There was an error in this gadget

Wednesday, December 24, 2014

Segmen Khas Idola: Dato' Rozabil Abdul Rahman

Senyumannya manis, semanis tebu. Wajahnya tembam, idaman sang cermin. Segak bergaya secukup rasa.

Memperkenalkan.....Dato' Rozabil Abdul Rahman. Figura di sebalik huru-hara tanpa kita sedari.

1) Presiden FA Perlis.

Perlis FA tidak bayar gaji pemain yang tertunggak sejak 6 bulan lepas.

2) Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia.

Padang Stadium Nasional yang subur serupa ladang kacang botol.

3) Pengurus Harimau Muda B

Berjaya menduduki tangga tercorot dalam Liga Singapura 2014.

Aku masih termenung jauh memikirkan masih ada manusia macam gini hidup tenang berlegar-legar dalam arena sokan kita. Aku hairan...hairan aku..Dato' tu. Dato' woih!!!


Posted via Blogaway

Sunday, December 21, 2014

Kenapa Aku Tengok Harimau Malaya Begitu Terkial-kial Di Rantau Asia Tenggara?


Kenapa Harimau Malaya Begitu Terkial-kial di rantau Asia Tenggara?

Dari mana aku nak mula ni? Aku pun jadi serba-salah. Bagi aku simpan Keris Pusaka dalam kain kuning dulu.

Hah? Apa? Malaysia kalah? Suka? Sedih? Terpulanglah pada kehendak masing-masing. Aku okay jek....

Tapi aku secara peribadi bergembira dengan kekalahan ini. Kerana ia sepatutnya segera dapat menyedarkan FAM betapa pentingnya perubahan drastik dalam budaya bola sepak di Malaysia. Cuma aku tak pasti berapa banyak lagi kekecewaan yang kita semua perlu tanggung untuk menyedarkan FAM dan mereka yang dipertanggungjawabkan dalam menjaga hal bola sepak di Malaysia.

Aku tak nafikan pembangunan bola sepak di Malaysia ini amat bagus. Aku berikan beberapa contoh. Dahulu kita ada skuad projek Olimpik 1996 yang dibimbing oleh ketua jurulatih berpengalaman dari Perancis yang begitu tegas sifatnya serta mempunyai etika profesionalisme yang tinggi iaitu Mr. Claude Le Roy. Beliau dibantu oleh Encik Irfan Bakti dan Encik Lim Chuan Chin sebagai jurulatih penjaga gol. Mereka ini bukan calang-calang individu. Namun di mana pengakhiran pemain-pemain dalam skuad ini?

Kemudian kita ada skuad Piala Dunia Belia 1997 yang dilatih oleh Hatem Souissi yang bermisai lagi lebat daripada Wak Doyok. Masa ini nama-nama V. Saravanan, Gilbert Cassidy Gawing, Mohd Sany Muhammad Fahmi, Nik Ahmad Fadly Nik Leh dan Tengku Hazman Raja Hassan antaranya menjadi bualan di jalanan. Mereka berpeluang bergesel keting dengan Fabián Carini, Marcelo Zalayeta dan Nicolás Olivera. Tetapi di manakah pemain Malaysia ini berada ketika Fabián Carini menjadi penjaga gol pilihan ke-4 pasukan Inter Milan di belakang Francesco Toldo, Júlio César dan Paolo Orlandoni?

Skuad Rajagopal pula yang terdiri daripada bakat hebat dari Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya menggegar Asia Tenggara pada 2009 dan 2010 sebelum dimalukan oleh Singapura untuk terkandas dalam kelayakan Piala Dunia 2014. Dan sehingga kini sebahagian besar kelompok pemain ini berada dalam skuad utama Harimau Malaya.

Beberapa tahun dahulu kita mempunyai skuad Harimau Muda bimbingan Ong Kim Swee yang seolah-olah mampu menembusi tembok ASIA. Setakat mana pula bakat Irfan Fazail, Gary Stevan Robbat mahupun Nazmi Faiz berjaya diketengahkan?

Dan terbaru kita masih lagi segar dengan pencapaian skuad Bawah 16 negara yang hanya tersingkir di pentas suku akhir Kejohanan Asia Bawah 16 Tahun. Juga penubuhan Frenz United Football Academy. Serta Projek Program Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN) yang mana sedang di selenggarakan oleh lagenda Lim Teong Kim yang amat disegani di Bayern Munich.
Persoalan besar di sini ialah kemana nanti berakhirnya limpahan bakat-bakat ini? Adakah hanya cukup dengan status gah di benua Asia Tenggara barang dua hingga tiga tahun dan kemudiannya kembali ke fitrah asal iaitu bergelut untuk mencapai kemenangan dengan pasukan seperti Myanmar?

Kita ada penyokong yang besar semangatnya. Kita ada fasiliti bertaraf dunia. Namun malang sekali tanpa kita sedari kita mempunyai sebuah liga kecil yang hanya ditubuhkan untuk berubah-ubah formatnya setiap tahun. Penswastaan liga yang sepatutnya dilaksanakan sepenuhnya pada 2015 akan ditangguhkan ke satu tarikh lain. Dalam masa yang sama juga FAM mengizinkan setiap pasukan di Liga Malaysia tahun depan menurunkan kesemua 4 pemain import dalam satu perlawanan. Dan aku melihat perkara ini amat merbahaya. Sudahlah kita punya jumlah pemain berbakat yang terhad. Kini mereka terpaksa pula bersaing dengan pemain import yang mana kita tahu secara automatiknya akan menjadi pilihan utama setiap jurulatih dalam pasukan yang bermain di Liga Malaysia.

Bagi aku, FAM badan berwajib yang mengelolakan sukan bola sepak negara mempunyai tugas yang berat selepas ini untuk membangunkan semula bola sepak negara. Wujudkan gaya permainan yang baharu dan lebih berkesan serta pemerkasaan terhadap Liga Malaysia. Kelab-kelab bola sepak yang diuruskan secara POWER NAK MAMPOS  macam JDT harus ditambah agar 'pool' pemain dapat diperluaskan. Dan apabila pasukan telah bertambah, secara tidak langsung perlawanan kompetitif dalam liga juga akan bertambah. 22 perlawanan liga untuk semusim adalah terlalu sedikit dengan peluang pemain tempatan bermain semakin terhad. Penat kalau main banyak perlawanan semusim? Engko berhenti jelah main bola kalau macam gitu.

Sudahlah. Setakat ini sahaja yang aku nak tuliskan. Jadik aku takkan pernah salahkan kawan-kawan aku bila ada yang cakap "Ini yang aku malas layan bola sepak Asia Tenggara ni".

Posted via Blogaway

Saturday, December 13, 2014

Bertenanglah Andy Perjalanan Masih Jauh.


Bertenanglah Andy Perjalanan Masih Jauh.

Sam Allardyce ataupun Big Sam bukanlah figura asing dalam kancah Liga Inggeris. Pada sebahagian besar musim lalu, masa depan beliau sentiasa terumbang ambing dan tidak menentu. Ada laporan mengatakan David Moyes, Tony Pulis dan pengurus Sunderland, Gus Poyet menjadi pilihan lembaga pengarah di Upton Park untuk menggantikan Big Sam.

Namun setakat 15 perlawanan ini, nasib Big Sam sangat berbeza berbanding apa yang telah beliau lalui musim lepas. Kini West Ham berada pada tempat ke-4 ekoran kejayaan memungut 3 mata dalam 3 perlawanan berturut-turut bermula dengan menewaskan Newcastle, West Brom dan seterusnya Swansea pada minggu lepas. Pada pertemuan dengan Swansea, aksi Andy Caroll yang menyumbat 2 gol melalui tandukan banyak diperkatakan di serata dunia. Di twitter sahaja ia sudah menjadi trending seluruh cakerawala. Adakah penyerang kebangsaan England ini sudah dilahirkan semula? Entahlah..

Andy Caroll adalah pemain kebanggaan West Ham. Dia hampir tidak boleh ditewaskan di udara. Geordie yang tinggi lampai ini dikenali ramai kerana mampu mempermain-mainkan pertahanan lawan. Dengan Shukor Adan mungkin tidak sama sekali. Musim lepas dia tidak banyak menyepak bola di atas padang ekoran masalah kecederaan yang beliau alami. Namun musim ini  Andy Caroll sudah mula bersuara lantang dengan melaungkan keyakinan untuk mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris. Walhal baru skor 2 gol dan bermain dalam 5 perlawanan sahaja. Ini membuatkan Chelsea dan Manchester bersaudara perlu lebih berhati-hati dan sentiasa memerhatikan perkembangan pasukan West Ham. Sekali-sekala nengok-nengoklah tim bawahan ni. Mereka penuh dengan kejutan.

Pasukan West Ham sebenarnya beruntung pada musim ini kerana mereka memiliki barisan pemain yang berada pada prestasi terbaik masing-masing. Kecemerlangan Winston Reid di bahagian pertahanan misalnya berjaya menarik perhatian Liverpool dan Arsenal yang haus dalam posisi ini. Carl Jenkinson pula beraksi dengan sangat baik berbanding 37 penampilannya bersama Arsenal sejak tahun 2011 yang mana sentiasa menjadi macai kepada Bacary Sagna. Di bahagian tengah mereka mempunyai Alex Song yang masih berkualiti dan merupakan satu penambahan yang baik dalam skuad West Ham musim ini. Sementara itu, Stewart Downing pula telahpun melakukan 6 bantuan gol dalam 14 penampilannya setakat ini melangkaui apa yang telah dia lalui sepanjang 65 perlawanan ketika bersama pasukan Liverpool (hanya 5 bantuan gol).

Di bahagian serangan West Ham mempunyai bintang Piala Dunia dari Ecuador, Enner Valencia dan juga Diafra Sakho. Diafra Sakho sendiri setakat ini telahpun menjaringkan 7 gol dalam 8 penampilannya di Liga Perdana Inggeris. Hasilnya,  West Ham berjaya mengumpul 27 mata selepas 15 perlawanan sekaligus ia merupakan pencapaian terbaik mereka dalam sejarah Liga Perdana Inggeris.

Hari ini West Ham akan bertandang ke Stadium of Light untuk beradu tenaga dengan Sunderland. Dan sebagai rekod, The Hammers telah gagal menjaringkan gol dalam 4 pertemuan menentang Sunderland dalam Liga Perdana Inggeris. Tetapi aku secara peribadi merasakan 3 mata akan menjadi milik West Ham dan seterusnya mereka akan berada di tangga ketiga. Selepas itu Manchester United pula tewas dengan pasukan yang sedang bermurung duka iaitu Liverpool. Juga dalam masa yang sama Burnley berjaya menyekat Southampton daripada memungut 3 mata

Dengan persaingan musim ini masih lagi terbuka luas. Mana-mana pasukan mampu melakar kejutan. Tidak kiralah sama ada pasukan itu tidur nyenyak pada pertengahan minggu ataupun bermain di pertengahan minggu hanya untuk melengkapkan jadual.

Friday, December 12, 2014

Dollah Salleh Apa Yang Engko Dah Buat?

 


Dollah Salleh Apa Yang Engko Dah Buat?

Sebenarnya aku masih lagi nak menangis memikirkan Malaysia menang dengan Vietnam ni. Aku yang pergi nengok satu perlawanan persahabatan antara Malaysia dengan Syiria itu hari memang awal-awal lagi menjangkakan pasukan Harimau Malaya kali ini akan bungkus. Dengan 'set of player' yang lebih kurang sama dengan jurulatih Datuk Rajagopal, aku selaku penyokong yang bersorak ketika gol, memaki hamun kalau pemain tanduk bola guna hidung memang tidak meletakkan harapan sejauh ini. Ya, sejauh melangkah ke peringkat akhir. Dan bagi aku kejayaan ini wajar kita raikan buat seketika tanpa terlebih-lebih. Bak kata pepatah jangan over sangat kalau kita menilai dari segi persembahan seni bola sepak yang dipamerkan setakat ini. Tapi daripada segi keputusan, aku bagi 'A' pada skuad asuhan Dollah Salleh kali ini. Pasukan Dollah Salleh adalah pasukan yang berorientasikan keputusan dan bukannya permainan cantik semata-mata.

Dollah Salleh memulakan aksi kedua bertemu Vietnam dengan melakukan 5 pertukaran berbanding perlawanan pertama. Meletakkan S.Kunanlan sebagai pemain pertahanan kanan. Menyingkirkan Mahali Jasuli. Ramai yang tidak tahu ini antara posisi yang pernah dimainkan oleh Kunanlan ketika bersama Negeri Sembilan dahulu dan kadangkala ketika beraksi untuk Selangor musim ini. Shukor Adan bermain semula selepas penggantungan kad kuning. Berpasangan dengan Fadli Shas di bahagian pertahanan tengah. 

Sebelum itu aku menengok pertukaran antara Khairul Fahmi dengan Farizal Marlias juga sebagai sesuatu yang agak misteri. Namun ia boleh dilakukan memandangkan kebolehan mereka lebih kurang sama sahaja. Tetapi misterinya kenapa Farizal bermain pada malam tadi masih kekal misteri sehingga saat ini. 

Di bahagian tengah Dollah Salleh meletakkan Badri Radzi yang turun buat pertama kalinya sebagai pemain utama.  Amri Yahyah pula bermain di posisi sayap kiri milik Kunanlan sebelum ini. Sambil Indra Putra mengambil alih peranan Safee Sali sebagai pasangan serangan untuk Mat Yo. 

Nah!!! Inilah perubahan yang dilakukan Dollah Salleh ketika nyawa pasukan Harimau Malaya betol-betol di hujung tanduk. Sesuatu yang tidak berani dilakukan oleh jurulatih sebelum ini. Ini aku tak masukkan lagi peranan Azamuddin Akil yang tidak banyak naik ke atas sebaliknya lebih membantu pertahanan dan inilah karekter jurulatih yang kita mahukan. Orang kata berani mencuba alang-alang perlawanan itu sendiri sudah bagaikan yang terakhir untuk mereka. Dan secara bagusnya pemain-pemain kali ini memberikan respon yang amat positif. 

Bagaimana mereka membalas kepercayaan yang Dollah Salleh berikan? Mari sini aku ceritakan... 

1) Gol Pertama : Kunanlan memintas hantaran pihak lawan dari sebelah kanan. Dia kemudiannya menghantar bola tersebut kepada Azamuddin Akil yang seterusnya menyilangkan kepada Indra yang telah berlari ke dalam kotak penalti. Indra dijatuhkan dan penalti untuk Malaysia. Gol!!!! Sepakan penalti penuh yakin dari Safiq Rahim. Gol ke-4 beliau dalam kejohanan ini dan mendahului carta penjaring terbanyak. 

2) Gol Kedua : Zubir Azmi memenangi perebutan bola di sebelah kiri, bola dihantar kepada Amri. Amri melambungkan bola ke hadapan untuk mencari Mat Yo. Penjaga gol Vietnam dan dua orang pertahanannya menjadi pening. "Amri bagi siapa? Amri bagi siapa?". Sepantas kilat Mat Yo mencelah di antara dua pertahanan tersebut dan sempat menguis bola menewaskan penjaga gol Vietnam yang sudah pun terlajak ke depan. 

3) Gol Ketiga : Hantaran cantik Piya mencari Indra di sebelah kiri berjaya memecah barisan pertahanan Vietnam. Indra meluru ke dalam kawasan Vietnam dan melakukan hantaran silang. Bola terkena pertahanan Vietnam, Dinh Tien Thanh lalu menerjah gawang gol buat kali ke-3. 

4) Gol Keempat : Malaysia dengan powernya menjaringkan gol keempat melalui sepakan penjuru Piya. Fadhli menanduk bola kepada Shukor yang mudah menewaskan penjaga gol Vietnam dengan tandukan dari jarak dekat. Lambang bendera di dadanya dicium penuh bangga oleh Kapitan Shukor. 


 


Kejayaan ini memadam rekod duka pasukan Harimau Malaya yang tidak pernah menang sejak tahun 1991 di Stadium My Dinh, Vietnam. Lawan seterunya nanti bukannya pasukan selengit Liverpool. Lawan Harimau Malaya adalah Thailand. Semangat 1 Malaysia perlu disematkan dalam jiwa setiap pemain Harimau Malaya. Kemenangan Didahulukan Piala Diutamakan. Kita mesti menewaskan Thailand dan seterunya menjulang sekali lagi Piala AFF Suzuki ini. Jika dahulu memenangi Piala Tiger ini ibarat bir Tiger masuk membasahi tekak yang kekeringan. Ia berbeza kali ini kerana kejayaan menjulang Piala Suzuki pula bagaikan sireh pulang ke gagang kerana ia hanya berhak berada dalam kabinet di Wisma FAM. 

Sebagai seorang pendukung tegar bola sepak Malaysia, aku menyeru semangat Ngap Sayot dan roh pejuang-pejuang Jang seperti Dato Siamang Gagap, agar memenuhi setiap ruang pelusuk di Tanah Melayu sekaligus memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Harimau Malaya. 

Bersediakah kita semua untuk berdiri teguh di belakang Harimau Malaya? Tidak kisahlah sama ada kita pergi ke stadium kelak ataupun menonton di rumah makwe tercinta. Setiap sokongan dan doa itu amat penting untuk mereka. Lupakan sementara keputusan serta permainan buruk yang lalu. Kini perlawanan akhir menjadi taruhan. Thailand bukan lawan yang mudah, tetapi tidak mustahil untuk ditewaskan. 

KAMI DATANG!!!! KAMI DATANG!!!! DEMI MALAYSIA DARUL POWER!!!! HIAAAAAAAAAAAAAAAAAPPPP!!!!!!!!!!!!!!!!

Posted via Blogaway

Monday, December 8, 2014

Kelemahan Aksi Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.


Kelemahan Aksi Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.

Apa macam kalah dengan Vietnam? Terkejut? Rileeeeeks? Boleh terseyum sehingga menampakkan lesung pipit? Terpulanglah pada cara kalian semua nak menerima kekalahan pada laga pertama ini. Aku pula seperti biasa meneruskan kesederhanaan dalam menyokong bola sepak Malaysia iaitu mencarut ketika Malaysia kalah. Nak sembang mende lagi? Main depan penyokong sendiri dalam Stadium Nasional Shah Alam (Bukit Jalil dah boleh tutup buat acara konsert jek kat sana lagi bagus) pun masih belum memberi jaminan kemenangan. Ranking? Memang Vietnam jauh lebih baik dari Malaysia daripada segi ranking FIFA yang kita memang tahu FAM tak berapa kisah sangat pasal benda ni semua. Badan sokan POWER NAK MAMPOS la katakan.. 

Itu hari aku dah bagitau corak permainan yang dipamerkan oleh skuad Dollah Salleh tiada visi, misi dan variasi. Pemain sayap Azamuddin Akil dan S. Kunanlan menepati ramalan peribadi aku yang mereka berdua ini adalah tidak berguna. Kedua mereka tidak mampu menahan bola dengan baik, gagal melakukan hantaran lintang yang memukau serta tidak tahu hendak membuka ruang dalam permainan. Rempah bangang ini diadun rapi dengan Safee Sali serta Mat Yo yang sentiasa tidak berada pada posisi terbaik untuk menerima hantaran bagi boleh menjaringkan gol. Mereka berdua hanya mampu berlari ke sana ke mari sambil di dalam hati berkata "Aku main mane? Aku main mane?" Itu aku belum sembang pasal Safee Yang Menyandar ketika sepakan penjuru hendak diambil.
Dengan corak permainan macam gini akhirnya Harimau Malaya menjadi habuan celah gigi Vietnam sahaja. Ini semua sudah aku jangkakan akan berlaku. Kemudiannya apabila fisio Vietnam berlari masuk ke dalam padang. Barulah kita sedar yang fisio Vitenam pun lagi laju dari pemain Malaysia. 

Selesai permainan di dalam padang, penyokong Vietnam pula dibelasah di luar padang. Entah apa yang dimarahkan sangat pun aku tak tahu. Mungkin sebab inilah Singapura menyekat segelintir penyokong Malaysia daripada memasuki stadium di sana tempohari dan ada betolnya tindakan tersebut kerana ia melibatkan nyawa manusia. Aku cadangkan kita anto pembuli-pembuli ni ke Palestin. Pergi lawan Zionis sana. Nampak macam terer sangat. Cubalah kalau berani.

Nampaknya bola sepak Malaysia yang sudah sakit bermula dari tingkat atas Wisma FAM kini sudah merebak sampai ke penyokongnya pula. Walaupun tidak semua, ia sudah cukup memalukan kita sebagai Wilayah Satu Malaysia yang dikenali sebagai negara yang aman dan damai. Tiba-tiba aku rasa macam nak berdiri bercakap gaya Najib Razak pulek. Seperti biasa juga aku rasa Tengku Bola dan FAM wajar dipersalahkan. Kerana mereka bertanggungjawab menguruskan perihal bola sepak di Malaysia ini. Takkan kita nak salahkan Bini Mat Yo pulak? 

Kemenangan bertemu Singapura tempohari hanyalah sebuah satu janji palsu semata. Aku bukannya jahat sangat, tapi aku yakin Khamis ini sekali lagi seluruh rakyat Malaysia bakal dikecewakan. Apa yang jelas lagi pasti ialah episod duka ini akan kembali berulang, yang berbeza hanyalah pelakonnya sahaja yang beraksi di atas layar hijau padang bola sepak. 
 
Ini semuanya pendapat peribadi aku. Engko nak sokong pergi stdium, engko pergi. Aku macam biasa takde rugi apa-apa pun. Sikit lagi aku nak sokong Leong Mun Yee pulak. Baru padan muka Safiq Rahim.

Sunday, November 30, 2014

Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.


Kehebatan Harimau Malaya Malam Tadi Memang Tiada Tandingan.
 
Malam tadi Malaysia menang dengan Singapura 3-1. Ia sekaligus melebarkan rekod  Harimau Malaya apabila bertemu dengan negara Temasik ini menjadi kepada 21 menang, 24 seri dan hanya tewas 18 perlawanan. 

Malam tadi juga kedengaran satu Malaya bersorak macam orang gila dan lupa pada sistem FAM yang bangang. Lupa pada penswastaan liga yang ditunda oleh FAM, lupa masih ada lagi pemain liga Malaysia yang tidak dibayar gajinya dan juga lupa pada perjalanan Liga Malaysia yang serba kelam kabut. Mujur juga selepas perlawanan malam tadi tiada yang berkata "Kita seronok menang bola, adakah kita ingat saudara kita di Palestin?". 

Tapi aku tahu Malaysia menang bukan sebab handal. Aku memang dah lama kaji bende ni. Malaysia menang sebab Singapura memang 10 takuk ke belakang. Majoriti pemain daripada kedua-dua pasukan pun sama-sama beraksi dalam liga Malaysia yang syok sendiri tu. Apa lagi yang kita jangkakan?

Aku secara peribadi bukan mahu berbicara tentang menang atau kalah. Apa yang perlu kita sedari ialah bagaimana caranya mereka mencapai kemenangan dan kekalahan dalam sesebuah permainan. Lihat sahaja perbezaan kualiti bola sepak antara Malaysia dan Thailand tempohari. Sangat jauh sekali ketinggalan dari segenap segi.

Menang pula dengan Singapura adalah perkara biasa bagi aku. Tiada apa-apa yang istimewa jika dilihat dari segi visi, misi dan variasi taktikal yang dipamerkan. Cumanya memang Singapura itu sendiri adalah sebuah pasukan bangang sekiranya tanpa kuderat pemain naturalisasi. Dengan corak permainan macam gini, celah gigi Vietnam sahaja Harimau Malaya akan dikeronyok nanti. Tetapi aku sedikit kecewa lawan Harimau Malaya seterusnya adalah Vietnam. Bukannnya ape, nak ajak bergaduh pun tak seronok. Bukan diorang faham pun bahasa kita. Lainlah kalau Indonesia ke...Sedap sikit bergaduh. 

Okeh, kita kembali kepada persoalan serius. Jadi, bilakah kita mahu menguasai rantau Asia secara total ketika kita masih lagi terkial-kial hendak menewaskan Myanmar, Singapura dan mungkin juga Vietnam minggu depan? 

Bagaimana kita hendak menguasai pentas ASIA sedangkan kita umpama kanak-kanak kecil bertatih di ASIA TENGGARA? Walaupun sekiranya jika kita berjaya menguasai rantau ini semula, aku yakin kita akan kembali ke fitrah sebenar. Kembali menjadi pasukan bola sepak yang tidak bedaya saing walaupun dikelilingi fasiliti serta kelengkapan bertaraf dunia.

Aku berharap peminat-peminat bola Malaysia era Justin Bibir dapat kurangkan perangai cepat teruja ni. Baru menang dengan Singapura mereka sudah bilang ‘this is our year’. Bukannya apa...aku takut akhirnya ‘year’ yang dinanti-nantikan bertahan 7 hari sahaja. Kemudian apabila muncul Safee Sali yang merokok menjaringkan gol, mereka bercakap pula tentang ‘a striker reborn’ atau ‘a team reborn’ secara khasnya. Bertenanglah wahai anak mude...

Tapi aku bagi muka sikitlah dekat korang yang nak sambut kegembiraan mengalahkan Singapura semalam. Bak kata pepatah 'Biar kita tak menang Piala, asalkan Singapura jadi mangsa'.

Saturday, November 22, 2014

Salam Takziah

Salam Takziah
.
Alhamdulillah..segala urusan sudah selesai. Terimakasih kepada semua yang memberi ucapan dan doa serta sokongan.

Macam biaselah ramai yang sms, whatsapp, telegram, anto surat layang, email berantai, talipon tak dapat (pasal yang korang talipon tu nombor broadband). Maaf jugek sebab aku tak dapat nak reply on the spot semua pesanan pesanan tersebut.

Al-Fatihah kepada Abah - Tuan Haji Abdul Kadir bin Abdul Rahim. Individu yang bertanggungjawab dalam memberi pengaruh besar sehingga terlahirnya Mata Pena Si Hitam kerana dialah puncanya aku menggilai sokan bola sepak ini. Aku pakai nama Affendi Julaihi ni pun sebagai tribute kepada Abah yang memperkenalkan aku kepada bola sepak Melayu seawal tahun 1993.

Lain lain kePOWERAN beliau biar aku simpan dalam kenangan. Takkan semua nak kongsi dekat sini pulak. Kena tulis bukulah macam gitu.

Apa-apa pun terima kasih kepada semua. Assalammualaikum.

- Hadriegas -

Friday, November 14, 2014

Di Mana Tempat Kalang Tie Dalam Skuad Dollah Salleh?



Di Mana Tempat Kalang Tie Dalam Skuad Dollah Salleh? 

Masa aku belajor dulu ada sorang mamat dari Borneo (aku tak sure Sabah atau Sarawak) yang aku dan beberapa kerat member aku panggil dia IDOLA. 

Sebab apa? Kepantasan dia ketiika bermain bola amat mengagumkan. Dan jika kita menengok bentuk badan dia, akan membuatkan kita istighfar beberapa kali. Cukuplah jika aku sebutkan bentuk badannya adalah ibarat Maradona pada tahun 2010 tetapi dilengkapi dengan pakej Javier Mascherano versi 2008. 

IDOLA adalah seorang pemain bola yang tangkas. Membuka permainan, melakukan hantaran, mendada bola, membuat bentesan, memecut laju dan kadangkala merembat kencang dari jauh sudah cukup membuatkan makwe makwe bola jaring di gelanggang sebelah terpaku 10 minit. Yang terus pitam jangan pula engko tanya.

Dan sepanjang aku mengenali sahabat handai dari Borneo (tidak termasuk makwe Sarawak dan jugek Maria Octavia yang hurrrrrrrmmmms) mereka memang mempunyai stamina yang jauh berbeza daripada kami kami yang dari Semenanjung. 

Jadi, aku masih tertanya-tanya..kenapa jurulatih pasukan Malaysia amat payah nak masukkan pemain-pemain yang hebat dari Borneo ni? 

Ini adalah pandangan peribadi aku terhadap individu yang bernama Kalang Tie. Itu aku belum sembang pasal Afendi Julaihi, Ramos Sari, Ramles Sari dan juga makwe Sarawak. Hmmmmm..

Thursday, November 6, 2014

Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.



Manchester United Pasukan Yang Melawan Kesedihan Di Setiap Pagi Rabu dan Khamis Waktu Malaysia.
 
Kali ini aku nak menulis secara rilek-rilek. Punyalah rileks sampaikan aku menaip ni pun sambil layan Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 versi definisi tinggi. Sebab aku teringin nak tengok JDT kalah dalam bentuk digital pulak. 

Oleh itu, izinkan saya merebiu perlawanan antara Liverpool menentang Chelsea yang akan berlangsung pada 8 November 2014 jam 8.45 malam dengan penuh tertib.

Chelsea baru saja mengukir keputusan seri menentang Maribor dalam persaingan Champions League. Jaringan satu gol daripada Nemanja Matic menyelamatkan Chelsea daripada tewas kepada pasukan Maribor yang sangat terkenal dengan keampuhan mereka apabila bermain di tempat sendiri.

Kenapa aku kata Maribor ampuh di tempat sendiri? Setakat ini dalam aksi di 1.SNL mereka telah bermain sebanyak 8 perlawanan di tempat sendiri dan menang 5 daripadanya. Memberikan Maribor 63 peratus kemenangan bermain di laman mereka. Manakala dalam persaingan Champions League pula, daripada 5 perlawanan yang mereka telah harungi di Ljudski vrt, 3 keputusan seri berpihak kepada mereka termasuk seri dengan pasukan yang biasa bermain di Champions League iaitu Celtic, Sporting Lisbon dan Chelsea Power. Selain 2 kemenangan yang juga mereka berjaya rekodkan. Tiada kekalahan setakat ini dalam persaingan Champions League apabila mereka turun bermain di gelanggang keramat tersebut.

Liverpool pula awal-awal lagi telah bungkus sehari sebelum itu selepas tumpas kepada Real Madrid. Aku juga mendapat info mereka merehatkan ramai pemain utama mereka semata-mata mahu menghadapi Chelsea pada Sabtu ini. Oleh sebab itu barangkali mereka tidak berminat dengan Champions League dan rela dimalukan pasukan Real Madrid. Cuma aku merasa sedikit pelik. Bukankah tiada beza kerendahan kualiti pemain utama dengan pemain simpanan Liverpool? Aku biarkan persoalan ini untuk The Kops jawab.
Seperti yang aku pernah tulis sebelum-sebelum ini, kesemua perlawanan yang melibatkan Liverpool, seakan-akan mereka tidak berminat untuk menang.  Selepas dikaji secara mendalam, barulah aku tahu yang Brendan Rodgers sengaja buat macam tu sebab mahu penyokong Liverpool kembali ke jalan yang lurus iaitu tidak lagi bongkak dengan kehebatan sejarah silam mereka.
Selepas empat kekalahan dan kemungkinan besar akan terjerumus ke Europa League, akhirnya Rodgers sedar yang ketiadaan Suarez adalah punca kepada semua masalah ini. Dan ternyata kehadiran Balotelli adalah pelengkap aksi sarkis mereka di atas padang. Jadi mereka memilih untuk bermain di Europa League bagi baki musim ini dan mensasarkan kedudukan di pertengahan liga sahaja.
Sebelum terlanjur dengan lebih jauh, mari kita berbalik semula kepada Chelsea, pasukan yang sentiasa serius dalam perjuangan memenangi Liga Perdana Inggeris dan juga Champions League. Keputusan seri antara Maribor dan Chelsea dalam Champions League pada pertengahan minggu ini berlaku di luar Stamford Bridge. Begitu juga Sabtu ini apabila Chelsea terpaksa bermain di tempat lawan dengan Liverpool beroleh kelebihan sehari waktu berehat berbanding Chelsea. Tetapi ini bukanlah masalah besar bagi pasukan SEPOWER Chelsea. Dan dugaan serta cabaran ini akan dihadapi dengan tenang dan berdedikasi.
Jose Mourinho seperti biasa bakal menurunkan kesebelasan utama demi mendapatkan 3 mata pada perlawanan ini. Captain Marvel John Terry bakal mengepalai barisan pertahanan Chelsea. Manakala hero tua The Drogba bakal bermain sebagai penyerang tunggal itupun kalau Mourinho kasihan kepada Liverpool. Jika tidak, sudah pasti kita akan kembali dapat melihat kelibat Diego Costa menyumbat 3 gol ke gawang Mignolet.
Dengan Fabulous Fabregas dan Nemanja Matic berada dalam prestasi yang baik serta berganding pula dengan Hazarad dan Oscar, aku optimis 3 mata penuh bakal jadi milik Chelsea. Jika Diego Costa kembali bermain dalam perlawanan ini, firasat aku mengatakan Chelsea bakal menang dengan jaringan 3-0. Penjaring gol? Ini kerja mudah buat Diego Costa (3 gol).

Lain-lain perlawanan pula macam mana?
Arsenal bakal berdepan tugas sukar dalam kunjungannya ke Wales untuk bertemu dengan Swansea. Kali terakhir kedua pasukan ini bertarung adalah pada bulan Mac tahun ini. Dan perlawanan berakhir dengan keputusan seri. Sekali lagi kedua pasukan ini dijangka bakal berkongsi mata.
Manchester City bertandang ke Loftus Road untuk menguji anak buah Harry Redknapp. Berdasarkan pemerhatian cetek aku, QPR musim ini diakui agak liat apabila bermain di tempat sendiri maka ada kemungkinan hanya satu mata untuk Manchester City minggu ini. Kebetulan pula prestasi City yang tidak berapa nak mantap sejak kebelakangan ini. Heh!
Manchester United pula bakal bertemu Crystal Palace yang luka parah kerana ditewaskan oleh Sunderland minggu lepas. Red Devils juga agak terluka selepas tewas kepada Manchester City sekaligus merekodkan permulaan terburuk mereka sejak tahun 1986.
Kini selepas 10 perlawanan, Van Gaal hanya mampu mengumpul 13 mata berbanding Moyes yang beroleh 17 mata dalam jumlah aksi yang sama. Dengan pelbagai tohmahan yang dihamburkan kepada Manchseter United, aku merasakan mereka bakal mengganas kali ini meskipun ada khabar mengatakan Rojo akan berehat selama 6 minggu dan boleh membawa kepada 6 bulan.
Oleh itu aku meletakkan tiga mata penuh untuk Manchester United dan Fellaini boleh sambung kerja-kerja meludah pemain pasukan lawan.
Akhir kata, selamat menonton bola sepak di hujung minggu. Dengan ucapan, sambil tengok bola dekat mamak tu, tak payahlah nak hisap rokok sangat. Ingat, rokok itu haram dan merbahaya serta sangat boleh membunuh.

Nota tambahan : Nampak? Bukan ke rilekssss aku tulis minggu ni.

Sunday, November 2, 2014

Ulasan Minit ke Minit Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014 : JDT vs Pahang  


Heboh cakap-cakap di jalanan mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Zainal Abidin Hassan. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa sudah sampai masanya dia beroleh gelaran Datuk sekaligus menjadi detik yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah JDT di Bukit Jalil menjadikan semangat dalam dirinya berkobar-kobar. 

Sebelum perlawanan lain pula ceritanya. Tiket semuanya habis dalam sekelip mata. Tidak kiralah yang membeli secara atas talian mahupun yang beratur. Kebanyakannya habis dilanyak oleh Pak Menteri yang sibuk menghadiahkan tiket untuk orang kampung yang memangkah mereka menang di DUN masing-masing. Maka tidak hairanlah banyak kelihatan muka-muka yang seperti pertama kali turun ke stadium.

Pada jam 6.00 petang, penyokong sudah mula membanjiri stadium. Segenap pelosok Stadium penuh dengan kenderaan. Jumlah penonton yang ramai pada malam ini dijangka akan memberi keuntungan berlipat kali ganda kepada peniaga air, kuaci dan berger.

Sementara itu di dalam bilik persalinan Razman Roslan si ketua pasukan tidak henti-henti meniupkan semangat rakan-rakan.

"Aku Razman Roslan. Dan aku sedang melihat sebuah pasukan bola sepak negeri kesayangan aku menuju ke arah kejayaan. Malam ini tiada alasan untuk kalah!!! Kita telah mara sejauh ini dan tamatkan ia dengan penuh kebanggaan!!!!"

Pesanan Razman disambut dengan sorak sorai gemuruh dari seluruh pasukan. Ada antara mereka yang hampir menangis mengenangkan terpaksa berpuasa dek kerana bonus kejuaraan Piala FA yang masih belum kelihatan dalam Maybank2u dan CIMB Clicks. Terlalu banyak cabaran yang telah mereka lalui sepanjang semusim ini. Tapi itu semua dijadikan pemangkin semangat buat mereka berjuang habis-habisan merebut kejuaraan Piala Malaysia secara berturut-turut.

Hujan yang turun membasahi rumput di Bukit Jalil pada hari perlawanan bagaikan satu rahmat buat anak buah Zainal Abidin Hassan. Mereka melangkah gagah ke atas padang dengan penuh bangga kerana stadium dipenuhi dengan lautan hitam kuning. Lagu negaraku berkumandang dan secara tiba-tiba darah pejuang Mat Kilau menyelinap ke dalam urat darah pemain Pahang. Bulatan dibuat oleh kesebelasan pasukan Pahang sambil doa dilafazkan oleh pemain beragama Islam. Tidak ketinggalan juga Gopinathan dan Matias Conti yang memohon ketenangan dengan cara mereka yang tersendri.

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Nagor Amir meniupkan wisel permulaan.

Sepuluh minit pertama Pahang lebih mengancam dengan larian-larian deras dari Azamuddin Akil dan Gopinathan dari sebelah kanan dan kiri padang. Peluang Pahang muncul pada minit ke-14 apabila Gopi dijatuhkan disebelah kiri kotak penalti pasukan JDT. Sepakan percuma diambil oleh Azidan Sarudin yang berambut kuning. Tangan diangkat memberi isyarat kepada rakan yang berada dalam kotak penalti. Satu sepakan lencong dilepaskan secara deras. Bola berpusing menuju tepat ke arah kepala satu susuk sasa yang dikenali ramai - Dickson Nwakaeme yang sebelum itu melompat tinggi menewaskan Asraruddin Putra.

Gooooooool!!!!!!

Seluruh penyokong JDT terdiam sebentar. Ada juga yang berpura-pura melihat talipon di tangan masing-masing. Kini yang kedengaran hanya keluhan tak sudah dari lidah pendukung setia JDT.

Tersentak dengan ketumpulan barisan hadapan pasukan JDT, Bojan Hodak bingkas bangun. Dia kelihatan membisikan sesuatu ke telinga Mahali Jasuli yang bermain di bahagian pertahanan kanan. Nampaknya Mahali diarahkan untuk melakukan lebih tekanan kepada bahagian pertahanan Pahang dengan melakukan lebih kerap hantaran silang ke dalam kotak penalti.

JDT akhirnya berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-31 selepas hantaran silang Mahali berjaya mengkucar-kacirkan keadaan dalam kotak penalti pasukan Pahang. Secara tiba-tiba juga bola terjatuh tepat dihadapan Diaz yang seperti biasa tidak mensia-siakan peluang yang terhidang sebegitu rupa.

Dua minit selepas itu malapetaka mula menimpa Pahang. Ketua pasukan mereka, Razman Roslan didapati menampan bola menggunakan tangan dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan JDT. Figueroa tenang menyempurnakan sepakan penalti tersebut sekaligus memberi nafas lega kepada seluruh penyokong JDT. Khairul Azhan tertewas lagi buat kali yang kedua.

Tamat separuh masa pertama. JDT 2 - Pahang 1.

Ketika masa rehat, Zainal Abidin Hassan berpesan kepada pemainnya agar menyerang habis-habisan.
"Dalam kamus bola sepak aku, tiada istilah kalah. Seri apatah lagi. Hari ini hari kita. Masuk padang dan selesaikan JDT. Serang mereka dari segenap arah. Ingat tu!!!"

Sekali lagi bulatan dibuat. Dengan nafas turun naik, ketua pasukan Razman Roslan yang masih sedih dengan kesilapannya pada separuh masa pertama tadi melaungkan kata-kata semangat dengan tona suara sedikit syahdu sambil disambut oleh rakan sepasukan yang lain.

"HOGOH PAHANG HOGOH!!!!" Bergegar bilik persalinan pasukan Pahang dengan sorakan semangat mereka.

Sejurus sebelum semua pemain keluar dari bilik persalinan, Zesh Rehman dipanggil oleh Zainal Abidin Hassan. "Zesh, aku nak kau bersiap sedia. Aku tak sedap hati ni", bisik Zainal ke telinga capang milik Zesh Rehman.

Separuh masa bermula. Namun nampaknya tuah masih menjauhi Pahang apabila Saifulnizam Miswan didapati menumbuk perut Amri Yahyah pada miniti ke-68. Kelihatan Amri Yahyah berguling-guling serupa kena 'chokeslam'. Tipudaya cilik yang kemas. Saifulnizam a.k.a Poyeng dilayangkan kad merah. Seluruh Pahang seakan-akan berduka.

Namun Pahang masih tidak mengenal erti tewas. Serangan demi serangan diatur mereka. Rezeki Tuhan siapa yang tahu?

Khalid Jamlus yang dari tadi tidak henti-henti menyuruh pemain Pahang berjuang habis-habisan (padahal dia dulu pun sibuk 'berjuang' dalam disko) akhirnya tersenyum di bilik ulasan Astro Arena apabila Nwakaeme berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-71. Ini adalah gol keduanya malam ini. Mengucap panjang semua penonton JDT di stadium hatta di rumah sekalipun. Manakala keraian gol dari pasukan Pahang dilakukan dengan penuh inzal. Pemain Pahang meraikan gol seperti mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Kini semua rakyat Pahang boleh berasa lega. Yang berada di rumah dengan tenang boleh ke dapur sebentar untuk membancuh sirap. Manakala seluruh kedai di sekitar Pekan dan Temerloh kembali ceria dengan sorakan gembira. Inilah yang dinamakan bola sepak sebenar. Kini rakyat Pahang semakin yakin peluang buat mereka menjulang Piala Malaysia sekali lagi masih ada.

Preeeeetttt!!!!

Keadaan kekal 2-2 sehingga tamat masa penuh.

Zainal Abidin Hassan melakukan perubahan taktikal pada permulaan masa tambahan dengan mengeluarkan Conti bagi memberi peluang kepada Zesh Rehman mempamerkan bisa. Razman ditarik bermain di posisi pertahanan kanan manakala Damion Stewart dan Zesh Rehman membentuk gandingan padu di bahagian pertahanan tengah. Kebijaksanaan ini berhasil apabila Pahang berjaya mengheret JDT ke penentuan sepakan penalti dengan hanya bermain dengan 10 orang sahaja.

Penentuan penalti dimulakan dengan Pahang terlebih dahulu mengambil sepakan penalti. Gol demi gol dijaringkan oleh pemain yang dipertanggungjawabkan. Kini kedudukan menjadi 4-3. Penendang ke-4 bagi pasukan JDT iaitu Mat Yo mesti menjaringkannya jika tidak mahu melihat JDT menangis di hujung perlawanan.

Penyerang kebangsaan, Mat Yo 'The Linesman' meletakkan bola di titik penalti. Para pemain yang lain masih menunggu dengan penuh debaran di tengah padang. Penjaga gol Pahang sudah bersedia. Jika dia berjaya menepis sepakan ini dan kemudian Pahang berjaya menjaringkan gol terakhir, maka dia akan dianggap wira. Penyokong Pahang ketika ini bersorak untuk memberi sokongan. Mat Yo berlari-lari anak dan dengan kencang merembat ke sebelah kanan gol. Khairul Azhan bagaikan seorang Spiderman Pencen melayangkan badan ke arah yang betul dan berjaya menepis bola tersebut keluar.

Pemain JDT tergamam. Penyokong dan pemain Pahang melompat kegembiraan. Kini kedudukan masih lagi 4-3 dan Pahang mempunyai kelebihan. Jika penalti terakhir ini berjaya dijaringkan, maka Pahang akan menjadi Juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut.

Tugas penalti terkahir diserahkan kepada Hafiz Kamal. Setelah mengucup bola dan meletakkannya di atas titik penalti, cuma satu sahaja benda yang ada dalam fikiran beliau. Sepak sekuat hati ke arah kiri gol! Al Hafiz cuba memberi sedikit tekanan dengan melakukan aksi melompat-lompat di atas garisan gol dan menendang tiang. Mulutnya terkumat-kamit menbaca doa. Dari kejauhan terlihat Zanal Abidin Hassan menutup muka tidak mahu melihat sepakan ini. Hafiz Kamal tenang dan membuat satu sepakan padu ke kiri gol. Al Hafiz melayangkan badan ke arah yang bertentangan. Bola menerjah jaring. Goooooooooooool!!!!!!

Para penyokong yang tadi belum habis meraikan kejayaan Khairul Azhan, kini terus menyambung sorak kemenangan Pahang. Pemain JDT tertunduk kecewa. Semua pemain serta pegawai Pahang meluru ke arah Hafiz Kamal bagi meraikan sepakan penalti beliau. Dua hero pada malam ini disanjung, Dickson Nwakaeme dengan 2 gol darinya dan Hafiz Kamal dengan penalti kemenangan.

Pahang kini sah bergelar juara Piala Malaysia buat kali kedua berturut-turut. Tamat perlawanan dengan Pahang menang penentuan penalti 5-3 selepas terikat 2-2 dalam masa penuh permainan. Seluruh negeri Pahang turut bersorak kegirangan. Sudah tentu malam ini akan menjadi satu malam yang panjang buat warga Pahang untuk meraikan kegembiraan mereka.

Akhirnya Pahang berjaya juga melenyapkan angkuh pasukan JDT dan dalam masa yang sama masih ramai yang berkerut seribu apabila nama Safiq Rahim diumum sebagai Pemain Terbaik Perlawanan. Heh?

Tamat.

Friday, October 31, 2014

Suamiku Pemain Bola Sepak Handalan

Suamiku Pemain Bola Sepak Handalan


Sebelum munculnya Safee Yang Menunggang, Azman Adnan adalah antara penyerang terulung di Malaysia. Dia punya rembatan selepas melakukan 'turning' adalah antara 'trademark' yang menjadi kegemaran beliau. Selepas itu rentak tari beliau dipersembahkan dalam rancangan sehari berdansa yang  jelas membuktikan dia adalah seorang penjaring gol yang berbisa. Tapi kita bukan nak sembang pasal Azman Adnan sebenarnya. Ini kira pengenalan jek. 

Okeh baiklah. Umum mengetahui bahawa pasukan QPR adalah milik seorang taikun dari Malaysia sehinggakan pernah satu ketika, disebabkan atas dasar patriotisme, tulisan 'Malaysia' disematkan di dada jersi kelab ini. Justeru, semangat patriotisme yang sememangnya mengalir deras dalam darah setiap rakyat Tanah Melayu ini, telah membuatkan mereka ini serta-merta mendaftarkan diri sebagai peminat kipas-susah-mati pasukan QPR. Namun begitu ceritanya berubah sejak pasukan ini terjerumus ke lembah divisyen bawahan. Pada awal musim ini pula, kelihatan QPR seakan-akan bersendiri berjuang mengelakkan relegasi. Penyokong mereka yang berada di Tanah Melayu sekitar dua tiga tahun lepas juga turut lenyap. 

Minggu ini tugas sukar menanti mereka apabila dijadual bertemu dengan pendahulu liga yang power nak mampos iaitu Chelsea. Entah apalah nasib yang akan menimpa Harry Redknapp selepas perlawanan ini pun aku tahu. Andaikan QPR kalah, aku rasa elok Redknapp bersara dan buka mini market. Tetapi mungkin kemenangan ke atas Aston Villa pada aksi yang lepas banyak membantu menaikkan motivasi anak buah Redknapp menjelang pertemuan ini. Tumpukan sepenuh perhatian kepada kelibat Charlie Austin. Bahaya jugak mamat ni sebenarnya.

Chelsea pula yang bermasalah dalam posisi serangan terpaksa bergantung kepada bekas lagenda yang kembali menabur bakti di kelab iaitu Didier Drogba. Walaupun badan Drogba ada sedikit susut berbanding ketika mula-mula tiba di Stamford Bridge 10 tahun yang lalu, ketajamannya di dalam kotak penalti tidak pernah berkurangan. Ketika ditemubual selepas menjaringkan gol pada aksi Piala Liga menentang Shrewsbury Town, sambil menghembus hingus beliau berkata....

"Satu benda saja kawe nak kabo. Main bola ni yang penting ialah sumbak gol. Dan itu kerja kawe. Mu duk diam!!". Begitulah tegasnya Drogba apabila dia mula berbicara tentang bola sepak.

Seterusnya ialah pertemuan antara Manchester City lawan Manchester United. Ini bukanlah pertarungan antara merah, biru, city, united, utara, selatan, timur atau barat. Ia lebih daripada itu. Bagi pemuja sejati Syaitan Merah ini adalah pertarungan bola sepak sebenar menentang bola sepak palsu.

Pada minggu lepas kita dapat saksikan keraian yang sudah lama tidak kelihatan di Old Trafford. Van Persie telah menjaringkan gol ketika masa permainan sudahpun tamat. Aku masih ingat lagi dulu Van persie ni masa dekat Arsenal siap skor hatrik lagi masa lawan Chelsea. Tapi bila dah main dengan Manchester ni, itu sahajalah yang dia mampu buat. Dan aku harap Manchester United bersyukur kerana Arsenal telah membawa pemain ini ke London.

Sebenarnya sudah lama kita tak nampak pasukan Manchester United ni seronok sebegitu rupa. Macam aku sendiri, kali terakhir aku bersorak macam budak-budak Manchester United tu masa Sapok Biki menang emas dalam acara tinju kategori 48kg menewaskan Musa Kinyua sekaligus mencatat sejarah sebagai atlit Malaysia yang pertama menggondol emas dalam sukan tinju. Tapi kita biarkan ajelah mereka nak bergembira barang seminit dua. Takde apa yang salah pun buat pasukan pertengahan liga seronok dapat seri dengan pendahulu liga.

Lain-lain perlawanan yang aku rasakan kita perlu tonton ialah pertemuan antara Hull City dengan Southampton. Perbezaan 4 mata sahaja antara The Saints dengan Chelsea sebenarnya merupakan satu petanda persaingan di Liga Perdana Inggeris kini lebih terbuka.

Aku memang tahu Chelsea adalah pasukan yang kuat musim ini. Dan aku rasa lawan yang setara dengan Chelsea buat masa ini adalah Southampton.

Sunday, October 26, 2014

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.


Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.
1 November 2014 (Sabtu).
8.45mlm, Stadium Nasional Bukit Jalil.


Sesiapa yang rajin mengikuti Mata Pena Si Hitam secara beriman pasti perasan kurangnya cerita bola sepak tempatan daripada aku pada tahun ini. Ini disebabkan beberapa faktor semasa seperti Chelsea yang akan menang EPL serta Piala Dunia 2014 yang membuatkan aku terpaksa meninggalkan kisah bola sepak tempatan buat sementara. Sementara bukan bermakna selamanya dan hilang terus.

Sebelum aku memanjangkan ulasan, aku ingin menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Kedah dan Felda United yang tewas pada laga separuh akhir yang lepas. Selepas aku menengok Kedah dimalukan Pahang dengan skor 5-0 di Darul Makmur, aku terfikir mungkin inilah hikmah di sebalik cinta aku yang ditolak oleh makwe Kedah secara mentah-mentah. Sebab tu aku nak berpesan, kalau nak bercinta tu kena nengok dulu negeri mana makwe tu lahir. Ermmmmsss..

Buat Felda United pula kemampuan mereka menjadi Naib Juara Piala FA 2014 dan Liga Perdana 2014 serta menjadi 4 pasukan terakhir yang beraksi di pentas separuh akhir Piala Malaysia adalah rentetan kejayaan yang sudah cukup membanggakan. Irfan Bakti, dari satu sudut yang lain mampu mewujudkan skuad yang mantap walaupun pemainnya terdiri daripada barisan 'reject' Liga Malaysia.

Pun begitu, setiap yang bermula pasti akan berakhir ye anak mude. Sampai separuh akhir sahajalah perjalanan buat Kedah dan Felda United. Sememangnya kekalahan adalah sesuatu yang kelat untuk dihadam. Jadi aku doakan semoga kedua pasukan ini cepat sembuh dari luka kekalahan hendaknya. Cuba lagi musim depan, itupun kalau belum kiamat.


Adakah JDT Sudah Bersedia?

Suatu masa dahulu, lama sebelum munculnya JDT. Sebuah kelab yang diberi nama Johor FC pernah memukau arena bola sepak tempatan. Johor FC adalah sebuah kelab maha hebat dari selatan tanah air. Johor FC untuk beberapa tahun pada suatu ketika berjaya menamatkan liga dengan berada di kelompok empat teratas dan tidak pernah jatuh dari kelompok itu. Begitu juga untuk saingan Piala Malaysia. Dalam tempoh 3 tahun Johor FC sempat dua kali mara ke peringkat separuh akhir. Dan pasukan ini turut pernah bermain dalam Piala AFC.

Dalam masa yang sama, pasukan negeri Johor FA pula sentiasa terkial-kial untuk memanjat divisyen. Seperti yang semua tahu, pasukan inilah yang menjulang Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991. Apa yang berlaku selepas itu?

Muncul satu idea untuk memartabatkan bola sepak negeri Johor dengan mengkuborkan Johor FC menjadi JDT I. Manakala pasukan Johor FA yang lemau dijatuhkan taraf menjadi pasukan JDT II dan sehingga saat ini masih steady di Liga Perdana. Sejarah tidak pernah menipu. Hanya manusia yang menipu diri mereka sendiri.

Rebel secara terang-terangan tidak berlaku dalam pencerobohan bola sepak ini dek kerana penyokong Johor FC yang sedikit kuantitinya kalau nak dibandingkan dengan Kelantan, Selangor ataupun Perak. Dalam 7 orang, tak sampai 3 orang yang berani mengukir tatu lebah dilengan. Mungkin juga hanya seorang sahaja yang berani tampil bersuara menentang ideologi dungu ini. Selebihnya sanggup terkinja-kinja menyokong JDT saban minggu.

Mungkin sudah sampai masanya JDT membuktikan kepada semua bahawa mereka sudah bersedia menawan bola sepak Malaysia dan ASIA. Meminjam kata-kata seorang sahabat, JDT terlampau ‘power’ buat masa ini. Dengan hanya baki 1 sahaja perlawanan untuk JDT menjulang piala kedua tahun ini selepas kejayaan menjuarai Liga Super mereka kecapi.

Tetapi JDT masih perlu menentang Pahang. Ya, Pahang. Kalau JDT jaguh terowong maka Pahang ialah pasukan paling angkuh hebat antara negeri gamaknya.


Pahang Menuju Kejayaan Berturut-turut.

1989....

"Saya memang meminati Zainal Abidin Hassan. Sebab itulah saya ambil dia berlakon dalam filem Kolej 56 ni!!!" - Ahmad Fauzee, Pengarah Filem tersohor.

Ramai yang tidak tahu lama dahulu Zainal Abidin Hassan pernah tewas kepada Ahmad Fauzee dalam satu pertandingan bola sepak. Tetapi itu hanya di dalam filem. Di luar layar perak pemain yang lebih mesra dengan gelaran Chief ini adalah juara. Deretan kejayaannya dalam arena bola sepak tempatan tidak wajar dipersoalkan. Dan kini dia dalam usaha membawa pasukan Pahang sekali lagi menjuarai Piala Malaysia buat kali kedua berturut turut.

Seluruh rakyat Pahang termasuk Perdana Menteri kesayangan ramai, Najib Razak wajib bergembira dengan kejayaan Pahang yang tenang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia secara 'back-to-back' dan sekaligus mengekalkan status mereka selaku pasukan comeback sejati.

Secara peribadi aku memang memasang keyakinan semenjak Pahang menjulang Piala Perisai Komuniti dan Piala FA tempohari bahawa pasukan ini sekali lagi akan berjaya menempah aksi di perlawanan akhir Piala Malaysia. Tidak keterlaluan sekiranya piala ketiga akan berjaya dijulang oleh mereka pada tanggal malam 1 November kelak.

Secara taktikal, tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Zainal berbanding dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Dollah Salleh.

"Pahang bukan sahaja bermain bola sepak untuk mendapatkan keputusan. Pahang itu sendiri membawa maksud PENGALAMAN".

Jelas kata-kata Zainal ini menunjukkan beliau seorang prodigi bola sepak yang bernafsu gila kepada sukan ini.

Walaupun begitu, Pahang masih lagi sebuah pasukan yang bermain dengan corak yang kita panggil 'free flowing football'. Pantas, menyerang dan melakukan gerakan yang cantik dalam pemburuan mereka mencari gol. Menggunakan sepenuhnya kepantasan pemain sayap yang mereka miliki seperti R. Gopinathan dan Azamuddin Akil untuk melakukan hantaran lintang yang merbahaya ke dalam kotak penalti yang kemudiannya disudahkan secara cermat oleh Matías Conti dan Dickson Nwakaeme. Zainal juga adalah seorang jurulatih yang penuh visi dan seorang pakar taktikal yang semulajadi. Lihat apa yang dia lakukan kepada PDRM dan Kedah sebelum ini. Hancor lodoh dibueknyo.

Hatrik Matías Conti pada aksi separuh akhir kedua sudah cukup manis untuk menampung keperluan gula dalam badan semua peminat Tok Gajah. Persefahaman antara Conti dan barisan hadapan pasukan Pahang tidak ada tolok bandingnya. Sekiranya Conti buntu dalam usaha mencari gol, pasukan Pahang masih memiliki Koji, anak jati kelahiran Pekan yang terkenal dengan aksi garang di dalam kotak penalti. Dan Koji adalah pengganti semulajadi bagi Conti untuk posisi ini.

R. Gopinathan pula adalah seorang pemain yang pantas dan tajam di hadapan gol. Dengan kelebihan seperti ini, tidak mustahil beliau akan mendapat tempat sebagai pemain sayap kiri dalam pasukan Harimau Malaya di kejohanan AFF Piala Suzuki bulan hadapan.

Jentera tengah Pahang ketika ini antara yang terbaik dalam Liga Malaysia. Selepas ketiadaan Amirulhadi yang berpindah ke JDT untuk memanaskan bangku simpanan, gandingan antara Faizol Hussien dan Azidan Sarudin bertindak baik untuk menguasai bahagian tengah. Dengan Faizol Hussien dan Azidan menguasai sepenuhnya bahagian tengah, baik Gopi mahupun Alex Akil mereka bebas untuk naik ke atas dan melakukan serangan. Selain itu mereka juga masih memiliki Hafiz Kamal dan R. Surendran yang sentiasa bersedia untuk mengganas sekiranya diberi peluang.


JDT atau Pahang?

Pepatah kuno ada menyebut...

"Kalau JDT yang datang, JDT itu akan kita tentang. Kalau makwe yang datang, barulah kita sayang. Tapi kena tengoklah dulu lawo ke tidak. Kalau lawo kita akan tentang menggunakan perasaan".

Keseluruhan musim ini JDT secara purata menguasai 65% penguasaan bola di setiap perlawanan. Tetapi kita semua tahu Bojan Hodak kadangkala lebih mementingkan keputusan dari gaya permainan. Biar main hodoh, asal jangan lodoh. Itu mungkin menjadi pegangan Bojan Hodak. Dan sekiranya JDT mampu memberikan fokus sepanjang 90 minit permainan. Tidak mustahil Pahang akan tertewas jua.

Sudah pasti Zainal dan para peminat Pahang gerenti tak puas hati dengan pendapat ikhlas aku ini. Jadi sama ada JDT atau Pahang, siapa pilihan juara?

Bualan di jalanan sekarang ialah jika JDT menang ke atas Pahang maka hasilnya ialah JDT akan menjadi Kuasa Baru Bola Sepak Malaysia.

Tetapi dalam musim yang cacamarba ini, semuanya boleh berlaku. JDT dan Pahang bertemu sebanyak 4 kali musim ini. Dua kemenangan berpihak kepada Pahang (aksi di Stadium Darul Makmur) manakala dua lagi seri ketika bermain di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos.

Jadi, yang terbaik ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Bukit Jalil kerana ia adalah gelanggang berkecuali buat kedua-dua pasukan.

Apa yang pasti, klimaks Piala Malaysia akan mencapai peringkat agung apabila kalendar menuju tanggal 2 November 2013. Sama ada kita terpaksa berpuasa sarapan lontong, atau melilau mencari ikan patin masak tempoyak. Semuanya akan terjawab Sabtu ini.

Akhir kata "LUASKAN KUASAMU HOGOH!!!"

Saturday, October 25, 2014

Seni Bola Sepak Hujung Minggu Ada Di Sini.


 Seni Bola Sepak Hujung Minggu Ada Di Sini.

Ramai yang menyangka prestasi pasukan Southampton akan menjunam musim ini selepas berduyun-duyun pemain utama mereka keluar daripada kelab (ada di antara mereka yang kini bermain dengan pasukan Kasta Ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris). Namun tidak ramai yang percaya mereka berjaya menduduki tangga ke-3 liga selepas berakhirnya lapan perlawanan musim ini. Sekiranya momentum ini berjaya dikekalkan sehingga akhir musim, The Saints akan menjadi pasukan pertama yang berjersi belang berjaya menamatkan musim di kedudukan empat pasukan teratas selepas kali terakhir berjaya dilakukan oleh Newcastle pada musim 2002-2003. Sesuatu keterujaan buat penyokong Southampton yang tidak terdapat di Tanah Melayu.

Sungguh tidak adil sekiranya aku mengatakan Southampton tidak akan berjaya mengulangi kehebatan mereka minggu lepas. Kejayaan melaukkan Sunderland 8-0 mungkin akan diteruskan ke atas Stoke City pula, pasukan yang berada di tangga ke -10 liga. Jika bukan lapan gol pun, pasukan asuhan Ronald Koeman ini tidak berhadapan sebarang masalah untuk mengekalkan keupayaan mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri. Kelebihan yang akan banyak mempengaruhi keputusan dalam perlawanan ini.

Southampton juga pada perlawanan ini akan turun tanpa masalah kecederaan utama dengan hanya James Ward-Prowse, Sam Gallagher dan Jay Rodriguez yang tidak dapat beraksi dalam misi mencari kejayaan sulong menewaskan Stoke City sejak kembalinya mereka ke kancah utama liga Inggeris. Empat pertemuan terakhir kedua pasukan ini juga berakhir dengan keputusan seri. Jadi sebenarnya masih juga terlalu awal untuk kita memilih Southampton sebagai pemenang dalam laga ini.

Stoke City pula musim ini memulakan kempen mereka dengan aksi turun naik. Minggu lepas mereka menumpaskan Swansea City 2-1 sekaligus mengekalkan rekod menang dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri yang mana sebelum itu mereka tumpas kepada Aston Villa dan Leicester di Britannia pada permulaan musim ini. Menentang pasukan Southampton sebenarnya memerlukan Mark Hughes memerah akal memikirkan taktikal terbaik untuk menewaskan pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Tumpukan perhatian kita kepada pemain Southampton seperti Pelle, Tadic, Cork, Schneiderlin dan Bertrand. Manakala di pihak Stoke City pula kelibat Begovic, Shawcross, Moses dan Crouch wajar diberi perhatian. Kerana mereka semua inilah yang akan mempersembahkan seni bola sepak hujung minggu. Sedetik gerakan daripada pemain-pemain ini mampu mengubah keputusan perlawanan dalam sekelip mata sahaja.

Selain daripada perlawanan agung yang menemukan antara pasukan kegemaran ramai, Manchester United dengan pasukan yang penuh rendah diri dan berjiwa santun, Chelsea - kita juga akan disajikan dengan beberapa pertembungan berbentuk hiburan hujung minggu. Antaranya ialah Liverpool menjadi tuan rumah kepada pasukan Hull City selepas pasukan Brendan Rogers ini dimalukan oleh Real Madrid pada pertengahan minggu yang lalu. Berjayakah Liverpool memadamkan mimpi ngeri tersebut? Entahlah.

Manchester City pula masih dalam cubaan untuk memintas Chelsea apabila bertandang ke Bolelyn Ground untuk menanti kejutan daripada pasukan West Ham yang ketika ini dipimpin Sam Allardyce secara steady di tangga ke-4 liga. Arsenal pula bertembung dengan pasukan Sunderland yang masih terluka dengan kekalahan 8-0 kepada Southampton minggu lepas. Kalau Arsenal tak boleh jugak nak kalahkan Sunderland, elok tutup jelah pasukan tu.

Friday, October 17, 2014

Berdoalah Untuk Kesejahteraan Tiang Bendera Penjuru Padang



Lupakan perihal tak bertamadun isu 130 keping tiket. Lupakan perangai burok anak raja sanjungan negeri selatan tanah air yang menyepak tiang bendera. Tertanya-tanya juga aku apalah dosa tiang tersebut. Lupakan segala perkara tentang liga syok sendiri. Ini kerana minggu ini kita akan kembali disajikan dengan liga penjajah yang berkualiti tinggi selepas berehat selama hampir 2 minggu.

Aksi pembukaan minggu ini akan menemukan antara pasukan Manchester City dengan Spurs. Manchester City yang dalam usaha mengejar pasukan di puncak liga iaitu Chelsea sangat mengharapkan kejayaan dalam pertemuan ini. 3 mata adalah sasaran mereka. Bahagian serangan pasukan Manchester City mungkin tidak berdepan masalah besar apabila Sergio Aguero dan Edin Dzeko dijangka akan diturunkan selepas masing-masing kembali dari tugasan antarabangsa. Dzeko juga cemerlang ketika beraksi bersama Bosnia dan mungkin akan menjaringkan gol sekali lagi dalam masa seminggu. Cuma bahagian tengah mereka mungkin sedikit pincang apabila Yaya Toure tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini. Tempatnya mungkin akan diambil alih oleh Frank Lampard. Jika Sapik Rahim adalah anugerah tuhan kepada peminat bola sepak Malaysia. Lampard pula adalah anugerah tuhan kepada seluruh peminat bola sepak England. Begitulah POWERnya bekas pemain Chelsea ini yang mempunyai sentuhan amt tajam apabila berada di hadapan gol.

Mauricio Pochettino ketika ini pening dengan prestasi semasa pasukannya apabila hanya mampu menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan liga mereka. Walaupun begitu Emmanuel Adebayor masih menjadi pilihan bookie bola sepak untuk menjaringkan gol buat pertama kalinya sejak kali terakhir melakukannya pada bulan Ogos. Dalam masa yang sama juga pendukung pasukan Spurs masih boleh tersenyum lebar dengan prestasi semasa Nacer Chadli yang setakat ini telah menjaringkan 5 gol dalam 7 perlawanan liga. Di samping beliau juga hadir Christian Eriksen yang beraksi cemerlang setakat awal musim ini serta dalam pemburuan menjaringkan gol ketiganya buat Spurs.

Mungkin akan ada sedikit saingan daripada pasukan Spurs. Namun sekiranya Manchester City mula menjaringkan gol, pasukan dari London itu akan tenggelam dan terus hanyut.

Selepas itu kita akan dihidangkan dengan pertarungan menarik melibatkan pasukan yang bermasalah dengan deretan kecederaan pemain iaitu Arsenal menentang Hull City. Satu-satunya pasukan yang belum tewas musim ini iaitu Chelsea, merantau ke Selhurst Park untuk bertemu Crsytal Palace. Southampton yang kini di tangga ketiga liga akan menerima kunjungan Sunderland bagi mencari kemenangan pertama selepas kedua pasukan seri sesama mereka dalam 3 perlawanan sebelum ini. Manakala Swansea bertemu Stoke City yang setakat ini kebal dalam 3 aksi di Britannia.

Perlawanan penutup aksi Liga Perdana Inggeris minggu ini akan melibatkan pasukan yang tidak akan bermain di pertengahan minggu. West Brom akan menunggu kunjungan Manchester United dengan Saido Berahino pastinya menjadi tumpuan utama pada laga ini. Saido Berahino telahpun menjaringkan 6 gol setakat ini dengan 5 daripadanya dijaringkan di Hawthorns. Berdasarkan statistik tahyul pula The Baggies hanya berjaya menang 2 perlawanan sahaja ketika mereka turun bermain pada hari Isnin. Tahyul yang akan memberikan sedikit harapan buat pemuja syaitan merah.

Selain itu Manchester United juga tidak perlu bimbang dengan ketiadaan Wayne Rooney kerana masih memiliki Van Persie, Falcao dan Di Maria untuk merobek gawang The Baggies yang dikawal kemas oleh Ben Foster. Robin van Persie juga mempunyai rekod yang baik ketika berdepan dengan WBA apabila meledak 4 gol dan membantu 2 jaringan gol dalam 7 pertembungan. Macam mana Manchester United? Boleh dapat 3 mata? Aku optimis Manchester United boleh dapat 3 mata dalam perlawanan ini. Tetapi aku lagik yakin selepas perlawanan tu kita takkan dapat lihat Van Gaal terajang 'corner flag'. Gila apa buat perangai budak-budak macam gitu? Heh!!

Saturday, September 27, 2014

Maaf Andai Kelab Bola Sepak Liga Inggeris Yang Engko Sokong Tak Sempurna.



Maaf Andai Kelab Bola Sepak Liga Inggeris Yang Engko Sokong Tak Sempurna.


Tradisi murni tewas kepada Aston Villa pada laga keempat diteruskan lagi dengan tertib. Liverpool tewas pula kepada West Ham minggu lepas dengan cara 'tak sempat bernafas dah gol'. Ini disebabkan mereka bolos seawal minit kedua dan ketujuh hasil jaringan daripada Winston Reid dan Diafra Sakho. Mungkin alasan bermain di UCL boleh digunapakai sehingga membolehkan Liverpool kalah 3 perlawanan setakat ini dan menempatkan mereka di tangga ke-11 liga. Macam mana ni? Nak lawan Real Madrid ni woih!

Inilah dia Liverpool. Baru sekali main hari Rabu malam dah kelam kabut hari Sabtu. Pembelian baru pula masih tidak banyak membantu pasukan ini. Daripada beli Lallana, adalah lebih baik beli anjing ajek. Boleh jugak buat gigit rakan sepasukan kalau main macam bangang. Balotelli pula setakat ini tiada apa yang istimewa jika kita mahu membandingkannya dengan Suarez. Tetapi kelab 'funny' macam Liverpool memang perlukan 'comedian' macam Balotelli. Saling lengkap melengkapi. Walaubagaimanapun...Sekurang-kurangnya LIVERPOOL MAIN UCL OKAY DAN MUSIM LEPAS NOMBOR DUA BIARPON SEBELUM NI BERAPA LAMA TAK MERASA MAIN UCL DAN TOP 4 OKAAAAY!!!!

Minggu lepas kita sudah lihat bagaimana Lampard menjaringkan gol untuk Manchester City ketika berhadapan dengan bekas pasukannya yang POWER NAK MAMPOS iaitu Chelsea. Menengok Lampard menjaringkan gol melawan Chelsea ni macam terserempak bekas makwe dekat Pavillion sambil pegang tangan pakwe baru. Tapi ia juga satu perkara yang amat membanggakan ditambah pula dengan Lampard yang memilih untuk tidak meraikan gol tersebut. Jangan kita bandingkan dengan perangai Adebayor dan Van Persie. Kelas mereka sangat berbeza kerana Chelsea sentiasa menerapkan sifat hormat menghormati sesama insan. Sangat mulia. Bak kata pepatah kuno kaum Mayan..."You cant hate Frank Lampard. Cannot. He is a legend."

Chelsea dan Manchester City malam ini masing-masing akan mengadap Aston Villa dan Hull City. Chelsea dijangka tiada masalah untuk memungut 3 mata apabila bertemu Villa di Stamford Bridge walaupun ada ura-ura akan kembalinya si Benteke dalam kesebelasan Paul Lambert. Manakala Hull City mungkin akan mengikat keputusan seri dengan Manchester City. Inilah yang dinamakan nikmat dalam bola sepak.

Semasa aku menengok Liverpool tewas kepada West Ham, aku ingatkan Liverpool secara perlahan-lahan sedang cuba menggantikan Manchester United untuk menjadi bahan lawak mingguan. Rupa-rupanya jangkaan aku jauh meleset. Manchester United berlawak pula dengan kalah kepada Leicester City 5-3. Ya  Leicester City. Pasukan yang dengar ceritanya lawan budak melayu yang belajar dekat sana pun kalah. Nampaknya Kluivert cuma bagi satu muka surat saja pada Van Gaal.

Aku cadangkan pemuja Manchester United yang dalam gua tu terus Ashabul Kahfi sampai habis musim. Senang. Tiada harapan palsu. Dahlah UCL tak main, kalah pulak tu. Orang melayu kelas menengah panggil bangang bertingkat. Nasihat aku secara ikhlas kepada Van Gaal, daripada beli Di Maria, Falcao, Herrera, Rojo, Shawa apa semua, baik beli kerusi je susun banyak banyak depan pintu gol.

Sekiranya Manchester United tewas kepada West Ham malam ini, pemuja mereka boleh bukak cerita MH17 dengan MH370. Paling koman pun borak pasal jerebu. Takpun sembang pasal Akademi Fantasia. Sekurang-kurangnya Akademi Fantasia 'menuju puncak'. Boleh buat iktibar. Cuma aku harap mereka ni berhentilah agungkan sejarah, salahkan pengadil. Sebab makin nampak dia punya 'trend' ke arah pasukan yang melingkup.

Arsenal lawan Spurs pulak aku rasa nanti Welbeck akan sekali lagi menjaringkan gol. Percayalah. Heh!

Friday, September 19, 2014

Nota Yang Kluivert Simpan Tu Dia Tulis Formasi 4-4-2!!!!


Akhirnya Van Gaal berjaya mendapatkan buku nota taktikal yang Kluivert pegang sepanjang Piala Dunia 2014 tempohari. Rupa-rupanya dia tulis 4-4-2 ajek. Punyalah susah payah Val Gaal guna formasi pandir sehinggakan kalah 4-0 kepada pasukan Majlis Perbandaran MKDons. Dengar cerita ini baru satu muka surat sahaja yang Kluivert bagi pada Val Gaal. Ada lagi 40 muka surat yang belum didedahkan dan kita sudah lihat bagaimana QPR menjadi mangsa pertama Manchester United (juga seperti apa yang aku tulis sebelum ini). Sebagai rekod juga, kali  terakhir United gagal memenangi tiga perlawanan awal liga ialah pada musim 2007-08. Mereka menang pada perlawanan keempat dan kemudiannya menjuarai Liga pada musim tersebut. Jaga-jaga. 

Kemenangan besar Manchester United kepada QPR menandakan Liga Perdana Inggeris baru sahaja bermula buat pendukung setia pasukan mereka. 'Theatre of Dream' seolah-olah baru sahaja selesai proses renovasi dan keterujaan memuncak hingga ke tahap paling maksima. Sejak dari itu aku mula nampak budak-budak Manchester ni sembang sedap sikit. Kalau tidak sebelum ni asyik sembang pasal Menteri Besar Selangor jek tak habis-habis. 

Minggu ini mungkin Leicester City akan menjadi mangsa seterusnya. Dan aku secara peribadi menantikan perkembangan Daley Blind yang mana pada penampilan pertama beliau minggu lepas berjaya merekodkan 107 hantaran tepat daripada 112 hantaran yang dilakukan sepanjang 90 minit permainan. Ini membuktikan kenapa Van Gaal bersungguh-sungguh mahu mendapatkan beliau dan juga pemain mutasi nadir bumi yang lain seperti Di Maria, Rojo dan juga Ander Herrera. 

Dalam bola sepak sudah pasti ada naik dan turunnya. Tetapi tidak buat pasukan Arsenal. Turun dan terus menjunam nasib mereka. Jika rekod 6 perlawanan sebelum ini diambil kira, pasukan Arsenal hanya mampu menang sekali ketika bertemu Besiktas (kelayakan UCL), memperlolehi 4 keputusan seri dan terbaru tewas kepada Borussia Dortmund. Kini sudah ada ura-ura yang mengatakan Ozil perlu direhatkan. Ini kerana pada musim lepas dia berjaya melakukan 6 bantuan gol dalam 10 penampilan awalnya bersama Arsenal. Manakala musim ni Ozil kelihatan seringkali hilang punca apabila berada di atas padang. 

Begitu juga perihalnya denga Alexis Sanchez. Figura ini mula tertanya-tanya kenapa hidupnya kini berakhir dengan bermain bola bersama Welbeck? Sedangkan tidak lama dahulu dia hampir setiap minggu berlaga bahu dengan Lionel Messi. Namun itulah bola sepak yang sudah pasti ada naik dan turunnya. Tetapi tidak buat pasukan Arsenal yang turun dan terus menjunam ke lembah yang paling keji. 

Pasukan mana pula yang akan meneruskan kesuraman Arsenal minggu ini? Kita serahkan tugas itu kepada Aston Villa yang juga minggu lepas seperti dijangka menumpaskan Liverpool. Jika dilihat pada kedudukan liga, Aston Villa kini berada ditangga kedua dengan 10 mata hasil daripada 3 kemenangan dan satu keputusan seri. Buat pengetahuan semua pasukan Aston Villa juga masih belum tewas musim ini. Cuma Paul Lambert mungkin perlu gusar dengan barisan serangannya kerana mereka tidak melakukan satu pun percubaan gol ke atas pasukan Liverpool pada separuh masa kedua ketika menewaskan pasukan tersebut di Anfield. 

Liverpool pula minggu ini akan menghadapi West Ham yang baru sahaja seri 2-2 ketika bertemu dengan Hull City. Seperti biasa juga Liverpool berperangai macam Pakatan Rakyat. Kalau dengar gaya sembang, macam semua piliharanraya boleh memang. Begitu juga Liverpool, macam semua perlawanan mereka boleh menang. Tetapi kejayaan menewaskan kelab Ludogorets dalam saingan UCL bolehlah dikatakan menjadi tonik buat persediaan menentang West Ham. Apa yang menarik dalam perlawanan ini ialah selain kita dapat menengok aksi Balotelli yang mudah jatuh, kita tumpukan perhatian juga kepada penyerang Wes Ham iaitu Enner Valencia yang berbangsa Ecuador. 

Apa dia adik-adik? Chelsea? Ya ada...mestilah ada.. 

Umum mengetahui Chelsea adalah pasukan yang berbeza dengan Manchester United kerana Chelsea tidak kalah kepada Swansea di laman sendiri. Dan Chelsea juga bermain bola sepak di pertengahan minggu. 

Pada laga kelima ini Chelsea akan menjadi pelawat kepada Manchester City dalam perlawanan yang kita takkan lihat pemain menahan bola macam muslimah dan tiada Welbeck yang tahan bola macam Batistuta, tapi sepak tinggi macam Azizol Kamaluddin.

Mungkin ada molot dan suara sumbang berkata "Eh? Lawan Schalke 04 dekat Stamford Bridge pun seri jek..Ape bende?" 

Sesungguhnya mereka tidaklah mengetahui bahawasanya memilih jalan yang sukar itu terlalu banyak hikmahnya. Jadi..hanya mereka yang istimewa sahaja akan sentiasa tenang dan rileeekssss. Amacam? Power tak?

Thursday, September 11, 2014

Perihal Songkok Welbeck Jangan Buat Bahan Senda Gurauan


Perihal Songkok Welbeck Jangan Buat Bahan Senda Gurauan

Kira-kira sebulan yang lalu pasukan Arsenal berjaya menewaskan Manchester City 3-0 dalam perlawanan perisai komuniti. Ketika itu Arsenal turun tanpa kelibat Danny Welbeck. Minggu ini mereka bertemu lagi di Stadium Emirates London. Dan sudah pastinya dengan kehadiran The New England Golden Boy ataupun lebih manis kita panggil The Next Henry - Danny Welbeck. Entah apalah malangnya nasib Manchester City minggu ini apabila terpaksa bertemu dengan Arsenal dan Danny Welbeck yang sedang berada di prestasi terbaiknya. 

Welbeck yang ada sekarang bukanlah Welbeck yang wujud pada 2009 yang selalu tidak berfungsi di atas padang dan sering hilang songkok dan otak ketika berlari.  Welbeck yang baru sahaja seminggu berlatih dengan pasukan Arsenal ini (Ya baru seminggu!!) adalah dalam proses menjadi pemain terbaik England bagi generasinya. Dia (Welbeck) tidak perlu sentuhan yang banyak untuk menjaringkan gol. Kadang-kadang satu sentuhan sahaja sudah cukup. Kalau menggunakan tumit pula. Dia boleh menjaringkan gol di bawah kesedaran dirinya sendiri. Sedangkan pemain lain yang setaraf dengannya memerlukan dua atau tiga sentuhan sebelum menjaringkan gol. Gandingan Welbeck - Sanchez minggu ini ibaratnya macam gadingan Soon Kit - Beng Kiang. Amat berbisa. 

Sebenarnya Welbeck sudah 8 tahun bermain dengan England bermula dari tahun 2006 lagi (bawah 17, 18, 19 dan 21 tahun). Tetapi selepas Steven Gerard bersara ni, Welbeck sudahpun berjaya menyumbat 2 gol ketika aksi menentang Switzerland bagi kelayakan Piala Eropah 2016. Menyaksikan kini beliau mengumpul 10 gol antarabangsa dalam 28 penampilan untuk pasukan senior England. Sekali lagi aku tertanya-tanya. Adakah selama ini England yang bangang ke Welbeck yang bangang? Atau Gerrard? 

Tak perlulah kita mentertawakan Arsenal dengan pembelian Welbeck ini. Sebenarnya Liverpool lagi teruk. Ada Gerrard. Tapi Manchester United lagilah jahanam. Ada Van Gaal. 'Flamboyant striker' macam Welbeck ni adalah jenis pemain yang bercita-cita tinggi. Dia tak nak habiskan karier di kelab bangang dan mahu segera menawan Eropah. Dan aku yakin perpindahannya ke Arsenal ini adalah jalan pilihan yang betul. Yang paling penting dalam kontrak tidak boleh halang Welbeck daripada bermain dengan memakai songkok. Heh!! 

Di pihak Manchester City pula, kalah kepada Stoke City pada malam merdeka yang lalu adalah malapetaka besar buat mereka. City akan sedikit tempang dengan ketiadaan Jovetic yang dipercayai cedera dan ini  meninggalkan Pallegrini  kepada pilihan sama ada Sergio Aguero dan Edin Dzeko selaku penyerang utama pasukan yang cergas dan bebas cedera. Ini kerana City telahpun menghantar Alvaro Negredo ke Valencia manakala John Guidetti ke Celtic. Semoga berjaya diucapkan kepada City dalam menghadap Arsenal kelak.
 
Pertarungan 'Top of The Table' antara Chelsea dan Swansea adalah perlawanan wajib tonton buat mereka-mereka yang dahagakan menonton cara bola sepak itu dimainkan dengan penuh seni dan keterujaan yang tinggi. Tidak perlu aku ulas di sini. Engkorang tontonlah sendiri dan nikmatinya dengan tenang. 

Sementara itu Liverpool yang berada di tangga ke-5 akan menjadi tuan rumah kepada Aston Villa yang kini menduduki tangga ke-3 liga. Apa-apa yang melibatkan Liverpool buat masa ini aku takde selera nak ambil tahu. Macam membazir masa aje ulas pasukan yang tiada arah tujuan ni. Nanti-nantilah..aku nak layan Youtube Konsert Akademi Fantasia ni. 

Manchester United pula akan menentang QPR. Pada perlawanan yang lepas, United hanya mampu seri 0-0 dengan Burnley. Ya, Burnley yang mana hanya membelanjakan £45 Juta ke atas yuran perpindahan pemain sejak tahun 1882. Sedangkan Manchester United pula melunaskan £196 Juta pada musim perpindahan ini untuk membawa masuk Angel Di Maria, Luke Shaw, Ander Herrera, Marcos Rojo, Daley Blind dan Radamel Falcao. Steady betul Van Gaal ni. Nampaknya QPR mungkin akan menjadi mangsa pertama Manchester United musim ini. Kalau tidak...siaplah budak-budak Manchester United kutuk pasukan diorang sendiri. Habis tu nanti kita nak buat mende pulak?

Thursday, August 28, 2014

Everton Pasukan Yang Terbaik Di Liverpool. Tahu tak?


Everton Pasukan Yang Terbaik Di Liverpool. Tahu tak?

Fakta sudah tertulis mengatakan keseluruhan skuad Majlis Perbandaran MK Dons bernilai £235,000. Jumlah ini adalah kurang daripada gaji mingguan Wayne Rooney. Bayangkan kalah 4-0 pulak lepas tu. Mane nak tarok muka jika balik ke rumah, jiran tetangga mula menyindir "Dahle tak main Champions League, tak main Carling pulak dah, banyak gila masa free engko ek...Bolehlah engko mula berkebun terung dengan cili depan rumah waktu petang-petang".

Jadi....ayat-ayat penyedap hati seperti "We will return to Champions League" wajar diberhentikan dengan kadar segera kerana "You can't even play in Capital One Cup woih!". Sebab itulah betapa pentingnya menjadi POWER.

Apakah pulak definisi POWER sebenarnya? Mengeluarkan 'cincin' dari anu? Menonton drama Rindu Awak 200% sehingga tamat dan kemudiannya solat Maghrib cecepat sebelum iklan pertama Buletin TV3 menjengah? Berebut jawatan Ketua Tingkatan? Ataupun berjaya membuat pembelian rekod bola sepak British dengan yuran perpindahan £59.7 Juta dalam hari yang sama tewas kepada pasukan liga tahap ketiga? Tak POWER...semua tu tak POWER. Ape dia? Berkabung? Lagiiiilah tak POWER.

Yang POWER adalah mengumpul 6 mata daripada 2 perlawanan Liga Perdana Inggeris dan bukannya hanya satu mata dalam 2 aksi yang kurang bermaya walaupun ia sebenarnya menepati status selaku pasukan bawahan liga. Ya. Spurs, Chelsea dan Swansea setakat ini berjaya mengumpul 6 mata maksima dan sedang tertib memimpin barisan liga. Aku tak berminat nak sembang pasal Manchester City. Malas. Jadi aku namakan Eric Dier, Cesc Fabregas dan Gylfi Sigurdsson sebagai individu yang menjadi kunci kepada kePOWERan Spurs, Chelsea dan Swansea. Apa dia? Tak setuju? Lantak engko. Engko boleh pilih Danny Welbeck. Aku ok jeeeeee..

Siapa Eric Dier? Begitulah persoalan pertama aku apabila pemain ini menjadi pertahanan pertama yang menjaringkan dua gol secara berturut-turut dalam perlawanan pembukaan Liga Perdana Inggeris. Dier baru sahaja berusia 20 tahun dan pemain muda England ini nampaknya mempunyai masa depan yang cerah sekiranya Mauricio Pochettino dapat mengulangi resepi musim lepas yang mana memperlihatkan kebangkitan anak tempatan seperti Adam Lallana, James Ward-Prowse, Nathaniel Clyne, Jay Rodriguez dan Jack Cork. Dan hari ini sudah mula juga kedengaran suara-suara terlebih keyakinan daripada pendukung Lilywhites apabila mereka dengan berhaja berkata "Who needs Diego Costa when you have Eric Dier?".

Perlawanan ketiga buat Spurs minggu ini ialah melayan kunjungan Liverpool di White Hart Lane. Alaaaah..Liverpool yang kalah 3-1 dengan Manchester City tu. Alaaah..yang dapat gol ehsan dari Zabaleta tuuuu...Oleh itu marilah kita berdoa supaya dihidangkan aksi penuh dramatik sebagai hadiah kemerdekaan Malaysia yang ke-57 dan bukannya aksi berat sebelah serta tidak bernafsu daripada kedua-dua pasukan ini.

Menengok kepada kehebatan Fabregas hari ini membuatkan aku sayu hati mengenangkan kedegilan Arsene Wenger. Bagi aku Arsene Wenger sepatutnya beli sahaja Fabregas sebelum Piala Dunia itu hari. Lepas tu jual Aaron Ramsey, Jack Wilshere dengan Oxlade-Chamberlain ke JDT. Ish..degil betol orang tua ni. Tiga-tiga pemain ni main macam bongok. Ramsey main perasan macam dah berstatus bintang sangat, Wilshere pulak otak dia bekerja dengan lambat manakala Chamberlain seringkali kelihatan gugup dan gelojoh macam nampak Anzalna atas padang.

Hendak menyesal pun tidak berguna. Fabregas kini terus mara dengan telah pun mencipta 3 bantuan gol dalam 2 perlawanan setakat ini. Walaupun Everton adalah pasukan terbaik di Liverpool ditambah pula dengan kehadiran bekas penyerang Chelsea iaitu Lukaku dan Eto', aku masih optimis meramalkan Fabregas tidak akan mempunyai kesulitan minggu ini untuk mengulangi aksi mantapnya sekali lagi. 

Kembalinya semula Gylfi Sigurdsson ke Swansea musim ini merupakan seribu rahmat buat pasukan yang bergelar The Swans ini. Melakukan dua bantuan gol dan menjaringkan satu gol - sudah cukup untuk memadam memori duka beliau musim lepas ketika masih bersama Spurs. Sigurdsson dan Swansea kelihatan tidak mempunyai sebarang masalah besar minggu ini apabila menjadi tuan rumah kepada pasukan yang berada di tangga ke-12 liga iaitu West Bromwich Albion. Aku menjangkakan Swansea akan beroleh 3 mata pada perlawanan ini.

Itu sahajalah setakat ini. Ingat ye..kalah menang tu memanglah adat permainan. Tapi kalau asyik kalah ajek lebih baik berhenti main bola. Pergi jual cendol dekat sebelah kedai kain. Heh!!

Nota tambahan: Selamat datang diucapkan kepada Di Maria dan Balotelli. Ini ke pemain yang nak diharapkan untuk menjulang kejuaraan liga? Hah? Lagik satu aku nak tanya. Van Gaal punya kontrak dekat Manchester United ni berapa tahun? Aku mencadangkan kontrak dia ni diikat sampai mati.