Porto.

Setakat ini pencapaian peribadi terbaik beliau bersama pasukan Portugal adalah ketika membawa pasukan ini memenangi Perlawanan Akhir Piala Eropah 2016.

Untuk Piala Dunia 2018 kelak, beliau sudahpun menyenarai pendek 40 orang pemain untuk dibawa ke Russia. Fernando Santos perlu lebih berwaspada dengan kehadiran Maghribi dan Iran kerana kedua pasukan ini sentiasa bersedia untuk melakukan sebarang kejutan meskipun ramai pengkaji bola sepak dunia meramalkan Portugal adalah pasukan yang akan mengirigi Sepanyol untuk mara ke peringkat seterusnya.

Mampukah Fernando Santos mengulangi semula magisnya ketika Piala Eropah 2016 yang lalu?


No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...