Di mana mereka? Francesco Toldo.
15 tahun yang lalu...
29 June 2000 ; Amsterdam ArenA - Amsterdam.
Toldo hanya menggeleng-gelengkan kepalanya apabila melihat pertahanannya yang paling kacak Zambrotta dilayangkan kad kuning kedua sekaligus menghantarnya pulang lebih awal ke bilik persalinan. Dengan hanya 10 orang pemain, Italy sedikit pincang. Manakala Belanda berleluasa menguasai permainan.
Selang 4 minit selepas itu Belanda diberikan sepakan penalti dek akibat terlalu bertahan. Pengadil dari Jerman, Markus Merk menganugerahkan Belanda sepakan penalti selepas mendapati baju Patrick Kluivert ditarik oleh seorang lagi pertahanan muda kacak bergaya Itali iaitu Alessandro Nesta, di dalam kotak penalti.
Beberapa pemain Itali mengaruk seperti kerasukan polong. Takdir seolah-olah tidak berpihak kepada Azzurri. Kapitan Maldini dan Fabio Cannavaro mula mengerumuni Markus Merk. Entah apa yang dicarutkan pun tidak jelas didengar. Pemain veteran Demetrio Albertini meletak tangan di kepala tanda kehampaan. Hanya itu yang beliau mampu lakukan ketika ini. Entah berapa kali agaknya dia terpaksa melalui situasi seperti ini bersama Itali.
Toldo turut serta bersama Luigi Di Biagio, Alessandro Del Piero yang cuba untuk bertikam lidah dengan Markus Merk. Sementara itu Markus Merk buat muka selamba sambil hujung kasutnya menguis-nguis rumput. Tangan kirinya diangkat, tanda keputusan penalti itu telah muktamad,
Dari satu sudut yang lain Nesta masih terkejut dan kebingungan. Sambil membetulkan getah ikatan rambutnya dia bersiul-siul kecil melagukan rentak Cindai supaya hatinya tenang apabila teringatkan senyuman manis Siti Nurhaliza. Takdelah dia rasa bersalah sangat.
Sementara itu para pemain Belanda hanya memerhatikan gelagat pasukan Itali yang tidak tentu arah.
"Padan muko," bisik Edgar Davids yang berkaca mata kepada Dennis Bergkamp yang kemudiannya berlalu ke tepi padang untuk berbincang sesuatu dengan jurulatih Frank Rijkaard. Frank Rijkaard pula kelihatan masih tenang, dia masak sangat dengan taktikal bertahan pasukan Itali. Ya, salah satu seni dalam bola sepak yang boleh memakan tuan. Sempat juga Rijkaard menjeling rakan sejawatnya Dino Zoff yang kelihatan masih meminta penjelasan dari pegawai perlawanan di tepi padang.
Del Piero berlari kencang ke arah Toldo apabila melihat kapten Belanda sendiri, Frank de Boer yang akan mengambil sepakan penalti tersebut. Segera dia mendekatkan kepalanya dengan Toldo.
"Deme terobang jek sebelah kiri. Jangan ghiso. Teman yakin bebenor kali ini teman betol."
"Ha yolaaah," balas Toldo ringaks. Debar di hatinya hanya Tuhan sahaja yang tahu.
Frank De Boer meletakkan bola dengan cermat dan mengambil beberapa langkah ke belakang. Dengan penuh yakin dia berlari lalu menendang bola ke kanan gawang. Toldo yang percaya dengan Del Piero terbang ke kirinya lalu menepis bola keluar. Serentak dengan itu, Toldo melompat-lompat kegembiraan kerana berjaya menyelamatkan sepakan penalti De Boer.
Para pemain Itali berkerumun memeluk Toldo. Yahooooooooooooooo!!! Puas!!! Gawang Itali terselamat seketika buat masa ini daripada dibocori.
Krinnnnnnggggggggggg!!!!
Jam loceng berbunyi.
"Mimpi lagi aku rupanya."
Toldo melangkah longlai ke bilik air untuk mandi. Dia masih dibayangi zaman kegemilangannya. Pertemuan dengan Belanda itu adalah antara kemuncak dalam kariernya. Dia turut menyelamatkan satu lagi penalti daripada Patrick Kluivert dalam masa sebenar perlawanan. Dengan hanya 10 orang pemain Itali berjaya menewaskan Belanda juga dalam sepakan penalti dengan skor 3-1. Sekali lagi Toldo cemerlang menepis sepakan Bosvelt dan De Boer. Manakala sepakan Stam tinggi melangit.
Dengan kejayaan membawa Itali keperlawanan akhir, Toldo berjaya menempatkan diri dalam kesebelasan pilihan untuk Kejohanan Eropah 2000 tersebut meskipun tewas secara sadis kepada Perancis di perlawanan akhir yang juga penuh emosi dan tragis.
Selesai mandi dan bersiap lebih kurang, Toldo membancuh kopi dan mengambil beberapa keping biskut mentega untuk dijadikan sarapan buat mengalas perutnya yang kebulur. Sebatang cerut Colombia dikeluarkan dari kotak. Cerut dinyalakan dengan api serentak dilakukan bersama sedutan. Asap berkepul-kepul mula memenuhi ruang anjung tempatnya bersarapan. Dia termenung jauh. Termenung memikirkan apalah nasibnya selepas ini.
Posted via Blogaway