Friday, January 19, 2018

Piala Dunia 2018: Uruguay.



Piala Dunia 2018: Uruguay.

Nama Uruguay bukanlah asing dalam bola sepak dunia. 13 penampilan Piala Dunia dengan 2 gelaran menjadi sandaran mereka. Mereka juga tidak pernah ketinggalan bermain di Copa America sejak penjenamaan semula kejohanan tersebut pada tahun 1975. Apa lagi yang perlu kita tahu tentang pasukan Uruguay ini menjelang sepak mula Piala Dunia 2018? Di sini aku terangkan beberapa perkara buat pedoman kita semua selaku pencinta bola sepak. Bacalah dengan berlapang dada dan penuh kesederhanaan.


1. Ketika zaman awal tertubuhnya organisasi bola sepak antarabangsa ataupun bersamaan dengan sebelum Perang Dunia Kedua, Uruguay adalah kuasa bola sepak dunia sebenar yang tidak terkalahkan. Malang sekali hari ini dan saat ini mereka bukan lagi kuasa besar, namun masih lagi sebuah lawan yang merbahaya jika tidak diberi perhatian yang serius.

2. Dominasi awal mereka dibuktikan dengan memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1924 dan 1928. Oleh kerana Uruguay adalah pasukan terbaik era mereka, Uruguay telah diberi keistimewaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia 1930 yang pertama. Ia juga sempena keraian 100 tahun kemerdekaan mereka. Selain itu juga Uruguay sanggup menanggung segala perbelanjaan pasukan yang bersaing. Tersenyum simpul FIFA dengan perangai murah hati Uruguay masa ni.

3. Malang sekali banyak pasukan dari Eropah memboikot Piala Dunia yang pertama ini dek kerana masalah masa perjalanan yang agak panjang. Kesian betul..masa ni manalah nak ada kapal terbang canggih. Nak merentas Lautan Atlantik menggunakan kapal laut ataupun bot mahunya makan 3 minggu. Hanya Perancis, Yugoslavia, Romania dan Belgium sahaja yang cekal hati bertolak ke Uruguay untuk menyepak bola di Piala Dunia 1930. Piala Dunia kemudiannya tetap diteruskan dengan 13 pasukan secara keseuluruhan turun beraksi. Seperti dijangka juga Uruguay dengan mudah memenangi perlawanan akhir mengatasi Argentina dengan skor 4-2. Sayur.

4.  Oleh masih berkecil hati dengan perangai boikot beberapa pasukan daripada benua Eropah, Uruguay tidak menyertai dua kejohanan Piala Dunia yang berikutnya pada tahun 1934 di Itali dan 1938 di Perancis. Namun begitu mereka kembali dengan penuh bergaya pada tahun 1950 apabila melakukan kejutan paling terbesar dalam sejarah kejohanan dengan menewaskan Brazil di Estadio do Maracana untuk menjulang trofi Piala Dunia mereka yang kedua. Kejayaan ini dikenali sebagai 'Maracanazo'. Fuuuuuh.

5. Pasukan Uruguay pada ketika itu terdiri daripada Juan Schiaffino, Omar Miguez, Victor Andrade, Roque Maspoli di posisi penjaga gol dan si pertahanan Obdulio Varela. Selepas zaman gemilang ini, Uruguay masih lagi berjaya melahirkan pemain seperti Enzo Francescoli pada era 70-an dan juga Alvaro Recoba yang mempunyai statistik PES untuk ketepatan sepakan percuma pada nilai 90. Sedap betul guna Recoba  masa ni kalau ada sepakan percuma.



6. Meskipun mempunyai sejarah cemerlang sekitar tahun 1954 dan 1970, Uruguay akhirnya mengalami zaman kejatuhan mendadak. Pada edisi yang berikutnya Uruguay jarang muncul di pusingan akhir Piala Dunia. Selepas gagal layak ke Piala Dunia 1994 dan 1998, skuad yang dikenali dengan nama Le Celeste ini membuat penampilan di Piala Dunia 2002 Korea/Jepun. Namun mereka tersingkir di peringkat kumpulan apabila menduduki tempat ke-3 kumpulan A di belakang Denmark dan Senegal. Yang tercorot adalah Perancis. Hihi..

7. Sekali lagi Uruguay gagal mara ke Piala Dunia 2006 di Jerman selepas mereka ditumpaskan oleh Australia dalam satu perlawanan 'play-off'. Malang. Pada penampilan ke-11 mereka di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, satu kebangkitan ditunjukkan oleh Uruguay. Ia seolah-olah telah mengembalikan semula era terdahulu mereka apabila berjaya menduduki tempat ke-4. Siapa boleh melupakan sensasi Diego Forlan apabila beliau mengaut pulang anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

8. Kesinambungan ini dicantikkan lagi dengan kehandalan mereka menjulang Copa América pada tahun 2011 di bumi Argentina. Seperti yang kita tahu Uruguay telah menewaskan Paraguay dengan skor 3-0. Bagai seperti yang dijangka oleh semua pihak, secara keseluruhannya Luis Suárez telah terpilih sebagai pemain terbaik Copa América 2011.

9. Namun begitu sejak Copa América 2011, Uruguay telah berjuang untuk mengulangi kecemerlangan mereka di Argentina dan Afrika Selatan. Juara Piala Dunia sebanyak 2 kali ini telah sekali lagi mengalami penurunan prestasi secara mendadak sejak memenangi Copa America 2011. Ciaaaan. Mujur mereka masih mampu layak ke Piala Dunia 2018 dan berjaya menduduki tempat kedua di belakang pasukan Brazil. Ia sekaligus merekodkan penampilan mereka yang ke-13 di Piala Dunia. Hebat. Manakala Edinson Cavani pula muncul sebagai penjaring terbanyak pusingan kelayakan dengan menyumbat 10 gol.




10. Pada pendapat peribadi akulah, kekuatan utama pasukan Uruguay ketika ini adalah barisan serangannya. Si Tuan Jurulatih, Oscar Tabarez akan mempunyai pelbagai pilihan barisan serangan seperti Luis Suarez (Barcelona), Edinson Cavani (PSG), Diego Rolán (Malaga) dan Abel Hernandez (Hull City).

11. Pasukan Uruguay asuhan Oscar Tabarez boleh mengerah yang terbaik daripada Cavani dan Suarez. Walaupun ketika ini mereka bukanlah pada prestasi yang terbaik, tetapi ia masih mampu mendatangkan gusar kepada pertahanan pasukan Russia, Mesir apatah lagi Arab Saudi. Kedua mereka ini adalah wajah utama bola sepak Uruguay untuk tempoh sedekad yang lepas. Duo berbiso ini mempunyai sokongan yang mapan di belakang mereka dengan Diego Codin dan Sebastián Coates mengawal benteng dengan kemas lagi kukuh. Selain Fernando Muslera yang kebal di palang gol.

12. Seperti yang aku cakap tadi, Cavani dan Suarez adalah wajah utama bola sepak Uruguay untuk tempoh sedekad yang lepas. Ini dikuatkan lagi dengan statistik bahawa kedua pemain ini secara berjemaah sudah menjaringkan hampir 90 gol sejak tahun 2007. Tidak hairanlah mereka ini masih boleh dikatakan antara penyerang paling berbahaya dalam kejohanan ini. Cakap-cakap di Uruguay mengatakan mereka berdua ini tidak ubah seperti jelmaan Khalid Jamlus dan V. Saravanan di zaman kemuncaknya. Sama ada betul atau tidak kenyataan ini pun aku tak tahu.

13. Luis Suarez hari ini masih diakui antara penyerang terbaik di dunia. Jika tidak kerana masalah tabiat menggigit sana, mengkokak sini, beliau pasti menjadi calon utama anugerah Ballon d'Or. Lincah, licik menggelecek dan tenang bak anjeng di depan gol serta mampu memberikan impak segera dalam sesuatu perlawanan yang penting. Ini adalah antara senjata merbahaya milik beliau. Memegang status sebagai penjaring terbanyak Uruguay dengan 49 gol, Suarez mungkin akan bermain di sebelah kanan atau kiri dalam sistem serangan 3 serangkai tetapi masih bebas berlegar-legar di atas padang juga persis seekor anjeng.


14. Edinson Cavani pula adalah penyerang yang lasak dan masih bertenaga walaupun pada usia 30 tahun. Cavani sehingga hari ini membuktikan harga perpindahan mahalnya ke PSG adalah logik dan berbaloi. Pada usia sebegini juga masih ada kelab bola sepak elit Eropah yang mahukan tandatangan beliau. Suarez dan Cavani jika kena pada adunan taktikalnya, jika tepat pada tuah harinya akan menjadikan setiap pasukan di dunia ini seperti kelab bola sepak biasa-biasa yang tidak mempunyai penaja dan stadium sendiri. Siapa tahu ini adalah peluang terakhir untuk kita melihat gandingan ini di pentas dunia?

15. Antara lain kekuatan pasukan Uruguay itu sendiri bagi aku ialah jurulatih Oscar Tabarez. Pengalamannya mengawal selia pasukan Uruguay ini sejak tahun 2006 perlu dicemburui oleh Nelo Vingada. Siapa pulak Vingada ni? Adeeeeeeh...

16. Di atas kertas para pengkaji bola sepak tidak bertauliah telah bersepakat yang Uruguay mampu melepasi peringkat kumpulan bersama pasukan tuan rumah, Russia. Sementara itu Arab Saudi akan dijadikan pasukan belasahan dan nasib Mesir pula masih misteri. Itu jangkaan awal di atas kertas statistik. Malangnya bola sepak dimainkan di atas padang dan segala kemungkinan boleh berlaku.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...