Pengenalan
Sebut pasal Russia, aku mesti terbayang Maria Sharapova menjerit kecil membalas asakan pihak lawan dengan pukulan kilasnya. Mesti. Aku masih ingat kata-kata Maria ketika beliau muncul dalam mimpi aku beberapa hari yang lalu. "Wahai abang Hadri, sekiranya pukulan kilas Maria dapat ditingkatkan, permainan Maria juga akan bertambah padu di atas gelanggang." Aku berhenti mimpikan Maria Sharapova apabila telinga aku terasa panas bagaikan dipulas-pulas. Lalu aku duduk dan menulis perihal bola sepak pasukan Russia. Aku buang jauh-jauh bayangan Maria buat sementara waktu.
......kali terakhir kita melihat pasukan Russia di Piala Dunia ialah pada edisi 2002 di Korea/Jepun. Namun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan. Russia seterusnya gagal layak pada Piala Dunia 2006 dan 2010 selepas terkandas semasa dalam pusingan kelayakan dan juga penentuan 'play-off'.
Selepas 12 tahun menyepi dari Piala Dunia, kini mereka kembali dengan jiwa yang berkobar-kobar untuk membuktikan kepada dunia bahawa mereka adalah antara pasukan terbaik yang perlu diberi perhatian.
Pasukan ini sebenarnya ada potensi dan semangat melawan yang jitu. Cuma buat masa ini nasib masih lagi tidak menyebelahi mereka. Diharap gandingan Fabio Capello dan Russia ini mampu meberikan sesuatu kejayaan manis kepada mereka.
Jurulatih: Fabio Capello.
Bekas jurulatih pasukan England pada Piala Dunia 2010 ini masih dahagakan kejayaan. Pada usia 67 tahun dia perlu menterjemahkan kejayaannya dalam menguruskan beberapa kelab besar di Eropah kepada kejayaan di peringkat antarabangsa pula.
Dia masih mengekalkan formasi 4-3-3 yang digunapakai oleh jurulatih sebelum ini iaitu Guus Hiddink tetapi ia lebih cenderung kepada sistem bertahan yang mana banyak membantu mereka dalam kempen kelayakan dengan hanya bolos 5 gol.
Ketua Pasukan: Igor Denisov.
Pemain tengah yang lasak ini mengabdikan dirinya selama 11 tahun bersama pasukan Zenit St Petersburg sebelum berpindah ke Anzhi yang menawarkan kontrak lumayan. Kini dia beraksi untuk pasukan Dynamo Moscow selepas Anzhi mengalami krisis kewangan yang teruk yang memaksa kelab menjual semua pemain bintang mereka.
Pada 7 September 2012, Denisov telah dilantik menjadi ketua pasukan Russia selepas ketidakperluan berharap kepada Andrey Arsharvin yang semakin menjunam prestasi dan reputasinya.
Pemain Bintang: Aleksander Kerzhakov.
Penyerang berusia 31 tahun ini telah memecahkan rekod jaringan gol domestik di Russia dengan menyumbat 208 gol dalam kariernya. Selain itu, Kerzhakov juga pemain penting untuk pasukan Russia yang mana dia beraksi dalam kesemua perlawanan peringkat kelayakan serta menjaringkan 5 gol.
Apabila dia berada dalam keadaan baik dan mula menjaringkan gol, Russia pasti akan beroleh manfaat dengan meraih kemenangan. Ini adalah jawapan kepada kenapa Capello sentiasa menamakan pemain ini dalam kesebelasan utamanya.
Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Alan Dzagoev.
Sebelum kehadiran Capello, Alan Dzagoev banyak beraksi di bahagian sayap kanan pasukan Russia. Kini Capello lebih gemar meletakkannya sebagai pemain tengah serangan yang mana ia lebih semulajadi dan bersesuaian dengan kemampuan yang dimiliki beliau.
Walaupun hanya barusia 23 tahun, namun dia adalah antara pemain berpengalaman dalam pasukan Russia. Jika Malaysia berbangga dengan adanya Sapiq Rahim, Russia pula berbangga dengan Alan Dzagoev.
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...