Saturday, August 27, 2016

Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Di Mana Mereka? Juan Sebastian Veron.


Wajah uzur penuh kedut Rahmat tidak menghalang dirinya daripada menyedut asap rokok Saat sehingga kempong pipinya. Sehingga nampak tulang rahangnya. Semakin ke penghujung rokoknya, semakin laju pula hisapannya. Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...

Kerusi malasnya berayun perlahan di hadapan anjung yang dibinanya sendiri. Susunan rumah kampung yang rapat dan mesra tetangga menjadikan pemandangan jerlus terlihat kepada anjung rumah jiran hadapan. 

Mat Jambang - jiran Rahmat begitu berkobar mengibarkan bendera Argentina walaupun hari ini sudah masuk bulan kemerdekaan bagi negara Malaysia.

"Woih! Argentina la woih! Ape bendeee Malaysiaaaa" Sergah Mat Jambang pada satu hari dengan rambutnya yang kuning. Mat Jambang memang berperangai cilake. Kalau dia mengejek orang tak apa. Kalau dia kena ejek orang, habis satu kampung dia sembang baktinya sebagai ketua pasukan kompang Kampung Telangi.

Rahmat sediakala tahu jirannya itu meminati Argentina. Pemain yang paling Mat Jambang gemari ialah Juan Carlos Veron. Sambil ralit menghisap rokok, Rahmat terimbas kembali ingatannya pada Veron - pemain ysng terkenal dengan gelaran Si Ahli Silap Mata.

Mungkin karier Veron di Lazio adalah yang paling sukses sekali di Eropah. Pada musim 1999-2000 Lazio dengan suntikan kewangan tiada terhad mereka telah berjaya menjulang kejuaraan Serie A dan UEFA Super Cup.

Lazio pada musim itu dibarisi ramai pemain ternama. Sergio Coceicao, Pavel Nedved, Dejan Stankovic, Simone Inzaghi, Alen Boksic, Fernando Couto, Roberto Mancini, Sinisa Mihajlovic, Matias Almeyda, Alessandro Nesta, Diego Simeone, Marcelo Salas, Fabrizio Ravanelli, dan siapa lagi kalau bukan Juan Sebastian Veron. Sungguh meriah perjalanan bola sepak Veron di Lazio.

Walaupun begitu, kemeriahan Veron di Lazio tidak dapat diteruskan ke Liga Perdana Inggeris. Dari Lazio ke Manchester beliau memegang pangkat perpindahan pemain paling mahal di British. Veron kemudiannya dijual separuh harga kepada pasukan Chelsea. Secara jumlahnya selama tiga musim di England, hanya satu kejuaraan liga yang menjadi miliknya. Satu statistik yang menyedihkan bagi pemain yang bernama besar seperti beliau.

Namun sekembalinya beliau ke Itali sebagai pemain pinjaman untuk Inter Milan, ia bagaikan pelangi yang muncul di pagi hari selepas pepatung selesai bersenggama di atas kuntuman bunga ros merah. Wangi dan menyegarkan. Dua musim bersama Inter beliau memenangi 2 Copa Italia, Supercoppa Italiana dan juga Serie A 2005/06 selepas Juventus dilucut dari kejuaraan tersebut.

Veron kemudiannya menghabiskan sisa-sisa kariernya di Estudiantes untuk 6 musim lagi sehinggalah beliau dilantik menjadi Presiden kelab tersebut. Begitulah Veron. Tidak pernah berehat daripada bola sepak. Ini bezanya bola Malaysia dan Argentina. Patutlah Mat Jambang terlalu mencintai Argentina.
 
Saaaaap...saaaap...puuuuus...Saaaaap...saaaap...puuuuus...Rahmat terus menghembus asap rokoknya sehinggalah matahari terbenam di celahan ufuk barat.

Friday, August 5, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: SUKMA Yang Longlai.



Dari Kaki Ke Pena Hitam: SUKMA Yang Longlai.

Hari ini kita tapayana ulang cerita pasal kalah 3-0 lepas tu mengungkit hal kejayaan dua tahun yang lalu. Tak kisahlah kau nak cakap ape. Kalah tetap kalah. Yang kalah akan kena maki. Yang menang kita rai. Sedangkan pasukan yang menang pun kadangkala kita maki sehingga bergegor rumah syaitan. Bukankah benar begitu wahai sedara sedari sekalian?

Okaylah..tutup hal itu. Aku nak cerita sikit perihal Sukma yang baru lepas. Ape? Sukma? Bukan Sukma Darmawan ye..

Mesti ramai yang tidak tahu bahawa Sukma baru sahaja beberapa hari meninggalkan kita. Sukma adalah Sukan Malaysia yang dilangsungkan secara dwi tahunan. Kali ini Sarawak terpilih sebagai tuan rumah. Selama seminggu dari 23 sehingga 31 Julai sebanyak 382 acara dipertandingkan di dalam 24 jenis sukan. Dalam tempoh ini sebanyak 6 rekod kebangsaan berjaya dipecahkan. Macam mana aku boleh tahu semua ini? Mungkin barangkali sebab aku handal dan berwibawa.

Engkau orang pula mengaku sahajalah yang kau mula ambil tahu pasal Sukma kali ini selepas ada pemecahan rekod yang dilakukan oleh atlit lumba lari. Bola sepak pun sama. Selepas keluar berita bergaduh sepak terajang, barulah media buat liputan. Jadilah modal untuk berita barang sehari dua ye tak? Tahu tak pasukan Perak berjaya mempertahankan pingat emas mereka dalam acara bola sepak?

Bagaimana pula dengan nasib sukan sukan yang lain? Sukan yang tiada kontroversi dan suam suam kuku? Sukan yang santun dan tertib seperti jimnastik berirama dan acara terjun wanita? Wajarkah kita biarkan Farah Ann Hadi versi anak muda muncul subur menggebu tanpa perhatian yang jitu secukupnya?

Sejak beberapa dekad ini aku merasakan Sukma sudah semakin dipinggirkan. Jika adapun liputan, namun hipsternya dan tahap tarikannya tidak sampai ke hulu hati. Ia amat berbeza ketika aku masih kecik dahulu. Sekitar tahun 90-an barangkali. Sukma ketika itu sangat dinanti dan ditunggu-tunggu. Semangat kenegerian akan meluap luap dalam tempoh seminggu. Kadangkala apabila terjumpa makwe Kelantan di jalanan yang putih gebu pun kita sanggup melempar najis hanjeng ke arahnya. Begitulah meriahnya semangat kenegerian Sukma suatu ketika dahulu. Sekarang? Haprak.

Perkara ini perlu dikaji oleh pihak yang berkaitan dengan Sukma. Bagaimana hendak menarik minat orang ramai datang ke stadium bola, balapan trek, lapang sasar, pusat akuatik, velodrome dan gelanggang badminton. Sedangkan acara yang dipertandingkan pun kita kurang pasti, macam mana pula kita nak menuju ke tempat acara yang dipertandingkan?

Haaa..inilah baik buruk yang perlu dipermolekkan serta diperkemaskan oleh mereka yang menggunakan duit dan dana rakyat (serba sedikit) untuk penganjuran sukan yang semakin kurang perhatian ini. Janganlah kira asalkan dapat buat penganjuran sahaja sudah melepasi KPI. Kena ambil kira juga sambutan dari penonton di lapangan acara, rating penonton di televisyen ataupun trending di media sosial. Takkan ini pun aku nak kena ajar?

Ramalan: Aku rasa orang ramai sekarang dah tapeduli pasal sukan lagi. Mungkin depa lagi sedap menengok rancangan realiti bodo macam Mentor, Gegar Vaganza dan Khai Bahar.

Thursday, July 28, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Pengaruh Wenger.



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Pengaruh Wenger.

Selesai melipat baju sambil melayan drama tivi sembilan lakonan Sharifah Eja, dari kedudukan bersimpuh di atas lantai aku terus melakukan balik kuang dan mendarat duduk di kerusi terus menghadap komputer riba dengan jari yang beku memikirkan apa benda lagi aku nak taip kali ini. Satu lagi tetingkap di skrin komputer ini aku mainkan drama siri Preacher musim pertama episod tujuh. Aku sengetkan kepala dan leher aku sebanyak 45 darjah sambil berharap idea mudah datang mencurah-curah. Mata yang semakin kuyu ni menandakan aku sedang kehilangan idea tahap filem arahan Professor Razak Mohiden. Dungu. Mabok kas-kas.

Oh ya..sebut pasal Razak Mohiden terus aku teringat kepada Arsene Wenger. Apa khabar agaknya si tua tu ye? Ketika aku menaip entri ini Arsenal sudah pun membeli 3 orang pemain. Granit Xhaka yang kononnya sensasi baru dari Switzerland. Selain itu juga Arsenal berjaya membida seorang anak muda yang sungguh misteri dari negara matahati terbit - Takuma Asano - macam nama orang Negeri Sembilan. Serta Rob Holding Sdn. Bhd. - seorang pemain yang mempunyai nama umpama anak syarikat milik kroni kilang roti.

Secara jujur dan ikhlas aku hendak mempersoalkan pengaruh Wenger yang semakin ditelan zaman. Boleh ke tidak?

Ataupun ini sebenarnya adalah mainan politik beliau. Licik dan bergeliga nak mampos. Susah jugak untuk kita katakan ini adalah strategi beliau kerana musim lepas Arsenal menduduki tempat kedua berbanding tempat keempat yang selalu mereka jadikan rumah. Adakah ini tidak mampu menarik minat pemain-pemain ternama untuk datang ke London?

Duit juga bukan masalah Arsenal kerana kita semua tahu perbelanjaan mereka dilakukan dengan penuh berhemah dan bukannya boros seperti YAPEIM. Bolehkah Arsenal bersaing merebut pemain terbaik dunia dengan pasukan lain yang berada di dalam Liga Perdana Inggeris? Sementara itu, bagaimana pula keadaanya dengan pasukan yang lain?

Pertama sekali kita lihat Jose Mourinho yang kini berada di Manchester United. Setakat ini mereka sudah berjaya memiliki Henrikh Mkhitaryan, Zlatan dan mungkin juga Pogba tidak lama lagi. Liverpool dengan asuhan Jurgen Klopp sudahpun dapat memancing Joël Matip, Sadio Mané, Georginio Wijnaldum - daripada 6 orang pemain yang beliau tandatangani. Chelsea pula tidak menunggu lama untuk mendapatkan Michy Batshuayi dan N'Golo Kanté untuk bermain di bawah seliaan Antonio Conte.  Tidak lupa juga Manchester City yang bersama-sama Pep Guardiola telah berjaya mengikat İlkay Gündoğan dan Nolito.

Bolehkah Arsenal sekali lagi melakukan kejutan tahap babi sepertimana mereka berjaya mengikat Mesut Ozil dan Alexis Sanchez? Masih ada lebih kurang sebulan untuk Wenger membuktikan dirinya masih berpengaruh di Arsenal sekaligus kekal relevan dalam saingan antara pengurus di Liga Perdana Inggeris.

Ramalan: Mungkin Arsenal akan dapat memiliki Ryad Mahrez tanpa perlu Wenger bergambar dengan pendrive. Eh kejap. Betol ke Liverpool kalah dengan Chelsea baru-baru ini?

Monday, July 25, 2016

Di Mana Mereka? Hernan Crespo.

Aku mengambil tempat duduk di bangku panjang yang diperbuat daripada kayu jati, betul-betul menghadap taman permainan. Sekumpulan kanak-kanak sedang bergembira bermain bola sepak. Aku terseyum nipis. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh budak-budak. Berpeluh berhujan di atas padang bola. Bukannya berteleku atas katil melayan Pokemon-Go.

Pistol manik, liquid paper dan sebatang coki-coki aku keluarkan satu persatu daripada poket baju kot yang aku pakai lantas semua barang tersebut aku susun aturkan di sebelah kanan aku. Sekeping majalah sukan aku ambil daripada poket sebelah kiri baju kot aku. Secara cermat aku memulakan pembacaan dengan ditemani hiruk pikuk jeritan kanak-kanak yang sedang berseloka gembira. Kini aku berasa lebih tenang.

Secara tiba tiba aku dapat rasakan ada sesuatu sedang menghampiri aku. Ia betul-betul sedang cuba mendekati muka aku. Aku campak ke tepi majalah sukan. Serentak itu juga bola yang sampai dari arah depan aku sambut menggunakan dahi. 1,2,3,4,5..aku mula menimang bola tersebut dengan kepala, kaki, lutut dan rusuk kiri.

"Acik, boleh pulangkan bola kami."

Seorang kanak-kanak berbadan gempal rambut kerinting dan hitam kulitnya sedang berdiri di hadapan aku seakan merayu meminta dipulangkan bolanya. Tak sampai hati aku menengok muka sayu budak berpakaian jersi Liverpool itu, lalu aku berhenti menimang bola tersebut.

"Nah bola kamu. Awak minat bola?"

"Ya. Minat sangat. Idola saya Safee Sali."

Aku menjadi geram. Kedua penumbuk aku kepalkan sepadu mungkin.

"Kah..kah..kah..taklah acik. Takkan saya bodo sangat minat Safee Sali. Setahun pun cuma dapat main first eleven 3 kali. Gila mende main bola macam gitu. Kalau acik nak tahu saya meminati Hernan Crespo. Salah seorang lagenda Argentina."

Aku mengangguk kepala perlahan. Bagus selera budak ni. Cerah masa depan. Budak tersebut pun berlalu ke arah rakannya semula. Aku kembali duduk di atas bangku sambil termenung jauh memikiran di manakah Hernan Crespo berada sekarang.

Crespo yang aku tahu sepanjang 19 tahun kariernya telah menjaringkan sejumlah 300 gol. Karier antarabangsanya bersama Argentina pula berakhir dengan 35 gol sekaligus menjadikan dirinya sebagai pemain ketiga penjaring terbanyak Argentina di belakang Messi dan Batistuta.

Beliau turut bermain dalam tiga Piala Dunia iaitu pada tahun 1998, 2002 dan 2006. Kerjayanya besama kelab pula bolehlah dikatakan sebagai sukses. Crespo bermain untuk River Plate, Lazio, Parma, Chelsea, AC Milan dan Inter Milan. Kejayaan berjaya diperolehinya apabila bersama setiap pasukan yang diwakili tersebut. Begitu juga secara individu apabila pelbagai anugerah seperti penjaring terbanyak serta seringkali berada dalam kesebelasam impian bagi kejohanan yang beliau turut serta.

Pada 5 Julai yang lepas Hernan Crespo sudahpun melangkau usia 41 tahun. Hari ini Crespo, Giggs, Scholes dan Ronaldinho sedang membanting tulang di arena Futsal. Kini Crespo turun bermain sebagai 'marquee player' dan juga jurulatih untuk pasukan Kolkata yang beraksi dalam Liga Perdana Putsal di India. Inilah serba sedikit karier penuh warna-warni seorang lagenda bola sepak Argentina yang juga pernah digelar sebagai Valdanito.

Aku kembali melontarkan pandangan penuh salju ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang bergembira bermain bola sepak di taman permainan tadi. Sebilah pisau Rambo aku keluarkan dari sisi kasut but sebelah kanan. Perlahan-lahan aku toreh sebaris ayat di atas kerusi panjang jati tempat aku labuhkan pinggul yang mantap ini.

'Batisuta Was Here'. - Senyum. Manis.


Posted via Blogaway

Wednesday, July 20, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Rahsia Thumbdrive.



Aku baru sahaja selesai makan nasik goreng kampung semasa mendapat berita terbaru tentang skandal ataupun perihal rasuah dalam organisasi FAM yang berada dalam seketul thumbdrive. Siapa lagi kalau bukan TMJ yang tampil bagaikan pelangi yang hadir selepas hujan. Walaupun sekejap, ia mengukir senyum dan memberi harapan kepada matahari yang akan menyinar semula. Jika bukan 5 tahun mendatang, mungkin 50 tahun akan datang. Insya Allah, kita berusaha ALLAH yang menentukan. Teruskan TMJ. Nampak tak aku puji anak raja engkau orang?

Perkara ini sangat serius. Selama ini kita hanya mampu bercakap-cakap di kedai mamak sahaja tentang kewujudan rasuah dan ketirisan. Namun kini buktinya sudah ada dalam seketul thumbdrive. Laporan kepada pihak berkuasa perlu dilakukan sekarang. Jagan berlengah. Heret mereka yang terlibat ke muka pengadilan. Jika tidak bersalah, lawanlah secara tertib dan beradab. Bukannya susah sangat pun. Takkan pula nak tutup kes begitu sahaja sedangkan ada pihak yang berguruh mengatakan  sudah bukti yang kukuh.

Seperti yang kita tahu rasuah merupakan musuh nombor satu negara bukannya Syiah mahupun Freemason. Rasuah juga mampu membunuh reputasi sesebuah institusi dan individu. Mungkin ada antara kita yang masih ingat dengan skandal bekas Presiden FIFA Joao Havelange. Tak ingat? Mari aku cerita sikit.

Pada tahun 1999, De Telegraaf melaporkan bahawa Havelange menerima hadiah berbentuk berlian, basikal, peralatan sukan, Delft porselin bewarna biru, lukisan dan sebuah buku seni  berkaitan dengan bidaan Amsterdam yang gagal untuk Summer Olympic Games pada tahun 1992. Manakala pada tahun lepas, satu skandal besar-besaran melibatkan FIFA telah dibongkarkan.

Jika FIFA yang menjadi bapak segala bola sepak itu pun mengambil rasuah. Kita semua boleh menyangka yang FA di bawahya juga berperangai tidak jauh dari itu. Bapak borek, anak rintik bak kata pepatah lama.

Bagi aku pula kisah thumdrive sentiasa ada romantisnya kepada diri aku sendiri. Dulu. Tak berapa lama dahulu ada seorang sahabat aku tanya soalan berkenaan pengkomputeran.

"Kenapa ek aku dah scan pendrive aku guna macam-macam antivirus. Tapi bila cucuk dekat PC, dia still ada virus. Masa scan tu dah bersih dah takde apa-apa pun."

Dengan ilmu yang ada, aku cuba menjawab persoalan sahabat aku itu dengan jujur supaya kelak dia berpuas hati dengan jawapan aku.

"Kau scan pendrive ajek. Tapi tak scan penutup dia. Kau mana tahu virus tu semua berkumpul dekat penutup pendrive tu. Tulah..Mahathir kenalkan wawasan 2020, kau tak mahu ikut."

Serta merta sahabat aku itu menaikkan ibu jarinya tanpa berpuas hati. Aku pula membalasnya dengan sebuah senyuman yang paling sendu sambil menaikkan kedua-kedua kening.

Ramalan: Harapnya dalam thumbdrive tu takde gambor bogel siapa-siapalah. Risau jugek.

Tuesday, July 19, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kira Duit II.


Sejak beberapa bulan yang lepas heboh juga pasal seorang pemain yang mahu berpindah ke pasukan yang lain. Ia adalah perkara biasa dalam bola sepak. Cuma ia akan menjadi luar biasa kalau tidak kena pada cara dan gaya perlaksanaannya.

Sebagai contoh Ashley Cole berpindah dari Arsenal ke Chelsea. Dan seluruh London bergegar dengan carutan umatnya. Siapa yang masih ingat saga perpindahan ini tentu faham apa yang aku cuba sampaikan. Begitu juga halnya dengan Sol Campbell, Adebayor, Van Persie dan ramai lagi sehingga digelar Judas oleh peminat hardcore bola sepak Inggeris.

Namun begitu sedara-sedari sekalian. Ada juga perpindahan lumayan yang rileks dan mendapat restu orang ramai. Antaranya perpindahan Ronaldo dan Bale ke Real Madrid. Semuanya berlaku dalam keadaan tenang tanpa rusuhan penonton. 

Begitulah indahnya bola sepak ye tuan-tuan dan puan-puan. Kena pada gayanya, hidup kau akan aman damai. Silap pada caranya kau akan makan carutan dan makian. 

Jadi, sangatlah tidak adil dan sesuai kita bermetafora antara perpindahan pemain kelab bola sepak dengan tukar pekerjaan kilang. Kau nak tukar kerja, tukarlah. Siapa pun tak peduli. 

Ingatlah selalu yang bola sepak ini adalah sukan yang indah dan unik. Ia menjadi bualan tiada berpenghujung. Jika tiada perkara buruk yang dilakukan, maka tiadalah mulut-mulut sumbang yang sentiasa bercakap di jalanan dan media sosial. Tapi kalau pencari bakat pun sekejap kena pecat, sekejap dapat kerja semula. Hah? Apo ko bondo eh tu siamang gagap?

Ramalan: Pemain 'Kira Duit' duit yang terkini ni aku harap takkan jadi pembaziran bakat seperti yang telah berlaku kepada Gary Steven, Irfan Fazail, Fandi Othman dan Amir Saidin. Ya, gaji memang lumayan. Tapi kenapa mereka tiada semangat Iceland mahupun Bosnia?

Sunday, July 17, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kira Duit




Beberapa hari yang lalu aku ada pergi menonton perlawanan bola sepak hebat antara pasukan Selangor bertemu Kuala Lumpur.

Dari rumah aku dijemput oleh Zack dengan menaiki motor. Beliau dengan lincah memandu motornya ke kiri dan ke kanan tanpa melanggar sebarang peraturan jalan raya termasuk memotong di lorong kecemasan. Kadangkala Zack menekan brek secara mengejut. Dada aku menyentuh belakang badannya. Apabila terbit rasa lain macam, cepat-cepat aku basahkan lidah dengan zikir terapi jiwa alunan Hafiz Hamidun.

Sampai sahaja di dalam stadium, kami mengambil tempat duduk yang sedap dan senang nak maki pemain yang 'KIRA DUIT'.

Perlawanan bermula sembab antara Selangor dan Kuala Lumpur. Aku menjadi pasrah selepas sebulan menghadam bola sepak gaya tertinggi dalam Euro 2016 yang baru sahaja tamat.

Pasukan Kuala Lumpur ni satu masa dahulu amat jagoan. Siapa yang tidak kenal dengan figura bernama Subadron Aziz? Beliau pada zaman kemuncaknya tiada satu pasukan pun yang berani angkat muka kecuali Salwa Abdul Rahman. Sekarang siapa yang bermain untuk KL? Adelah jugak beberapa pemain yang aku kenal macam Helmi Rameli dan Nazri Ahmad. Tapi apakah matlamat pasukan KL sebenarnya? Cukupkah hanya sebagai pasukan pelengkap jadual? Kesian juga aku memikirkan nasib pasukan The City Boys asuhan Ismail Zakaria ni. Ultras KL pun aku kesian sebab terlompat-lompat tak sudah-sudah. Aku harap kehidupan mereka semua sentiasa dirahmati Tuhan dan dijauhi daripada fitnah Dajjal kelak.

Bagi pasukan Selangor pula rata-rata adalah pemain yang bisa kita semua lihat turun bermain saban minggu. Cuma apa yang menarik perhatian aku ialah pemain yang memakai jersi bernombor 4 dan 16.

Pada dasarnya pemain nombor 4 adalah seorang penyerang. Top striker kata orang putih. Namun dalam game ini aku kerap kali melihat beliau turun ke bawah sehingga ke dalam kawasan Selangor sendiri. Semacam bermain untuk posisi pemain yang biasanya memakai jersi nombot 4. Adakah beliau terkeliru dengan nombor jersi dan peranan sebenarnya di atas padang.

Begitu juga halnya dengan pemain bernombor 16. Posisi atas kertas taktikal beliau ialah pemain tengah menyerang. Tapi yang menjadikan ia lebih keliru ialah beliau bermain sebagai seorang penyerang dengan duduk lebih ke atas berbanding pemain nombor 4 tadi.

Nak menangis aku menengok kabutnya sistem yang pasukan Selangor gunakan ni. Ataupun ia adalah taktikal Zainal untuk mengelirukan pihak lawan dan pemainnya sendiri serta penonton yang naif seperti aku ni.

Kenapa aku mengatakan diri ini naif?

Aku sedia maklum (kau orang aku tak tahulah) nombor 4 adalah sinonim dengan pemain pertahanan ataupun tengah bertahan. Antaranya pemain yang popular dengan jersi nombor 4 ialah Fabregas, Patrick Viera dan juga Javier Zanetti. Perkara yang sama juga untuk pemain bernombor 16. Roy Keane, De Rossi dan Aaron Ramsey antara yang popular dengan nombor ini.

Berbalik kepada hal Zainal tadi. Nombor jersi yang kabut tu dah satu hal. Yang si pemain seakan-akan bebal dengan posisi sendiri pun dah jadi satu cerita yang lain. Menengok pada perangai Zainal dan pengurusan Selangor ni memang patutlah si Azrif tu 'KIRA DUIT'.

Ramalan: Aku dengan yakin meramalkan Selangor akan mara sehingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2016. Kau hambeklah semua right-back Selangor. Kau amek!

Friday, July 15, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Bersara.


Mula-mula kita semua boleh rileks bila dengar Aidil Zafuan dan Safiq Rahim bersara. Tak payah nak hairan sangat pun. Ramai pemain pernah melakukannya.

Perlukah kita menggelabah tetek kerana pool talent footballer Malaysia yang berskala kecil? Jangan risau. Kita ambil contoh mudah Iceland pun dah cukup. Kapasiti rakyat kecil tapi ramai yang handal dek kerana strategi ampuh mereka. Malaysia pula menggunakan pelan dan strategi yang macam mana?

Selepas Aidil dan Safiq bersara, siapa pula nak ganti mereka ni? Bagi plan jangka pendek, secara peribadi aku berpendapat Shahrom Kalam, Khairul Helmi boleh dipertimbangkan untuk posisi pertahanan tengah. Nasir Basharuddin, Brendan Gan, Baddrol Bakhtiar, Hafiz Kamal, Nazmi Faiz boleh digilap lagi untuk menjadi pengganti natural Safiq Rahim. Boleh jugak pilih Gary Steven, Shakir Shaari kalau mereka ni kerap bermain untuk pasukan kelab mereka. Walaupun nama-nama yang aku cadangkan tu tidaklah sama peranannya di atas padang seperti Safiq. Tapi jika kena pada taktikal dan plannya, memang bukan satu masalah yang besar. Nampak handal jugak aku punya pandangan ni.

Apa kebaikan daripada persaraan mereka?

Secara dasarnya ia akan memberi peluang kepada pemain lain. Pemain lain ye. Bukan pemain muda. Kau sebutkan pada aku siapa pemain muda yang berpotensi gantikan Aidil dan Safiq. Siapa?

Muda yang aku maksudkan adalah seperti Marcus Rashford dan Renato Sanches. Itu baru bukti pemain muda bersedia tampil amek peranan pemain tua seperti Rooney dan Ronaldo ataupun Nani. Mungkin berbeza posisi. Tapi influence dalam padang amat penting dalam sesebuah pasukan bola sepak. Dan kita akui influence Aidil dan Safiq amat besar kepada pasukan Malaysia sekalipun bermain bola sepak gaya gampang.

Apakah pula keburukkannya wahai saudara sekalian?

Selepas Aidil dan Safiq, muncul pula Kunanlan dan Amirulhadi mengumumkan persaraan beliau. Kenapa hanya pemain JDT sahaja yang berbuat demikian? Apabila orang mula menyebut perihal ini di media sosial, kita mula terasa seperti ada sesuatu yang sedang berlaku di belakang tabir. Yang kita sendiri tidak tahu. Adakah akan wujud negara baru? Adakah institusi FAM sedang dicabar satu kuasa baru?

Adakah ini keburukkannya apabila rumor mula beterbangan di sana sini? Berapa banyak perkataan 'adakah' yang aku nak guna ni. Makin tak sedap pulak susunan ayat aku.

Beginilah...aku berpendapat ia menjadi perkara buruk apabila keadaan ini berlaku secara tidak normal. Tidak normal kerana bersara secara berjemaah seperti mana yang dilakukan oleh Messi dan Mascherano serta beberapa pemain lain yang cuba-cuba untuk melakukan benda yang sama. Seakan-akan ada maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada seseorang. Adakah ia mesej kepada Tengku Bola Malaysia? Tengku Bola tahu ke tidak perkembangan ini ye? Aaaah..Malaysia kalah 10 - 0 pun dia buat selamber jek. Apa adahal bila pemain tonggak bersara serentak. Ye tak?

Aku tiada masalah dengan persaraan mereka semua ni. Malahan ia adalah rahmat untuk kita berpeluang melihat pemain lain pula yang menyarung jersi kebangsaan. Apa yang pasti perkembangan ini menarik untuk kita semua nilai dan saksikan bersama secara sihat dan bukannya secara bertelagah.

Ramalan: Apabila Maradona, Pele, Zidane pencen. Kita dapat lihat berpuluh pemain bangkit sehingga mendapat gelaran New Maradona, New Pele, New Zidane. Adakah kita akan dapat menengok New Aidil? Pemain bola sepak yang berkahwin dengan artis, bercerai dan naik turun tangga mahkamah?

Thursday, July 14, 2016

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Suai Kenal.


Semua yang ada ada pada dirimu
Membuat aku ku aku jatuh cinta
Come on baby say you love me
Love me say you love me - Ayda Jebat -

Haaaaa...dek kerana minat mendalam aku terhadap bola sepak, aku tak dapat berhenti daripada bercakap mahupun menulis tentang perihal bola sepak. Bolehlah dikatakan ini sebagai usaha terbaru aku untuk memuaskan diri sendiri di samping memberi korang yang rajin membaca sesuatu hidangan sampingan apabila bosan tak keruan tidak dapat melayari web Peta Jansen mahupun Nicole Aniston.

Okeh. Semasa aku hendak memulakan kolum ini, aku pun bertanyalah kepada sahabat sekalian alam tentang tajuk yang sesuai untuk digunapakai setiap minggu. Antara tajuk yang muncul ialah Punai ku tegak dipagi hari, Ketam ku lari mencanak, Dari Kuala Lipis ke Paris : Kisah Cinta Nwakaeme & Siti Rokiah, Suamiku,bola & kene pijak, Kau Aku Bola. Selesai membaca cadangan tajuk tersebut aku lantas menggeleng kepala perlahan-lahan.

Sekali imbas kalau tidak tebal ilmu di dada sudah pasti akan ada sahabat aku tu yang menjadi tajuk muka depan Harian Metro. Contohnya 'Seorang Lelaki Tersumbat Anunya Dengan Botol Kicap'. Tapi aku rileks dan menerima cadangan mereka dengan hati yang terbuka. Dalam banyak-banyak tajuk tu ada satu yang aku rasa bersesuaian iaitu Dari Kaki Ke Pena Hitam. Ia adalah sumbangan saudara Jaaa. Nama facebook dia ialah Ahmad Fairurizal Mns. Kau orang add lah dia. Dia ni hitam manis orangnya dan berwajah Terengganu.

Zaman belajar dulu, Jaaa ni pernah kejut aku masa tengah tidor sebab nak bincang taktikal bola sepak untuk pasukan Pecah Penjara kami. Masa tu dia datang bersama Ricerd - seorang lagi sahabat tua aku. Dengan berbekalkan beberapa helaian kertas A4 yang dikepil menggunakan pastener, maka terhasillah satu formasi maha agung untuk pasukan Pecah Penjara. Blueprint taktikal ini kemudiannya bocor ke tangan Rajagopal dan seterusnya Malaysia menang Piala Suzuki 2010. Okeh yang ini aku tipu. Sambung semula pasal Jaaa tadi.

Betullah kata orang malang itu tidak berbau hamis. Jaaa secara tiba-tiba terpaksa pulang ke kampung (kalau tak silap aku) pada hari kejohanan dan tempatnya digantikan dengan seorang pemain misteri (boleh bermain banyak posisi termasuk penjaga gol). Dan apa yang lebih pawer lagi ialah pasukan Pecah Penjara mara sehingga ke Separuh Akhir. Satu pencapaian yang di luar jangkaan kami. Kalau sekarang aku bagi contoh macam pasukan Wales hari itulah. Begitulah serba sedikit kenangan bola sepak Jaaa dengan aku yang aku boleh ingat.

Sebut pasal Wales, terus aku teringat nak sentuh sikit pasal Euro 2916 yang lepas. Selain daripada kejayaan Portugal, apa yang menarik perhatian aku ialah beberapa figura pemain tua yang masih berbakti kepada negara mereka. Antaranya ialah Gabor Kiraly, Shay Given (40 tahun), Buffon, Ricardo Carvalho (38 tahun) dan Tomas Rosicky (35 tahun).

Di Malaysia juga tidak kurang hebatnya. Shukor Adan dan Indra Putra semasa membantu Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki 2014 masing-masing berumur 34 dan 32 tahun.

Namun begitu, jauh nun di Selatan Tanahair terdapat empat orang pemain yang sudah bersara daripada arena bola sepak antarabangsa pada usia 28, 29 dan 30 tahun. Kau ingat kau Messi?

Ramalan: Penatlah asyik nak meramal ajek. Eh kejap, Tengku Bola Malaysia bila mahu bersara? Kau nak aku ramal bila beliau mahu bersara?


Sunday, July 10, 2016

Perlawanan Akhir Piala Eropah 2016: Portugal Melawan Perancis.


Portugal layak ke perlawanan akhir walaupun bermain bola sepak secara rileks tanpa pedoman. Tiada identiti khas seperti Sepanyol dengan tika-takanya, Belgium dengan teras yang dibina berdasarkan barisan pemain bintang mereka, Itali dengan gugusan Catenaccio, Belanda dahuluuuuuu dengan Total Football, England pula...?

Selepas Cristiano Ronaldo melempar microfon seorang wartawan ke dalam tasik, dia telah banyak berubah perangai. Dalam satu temubualnya dengan seorang lagi wartawan yang lain, juga ketika Ronaldo sedang berjalan di tepi tasik, beliau dengan tenang menjawab soalan wartawan tersebut.

"Sudah tentu ia sangat bagus jika kami tidak perlu bertembung dengan mereka (Perancis). Tambahan pula dengan kelebihan mereka selaku tuan rumah. Tetapi selepas melihat usaha mereka menewaskan Jerman. Kami terpaksa akur dan redha menerima takdir ini. Heh!!"

Sebagai rekod, Portugal tidak pernah menewaskan Perancis sejak kali terakhir melakukannya pada tahun 1975. Dahsyat bukan?

Tentu sebahagian daripada kita masih ingat pada kejohanan Piala Eropah 2000, ketika nama Figo dan Zidane sedang menghiasi era bola sepak millenium, kedua pasukan ini telah bertemu dalam satu perlawanan epik yang berakhir dengan keputusan berpihak kepada Perancis 2-1. Empat tahun selepas itu pada 5 Julai 2006, mereka bertemu sekali lagi pada Piala Dunia di Jerman. Ketika itu Perancis menang tipis 1-0.

Setakat ini Perancis sudahpun menjaringkan 13 gol berbanding Portugal dengan 8 gol. Ini menunjukkan mereka adalah pasukan pilihan untuk memenangi gelaran juara Piala Eropah malam ini.

Dedier Deschamps pastinya akan menurunkan Hloris yang akan dilindungi secara berjemaah oleh Sagna, Koscielny, Umtiti dan Evra bagi menepis segala asakan daripada Nani dan juga Cristiano Ronaldo. Di bahagian tengah pula kita akan saksikan pertembungan klasik antara William Carvalho, Adrien, João Mário dan Renato Sanches dengan gandingan elit dari Perancis yang terdiri daripada Pogba, Matuidi dan Sissoko. Sementara itu tugas berat buat Griezmann, Payet dan Giroud kerana mereka perlu berhadapan dengan Pepe dan Fonte yang terkenal dengan corak permaianan yang keras.

Kita tahu Perancis mempunyai banyak kelebihan kerana beraksi sebagai tuan rumah. Namun kita tidak boleh menidakkan peluang Portugal dalam perlawanan akhir  ini.

Mereka memiliki permain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo. Pemain veteran seperti Nani dan Quaresma pula diadun dengan baik bersama pemain muda seperti Renato Sanches dan Raphaël Guerreiro. Jadi secara realistiknya mereka mempunyai kualiti pemain yang mampu melakukan impak dalam perlawanan akhir ini. Cuma persoalannya sekarang ialah mampukah ia dilakukan?

Mungkin ini adalah peluang terbaik buat Portugal yang mana kita semua tahu terlalu bergantung kepada Cristiano Ronaldo. Adakah kita akan melihat kejuaraan Piala Eropah yang pertama akan dirangkul oleh Portugal?

Tuesday, July 5, 2016

Separuh Akhir Piala Eropah 2016: Jerman Melawan Perancis.


SEPARUH AKHIR PIALA EROPAH 2016.

Jerman Melawan Perancis | Friday | 8 July 2016.


Apabila ada salah seorang sahabat tua aku berkata bahawa Jerman itu adalah Kedah. Aku terus percaya.

Neuer adalah Ahmad Sobri. Nidzham Adza adalah Mesut Ozil. Draxler itu sendiri adalah jelmaan roh Jan Janostak - penyerang yang sangat pandai mencari ruang. Jerome Boateng pula ialah Olubunmi Adigun - pertahanan terbaik yang pernah dimiliki oleh Kedah. Mempunyai corak permainan keras dan sangat berstamina tinggi. Juga pernah meninggalkan 'kenangan' manis buat seorang gadis tempatan.

Adakah Jerman sedang mengulangi sejarah Kedah Tua 1993? Perlahan-lahan kepala aku mengangguk tanda setuju.

Namun lawan Jerman nanti juga adalah bekas Juara Dunia iaitu Perancis. Jerman mara ke separuh akhir selepas menumpaskan Itali dalam penentuan sepakan penalti. Satu perlawanan yang sepatutnya menjadi perlawanan akhir bagi kejohanan ini.

Dalam perlawanan tersebut Jerman lebih agresif dengan menguasai bola lebih daripada 50 peratus serta melakukan 13 percubaan tepat ke gawang. Dan Jerman juga ketika ini sudah merekodkan 7 gol dalam lima perlawanan yang mereka telah harungi. Inilah statistik yang perlu diperhatikan serta dikaji secara mendalam oleh Didier Deschamps.

Ketika menewaskan Itali, Jerman menunjukkan yang mereka tidak hanya bergantung harap pada Thomas Muller dan Mario Gomez untuk menjaringkan gol. Mesut Özil berjaya membuktikannya. Sekiranya ini berterusan berlaku, Jerman tidak perlu risau kerana ramai lagi pemain boleh memberikan kejayaan kepada Die Mannschaft.

Sementara itu Pasukan Perancis pula layak ke separuh akhir dengan menumpaskan Iceland 5-2 hasil jaringan Giroud (2 gol), Paul Pogba, Griezmann dan Payet. Sekarang ini sedang heboh mengatakan bahawa yang Paul Pogba sudah berjaya menjelmakan roh Patrick Viera ke dalam dirinya dengan cemerlang. Sekaligus meletakkan beliau sebagai pemain yang paling dikehendaki pada musim perpindahan yang akan datang.

Secara keseluruhannya ia adalah persembahan mantap dari pasukan Perancis. Seperti juga Jerman, Perancis masih lagi belum tewas dalam kejohanan kali ini.

Namun begitu lawan mereka yang seterusnya iaitu Jerman adalah jauh lebih hebat berbanding pasukan yang telah mereka tentang baik dalam peringkat kumpulan mahupun kalah mati (Ireland dan Iceland antaranya).

Ramai pengkaji bola sepak percaya Jerman - Perancis adalah dua pasukan yang bermain bola sepak dengan penuh gaya dan berseni serta tahu bila masa yang sesuai untuk menjaringkan gol. Kelebihan inilah yang memberi faedah kepada semua penonton yang gilakan gol. Termasuk kaki judi amatur di dunia cyber.

Ramalan: Jerman dijangka akan lebih mendominasi penguasaan bola yang mana akan menyusahkan pasukan Perancis untuk memberi saingan sepanjang 90 minit permainan.

Aku berpendapat pemenang akan ditentukan dalam masa 90 minit permainan sahaja. Tiada masa tambahan ataupun penalti. Jerman akan menewaskan Perancis dengan skor 1-0 sekaligus akan mara ke perlawanan akhir untuk memburu kejuaraan back-to-back Piala Dunia dan Piala Eropah.

Betullah kata pepatah lama 'Jangan pernah menafikan kewujudan Jerman'. Ini adalah Piala Eropah yang akan menjadi milik Jerman sekaligus ia akan kekal sebagai model terulung sebagai sebuah pasukan yang konsisten dan berwibawa serta KEDAH. RIP Perancis.

Sunday, July 3, 2016

Separuh Akhir Piala Eropah 2016: Portugal Melawan Wales.


SEPARUH AKHIR PIALA EROPAH 2016.

Portugal Melawan Wales | Thursday | 7 July 2016.


"Mu kena sepak molek molek deh. Ini jelah peluang kita Ma. Lepas ni tak taulah kita ada umur lagi ke tak."

Quaresma hanya mengangguk tegas. Apa yang Ronaldo cakap itu ada benarnya. Ini adalah peluang terbaik buat dia, Nani, Ronaldo serta sebahagian pemain lain yang sudah menghampiri usia senja.

Dengan penuh debar Quaresma melangkah ke dalam kotak penalti. Meletakkan bola pada titiknya. 8 langkah secara berundur diambil. Satu nafas ditarik dengan mendalam. Larian kecil tapi cukup padu dilakukan Quaresma seraya satu sepakan sederas peluru dilepaskan. Fabianski hanya mampu merebahkan badan dengan penuh pasrah sambil melihat jaring golnya bergegar bagai Titanic karam. Quaresma mendepakan tangan penuh bangga. Seluruh pasukan berlari meluru memeluk Quaresma di hujung penjuru padang. Pemain terakhir yang menghampiri Quaresma ialah Ronaldo. Kedua mereka bersorak ke arah penonton.

"Inilah masa kita Ma. Inilah dia masanya."

Quaresma dan Ronaldo meneruskan keraian pada malam itu dengan penuh gempita. Rui Costa dan Luis Figo tersenyum nipis di hapadan tivi masing-masing di rumah mereka.

Sehari kemudian berlangsung perlawanan penuh epik antara Wales dan Belgium. Hazard dan seluruh pasukannya membungkam duka kesan daripada kebodohan Wilmots dan Fellaini.

Wales walaupun pada awalnya tidak diberikan sebarang harapan namun akhirnya berjaya mengejutkan Belgium - pasukan paling mahal bagi Piala Eropah 2016 ini. Sedikit sebanyak kejayaan Wales ini memberi ketenangan kepada roh Gary Speed di alam barzakh.

Pertembungan antara Wales dan Portugal nanti adalah yang pertama buat mereka dalam perlawanan kompetetif. Dalam tiga aksi yang lain sebelum ini, dua perlawanan menyebelahi Portugal. Manakala satu lagi kemenangan berjaya direkodkan oleh Wales.

Sedikit perkara menarik buat pasukan Portugal ialah mereka masih belum lagi memenangi sebarang perlawanan dalam tempoh 90 minit. Namun tuah seakan-akan sentiasa berada di pihak negara yang pernah menjajah Melaka ini sehinggakan mereka berjaya merekodkan penampilan yang ke-5 di peringkat separuh akhir.

Menentang Wales nanti, Portugal akan sekali lagi mengharapkan gandingan tua antara Ronaldo dan Nani untuk memecah kubu Wales yang dikawal rapi oleh Hennessey dan Ashley Williams. Berjayakah barisan tua dan muda Portugal seperti Renato Sanches berjaya menembusi tembok kebal The Dragon ini?

Sementara itu, Wales yang nampak tersusun di bawah seliaan Chris Coleman yang bergaji lebih rendah daripada Gareth Bale sebenarnya akan lebih merasai ketiadaan Aaron Ramsey kerana pergantungan kad kuningnya. Namun begitu Coleman semestinya ada perancangan tersendiri dari segi taktikal untuk berhadapan dengan Portugal yang bolehlah kita katakan hambar sepanjang kempen kali ini. Sesiapa yang masih ingat gandingan Coleman, Fulham dan Fayed mungkin akan mengakui pasukan Wales kali ini boleh melakukan kejutan dengan layak ke perlawanan akhir sekaligus mengubati kedukaan Coleman semasa eranya sebagai pemain. Apa yang pasti Wales sudahpun mengatasi rekod tempat ke-6 mereka pada Piala Dunia 1958.

Ramalan: Wales adalah pasukan berstatus debut pertama yang mampu layak ke separuh akhir sejak Sweden melakukan perkara yang sama pada kejohanan tahun 1992. Jika sentimen Ronaldo melawan Bale diambil kira, secara automatik aku akan memilih Wales untuk mara ke perlawanan akhir. Wales menang dengan skor 2-1.

Tuesday, June 28, 2016

Piala Eropah 2016: Suku Akhir



POLAND vs PORTUGAL| Friday 1 July 2016 | 3:00am

Sejak Jakub Blaszczykowski kembali bermain untuk Poland beliau sudah menjadi pembekal kepada 3 gol terakhir pasukan tersebut dengan satu bantuan gol dan 2 jaringan daripada sumbangan beliau sendiri. Kesudahannya Poland berjaya melangkah ke suku akhir selepas menewaskan Switzerland melalui sepakan penalti dalam perlawanan yang lepas untuk bertemu dengan pasukan Portugal.

Portugal pula terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Croatia. Pada perlawanan tersebut Ronaldo dan Nani gagal menjaringkan gol. Namun muncul seorang lagi pemain tua iaitu Quaresma yang menyelamatkan maruah timnas Portugal. Satu perkara yang kita semua nampak ialah Renato Sanchez perlu diberikan peluang bermain sekiranya Portugal bercita-cita mahu melangkah ke Separuh Akhir.

Ramalan: Aku memilih Poland untuk menang 2 - 1.


 WALES vs BELGIUM | Saturday 2 July 2016 | 3:00am

Wales dan Belgium menepati ramalan aku untuk terus mara ke Suku Akhir. Wales dalam satu aksi membosankan berjaya menumpaskan Northen Ireland. Lawan mereka seterusnya ialah Belgium - pasukan ranking nombor dua dunia ketika ini. Namun begitu 3 perlawanan terakhir kedua pasukan ini berakhir dengan 2 keputusan seri dan satu kemenangan berpihak kepada Wales iaitu ketika kempen kelayakan Piala Eropah pada 12 Jun 2015 yang lalu.

Sementara itu Belgium pula semakin menunjukkan potensi sebenar mereka. Eden Hazard membuktikan yang dirinya masih lagi antara pemain terbaik dunia masakini. Mula timbul cakap-cakap yang Belgium akan menyembelih Wales untuk layak ke Separuh Akhir. Walaubagaimanapun apa yang pasti Belgium telah memenangi 3 perlawanan berturut-turut setelah Fellani dibuang dari kesebelasan utama. Kau nak bukti apa lagi?

Ramalan: Belgium menang 3-0.



JERMAN vs ITALI | Sunday 3 July 2016 | 3:00am

Jerman belum bolos dalam Piala Eropah 2016. Buffon juga belum bolos. Dua rival terulung Eropah ini akan bertembung sesama sendiri dalam satu lagi perlawanan super bumper blockbuster yang kita sendiri pun masih tak tahu pasukan yang mana satukah akan muncul sebagai pemenang.

Sebagai rekod kedua pasukan telah bertemu sebanyak 33 kali. Itali mencatatkan 15 kemenangan, Jerman pula 8. Manakala 10 perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Kali terakhir mereka beradu tenaga adalah pada bulan Mac yang lepas dengan keputusan perlawanan 4-1 berpihak kepada pasukan Jerman.

Perlawanan kali ini dijangka akan lebih sengit. Jika Itali berjaya menjaringkan gol terlebih dahulu, maka tugas sukar menanti Low dan seluruh pemain Jerman. Haaaissshhh..susah betol nak mengagak pasukan mana yang akan mara ke separuh akhir nanti.

Ramalan: Jerman menang dalam penentuan sepakan penalti selepas kedua pasukan seri 2-2 dalam masa penuh permainan.


PERANCIS vs ICELAND | Monday 2 July 2016 | 3:00am

Haaaaa...dunia telah melihat bagaimana England - sebuah negara kuasa bola sepak dunia telah dilondehkan oleh Iceland. Bersediakan kita untuk menengok pasukan tuan rumah Perancis pula menyerah panji kepada Iceland The Frozen One?

Pada kempen kali ini Iceland agak tajam di hadapan gol. 29 percubaaan mereka menghasilkan 6 jaringan gol. Sedangkan Perancis juga menjaringkan 6 gol. Namun ia adalah hasil daripada 72 cubaan gol. Ini bermakna Perancis agak segan di hadapan pintu gol walaupun berderet peluang yang terhidang. Adakah Giroud punca segalanya? Hah?

Rekod pertemuan kedua pasukan ini tidaklah banyak mana. 11 perlawanan berlaku antara mereka dengan Perancis memenangi 8 daripadanya. 3 lagi berkesudahan dengan keputusan seri.

Susah untuk kita terima hakikat sekiranya Perancis yang beraksi sebagai tuan rumah ini bakal tersingkir keluar seawal peringkat suku akhir. Namun dalam hati kecil kita juga mahu melihat pasukan kerdil yang berjiwa besar seperti Iceland ini untuk mara dengan lebih jauh lagi.

Ramalan: Perancis 3 - 1 Iceland

Thursday, June 23, 2016

Piala Eropah 2016: Pusingan Kedua [16 pasukan]




Piala Eropah 2016: Pusingan Kedua (16 pasukan)

Tamatlah sudah peringkat kumpulan. Kita dapat lihat pasukan yang pada awalnya adalah pilihan kini semakin menjauhi status tersebut. Pasukan underdog pula semakin mencuri tumpuan. Begitu juga dengan pasukan yang pertama kali beraksi di Piala Eropah ini. Mungkin semua rencah perisa ini menjadikan sukan bola sepak adalah sukan paling menarik untuk ditonton oleh seluruh umat manusia.

Buat masa ini tidak perlu kita pening kepala memikirkan tentang nasib pasukan Malaysia dalam jelalah Oceania mereka. Kita ada bola sepak Eropah yang lebih penting.

Switzerland-Poland | 25 June | Saturday | 9:00 PM.

Kedua pasukan ini perlu membuktikan kepada semua kaki judi sekalian alam bahawa Piala Eropah 2016 tahun ini berkemungkinan besar akan mendapat juara baru. Secara peribadi aku berpendapat yang Poland nampak lebih garang sedikit berbanding Switzerland.

Ramalan: Poland menang 2 - 1.


Wales-Northen Ireland | 26 June | Sunday | 12:00 AM.

Sejarah Britania Raya ataupun Inggeris Raya kalau nak diceritakan di sini memang tak cukup perenggan. Cukuplah kita simpulkan bahawa perlawanan ini membawa keindahan kepada umat United Kingdom khasnya. Joe Allen 'Pirlo', Gareth Bale dan Aaron Ramsey pada aku terlalu kuat untuk Northen Ireland.

Ramalan: Wales sumbat 3 gol berbalas 1.

Croatia-Portugal | 26 June | Sunday | 3:00 AM.

Portugal kalau masih mengharapkan Nani dan Ronaldo nak menjaringkan gol, mereka akan mereput apabila bertemu dengan Croatia nanti. Croatia pula secara tiba-tiba mendapat roh Davor Suker apabila menewaskan Sepanyol dengan satu gerakan serangan balas yang cantik. Aku tak tahulah macam mana Pepe dan Carvalho yang dah tua tu nak kawal kelincahan Perisic dengan Kalinic nanti.

Ramalan: Croatia 2 - 2 Portugal. Sepakan penalti berakhir dengan kemenagan berpihak kepada Croatia.

France-Ireland | 26 June | Sunday | 9:00 PM.

Kali terakhir kedua pasukan ini berentap ialah pada tahun 2009 dalam perlawanan play-off Piala Dunia. Ketika itu Thiery Henry dengan selamba menjaringkan gol dengan menggunakan tangan. Mungkin inilah masanya untuk bala tentera Roy Keane membalas dendam dengan disulami kehebatan taktikal caturan Martin O’Neill.

Ramalan: Perancis menang 1-0. Tapi kalau Ireland menang, ia adalah kejutan terbesar Piala Eropah 2016.


Suatu masa dahulu England pernah membelasah Iceland dengan skor 7-1.


Jerman-Slovakia | 27 June | Monday| 12:00 AM.

Jerman kalau tak menang dengan Slovakia ni memanglah depa ketiak itam. Statistik pertemuan kedua pasukan ternyata berpihak kepada Jerman dengan 7 kemenangan. Manakala 3 lagi kemenangan diperolehi Slovakia. Tiada keputusan seri dicatatkan. Jerman perlu merantai Marek Hamsik jika tidak mahu dimusnahkan secara individu oleh pemain ini. Cabaran lain Jerman ialah kekentalan Martin Skrtel.

Ramalan: Jerman menang dengan skor 2-1.


Hungary-Belgium | 27 June | Monday| 3:00 AM.

Semangat juang pemain Hungary yang berapi-api hampir sahaja membangkitkan Ferenc Puskas dari kubor yang mana tempohari Ronaldo and Co. sikit sahaja lagi akan ditendang keluar dari Piala Eropah 2016 ini. Kali ini Belgium menanti Hungary. Jika Belgium mengekalkan pasukan tanpa Fellaini ada di atas padang. InsyaAllah The Red Devils akan ke suku akhir.

Ramalan: Hungary tewas 0-2 kepada skuad emas Belgium.


Itali-Sepanyol | 28 June | Tuesday| 12:00 AM.

Aku mendapat info bahawa bergegar seluruh 7 benda ajaib di dunia apabila mengetahui kedua pasukan ini bertembung seawal pusingan kedua. Maklum sahajalah Itali dan Sepanyol sudah pun memenangi 5 Piala Dunia dan 4 Piala Eropah. Tidak hairanlah perlawanan ini menjadi bualan di setiap pelusok muka bumi. Kali ini aku akan merendah diri dengan memilih Itali sebagai pemenang. Kembalinya Buffon nanti sebagai penjaga gol dan ketua pasukan akan memberi pengaruh yang besar kepada skua Azzurri.

Ramalan: Itali menang 1-0.


England-Iceland | 28 June | Tuesday| 3:00 AM.

Aku mungkin antara sebilangan kecil peminat bola sepak yang mahukan Iceland melakukan banyak kejutan dalam kejohanan kali ini. Dan apa lagi kejutan yang lebih agung selain daripada menewaskan England yang baru sahaja keluar dari Kesatuan Eropah? Semangat pemain Iceland sememangnya melebihi populasi penduduk mereka pada ketika ini. Jika mereka tewas sekalipun dengan England, pasukan Iceland ini sudahpun mendapat tabik hormat dari seluruh pecinta bola sepak dunia.

Ramalan: Iceland akan melakukan kejutan terbesar dalam kejohanan ini dengan menewaskan England 3-2.








Sunday, June 12, 2016

Piala Eropah 2016: Turki melawan Croatia.


Piala Eropah 2016: Turki melawan Croatia.

Sebelum kita melarat bersembang tentang Tok Roy yang meletakkan 5 pemain Spurs (Pasukan Paling Lemah Di London) dalam perlawanan England padi tadi, adalah lebih baik kita alihkan fokus kepada salah satu perlawanan terpenting dalam Piala Eropah 2016 ini. Ya, perlawanan antara Turki dan Croatia.

Pertembungan suku akhir antara Turki dan Croatia merupakan antara yang paling epik dalam sejarah Piala Eropah 2008. Kedua pasukan seri 0-0 dalam masa perlawanan normal. Mati-mati Croatia merasakan mereka akan memenangi perlawanan ini apabila Ivan Klasnic menjaringkan gol pada minit ke-119.

Namun secara tiba-tiba Semih Senturk menyumbat gol penyamaan dalam masa kecederaan di masa tambahan tersebut. Perlawanan diheret ke acara sepakan penalti. Dan apa yang lebih pilu buat Croatia ialah mereka tewas dalam penentuan penalti sementara seluruh Turki bergegar meraikan kejayaan layak ke separuh akhir.

Malam ini ketika seluruh umat Islam Malaysia sedang sibuk berterawih, kedua pasukan ini akan beradu tenaga. Turki kembali ke kejohanan eropah selepas kali terakhir muncul pada tahun 2008. Manakala Croatia pula pastinya mahukan 3 mata dalam perlawanan ini kerana yang menunggu mereka selepas ini adalah Sepanyol dan Republik Czech.

Menarik untuk kita lihat bagaimana Mario Mandzukic berhadapan dengan Mehmet Topal - pemain bintang Fenerbahce yang bermain sebagai pemain tengah untuk kelabnya namum akan turun sebagai pertahanan tengah apabila beraksi untuk pasukan Turki. Mampukah Topal mendiamkan Mandzukic dalam pertemuan 90 minit ini?

Sementara itu pertarungan dua ketua pasukan iaitu antara Arda Turan dan Dario Srna juga akan menambah rencah dalam perlawanan ini. Srna yang sudah berusia 34 tahun berkemungkinan menghadapi kesukaran untuk bertahan di sebelah kanan Croatia sekiranya Turan turun beraksi sebagai pemain sayap kiri. Diharap dengan 18 penampilan serta 2 gol yang dijaringkannya bersama Bercelona musim ini cukup untuk mendatangankan manfaat kepada Turki malam ini.

Pemain bintang Turki: Hakan Calhanoglu
Pemain bintang Croatia: Luka Modric
Ramalan: Turki 2 - 1 Croatia

Saturday, June 11, 2016

Piala Eropah 2016: Perancis 2 - 1 Romania

Perancis 2 - 1 Romania

Bekas pemain tengah Chelsea membimbing pasukan negaranya dengan penuh bergaya apabila melakar kemenangan pertama untuk Les Blues pagi tadi ketika kita semua sedang sibuk kiamulail dan tahajjud. Jika Arsene Wenger yang jadi coach Perancis mesti terlikup pasukan ini dibuatnya.

Pasukan Romania bermula sebagai underdog dengan barisan pemain yang kurang dikenali berbanding Perancis. Namun mereka kadangkala tetap garang semasa menyerang Perancis.

Perancis pula agak tidak teratur pada mulanya. Hugo Lloris dilindungi oleh Rami dan Koscielny yang kelihatan agak goyah. Sagna seperti biasa boleh tahan mantap jugaklah bertahan di sebelah kanan. Tetapi masih jauh dari level Thuram. Manakala Evra pula ternyata sudah tua dan membuktikan dia adalah jenis pemain yang lemah. Bekas pemain Manchester United ini kalau kena pada pasukan lawan yang lebih kuat dan power boleh menjadi lubok untuk pasukan Perancis.

Bahagian tengah Perancis bermasalah dengan aksi longlai Pogba dan Matuidi yang juga sering hilang arah. Mujur Payet dan Kante membawa prestasi cemerlang mereka dalam Liga Perdana Inggeris ke dalam perlawanan ini. Kante bertahan dengan tenang di tengah. Manakala Payet merbahaya dengan gerakan larian dan hantarannya kepada penyerang Perancis di barisan hadapan. Gol pertama adalah berpunca daripada hantaran lintangnya. Dan gol kedua adalah hasil daripada cubaan jarak jauh beliau. Payet memang POWER.

Sayangnya Griezmann agak menghampakan dalam perlawanan ini. Tidak seperti yang dilihat ketika bermain bersama Torres di Atletico Madrid. Namun Giroud seperti belut di sawah bendang, licin dalam menyelinap di celah-celah pertahanan Romania. Giroud - Penyerang Terbaik Dunia membuktikan dia adalah penyerang luar biasa apabila menanduk menggunakan belakang kepala sambil memejam mata. Jika penyerang biasa-biasa seperti Benteke, Rashford mahupun Safee Sali sudah pasti terkial-kial untuk berbuat demikian.

Cakap-cakap sumbang pengulas di Astro iaitu seorang bekas perasuah mengatakan gol pertama Perancis itu adalah foul. Ah pedulikan beliau. Singapore dulu kalau tak main rasuah takkan boleh menang 4-0 dalam perlawanan akhir Piala Malaysia 1994 dan beliau takkan boleh jaringkan hatrick ketika bertemu dengan Pahang - Pasukan Terbaik Malaysia.

Romania tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan. Lapan minit selepas itu, Evra - Bekas Pemain Manchester United menunjukkan kebodohannya meningkat seiring usianya apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Romania. Ternyata Stancu rupanya lebih tenang apabila berhadapan tekanan penyokong pasukan tuan rumah dengan menyempurnakan sepakan penalti tersebut.

Gol kedua Perancis hadir seminit sebulum tamat masa permainan sebenar. Ia adalah gol milik khas Payet yang berusaha keras sepanjang musim ini sejak Ogos 2015. Kita melihatnya pulun setiap minggu ketika bersama West Ham. Kita juga boleh faham punca titisan air matanya apabila ditukarkan dengan Sissoko. Terbukti Payet sedang perlahan-lahan bertukar menjadi pemain terbaik dunia tanpa perlu bergambar dengan Ford Mustang.




Wednesday, May 18, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan F



Portugal
 


Kadang-kadang aku tidak gemar suasana bising. Hiruk pikuk yang mengacau lamunan aku. Aku bersandar tenang dengan tangan disilangkan ke belakang kepala untuk menongkat tengkorak geliga ini. Sambil menyandarkan kerusi ke belakang aku pejamkan mata budar ini serapi mungkin. Tidak terlalu rapat, tidak juga terlalu terbuka sehingga menampakkan mata putih kesedapan.

Secara tiba-tiba satu susuk terimbas di depan mata aku. Aku tidak pasti sama ada ia benar ataupun sekadar lintasan. Terbuka mata aku terperanjat. Aku pejamkan sekali lagi. Satu kelibat berkepala hitam dengan rambut putih serta jambang berselirat dengan misai juga dalam tona warna yang sama. Ini Abel Xavier! Guman aku di dalam hati. Lama-kelamaan imbasan wajah itu bersilang bertindih-tindih dalam bayangan kepala aku. Rui Costa, Paulo Ferreira, Fernando Couto, Jorge Andrade, Costinha, Luís Figo, Petit, Pauleta, Simão, Nuno Valente, Ricardo Carvalho, Maniche, Deco dan Nuno Gomes. Aku menjadi sedikit cemas namun denyutan jantungku masih terkawal.

Bingkas aku membuka mata dan berdiri tegak seperti ingin menyanyikan lagu Negaraku. Menggeleng kepala perlahan lalu aku melangkah longlai ke luar balkoni. Kulihat bintang sedang berterabur sana sini bekerlipan tak tentu arah. Gelisah merindu Mira Filzah barangkali.

Aku kembali memusatkan fikiran aku kepada lintasan wajah-wajah lelaki Portugis dalam bayangan kepala aku tadi. Barulah aku ingat mereka semua itu adalah barisan emas skuad bola sepak Portugal yang pernah menggegar Eropah dan Dunia dengan ceritera kebangkitan tidak kesampaian mereka itu. Ada bijak pandai dalam bola sepak pernah berkata inilah barisan pemain terbaik yang pernah wujud di Portugal. Aku tidak menolak kata-kata tersebut. Dahulu mereka semua itu adalah Portugal. Manakala Portugal itu sendiri adalah sekumpulan pemain penuh berbakat yang sepatutnya mampu menutup hikayat mereka dengan kegemilangan tersendiri. Peluang itu sudah hampir benar. Namun ia tersangkut di tangan Greece pada tahun 2004. Ia sekaligus menjadikan Portugal satu-satunya pasukan tuan rumah yang masuk ke perlawanan akhir dan kemudiannya tewas.

Kini Portugal telah banyak berbeza. Portugal itu Ronaldo. Ronaldo itu Portugal. Mampos keras pemain Real Madrid ini apabila segala tekanan diletakkan di pundaknya. Bukanlah langsung tiada pemain yang lain. Namun perhatian berlebihan yang diberikan kepada Ronaldo menjadikan pasukan ini seolah-olah hanya bergantung harap kepada dirinya seorang sahaja.

Kejohanan di Perancis kelak seakan-akan meletakkan Portugal sebagai pasukan pilihan yang paling lemah. Namun mereka perlu berasa lega apabila diletakkan dalam kumpulan F bersama Austria, Hungary dan Iceland. Bolehkah pasukan Portugal keluar dari kumpulan ini sebagai juara dan melangkah jauh sehingga ke perlawanan akhir? Tiada jawapan mapan untuk itu.

Aku kembali memandang bintang di langit yang sedang berterabur sana sini bekerlipan tak tentu arah. Gelisah merindu Mira Filzah barangkali. Begitulaaaaaah....

 
Iceland

Dengan cermat aku menutup pintu balkoni dan mengambil tempat duduk di atas sofa betul-betul di hadapan televisyen. Satu persatu saluran tivi aku tukarkan siarannya. Sehinggalah aku terhenti pada saluran berita dunia. Farid Ismet dengan nada tegas serta nafas turun naik bersuara.

"Iceland bergolak lagi. Perdana Menteri Iceland, Sigmundur David Gunnlaugsson meletak jawatan kelmarin sekali gus menjadi ahli politik pertama yang menjadi mangsa kepada pendedahan skandal global terhadap urusan kewangan luar pesisir yang digelar ‘Kertas Panama’."

Aku tersenyum sinis apabila teringatkan sebaris kata-kata pujangga tua di media sosial. 'Inilah akibatnya apabila memimpin bukan atas nama agama, bangsa dan negara serta tidak mendapat sokongan padu akar umbi dan derma Arab Saudi.'

Mencembikkan bibir dan aku mengakui sekurang-kurangnya pasukan bola sepak Iceland power dalam kekabutan politik mereka secara tiba-tiba ini. Malaysia? Politik hancor. Sukan lodoh. Hancor lodoh kata orang putih.

Pemain seperti Gylfi Sigurdsson (Swansea), Aron Gunnarsson (Cardiff) dan Kolbeinn Sigthorsson (Nantes) merupakan antara tonggak dan pemain bintang yang membawa Iceland ke Piala Eropah 2016. Dengan hanya berbekalkan populasi penduduk sekitar 330,000, Iceland menjadi negara terkecil untuk layak ke Piala Eropah selepas dengan automatik meninggalkan Turki dan Belanda di belakang mereka pada bulan Septembar yang lalu.

Kejayaan Iceland ini diperolehi beradasarkan gerak rangka kerja yang berdisplin serta etika berpasukan yang dibina padu oleh bekas jurulatih Sweden iaitu Lars Lagerback. Beliau juga mendapat manfaat hasil daripada sokongan kerajaan yang sejak awal tahun 2000 lagi telah membina padang tiruan di seluruh negara supaya Iceland boleh bermain lebih lama daripada lima bulan dalam tempoh setahun.

Semakin lama aku nengok muka Farid Ismet ni, naik marah pulak aku dibuatnya. Bila dia nak pencen ni?

 

Austria

Mereka tidak kalah dalam perlawanan kelayakan. Satu keputusan yang mantap serta ia menjadi batu asas kukuh yang pasukan ini adalah yang terbaik pernah wujud di Austria sejak lewat 1970-an.

Jurulatih Marcel Koller baru sahaja mengumumkan 24 senarai awal pemain yang akan menyertai skuad bagi perlawanan persediaan menentang Malta dan Belanda. Ia termasuk pemain yang menjuarai Liga Perdana Inggeris dan Bundesliga iaitu Christian Fuchs (Leicester City) dan David Alaba (Bayern Munich).

Selain itu, kehadiran Marko Arnautović (Stoke City) juga perlu diberi perhatian. Musim ini beliau menjadi penjaring terbanyak untuk skuad Stokelona. Manakala gandingannya bersama Alaba dalam kempen kelayakan merekodkan sebanyak tujuh gol.

Secara peribadi aku merasakan Austria boleh melepasi peringkat kumpulan ini sekiranya Portugal gagal bertaubat daripada mengharapkan kudrat Ronaldo seorang.


Hungary

Lama juga tak nampak kemunculan Hungary di mana-mana kejohanan besar di Eropah mahupun dunia. Akhirnya setelah  hampir 30 tahun, pasukan yang tajam dari segi taktikal dan corak permainan ini keluar daripada pertapaan mereka.

Walaupun begitu laluan mereka pada pusingan kelayakan yang lalu tidaklah berapa manis. Tiga jurulatih telah dipecat. Attila Pinta,  Pal Dardai dan Bernd Storck semuanya bekerja separuh jalan. Sehinggalah muncul Andreas Moller, bekas anggota skuad Jerman yang menjulang Piala Eropah ini pada tahun 1996. Beliau berjaya menempah perlawanan play-off bertemu Norway.

Mungkin jika analisis kasar memperlihatkan pasukan ini tidak akan mampu melepasi peringkat kumpulan. Namun sekurang-kurangnya mereka boleh memberi sedikit senyuman kepada roh
Ferenc Puskas dan Laszlo Kubala.


Perlawanan Tumpuan: Portugal Melawan Austria

Semasa kempen kelayakan, pasukan Austria antara yang paling seronok untuk ditonton aksi mereka. Austria memberikan persembahan terbaik mereka dan mengejutkan peringkat kelayakan. Sudah pasti mereka sekali lagi akan mengulangi perkara yang sama kali ini.

Apabila Austria dijadualkan bertemu Portugal pada 18 June dalam perlawanan kedua, kedua pasukan ini berkemungkinan sudah memungut 3 mata penuh dalam perlawanan pertama masing-masing. Tetapi jika sebaliknya berlaku, pertemuan ini akan menjadi perlawanan wajib menang buat mereka.


Pertembungan Force: Ronaldo Melawan Arnautovic

Tinggi bergaya kacak orangnya. Pawer dalam menyerang dan mempunyai kemahiran individu tak terkalahkan. Namun mempunyai mood yang tidak menentu sehinggakan kadangkala ia memberi impak negatif kepada pasukan yang mereka wakili. 

Secara peribadi aku sendiri tidak sabar melihat aksi Marko Arnautovic di kejohanan besar, terutamanya apabila beliau akan berhadapan dengan Cristiano Ronaldo. Ini kerana Marko mulanya mengalami satu karier yang semput di Liga Perdana Inggeris. Sehinggalah awal musim ini apabila beliau dan Stoke menemui keserasian abadi. Khabar angin turut bertiup yang mengatakan Stoke sudah bersedia untuk menawarkan kontrak termahal buat Marko. Sekaligus menjadikan beliau pemain bergaji paling mahal di Stoke City.

Kedua pemain, Marko dan Ronaldo mempunyai abiliti untuk menukar haluan perjalanan kumpulan F ini. Tetapi siapakah antara mereka yang akan berjaya woih?


Keistimewaan Kumpulan F: Kecergasan dan Prestasi Ronaldo

Cristiano Ronaldo jenis yang macam manakah yang akan muncul di Perancis kelak? Superstar yang cergas serta dahagakan kejuaraan sulung terulung bersama negaranya? Atau ketua pasukan lusuh yang penat dan tak kuasa nak melayan misi menyelamatkan maruah Portugal seorang diri?

Kita sudah lihat apa yang berlaku kepada Portugal ketika Piala Dunia di Brazil. Jika mereka ingin mengubah takdir, Ronaldo perlu berusaha lebih 200%.







Thursday, May 5, 2016

Piala Eropah 2016: Kumpulan E


Piala Eropah 2016: Kumpulan E

Belgium

Sejak beberapa tahun yang lalu majoriti peramal dan pengkaji bola sepak berpendapat suatu masa nanti Belgium akan menjadi penguasa bola sepak dunia yang disegani. Ya, berdasarkan ranking FIFA mereka sedang berada di landasan yang tepat. Tetapi generasi emas ini perlu membuktikan potensi mereka dan mula memenangi kejuaraan dengan Piala Eropah ini perlu menjadi permulaan mereka selepas kegagalan menepati jangkaan ramai dalam Piala Dunia 2014 yang lalu - kejohanan yang menyaksikan mereka tewas kepada Argentina pada peringkat suku akhir tanpa mencapai tahap tertinggi dalam aksi mereka.


Inilah masanya bintang muda asuhan Marc Wilmots menunjukkan kematangan mereka. Nama-nama seperti Eden Hazard, Lomelu Lukaku, Kevin De Bruyne, Dries Mertens dan Divock Origi antaranya pemain yang mampu menjulang Belgium ke puncak kegemilangan Piala Eropah 2016. Mereka pernah merasai tahkta pertama ranking FIFA dan ia sepatutnya menjadi pemangkin kepada pasukan yang bergelar The Red Devils ini.


Satu nama lain yang aku ingin perkenalkan ialah Michy Batshuayi. Dia menjaringkan dua gol dalam dua penampilannya dengan pasukan senior Belgium selepas melalui satu musim yang sedap di Marseille. Info mengatakan penyerang berusia 22 tahun ini memiliki kemapuan yang hampir sama dengan Benteke dan Lukaku. Namun kelebihan beliau ialah memiliki sepasang kaki yang pantas dan kuat untuk menjaringkan gol serta kerapkali menewaskan pertahanan lawan dengan skil dan helah yang mengelirukan. Jaga-jaga...


Itali

Itali adalah negara Eropah paling sukses dengan 4 kejuaraan Piala Dunia FIFA, 1934, 1938, 1982 dan 2006. Dengan satu koleksi kejuaraan Eropah pada tahun 1968 menjadikan mereka sebagai pasukan pilihan setiap kali layak ke kejohanan besar seperti ini.

The Azzurri layak ke Piala Eropah 2016 dengan rekod tanpa kalah. Namun skuad asuhan Antonio Conte ini kelihatan biasa-biasa sahaja. Tiada nama-nama besar seumpama Fabio Cannavaro, Alessandro Del Piero, Gennaro Gattuso, Francesco Totti, Filippo Inzaghi, Gianluca Zambrotta, Andrea Pirlo mahupun Marco Materazzi dalam skuad kali ini.

Dua perlawanan menentang pasukan lemah, Malta hanya mencatatkan keputusan 1-0 dalam kedua-dua aksi. Dan jika dinilai secara imbas kekuatan pasukan Itali ini tiada apa yang istimewa darinya.

Menjadi naib juara pada tahun 2012 meskipun mereka gagal melepasi peringkat kumpulan dalam dua edisi Piala Dunia yang yang lepas. Tidak boleh tidak, Azzurri mesti mencapai satu keputusan terpuji untuk Piala Eropah 2016 ini. Berdasarkan bakat individu yang dimiliki dalam skuad kali ini, tidak mustahil Itali akan menjulang Piala Eropah yang kedua. Giorgio Chiellini, Daniele De Rossi, Thiago Motta, Marco Verratti dan Stephan El Shaarawy sudah tidak sabar untuk mengukir sejarah baru buat pasukan Itali.

Bukankah ia sangat manis sekiranya kita sebagai penonton bola sepak mendapat kejutan sedemikian rupa?


Republic of Ireland

Semasa aku menulis tentang pasukan ini, Leicester City baru sahaja beberapa jam dinobatkan sebagai Juara Liga England yang baru. Sekaligus menjadi pasukan ke-6 dalam sejarah pemodenan bola sepak Inggeris. Benda yang jarang berlaku seperti ini amat indah untuk dikenang apabila kita duduk melepak dengan rakan tua sambil melayan cerut Colombia barang sebatang dua.

Ia sama seperti kejayaan Denmark pada Piala Eropah 1992 dan juga Greece pada tahun 2004. Semasa aku sedang termenung mencari idea untuk menaip tentang Republic of Ireland, sesuatu yang diluar jangkaan kepala otak aku ligat melintas. Kenapa tidak boleh The Green Army ini menjadi juara Piala Eropah pada tahun ini? Hah?

Mereka mempunyai pemain seperti Shay Given, Seamus Coleman, Paul McShane, John O'Shea, Marc Wilson, Stephen Ward, Darron Gibson, Wes Hoolahan, James McCarthy, Glenn Whelan, Robbie Keane, Kevin Doyle, Shane Long dan Jon Walters yang semuanya dalam usia matang dan sedap untuk bermain bola sepak seperti gaya yang dimahukan oleh Martin O'Neill dan Roy Keane.

Martin O'Neill yang dikenali sebagai antara jurulatih yang bertaktikal tinggi mengakui kehadiran Roy Keane sebagai pembantunya memberi kesan yang positif kepada pasukan dan setiap pemain. Hasilnya mereka layak ke Piala Eropah 2016 selepas menewaskan Bosnia 3-1 dalam perlawanan play-off. Sebelum itu mereka hanya mampu berada di tangga ketiga dalam kumpulan yang turut memiliki Jerman dan Poland.

Namun begitu Republic of Ireland hanya bolos 7 gol meskipun Jerman dan Poland secara keseluruhannya berjaya menyumbat 57 gol. Dan apa yang lagi pawer ialah mereka berjaya menewaskan Jerman dalam perlawanan yang berlangsung di Dublin. Hasilnya mereka menyertai jiran Northern Ireland, Wales dan England bagi membawa semangat United Kingdom ke pentas Eropah.

Meskipun Scotland tidak turut serta bersama mereka, aku yakin roh William Wallace sedang tersenyum menumpang gembira. 


Sweden

Sweden ditendang keluar pada peringkat kumpulan dalam dua Piala Eropah yang lepas. Berdasarkan statistik ini juga ramai pemerhati bola sepak tidak bertauliah merasakan pasukan ini turut tidak akan mampu pergi jauh dalam edisi kali ini.

Ya betol mereka memiliki Zlatan Ibrahimovic - penyerang yang masih merbahaya nak mampos walaupun menginjak ke usia 34 tahun. Tetapi beliau secara individu juga tidak akan boleh menjanjikan bulan bintang kejayaan menjulang trofi Eropah di bumi Perancis nanti.

Pada pusingan kelayakan yang lalu mereka terkelucai apabila menentang Austria. Dan juga turut tewas kepada pasukan Russia yang biasa-biasa sahaja malahan huru-hara pasukannya. Kau bayangkan betapa bergelutnya Sweden kelak apabila dijadual berhadapan degan pasukan penuh berbakat Belgium dan pasukan lagenda seperti Itali.

Banyak nampaknya kerja rumah yang Erik Hamren serta anak buahnya perlu buat sebelum kaki melangkah masuk ke pesawat kapal terbang Scandinavian Airlines.


Perlawanan Tumpuan : Itali Melawan Ireland

Mungkin ia adalah perjalanan yang sedikit sukar buat Ireland untuk kempen Piala Eropah mereka pada kali ini. Namun dengan format baru yang sudah dikembangkan, nasib mereka masih boleh diukir pada pengakhiran yang lebih terhormat apabila dijadual bertemu Itali pada 22 Jun nanti meskipun tewas pada dua perlawanan awal sebelum itu.
 
Sejarah juga membuktikan Ireland memiliki memori indah apabila bertembung dengan Itali. Sudah tentu ada yang masih ingat perlawanan kedua pasukan ini pada Piala Eropah 2012 yang lalu apabila berkesudahan dengan keputusan Itali menang 2-0 hasil jaringan Balotelli dan Cassano. Ataupun adakah kenangan Ireland menewaskan Itali pada Piala Dunia 1994 dahulu akan menjadi panduan arah semangat Martin O'Neill and Co.? Marilah kita menunggunya dengan penuh debor di dada.

Pertembungan Force: Ibrahimovic Melawan Kompany.

Kedua pemain ini dijangka bertemu dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan tanggal 22 Jun nanti. Sekiranya ini adalah aksi terakhir Zlantan bersama Sweden, sudah pasti beliau tidak akan duduk diam seperti kebanyakan penyerang pasukan Malaysia. Jadi kita menjangkakan Zlatan akan melincah ke kiri dan kanan. Melompat ke sana dan ke sini. Menaduk dan merebut bola tanpa henti sepanjang 90 minit perlawanan ini.

Siapa yang akan menyekatnya?

Tidak lain dan tidak bukan ialah Kapitan Belgium iaitu Vincent Kompany. Sekiranya beliau cergas, tugas mengawal Zlatan - antara pemain terbaik dalam dunia yang berbakat itu tidak akan menjadi masalah besar buat dirinya. Pertembungan dua kuasa ini akan menjadi memori manis buat seluruh pencinta bola sepak. Percayalah cakap aku ni.


Keistimewaan Kumpulan E: Kebangkitan Lukaku.

Romelu Lukaku antara kegagalan utama Belgium dalam Piala Duni 2014 yang lalu. Namun kali ini mungkin peluang untuknya bersinar agak cerah.

Dengan kekerapan peluang bermain dalam pasukan Everton, kemampuannya sedikit sebanyak semakin meningkat meskipun Everton tidak berada dalam kedudukan yang baik ketika ini. Ia juga sekaligus menjadikan Lukaku antara pemain yang paling direbutkan dalam Liga Perdana Inggeris.

Sekiranya beliau berjaya menterjemahkan ketajaman menjaringkan golnya dalam aksi antarabangsa bersama Belgium - pasukan yang penuh bakat muda bola sepak. Tidak mustahil Belgium akan menjulang Kejuaraan Piala Eropah 2016 buat pertama kalinya dalam sejarah bola sepak mereka.