Prebiu Piala Dunia 2014: Brazil vs Mexico
Wednesday, June 18, 2014 | 3.00 AM
Dalam perlawanan pertama yang menyaksikan Brazil menang ke atas Croatia, kita dapat melihat betapa Neymar berjaya menutup mulut segelintir pendukung bola sepak dunia dengan 2 jaringan golnya. Tetapi beliau sebenarnya masih lagi dibayangi kehebatan Oscar - rakan sepasukannya yang beraksi dengan Chelsea, sebuah kelab paling power di muka bumi ini. Oscar beberapa kali berjaya melakukan hantaran lintang yang merbahaya ke dalam kotak penalti dan sepanjang perlawanan tersebut beliau berjaya melakukan tugasnya dengan cemerlang.
Scolari mungkin akan menukar beberapa orang pemain yang dirasakan tidak berjaya mempamerkan persembahan cemerlang pada perlawanan pertama. Antaranya ialah Hulk dan Paulinho. Mungkin Hernanes dan Ramires akan mengambil alih posisi mereka sekiranya Scolari masih menggunakan pendekatan formasi dan taktikal yang sama untuk menentang Mexico ini. Manakala posisi penjaga gol dan pertahanan akan kekal menjadi milik Julio Cesar, David Luiz, Thiago Silva, Daniel Alves dan Marcelo - yang menjaringkan gol sendiri.
Mexico seperti juga Brazil, telah berjaya mengutip 3 mata dalam aksi pembukaan mereka menentang Cameroon. Meskipun 2 jaringan mereka tidak dikira, Mexico masih mampu muncul pemenang dengan gol tunggal perlawanan hasil jaringan daripada Peralta.
Bertemu dengan Brazil, jurulatih Mexico, Miguel Herrera mungkin terpaksa mengharapkan anak buahnya mampu bertahan dan mengelak daripada tewas dengan jaringan yang lebih besar. Pemain tengah bertahan Mexico, Jose Vazquez sekali lagi akan digunakan sebagai perisai untuk melindungi pertahanan pasukannya yang terdiri daripada Paul Aguilar, Rodríguez, Rafael Márquez dan Moreno. Manakala di bahagian serangan pula Miguel Herrera masih lagi berteka-teki sama ada untuk menurunkan kembali Javier Hernandez dalam kesebelasan utama untuk bergandingan dengan Dos Santos. Ini kerana Peralta bermain dengan baik dan telah berjaya menjaringkan gol meskipun pada asalnya dia adalah pilihan kedua di belakang Hernandez.
Secara keseluruhannya, corak permainan menyerang pasukan Mexico ini jika tidak dibendung secara waras akan mendedahkan mereka kepada bahaya serangan daripada pasukan tuan rumah, Brazil yang terbukti memiliki angkatan pemain serangan yang bertaraf dunia. Neymar, Oscar dan pemain bintang Brazil yang lain dijangka akan mampu mencuri ruang dan berpeluang merobek gawang gol pasukan Mexico sekiranya pemain El Tri terleka barang sedetik.
Pemain Tumpuan Brazil : Sekali lagi aku pilih Oscar.
Pemain Tumpuan Mexico : José Juan Vázquez
Ramalan : Brazil 3 - 1 Mexico
No comments:
Post a Comment
Silakan Laser Saye...