Saturday, January 6, 2018

Piala Dunia 2018: Russia




Piala Dunia 2018: Russia

Kesetiaan Kepada Russia Dan Negara.

Usman leka menengok youtube perlawanan bola sepak Piala Dunia 1998 antara Argentina dengan Belanda. Ternganga mulut beliau apabila terlihat kelibat Bergkamp mengawal bola dengan tenang. Membuat bantuan gol dengan tandukan cermat kepada Patrick Kluivert.

Tidak dinafikan ini adalah pasukan terbaik Belanda yang pernah wujud. Namun tiada gelaran utama yang dijamah mereka. Peminat bola sepak dunia menggelar mereka sebagai 'The Great Forgotten Dutch Team'. Van Der Sar, Jaap Stam, Cocu, Edgar Davids yang berkaca mata, Bergkamp, Ovemars, Patrick Kluivert, De Boer bersaudara. Aaaah...senarainya amat panjang. Jadi, apabila Belanda meletakkan harapan kepada pemain seperti Ryan Babel untuk menyelamatkan kempen kelayakan Piala Dunia mereka, kita sudah tahu apa penamatnya. Gagal.

"Woih Usman! Kau nengok filem Cameron Diaz ke tu? Sampai meleleh air liur," tegur Jalil dari belakang. Suaranya agak garau. Selsema yang menyerang masih belum hilang. Lendir pekat menyekat di kotak suara. Kalau tarik lagu Kamelia Sweet Charity mesti sedap.

Usman tidak menjawab. Satu jelingan tajam dilepaskan kepada rakan sekerjanya itu. Jalil menarik kerusi duduk di sebelah Usman. Desau nafasnya kedengaran kasar melewati rongga rengkungan.

"Oh, bola rupanya. Aku sokong Russia tahun ni sebab Belanda dah tak layak," Jalil membuat kenyataan tanpa perlu disoal.

"Aaah engkau ni Jalil. Pendirian tak pernah tetap. Dulu lepas Kurt Cobain mati, kelam kabut ko sokong Anuar Zain. Sekarang ni apa alasan kau sokong Russia pulak tahun depan?" Usman menduga Jalil dengan soalan bola sepak asas.

"Masa Russia mula membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia untuk kali yang pertama, mereka berada pada situasi yang sedap selepas layak ke peringkat separuh akhir Piala Eropah 2008. Namun kini situasi bola sepak Russia sudah banyak berubah. Russia selepas itu telah gagal melepasi semua peringkat kumpulan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, Piala Eropah dan Piala Konfederasi yang baru lepas. Tiada kelebihan buat mereka kali ini melainkan hanyalah status sebagai tuan rumah. Semangat dan sokongan dari rakyat tempatan amat penting untuk mengembalikan semula kepercayaan umat Russia kepada pasukan bola sepak mereka," Jalil berhenti bercakap dan menghirup air kopi yang berada di tangannya tadi. Kopi Starbuck yang tertulis nama Jalal di tepi bekasnya. Ejaan nama yang salah. Tapi Jalil tak kisah. Jalil okay. Jalil kemudiannya menyambung percakapannya semula.

"Kempen Piala Dunia mereka di Brazil empat tahun yang lalu pun tak berapa sedap. Seri dua perlawanan dengan Korea Selatan dan Algeria. Tewas kepada Belgium meletakkan Russia di tangga ketiga kumpulan H. Lapan tahun sebelum itu pula mereka terkandas di perlawanan penentuan kepada Slovenia untuk ke Afrika Selatan."

"Dah tu, rajin pulak ko nak sokong Russia ni kenapa?" Usman kembali menyoal Jalil sambil jarinya sibuk menaip laporan harian serangan cyber ke atas syarikat perbankan mereka. Tetingkap youtube sudah di'minimize'kan. Takut-takut bos lalu, susah pulak nanti.

"Aku yakin dengan Stanislav Cherchesov. Dia mengambil alih pasukan Russia selepas satu kempen Piala Eropah 2016 yang amat teruk. Bekas penjaga gol ini banyak melakukan perubahan di bahagian pertahanan. Beliau membawa Viktor Vasin dari CSKA, Fedor Kudryashov dari Rubin Kazan dan Georgi Dzhikiya dari Spartak Moscow menggantikan Sergei Ignashevich dan Vasily Berezutski. Beliau turut meletakkan tiga orang pemain pertahanan berbanding empat orang sebelum ini. Wujud juga sedikit kontroversi apabila Cherchesov berterusan menyisihkan Igor Denisov yang merupakan antara pemain tengah bertahan terbaik di Russia dek kerana perselisihan faham mereka berdua ketika di Dynamo Moscow. Sementara itu barisan serangan Russia pula amat impresif. Alan Dzagoev masih lagi tajam di depan gol. Fyodor Smolov ketika ini sedang 'on-form' sehinggakan menarik minat Real Madrid. Begitu juga dengan Aleksandr Kokorin yang sudah menjaringkan 10 gol untuk musim 2017/18," terang Jalil panjang lebar. Seolah-olah pasukan Russia ini duduknya bersebelahan dengan rumahnya sahaja.

"Siapa lagi pemain Russia yang ko rasa power nak mampos kali ni?" Usman masih lagi dengan soala-soalan berbaur menduga pemikiran bola sepak Jalil.

"Tumpukan fokus kita nanti kepada pemain kembar Aleksei dan Anton Miranchuk dari pasukan Lokomotiv Moscow dan juga Aleksandr Golovin dari pasukan CSKA. Mereka ini antara pemain yang akan berpeluang melakukan 'breakthroughs' di Piala Dunia tahun hadapan," Jalil seakan yakin dengan pilihan pemain tumpuannya.

"Okay. Itu dari segi pemilihan pemain. Macam mana pula dengan peluang pasukan Russia apabila diletakkan bersama-sama Arab Saudi, Mesir dan Uruguay?" Usman berhenti menaip. Dia menongkat kepalanya sebelah kanan dengan tangannya memandang tepat ke mata Jalil. 

"Aku tak nafikan kurangnya keterujaan apabila melihat nama-nama pasukan dalam kumpulan A ini. Perlawanan pembukaan pula seperti tidak menepati kualiti pertandingan. Pasukan dengan ranking ke-63 dan 65 akan bertarung sesama mereka. Bukankah itu sesuatu yang keji? Namun aku masih percaya Russia mungkin dapat layak sehingga suku akhir. Paling cikai pun separuh akhir," laung Jalil penuh yakin dan bersemangat sambil berdiri tegak seperti askar KGB dalam perbarisan mingguan. Mungkin inilah yang dinamakan sebagai Kesetiaan Kepada Russia Dan Negara.

"Hah! Aku suka semangat engko ni Jalil," Usman akur dan menghormati pilihan Jalil.

"Punyalah beria engko tanya aku pasal Russia ni. Engko pulak sokong pasukan apa Piala Dunia nanti?"

"Aku sokong Malaysia. Kitakan ada Presiden FAM yang power."

"Kahkahkahkahkahkahkah." Berderai ketawa mereka berdua sehinggalah masa pejabat tamat.

No comments:

Post a Comment

Silakan Laser Saye...