Saturday, January 27, 2018

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Serabut Musim Baru


Dari Kaki Ke Pena Hitam: Serabut Musim Baru.

Apa khabar hamba rakyat sekalian alam? Dah jumpa stadium baru nak main bola tak untuk musim baru nanti? Hah? Apa? Takde? Ciaaaaan...

Ini adalah antara masalah yang sedang berlaku dan menjadi hiburan kepada pemerhati bola sepak seperti aku. Lama dah aku perhati perangai pandir sebegini dalam bola sepak Malaysia ni. Beribu macam lagi masalah yang berlaku kalau kita dengar pun membuatkan mata kita terbeliak tidak percaya. Dan ada antaranya berulang setiap kali musim baru bola sepak bermula.

Hal stadium untuk pasukan Selangor ini adalah bukti betapa kotornya mainan politik ini jika tidak dikawal selia dengan teratur. Kau bayangkan betapa bebalnya pengurusan PKNS yang sanggup bermain di stadium bersaiz gergasi hanya untuk melayan jumlah penonton tak sampai satu dewan kuliah UITM jurusan Komunikasi Media. Bayangkan...Adalah lebih molek sekiranya PKNS bermain sahaja di mana-mana padang sekolah yang terdapat di Selangor ni. Nak direbutkan jugak Stadium Shah Alam yang pintu tandasnya berterabur tu dah kenapa?

Macam mana PKNS menjana pendapatannya? Siapa 'fan base' pasukan PKNS ni sebenarnya? Aku tak mahu jawab.

Kenapa tidak mahu disewakan kepada pasukan Selangor? Dan guna ia secara bersama? Masing-masing dapat keuntungan selepas ditambah tolak sana dan sini. Apa yang menghalang untuk buat benda macam gini?

Jawapannya EGO POLITIK. 

Nota tambahan: Aku terpaksa berhenti menaip. Tiba-tiba rasa marah ni membuak pulak. Tapi...betul ke orang Selangor akan dapat pakej Noh Omar sekali dengan Stadium Shah Alam? Hah!




Friday, January 26, 2018

Piala Dunia 2018: Portugal.




Piala Dunia 2018: Portugal.

Sejarah Penglibatan Portugal di Piala Dunia.

Bermulanya bola sepak Portugal dikenali seluruh alam adalah apabila Eusebio secara sensasi menerajui negaranya di Piala Dunia England 1966. Kempen Piala Dunia mantap mereka ketika itu ditamatkan di tangga ketiga selepas menewaskan Kesatuan Soviet.

Kemudiannya Portugal terlepas empat edisi Piala Dunia. Gagal. Namun mereka muncul semula di Mexico 1986 dengan hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Edisi kali ini Portugal gagal menyerlah secara keseluruhannya walaupun menewaskan England di perlawanan pembukaan. Portugal kemudiannya bungkus awal selepas tewas kepada Maghribi dan Poland.

Siri kegagalan Portugal layak ke Piala Dunia diteruskan lagi untuk tiga edisi yang seterusnya (1990, 1994 dan 1998). Tetapi mereka seolah-olah menemui pedoman apabila layak ke Piala Dunia 2002 dan ketika ini muncul nama-nama hebat seperti Victor Baia, Abel Xavier, Fernando Couto, Luis Figo, Nuno Gomes dan Rui Costa antaranya. Walaubagaimanapun jodoh Portugal dan Piala Dunia kelihatannya masih jauh. Portugal gagal mara ke peringkat seterusnya selepas tewas mengejut kepada Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Sedih.

Betol kata peribahasa lama, payah-payah dilamun ombak, tercapai juga tanah di tepi. Nasib bola sepak Portugal akhirnya berubah di Piala Dunia 2006 Jerman. Dengan mendapat asuhan daripada Felipe Scolari, Portugal berjaya mara sejauh peringkat separuh akhir. Perjuangan mereka terkandas selepas ditewaskan oleh Perancis dan Portugal juga turut gagal dalam perebutan tempat ketiga apabila ditumpaskan oleh pasukan tuan rumah, Jerman.

Portugal kemudiannya sekali lagi berjaya ke Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Di Afrika Selatan 8 tahun yang lalu, impian Portugal tamat di pusingan 16 pasukan. Mereka tewas kepada pasukan juara kejohanan Sepanyol dengan skor 1-0. Manakala empat tahun lalu di Brazil, mereka kembali ke fitrah asal iaitu gagal melepasi peringkat kumpulan meskipun diketuai oleh pemain terbaik dunia Cristiano Ronaldo.

Penyandang Juara Eropah.


Portugal kali ini layak ke Piala Dunia 2018 dengan membawa status sebagai juara bertahan Piala Eropah. Masih segar lagi imej ikonik Cristiano Ronaldo terkinja-kinja serupa berok mak yeh memberikan arahan di tepi padang kepada rakan sepasukannya dalam perlawanan akhir Piala Eropah dua tahun yang lalu. Mungkin ramai yang tidak menyangka Portugal boleh menewaskan pasukan tuan rumah Perancis pada ketika itu. Dengan prestasi yang tidak berapa meyakinkan dan tunggang-langgang, ia mungkin rezeki dari langit kepada seluruh umat Portugis. Bola sepak berjaya, rakyat gembira. Begitulah.

Selama dua kejohanan Piala Dunia (2010 dan 2014) mereka terpaksa mengharungi perlawanan penentuan. Menewaskan Bosnia Herzegovina untuk ke Afrika Selatan dan menutup peluang Sweden beraksi di Brazil.

Bagi Piala Dunia 2018 pula, Portugal layak dengan penuh bergaya. Merekodkan 9 kemenangan daripada 10 perlawanan dengan menjaringkan sejumlah 32 gol dan mengumpul 27 mata serta menjuarai kumpulan B Zon Eropah.

Bagaimana dengan nasib mereka di Piala Dunia nanti? Secara peribadi bolehlah aku merumuskan yang Portugal bernasib malang apabila diundi bersama Pasukan Terbaik Dunia, SEPANYOL. Mujurlah dua pasukan yang lain ialah Maghribi dan Iran. Jadi, secara logik bola sepaknya Portugal akan mudah mara ke pusingan seterusnya mengiringi Sepanyol-Pasukan Terbaik Dunia.

Cristiano Ronaldo dan Peluang Terakhir.

Ini adalah peluang terakhir buat Cristiano Ronaldo. 'DO OR DIE' kata orang putih. Dua tahun yang lepas tiada siapa menyangka Portugal dan Ronaldo berjaya menjulang kejuaraan Eropah. Namun itulah bola sepak. Sedap dan penuh dengan elemen kejutan yang tidak terjangka. Sama ada Ronaldo mampu atau tidak menjulang Piala Dunia buat Portugal, bersama-samalah kita tunggu kelak.

Ronaldo akan berusia 33 tahun apabila Piala Dunia bermula nanti. Jadi adalah mustahil untuk kita melihat beliau akan bermain untuk 4 tahun lagi di Qatar. Mungkin inilah peluang terakhir untuknya mencatat nama dalam sejarah bola sepak dunia. Sekiranya beliau cergas dan tidak tercedera, maka dapatlah kita melihat yang terbaik daripada beliau. Dengan Ronaldo ditahap terbaiknya, Portugal bolehlah berasa teruja menjelang kempen mereka di Russia.

Mencari Magis Fernando Santos


Jurulatih berbangsa Portugis ini dilantik menjadi pengurus pasukan Portugal pada 23 September 2014 bagi menggantikan Paulo Bento. Nama Fernando Santos tidak perlu diperkenalkan lagi di Portugal kerana beliau banyak menguruskan kelab di situ. Antaranya Benfica, Sporting CP dan FC Porto.

Setakat ini pencapaian peribadi terbaik beliau bersama pasukan Portugal adalah ketika membawa pasukan ini memenangi Perlawanan Akhir Piala Eropah 2016.

Untuk Piala Dunia 2018 kelak, beliau sudahpun menyenarai pendek 40 orang pemain untuk dibawa ke Russia. Fernando Santos perlu lebih berwaspada dengan kehadiran Maghribi dan Iran kerana kedua pasukan ini sentiasa bersedia untuk melakukan sebarang kejutan meskipun ramai pengkaji bola sepak dunia meramalkan Portugal adalah pasukan yang akan mengirigi Sepanyol untuk mara ke peringkat seterusnya.

Mampukah Fernando Santos mengulangi semula magisnya ketika Piala Eropah 2016 yang lalu?


Piala Dunia 2018: Maghribi



Piala Dunia 2018: Maghribi

Maghribi, Kemodenan dan Piala Dunia.

Mengikut kajian sejarawan lama, kawasan Maghribi moden telah didiami oleh manusia sejak Zaman Neolitik lagi, iaitu sekurang-kurangnya sejak 8000 tahun sebelum masihi. Kini Maghribi pantas membangun dengan ekonominya yang berteraskan pertanian, pelancongan, aeroangkasa, automotif dan juga tekstil antaranya.

Selain itu pembangunan bola sepak jugak tidak pernah diabaikan. Ia meriah sejajar dengan kepentingan memajukan negara. Seperti yang kita tahu sukan bola sepak adalah perkara yang mampu menyatukan sesiapa sahaja. Yang bercerai boleh rujuk semula. Yang berbeza parti politik boleh duduk semeja di kedai warong. Begitulah perumpamaannya.

Pada tahun 1955, Federasi Bola Sepak Maghribi atau nama inggerisnya Royal Moroccan Football Federation (RMFF) telah ditubuhkan secara rasmi. Dengan wujudnya badan ini, maka perjalanan bola sepak di Maghribi dapat dikawal selia dengan lebih sistematik dan lancar.

Rentetan daripada itu, pasukan bola sepak kebangsaan Maghribi yang bergelar Singa Atlas ini akhirnya berjaya menyertai FIFA pada tahun 1960. Kemunculan sulung mereka di Piala Dunia adalah pada tahun 1970 di Mexico dan mereka terkandas di peringkat kumpulan.

Dua edisi Piala Dunia selepas itu Maghribi menyepi.  Dan sensasi mereka sudah pastinya ketika Piala Dunia 1986 juga di Mexico apabila menjadi pasukan dari Afrika yang pertama menjuarai peringkat kumpulan.

Seterusnya Maghribi hadir lagi di Piala Dunia 1994 tetapi hanya untuk melengkapkan jadual di peringkat kumpulan. Maghribi juga cuba membida Piala Dunia 1998 namun mereka terlepas peluang tersebut kepada Perancis.

Piala Dunia 1998 turut menjadi kejohanan yang tidak boleh dilupakan oleh rakyat Maghribi. Mereka memerlukan 3 mata pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk layak ke pusingan kalah mati dan mereka berjaya melunaskan tugasan tersebut dengan cemerlang. Scotland dibelasah 3-0 tanpa belas ehsan.

Malang sekali Brazil yang sudah layak ke pusingan kalah mati telah tewas kepada Norway sekaligus menidakkan peluang Maghribi untuk mara lebih jauh. Sorakan kegembiraan di Saint-Étienne tadinya terbantut dan bertukar menjadi babak kesedihan. Kalau diingatkan semula memang boleh menitis air mata jantan ni.

Lagenda Hadji Mengorak Langkah

Apabila ada orang bertanya kepada aku, apa yang aku tahu tentang pasukan Maghribi? Dengan tanpa ragu aku akan menjawab, Mustapha Hadji. Siapa Mustapha Hadji? Mari sini aku ceritakan.


Selain daripada gol cantik Michael Owen yang membuka namanya di pentas dunia, satu lagi gol hasil jaringan Mustapha Hadji – Lagenda Maghribi meninggalkan kesan mendalam kepada penyokong berkecuali semasa Piala Dunia 1998.

Ketika perlawanan pertama menentang Norway, dalam satu gerakan serangan balas, pemain tengah bertahan Maghribi, Taher el Khalej melorongkan bola di sebelah kiri kepada Hadji yang sudah melakukan larian sepantas harimau bintang. Dengan berbekalkan satu 'stepover' yang lincah, pertahanan Dan Eggen berjaya ditipunya. Kemudian Hadji melepaskan rembatan rendah bawah di penjuru kiri penjaga gol Norway, Frode Grodas. Gooooooooooool!!!! Dan gol ini diiktiraf antara gol terbaik kejohanan Piala Dunia untuk tahun itu.
 
 
Kehebatan Hadji di Piala Dunia 1998 ini membolehkan beliau memenangi anugerah Pemain Terbaik Afrika pada tahun yang sama menewaskan dua orang lagenda Nigeria - Jay Jay Okocha dan Sundah Oliseh. Selepas itu perpindahannya dari Deportivo ke Coventry City hanya menjadikan namanya lebih dikenali di serata dunia.

Muncul Selepas Ghaib 20 tahun.

Dalam penentuan peringkat Kumpulan C Zon Afrika, Maghribi berjaya mengenepikan cabaran pasukan Ivory Coast apabila menjuarai kumpulan dengan 12 mata hasil daripada 3 kemenangan dan 3 seri. Yillek kekalahan.

Maghribi menempah tiket Piala Dunia selepas 20 tahun ghaib dan ini adalah penampilan mereka yang kelima dalam sejarah FIFA.

Pada undian Piala Dunia yang lalu, dengan ranking FIFA mereka di tangga ke-40, mereka diundi dalam kumpulan B bersama juara semasa Piala Eropah - Portugal, bekas JUARA DUNIA YANG POWER NAK MAMPOS - SEPANYOL dan wakil dari Asia yang hebat Iran.



Jika tiada aral melintang pukang, Medhi Benatia sudah pasti akan mengetuai pasukannya menentang cabaran 3 pasukan yang aku sebutkan tadi. Pengalaman beliau dengan Juventus tidak perlulah aku ceritakan di sini hari ini. Barangkali di lain masa sahaja.

Pengalaman Benatia sudah pasti ditagih untuk membimbing pemain muda seperti Achraf Hakimi yang baru sahaja berusia 19 tahun namun sudah beroleh kontrak bersama pasukan Real Madrid. Ketika artikel ini ditulis beliau sudah menjaringkan 1 gol dalam 5 penampilannya musim ini bersama Real Madrid.

Manakala bahagian tengah pasukan Maghribi mempunyai adunan pemain yang matang dan sedang ranum. Mereka memiliki Karim El Ahmadi (30 tahun) dan Nordin Amrabat (33 tahun). Dan dua orang veteran ini akan dibantu oleh Sofiane Boufal (24 tahun) serta sensasi Hakim Ziyech juga berusia 24 tahun. Nampak sedap bukan?

 
Tetapi sebagai seorang penulis cerita bola yang tegas, aku secara realistilk meramalkan peluang Maghribi untuk melepasi peringkat kumpulan adalah dalam lebih kurang 28% sahaja.  Walaupun begitu aku sedikit yakin dengan sentuhan ajaib Herve Renard. Mungkin mereka mampu mencetuskan kejutan jika Renard berjaya mengadun dan mengorek yang terbaik daripada skuad Maghribi ini.


Sentuhan Afrika Hervé Renard



Siapa dia ni? Hervé Renard dilahirkan pada 30 September 1968. Seorang yang kacak bergaya berasal dari Perancis dan merupakan jurulatih semasa pasukan kebangsaan Maghribi. Betul kata orang-orang lama, lelaki Perancis ini seksi juga orangnya. Contoh terdekat cuba lihat Arsene Wenger.

Nama Hervé Renard mungkin agak asing di bumi Asia. Tetapi di rantau Afrika beliau dikenali sebagai Raja Piala Afrika. Individu ini mengukir namanya dengan Zambia dan Ivory Coast apabila membawa dua negara Afrika ini menjuarai Piala Afrika pada tahun 2012 dan 2015. Dan ini adalah kali pertama berlaku dalam sejarah apabila seorang jurulatih berjaya menjuarai Piala Afrika dengan dua pasukan yang berbeza.

Meskipun ramalan di 'socmed' banyak mengatakan Portugal dan Sepanyol akan menjadi pilihan untuk mara ke pusingan seterusnya, namun reputasi Renard yang rajin menghasilkan kejutan mungkin akan merosakkan ramalan tak bertauliah ini. Kau orang tengok sahajalah nanti. Aku nak sambung makan nasik kejap.

Piala Dunia 2018: Arab Saudi.



Piala Dunia 2018: Arab Saudi.

Perjalanan dari Tangkak ke Kuala Pilah amat melelahkan. Mentari panas mencanak betol-betol di atas kepala. Pandangan mata aku berpinar. Unta yang aku tunggani kelihatan penat sekali. Macam berpuasa sebulan pula lagaknya. Kesian aku melihat Ramdin, si unta yang patuh.

Lalu aku mengambil keputusan untuk berhenti berehat. Aku menambat untaku di bawah sepohon tamar yang rendang lagi rimbun daunnya. Fuuuuh..lega kemain dapat berehat barang sejenak. Air sirap bandung JDT bekalan yang aku bawa dalam balang buluh tadi ditonggak secara gelojoh. Glup..glup..glup..Rengkung kini berasa lega.

Perlahan aku buka beg FILA yang aku sandang lalu aku keluarkan sehelai kulit kambing dan sebatang pena bulu ayam belanda. Hujungnya yang tajam aku calitkan dengan darah dari ibu jari aku. Lalu aku mula menulis di atas kulit kambing itu tentang pasukan bola sepak Arab Saudi yang akan beraksi pada Piala Dunia 2018.


Arab Saudi Dalam Kenangan.

Arakian..maka tersebutlah kisah Arab Saudi pada suatu masa dahulu adalah sebuah pasukan gergasi di rantau Asia. Dari Yaman ke Oman membawa ke Qatar hingga ke Syria, semuanya gempita cemburu dengan kehandalan pasukan bola sepak Arab Saudi ini. Namun begitu, kini reputasi hebat mereka semakin menyusut. Bagaikan nilai matawang ringgit. Arab Saudi hari ini hanyalah pasukan yang ke-5 terbaik di Asia. Di samping itu mereka turut telepas dua edisi Piala Dunia yang lepas iaitu pada 2010 dan 2014. Bola sepak seolah-olah menjauhi negara yang kaya dengan minyak ini. Sumpahan apakah? Paling terbaru skuad bawah 23 tahun mereka tewas kepada Malaysia - pasukan asuhan Ong Kim Swee yang hebat. Apa sudah jadi dengan pasukan Arab Saudi ini?

Jika sejarah kegemilangan mereka diselak kembali satu demi satu, mereka pernah menjadi juara Piala Asia pada tahun 1984, 1988 dan juga 1996. Selepas itu mereka kemarau kejuaraan Piala Asia. Nama-nama lagenda seperti Mohamed Al-Deayea dan Sami Al-Jaber semakin pupus tidak mampu dijelma dan diganti dengan yang baru. Kesedihan yang menyayat hati bagi bola sepak Arab Saudi.

Seperti yang kita tahu, komitmen Arab Saudi terhadap bola sepak pada satu masa dahulu tidak boleh dinafikan begitu saja. Pembinaan Stadium King Fahd di Riyadh yang menjadi tuan rumah Piala Konfederasi 1993 merupakan mercu kegemilangan bola sepak Arab Saudi ketika itu. Stadium yang dibuka pada tahun 1987 ini mempunyai kapasiti sebanyak 67,000 tempat duduk. Selain itu, stadium ini turut termasuk dalam FIFA 13, FIFA 14, FIFA 15, FIFA 16, FIFA 17 dan FIFA 18. Hebat.


Megah di Persada Dunia atau Mengah di Persada Dunia?

Apa yang boleh dikatakan ialah Arab Saudi sememangnya berusaha keras untuk mengecapi yang terbaik bagi bola sepak mereka. Berkat dari niat suci Arab Saudi ini juga mereka berjaya layak ke Piala Dunia sebanyak 4 edisi iaitu pada tahun 1994, 1998, 2002 dan juga 2006. Malangnya persembahan mereka tidak berapa membanggakan. Atau dalam bahasa lain, sendu. Paling sedap pun Arab Saudi layak ke pusingan 16 pasukan pada edisi 1994.

Pada temasya Piala Dunia tahun 1994 ini juga Saeed Al Owairan menjaringkan gol terbaik dalam sejarah Piala Dunia ketika menewaskan Belgium dengan gol 1-0. Dari kawasan Arab Saudi sendiri, beliau menggelecek menewaskan 6 orang pemain termasuk penjaga gol. Seluruh stadium bingit dengan sorakan. Dan gol ini kekal menjadi antara jaringan tercantik di Piala Dunia. Terima kasih kerana mengizinkan aku bernostalgia sedikit dengan jaringan gol Saeed Al Owairan ini.

Malang sekali penyertaan Piala Dunia Arab Saudi selepas itu hanya sangkut di peringkat kumpulan serta gagal pula merekodkan sebarang kemenangan. Lebih baik jadi macam Malaysia. Terus tak layak daripada layak tetapi memalukan seluruh Bani Arab. Ye dak?

Kemudian ia ditambah pula dengan episod sedih pada edisi Piala Dunia 2002, yang mana Arab Saudi mengalami kekalahan yang sangat memalukan kepada Jerman apabila tewas 8-0. Tamat sahaja kejohanan ini, Federasi Bola Sepak Arab Saudi berjanji akan membaik pulih sistem akar umbi mereka serta memulihkan struktur pengurusan dan kejurulatihan mereka. Walaupun begitu, hasilnya masih suam-suam kuku.


Sinar Piala Dunia 2018.


Keputusan kelayakan Piala Dunia 2018 mereka secara keseluruhan bolehlah dikatakan agak baik dan sederhana. Arab Saudi menang 6 perlawanan, seri 1 dan kalah 3 pertembungan secara keseluruhannya. Arab Saudi akhirnya menamatkan Kumpulan B dikedudukan yang kedua di belakang Jepun dan seterusnya layak secara automatik ke Russia.

Seperti ada yang tidak kena, Federasi Bola Sepak Arab Saudi selepas itu tidak menyambung kontrak Bert van Marwijk walaupun jurulatih ini berjaya membawa Arab Saudi ke Russia. Ada sumber mengatakan van Marwijk dipaksa untuk menjadi penduduk tetap Arab Saudi. Sudah tentulah beliau tak bersetuju dengan cadangan mengarut macam ni. Tempatnya diganti oleh Edgardo Bauza. Malang berganda pula buat Edgardo Bauza apabila turut dipecat selepas hanya mampu membimbing Arab Saudi dalam 5 perlawanan.

Kemudiannya muncul pula Juan Antonio Pizzi, individu dari Argentina yang mengabdikan dirinya semasa muda dengan mewakili pasukan bola sepak Sepanyol. Sebagai pengurus, Antonio Pizzi diingati dengan kejayaannya membawa pasukan Chile menjulang kejuaraan Copa America Centenario yang berlangsung di Amerika Syarikat. Semasa Piala Konfederasi 2017 di Russia pula beliau berjaya membimbing Chile sehingga ke perlawanan akhir. Namun mereka tewas 1-0 kepada pasukan Jerman. Selepas itu beliau dipecat lantaran kegagalan membawa Chile ke Piala Dunia 2018 yang menyebabkan Alexis Sanchez terpaksa meneruskan latihan bermain piano apabila bulan Jun 2018 muncul kelak.

Agaknyalah...berapa lama pula jodoh Juan Antonio Pizzi dengan pasukan Arab Saudi ni ye?

Sembang Ular
Peluang Arab Saudi

Persatuan bookie sedunia mungkin tidak akan berani mempertaruhkan Arab Saudi untuk layak ke pusingan yang kedua. Malahan ada yang begitu yakin bahawa Arab Saudi tidak mampu menamatkan peringkat kumpulan ini di tangga yang lebih tinggi dari empat. Apatah lagi Arab Saudi turut diletakkan dalam kumpulan yang sama dengan pasukan tuan rumah Russia, Mesir dan juga Uruguay.

Elemen kejutan juga mungkin tidak mampu dijelmakan oleh pasukan Arab Saudi ini. Ramalan cerdik pandai mengatakan peluang Arab Saudi layak ke peringkat kedua ialah 14.2 peratus sahaja. Begitulah kejinya bola sepak Asia sekarang ini di mata dunia.

Aku menoktahkan tulisan ini dengan kelopak mata yang berkaca. Arab Saudi yang begini handal di rantau Asia pun masih tidak mampu pergi jauh apabila berlaga bahu dengan pasukan dunia yang lain. Bagaimana pula nasib bola sepak Malaysia yang semakin tiada arah tuju? Ketika ini aku memandang wajah sayu Ramdin, si unta yang setia. Wajah kusamnya turut memaparkan kesedihan. Baru aku teringat yang beliau belum makan dedak lagi dan sedang kelaparan gamaknya.

Friday, January 19, 2018

Piala Dunia 2018: Uruguay.



Piala Dunia 2018: Uruguay.

Nama Uruguay bukanlah asing dalam bola sepak dunia. 13 penampilan Piala Dunia dengan 2 gelaran menjadi sandaran mereka. Mereka juga tidak pernah ketinggalan bermain di Copa America sejak penjenamaan semula kejohanan tersebut pada tahun 1975. Apa lagi yang perlu kita tahu tentang pasukan Uruguay ini menjelang sepak mula Piala Dunia 2018? Di sini aku terangkan beberapa perkara buat pedoman kita semua selaku pencinta bola sepak. Bacalah dengan berlapang dada dan penuh kesederhanaan.


1. Ketika zaman awal tertubuhnya organisasi bola sepak antarabangsa ataupun bersamaan dengan sebelum Perang Dunia Kedua, Uruguay adalah kuasa bola sepak dunia sebenar yang tidak terkalahkan. Malang sekali hari ini dan saat ini mereka bukan lagi kuasa besar, namun masih lagi sebuah lawan yang merbahaya jika tidak diberi perhatian yang serius.

2. Dominasi awal mereka dibuktikan dengan memenangi pingat emas Olimpik pada tahun 1924 dan 1928. Oleh kerana Uruguay adalah pasukan terbaik era mereka, Uruguay telah diberi keistimewaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia 1930 yang pertama. Ia juga sempena keraian 100 tahun kemerdekaan mereka. Selain itu juga Uruguay sanggup menanggung segala perbelanjaan pasukan yang bersaing. Tersenyum simpul FIFA dengan perangai murah hati Uruguay masa ni.

3. Malang sekali banyak pasukan dari Eropah memboikot Piala Dunia yang pertama ini dek kerana masalah masa perjalanan yang agak panjang. Kesian betul..masa ni manalah nak ada kapal terbang canggih. Nak merentas Lautan Atlantik menggunakan kapal laut ataupun bot mahunya makan 3 minggu. Hanya Perancis, Yugoslavia, Romania dan Belgium sahaja yang cekal hati bertolak ke Uruguay untuk menyepak bola di Piala Dunia 1930. Piala Dunia kemudiannya tetap diteruskan dengan 13 pasukan secara keseuluruhan turun beraksi. Seperti dijangka juga Uruguay dengan mudah memenangi perlawanan akhir mengatasi Argentina dengan skor 4-2. Sayur.

4.  Oleh masih berkecil hati dengan perangai boikot beberapa pasukan daripada benua Eropah, Uruguay tidak menyertai dua kejohanan Piala Dunia yang berikutnya pada tahun 1934 di Itali dan 1938 di Perancis. Namun begitu mereka kembali dengan penuh bergaya pada tahun 1950 apabila melakukan kejutan paling terbesar dalam sejarah kejohanan dengan menewaskan Brazil di Estadio do Maracana untuk menjulang trofi Piala Dunia mereka yang kedua. Kejayaan ini dikenali sebagai 'Maracanazo'. Fuuuuuh.

5. Pasukan Uruguay pada ketika itu terdiri daripada Juan Schiaffino, Omar Miguez, Victor Andrade, Roque Maspoli di posisi penjaga gol dan si pertahanan Obdulio Varela. Selepas zaman gemilang ini, Uruguay masih lagi berjaya melahirkan pemain seperti Enzo Francescoli pada era 70-an dan juga Alvaro Recoba yang mempunyai statistik PES untuk ketepatan sepakan percuma pada nilai 90. Sedap betul guna Recoba  masa ni kalau ada sepakan percuma.



6. Meskipun mempunyai sejarah cemerlang sekitar tahun 1954 dan 1970, Uruguay akhirnya mengalami zaman kejatuhan mendadak. Pada edisi yang berikutnya Uruguay jarang muncul di pusingan akhir Piala Dunia. Selepas gagal layak ke Piala Dunia 1994 dan 1998, skuad yang dikenali dengan nama Le Celeste ini membuat penampilan di Piala Dunia 2002 Korea/Jepun. Namun mereka tersingkir di peringkat kumpulan apabila menduduki tempat ke-3 kumpulan A di belakang Denmark dan Senegal. Yang tercorot adalah Perancis. Hihi..

7. Sekali lagi Uruguay gagal mara ke Piala Dunia 2006 di Jerman selepas mereka ditumpaskan oleh Australia dalam satu perlawanan 'play-off'. Malang. Pada penampilan ke-11 mereka di Piala Dunia 2010 Afrika Selatan, satu kebangkitan ditunjukkan oleh Uruguay. Ia seolah-olah telah mengembalikan semula era terdahulu mereka apabila berjaya menduduki tempat ke-4. Siapa boleh melupakan sensasi Diego Forlan apabila beliau mengaut pulang anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan.

8. Kesinambungan ini dicantikkan lagi dengan kehandalan mereka menjulang Copa América pada tahun 2011 di bumi Argentina. Seperti yang kita tahu Uruguay telah menewaskan Paraguay dengan skor 3-0. Bagai seperti yang dijangka oleh semua pihak, secara keseluruhannya Luis Suárez telah terpilih sebagai pemain terbaik Copa América 2011.

9. Namun begitu sejak Copa América 2011, Uruguay telah berjuang untuk mengulangi kecemerlangan mereka di Argentina dan Afrika Selatan. Juara Piala Dunia sebanyak 2 kali ini telah sekali lagi mengalami penurunan prestasi secara mendadak sejak memenangi Copa America 2011. Ciaaaan. Mujur mereka masih mampu layak ke Piala Dunia 2018 dan berjaya menduduki tempat kedua di belakang pasukan Brazil. Ia sekaligus merekodkan penampilan mereka yang ke-13 di Piala Dunia. Hebat. Manakala Edinson Cavani pula muncul sebagai penjaring terbanyak pusingan kelayakan dengan menyumbat 10 gol.




10. Pada pendapat peribadi akulah, kekuatan utama pasukan Uruguay ketika ini adalah barisan serangannya. Si Tuan Jurulatih, Oscar Tabarez akan mempunyai pelbagai pilihan barisan serangan seperti Luis Suarez (Barcelona), Edinson Cavani (PSG), Diego Rolán (Malaga) dan Abel Hernandez (Hull City).

11. Pasukan Uruguay asuhan Oscar Tabarez boleh mengerah yang terbaik daripada Cavani dan Suarez. Walaupun ketika ini mereka bukanlah pada prestasi yang terbaik, tetapi ia masih mampu mendatangkan gusar kepada pertahanan pasukan Russia, Mesir apatah lagi Arab Saudi. Kedua mereka ini adalah wajah utama bola sepak Uruguay untuk tempoh sedekad yang lepas. Duo berbiso ini mempunyai sokongan yang mapan di belakang mereka dengan Diego Codin dan Sebastián Coates mengawal benteng dengan kemas lagi kukuh. Selain Fernando Muslera yang kebal di palang gol.

12. Seperti yang aku cakap tadi, Cavani dan Suarez adalah wajah utama bola sepak Uruguay untuk tempoh sedekad yang lepas. Ini dikuatkan lagi dengan statistik bahawa kedua pemain ini secara berjemaah sudah menjaringkan hampir 90 gol sejak tahun 2007. Tidak hairanlah mereka ini masih boleh dikatakan antara penyerang paling berbahaya dalam kejohanan ini. Cakap-cakap di Uruguay mengatakan mereka berdua ini tidak ubah seperti jelmaan Khalid Jamlus dan V. Saravanan di zaman kemuncaknya. Sama ada betul atau tidak kenyataan ini pun aku tak tahu.

13. Luis Suarez hari ini masih diakui antara penyerang terbaik di dunia. Jika tidak kerana masalah tabiat menggigit sana, mengkokak sini, beliau pasti menjadi calon utama anugerah Ballon d'Or. Lincah, licik menggelecek dan tenang bak anjeng di depan gol serta mampu memberikan impak segera dalam sesuatu perlawanan yang penting. Ini adalah antara senjata merbahaya milik beliau. Memegang status sebagai penjaring terbanyak Uruguay dengan 49 gol, Suarez mungkin akan bermain di sebelah kanan atau kiri dalam sistem serangan 3 serangkai tetapi masih bebas berlegar-legar di atas padang juga persis seekor anjeng.


14. Edinson Cavani pula adalah penyerang yang lasak dan masih bertenaga walaupun pada usia 30 tahun. Cavani sehingga hari ini membuktikan harga perpindahan mahalnya ke PSG adalah logik dan berbaloi. Pada usia sebegini juga masih ada kelab bola sepak elit Eropah yang mahukan tandatangan beliau. Suarez dan Cavani jika kena pada adunan taktikalnya, jika tepat pada tuah harinya akan menjadikan setiap pasukan di dunia ini seperti kelab bola sepak biasa-biasa yang tidak mempunyai penaja dan stadium sendiri. Siapa tahu ini adalah peluang terakhir untuk kita melihat gandingan ini di pentas dunia?

15. Antara lain kekuatan pasukan Uruguay itu sendiri bagi aku ialah jurulatih Oscar Tabarez. Pengalamannya mengawal selia pasukan Uruguay ini sejak tahun 2006 perlu dicemburui oleh Nelo Vingada. Siapa pulak Vingada ni? Adeeeeeeh...

16. Di atas kertas para pengkaji bola sepak tidak bertauliah telah bersepakat yang Uruguay mampu melepasi peringkat kumpulan bersama pasukan tuan rumah, Russia. Sementara itu Arab Saudi akan dijadikan pasukan belasahan dan nasib Mesir pula masih misteri. Itu jangkaan awal di atas kertas statistik. Malangnya bola sepak dimainkan di atas padang dan segala kemungkinan boleh berlaku.

Saturday, January 6, 2018

Piala Dunia 2018: Russia




Piala Dunia 2018: Russia

Kesetiaan Kepada Russia Dan Negara.

Usman leka menengok youtube perlawanan bola sepak Piala Dunia 1998 antara Argentina dengan Belanda. Ternganga mulut beliau apabila terlihat kelibat Bergkamp mengawal bola dengan tenang. Membuat bantuan gol dengan tandukan cermat kepada Patrick Kluivert.

Tidak dinafikan ini adalah pasukan terbaik Belanda yang pernah wujud. Namun tiada gelaran utama yang dijamah mereka. Peminat bola sepak dunia menggelar mereka sebagai 'The Great Forgotten Dutch Team'. Van Der Sar, Jaap Stam, Cocu, Edgar Davids yang berkaca mata, Bergkamp, Ovemars, Patrick Kluivert, De Boer bersaudara. Aaaah...senarainya amat panjang. Jadi, apabila Belanda meletakkan harapan kepada pemain seperti Ryan Babel untuk menyelamatkan kempen kelayakan Piala Dunia mereka, kita sudah tahu apa penamatnya. Gagal.

"Woih Usman! Kau nengok filem Cameron Diaz ke tu? Sampai meleleh air liur," tegur Jalil dari belakang. Suaranya agak garau. Selsema yang menyerang masih belum hilang. Lendir pekat menyekat di kotak suara. Kalau tarik lagu Kamelia Sweet Charity mesti sedap.

Usman tidak menjawab. Satu jelingan tajam dilepaskan kepada rakan sekerjanya itu. Jalil menarik kerusi duduk di sebelah Usman. Desau nafasnya kedengaran kasar melewati rongga rengkungan.

"Oh, bola rupanya. Aku sokong Russia tahun ni sebab Belanda dah tak layak," Jalil membuat kenyataan tanpa perlu disoal.

"Aaah engkau ni Jalil. Pendirian tak pernah tetap. Dulu lepas Kurt Cobain mati, kelam kabut ko sokong Anuar Zain. Sekarang ni apa alasan kau sokong Russia pulak tahun depan?" Usman menduga Jalil dengan soalan bola sepak asas.

"Masa Russia mula membida untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia untuk kali yang pertama, mereka berada pada situasi yang sedap selepas layak ke peringkat separuh akhir Piala Eropah 2008. Namun kini situasi bola sepak Russia sudah banyak berubah. Russia selepas itu telah gagal melepasi semua peringkat kumpulan dalam kejohanan besar seperti Piala Dunia, Piala Eropah dan Piala Konfederasi yang baru lepas. Tiada kelebihan buat mereka kali ini melainkan hanyalah status sebagai tuan rumah. Semangat dan sokongan dari rakyat tempatan amat penting untuk mengembalikan semula kepercayaan umat Russia kepada pasukan bola sepak mereka," Jalil berhenti bercakap dan menghirup air kopi yang berada di tangannya tadi. Kopi Starbuck yang tertulis nama Jalal di tepi bekasnya. Ejaan nama yang salah. Tapi Jalil tak kisah. Jalil okay. Jalil kemudiannya menyambung percakapannya semula.

"Kempen Piala Dunia mereka di Brazil empat tahun yang lalu pun tak berapa sedap. Seri dua perlawanan dengan Korea Selatan dan Algeria. Tewas kepada Belgium meletakkan Russia di tangga ketiga kumpulan H. Lapan tahun sebelum itu pula mereka terkandas di perlawanan penentuan kepada Slovenia untuk ke Afrika Selatan."

"Dah tu, rajin pulak ko nak sokong Russia ni kenapa?" Usman kembali menyoal Jalil sambil jarinya sibuk menaip laporan harian serangan cyber ke atas syarikat perbankan mereka. Tetingkap youtube sudah di'minimize'kan. Takut-takut bos lalu, susah pulak nanti.

"Aku yakin dengan Stanislav Cherchesov. Dia mengambil alih pasukan Russia selepas satu kempen Piala Eropah 2016 yang amat teruk. Bekas penjaga gol ini banyak melakukan perubahan di bahagian pertahanan. Beliau membawa Viktor Vasin dari CSKA, Fedor Kudryashov dari Rubin Kazan dan Georgi Dzhikiya dari Spartak Moscow menggantikan Sergei Ignashevich dan Vasily Berezutski. Beliau turut meletakkan tiga orang pemain pertahanan berbanding empat orang sebelum ini. Wujud juga sedikit kontroversi apabila Cherchesov berterusan menyisihkan Igor Denisov yang merupakan antara pemain tengah bertahan terbaik di Russia dek kerana perselisihan faham mereka berdua ketika di Dynamo Moscow. Sementara itu barisan serangan Russia pula amat impresif. Alan Dzagoev masih lagi tajam di depan gol. Fyodor Smolov ketika ini sedang 'on-form' sehinggakan menarik minat Real Madrid. Begitu juga dengan Aleksandr Kokorin yang sudah menjaringkan 10 gol untuk musim 2017/18," terang Jalil panjang lebar. Seolah-olah pasukan Russia ini duduknya bersebelahan dengan rumahnya sahaja.

"Siapa lagi pemain Russia yang ko rasa power nak mampos kali ni?" Usman masih lagi dengan soala-soalan berbaur menduga pemikiran bola sepak Jalil.

"Tumpukan fokus kita nanti kepada pemain kembar Aleksei dan Anton Miranchuk dari pasukan Lokomotiv Moscow dan juga Aleksandr Golovin dari pasukan CSKA. Mereka ini antara pemain yang akan berpeluang melakukan 'breakthroughs' di Piala Dunia tahun hadapan," Jalil seakan yakin dengan pilihan pemain tumpuannya.

"Okay. Itu dari segi pemilihan pemain. Macam mana pula dengan peluang pasukan Russia apabila diletakkan bersama-sama Arab Saudi, Mesir dan Uruguay?" Usman berhenti menaip. Dia menongkat kepalanya sebelah kanan dengan tangannya memandang tepat ke mata Jalil. 

"Aku tak nafikan kurangnya keterujaan apabila melihat nama-nama pasukan dalam kumpulan A ini. Perlawanan pembukaan pula seperti tidak menepati kualiti pertandingan. Pasukan dengan ranking ke-63 dan 65 akan bertarung sesama mereka. Bukankah itu sesuatu yang keji? Namun aku masih percaya Russia mungkin dapat layak sehingga suku akhir. Paling cikai pun separuh akhir," laung Jalil penuh yakin dan bersemangat sambil berdiri tegak seperti askar KGB dalam perbarisan mingguan. Mungkin inilah yang dinamakan sebagai Kesetiaan Kepada Russia Dan Negara.

"Hah! Aku suka semangat engko ni Jalil," Usman akur dan menghormati pilihan Jalil.

"Punyalah beria engko tanya aku pasal Russia ni. Engko pulak sokong pasukan apa Piala Dunia nanti?"

"Aku sokong Malaysia. Kitakan ada Presiden FAM yang power."

"Kahkahkahkahkahkahkah." Berderai ketawa mereka berdua sehinggalah masa pejabat tamat.

Saturday, December 30, 2017

Piala Dunia 2018: Perancis.



Piala Dunia 2018: Perancis.

Alunan lagu Heartbreaker dari Led Zeppelin berirama gempita mengiringi hujan renyai di luar rumah aku. Membuatkan semangat bola sepak aku mendadak naik. Lantas jari-jemari aku rancak lincah menari di papan kekunci tanpa ada sempadan dan larangan.

Namun fikiran aku sedikit terganggu apabila teringatkan kejadian pengeboman Paris pada tahun 2015. Letupan pertama kedengaran berhampiran stadium Stade de France 20 minit selepas perlawanan persahabatan antara Perancis dengan Jerman berlangsung. Seluruh stadium menjadi panik. Mengingatkan kejadian ini, aku mengeluh perlahan. Oh Stade de France! - Stadium yang menyimpan sejarah manis buat bola sepak Perancis.

Stade de France pernah menjadi saksi bermulanya era kegemilangan bola sepak Perancis. Tanggal 12 Julai 1998 lembaran baru terbuka buat Les Bleus dalam sejarah bola sepak dunia.

Sebelum tamatnya Piala Dunia 1998, susah untuk kita dengar seseorang itu menyokong pasukan Perancis. Ini kerana pencapaian mereka yang tidak seberapa di peringkat dunia dan eropah.

Selepas menduduki tempat ketiga di Piala Dunia 1986, Perancis gagal layak ke Piala Dunia 1990. Ciaaaaan. Piala Dunia 1994 lagilah harok. Mereka juga gagal layak dan dikecewakan saat akhir dalam perlawanan cukup bergelora menentang Bulgaria. Begitulah lebih kurang serba sedikit pencapaian Piala Dunia pasukan Perancis yang boleh disimpulkan.


Perancis Menawan Dunia.

Namun segalanya berubah selepas kejayaan Perancis menewaskan Brazil 3-0 di Stade de France. Status suam-suam kuku dalam kejohanan Piala Dunia berjaya mereka tanamkan ke dalam kubur kenangan.

Kejuaraan Piala Eropah 1984 dan Emas Olimpik kini beroleh teman di dalam almari Piala Persatuan Bola Sepak Perancis. Secara global juga imej pasukan bola sepak Perancis melonjak naik tak terkalahkan.

Aku masih ingat lagi pasca kejayaan Perancis di Piala Dunia 1998, apabila turun bermain bola petang-petang bersama rakan sepermainan, kami mula menyebut nama-nama seperti Barthez, Desailly, Thuram, Petit, Blanc, Zidane dan Karembeu antaranya.

Fabien Barthez suatu ketika dahulu dikenali sebagai penjaga gol yang gemar memakai nombor enam belas pada jersinya. Ia melawan arus perdana penjaga gol yang biasanya menggunakan nombor satu, dua belas ataupun dua puluh dua. Dengan imej botak licin. Kelincahan Barthez ketika itu amat memukau. Beliau ditemani Laurent Blanc yang tidak akan terlepas untuk mencium kepala botak licinnya. Juga Lilian Thuram 'Le Philosophe' secara berjemaah dengan Marcel Desailly 'Si Tembok Besor' menjadi tulang belakang pasukan Perancis ketika itu.

Petit tenang mengawal ruang tengah bersama Zidane. Bersilih ganti tugasannya dengan Karembeu - Pemain yang berasal dari New Caledonia, berketurunan etnik Kanak dari rumpun Malayo-Polynesia. Christian Karembeu juga mempunyai seorang isteri yang hot. Kau cubalah google.

Ramuan semua pemain ini akhirnya memberikan Piala Dunia pertama buat pasukan Perancis. Dua gol dari Zidane, satu gol daripada Petit membungkam hati seluruh peminat pasukan Brazil di serata dunia. Sambutan keraian ini dikatakan lebih dahsyat beremosi daripada Revolusi Perancis itu sendiri.

Dua tahun kemudian, Perancis melengkapkan kejayaan berganda apabila menjuarai Piala Eropah 2000 menewaskan Itali. Kini nama-nama seperti Thierry Henry, David Trezeguet, Robert Pires, Sylvain Wiltord, Nicholas Anelka dan Patrick Vieira pula mula meniti di setiap bibir peminat bola sepak dunia dan Arsenal. Hekeleeeeh...



Zaman Suram

Beban yang dipikul selaku juara bertahan Piala Dunia sememangnya maha berat. Hanya bekas juara sahaja yang memahaminya. Ia juga seperti sumpahan kepada pasukan yang bergelar juara bertahan. Dan Perancis tidak segan silu mengulanginya pada edisi 2002 di Korea Selatan.

Aku masih ingat lagi perlawanan antara Perancis dengan Senegal di Stadium Piala Dunia Seoul Korea Selatan yang bersaksikan 62,000 penonton di dalam stadium dan entah berapa juta penonton lagi di layar kaca tivi. Perancis yang menyenaraikan Marcel Desailly si tua, Frank Leboeuf yang perlahan dan Youri Djorkaeff yang ketika itu sudahpun berusia 34 tahun kelihatan terkial-kial untuk menyaingi semangant ingin berjaya El Hadji Diouf, Khalilou Fadiga, Papa Bouba Diop dan Salif Diao.

Ketiadaan Zidane sebenarnya mungkin menjadi punca kepada Perancis tersingkir awal pada Piala Dunia 2002. Keberantungan kepada Zidane yang melampau-lampau juga adalah penyebab utama Perancis terlupa untuk membangunkan dan menolak pemain muda menjadi pengganti natural kepada Zidane. Namun begitu nama-nama seperti Johan Micoud, Yoann Gourcuff, Hatem Ben Arfa, Jeremy Menez, Samir Nasri, Bruno Cheyrou dan Adel Taarabt antaranya pernah digazetkan oleh pakar bola sepak serta media sebagai 'The Next Zidane'. Tetapi semuanya hilang ke laut dalam bersama kenangan kehebatan Zidane yang tiada galang gantinya.

Sinar muncul sedikit pada Piala Dunia 2006 buat Perancis kerana mereka berjaya layak sehingga ke perlawanan akhir selepas menggembleng kudrat Zidane sehabisnya. Perancis tewas kepada Itali dan Zidane menamatkan karier bola sepaknya dengan keji tetapi penuh bergaya sambil melepaskan tandukan padu tepat ke dada Materazzi. Seluruh dunia terkedu.

Empat tahun kemudian di Afrika Selatan, Perancis masih lagi bergelut dengan sejarah silam mereka. Kehadiran Raymond Domenech menambah huru-hara di dalam kem Perancis. Skandal seks Franck Ribery, isu budak kuat merajuk Nicolas Anelka dan kes perangai Patrice Evra menghumban Perancis ke lembah hina apabila menyudahkan kempen Piala Dunia mereka di tangga tercorot di bawah Afrika Selatan, Uruguay dan Mexico dengan hanya memungut satu mata sahaja.



Generasi Baru

Ramai yang berpendapat bahawa kejayaan pasukan Perancis ketika era 1998 hingga 2002 itu berpunca daripada kehadiran pemain dengan latar keturunan yang pelbagai. Semasa Perancis menjuarai Piala Dunia 1998, pasukan mereka dilabel sebagai The Black, Blanc and Beur (Hitam, Putih, Arab). Ini kerana majoriti daripada mereka adalah berketurunan atau berdarah luar daripada Perancis.  Antaranya dari Guadeloupe, Martinique, Algeria, Argentina, Senegal, Poland, Portugal dan Ghana.

Itu kisah lama. Bagaimana pula dengan generasi pemain yang baru? Adakah giliran Griezmann, Mbappe ataupun Pogba mengetuai kejayaan pasukan Perancis?

Griezmann walaupun reputasinya tidak gah seperti Zidane, namun beliau mendapat kepercayaan Deschamps apabila taktikal pasukan Percancis dibina dalam lingkaran beliau. Hasilnya Griezmann menyumbat 6 gol dan membawa Perancis ke Piala Dunia 2018.

Selain itu Perancis juga boleh menyandarkan harapan kepada Paul Pogba, Kylian Mbappe sambil mungkin boleh dibantu secara berjemaah oleh Raphael Varane, N'Golo Kante, Thomas Lemar atau Ousmane Dembele. Jadi generasi emas era baru pasukan Perancis ini mungkin berpeluang menjadi Juara Piala Dunia yang baru selepas mereka begitu hampir menjuarai Piala Eropah 2016 yang lepas.



Didier Dechamps Yang Bertuah

Jika kita melihat limpahan pemain Perancis ketika ini, istilah bertuah sememangnya tepat untuk bekas pemain Chelsea ini. Setiap posisi dalam skuad Perancis ketika ada lebih kurang 2 atau 3 pemain. Sebagai contoh di bahagian tengah Perancis mempunyai Pogba, N'zonzi, Bakayoko, Sissoko, Kante, Matuidi, Rabiot ataupun Tolisso. Fuuuuuh...

Tetapi bakat sahaja tidak mencukupi. Dechamps perlu memikirkan bagaimana untuk menanam semangat kerjasama dalam pasukan Perancis. Dengan pelbagai latar pasukan kelab yang mereka semua wakili, tidak banyak tetapi mungkin akan wujud sedikit ego dalam diri pemain. Keharmonian dalam pasukan adalah sangat penting. Mungkin inilah sebabnya Dechamps berterusan meminggirkan Benzema. Tetapi apakah keperluan Benzema di sini apabila Perancis memiliki Penyerang Terbaik Dunia - Giroud.

Selamat berjaya buat Didier Dechamps Si Lagenda Chelsea Yang Power.

Saturday, December 16, 2017

Piala Dunia 2018: England.


 
Piala Dunia 2018: England.

Kenangan

6, October 2001 | Old Trafford.

Ketinggalan 2-1 menentang Greece pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2002. England memerlukan menang ataupun seri. Pada minit ke-93 Greece memberikan sepakan percuma kepada England betul-betul 27 meter dari gol mereka. Ia seolah-olah petanda rezeki yang turun dari langit buat The Three Lions.

Beckham selaku ketua pasukan mara bergaya kacak tampan untuk mengambil sepakan percuma tersebut. Seluruh stadium senyap bagaikan di rumah mayat. Beckham dengan tenang seperti rutinnya melepaskan satu sepakan percuma yang tak terjangkau oleh penjaga gol Greece. Bola menerjah jaring. Old Trafford bergegar dengan sorak-sorai peminat England. Bingit. Harok. England berjaya menyamakan kedudukan dan layak secara automatik selaku juara kumpulan. Meletakkan Jerman sebagai naib juara.

Beckham meraikan gol tersebut dengan penuh bergaya. Emile Heskey, Rio Ferdinand, Martin Keown antara pemain yang meluru meraikan gol tersebut bersama ketua pasukan England yang berpengaruh itu.

16 tahun berlalu...dan mungkin inilah antara momen yang terbaik untuk dijadikan kenangan buat semua peminat setia pasukan bola sepak England.

Menjejak Juara

Semasa aku menulis tentang pasukan England ini, pasukan bola sepak Malaysia baru sahaja gagal layak ke Piala Asia secara rasmi dan Itali pula terlepas aksi Piala Dunia buat pertama kalinya dalam tempoh 60 tahun. Marilah kita bertafakur barang sejenak mengenangkan peristiwa sedih nak mampos ini. Pejam mata dan diam.....

Okay done. Mari kita sambung bercerita tentang pasukan England.

England datang lagi. Mampir sekali lagi ke Piala Dunia buat kali ke-6 berturut-turut yang mana kali terakhir mereka gagal ialah pada tahun 1994. Secara jumlahnya sudah 14 Piala Dunia yang mereka harungi. Untuk edisi 2018 ini juga seperti kebiasaannya England dengan mudah melayakan diri. Menjuarai kumpulan F Zon Eropah dengan 8 kemenangan, 2 seri dan tiada kekalahan. Mengumpul 26 mata meninggalkan Slovenia di tempat ke-2 dengan 18 mata.

Dahsyat juga England bila pusingan kelayakan ni. Tapi bila tiba kejohanan sebenar, mulalah menggelabah ayam. Ingatkah kita pada Piala Dunia 2014, apabila England tersingkir hanya selepas dua perlawanan yang mereka lalui? Lemah.

Peminat bola sepak juga sudah tentu tahu yang pasukan England ini hanya gah pada reputasi, tetapi tidak pada prestasi. Ini terbukti apabila England masih gagal memenangi Piala Dunia sejak kali terakhir melakukannya pada 1966 di laman sendiri. Pemain bintang silih berganti. Jurulatih bertukar ganti. Kejayaan Piala Dunia masih tercari-cari. Adakah tahun 2018 akan jadi milik England nanti?

Liga Iggeris juga begitu sebati dengan darah daging kita semua dek kerana kesan penjajahan British ke atas negara yang aman damai ini. Munculnya ramai pendukung susah mati kelab bola sepak Inggeris juga bukanlah lagi perkara rahsia seperti jantina Nursajat.

Ramai mengaku menganut Manchester United, Liverpool, Spurs, Chelsea dan Arsenal. Tentu sekali kita sukar untuk mengumpulkan peminat setia Bayern Munich, Valencia, Boca Juniors, Flamengo dan Paris Saint Germain waima dalam sebuah kereta kancil sekalipun. Itulah uniknya sokongan Bani Malaysia ke atas kelab-kelab Inggeris.

Namun begitu aku secara peribadi berpendapat, gahnya kelab-kelab Inggeris dari segi sokongan dan kerancakan liga mereka bukanlah kunci utama yang akan membawa England kepada gelaran Piala Dunia yang kedua buat mereka. Kau percaya tak apa yang aku cakap ni? Hah?


Tahun ini tahun England

Walaupun begitu, skuad bola sepak England pada peringkat umur bawahan telah mengecapi banyak kejayaan pada tahun 2017. Pada tahun 2017 sahaja England telah mara ke perlawanan akhir dalam:
  • Euro Bawah-17
  • Euro Bawah -19
  • Euro Bawah -21
  • Piala Dunia Bawah -20
  • Piala Dunia Bawah -17
  • Toulon Tournament.
Adakah England juga akan turut mara ke Perlawanan Akhir Piala Dunia 2018 di Russia nanti? Sudah tentu TIDAK. Secara peribadi sekali lagi aku menegaskan yang pasukan England kali ini masih belum cukup resepi untuk pergi sejauh itu.

Semasa generasi emas yang membariskan David James, Beckham, Frank Lampard, Gerrard, Rio Ferdinand, John Terry, Wayne Rooney, Owen, Paul Scholes, A.Cole, G. Neville dan J.Cole pun tidak mampu memberikan gelaran Piala Dunia kepada England. Apatah lagi pasukan yang meletakkan H.Maguire, Joe Gomez, Jack Cork, Livermore, Dominic Solanke dan Tammy Abraham dalam perlawanan pemanas badan untuk Piala Dunia? (Sengaja aku tak sebut Harry Kane,Marcus Rashford, Dele Alli dan Kyle Walker untuk menggambarkan England sebagai skuad yang kurang stabil kah kah!)



Gareth Southgate

Mari aku ceritakan kisah antara kenangan yang selamanya terpahat di memoriku tentang Gareth Southgate selaku bekas pemain England (kini Pengurus England). Aku harap kau orang baca dengan nada berkobar-kobar sambil berdiri ye, walaupun di dalam tandas.

Piala Eropah 1996 di England telah membawa pasukan Three Lions ini sejauh separuh akhir yang menemukan mereka dengan musuh tradisi iaitu Jerman. Malam sejuta keterujaan. Stadium penuh dengan 76,000 penonton bersesak-sesak ke Stadium Wembley. Perlawanan yang berkelas tinggi ini juga ditonton secara domestik di televisyen dengan 26 juta umat terpacak di serata bar sekitar England. Dan ia sebenarnya akan menjadi perlawanan yang tidak akan dilupakan oleh peminat-peminat England.

England menggegar gawang seawal minit-3 dengan Alan Shearer melepaskan tandukan tipikalnya, disudahkan dengan gaya keraian seperti kebiasaan. Seluruh Wembley bergegar. Malangnya tidak lama selepas itu, Stefan Kuntz menyamakan kedudukan pada minit-16. Wembley senyap bagaikan dewan peperiksaan SPM.

Perlawanan diheret ke masa tambahan. Kedudukan kekal 0-0 dan pemenang terpaksa ditentukan dengan sepakan penalti. Kesemua pemain Jerman dan England berjaya menyempurkan 5 sepakan penalti.

Tibalah giliran Southgate mengambil sepakan penalti sudden-death. Bola diletakkan di tengah dengan penuh tenang. Beberapa langkah diambil sehingga sedikit terkeluar dariapda kotak penalti. Fikiran Southgate kini tenang dan fokus 70%. Lagi baki 30% tidak tahu hanyut ke mana. Southgate melakukan larian seperti bersiar-siar di pasaraya Harrods. Pegawai kejurulatihan pasukan England mula tidak sedap hati. Berjayakan pemain jersi nombor 6 ini menyelamatkan England?

"Zaaaaaaaaaaaaas."

Satu sepakan penalti yang lemah dilepaskan Southgate. Mudah diselamatkan Andy Kopke - Lagenda Jerman. Kini seluruh Stadium gempita dengan sorak sorai pendukun setia pasukan Die Mannschaft. Terry Venables menggigit jari di tepi padang.

Kemudian Andreas Moller pula menjaringkan penalti untuk Jerman dan mencalarkan maruah England di laman mereka sendiri. Begitulah Garerth Southgate yang aku kenal.

Namun, tidak adil seandainya aku mengadili prestasi Southgate bersandarkan karier beliau selaku pemain satu ketika dulu. Sebenarnya, kehandalan beliau dalam bidang kejurulatihan akan mula diuji apabila tibanya Piala Dunia 2018 bulan Jun nanti.

Pada Piala Dunia Jun ini, England akan berlaga keting dengan pasukan penuh bintang Belgium, wakil Afrika iaitu Tunisia dan Panama yang berjaya mencuri slot dari pasukan Amerika Syarikat.

Tanpa menidakkan kemampuan Southgate, aku berharap England kali ini mampu menunjukkan prestasi yang lebih baik seiring dengan reputasi tanpa kekalahan di peringkat kelayakan sebelum ini.

Sunday, December 10, 2017

Piala Dunia 2018: Iran

Piala Dunia 2018: Iran


Lagenda.

Semasa aku kecil dahulu, aku membesar dengan mengenali nama-nama pemain bola sepak lagenda Iran seperti Karim Bagheri, Khodadad Azizi, Mehdi Mahdavikia, Ali Karimi dan semestinya Ali Daei

Karim Bagheri dan Khodadad Azizi diingati dengan membantu Iran layak ke Piala Dunia pada tahun 1998 menyingkirkan Australia. Mehdi Mahdavikia pula menyinar di Bundesliga dengan 2 kali dinamakan sebagai pemain terbaik liga. Ali Karimi pernah digelar sebagai Maradona Asia dek kerana kelincahannya menggelek bola. Manakala sesiapa yang tidak kenal kepada Ali Daei, dipersilakan pergi meninggal sekarang.

Inilah nama-nama permain berkaliber bola sepak Iran ketika mereka berlegar-legar  di Piala Dunia 1998 dan 2006.

Hari ini nama Sardar Azmoun pula disebut-sebut sebagai penyelamat dan pembawa maruah Iran yang baru. Iran sudah banyak kali layak ke Piala Dunia. Cuma kita selaku Bangsa Asia masih menunggu Juara Piala Dunia yang datangnya dari benua ini. Mungkinkah Iran adalah calonnya?


Kuasa Asia Yang Baru.

Selain Syiah, Perang Iran-Iraq, dan makwe-makwe yang ‘hot’, apakah lagi yang kita tahu tentang negara yang terkenal dengan perindustrian petroleum ini? Ya, betol. Kita tahu mereka mempunyai sebuah pasukan bola sepak yang jauh hebat berbanding Malaysia yang mengamalkan Ahlussunnah Wal Jamaah.

Ketika ini (October 2017) Iran merupakan pasukan terbaik di Asia dalam ranking FIFA. Namun secara keseluruhannya Iran jatuh sembilan anak tangga untuk menduduki tangga ke-34 dunia

Di rantau Asia, pasukan Iran memiliki reputasi yang sangat membanggakan. Sebagai contoh, untuk Piala Asia sahaja mereka sudah layak 14 kali (termasuk 2019) dan muncul juara 3 kali berturut-turut pada edisi tahun 1968, 1972 dan 1976. Manakala bagi Piala Dunia pula, mereka bermain pada edisi 1978, 1998, 2006, 2014 dan 2018.

Pada tanggal 13 Jun 2017, Iran muncul pasukan ketiga layak ke Piala Dunia 2018 di Rusia selepas menang ke atas Uzbekistan 2-0 di Tehran. Dua gol menerusi pemain bintang mereka Sardar Kazmoun dan Mehdi Taremi sudah cukup buat skuad bimbingan Carlos Queiroz itu mara menerusi saingan Kumpulan A biar pun masih ada baki dua lagi perlawanan. Power nak mampos.



Carlos Quieroz

Jodoh terumbang-ambing Carlos Quieroz dengan pasukan Iran sememangnya bukan perkara yang boleh disorok-sorok. 6 tahun adalah satu tempoh yang agak lama bagi seorang jurulatih asing di negara Asia. Dan jika ia diterjemahkan dalam bentuk hubungan perkahwinan, sudah tentu tahun depan anak mereka akan masuk ke sekolah rendah. Selama 6 tahun inilah juga pelbagai pahit manis dilalui termasuk beberapa kali mahu meletakkan jawatan.

Apa yang beliau lakukan kepada pasukan Iran ini wajar diberikan kredit. Mereka melalui pelbagai kekangan termasuk sukar mendapatkan lawan untuk aksi persahabatan kelas A dek kerana perbezaan politik. Namun ini bukanlah alasan utama untuk Iran tunduk apabila bertemu negara asia yang lain dalam kempen kelayakan Piala Dunia.

Tahniah Carlos Quieroz! (berdiri dan menepuk tangan). Walaupun kerjayanya di Eropah gagal menyerlah. Namun aku berani meletakkan nama beliau sebaris dengan Philippe Troussier, Carlos Alberto Parreira dan Guus Hiddink. Di mana pula kedudukan Vingada?

Tuesday, November 28, 2017

Piala Dunia 2018: Sepanyol



Piala Dunia 2018:Sepanyol

4-6-0.

Pernah pada satu ketika, Negara Malaysia bergegar dengan berita jurulatih bola sepak mereka, Vingada mengumumkan akan menggunakan formasi 4-6-0 semasa bertemu dengan Hong Kong. Makanya Safiq Rahim pun diumumkan untuk menjadi 'false 9'. Selepas aku mendengar berita ini, aku secara peribadi berdekah-dekah di dalam jamban. Adakah ini satu bentuk penghinaan secara halus ala freemason kepada pasukan bola sepak handal - Sepanyol?

Semestinya ada antara kita masih ingat yang taktikal ini telah dipopularkan oleh Sepanyol sekitar tahun 2012 dahulu. Ya, ia dipopularkan oleh Sepanyol. Tetapi dihancurkan begitu sahaja tanpa bersalah oleh Malaysia. Gila. Dan ingin aku tegaskan sekali lagi, ia adalah penghinaan kepada bola sepak Sepanyol.

Jika pasukan Malaysia menjadikan Safiq Rahim sebagai 'false 9', Sepanyol ketika itu memilih Fabregas. Adakah ini maknanya Safiq Rahim setanding dengan Fabregas? Kahkahkah..

Okay, kita abaikan 4-6-0 versi Vingada buat sementara waktu. Mari kita kembali bercakap tentang pasukan Sepanyol.

Sepanyol sebenarnya semasa Piala Eropah 2012 sedang mengalami krisis ketiadaan penyerang yang jitu. Prestasi terumbang ambing Torres disulami ketiadaan David Villa yang cedera. Ketika Sepanyol mengamalkan taktikal ini, perlawanan yang melibatkan mereka amatlah bosan. Ini kerana kurangnya cubaan ke arah gol dek kerana mereka lebih mengutamakan penguasaan bola. Kalau menang pun cumalah satu gol sahaja. Bosan pun bosanlah. Janji menang. Ini dahlah kau tahan bola pun berterabur di kaki. Nak menang jauh sekali.

Pada Piala Dunia 2018 nanti bagaimanakah pula corak permainan pasukan Sepanyol yang serba handal bermain bola sepak ini? Filosopi bola sepak Sepanyol pernah gah, makmur dan harmoni dengan tiki takanya. Sebelum ia diterajang masuk ke dalam kubur pada Piala Dunia 2014 yang lepas.

Sudah tentu kita tidak sabar untuk melihat Sepanyol yang baru. Pasukan lemah seperti Jerman, Brazil, England dan Argentina pula pastinya berebut-rebut untuk bertemu Sepanyol di perlawanan akhir. Heh!

Penampilan Terakhir Sepanyol Sebagai Sepanyol?

Catalonia sudah berjaya keluar dari Sepanyol. Secara tidak langsung ia akan memberi kesan kepada pasukan bola sepak Sepanyol. Nama-nama seperti Sergio Roberto, Gerrard Pique, Marc Bartra, Jordi Alba, Sergio Busquets, Cesc Fabregas dan Ballerin antaranya akan lenyap dari pasukan Sepanyol. Yang tinggal dalam pasukan Sepanyol pula ialah De Gea, Sergio Ramos, Carvajal, Monreal, Thiago Alcantara, Isco, Saul, Ander Herrera, David Silva dan Morata.

Di atas kertas kelihatan setara sahaja kekuatan kedua pasukan. Namun begitu, apa yang mengagumkan ialah, walaupun mereka di dalam konflik semasa ini, pasukan Sepanyol masih boleh bersatu bermain dalam satu unit yang kukuh sehingga mereka sekali lagi layak ke Piala Dunia 2018 tanpa ada masalah yang besar. Ini termasuk menewaskan Itali dalam perlawanan kelayakan sekaligus menamatkan rekod pasukan Azzurri yang tidak kalah selama 11 tahun dalam kempen kelayakan Piala Dunia dan Piala Eropah. Ampuh.

Julen Lopetegui

Sebelum aku menggunakan google, terus terang aku tak berapa tahu sangat profil beliau selaku pemain bola sepak. Figura ini hanya aku tahu telah membawa pasukan bawah 19 dan 21 tahun pasukan Sepanyol menawan Eropah.

Antara pemain yang pernah bekerja bersama beliau ketika itu adalah Paco Alcácer, Suso, Jese, Gerard Deulofeu, David de Gea, Marc Bartra, Martín Montoya, Isco, Asier Illarramendi, Koke, Thiago Alcantara, Morata dan Rodrigo. Melihat nama-nama ini terbuktilah kenapa FA Sepanyol memilih beliau untuk menggantikan Vicente del Bosque.

Ini kerana kesinambungan hubungan antara pemain dan jurulatih sebenarnya amat penting. Lagi-lagi selepas apa yang berlaku kepada Sepanyol dalam Piala Dunia 2014 yang lalu, serta kegagalan mereka mempertahankan Piala Eropah 2016.

Setakat ini Julen Lopetegui adalah individu yang paling tepat untuk memberi kesegaran dalam pasukan Sepenyol sekaligus memacu Sepanyol semula ke puncak dunia.

Friday, November 17, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: 2050



Dari Kaki Ke Pena Hitam: 2050

Selepas Malaysia secara rasmi terlepas aksi Piala Asia, aku tidak berasa apa. Sedih tidak. Gembira pun tidak. Apa yang aku buat ialah makan nasik dengan lauk ikan tenggiri asam pedas seperti tiada apa musibah yang menimpa negara. Mungkin kerana sudah terlalu biasa dengan kekalahan. Aku menjadi lali. Tidak lut. Aku menengok sendiri pelbagai reaksi dilepaskan oleh seluruh umat Malaysia. Pecat Vingada. Amek pemain kacukan. Presiden FAM sila letak jawatan. Ambil segera jurulatih tempatan. Bila Irfan Bakti nak latih Malaysia? Ya, aku yakin ini semua adalah jenis desakan segera yang mahukan kejayaan segera. Aku secara peribadi pula merasakan semua ini perlu ditahan terlebih dahulu. Kenapa?

Ini kerana liga kita masih perlukan perubahan. Liga kita sakit. Perlu kepada ubat yang sangat handal. Jawapannya ada pada Presiden FAM. Kita berilah peluang kepada Presiden FAM yang baru ini untuk membuktikan sesuatu. Diakan power. Cuma aku syak mereka yang mahu Presiden FAM ini meletak jawatan segera mungkin dek kerana meluat dengan perilaku dan perkataan yang kadangkala keluar dari mulut beliau. Ya, aku juga kadangkala kecewa dengan beberapa tindakan beliau yang aku rasakan tak perlu pun menggelabah ayam keluarkan video yang tak patut-patut. Teruskan fokus pada bola sepak negara. Bola sepak negeri tu bagilah orang lain buat. Ye tak?

Dahulu aku pernah menulis tak henti-henti pasal Soltan Bola, mengharap beliau meletakkan jawatan, dan diganti dengan seorang muda yang lebih bersemangat dan bercita-cita tinggi. Nah. Sekarang kita sudah ada Presiden FAM yang power resume negerinya. Masa inilah kita perlu bagi sokongan sepadunya. Lagipun Kementerian sudah menetapkan sasaran layak ke Piala Dunia 2050. Ini benda bukan main-main. Ia perlukan sokongan ramai. Jika kita cintakan bola sepak, kita perlu bersama misi negara ini. Jadi buat masa ini, aku masih beranggapan Vingada perlu dikekalkan. Presiden FAM pun perlu diberi peluang. Cuma Vingada ni agak berusia bagi aku. Kalau dapat yang muda macam Villa-Boas tu sedap jugak. Harapan akulah. Kau orang pulak?

Sejak aku mula mengenali bola sepak, Malaysia tidak pernah ketandusan bakat muda. Tak perlulah aku ulang pasal ni. Aku dah pernah tulis lama dahulu. Jadi aku harap semua baka baik bola sepak sekarang ini akan bermain di liga yang lebih mantap dan hebat pada masa hadapan. Dan aku rasa inilah peranan yang sedang dimainkan oleh Football Malaysia LLP. Dengan pemantauan garang dan rapi dari Presiden FAM, kita bolehlah memasang sedikit harapan kepada masa depan bola sepak Malaysia. Setiap masa pun nak fikir negatif, payah jugak.

Satu perkara yang menggembirakan aku ialah orang politik politaik dalam bola sepak Malaysia sudah mula berasa gerun. Setiap gerak-geri perilaku mereka sentiasa dipantau oleh Presiden FAM. Tiada ruang untuk memenuhkan kantung peribadi lagi. Padan muka. Lama sangat hidup selesa dengan makan duit kerajaan negeri yang disalurkan ke bola sepak. Duit ADUN kau amek. Duit exco itu ini. Puih! Kalau tak selesa dan gembira, letak jawatan. Bagi mereka yang betul-betul ikhlas menguruskan bola sepak negeri. Aku cukup pantang jenis Menteri Besar yang menempel dekat Stadium cuma pada perlawanan akhir. Muat naik status facebook bagi ucap selamat berjuang macam dialah punca bola sepak negeri dia power. Ehhhhhhhh...Geram aku.

Sudahlah. Sebelum aku marah-marah tak tentu arah, baik aku berhenti menaip sekarang. Mana nak makan nasik lemak sedap malam-malam gini?

Ramalan: Bola sepak Malaysia sudah bertukar ketua. Kini aku harap Liga Malaysia berubah wajah. Apabila liga kita power, pemain yang power nak mampos akan muncul mencanak. Tapi aku risau jugak bila Presiden FAM umumkan 5 pemain import untuk tahun hadapan. Ermmmmmmmsss.

Wednesday, November 15, 2017

Piala Dunia 2018: Mesir.




Piala Dunia 2018: Mesir.

Revolusi Mesir 25, Januari 2011.

Rostam berdiri pegun di jendela asramanya. Di hadapannya rimbun pepohon kurma dipanah mentari. Dia merenung jauh melihat segerombolan umat Mesir berarak ke sana-sini. Pandangannya penuh dengan api perjuangan. Dia menoleh ke belakang. Terlihat kawan sekampungya sedang tergopoh-gapah mengemas pakaian serba ringkas untuk dibawa pulang ke Malaysia. Atas arahan kerajaan Malaysia yang aman damai dan bencikan kekecohan, maka pelajar Malaysia harus dibawa pulang sesegera mungkin sehinggalah keadaan kembali pulih di Mesir.

"Kau balik dulu. Kau balik Malaysia dulu. Nanti sampai negeri JDT sana kau kirimkan salam aku pada mak dan ayah aku ye Rahman."

"Macam mana dengan makwe kau nanti? Sabariah Imani? Kalau-kalau engkau mati nanti, boleh tak aku ambil beliau jadi bini?"

Gurauan Rahman tidak disambut dengan mesra oleh Rostam. Wajahnya masam mencuka. Pandangan matanya masih sama seperti tadi, penuh dengan api perjuangan. Satu keluhan maha berat dilepaskan di dalam rengkung.

Rostam nekad untuk tidak turut serta bersama belasan ribu pelajar Malaysia yang dibawa pulang dari Mesir ke Malaysia dengan menggunakan pesawat Hercules C-130. Hari ini dia akan turun ke Dataran Tahrir untuk melihat sendiri dengan biji matanya keruntuhan kerajaan Hosni Mubarak. Dijangkakan juga Wael Ghonim akan berucap dengan nada berkobar-kobar. Dan itulah kali terakhir sebenarnya Rahman berbual dengan Rostam secara muka ke muka. Sejak dari itu Rostam telah hilang bersama sejarah Revolusi Mesir dan Arab Spring. Tiada siapa pun tahu ke mana perginya Rostam. Di mana pun Rostam berada, moga beliau tenang sentiasa. Barangkali Rahman juga sudah selamat bernikah dengan Sabariah Imani di Dewan Felda Jengka sana.

Mengimbau tanggal 25 Januari, ia adalah merupakan titik penting dalam sejarah moden Mesir. Pada hari ini bekas diktator, Housni Mubarak, untuk pertama kalinya melihat sendiri amarah rakyat. Lebih dari 100,000 pendemonstransi berkumpul di Kairo, Alexandria, Suez dan serata kota-kota besar di Mesir.

"Rakyat menuntut kejatuhan rejim Mubarak," begitulah bunyi contengan di dinding-dinding kota serata Mesir pada bulan Januari 2011 yang lalu. Kira-kira 7 tahun yang lepas.


Kejayaan Bola Sepak Mesir.

Berdasarkan rekod FIFA, ini adalah kali ke-3 Mesir layak ke Piala Dunia. Kali pertama adalah pada tahun tahun 1934. Manakala pada tahun 1990 mereka layak untuk buat kali yang kedua. Pada tahun ini mereka berjaya seri dalam 2 perlawanan menentang Republic of Ireland dan Belanda. Namun tewas kepada England dalam perlawanan terakhir. Tamat kejohanan ini Mesir berada di tangga tercorot dengan 2 mata sahaja.

Jonas Salk pernah berkata 'The reward for work well done is the oppurtunity to do more'.

Maka dengan itu, usai 12 jam kejayaan layak ke Piala Dunia 2018 di Russia, Presiden Mesir, Abdul Fattah al-Sisi mengumumkan bonus sebanyak $US85,000 kepada setiap para pemain. Dah macam perangai Malaysia. Menang sikit bagi tanah. Menang dengan Hong Kong janji nak bagi duit. Menang Piala AFF dapat pangkat Datuk. Begitulah bola sepak dan ganjaran. Sukar untuk dipisahkan.

Tidak ketinggalan juga Mohamed Salah yang turut ditawarkan sebuah villa mewah daripada seorang saudagar kaya raya, Mamdouh Abbas. Namun begitu Salah dengan rendah hati telah menolak tawaran itu dan meminta Abbas mendermakannya ke kampung halaman beliau di Nagrig, Gharbiya.

Nampak tak? Tak semua pemain bola gilakan pangkat dan tanah sebenarnya. 

Regim Mohamed Salah

Selepas 28 tahun sangap Piala Dunia, akhirnya mereka berjaya layak dan akan berlaga keting dengan pasukan handalan dunia yang lain seperti Russia, Uruguay dan Arab Saudi. Mujur kejayaan Piala Afrika banyak mereka kecapi senggang mereka sunyi dari Piala Dunia. Ada jugaklah gula-gula untuk rakyat mereka. Bukan macam Malaysia, satu apa piala pun takde. Gula-gula buat taik gigi pun tak dapat bagi. Heh!

Tidak syak lagi Mohamed Salah akan mengetuai generasi baru Mesir di Piala Dunia tahun hadapan bersama-sama El Nenny dan Ahmed Hegazi antaranya. Juga beberapa muka veteran dalam pasukan ini seperti penjaga gol mereka, El-Hadary yang akan berusia 45 tahun apabila Piala Dunia berlangsung di Russia kelak sekaligus akan menjadi pemain paling tua membuat penampilan di Piala Dunia. Dan apa yang lebih menarik ialah El-Hadary diakui sendiri oleh Lagenda Chelsea Yang Power, Didier Drogba sebagai antara lawan terbaik yang pernah dihadapinya. Kau bayangkanlah sendiri betapa tangkasnya El-Hadary ini sehingga Drogba pun memuji-muji beliau.

Berbalik semula kepada perihal Mohamed Salah tadi. Dalam satu temubual selepas membantu Mesir layak ke Piala Dunia, dengan nafas turun naik dia berkata:

"Kami dengan ini sudah bersedia untuk membanggakan seluruh umat Mesir dan Afrika. Inilah hadiah dari kami untuk 100 juta rakyat Mesir yang bersama-sama sabar serta tenang dengan kami selama 28 tahun lamanya. Terima kasih."


Siapa Tak Kenal Hector Cuper Dia Ketiak Itam.

Héctor Cúper tiba di Mesir dengan reputasi gah dan mempunyai pengalaman luas melatih pasukan terkemuka seperti Inter Milan dan Valencia. Tidak seperti Malaysia yang menggaji entah siapa-siapa untuk pasukan bola sepaknya. Selepas di google barulah kita tahun siapakah sosok dari Portugis itu.

Héctor Cúper dikatakan mendapat slip gaji sebanyak $65,000 sebulan. Jadi sudah tentulah membawa Mesir ke Piala Dunia adalah sasaran utama FA Mesir. Dan apa yang lebih manis dia akhirnya berjaya melaksanakan tugasan ini.

Sebelum perlawanan menentang Congo, Héctor Cúper dipercayai diberi rawatan tekanan darah tinggi. Mungkin akibat tekanan yang melampau menjelang pertemuan dengan Congo.

Walaubagaimanapun nama Héctor Cúper kini sudah berada dalam lipatan sejarah bola sepak Mesir selaku jurulatih yang berjaya membawa Mesir ke Piala Dunia selepas 28 tahun. Bolehlah beliau berehat dengan tenang dan fokus pada Piala Dunia 2018 nanti.

Thursday, October 19, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam:Kerjasama FAM dengan Rayo Vallecano.

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Kerjasama FAM dengan Rayo Vallecano.

Laaaaamaaaaaa dahulu pernah juga FAM mengadakan kerjasama dengan kelab bola sepak luar antarabangsa. Antaranya dengan Chelsea, Cardiff City - menghantar pemain ke sana. Juga dengn QPR - menghantar Ong Kim Swee berguru di London. Ini adalah sekadar beberapa kelab sahaja yang aku sebutkan. Apakah hasilnya?

Kini pula dengan Rayo Vallecano pasukan yang sedang bermain di Liga Segunda Sepanyol. Musim lepas menamatkan liga di tangga ke-12. Musim ini pula sedang berada di tempat ke-5 selepas mengharungi 10 perlawanan.

Kenapa Rayo Vallecano. Kenapa bukan Mesir? Kenapa bukan Bosnia? Iceland? Thailand?

Ke mana arah bola sepak Malaysia yang mahu FAM bawak sebenarnya ni?


Sunday, October 8, 2017

Di Mana Mereka: Gareth Barry.

Di Mana Mereka: Gareth Barry.

Ramai daripada kita tahu yang Gareth Barry hari ini bermain di West Brom Albion. Beliau juga baru sahaja secara rasmi menjadi pemain yang mencatatkan penampilan terbanyak dalam Liga Perdana Inggeris. Dengan rekod sebanyak 632 penampilan, beliau berjaya mengatasi lagenda Manchester United - Ryan Giggs. Sebagai info tambahan nak bagi panjang tulisan ini - Ryan Giggs sebelum ini memintas rekod David James.

Gareth Barry memulakan kariernya dengan Aston Villa pada tahun 1998. Di sinilah dia menempa nama sebagai antara pemain tengah terbaik di England. Bukan di dunia. Merasalah juga beliau Piala Kejuaraan Intertoto pada tahun 2001. Entah piala apelah nama macam syarikat perjudian ajek.

Namun malang sekali kewujudannya dalam kem bola sepak England sentiasa dibayangi dengan kelincahan Frank Lampard dan Steven Gerrard. Walau macam mana power mak nenek sekalipun aksi Barry untuk Aston Villa, namanya dalam pasukan England adalah bukan yang pertama. Gagal.

Walaubagaimanapun kelibat beliau secara tiba-tiba didambakan untuk kelab Manchester Biru. Mungkin untuk melengkapkan kuota pemain tempatan berbangsa Inggeris maka City pun membelanjakan £12 Juta untuk khidmatnya selama 5 tahun.

Seperti biasa barangsiapa yang berpindah dari kelab cap ayam kepada kelab kaya raya mestilah akan dikecam. Tidak ketinggalan juga Barry si Lagenda Villa. Kata-kata nista seperti mata duitan, kacang lupakan kulit segera menjadi zikir di bibir pendukung setia pasukan Aston Villa. Tetapi Barry tenang membalasnya dengan kejuaraan Liga Perdana Inggeris pada musim 2011-12 berserta Piala FA pada musim sebelumnya.

Kebanjiran pengurus di Manchester City bermakna pemain juga perlu ditukar ganti. Barry akhirnya dipinjamkan ke Everton Football Club pada musim 2013-14. Semusim selepas itu beliau menjadi pemain tetap di Everton dan mengumpul 131 penampilan. Piala kejuaraan tiada. Kesian.

Kini dia bermain untuk pasukan West Bromwich Albion dan bercadang untuk meneruskan kerja sebagai pemain bola sepak sehingga berusia 40 tahun. Tak cukup lagi ke simpanan KWSP dia ni?

Sementara itu Barry juga ada mendedahkan bahawa senaman yoga menjadikan dirinya kekal cergas dan bertenaga. Selain tidak merokok dan menjauhkan diri daripada lorong pelacuran.

Apabila ditanya kepadanya perlawanan manakah yang menjadi kegemaran beliau? Begini jawapannya sambil menekup mulut.

"Perlawanan paling sedap sudah tentu ketika kami Manchester City berkenduri gol menewaskan Manchester United 6-1. KahKahKah."


Monday, September 18, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.


Dari Kaki Ke Pena Hitam: Mengharap Sead Kolasinac.

Sebenarnya aku nak tulis serba sedikit pasal Sead Kolasinac ni sebelum perlawanan antara Chelsea dan Asenal. Malangnya ia bertembung dengan waktu prima kemunculan video Fathia Latiff yang rancak menunjuk pusat. Pada malam tersebut dua tetingkap laman sesawang aku buka serentak. Sead Kolasinac dan Fathia Latiff. Namun akhirnya laman sesawang Fathia Latiff berjaya menewaskan Sead Kolasinac tanpa melawan. Jadi aku batalkan niat menulis tentang pemain ini sebelum perlawanan Chelsea-Arsenal. Dan menyimpannya sehingga tamat laga kedua pasukan ini.

Sebenarnya tidak sukar untuk Kolasinac membuatkan minat aku terbit padanya. Empat penampilan mantap dalam Liga Perdana Inggeris dengan satu gol menarik dalam Piala Europa menjadi penanda arasnya setakat ini. Berbadan tegap serupa mesin basuh 20kg. Inilah ciri-ciri pemain pertahanan yang diidamkan oleh jurulatih seluruh dunia kecuali Malaysia. Ini kerana sebagai contoh Malaysia masih percaya dengan pemain kecil molek seperti Nazirul Naim dalam tugasan bertahan. Untuk kali ini kita biarkan hal ini barang seketika.

Jangkaan aku hampir tepat sebenarnya apabila Kolasinac mendatangkan kesukaran kepada Chelsea sehinggakan David Luiz terpaksa berkorban demi pasukan kami. Walaupun pada dasarnya tindakan Luiz itu berpunca daripada Alexis Sanchez yang terhegeh-hegeh mengejarnya dari belakang dan mendatangkan kemarahan Luiz. Luiz adalah bangsa Brazil. Bangsa Brazil pantang disauk kakinya dari belakang. Kelak ia akan membangkitkan baran di jiwa.

Berbalik kepada hal Kolasinac tadi. Adakah pemain ini jawapan kepada permulaan hambar pasukan Arsenal musim ini? Inikah kombinasi pemain dan taktikal paling mapan serta lestari buat Arsenal apabila menghadapi enam pasukan atasan liga? Hanya masa yang akan tentukan. Dan tidak salah buat penganut The Gunners mengharap pada Kolasinac. Kesian jugek Arsenal duduk nombor dua belas ni aku tengok. Dengan pasukan lawan yang tinggal sepuluh pemain pun tak dapat nak kalahkan. Lemah.

Sementara itu kem Chelsea masih tenang walapun tidak beroleh tiga mata minggu ini dan David Luiz pula digantung tiga perlawanan - termasuk pertemuan menentang Manchester City pada 1 Oktober nanti. Tidak ada apa yang perlu dirisaukan oleh adik kakak sekalian kerana Chelsea adalah sebuah pasukan power segenap posisi berlapis-lapis dahsyatnya. Umum sudah mengetahuinya sejak dahulu lagi.

Okaylah aku nak tido. Semoga berjumpa lagi. Selamat Tahun Baru 1439 Hijriah.

Nota bola: Aku sempat nengok game Juventus lawan Sassulo. Punyalah power Paulo Dybala 10 skor hatrik. Sergio Aguero pun sumbat hatrik minggu ni. Adakah dua ekor ini mampu mengubah nasib Argentina dalam kempen kelayakan Piala Dunia nanti? Hah!

Monday, September 11, 2017

Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah



Dari Kaki Ke Pena Hitam: Menghisap Dadah

Mengikut kajian dari tahun 2012 sehingga 2014, sebuah tempat bernama Liverpool telah mencatatkan rekod seramai 116 orang manusia mati kerana kesalahan pengambilan dadah. Manakala bagi musim 2014/15 pula seramai 278 umat Liverpool dibawa ke Hospital Besar atas masalah dadah dan yang berkaitan dengannya. Ini bersamaan dengan 58 orang dari 100,000 penduduk - yang tertinggi di England. Hanya di Liverpool. Bukan London, bukan Manchester. Hanya di Liverpool. Ini adalah fakta dan bukan cerita rekaan.

Dahulu seorang pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang pernah berkata.

"Sebelum game bola jangan sesekali berani isap dadah. Jika isap membawa padah."

Selepas itu si pujangga tua berjambang kuning dari Gunung Ledang ini mengulanginya dalam bahasa Inggeris pula.

"You should not dare to suck the drug before the football game. It is danger."

Cilake jugek dah macam guna google translate pulak. Aku dengar amanat ni pun masa dalam mimpi aku selepas selesai solat Maghrib. Macam nak percaya, macam tidak. Bukannya apa takut jelmaan syaitan pulek. Tetapi selepas menonton sendiri perlawanan antara Liverpool dan Manchester Biru Cair, aku menjadi percaya akan mimpi ini.

Sedara-sedari sekalian, cikebum cikebum, itulah yang dilakukan oleh Ragnar Klavan, Joël Matip, Alberto Moreno dan seorang lagi pertahanan tahap MSSD pasukan Liverpool FC - Alex Arnold. Apakah signifikannya semua ini?

Jika bukan angkara dadah, masakan mereka berperangai khayal melepaskan 5 gol sekaligus tanpa rasa malu. Sepatutnya selepas perlawanan menentang Manchester City hari tu, adalah lebih afdal dilakukan ujian air kencing ke atas mereka berempat ini. Dan kita semua masih ingat apa yang berlaku kepada Mamadou Sakho. Tapayalah kita pergi jauh bercerita tentang masalah taktikal Klop dan kekhilafan sang pengadil. Kad merah mak nenek Mane dan segala hal berkaitannya. Puncanya adalah dadah. Dadah adalah musuh negara. Bukan sahaja di Malaysia, malahan juga England. Bermain bola sepak di bawah pengaruh dadah ni akibatnya sangat  buruk. Sebagai contoh pasukan bola sepak Malaysia juga pernah melepaskan 10 gol gaya isap dadah.

Tidak mengapalah. Kita doakan pasukan Liverpool insaf dan segera bertaubat. Mereka pun akan melayan kunjungan Sevilla dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Champions League pada hari Rabu ni nanti. Moga perkara yang baik-baik sahaja mengunjungi Anfield. Amiiiiiiiiiiiiin.

Sementara itu, Alvaro Morata setakat ini sudahpun menjaringkan 3 gol dan 2 bantuan gol dalam 3 penampilannya di Liga Perdana Inggeris. Punyalah power. Okay itu ajek aku nak kabor.

Nota Bola: Jika sesiapa mahukan ulasan mingguan berat sebelah lebih ke arah kem Manchester United, sila ke laman fb Ahmad Arieff Atan. Dia punya pasallah buat aku semangat nak menaip semula secara konsisten. Tapi aku musykil, masa Moyes dengan Van Gaal jaga Manchester United dulu sahabat aku ni lepak mana?