Friday, August 7, 2015

Bola Sepak Inggeris Menyatukan Seluruh Umat Malaysia.


Seperti tajuk di atas, Bola Sepak Inggeris Menyatukan Seluruh Umat Malaysia - yang mana minggu ini akan bermulanya satu lagi musim yang penuh mengujakan buat kita semua. Kita mahu melihat sejauh mana pasukan kegemaran masing-masing beraksi musim ini. Bolehkah Chelsea mempertahankan kejuaraan liga dengan aksi pra-musim mereka yang goyah dan tidak melakukan pembelian besar-besaran seperti Manchester-Manchester dan juga Liverpool?

Melihat kepada kisah pra-musim ini sahaja aku berasa kurang yakin kepada Chelsea. Pertemuan pertama menentang Swansea juga wajib dipandang serius. Swansea sememangnya pasukan yang sudah berkembang baik dari satu musim kepada satu musim. Kekalahan Chelsea pada perlawanan pembukaan ini hanya akan membawa malu kepada warga The Blues. Ini kerana belum pernah dalam sejarah 23 musim liga perdana, penyandang juara tewas dalam perlawanan pembukaan (menang 20 dan seri tiga). Namun perlu diingat Swansea inilah pasukan yang menewaskan Manchester United dalam perlawanan pembukaan musim lepas yang mana ia pertama kali berlaku kepada pasukan Syaitan Merah tersebut sejak musim 1972/73. Naik risau pula bila memikirkannya.

Minggu pertama Liga Perdana Inggeris akan dimulakan dengan perlawanan blockbuster antara Manchester United dan Spurs. Manakala penutup tirai minggu ini ialah pertemuan antara West Brom dan Manchester City. Kita cukup tahu bagaimana persediaan kedua pasukan Manchester ini. Menyebut nama Raheem Sterling dan Fabian Delph sahaja boleh ternganga mulot. Belum lagik kita petik nama Darmian, Memphis Depay, Schweinsteiger, Schneiderlin mahupun Si Pandir Romero. Mahu basah spender dibuatnya. Mungkin inilah ciri-ciri sebenar pasukan juara. Kahkahkah...

Liverpool pula akan menjadi pelawat kepada Stoke City. Kita masih misteri sama ada pasukan Liverpool pada tahun ini mampu memberikan saingan selepas secara rasminya akan hidup berdikari tanpa kehadiran kapitan Gerrard buat pertama kali selepas bertahun-tahun dikaburi susuk figura Anfield tersebut. Kalau kita lihat jumlah wang yang dibelanjakan Liverpool untuk pemain baru memanglah dahsyat. Tapi itu semuanya tidak berguna kalau tidak disulami dengan kejayaan comel molek.

Sebuah lagi pasukan elit dari London iaitu Arsenal akan beradu tenaga dengan pasukan West Ham bimbingan Slaven Bilic. Secara peribadi aku merasakan Arsenal adalah pasukan yang perlu dipandang serius untuk musim ini. Seperti biasa juga pada awal musim Arsenal kelihatan cukup sempurna untuk menjulang kejuaraan Liga. Jika persembahan pra-musim dikekalkan, tidak mustahil Arsenal mampu memberi keceriaan kepada pencinta The Gunners pada hujung musim kelak dan bukannya hanya pelengkap ahli wakil pasukan dari England dalam Champions League.

Ingatlah, Bola Sepak Inggeris Menyatukan Seluruh Umat Malaysia.


Posted via Blogaway

Friday, July 24, 2015

Di Mana Mereka? Pecah Penjara.

Pecah Penjara

Di Mana Mereka?

Kali ini aku bawakan khas Di Mana Mereka? Sebuah pasukan power yang pernah wujud sekitar 2007 - 2008. Terimalah dengan hati terbuka.

Gombak

Azan Aminuddin telah menerima tawaran pasukan Arsenal dengan meninggalkan kelab lamanya Pulau Pinang FC.

Perth Australia

Zamzahari mengumumkan persaraannya dari arena bolasepak dan sedang giat mendapatkan lesen kejurulatihan di Australia besama Abbas Saad dan Alaister Edwards.

London

Arsenal telah membeli wonderkid dari kelab Luton FC iaitu Farouk Fahmey. Power.

Jerman

Redza kekal dengan kelab Jerman Werder Breman walaupun godaan datang melanda dari pasukan Chelsea dan Man City.

Malaysia

Sapik menerima dengan tenang perpindahan ke kelab Turki, Galatasaray dan menolak tawaran Liverpool sebanyak 40 Juta.

Barcelona

Matt Key menolak tawaran Man City bulat-bulat untuk terus kekal dengan Barcelona.

BMI

Izhan kekal di BMI selaku Pengarah Sukan UniKL Bmi gamaknyer.

London

Ricardo Ricerd menolak pindahan 80 Juta ke Manchester City dan Barcelona semata-mata mahu kekal dengan Arsenal.

Johor

Hadrie menolak tawaran lumayan dari Real Madrid mentah-mentah untuk kekal besama Johor FC. Malangnya Johor FC ditutup oleh TMJ.

Kajang

Suhairi akhirnya berkahwin dan hidup bahagia di kajang.

Posted via Blogaway

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Saturday, July 11, 2015

Hantaran Jauh: Sebuah Taktikal Dalam Bola Sepak.

Hantaran Jauh: Sebuah Taktikal Dalam Bola Sepak.

Semalam aku ada terdengar satu soalan. Ia berbunyi begini.

Apakah matlamat dan pencapaian pasukan anda untuk 5 tahun akan datang? Adakah dengan membeli pemain import berbadan besar dari afrika, main hantaran jauh dan memenangi Piala Malaysia?

Sebelum itu, izinkan aku menangis terlebih dahulu selepas mendengar soalan hijau seperti ini.

.......................................................Ok done menangis.

Umum mengetahui ia ditujukan kepada pasukan Pahang a.k.a Gajah Duduk. Jadi marilah aku jelaskan jawapan kepada soalan itu serba sedikit. Jawapan ini diperoleh daripada beberapa sumber di alam maya.

Sebenarnya Pahang sudah pun merancang program pembangunan mereka sejak Pahang turun ke liga perdana lagi. Iaitu lebih kurang 4 tahun yang lalu. Untuk pengetahuan semua, kewujudan pasukan Pahang sekarang pun adalah hasil daripada program pembangunan mereka.

Empat tahun yang lalu skuad ini hanya dibarisi oleh beberapa pemain dari Piala Presiden dan Shahzan Muda. Tahu pasukan Shahzan Muda? Alaaah yang selalu beraksi ketika Fiesta Media Idola tuuu. Tak tahu? Itulaaaah..engko mula layan scene bola Malaysia sejak 2010 keeeee?  

Berbalik kepada persoalan asal. Buat pengetahuan adik kakak sekalian pengurusan pasukan Pahang sedang menuai hasilnya sekarang. Nama-nama sepeti Khairul Azhan, Azam Azih, Riqzua Shafiqi, R.Gopinathan, Fauzi Roslan adalah hasil daripada program pembangunan Bola Sepak di Negeri Pahang.

Pengambilan pemain import pula hanyalah untuk memperkuatkan pasukan mereka dan membantu mencapai kejuaraan. Dan ia sudah termaktub dalam syarat untuk menggunakan pemain import serta dilakukan oleh semua pasukan di Liga Malaysia ini tidak kiralah yang kaya mahupun miskin hina.

Pada tahun 2013, mereka memenangi Piala Malaysia tanpa penyerang import afrika iaitu Dickson Nwakaeme. Dickson Nwakaeme hanyalah turun bermain mewakili Kelantan yang Pahang kalahkan di pentas akhir 2013. Ataupun beliau maksudkan kejayaan Piala Malaysia 2014? Hah? Lantaklah.

Sekiranya anda menonton corak permainan Pahang sepanjang tahun 2013 yang ketika itu dibimbing oleh Dollah Salleh, mereka banyak bermain secara hantaran pendek serta penguasaan bola yang secara menyeluruh. Ini adalah fakta.

Jadik, peduliktaik sahajalah sekiranya kejayaan tahun 2014 dikaitkan pula dengan corak hantaran jauh. Sebab apa? Jangan ditanya kenapa mereka bermain dengan hantaran jauh kerana itu salah satu daripada taktikal mereka.

Sekiranya saya tidak salah, pasukan Harimau Malaya juga gemar bermain dengan hantaran jauh dan ia terserlah ketika tewas kepada Palestin 6-0 baru-baru ini. Izinkan pula saya bertanya, pemain dari pasukan manakah majoritinya yang bermain ketika itu? Sekadar bertanya.

Saya juga bukan penyokong pasukan Pahang. Sekadar menyokong Nur Fazura dari belakang sahaja. Apa-ape pun Selamat Berbuka uooooolsssss.

XOXO

- H -


Posted via Blogaway

Saturday, July 4, 2015

Selangor Melawan Pahang.


Selangor Melawan Pahang
10.00malam, Std Shah Alam.
Siaran Langsung di TV3.

1) Sekarang ini kalau di Felda, dari Bukit Goh membawa ke Bera, dari Jengka hingga ke Kertong, orang-orang di sana hanya bercakap tentang kehebatan pasokan Selengor. Aku mendapat info di Kuantan pun sama.

2) Kedudukan terkini dalam Liga Super 2015 ialah Pahang mendahului liga dengan 27 mata. Manakala Selangor di tangga ke-3 dengan 24 mata.

3) Dengan berbaki 9 perlawanan, sekiranya Pahang menang malam ini, maka Pahang akan menjadi pasukan pertama yang mencecah 30 mata dalam liga super.

4) Bagi pasukan Selangor pula, walaupun presidennya mempunyai adik bernama Azwan Ali, mereka tetap tenang. Kau hado?

5) Yang bising-bising pasal Presiden FAS ni sebenornya jenis yang lepak mamak nengok bola hanya minum air kosong dengan makan roti krim vanilla. Langsung tak pawer.

6) Dalam pada itu Pahang juga mahu menamatkan segera badi apabila bermain di Shah Alam. Badigolsondeh betol.

7) Apa-apa pun tidak mustahil Selangor boleh mencatat kemenangan malam ini jika mereka kekal fokus bermain bola menggunakan otak.

8) Di akhir perlawanan Selangor akan menang dengan skor 3-2.

9) Selamat berbuka.

Nota: Gambar hiasan sekadar imaginasi kosong dari si pelukis.


Posted via Blogaway

Wednesday, July 1, 2015

Di mana mereka? Francesco Toldo.

Di mana mereka? Francesco Toldo.

15 tahun yang lalu...

29 June 2000 ; Amsterdam ArenA - Amsterdam.

Toldo hanya menggeleng-gelengkan kepalanya apabila melihat pertahanannya yang paling kacak Zambrotta dilayangkan kad kuning kedua sekaligus menghantarnya pulang lebih awal ke bilik persalinan. Dengan hanya 10 orang pemain, Italy sedikit pincang. Manakala Belanda berleluasa menguasai permainan.

Selang 4  minit selepas itu Belanda diberikan sepakan penalti dek akibat terlalu bertahan. Pengadil dari Jerman, Markus Merk menganugerahkan Belanda sepakan penalti selepas mendapati baju Patrick Kluivert ditarik oleh seorang lagi pertahanan muda kacak bergaya Itali iaitu Alessandro Nesta, di dalam kotak penalti.
Beberapa pemain Itali mengaruk seperti kerasukan polong. Takdir seolah-olah tidak berpihak kepada Azzurri. Kapitan Maldini dan Fabio Cannavaro mula mengerumuni Markus Merk. Entah apa yang dicarutkan pun tidak jelas didengar. Pemain veteran Demetrio Albertini meletak tangan di kepala tanda kehampaan. Hanya itu yang beliau mampu lakukan ketika ini. Entah berapa kali agaknya dia terpaksa melalui situasi seperti ini bersama Itali.

Toldo turut serta bersama Luigi Di Biagio, Alessandro Del Piero yang cuba untuk bertikam lidah dengan Markus Merk. Sementara itu Markus Merk buat muka selamba sambil hujung kasutnya menguis-nguis rumput. Tangan kirinya diangkat, tanda keputusan penalti itu telah muktamad,

Dari satu sudut yang lain Nesta masih terkejut dan kebingungan. Sambil membetulkan getah ikatan rambutnya dia bersiul-siul kecil melagukan rentak Cindai supaya hatinya tenang apabila teringatkan senyuman manis Siti Nurhaliza. Takdelah dia rasa bersalah sangat.

Sementara itu para pemain Belanda hanya memerhatikan gelagat pasukan Itali yang tidak tentu arah.

"Padan muko," bisik Edgar Davids yang berkaca mata kepada Dennis Bergkamp yang kemudiannya berlalu ke tepi padang untuk berbincang sesuatu dengan jurulatih Frank Rijkaard. Frank Rijkaard pula kelihatan masih tenang, dia masak sangat dengan taktikal bertahan pasukan Itali. Ya, salah satu seni dalam bola sepak yang boleh memakan tuan. Sempat juga Rijkaard menjeling rakan sejawatnya Dino Zoff yang kelihatan masih meminta penjelasan dari pegawai perlawanan di tepi padang.

Del Piero berlari kencang ke arah Toldo apabila melihat kapten Belanda sendiri, Frank de Boer yang akan mengambil sepakan penalti tersebut. Segera dia mendekatkan kepalanya dengan Toldo.

"Deme terobang jek sebelah kiri. Jangan ghiso. Teman yakin bebenor kali ini teman betol."

"Ha yolaaah," balas Toldo ringaks. Debar di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Frank De Boer meletakkan bola dengan cermat dan mengambil beberapa langkah ke belakang. Dengan penuh yakin dia berlari lalu menendang bola ke kanan gawang. Toldo yang percaya dengan Del Piero terbang ke kirinya lalu menepis bola keluar. Serentak dengan itu, Toldo melompat-lompat kegembiraan kerana berjaya menyelamatkan sepakan penalti De Boer.

Para pemain Itali berkerumun memeluk Toldo. Yahooooooooooooooo!!! Puas!!! Gawang Itali terselamat seketika buat masa ini daripada dibocori.

Krinnnnnnggggggggggg!!!!

Jam loceng berbunyi.

"Mimpi lagi aku rupanya."

Toldo melangkah longlai ke bilik air untuk mandi. Dia masih dibayangi zaman kegemilangannya. Pertemuan dengan Belanda itu adalah antara kemuncak dalam kariernya. Dia turut menyelamatkan satu lagi penalti daripada Patrick Kluivert dalam masa sebenar perlawanan. Dengan hanya 10 orang pemain Itali berjaya menewaskan Belanda juga dalam sepakan penalti dengan skor 3-1. Sekali lagi Toldo cemerlang menepis sepakan Bosvelt dan De Boer. Manakala sepakan Stam tinggi melangit.

Dengan kejayaan membawa Itali keperlawanan akhir, Toldo berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan pilihan untuk Kejohanan Eropah 2000 tersebut meskipun tewas secara sadis kepada Perancis di perlawanan akhir yang juga penuh emosi dan tragis.

Selesai mandi dan bersiap lebih kurang, Toldo membancuh kopi dan mengambil beberapa keping biskut mentega untuk dijadikan sarapan buat mengalas perutnya yang kebulur. Sebatang cerut Colombia dikeluarkan dari kotak. Cerut dinyalakan dengan api serentak dilakukan bersama sedutan. Asap berkepul-kepul mula memenuhi ruang anjung tempatnya bersarapan. Dia termenung jauh. Termenung memikirkan apalah nasibnya selepas ini.


Posted via Blogaway

Wednesday, June 17, 2015

Najis Dalam Bola Sepak Malaysia Menyebabkan Kita Konsisten 20 Tahun Ke Belakang Berbanding Negara Asia Yang Lain.

Najis Dalam Bola Sepak Malaysia Menyebabkan Kita Konsisten 20 Tahun Ke Belakang Berbanding Negara Asia Yang Lain.

Sudah heboh cakap-cakap di gelandangan yang bola sepak Malaysia sedang menuju kehancuran buat kesekian kalinya. Apa buktinya?

Ia dimulakan dengan keputusan seri bertemu Timur-Leste, sebuah pasukan bola sepak yang hanyalah menyertai FIFA pada 12 September 2005. Buat pengetahuan saudara sekalian, satu kajian menunjukkan 20% penduduk Timur-Leste ini menganggur dan 52,9% hidup dengan kurang dari 1.25 Amerika Dollar sehari serta hampir setengah dari penduduk mereka adalah buta huruf. Selain itu kemerdekaan yang mereka kecapi pada tahun 2002 adalah berasaskan perjuangan selama puluhan tahun melawan Indonesia.

Nah!!! Sekarang engko bandingkan dengan negara Malaysia. Di mana menjadi habitat skuad Harimau Malaya yang hidup dalam suasana harmoni dan permai. Ditambah pula negara ini akan menuju ke arah negara maju kurang lebih daripada 5 tahun sahaja lagi.

Malam tadi pula semua sudah mengetahui kita tewas kepada Palestin. Sebuah negara yang seringkali kita bantu tidak kiralah sama ada dengan memboikot McD mahupun menghantar Afdlin Shauki ke Gaza. Bagaimana bola sepak negara yang selalu makan peluru berulam bom ini lebih maju daripada sebuah negara berpaksikan kebebasan berhibur tanpa sempadan? Untuk mengetahui rahsia ini, kita semua perlu belajar daripada mereka. Ambil pengajaran daripada cara mereka mentadbir perjalanan bola sepak mereka yang bolehlah dikatakan beroperasi dalam keadaan serba kekurangan. Jika perlu hantar wakil negara seperti Heliza Helmi yang khabarnya seringkali menyertai misi 'Aman Palestin' ke sana.

Kita tutup cerita pasal perbandingan Malaysia dengan negara baru merdeka sedekad lebih (Timur-Leste) dan negara yang entah bila hendak aman dari berperang (Palestin).

Selepas menengok situasi terkini skuad Harimau Malaya dalam aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia ini, aku mendapat satu kesimpulan awal.

Bagi aku Tengku Bola perlu meletak jawatan. Jika bukan sekarang bila lagi? Hendak tunggu lagi 40 tahun melayan episod penderitaan macam gini lagi? Dia ni bukan ada banyak beza pun dengan Soltan Bola. Tidak kiralah sama ada dari segi polisi, cita-cita mahupun kehendak nafsu untuk membawa bola sepak Malaysia ke arah lebih bermaruah. Tengku Bola cuma sambung tutup sisa najis yang telah ditinggalkan bapak dia sahaja. Maaf tanya ye..ada kita dengar bilakah sebenarnya sasaran FAM untuk layak ke Piala Dunia? Russia 2018? Qatar 2022? Hah?

Selain itu Liga M juga masih tidak diswastakan lagi sampai ke hari ini yang mana pada asalnya ia disasarkan pada tahun 2015. Ia masih berjalan secara seronok sendiri dengan hanya berubah pada formatnya setiap tahun.

Pegawai-pegawai semua tua boyot memenuhkan poket sendiri. Kurang cita-cita dan semangat waja. Tidak berwibawa dan tiada keterampilan. Lemah idea bernas secara keseluruhan dalam bola sepak. Makan mehun kapur dan karipap angin bila ade mesyuarat FAM hanya menambah benak dalam corak pemikiran mereka menyebabkan mereka tidak kritis untuk melakukan revolusi.

Aku mahu tanyakan kepada engkorang semua berapa ramai bekas pemain bola yang diberi jawatan sebagai pegawai mahupun apa sahaja EXCO dalam pentadbiran FAM? Jika ada sila jawab di ruangan komen.

Selagi benda-benda ini tidak berubah, tak payahlah kita nak terkejut berok bila 4 tahun sekali main kelayakan Piala Dunia hanya untuk mendapat malu pada wajah secara pukal.

Pendapat peribadi juga aku merasakan kita sudah ada cukup bakat pemain bola sepak yang boleh diharapkan. Ia sentiasa dihasilkan dari seluruh pelosok Malaya. Cumanya mereka akan terdedah bermain dalam liga, suasana dan budaya bola sepak tidak berdaya saing setelah menginjak masuk ke dalam Liga Malaysia yang diuruskan secara Kedai Runcit oleh FAM. Ini belum masuk cerita dihimpit bookie dan Anzalna Nasir. Lagi panjang kisahnya nanti.

Macam yang aku pernah cakap sebelum ini. Sebab itulah bila Piala Dunia muncul 4 tahun sekali aku akan sokong Sepanyol. Kawan-kawan aku pulak ada yang sokong  Argentina, England, Holland, Brazil, Jerman, Perancis.

Aku rasa cukuplah setakat ini sahaja.

Selamat berpuasa buat semua.  :-)


Posted via Blogaway

Wednesday, June 10, 2015

Masyarakat Majmuk Dalam Bola Sepak Malaysia

Masyarakat Majmuk Dalam Bola Sepak Malaysia

Beberapa hari yang lalu heboh juga pasal kemenangan skuad Malaysia Bawah 13 Tahun menewaskan Bayern Munich 2-1. Namun ramai juga yang tidak tahu skuad yang sama ini sudah menewaskan Chelsea FC dengan skor 6-0 dan Sevilla FC 1-0. Tetapi sebenarnya kita tidak perlu terkejut berok dengan kejayaan skuad bimbingan Lim Teong Kim ini sekiranya kita betol-betol mengikuti perkembangan bola sepak di Malaysia secara mendalam. Ini kerana berdasarkan sejarah silam pemain bola sepak Malaysia akan secara rasminya menjadi tidak reti menyepak bola apabila umur mereka melebihi 23 tahun dan mula diserapkan bermain dalam Liga Malaysia yang dikelolakan oleh FAM. Oleh sebab itulah aku mengambil pendekatan rileeeeekksss apabila mendengar kisah pasukan Bayern Munich ditewaskan itu.

Selain itu juga, beberapa hari yang lalu kita disajikan dengan aksi longlai daripada pasukan bola sepak Bawah 23 tahun asuhan Ong Kim Swee. Macam yang aku pernah katakan sebelum ini 'Macam mana kita nak tahu masa depan bola sepak Malaysia? Bergelut nak tewaskan Timor-Leste dan Brunei. Dikeronyok dek Vietnam. Tak angkat muka langsung bila lawan Thailand. Lepas ni entah-entah terkelucai dengan Laos pulak.' Dan ini adalah kitaran rasmi wabak bola sepak Malaysia sekiranya baka terbaik yang dilahirkan seawal usia belum mengenal Mawar Rashid ini terjerumus ke kancah Liga Malaysia yang syok sendiri kendalian oleh saudara budiman Tengku Bola dan hulubalang FAM.  

Apa nak buat ni? Kita sudah ada baka bola sepak terbaik, tetapi kita tiada Liga bola sepak bertaraf Asia (ini tanda aras paling minima aku bagi).

Dalam pada aku scroll down setiap laman maya yang aku sertai. Aku terbaca satu pendapat iaitu mencari pemain yang ada darah campuran rakyat Malaysia dan kemudiannya diserapkan ke dalam skuad bola sepak yang sedia ada. Dan semestinya mereka ini perlu pandai bermain bola dan lebih handal daripada pemain yang sedia ada bagi melayakkan mereka beroleh kredit beraksi dengan Harimau Malaya. Mari kita terima pendapat ini dengan hati terbuka dan mengandaikan Malaysia memiliki sebuah liga bertaraf Asia (pun ini adalah tanda aras paling minima aku bagi).

Majmuk Tunjang Negara.

Adakah kita sudah letih melihat budak Melayu berkahwin dengan artis selepas menjuarai Pesta Bola Merdeka? Penat menonton aksi Kunanlan yang seperti salah acara sukan setiap kali turun padang? Atau mula hilang takjub melihat nama Yong Kuang Yong yang tidak pernah tercicir dalam senarai skuad kebangsaan meskipun jumlah piala yang dimenanginya boleh dibilang dengan sebelah jari tangan sahaja?

Kini nama-nama seperti Brendan Gan, Junior Eldstal dan Matthew Davies mula meniti di setiap bibir munggil anak muda Malaysia. Terbaru ialah Curren Ferns yang kini bermain untuk pasukan Brisbane City yang mana telah pun menyatakan hasratnya untuk menyarung jersi kuning hitam pasukan negara. Ibu beliau berasal dari Johor Bharu dan Ferns turut berminat untuk menghadiri pemilihan pasukan JDT, seterusnya menyarung jersi pasukan Harimau Selatan jika terpilih. Dan sekiranya aku tidak salah, masih banyak lagi pemain berketurunan Malaysia yang bermain di luar daripada negara Malaya ini.
 
Adakah ini antara resipi terbaik untuk berjaya?

Perancis 1998 dan 2000.

Semasa Perancis menjuarai Piala Dunia 1998, pasukan mereka dilabel sebagai The Black, Blanc and Beur (Hitam, Putih, Arab). Ini kerana majoriti daripada mereka adalah berketurunan atau berdarah luar daripada Perancis.  Antaranya dari Guadeloupe, Martinique, Algeria, Argentina, Senegal, Poland, Portugal dan Ghana.
 
Zinedine Zidane (Algeria), Lilian Thuram (Guadeloupe), Marcel Desailly (Ghanaian), Christian Karembeu (New Caledonia), Patrick Vieira (Senegal), Anelka dan Sylvain Wiltord (Martinique), Trezeguet (Argentina) adalah antara contoh pemain yang membarisi skuad Les Blues ini sekitar kejayaan pada Piala Dunia1998 dan Piala Eropah 2000.  

Manakala pada Piala Dunia 2006, skuad pilihan Raymond Domenech menyenaraikan 14 orang pemain yang lahir dari benua Afrika ataupun mempunyai keluarga asal yang berdarah Afrika. Juga tidak ketinggalan, Vikash Dhorasoo yang berasal dari India.

Resipi ini masih digunakan hingga ke hari ini dengan menyebut beberapa nama sahaja antaranya Eliaquim Mangala (Portugal), Laurent Koscielny (Poland), Pogba (Guinea), Ben Arfa (Tunisia) dan Karim Benzema (Algeria).

Tidak ketinggalan juga pasukan Belanda yang pernah bergantung harap kepada warga Surinam seperti Jimmy-Floyd Hasselbaink, Patrick Kluivert, Clarence Seedorf, Edgar Davids dan Michael Reiziger. Adakah Surinam akan menjadi antara pasukan terbaik dunia sekiranya pemain-pemain ini bermain dengan negara asalnya? Hanya Tuhan sahaja yang tahu.

Jerman Dan Polisi 2014 Yang Pawer Nak Mampos.

Umum mengetahui 6 orang pemain yang menjuarai Piala Dunia 2014 yang lalu adalah skuad Jerman yang sama menjuarai Piala Eropah 2009 bawah 21 tahun. Namun adunan pemain kelahiran tempatan dan kacukan merupakan antara peyumbang kepelbagaian corak pemikiran serta pembawakan watak sama ada di dalam mahupun di luar padang.

Miroslav Klose dan Lukas Podolski (Poland), Mesut Ozil (Turki), Marko Marin (Bosnia), Sami Khedira (Tunisia), Jerome Boateng (Ghanian) serta Shkodran Mustafi (Albania) antara beberapa muka pemain kacukan.
 
Juga sebilangan besar pemain yang tidak terpilih pada Piala Dunia yang lalu iaitu Patrick Owomoyela, Dennis Aogo (Nigeria), Serdar Tasci (Turkish), Piotr Trochowski (Polish), Cacau (Brazilian) dan Mario Gomez (Spanish). Tidak ketinggalan pemain veteran seperti David Odonkor dan Gerald Asamoah (Ghana).

Keterbukaan Ini Bukanlah Tunjang Utama Kejayaan.

Namun begitu ini bukanlah satu-satunya jalan utama menuju kejayaan wahai saudara sekalian. Kita ambil contoh Wayne Rooney yang berdarah separuh Irish, Adam Lallana (Spain) dan  Phil Jageilka (Poland). Di manakah pula kedudukan skuad England sekarang ye? Begitu juga dengan 16 orang pemain bola sepak Algeria dalam skuad Piala Dunia 2014 yang lalu yang juga dilahirkan di Perancis.

Pokok pangkalnya setiap polisi atau langkah yang dilaksanakan itu pasti akan ada pro dan kontranya. Cuma kalau FAM dirombak secara menyeluruh itu bagi aku memang adalah langkah PALING TERBAIK.


Posted via Blogaway

Monday, May 25, 2015

Chelsea Mengamalkan Kesederhanaan Dalam Kehidupan.

Chelsea Mengamalkan Kesederhanaan Dalam Kehidupan.

Ye, Chelsea yang menang BPL. Tapi kisah Livepool yang lebih mendapat perhatian.

Bukan sebab tiada siapa peduli. Namun Chelsea itu sendiri adalah sebuah tim wasatiyah dan bersederhana dalam segala hal.

Insya'allah musim depan kita akan lebih berjaya. Amin..


Posted via Blogaway

Sunday, May 17, 2015

PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2015 : KELANTAN vs LIONS XII

PERLAWANAN AKHIR PIALA FA 2015 : KELANTAN vs LIONS XII

Kita mungkin sudah tau bahawa pengakhiran karier bola sepak Steven Gerrard di Anfield adalah ditamatkan dengan satu kekalahan. Ini amat berbeza dengan bekas lagenda bola sepak Arsenal iaitu Fabregas yang masih berkuasa dan berjaya menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim ini. Tapi ini sebenarnya cerita lain. Maafkan aku. Nanti kita sambung kemudian masa. Ini kali aku mahu menulis sedikit berkaitan Perlawanan Akhir Piala FA Malaysia 2015.

Walaupun Piala FA Malaysia bukanlah piala tertua yang pernah wujud di rantau Asia waima di Malaysia sekalipun. Namun romantiknya kejohanan ini dengan jiwa serta hati rakyat Malaysia sememangnya kita tidak boleh nafikan ataupun menidakannya dengan hanya sekali gelengan kepala. Jadi apabila timbul idea pandir mahu menggabungkan Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu kejohanan, pundi kelakar aku mula terasa geli hendak terbahak-bahak. Alah dah memang kerja deme tu menggabungkan benda bukan? Cukup-cukuplah gabungkan pasukan bola tu. Jangan nak gabungkan segala benda pulak yang ada di muka bumi ini.

Tetapi malangnya idea pandir ini kemudiannya disambut baik oleh persatuan FAM pandir dan mereka bersedia membincangkannya. Sudahlah pemain kita kekurangan jumlah perlawanan kompetetif setiap musim. Ini pulak nak digabungnya dua piala jadi satu kejohanan. Bertambah-tambahlah cuti rehat pemain bola yang beraksi dalam Liga Malaysia nanti. Kita biarkan cerita merepek gabung menggabung ni sebentar. Malas pulak aku nak menaip panjang.

Beberapa hari yang lalu seluruh dunia sudah menyaksikan kebangkitan pasukan Kelantan menewaskan juara bertahan Pahang dalam aksi yang secara jujur aku boleh katakan kurang meyakinkan dari pasukan Red Warriors itu. Cumanya kita harus memberi pujian kepada semangat melawan tim Cik Siti Wan Kembang ini yang tidak mudah menyerah kalah. Dipadankan pula dengan beberapa sentuhan taktikal yang menjadi daripada Azraai Khor. Ia seakan menjadi adunan selazat ikan talapia bakar yang dicicah bersama budu.

Hasilnya mereka berjaya mara ke perlawanan akhir selepas menjinakkan Pahang 3-1 untuk melangkah megah dengan aggregate 3-2. Lawan mereka nanti adalah pasukan Temasik - Lions XII asuhan Fandi Ahmad. Entah apa strategi yang akan digunakan oleh kedua-dua pasukan ini pun kita tak tahu kerana apabila tiba di pentas akhir, segalanya adalah berbeza. Tiada istilah pasukan pilihan dan masing-masing berpeluang muncul juara. Cuma Lions XII semestinya tidak akan mendapat tempat ke Piala AFC 2016 sekiranya menjulang Piala FA kerana mereka adalah pasukan jemputan sahaja. Dan kemenangan mereka mungkin adalah saguhati untuk dibawa pulang ke seberang tambak kelak.

Berdasarkan sejarah pula ini adalah pertemuan sulong kedua pasukan dalam aksi perlawanan akhir Piala FA. Bagi Kelantan ini adalah perlawanan akhir yang ke-5 buat mereka dalam memburu kejuaraan yang ke-3 untuk tempoh 4 tahun. Sementara buat Lions XII pula segalanya adalah yang pertama kali untuk mereka. Dan sekiranya statistik ini diambil kira kelebihan jelas berpihak kepada pasukan Kelantan dari segi pengalaman dan keyakinan bermain di pentas akhir Piala FA.

Aku mendapat info juga yang seluruh Malaysia akan menyokong Kelantan kerana apa jadahnya kita nak menyokong Temasik ye tak? Oleh itu Azraai Khor perlu membalas kepercayaan yang diberikan kepada pasukannya dengan menghalang piala ini daripada merentasi seberang tambak JDT.

Dari segi siapa pemain yang berhak diturunkan ataupun tidak, aku tidak mahu sentuh sangat kerana ia adalah lebih baik diserahkan sehaja kepada Azraai Khor. Cuma kalau boleh tolong perhatikan sikit perangai Amir Taj dan jugak Fakri Saarani kerana keduanya aku lihat amat berpeluang cerah menjadi culprit dalam tim Red Warriors.

Juga aku tidak mahu meramalkan sebarang keputusan kerana perancangan Allah itu adalah sebaik-baik perancangan. Cukuplah hanya kita panjatkan doa agar pasukan Kelantan berjaya menang secara bersih, tiada kerusi stadium terbakor, pengadil bersifat seperti manusia bukannya hanjeng dan Neelofa serta Mawar Rashid boleh tersenyum bangga apabila wisel penamat ditiupkan kelak.


Posted via Blogaway

Saturday, May 16, 2015

Selamat Tinggal Steven Gerrard

Macam mana banyak pun kita menyampah dekat pasukan Liverpool yang tak sudah-sudah dengan sejarah silam mereka. Kita tidak boleh menafikan kePOWERan dan WIBAWA individu bernama Steven Gerrard. Masih terbayang-bayang penampilan pertama seorang anak muda dari Whiston yang melangkah megah ke dalam padang untuk mewakili pasukan kebangsaan England beradu dengan pasukan Ukraine.

Kita lupakan beberapa kecelakaan yang menimpa beliau sebagai contoh tergelincir pada musim lepas ketika bertemu sebuah pasukan agung dari London. Ataupun back-pass yang pernah mengelirukan ramai penjaga golnya sendiri dalam beberapa perlawanan yang penting nak mampos. Maafkan beliau. Steven Gerrard sama seperti kita. Manusia biasa dan bukannya robot. Bukan juga mahkluk asing yang turun ke bumi pada malam jumaat keliwon.

Mari kita singkap pula kenangan manis beliau sehingga tercetusnya frasa Ataturkism, gol jarak jauh beliau yang tidak akan pernah jemu untuk ditonton di YouTube. Dan jika gol itu merupakan 'ad' di Youtube, aku rela tidak memilih 'skip ad', asalkan dapat melihat teknik beliau yang sangat tinggi dalam menjaringkan gol. Juga kehebatan sepakan percuma beliau serta sifat kepimpinan yang tinggi apabila berada di atas padang. Itu adalah antara kejayaan Steven Gerrard selain mempunyai Alex Curran yang sentiasa memberi sokongan padu kepadanya.

Hari ini adalah perlawanan terakhir beliau di Stadium keramat Anfield. Berdirilah kita semua. Berdiri dengan penuh semangat sebagai tanda hormat dan terima kasih. Terima kasih tak terhingga kepada seorang pemain lagenda bernama Steven Gerrard. Bangun!!! Tepuk tangan semua!!!

Nota: Sedih jugak aku tulis kisah hidup Steven Gerrard ni.


Posted via Blogaway

Wednesday, April 22, 2015

Perihal JDT dan Kemakmuran Bola Sepak Negara

Terima kasih

Perihal JDT dan Kemakmuran Bola Sepak Negara

Bagi sesetengah manusia, menegur itu dinamakan sebagai mengutuk. Aku tak salahkan pengomen di atas sebab itu cara dia sedut apa yang aku suarakan. Dan mungkin dia tidak membaca tulisan aku seawal darjah 2. Mungkin. Takkanlah aku nak kondem bilik persalinan JDT, stadium yang dikawal selia tahap antarabangsa tidak kira semasa perlawanan atau selepas perlawanan, kualiti padang dan corak permainan yang diterapkan Bojan Hodak? JDT juga buat jaringan hubungan dengan kelab luar negara sebagai contoh Borusia Dortmund. Juga kejayaan tim bawah 12 tahun JDT baru-baru ini. Kemonlaah..aku bukan Razip Ismail. Dan aku tak berfikir menggunakan otak Hasan Malek.

Kalau boleh, baca semula tulisan-tulisan lama aku pasal JDT.

Masih ada lagi persoalan yang belum terjawab. Antaranya, kenapa perlunya hanya satu tim utama sahaja di negeri Johor yang beraksi di peringkat atasan? Sedangkan di London sahaja ada kelab bola sepak power seperti Chelsea, Arsenal Spurs dan West Ham (antaranya). Suatu masa dahulu ada tim MP Muar FC, MBJB FC, Johor Pasir Gudang FC sebagai contoh yang beraksi dalam liga utama di Malaysia bersama-sama Johor FA dan Johor FC. Apa sudah jadi dengan kepaweran tim-tim ni semua?

Bagaimana pula dengan integriti Liga Malaysia itu sendiri yang membenarkan satu entiti memiliki dua pasukan yang bergerak secara serentak? Dalam liga yang sama? Dalam kejohanan yang sama?

Dan ade juga benda mengarut (aku pernah tegur) yang JDT dah tak buat lagi iaitu membeli pemain bintang tapi tak berguna seperti Aimar dan Guiza. Walaupun yang tak berguna bagi aku ialah corak permainan pasukan dalam Liga Malaysia itu sendiri.

Sudahlah aku nak pergi mesjid ni. Melayan penyokong buta JDT ni sampai kiamat tak sudah.

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Wednesday, April 15, 2015

Mengintai Peluang Piala Dunia dan Piala Asia Buat Kali Ke-876123.

Ini Tim Bola Bhutan. Tahu?

Mengintai Peluang Piala Dunia dan Piala Asia Buat Kali Ke-876123.

RIP. Bungkus awal. Itu antara segelintir respon daripada umat Malaysia selepas menengok undian awal Piala Dunia dan Piala Asia kelmarin. Aku tak marahkan mereka ni semua sebab aku rasa mereka cukup masak dengan perihal masalah bola sepak negara kita. Bagaimana pula dengan harapan sesetengah peminat hijau Harimau Malaya? Perlukah kita optimis dengan peluang layak ke Piala Dunia dan Piala Asia buat kali ke 876123? Yang itu terpulang kepada pendirian masing-masing. Aku ok jeeeek sebenarnya.

Baiklah. Jika kita melihat secara mendalam dari segi corak permainan dan kemahiran bermain bola sepak. Aku yakin kita akan terlepas kedua-dua peluang untuk layak ke kejohanan ini. Kenapa aku terlampau negatif? Hah? Sebabnya ialah:

1) Kita tiada pemain pertahanan yang betol-betol mantap dan mampu fokus pada permainan lebih daripada 65 minit.

Kita ambil contoh Aidil Zafuan, Fadli Shas dan Muslim Ahmad. Mereka ini kalau dah beraksi lebih daripada 65 minit mulalah buat benda-benda merapu. Contohnya melakukan bentesan bahaya tak patut di dalam kotak penalti, mencari kad merah secara rela hati ataupun terpinga-pinga melihat hantaran lintang pasukan lawan di dalam kawasan sendiri. Manakala tak kurang juga pemain macam Mahali Jasuli yang gemar naik ke atas tapi tidak mampu turun secara segera bagi bertahan semula. Ada juga pemain pertahanan berstamina tinggi macam Zubir Azmi dan S. Kunanlan. Tapi mereka ini lebih kepada skuad perentas desa olimpik dan kawalan bola mereka amat mengecewakan. Kesannya pemain pertahanan Harimau Malaya akan gagal bertahan dengan baik dan ia akan membuka peluang kepada penyerang lawan untuk merobek gawang gol pasukan kita. Harus diingat (baca gaya Arwah Hasbollah Awang) penyerang yang akan dihadapi oleh Harimau Malaya nanti ada kemungkinan besar ialah Ali Mabkhout dan Ahmed Khalil dari Emiriah Arab Bersatu  yang merupakan pengumpul 9 gol secara berjemaah dalam Piala Asia 2015 yang baru sudah.

Nota tambahan: Aku paling ngeri kalau K. Ruben yang dipanggil untuk tugasan macam gini. Mujur nama beliau sudah hilang dari kamus bola sepak tempatan.
 
2) Pemain tengah yang hanya kreatif dalam Liga Tempatan.

Ini aku tujukan khos buat pemain macam Safiq Rahim dan Badri Radzi. Umum mengetahui bagaimana kemahiran mereka di dalam liga tempatan dalam melakukan 'through-pass', mencipta peluang buat penyerang dan membuat cubaan gol yang menarik. Kehebatan menjaringkan gol daripada sepakan penjuru dan sepakan percuma. Amboih bukan main pawer lagi mereka beraksi dalam liga Malaysia ye. Tetapi bila tiba aksi di pentas antarabangsa, semuanya ghaib bagaikan ditelan kapsul masa. Itu aku belum sebut pasal melakukan penetrasi ke atas pertahanan lawan, bermain secara segitiga, mencari ruang buat penyerang menjaringkan gol serta sentiasa kreatif dan geliga merencana setiap gerakan dari tengah padang yang mana merupakan antara komponen terpenting dalam sesebuah pasukan bola sepak. Lihat sahaja nama-nama seperti Zidane, Pirlo mahupun Xavi. Bagaimana mereka membina reputasi mereka dari tengah padang dan menjadi pemain juga merangkap ketua pasukan yang disegani. Salute!!!

Apakah jenis pemain tengah yang kita ada? Pemain tengah yang kita ada hanya mampu berlari-lari anak di tengah padang. Kadangkala mendongak menengok bola yang dihantar oleh pemain pertahanan terus mencari penyerang gendut di hadapan. Renung-renungkanlah ye.

3) Tiada pemain sayap yang memiliki pakej lengkap sebagai pemain sayap.

Sebenarnya secara jujur kita ada pemain sayap yang bagus. Sebagai contoh Gopinathan, Nazrin Nawi, Azamuddin Alex Akil dan Chanturu Express. Mereka ini pemain sayap yang bagus, cumanya tidak memiliki pakej yang lengkap sebagai seorang pemain sayap. Seorang pemain sayap tidak sepatutnya hanya tahu menggelecek bola tetapi lintang pukang dalam melakukan hantaran lintang (mentang-mentanglah namanya hantaran lintang). Pemain sayap juga tidak perlu gopoh menyepak bola ke langit apabila berhadapan situasi menjaringkan gol. Dan pemain sayap juga tak perlulah menggelecek sehingga ke penjuru padang hanya untuk mengeluarkan bola dari permainan dengan menggunakan keting. Jika mahukan contoh pemain sayap terbilang tahap lagenda, lihat sahaja corak permainan Ryan Giggs dan Marc Overmars. Ataupun Robert Pires dan Fredrik Ljungberg. Inilah sebenarnya jenis-jenis pemain sayap yang tidak dilahirkan di dalam Liga Malaysia. Kalau ada. Sila bagitau aku sekarang!!! Tegas jugak aku ni rupanya.

4) Mencari penyerang yang mampu menjaringkan 20 gol semusim.

Okeh. Sekarang aku nak tanya. Bilakah kali terakhir penyerang tempatan berjaya menggondol anugerah kasut emas untuk Liga Super dengan menjaringkan lebih daripada 20 gol semusim? Apa? Tak ingat? Tak tahu? Mari sini aku bagitau. Dekat sikit telinga tu aku nak bisik. Dengar ye...

Berdasarkan statistik kuno, kali terakhir penyerang tempatan berjaya menggondol anugerah kasut emas untuk Liga Super dengan menjaringkan 20 gol semusim ialah pada 2011 iaitu dilakukan oleh Hadi Yahya. Hanya 20 gol sahaja. Cukup-cukup makan. Manakala Hashim Mustapha lebih cemerlang dengan rekod 25 gol pada tahun 1994 bersamaan ketika aku masih darjah 4. Apakah maknanya kejadah semua ini?

5) Betolkah Dollah Salleh ini Hristo Stoichkov versi Malaya?

Sebut sahaja nama Hristo Stoichkov, mesti ramai yang teringat akan ketajaman beliau ketika bermain sebagai seorang penyerang suatu masa dahulu. Tetapi adakah kita tahu beliau juga pernah melakukan kerja gila ketika membimbing Bulgaria dengan memilih formasi 2-4-4? Mintak dijauhkan Dollah Salleh daripada menjadi perangai sebegini.

Dollah Salleh jika tidak mahu berperangai seperti Stoichkov wajar mempelbagaikan taktik ketika berhadapan lawan yang berbeza-beza saiz, taktikal dan corak permainan. Bagaimana mahu berhadapan dengan pasukan yang bermain dengan formasi 4-3-3? Perlukah mengubah formasi daripada 4-4-2 yang biasa digunakan oleh Harimau Malaya ini kepada formasi 4-2-3-1 yang mana lebih menarik dan berkesan. Dan formasi ini juga mampu melumpuhkan dengan cepat lawan yang bermain secara 4-4-2 dan 4-3-3. Ini sekadar contoh sahaja kerana Dollah Salleh perlu merencana pelbagai formasi yang mampu mencipta peluang gol.

Tetapi melihat kepada nama-nama pemain yang sering Dollah gunakan setakat ini, aku tertunduk sambil menggeleng kepala secara perlahan-lahan.

Baiklah anak mude sekalian. Aku bagi 5 sahaja dalil buat masa ini. Yang lain-lain kita boleh tambah ataupun fikirkan secara berjemaah ketika sedang duduk meneran di rumah masing-masing. Tidak salah kalau kita hendak memasang angan-angan untuk menjadi seperti Senegal dan Korea Selatan pada Piala Dunia 2002. Mahupun Greece dalam Piala Eropah 2004. Malangnya jika dikaji jirim dan jisim bola sepak Malaysia itu sendiri, angan-angan seperti ini adalah lebih baik disimpan di dalam Arkib FAM sahaja.

Sudahlah aku nak pergi makan nasik.


Posted via Blogaway

Saturday, April 11, 2015

Di mana mereka? Diego Tristan.

Di mana mereka? Diego Tristan.

Haaaa...Anda kenal pada Diego Tristan? Tidak? Itu bermakna anda adalah seorang yang masih hijau dalam arena bola sepak dunia. Tetapi sebelum apa-apa, izinkan saya menidurkan anak-anak dan isteri saya terlebih dahulu.

............................Okeh Done!!!

Dekat mane kita berhenti tadi? Ha ye...Diego Tristan.

Lama sebelum  wujudnya Diego Costa yang berwajah tua kerepot, dunia bola sepak awal era 2000 pernah dihiasi dengan kelincahan aksi Diego Tristan di hadapan gol sehinggakan beliau digelar 'The Slippery Lizard'. Lain pula ceritanya dengan bola sepak Malaysia ketika itu yang lebih banyak melahirkan penyerang berjenis 'The Sleepy Wizard'. Abaikan sahaja kisah mereka ni.

Sepanjang tempoh singkat kemahsyuran Diego Tristan, beliau telah membantu Deportivo La Coruña - pasukan agong daripada Sepayol ketika itu memenangi Copa del Rey dan Supercopa de España pada tahun 2002, serta kejayaan mara ke peringkat separuh akhir Champions League musim 2004. Siapa boleh melupakan kejayaan dramatik Deportivo menewaskan AC Milan ketika itu? Walaupun watak utama masa itu adalah seorang lagi lagenda iaitu Walter Pandiani, namun nama Diego Tristan kekal terpalit dalam sejarah Champions League sebagai antara anggota pasukan 'fairy tales' yang dibimbing oleh Javier Irureta.

Mari kita imbas serba sedikit berkenaan latar belakang Diego Tristan.

Dia mula mencipta nama dengan  RCD Mallorca apabila menjaringkan 18 gol dalam 35 penampilannya pada musim 1999/2000. Presiden Real Madrid ketika itu, Lorenzo Sanz dengan segera cuba mendapatkan Diego Tristan bagi menambah koleksi penyerang The Galacticos yang sudah pun memiliki Raul dan Fernando Morientes. Namun perpindahan ini tidak berjaya dilaksanakan apabila Florentino Perez melangkah sebagai Presiden di  Bernabeu dan memulakan legasi pemerintahannya di Real Madrid.

Selepas itu Deportivo muncul dengan bidaan  £8 juta yang mana ia dilihat sebagai antara pembelian berbaloi dalam sejarah bola sepak moden. Diego Tristan kemudiannya membina repustasinya sebagai pemain nombor 9 yang lengkap; pakar dalam memecah pertahanan lawan, skill bola sepak yang tinggi dan kepantasan serta ketangkasan menjaringkan gol.

Musim pertama Diego Tristan di Deportivo dibayangi dengan kehebatan seorang lagi penyerang pawer iaitu Roy Makaay. Tetapi beliau masih mampu menjaringkan 19 gol dalam 29 penampilannya di atas padang. Musim 2001/2002 pula dia menyudahkan kempen dengan merekodkan  21 gol dalam 35 aksi di La Liga serta 6 biji gol di pentas Eropah. Ia sekaligus membolehkan beliau menjulang trofi Pichichi pada penghujung musim tersebut.

Kecemerlangan beliau pada musim ini menarik perhatian José Antonio Camacho si ketiak basah untuk memanggil beliau masuk ke dalam skuad Sepanyol bagi kejohananPiala Dunia Korea Japan 2002. Malangnya beliau tercedera ketika kejohanan berlangsung dan gagal membuat penampilan bersama skuad La Furia Roja pada ketika itu.

Diego Tristan kemudiannya menyudahkan enam musim bersama Deportivo La Coruña dengan 78 gol dalam 177 perlawanan. Selepas itu beliau ada juga menyepak bola di kelab bola sepak lain seperti Mallorca, Livorno, West Ham dan Cádiz. Namun nama 'The Slippery Lizard' semakin hilang ditelan zaman dek kerana kecederaan berulang yang sering dialami serta kehidupan tidak tentu hala beliau di luar padang.

Mungkin ini adalah antara kisah dongeng tipikal seorang pemain bola sepak yang hebat namun dihalang oleh kecederaan dan juga kegagalan membendung populariti. Jika Diego Tristan berjaya mengawal kehidupannya, siapa tahu nama beliau sudah sebaris dengan Raul, Ronaldo ataupun paling tidak Morientes.

Tetapi ia masih pengakhiran yang mulia jika kita hendak bandingkan dengan terjun ke landasan keretapi.


Posted via Blogaway

Saturday, April 4, 2015

Siri Kecelakaan Bola Sepak Malaysia Diteruskan Dalam Gaya Yang Serupa Tapi Berbeza Pelaku.

Rileeeeeekssss

Siri Kecelakaan Bola Sepak Malaysia Diteruskan Dalam Gaya Yang Serupa Tapi Berbeza Pelaku.

Kah...kah...kah...Izinkan hamba ketawa terlebih dahulu. Terima kasih semua.

Selepas aku selesai menonton filem Furious 7, aku bertanya kepada diri sendiri. Apa benda selain daripada buat filem yang Malaysia ni tak pernah nak pawer dari dahulu sehinggalah ke hari ini. Haaaa...bola sepak.

Sebenornya aku ketawa tadi bukannya hape. Teringatkan Razip Ismail. Mungkin ada yang tidak tahu apa sumbangan beliau ini dalam bola sepak dari sudut kejurulatihan. Begini ceritanya.

Razip Ismail bergelut semasa melatih pasukan Kuala Lumpur dari tahun 2008 hingga 2012 dan melalui proses relegasi iaitu menghantar pasukan The City Boy ke lembah jahanam. Dengan tidak semena-mena beliau dilantik menjadi jurulatih pasukan Harimau Muda B pula. Apa yang berlaku selepas itu?

Harimau Muda B berjaya menduduki tempat kedua corot pada 2013 dan kemudiannya memperbaiki kedudukan mereka ke tangga tercorot liga pada tahun 2014. Pada tahun 2014 mereka hanya menang 6, seri 2 dan kalah 19 perlawanan. Sembilan belas woih!!!

Menengokkan keadaan ini, mari aku tanya berapa ramai pemain yang telah beliau ketengahkan daripada Harimau B sepanjang 2 tahun beraksi di Liga S? Yilllleeeek!!!

Tahukah engko semua juga? Sembilan daripada sebelas pemain yang Razip Ismail guna untuk menjulang Piala Emas Bangabandhu tempohari adalah pemain yang sama digunakan oleh Ong Kim Swee dalam Liga Perdana Queensland Australia.

Jadik, apa macam semua? Sudah nampak ke mana arah perginya bola sepak kita kelak? Kita nak salahkan siapa pula dengan kegagalan kali ini? FAM? Razip Ismail?

Sekali lagi aku tanyakan kepada semua penggemar FAM. Sampai bila kita hendak berpuas hati dengan Emas Sukan Sea? Bak kata seorang pakar bola sepak.

'Emas sukan sea ini umpama menang emas untuk kejohanan rumah sukan sekolah antara rumah hijau, biru, kuning dan merah. Bila fight untuk daerah memang tercirit. Fight untuk negeri pulak memang sembelit'

Akhirnya aku menjumpai masalah sebenar Siri Kecelakaan Bola Sepak Malaysia. Masalah bolasepak kita berpunca dari telur:
Pemain kita berat telur. Sepak bola pun ikut arah telur.
Pengurusan bola sepak kita berfikir dan bercakap menggunakan telur.
Takde pengkritik sukan yang berani cakap kena mantapkan lagi permainan lepas bergelar jaguh ASEAN. Ada pun beberapa kerat sahaja, selebihnya semua nak menjaga telur.
Dengan tahap bola sepak yang statik sekian lama, masih ada media kita bersikap takde telur. Menang Piala Bangladesh heboh dengan pujian satu Malaya.
Pada yang mengambil jalan alternatif cuba mengkritik, dikata pulak senak telur dan tahu kondem ajek.

Sudaah lama orang kita dipaksa untuk berpuas hati dan jangan banyak soal. Duduk diam-diam teruskan sokongan dan goyang telur. Masalahnya sampai bila? Engko letaklah Carlos Queiroz sekalipun tapi kalau FAM sendiri tidak berubah secara TOTAL, Siri Kecelakaan Bola Sepak Malaysia Tetap Akan Diteruskan Dalam Gaya Yang Serupa Tapi Berbeza Pelaku Sahaja.


Posted via Blogaway

Sunday, March 29, 2015

Kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun.

Kelayakan Piala AFC Bawah 23 tahun.

Perlawanan Pertama: Malaysia B22 1-2 Vietnam B22.

Tak sampai 24 jam selepas skuad Harimau Tua kalah 6-0 kepada Oman, skuad Razip Ismail pulak memalukan bola sepak Malaya. Bagi yang terer dan kenal secara mendalam perjalanan skuad ni, ia bukan perkara yang mengejutkan. Aku pulak rileeeekss jek menengok keputusan macam gini. Benda yang dah dijangka. Apa nak dihairankan?

Tapi bagi yang masih hijau dengan cara bola sepak Malaysia diuruskan. Mesti dia akan cakap macam gini:

"Eh, kondem je tau..bagilah sokongan. Biar ada motivasi sikit. Ini main pun belum udah kritik."

Entah sokongan jenis macam mane nak diberikan kepada pemain yang berlari lebih banyak daripada menyepak bola bila berada di atas padang.

Perlawanan Kedua: Malaysia B22 2-0 Macau B22.

Ya Allahurabbi...punyalah PAWER tim Razip Ismail ni.

Malaysia mengekalkan momentum bermain dengan kemas dan penuh variasi. Hantaran sesama pemain 90% tepat. Pemain pertahanan melakukan 22 bentesan kemas mematahkan setiap serangan Macau. Penjaga gol menyelamatkan 5 cubaan gol.

Pelbagai taktikal serangan diatur oleh barisan pemain tengah. Sayap kiri dan kanan pula sentiasa melakukan larian kencang dan hantaran lintang yang mengelirukan pertahanan Macau.

Berkat usaha dan kehebatan Razip Ismail merencana taktikal bergeliga, akhirnya Malaysia menang dengan skor 2-0.

Pasukan bertaraf dunia, Macau terkebil kebil melihat kePAWERan Malaysia petang ini. Heh!!!

Posted via Blogaway


Posted via Blogaway

Friday, March 27, 2015

Di Mana Mereka? Gaizka Mendieta.

Di Mana Mereka? Gaizka Mendieta.

Aku sedang menonton perlawanan bola sepak tidak bermaya antara Yaman dengan Malaysia yang membawa kepada satu persoalan kenapa kita gagal melahirkan pemain tengah bertaraf dunia?

Ingatan aku pantas memainkan aksi kemas Gaizka Mendieta di atas padang. Pasukan Malaysia bukan sahaja tiada pemain sehandal Gaizka Mendieta, malahan sepandir Joey Barton dan cikai macam Guti pun kita tiada. Nak menangis jugak kalau difikirkan perihal ini secara mendalam.

Pernah pada satu ketika semasa zaman keagungan Kelab Bola Sepak Valencia, terdapat satu susuk individu berbakat yang menyepak bola di situ. Beliau tidak lain tidak bukan ialah Gaizka Mendieta.

Walaubagaimanapun ada  beberapa pemain lain yang tidak kurang hebatnya yang beraksi di sisi beliau seperti Santiago Cañizares, Claudio López, Miguel Ángel Angulo, Kily González, Adrian Ilie, John Carew, Roberto Ayala, Rubén Baraja dan Pablo Aimar. Kesemua pemain berbakat ini diadun secara sebati oleh Héctor Cúper dalam membentuk sebuah pasukan yang terampil dan berdaya saing sekitar tahun 2000 hingga 2001 yang mana menyaksikan pasukan ini melangkah ke perlawanan akhir Champions League secara berturut-turut dengan Gaizka Mendieta sebagai teraju utama pasukan.

Dalam kamus bola sepak Gaizka Mendieta lebih berperanan sebagai 'combative midfielder' yang sentiasa berada dalam radar menjaringkan gol di sekitar kotak penalti. Beberapa kualiti yang ada pada dirinya juga jika kita lihat boleh menjadikan beliau seorang pemain terbaik dunia pada masa tersebut. Mungkin sebab itulah dia dinamakan sebagai Pemain Tengah Terbaik Eropah sebanyak dua kali. Jadi sekiranya kita celik bola sepak, pemain seperti inilah yang wajar dijadikan idola, bukannya seperti Steven Gerrard mahupun Safiq Rahim.

Berbalik kepada zaman kegemilangan Valencia, pasukan asuhan Héctor Cúper ini bermain sangat cantik. Lama sebelum tiki-taka dilahirkan, Valencia sudah memukau dengan hantaran pendek dan pantas. Larian kencang Kily González disulam dengan ketenangan Ruben Baraja serta kebijaksanaan Mendieta memudahkan tugas menjaringkan gol sama ada buat John Carew mahupun Claudio López.

Ramai yang mengakui antara penyebab kehebatan Valencia pada ketika itu adalah kerana dengan kehadiran Gaizka Mendieta. Mendieta ni pulak kalau sekali pandang, nampak macam Tua Lembik. Dan itulah sebabnya pihak lawan mudah 'disunat' oleh beliau dek kerana tertipu dengan wajahnya yang lemah tak bermaya.

Kegemilangan Mendieta bersama Valencia telah menarik minat Lazio untuk menjadikan beliau sebagai pemain termahal dunia pada tahun 2001. Selepas meninggalkan Valencia dan bersama Lazio, kehidupan bola sepak Mendieta berubah secara drastik. Daripada seorang pemain bintang kepada seorang pemain yang boleh kita katakan sebagai sampah. Antara sebab utama ialah corak permainan bola sepak Itali yang amat tidak serasi dengan jiwa Mendieta. Selepas hanya semusim, dia dipinjamkan pula ke Barcelona.

Karier Mendieta seakan kembali bersinar apabila dia beraksi untuk Middlesbrough dengan membantu pasukan ini menjulang Piala Liga atau kini dikenali sebagai Piala Capital One. Walaupun begitu beberapa siri kecederaan memaksa Mendieta bersara daripada menyepak bola pada usia 33 tahun.

Gaizka Mendieta adalah antara contoh pemain yang jangan sesekali kita berani pandang dia dengan hanya sebelah mata. Dia akan sentiasa diingati sebagai seorang pemain tengah yang serbah boleh, berkemahiran dalam menyerang dan mempunyai bentesan yang kemas serta bekemampuan mencipta gol untuk rakan sepasukan serta dirinya sendiri. Gila.

Valencia Maestro - Gaizka Mendieta akan sentiasa berada dalam senarai antara pemain tengah terbaik dunia yang pernah mewarnai kancah bola sepak era millennium.


Posted via Blogaway

Saturday, March 14, 2015

Kecenderungan Liverpool Dalam Memperkasakan Pasukan Bola Sepak Mereka.

Kecenderungan Liverpool Dalam Memperkasakan Pasukan Bola Sepak Mereka.

Tersingkirnya Chelsea dari kejohanan Champions League merupakan seribu rahmat buat The Blues. Mujur juga tewas kepada pasukan seperti PSG. Jadi malunya tidaklah berapa tebal. Dan bolehlah kita katakan sudah tiada rezeki bagi Chelsea dalam kejohanan tersebut.

Pepatah lama ada menyebut, barang yang lepas janganlah dikenang-kenang. Jika dikenang jua maka melaratlah diri, rosaklah jiwa, terpesonglah hati, terjun bangunan, mati. Oleh itu Chelsea akan memfokuskan tumpuan 175% kepada Liga Perdana Inggeris memandangkan hanya ini sahaja peluang bagi Chelsea menambah Piala musim ini. Pasukan lain kenalah berhati-hati dengan laungan semangat dari Kem Chelsea ini. Terutamanya Southampton yang terpaksa mengadap pasukan Chelsea pada hari Ahad jam 9.30 malam.

Sepanjang 11 pertemuan terakhir antara Chelsea dan Southampton, The Blues hanya tewas sekali sahaja. Hebat. Hakikat ini turut diakui sendiri oleh jurulatih The Saints, Ronald Koeman.

"Cube engko bagitau aku. Tang mana yang sedapnya lawan Chelsea ni? Hah? Mane ade sedaaaap..azab adelah. Dah tepi, tepi. Aku nak makan nasik."

Nampak macam tertekan jek si Koeman ni. Cubalah rileeeeks sikit. Bagi perlawanan bertaraf dunia seperti ini aku masih yakin Chelsea mampu mengukir 3 mata penuh. Jumlah jaringan tidak penting. Asalkan menang sudah cukup wasatiyah.

Sementara itu, walaupun aku tidak mempunyai saluran tivi satelit berbayar. Tapi aku masih tahu beberapa perkembangan terkini dan prestasi semasa pasukan yang bersaing di dalam Liga Inggeris. Sebagai contoh pasukan Liverpool. Kali terakhir The Kops merasa kekalahan dalam saingan Liga Perdana ialah pada 14 Disember 2014. Iaitu tahun lepas. Lama jugek.

Lawan Liverpool minggu ini pula ialah Swansea. Berdasarkan rekod juga kedua pasukan ini telah menghasilkan 21 gol dalam empat pertemuan terakhir mereka. Jelas apabila kedua pasukan ini bertembung, makanya akan banyak jaringan gol yang akan dihasilkan.  Pada perlawanan ini kita tumpukan perhatian kepada Daniel Sturridge. Bukan kerana dia pernah menjaringkan 4 gol sepanjang menentang Swansea. Tapi kerana dia adalah pemain yang sentiasa mengancam bersama-sama rangkaian pemain seperti Coutinho dan Sterling. Walaupun begitu aku merasakan kedua pasukan akan mengikat keputusan seri dek kerana kelebihan Swansea yang bermain di tempat sendiri dan semangat mereka yang mendadak untuk menewaskan bekas pengurus mereka iaitu Brendan Rodgers.

Bagi perlawanan lain pula, aku merasakan mungkin tidak banyak kejutan yang akan berlaku. Arsenal yang melayan West Ham dijangka akan menewaskan pasukan asuhan Big Sam tersebut. Paling tidak pun dengan skor 2-1. Manakala Manchester City yang bermain sebagai pelawat untuk bertemu Burnley juga rasanya tidak bermasalah untuk membawa pulang 3 mata. Mungkin 2-0 sudah memadai buat skuad Manuel Pellegrini. Dan juga seperti kebiasaan Manchester United akan tewas kepada Spurs 0-3.

Begitulah ia sebaik-baik aturan keputusan dalam perlawanan bola sepak bertaraf dunia.


Posted via Blogaway

Sunday, February 15, 2015

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

Di Mana Mereka? Alexi Lalas.

18 June 1994 | 23:00 PM.

Pagi sebelumnya aku telah bersengkang mata bagi menonton pertembungan antara juara bertahan Piala Dunia 1990, Jerman dengan pasukan berjersi hijau macam gampang dari Amerika Selatan iaitu Bolivia. Perlawanan ini berakhir dengan keputusan 1-0 berpihak kepada Jerman selepas jaringan sulung daripada Jürgen Klinsmann memberikan 3 mata kepada Die Mannschaft.

Perlawanan kedua berlangsung di Pontiac Silverdome yang mana merupakan kali pertama dalam sejarah Piala Dunia perlawanan diadakan secara 'indoor'. Ia melibatkan pasukan tuan rumah Piala Dunia 1994 iaitu Amerika Syarikat yang menanti cabaran daripada Switzerland. Kalau nak diikutkan memanglah tak power nak mampos kedua pasukan ini pada waktu itu. Aku bangun pun semata-mata nak nengok tim tuan rumah beraksi. Khabarnya ini adalah pasukan bola sepak terbaik yang pernah Amerika Syarikat miliki. Dan juga dalam masa yang sama aku ingin mentertawakan Amerika sekiranya mereka tewas. Almaklumlah..sentimen Asal Bukan Amerika amat menebal ketika ini. Sekarang ni lainlah..main golf dengan Amerika..mintak petisyen pun dengan Amerika. Macam gampang. Tapi itu cerita lain. Abaikan.

Mata aku semakin mengantuk sehinggalah secara tiba-tiba aku terpandang satu susuk pemain yang berbeza penampilan imejnya daripada pemain yang lain. Sekali imbas macam beruk kuning. Wajahnya dipenuhi jambang yang keperang-perangan. Juga rambutnya yang panjang menambah imej 'rock star' pada dirinya. Aku tertanya-tanya di dalam hati, dari mana pula si Bora Milutinovic kutip pemain ni?

Rupa-rupanya itu adalah Panayotis Alexander Lalas ataupun lebih dikenali sebagai Alexi Lalas. Budak punk yang dilahirkan di Birmingham, Michigan, Amerika Syarikat. Dia antara pemain penuh warna-warni dalam Piala Dunia 1994 selain daripada Jorge Campos dengan jersi kain percanya, rambut kembang Valderrama dan juga Maradona dengan cerita dadahnya.

Perlawanan pertama pasukan Uncle Sam ini berakhir dengan keputusan seri 1-1. Alexi Lalas yang ditemubual selepas perlawanan tersebut ada berkata...

"Teman aje memang tak pernah main dalam stadium penuh dengan umat seramai 70 ribu ni. Inilah kali pertama dalam idup teman selepas bergelar pemain bola sepak professional."

Aku juga masih ingat sekitar 1998, aku ada meminta seorang rakan untuk menyenaraikan 11 pemain terbaik pilihannya. Dan aku terlihat nama Alexi Lalas ada dalam senarainya. Aku tersenyum kerana bangga ada juga yang sependapat dengan aku.

Selain daripada penampilan uniknya, Alexi Lalas juga mengukir sejarah sebagai pemain pertama daripada Amerika Syarikat yang berjaya bermain dengan pasukan dalam Serie A Itali iaitu Calcio Padova. Namun karier beliau bersama pasukan Los Angeles Galaxy adalah yang paling diingati dengan kejayaannya merangkul gelaran Juara Piala CONCACAF, Piala Lamar Hunt dan Juara Liga MLS sebelum bersara pada tahun 2002. Hari ini beliau menjadi pengulas dan penganalisis bola sepak di rangkainan tivi sukan terkemuka iaitu Fox Sports.

Sepanjang hayatnya sebagai pemain, dia memang dikenali sebagai seorang pemain pertahanan yang mengutamakan keupayaan fizikal dan ketahanan mental tahap tertinggi sambil dihiasi wajah 'rock star' beliau. Jadi, bila sekarang ni aku nengok wajah pemain pertahanan yang bermuka licin tanpa bulu, aku kadangkala cepat berasa mual.

Alexi Lalas, dia bukan beruk kuning di lapangan hijau. Tetapi 'rock star' yang sentiasa menghiburkan peminatnya dengan gayanya yang paling manis dan menawan.


Posted via Blogaway

Friday, February 6, 2015

Di Mana Mereka? Carlos Roa.

Di Mana Mereka? Carlos Roa.

Lama sebelum Argentina menghidangkan kita dengan aksi daripada keeper kodi bernama Sergio Romero, mereka terlebih dahulu menarik perhatian dunia dengan Carlos Roa yang nyanyok. Namun ia berbeza dengan Sergio Romero kerana nyanyok di sini bukannnya daripada segi aksi, tetapi apabila dia meramalkan dunia akan kiamat pada 1 Januari 2000. Bukankah nyanyok tak patut di situ?

Walaupun begitu kehadirannya dalam Piala Dunia 1998 meninggalkan kesan yang mendalam apabila beliau tidak bolos dalam aksi di peringkat kumpulan sebelum menjadi hero ketika pertemuan menentang England dengan menyekat sepakan penalti David Batty. Malangnya kemaraan Argentina dalam edisi 1998 ini direncatkan oleh Belanda selepas itu apbila tewas dengan skor 1-2.

Apa yang mengejutkan ialah apabila Carlos Roa mengumumkan persaraannya setahun selepas itu pada usia 29 tahun dengan alasan kiamat akan mampir pada 1 Januari 2000. Dipercayai juga ketika itu beliau menolak deretan tawaran daripada kelab kebanyakannya daripada pasukan yang beraksi di Liga Sepanyol.

Walaubagaimanapun lebih kurang setahun selepas itu, dengan perasaan malu-malu berikutan ramalan kiamatnya yang tidak menjadi, beliau kembali semula ke Real Mallorca untuk menghabiskan sisa baki kontraknya. Malangnya kariernya agak merosot selepas itu dan beliau berpindah ke pasukan Divisyen Kedua Sepanyol, Albacete Balompié.

Dugaan terbesar dalam hidup Carlos Roa datang menjengah beliau apabila dirinya disahkan menghidap kanser prostat. Setahun lebih jugaklah dia menerima rawatan selepas menjalani pembedahan. Selepas pulih, beliau turun ke padang untuk mewakili pasukan Olimpo de Bahía Blanca di Argentina dan bersara sepenuhnya semusim selepas itu.

Pada tahun 2010 pula beliau dilantik sebagai penolong pengurus untuk pasukan Club Sportivo Ben Hur yang beraksi di dalam liga entah divisyen mende entah di Argentina.

Kini sudah 2015 dan kiamat tidak berlaku seperti yang Carlos Roa ramalkan. Namun ia pasti akan berlaku. Hanya Allah yang mengetahui bila ketika waktunya. Kita semua selaku manusia yang hina ini? Haruslah bertaubat selalu.


Posted via Blogaway

Mencari Bola Sepak Lelaki

Mencari Bola Sepak Lelaki

Masih segar dalam ingatan aku ketika menonton perlawanan akhir Piala FA 1993 antara Arsenal dan Sheffield Wednesday bersama arwah abah aku. Kedua pasukan terpkasa bermain dua kali selepas seri 1-1 dalam perlawanan pertama. Arsenal akhirnya muncul pemenang selepas berjaya mengatasi Sheffield Wednesday 2-1 dalam laga kedua. Perlawanan ini juga kami abadikan dalam bentuk VHS. Aku pula berulang kali dihipnosis oleh abah dengan rakaman VHS ini dek kerana abah adalah seorang penyokong The Gunners. Tetapi ia masih tidak mampu mempengaruhi aku menyertainya. Jadik, sejak aku kecik lagi aku sudah dibesarkan dengan bola sepak LELAKI. Dan bukannya bola sepak ANJING seperti mana sesetengah muda-mudi anuti zaman sekarang.

Kelmarin ada yang bertanya pendapat kepada aku melalui orang ketiga tentang kain rentang anjing yang kecoh minggu lepas. Aku dengan tenang mengatakan ia adalah kerja budak-budak baru nak mengenal bola sepak Malaya. Aku tak amek pusing sangat sebenarnya perihal kerja amatur macam gini dan aku sendiri tidak pasti maksud sebenar kain rentang tersebut kerana yang membawanya ke stadium juga secara tidak langsung menyumbang wang kepada anjing yang mereka maksudkan. Hah!!! Siapa anjing kepada anjing sekarang ni?

Tetapi inilah realiti bola sepak dari sebuah negara yang tidak pernah melayakkan diri ke Piala Dunia. Sesetengah daripada mereka juga bersatu padu apabila sebuah kelab dari selatan tanah air bermain di peringkat ASIA. Sesuatu yang tidak akan berlaku di England - sebuah negara yang pernah menjulang Piala Dunia. Bagi aku secara peribadi bola sepak kita hanya syok sendiri. Setiap tahun bergaduh dan mempertahankan pasukan yang melahirkan pemain yang menyepak angin dan menahan bola menggunakan keting.

Minggui ini aku nak mengajak engkorang semua kembali ke fitrah asal. Menonton bola sepak yang berkualiti tinggi dari negara yang pernah menjajah negara kita. Ataupun bak kata Tun Mahathir berdasarkan fakta sejarah, Tanah Melayu “tidak pernah terjajah”, sebaliknya, hanya dinaungi atau dilindungi oleh British.

Okeh kita kembali semula ke cerita bola sepak Inggeris. Minggu ini akan ada sajian London derby. Arsenal yang kini berada di belakang Southampton hanya dipisahkan satu gol sahaja dalam kedudukan kelayakan Champions League. Manakala Tottenham pula dalam pemburuan untuk kembali ke pentas Eropah dengan sentiasa mencucuk rapat Arsenal dan Southampton. Dengan Santi Cazorla dan Christian Eriksen berada dalam prestasi terbaik mereka, perlawanan pertama minggu ke-24 ini sudah pasti menyediakan kita hiburan tahap tertinggi dalam bola sepak matang dan LELAKI.

Kemudian menjelang pagi pula satu lagi derby agung akan bersiaran. Merseyside derby namanya ye adik-adik. Selepas melalui permulaan musim yang teruk, pasukan asuhan Brendan Rodgers kini kembali berada di landasan yang betol dengan berjayanya mengutip 16 mata dalam 6 perlawanan. Hanya seri ketika bertemu Leicester City sahaja yang sedikit mencalarkan pencapaian mereka. Ia sekaligus meletakkan Liverpool di tangga ke-7 liga dengan dipisahkan 5 mata sahaja dengan pasukan di tempat ke-3 iaitu Manchester United.

Sementara itu tidak banyak harapan yang diletakkan kepada pasukan Everton untuk menewaskan Liverpool. Namun seperti yang kita semua tahu, Merseyside derby selalunya penuh dengan kejutan dan klimaks yang tidak terjangga. Dengan mengumpul sebanyak 20 kad merah sesama mereka, janganlah kita risaukan sama ada berbaloi ataupun tidak untuk berjaga sehingga jam 1.30 pagi Ahad nanti.

Setakat ini sahaja rebiu untuk minggu ini. Ingat, bola sepak secara anjing itulah sebenarnya wajah bola sepak Malaysia secara keseluruhannya.


Posted via Blogaway