Showing posts with label Liga Super 2013. Show all posts
Showing posts with label Liga Super 2013. Show all posts

Tuesday, October 22, 2013

My Team 2013



Walaupun masih lagi berbaki 3 perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini. Namun senarai kesebelasan utama terbaik musim ini telah pun berjaya saya kumpulkan. Setiap individu ada senarai pemain terbaik masing-masing. Dan ini adalah pilihan saya berdasarkan aksi di dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

My Team 2013 ini tidak termasuk pemain import dan Lions XII. Taktik yang akan saya gunakan ialah 3-5-2. Dah, tidak perlu rasanya saya menulis panjang lebar. Berikut adalah senarai pemain terbaik 2013 Liga Malaysia mengikut pengamatan dan kajian peribadi saya. 
 
Penjaga Gol


Al-Hafiz Hamzah
  • Jika tidak salah, rasanya Zamir Selamat adalah penjaga gol utama JDT. Namun selepas hanya 2 perlawanan liga yang tidak cemerlang, tempatnya telah di ambil alih oleh Al-Hafiz Hamzah. Bermula dari itu, Al-Hafiz Hamzah terus menjadi pilihan pertama Fandi Ahmad. Jika beliau mempunyai barisan pemain pertahanan yang mantap, sudah pasti rekodnya akan lebih cemerlang. Ketiadaannya paling dirasai apabila JDT tewas 6-1 dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia.


Pertahanan

Nik Shahrul Azim
  • Buat masa ini beliau adalah pemain pertahanan  muda yang terbaik dalam negara selain Fahdli Shas. Boleh bermain di mana sahaja posisi di bahagian pertahanan sama ada kiri, kanan mahupaun tengah. Fleksibeliti yang dimiliki beliau ini memudahkan dirinya menjadi pilihan automatik jurulatih sekiranya rakan pertahanan yang lain mengalami kecederaan.

Amirizwan Taj
  • Mungkin ramai yang tidak menggemari corak permainan beliau. Tetapi secara peribadi saya amat meminati stail pemain ini. Gemar naik ke atas dan berani melakukan serangan menyerlahkan ciri-ciri pertahanan zaman moden. Corak permainan yang berbeza daripada tipikal pertahanan yang bermain dalam Liga Malaysia.

Razman Roslan
  • Penjenamaan semula yang berjaya daripada Dollah Salleh. Di Pahang dia bermain sebagai bek tengah. Konsisten dan lebih tenang seiring dengan kematangan usianya. Musim ini adalah milik beliau. 


Tengah

Junior Eldstal
  • Akhirnya kita memilik pemain yang berfizikal antarabangsa. Walaupun agak perlahan, tetapi beliau sering melakukan kerjanya di bahagian tengah dengan sempurna. Mungkin musim depan dia akan menjadi semakin matang apabila Sarawak bermain dalam Liga Super yang lebih mencabar daripada Liga Perdana.

Badri Radzi
  • Apa lagi yang perlu dikatakan mengenai pemain ini? Konsisten sejak 4 tahun yang lalu. Dan secara konsisten juga tidak berjaya menembusi pasukan kebangsaan Malaysia. Kehebatan dia ni tak perlu saya ceritakan lebih lanjut. Semua orang dah tahu.

Amirul Hadi
  • Satu lagi produk kejayaan penjenamaan semula dari Dollah Salleh. Beraksi bagaikan remaja 21 tahun. terbukti pertukaran posisi daripada sayap kanan kepada pemain tengah amat berbaloi untuk dirinya. Musim ini merupakan antara yang terbaik buat dirinya.

Sayap

Azwan Roya
  • Awe melakukan tugasnya dengan cemerlang di JDT. Namun sayangnya tiada sokongan yang jitu daripada pemain yang lain. Ketika di awal musim, Awe jelas amat serasi apabila dipadankan bersama Guiza dan Mat Yo dibahagian depan JDT. Cuma terlalu banyak perlawanan yang seakan-akan beliau seperti bermain bola sepak seorang diri.

Nor Farhan
  • Berada pada kelasnya yang tersendiri. Tajam apabila berada di depan gol. Yang ini pun aku malas nak cerita panjang. Siapa yang nengok Liga Malaysia musim ini mesti tahu betapa hebatnya pemain ini.

Penyerang

Norshahrul Idlan
  • Mat Yo masih lagi yang terbaik di Malaysia. Itulah kenyataan yang pahit tapi wajar ditelan dengan redha. Walaupun tidak sehebat dulu, tetapi aksinya masih lagi berbisa. Dan apabila bola berada di kakinya, beterabur pertahanan lawan cuba menumpaskan beliau. 


Amri Yahyah
  • Tua dan masih mantap. Setia bersama Selangor. Jelas pemakanan tempe yang konsisten banyak membantu beliau mengekalkan stamina sehingga pada usia begini. Lebih layak bermain untuk Malaysia berbanding Abang Jalal.


Simpanan
 
Khairul Fahmi
Aidil Zafuan
Mahali Jasuli
Nazmi Faiz
Azamuddin Akil

Monday, July 1, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 21



Liga Super 21 Jul 02, 2013 (Selasa)

Orang kata, takkan hilang bola Melayu di dunia. Jadi, aku dengan rela hati meneruskan analisis Liga Super Malaysia dengan hanya memfokuskan kepada 3 perlawanan sahaja. Kenapa? Sebab game yang lain itu sudah tidak bermakna dan kurang menarik. Di bawah ini adalah prebiu 3 perlawanan yang melibatkan Selangor, Lions XII dan Johor Darul Takzim FC yang mana pasukan ini berpeluang merangkul dan memeluk cium trofi Liga Super 2013. Selamat mengantuk sambil membaca!!


| Jika keputusan perlawanan pada 2 Julai 2013 (Selasa) |

Lions XII Menang
Lions XII akan bergelar juara jika mengalahkan Felda United di Jalan Besar. Tidak kira apa pun keputusan perlawanan Selangor dan Johor Darul Takzim

Lions XII Seri
Jika Lions XII seri. Selangor dan Johor Darul Takzim menang. Kejuaraan akan ditentukan pada perlawanan terakhir.
Jika Lions XII seri, Selangor dan Johor Darul Takzim seri atau kalah. Kejuaraan milik Lions XII.

Lions XII Kalah
Jika Lions XII kalah. Selangor dan Johor Darul Takzim menang atau seri. Kejuaraan akan di tentukan pada perlawanan terakhir.
Jika Lions XII kalah. Selangor dan Johor Darul Takzim kalah. Kejuaraan milik Lions XII.
 
Rasukan Sang Gergasi Merah
Selangor mln Terengganu PBDKT T-Team
8.45mlm, Std Shah Alam

Mungkin ini peluang terakhir. Atau ia adalah kurniaan rezeki buat sang gergasi merah. Lions XII seakan-akan masih belum mampu bergelar juara dan mereka sebenarnya silap dengan memandang rendah keupayaan Selangor. Hanya 3 mata sahaja yang dicari oleh Irfan Bakti dan pemainnya. Mereka mensasarkan untuk menjadi 3 pasukan terbaik. Tetapi kini mereka bersaing untuk merebut kejuaraan liga walaupun ia sudah berada pada penghujungnya.

Kehebatan Si Tua Amri Yahyah tidak perlu dipersoalkan lagi. Hanya peminat Jalaluddin Jaafar sahaja yang selalu tidak dapat terima kenyataan bahawasanya Amri Masih boleh beraksi di peringkat tertinggi. Aksi mengapung diri 'The Matrix' dari pemain ini sudah pasti akan membuatkan pemain remaja pasukan T-Team terkejut dan diserang demam.

Ruangan sukan akhbar tabloid unggul negara, Sinar Harian yang setaraf dengan The Sun Uk juga The Mirror telah meramalkan Selangor akan memenangi perlawanan menentang T-Team ini dan menjadi juara Liga Super 2013 dalam keluarannya hari ini. Walaubagaimanapun, ianya hanya terdapat didalam akhbar sisipan untuk Negeri Selangor / Kuala Lumpur sahaja. Mereka yang berada diluar kawasan, sila layari url berikut.
 
Pemain Tumpuan Selangor: Amri Yahyah
Pemain Tumpuan T-Team: Damir Ibric
Ramalan: Selangor 3 - T-team 1


Ubat Pelali Harimau Selatan
Negeri Sembilan mln Johor Darul Takzim FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Liga Perdana seakan-akan sudah mengalu-alukan kedatangan The Jangs musim depan. Dikhabarkan paluan kompang dan rebana sedang menanti mereka. The Jangs pasukan yang sudahpun tersungkur ke Liga Perdana musim depan akan melayani kunjungan JDT di Paroi Selasa ini selepas JDT dimalukan di perlawanan akhir Piala FA Sabtu lepas kepada Kelantan.

Kembalinya Aidil Zafuan ke dalam barisan pertahanan JDT yang sangat hilang punca Sabtu lepas mungkin akan menambah sedikit kekuatan kepada mereka. Apa yang jelas, Tharmini Saiban dan Muslim Ahmad bukannlah seorang pemain menggunakan otak ketika bermain. Sebab itulah apabila Aidil tiada, habis kucar-kacir pertahanan JDT. Walaupun kadangkala otak Aidil juga turut hilang entah kemana ketika bermain, namun bangangnya masih boleh dibendung.

Kini apa yang perlu dilakukan oleh Fandi Ahmad adalah mengutip 3 mata penuh selepas Piala FA hilang dari genggamannya. Jika tidak kariernya dalam bahaya.
 
Pemain Tumpuan JDT: Aidil Zafuan
Pemain Tumpuan: Shahurain Abu Samah
Ramalan: Negeri Sembilan 1 - JDT 2
 

Juarakah Mereka?
Lions XII FC mln KL Felda United FC
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura
 
Ramai umat Malaysia yang bermimpi untuk melihat FELDA mengalahkan Lions XII sekaligus mencerahkan peluang pasukan Selangor dan JDT untuk merebut takhta Liga Super 2013. Tetapi bagi aku, peluang itu amat tipis. Senipis kulit bawang. Kenapa? Kerana Lions XII terlampau kuat untuk setiap pasukan negeri/kelab yang bermain di dalam Liga Super terutamanya ketika mereka beraksi di atas padang plastik. Dan yang sedihnya pasukan ini banyalah berumur bawah 23 tahun. Semua 11 pasukan Malaysia dalam Liga Super tidak mampu menghalang pasukan Temasik ini dari menjulang kejuaraan sulung mereka di bumi Malaya.

Cakap banyak pun tidak guna. Lions XII akan mudah meratah FELDA dan sekaligus menjulang Piala Liga Super digelanggang mereka sendiri. Maka, kamu semua tidak akan dapat melihat Prebiu Liga Super Perlawanan 22 daripada aku. Selamat Maju Jaya FAS!!!
 
Pemain Tumpuan Lions XII: Mohd Shafiq Abdul Ghani
Pemain Tumpuan FELDA: Rudie Ramli
Ramalan: Lions XII 2 - FELDA 0


Monday, June 24, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 20



Liga Super 20 | Jun 25, 2013 (Selasa)

 
Perebutan Tempat Tercorot
Terengganu PBDKT T-Team mln Negeri Sembilan
8.45mlm, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

T-team dan Nogori adalah 2 pasukan yang sedang syok sendiri merebut tempat tercorot dalam liga super musim 2013 ini. Walaupun lewat ini ada sedikit peningkatan daripada beberapa pemain Negeri Sembilan, namun bolehlah dikatakan ia agak terlewat. Nazrin Nawi adalah antara pemain yang paling menyerlah. Dan sekiranya Nogori jatuh divisyen, kita tidak pasti sama ada beliau akan kekal dengan Nogori ataupun berpaling arah. Ridzuan Abu Shah ketika ini berjaya menggantikan Divaldo Alves dengan cemerlang. Dengan hanya baki 3 perlawanan, tidak banyak yang beliau boleh lakukan sebenarnya dan menunggu takdir menghumban mereka ke Liga Perdana.
 
Begitu juga dengan pasukan T-Team, mereka kini hanya menghabiskan sisa-sisa perjuangan baki liga super 2013. Mungkin T-Team akan menewaskan Nogori di Kuala Terengganu. Tetapi najis-najis peninggalan Peter Butler masih meninggalkan bau yang busuk. Pemain import mereka George Boateng pula dengan perangai yang sukar dijangka. Sekejap power, sekejap lembik. Pemain muda T-team juga masih tidak bersedia untuk aksi Liga Super. Hanya liga perdana sahajalah ubat yang sesuai untuk T-Team.

Pemain Tumpuan T-Team: Damir Ibric
Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Nazrin Nawi
Ramalan: T-Team 1 - 0 Negeri Sembilan


Perang Saudara
Selangor PKNS FC mln Selangor
8.45mlm, Std Shah Alam

PKNS akan menerima kunjungan dari pasukan Selangor di Stadium Shah Alam yang juga 'home' untuk pasukan Selangor sebenarnya. Tidak pasti adakah perlawanan ini sesengit Everton lawan Liverpool kerana ia selalu berakhir dengan keputusan seri sahaja. Pada aksi pusingan pertama juga kedua pasukan seri 0-0. Janganlah kita terlalu berharap akan ada perlawanan yang mendebarkan. Kemungkinan besar Irfan Bakti akan berjaya mengutip 3 mata dan seterusnya melonjakkan lagi peluang pasukan Selangor untuk menduduki kedudukan 3 teratas liga.

Pemain Tumpuan PKNS: Nazmi Faiz
Pemain Tumpuan Selangor: Amri Yahyah
Ramalan: PKNS 1 - 2 Selangor.
 

Tak Rela Terrcicir
ATM mln Terengganu
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Jumaat lepas ATM dimalukan oleh Selangor dalam keadaan yang  paling keji dan hina. Walaupun ATM cuba memberikan saingan, ternyata ATM bukan lawan sebenar Selangor. Mereka juga kini terkeluar daripada saingan merebut kejuaraan Liga Super. Mungkin berhadapan dengan Terengganu, pasukan bimbingan Sathianathan ini mampu menambah pungutan mata mereka sekaligus mengukuhkan kedudukan liga mereka.

Lawan mereka nanti ialah Terengganu yang juga dirodok 4-0 oleh finalis piala FA Sabtu ini, iaitu Kelantan. Terengganu mungkin boleh mengucapkan tanda syukur kehadrat Ilahi kerana mereka sudah pasti akan selamat daripada terjerumus ke Liga Perdana musim depan. Elavarasan walaupun agak terkial-kial dengan jumlah pemain berbakat yang dimilikinya, namun skuad penyu kadangkala boleh beraksi baik apabila bertemu dengan pasukan yang lemah. Baki 2 perlawanan selepas ini Terengganu akan beraksi di Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT. Dan aksi away terakhir musim ini di Paroi mungkin akan meninggalkan kenangan pahit buat The Turtles.

Pemain Tumpuan ATM: Fitri Omar
Pemain Tumpuan Terengganu: Ashaari Samsuddin
Ramalan: ATM 3- 1 Terengganu


Peluang Tebus Maruah
Kelantan mln Pahang
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Ketika ini Pahang berada di atas Kelantan di tangga ke-5 liga dengan 29 mata. Manakala Kelantan pula mengumpul 27 mata. Aksi longlai Kelantan pada permulaan liga benar-benar memakan diri mereka. Kini dengan hanya 3 perlawanan sahaja yang tinggal, sudah pasti Bojan Hodak dahagakan 9 mata penuh untuk menyelamatkan maruah juara liga super 2012 ini. Meskipun sudah tidak mampu bergelar juara, tetapi mereka masih berpeluang menamatkan musim dengan berada pada kelompok 3 pasukan teratas. Itupun jika mampu menewaskan Pahang, Perak dan LIONS XII.

Pahang..pasukan yang pancut awal. Gah di awal musim, kini terkulai semakin jauh dari tahkta liga. Selepas gagal ke perlawanan akhir Piala FA, mereka sekali lagi ditimpa bala. Bala terkini apabila tewas kepada Perak di gelanggang sendiri 1-2. Ia sesuatu yang memalukan ketika kebanyakan anak muda Pahang sudah mula menyerap roh Tok Gajah dalam jiwa mereka. Mereka perlu bangkit menewaskan Kelantan jika tidak mahu digelar sebagai...(habiskan ayat ini mengikut suka hati anda)
 
Pemain Tumpuan Kelantan: Nor Farhan
Pemain Tumpuan Pahang: Hafiz Kamal
Ramalan: Kelantan 3 - 3 Pahang

 
JDT Terlampau Hebat Ya Rabbi!!!
Johor Darul Takzim FC mln KL Felda United FC
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB

Sekali imbas aku dah tahu JDT akan menang menang mudah ke atas Felda. Pasukan Felda ni aku pernah terserempak di Concorde Shah Alam. Semasa sarapan bukan main rancak lagi pemain-pemain Felda ni menceduk makanan ke dalam pinggan masing-masing seolah-olah tiada esok bagi mereka. Hasilnya? Kamu semua pun tahu di mana kedudukan Felda dalam liga super sekarang ini. Dengan barisan kejurulatihan yang hancur lodoh, pentadbiran yang lemah, pemain-pemain yang tiada semangat juang di atas padang - semuanya punca kepada hanyutnya Felda dalam saingan musim ini. Selamat tinggal buat mereka.

Pasukan JDT? Mereka sangat hebat sehingga aku kehilangan kata-kata untuk ditaip.
 
Pemain Tumpuan JDT: Safee Sali
Pemain Tumpuan Felda United: K. Devan
Ramalan:JDT 4 - 0 Felda United

 
Asal Bukan Kome
Perak mln Lions XII FC
8.45mlm, Std Perak, Ipoh

Semua harapan umat Malaya terletak di bahu pasukan Perak. Tiada kompromi. Azraai Khor perlu mengutip 3 mata sekaligus membuka kembali saingan kejuaraan Liga Super. Beliau juga perlu menang bagi membuktikan kepada PAFA bahawa khidmatnya masih diperlukan untuk Piala Malaysia.

Jika Perak tewas kepada Lions XII, peluang pasukan temasik itu untuk membawa trofi Liga Super merentasi jerebu dan tambak Johor semakin cerah. Namun musim ini Lions XII hanya menang 2 perlawanan daripada 9 aksi di tempat lawan. Satu statistik yang menunjukkan kecemerlangan pasukan ini hanyalah bergantung kepada padang plastik mereka di jalan besar sahaja. Saya dan Jenna Haze yakin jerebu kali in merupakan petanda Perak akan menang ke atas Lions XII yang juga berjerebu.

Pemain Tumpuan Perak: Paolo Rangel
Pemain Tumpuan Lions XII FC: Muhd Safuwan Baharuddin
Ramalan: Perak 2 -  1 Lions XII FC.

Monday, June 17, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 19



Liga Super 19 | Jun 21, 2013 (Jumaat)


Debar Derbi Pantai Timur
Terengganu mln Kelantan
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Perlawanan merebut tempat ke 7 dan 8 liga akan berlangsung diantara Terengganu menentang Kelantan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu. Kelantan akan mempamerkan permainan 'konon- konon' cantik mereka sementara para penyokong pula sibuk mencipta 'chanting' atau sorakan-sorakan terbaik untuk jurulatih kesayangan mereka Bojan Hodak. Aku ada membaca beberapa laman web tentang 'Bojan chants'. Memang lucu dan sarkastik. Gaya gurauan komedi hitam Kelantan. Macam ala-ala dikir barat jugokla. Tak boleh blah! Hangpa surf sendiri nooo..

Kemungkinan besar perlawanan ini akan menjadi sengit kerana Terengganu telah tewas kepada Kelantan dalam aksi Piala FA bulan lepas. Segala senjata dan kekuatan akan digunakan oleh skuad Elavarasen demi mencipta 3 mata sekaligus membalas dendam yang berkurun lamanya itu.

Pemain Tumpuan Terengganu: Ashaari Samsuddin
Pemain Tumpuan Kelantan: Nor Farhan
Ramalan: Terengganu 3- Kelantan 1.


Luka Lama
Selangor mln ATM
8.45mlm, Std Shah Alam

ATM akan kembali memberi saingan di puncak liga JIKA menang ke atas Selangor di Shah Alam malam jumaat nanti. Ya, memang sesuai sangat guna perkataan JIKA. Dengan prestasi pasukan ATM sekiranya Marlon Alex tidak turun beraksi dan momentum pasukan pada gear 1, bermain pula di Shah Alam, selepas kalah bergaya ke atas Negeri Sembilan lagi, memang sesuailah digunakan perkataan JIKA.

Selangor pula seperti biasa bukanlah hendak bercakap besar..namun barisan pemain bermula dari posisi penjaga gol yang dikawal oleh Norazlan Razali membawa kepada kitman sekalipun, memang tersangatlah mantapnya ya ampun!! Kini matlamat Irfan Bakti dan ketua pasukan Asrarudin Putra ialah memastikan Selangor menduduki tangga ke-3 dan beroleh sekali lagi aksi di Piala AFC buat tahun kedua berturut-turut.(andai LIONS XII juara atau naib juara)

Pemain Tumpuan Selangor: Mahali Jasuli 
Pemain Tumpuan ATM: Fitri Omar
Ramalan: Selangor 2 - ATM 0.

Pelengkap Jadual
KL Felda United FC mln Terengganu PBDKT T-Team
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya

Kedua-dua pasukan ini sebenarnya memasang cita-cita untuk mencipta kedudukan lebih baik untuk musim ini berbanding musim lepas. Pada awalnya mereka mensasarkan top 3. Namun kini hanya mampu duduk bottom 3. Entah apelah nasib kedua pasukan ini. Kalau kaya seperti Chelsea, bolehlah amalkan tabiat seperti kelab London itu. Jika kalah, mereka akan tukar jurulatih lagi atau beli pemain baru. Itu motto The Blues.

Kawe difahamkan Felda baru sahaja menambah semangat baru selepas kekalahan 3 kali berturut-turut dalam saingan Liga. Macam mana semangat itu ditambah pun kawe kurang periksa. Manakala pemain import mereka Leonelst Preux, boleh bermain di mana-mana posisi di bahagian serangan dan ini baik untuk Felda, kata K. Devan lagi sambil tangannya laju menebar roti jala.

Pemain Tumpuan KL Felda United FC: Leonelst Preux
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team:  Mohd Badrul Hisyam Morris
Ramalan KL Felda United FC 1 - Terengganu PBDKT T-Team 1.


Liga Super 19 | Jun 22, 2013 (Sabtu)



Tanda Puteri
Pahang mln Perak
8.45mlm, Std Darul Makmur, Kuantan

Khas buat pasukan Perak dan Pahang yang dahulunya gergasi bola sepak di Malaysia....

Sesungguhnya akan tiba waktunya, bila di puncak, jatuh ke bawah, mungkin sementara barangkali. Sesungguhnya akan ada masanya akan tiba bila waktunya tidak menang. Maka ditanya kepada tukang kayu, Kenapa bermuram durja? Katanya sinar mentari hari ini tidak sama seperti semalam, walaupun iya, masih terus mahu bersinar, iya, cahayanya tetap sama, tetapi ia tidak sama seperti semalam. Tidak mengapa kerana sekurang-kurangnya sinar mentari masih terus mahu muncul di horizon, memberikan kehidupan baru untuk manusia. Ohhhh...

Tabahlah wahai anak muda....

Pemain Tumpuan Pahang: Mathias Conti
Pemain Tumpuan Perak: Farizal Marlias
Ramalan: Pahang 2 - Perak 0. 


Bukan Bintang Biasa
Negeri Sembilan mln Selangor PKNS FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Kejutan akan berlaku. Pasukan Nogori yang dibimbing oleh jurulatih sementara anak tempatan akan menewaskan PKNS dengan penuh bergaya sekaligus mencatat kemenangan liga yang kedua.

Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Nazrin Nawi
Pemain Tumpuan Selangor PKNS FC: Nazmi Faiz
Ramalan: Negeri Sembilan 2- Selangor PKNS FC 1



Hanya JDT Mampu Lakukan
Lions XII FC mln Johor Darul Takzim FC
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura

Buat masa ini memang JDT sangat gempak. Tak sia-sia mendapat sondolan “favourite” untuk saingan liga super tahun ini. Nunez pula menunjukkan kepada semua pengkritik yang memang dia pemain terbaik di seluruh sistem suria apabila menjaringkan 2 gol cantik dalam saingan Liga Super setakat ini. Sebagai persediaan menghadapi Lions XII di atas padang plastik, seluruh skuad JDT telah turun berlatih di Kluang yang juga memiliki padang plastik serupa di Padang Besar. Ini contoh pasukan yang bijaksana dan cergas pemikirannya. Tidak ragu lagi JDT akan menjadikan Lions XII sebagai lauk pauk.

Pemain Tumpuan Lions XII FC: Harris Harun
Pemain Tumpuan Johor Darul Takzim FC: Nurul Azwan Roya
Ramalan Lions XII FC 0 -  Johor Darul Takzim FC 3

Monday, May 13, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 18


Liga Super 18 | Mei 17, 2013 (Jumaat)


Kontroversi MB 
Perak mln Terengganu
8.45mlm, Std Perak, Ipoh

Kerja-kerja amal pasukan Perak untuk memperbaiki kedudukan dalam liga sekali mungkin tergendala minggu ini kerana Rafael Souza Novais, Paulo Rangel dan Mohd Farizal Marlias terpasa disisihkan kerana penggantungan. Rafael diarahkan keluar padang ketika seri 1-1 dengan Selangor. Manakala Rangel dan Farizal sudah mengutip kad kuning yang ketiga. Selain itu Shahrulnizam Mustapa, V Thirumurugan, S Chanturu dan M Sivakumar pula disahkan masih cedera dan belum pasti akan diturunkan menentang Terengganu.

Terengganu pula akan turun tanpa kehadiran Ismail Faruqi yang dilayangkan kad merah ketika seri 2-2 menentang Pahang minggu lepas. Namun keadaan ini tidak akan memberi sebarang kesan kerana sesiapa pun penggantinya akan bersedia 101% untuk menggalas tugas tersebut. Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi buat masa ini disebut-sebut sebagai pemain paling berharga buat Terengganu musim ini berikutan persembahannya serta jaringan golnya yang bertaraf dunia mengalahkan Lionel Messi.

Setelah dikaji selidik, Perak akan membawa pulang 3 mata tanpa rasa ragu di hati ini.

Pemain Tumpuan Perak: Mohd Noor Hazrul
Pemain Tumpuan Terengganu: Mohd Khairul Ramadhan Mohd Zauwawi
Ramalan: Perak 2 - Terengganu 0


Tiada Masalah Buat Fandi
Terengganu PBDKT T-Team mln Johor Darul Takzim FC
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Umum tahu pemburuan menjadi juara liga super bukanlah satu tugas mudah. Banyak halangan yang perlu ditempuhi, tidak lupa juga ujian-ujian yang mendatang tiba baik di atas padang mahu pun di luar padang. Inilah yang membezakan di antara juara-juara Liga Super seperti Selangor, Pahang, dan Kelantan berbanding kelab bawahan seperti T-Team dan JDT.

Minggu ini mereka akan bertembung sesama sendiri dibawah mentari petang Kuala Terengganu. Jika di atas kertas memang tiada masalah buat pasukan JDT kerana T-Team ketika ini merupakan sahabat baik Negeri Sembilan yang setia menduduki tangga bawahan liga. Andai kalah JDT nanti, kita tunggu sahajalah anak raja bertitah. Huh!!

Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: TIADA
Pemain Tumpuan  Johor Darul Takzim FC: Mohd Nurul Azwan Roya
Ramalan T-Team 2 - Johor Darul Takzim FC 2. 


Karma Soltan Bola 
Pahang mln Lions XII FC
8.45mlm, Std Darul Makmur, Kuantan

Mampukah Jalaluddin Jaafar mengekang LIONS XII pasukan yang mempunyai barisan dan teknik menyerang, serta perlu diingat, gaya permainan penuh dramatik dan menarik, Jumaat ini di Darul Makmur?

Saya diberitahu dari satu sumber yang sah, Jalaluddin Jaafar, sering terganggu tidur malamnya kerana risaukan Shahril Ishak . Setelah 10 tahun asyik berlatih tanpa bermain dalam perlawanan peringkat tertinggi, beliau kurang yakin dengan kudratnya untuk 'menjaga' Shahril Ishak yang sedang 'meletop'. Namun Dollah Salleh terpaksa juga menggunakan kuda tua ini untuk memantapkan barisan pertahanannya.

Momentum LIONS XII adalah pada tahap tinggi sekarang ini. Bagi mereka, satu perlawanan penting selepas selesai satu perlawanan besar adalah rutin dan menjadi kegemaran pemain. Mereka sentiasa dahagakan perlawanan mencabar melawan pasukan besar. Mereka sentiasa bersedia, tidak kisah 2 perlawanan seminggu. Tidak kisah pasukan besar Real Madrid Malaysia ini.

Pemain Tumpuan Pahang: Azamuddin Akil
Pemain Tumpuan LIONS XII: Shahil Ishak
Ramalan: Pahang 3 - LIONS XII 2.


Liga Super 18 | Mei 18, 2013 (Sabtu)


Peluang Terakhir

ATM mln Negeri Sembilan 
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Tidak perlu bercerita panjang lebar tentang perlawanan ini kerana ATM kelihatan terlampau kuat untuk ditewaskan pasukan Nogori dalam misi mustahil mereka untuk merekodkan kemenangan pertama musim ini dalam liga super. Walaupun ATM akan turun sebagai tuan rumah, namun Nogori masih berpeluang melakar kejutan kerana mereka sudah biasa beraksi di Paroi. Jikalau kalah pun mungkin tidaklah dalam margin yang besar. Apa yang jang sekalian perlu lakukan ialah berdoa agar tidak kalah dimalukan di tompek sendiri.

Pemain Tumpuan ATM: Hai-O
Pemain Tumpuan Nogori: TIADA
Ramalan: ATM 3 - Nogori 0


Clash of The Reds 
Kelantan mln Selangor 
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Di Malaysia secara amnya, hanya ada dua kelab bola sepak yang utama. Kelantan dan Selangor. Selebihnya hanya kelab lain-lain. Dan kedua-dua kelab tersebut ibarat syurga dan neraka perbezaannya. Tetapi duopoli seperti lazimnya melibatkan pertentangan dua kuasa yang berbeza. Macam kebaikan dan kejahatan, syurga dan neraka, Amerika Syarikat dan Soviet Union mahupun Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Ada Paham?

Bercakap mengenai Kelantan dan Selangor, kedua-dua pasukan yang digembar-gemburkan bakal merampas puncak klasemen dari LIONS XII menjelang pusingan kedua setakat ini masih belum merampas puncak klasemen nampaknya. Satu pihak diberi jolokan ‘The Red Giant’, manakala satu pihak lagi dituduh pernah mencuba membakar stadium mereka ketika tewas dengan pasukan jirannya dalam satu aksi derbi yang mendebarkan.

Amri ‘Red Giants Slayer’ masih lagi relevan untuk disenaraikan dalam usaha Selangor mencari gol bersama-sama Forkey Doe. Manakala Kelantan musim ini lebih mengutamakan permainan berpasukan untuk merobek gawang lawan. Tentunya kapitan marbel Piya berazam untuk menjaringkan gol sekali lagi menerusi sepakan penjuru.

Pemain Tumpuan Kelantan: Piya
Pemain Tumpuan Selangor: Wak Am
Ramalan Kelantan 2 - Selangor 2


Kebangkitan Kelab
Selangor PKNS FC mln KL Felda United FC
8.45mlm, Std Shah Alam

Keseluruhannya, Felda bermain secara KOMPLIKATED. Terlalu banyak memusing bola, passing dan backpass. Mereka semacam tidak nampak lobang. Tidak ghairah untuk mencuba. Amar Rohidan 100% di luar form. Bila mana fungsi enjin dibahagian tengah tidak membantu atau melakukan hantaran kepada penyerang, macamana gol mahu dihasilkan?

Gaya permainan PKNS sangat mudah. Menyerang untuk menghasilkan gol melalui percubaan -percubaan. Mereka tidak banyak membuat passing yang komplikated. Mereka tidak melakukan passing kepada semua pemain dalam proses melakukan serangan. Felda United, dalam satu-satu serangan, tidak kurang dari 10 kali membuat passing sesama sendiri, menukar side dan juga back pass. Kesannya mereka sering tewas kerana lambat untuk menghasilkan gol.

Pemain Tumpuan: PKNS
Pemain Tumpuan: Felda
Ramalan: PKNS 3 - Felda 0

Thursday, May 9, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 17


Liga Super 17 | Mei 10, 2013 (Jumaat)


Bukan Laga Biasa
Selangor mln Perak 
8.45mlm, Std Shah Alam.

Sejak dari awal musim, Perak ketandusan pemain berkaliber yang mampu 'meningkatkan suhu permainan'. Jika dulu, Perak nampak paling terhebat dan luarbiasa. Untouchable. Sekarang tidak lagi. Nampak 'ordinary sahaja'. Manakala Selangor tetap maintain sebagai sebuah pasukan 'extra-ordinary' dalam Liga Super. Di tambah pula Selangor memiliki pemain sehebat Nor Azlan, Amri Yahyah, Mahali Jasuli dan Forkey Doe. Ternyata status Gergasi Merah memang sesuai digalas pasukan terhebat ini.

Manakala Perak pula jelas perlukan seorang superstar. Seorang kaki maki. Seorang penjaga gol yang kalau menjerit memaki pertahanannya, penyerang lawan pun takut mendengarnya. Seorang penyerang yang berada dalam posisi penyerang. Dan mungkin masalah penyerang sudah berjaya diatasi Azraai Khor ketika ini dengan kehadiran Paulo Rangel. Seorang pertahanan...pertahanan okay, cuma perlu sehat aje. Kalau cedera, inilah jadinya.

Kesimpulannya, Selangor adalah dan tetap juara di Malaysia.

Pemain Tumpuan Selangor: Forkey Doe
Pemain Tumpuan Perak: Paulo Rangel 
Ramalan: Selangor 2 - Perak 0



Luar Biasa Jang.
Negeri Sembilan mln Kelantan 
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Haaa. Tu deh! Biar kito tak ghamai malam tu nanti. Tapi, suaro kito paling kuek! Biar Paroi jadik macam medan porang, melotup sano sini, tapi semangat Jang berundur tidak! Lautan merah Jang tompuh jugak! Jang beradat berhati mulio, memang datang nak tengok bola. Memang datang nak bagi hadiah buek Montori Bosar kito yang baru dilantik. 1 MALAYSIA!

Osah handal eh Jang semuo, tenang-tenang main kek Paroi yo. Langsung tak comeh dongan bunyi merocun. Saporter Jang dari Nogori totap setio bersamo walau kalau kito kalah malam tu. Kito tak biaso buek perangai tak ingat dunio. Biar perasaan terbakar, jangan bangku. Biar kalah, asal jangan buek malu. Haa.. itu posan Dato Lembago kito.

Kejelobak ke Jelobu,
Tuai padi TIGO tangkai,
Mari semua peminat bola bersatu,
Kalau berbalah, sampai bilo tak selosai.

Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Shahurain
Pemain Tumpuan Kelantan : Indra Putra
Ramalan: Negeri Sembilan 0 - Kelantan 3.


Liga Super 17 | Mei 11, 2013 (Sabtu)


Kerja Mudah di Temasik
Lions XII FC mln Terengganu PBDKT T-Team 
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura

Selasa lepas Lions XII berjaya menewaskan abang T-Team pada hujung-hujung perlawanan. Namun menentang T-Team dijangka tugas itu akan lebih mudah dan kurang mencabar. Kiranya ia adalah lawan mudah untuk Lions XII. Tetapi jangan risau, pengurusan T-Team seperti biasa boleh salahkan AJK yang susun jadual perlawanan. Dan ini adalah lumrah yang biasa dilakukan oleh semua jurulatih dalam Liga Super. Tiada ulasan lanjut kerana ia memang kerja mudah buat pasukan Temasik yang amat bangga dengan padang plastiknya.

Pemain Tumpuan Lions XII FC: Baihaki Khaizan
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: TIADA
Ramalan: Lions XII FC 3 - Terengganu PBDKT T-Team 0 


Pahang Sangat Kuat!!!
Terengganu mln Pahang 
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Terengganu adalah antara pasukan yang dilanda kekalahan bebal Selasa lepas. Tak boleh terima langsung kalah dengan Lions XII di tempat sendiri selepas lama mendahului dalam permainan. Prestasi keseluruhan merea tidak menentu. Kalau dengan Lions XII  pun kalah, inikan pula lawan dengan pasukan hebat Soltan Bola, Pahang. Makanya jadik lauklah Terengganu.

Sepatutnya perlawanan ini boleh dianggap clash of the titans juga, itupun kalau 2,3 tahun lepaslah. Terengganu akhir-akhir ini seperti Arsenal, sebuah pasukan yang kuat tapi selalunya tertinggal dalam race kejuaraan. Tak perlu ramal lebih-lebih pasal Pahang kerana mereka akan menang mudah.

Pemain Tumpuan Terengganu: Ismail Faruqi
Pemain Tumpuan Pahang: R. Surendran
Ramalan: Terengganu 1 - Pahang 2.



Ranapkan Felda dan Sahamnya!!!
KL Felda United FC mln ATM 
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya

Pasukan Felda ini, bahaya juga sebenarnya. K.Devan dalam satu laporan berita bertekad nak 'trim' jarak mata. Adakah Sabtu ini menjadi saksi kata-kata mereka? Tetapi melihat kepada kedudukan ketiga tercorot dalam liga, ia adalah sesuatu yang tidak masuk akal untuk mereka. Ditambah pula dengan Felda pun yang prestasinya agak yoyo. Selasa lepas kalah dengan Kelantan 3-0. Mungkin boleh bounce dengan game minggu ini. Mungkin tidak juga dan berterusan menjadi belasahan dalam liga.

Ini game penting buat ATM. Melihat ATM pasukan yang berpotensi mengejar Lions XII damam kedudukan terasa liga. Dan setakat ini hanya ATM adalah pasukan yang punya potensi untuk bersaing dengan Temasik durjana untuk merebut tempat pertama dalam Liga Super. Prestasi yang agak bagus dengan 4 kemenangan dalam lima perlawanan terkini. Di atas kertas, ATM memang tiada masalah menewaskan Felda yang kelihatan kekurangan dari segenap segi dan hanya berbangga dengan Amar Rohidan yang bertenaga Iron Man.

Pemain Tumpuan Felda: Lionel
Pemain Tumpuan ATM: Hai-O
Ramalan: Felda 2 - ATM 3


Bahasa Anjing Bukan Penghalang
Johor Darul Takzim FC mln Selangor PKNS FC 
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB


JDT sebenarnya tidak memiliki kualitas yang baik dalam pertahanan dan menyerang, menjaringkan 20 gol dalam 15 perlawanan dan bolos sebanyak 21 gol. Statistik ini sudah jelas menunjukkan Fandi Ahmad sebenarnya perlu melipat gandakan lagi peranannya sebagai jurulatih JDT. Penjaring terbanyak mereka Dani Guiza sudah lama meninggalkan Malaya. Kini tugas mencetak gol terletak di bahu Mat Yo kerana Nunez masih sibuk mengempeskan perut di Slimming Centre sekitar Johor Bahru.

Manakala buat PKNS pula, lapangan tengah yang dipimpin oleh nakhoda mahir Nazmi Faiz  telah menyediakan perkhidmatan yang solid untuk para penyerang seperti Patrick Ronaldinho. Sementara Helmi Rameli, Roman Chmelo, Nizad Ayub dan penjaga gol cemerlang Ramezey Che Ros merupakan antara muka-muka penting dalam setiap babak kejayaan PKNS musim ini. Berada di tangga ke-6 ketika ini membuktikan pasukan PKNS bukannlah senang-senang alang untuk ditewaskan.

Pemain Tumpuan JDT: Kamarol Afiq
Pemain Tumpuan PKNS: Nazmi Faiz
Ramalan: JDT 2 - PKNS 1

Saturday, May 4, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 16



Liga Super 16 | Mei 07, 2013 (Selasa)


Gundah Azraai Alves
Perak mln Negeri Sembilan 
8.45ptg, Std Ipoh.

Setakat sampai petang esok, Azraai Khor rasanya masih belum pasti taktikal apa yang mahu dipakai. Pada Azraai Khor, kalau Hadi Yahya dan Paolo Rangel tidak main malam nanti, tidak guna apa-apa taktik pun Perak tetap akan menang. Sangat bongkak. Negeri Sembilan ni pula, dari dulu dah tahu dah, memang sangat bergantung kepada Shukor Adan dan Effa Owana untuk menang. Musim ni dua-dua dah takde, hancus! Jadi apa tindakan PBNS untuk mengatasi masalah tersebut? Beli Safee Sali? Yillleeeek!! 

Kalau dahulu bolehlah dikatakan Negeri Sembilan punyai rekod yang agak OK apabila beraksi di Ipoh. Namun kini sama ada semangat Isa Samad, semangat hobin jang hobin, semuanya tak cukup power untuk melemahkan kekuatan Perak, sebuah pasukan yang bermain baik seramai 11 orang, termasuk simpanan. Perak tidak bergantung kepada 1 atau 2 pemain untuk menang. Itu perbuatan keji, kata Shahrulnizam Mustafa yang terkenal dengan mulut Peraknya itu. Kawe cuma berharap Paulo Rangel kekal cergas dan kembali mengganas membelasah pertahanan Nogori.

Jika semuanya berjalan lancar mengikut skrip, Perak akan memenangi perlawanan malam itu dengan kelebihan 4 libasan berbalas TIADA.

Pemain Tumpuan Perak: Paulo Rangel
Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: TIADA
Ramalan: Perak 4 - 1 Nogori.



Pertarungan Agung!
Pahang mln Selangor 8.45mlm,
Std Darul Makmur, Kuantan

Dollah Salleh kata, form semasa bukan penentu perlawanan yang akan berlangsung pada malam Selasa nanti. Kawe setuju. Walaupun form dan momentum kemenangan berpihak kepada Selangor dan kemeruduman serta kebahlolan kuat pada Pahang, tapi ada kemungkinan semua itu tidak akan menentukan persembahan pasukan masing-masing di Darul Makmur nanti.

Mungkin perlawanan akan sengit dan masing-masing akan menjaringkan banyak gol. Mungkin juga bosan dan hanya 1 gol akan menentukan kalah menang. Selangor, bak kata Tuan Haji Hasbullah Awang, bagaikan harimau terluka selepas seri 3 perlawanan berturut-turut dalam aksi Liga Super. Ada kemungkinan mereka akan 'bounce back' bagaikan kemenangan mereka dalam Piala AFC yang lalu. Tapi, Tuan Haji Hasbullah Awang, bukan semua harimau terluka merbahaya. Terutama jika Harimau terluka itu tiada gigi! Hanya mampu jadi penghibur di sarkis, melompat gegelung api dan bermain bola plastik berwarna merah. Harimau yang tak melawan apabila di libas dengan rotan, akan lumpuh jadinya. Itu peringatan buat warga Red Giants juga.

Oleh itu, Pahang perlu menebus kembali kekecewaan ketika tewas 3-2 kepada Selangor di Shah Alam tempohari walaupun coba-coba menjadi King of Comeback ketika itu. Jika tidak, Irfan Bakti dan seluruh angkatan tenteranya sentiasa bersedia memalukan negeri Soltan Bola ini.

Pemain Tumpuan Pahang: Damion Stewart
Pemain Tumpuan Selangor: Mahali Jasuli
Ramalan: Pahang 2 - 2 Selangor.


Kelab Elit
Selangor PKNS FC mln Terengganu PBDKT T-Team
8.45mlm, Std Shah Alam

T-Team kekal sebagai pasukan yang bermasalah. Berada di tangga bawahan liga merupakan sesuatu yang tidak masuk akal. Mungkin dipengaruhi pentadbiran yang serabut dan jurulatih yang kuat meroyan menyebabkan T-team sering terkulai layu dalam perjuangan. Corak permainan bosan sudah menjadi rutin buat mereka. Yang tinggal hanyalah sisa-sisa  kecil perjuangan dalam darah setiap pemain. Diharap penyokong T-Team boleh bertenang dan pergi ke Stadium menonton bola sambil makan kuaci dan berger. Itulah selayaknya.

Bagi pasukan PKNS pula, segalanya nampak mudah, lancar dan sempurna dari segi penyusunan pemain serta taktikal yang dijana oleh Hj. Abdul Rahman. Helmi Remeli dan Es Lizuan Zahid Amir akan berganding bahu dan mengasak Damir Ibric Yuksel daripada menjaringkan gol. Nazmi Faiz pula di tengah berpasangan dengan Roman Chmelo serta Nor Hakim Hassan. Sementara itu Remezey Che Ros pula mantap di posisi gol pasukan PKNS. Kehadiran Ronaldinho seakan-akan menyempurnakan PKNS apabila berhadapan dengan T-team nanti. Sangat menarik untuk kita saksikan!

Pemain Tumpuan PKNS: Remezey Che Ros
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Damir Ibric Yuksel
Ramalan: PKNS 1 - 0 Terengganu PBDKT T-Team


Tentera Sebenar. 
ATM mln Johor Darul Takzim FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Sementara itu jauh di Paroi pada hari Selasa, ATM bakal melayani kunjungan Johor Darul Takzim. Ini adalah perlawanan bertaraf heavyweigt. Perlawanan antara kedua kelab ini mengundang dilema dan kerisauan yang tidak terhingga buat kawe. Jika ATM menang, maka Lions XII akan dipintas mereka.  Andai kiranya ATM tewas kepada JDT, LIONS XII akan kekal di takhta liga. Dan itu pun sekiranya Lions XII menewaskan Terengganu. Sangat rumit bukan? Asal Bukan Singapore dan JDT!!!

Perlawanan ini juga menemukan barisan muda JDT mementang barisan pemain ATM yang kebanyakannya lebih matang dan berpengalaman. Namun kawe sedikit terkejut dengan kenyataan seorang pemain muda JDT yang enggan namanya disiarkan di sini. Katanya...."Hatta kalau bermain bolasepak, biar saya berlari pantas dan mampu menyumbat sepuluh gol, tetap tidak setara dengan kehandalan seorang pemain yang biar pun tua dan lambat geraknya tapi tinggi pengetahuan taktikalnya". Tambah si anak muda itu lagi.

Aku terdiam. Betul juga kata si anak muda ini. Macam Aidil Zafuan yang suatu masa dahulu muda dan mungkin hensem, tapi bila berdepan dengan Halim Napi, akhirnya lunyai kena pijak. Oleh itu, dengan riaknya, kawe merasakan ATM 2 - JDT 0. Hairuddin Omar dan Marlon Alex James akan melunaskan tanggungajwab mereka sebagai seorang dewasa yang mahir dalam ilmu bola sepak. Kalau ATM kalah, anggaplah mereka beralah dengan anak-anak muda.

Pemain Tumpuan ATM:  Marlon Alex James
Pemain Tumpuan JDT: Nazri Ahmad
Ramalan: ATM 2 - JDT 0.


Bisa Kelantan 
Kelantan mln KL Felda United FC
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Secara keseluruhannya peluang Kelantan untuk menang agak cerah, bersandarkan keputusan cemerlang ketika menentang Kelantan dan rekod tanpa kalah di Stadium Sultan Muhammad IV (42 perlawanan sebelum dihancurkan ATM). Sekiranya cergas Nwakaeme bakal kembali memikul tugas sebagai penggempur utama, manakala aksi cemerlang Nor Farhan dan juga kejayaan Piya memecah kebuntuan dalam perlawanan sebelum ini bakal membantu dalam merobek gawang Felda. Tidak lupa juga Indra Putra, yang sepanjang kariernya dalam Liga Super telah menyumbat begitu banyak gol sehingga gagal direkodkan oleh sesiapapun.

Dengan segala prospek yang menggiurkan ini, tidak salah rasanya untuk meramalkan kemenangan buat Kelantan. Ulasan tentang pasukan Felda tidak akan dibuat kerana kawe merasakan ia tidak perlu buat masa ini.

Pemain Tumpuan Kelantan: Nwakaeme
Pemain Tumpuan Felda: TIADA
Ramalan: Kelantan 2 - 0 KL Felda United FC


Pilihan Terbaik
Terengganu mln Lions XII FC
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Setelah melalui 'election break', menang dengan Felda dan Negeri Sembilan, Terengganu seakan baru 'benar-benar' memulakan musim mereka. Mengikut tradisi yang berjaya dikekalkan, Terengganu pantang ada mood pilihanraya, pasti mereka akan menang dan terus menang. Situasi seperti ini sewajarnya mendatangkan gerun kepada Temasik.

Perlawanan petang Selasa ini nanti, kawe lihat semua bookie / kaki judi / pundit bola sepak meletakkan kemenangan kepada Terengganu. Ini kerana barisan utama Lions XII ramai yang direhatkan dan Sundramoorthy tidak dapat menurunkan kesebelasan utama mereka. Semuanya kerana pemain Lions XII yang masih ketakutan gara-gara diserang penyokong Selangor selepas perlawanan di Shah Alam tempohari.


Lions XII mungkin susah nak dibolosi, tapi kemenangan 3-1 pasti milik Terengganu.

Pemain Tumpuan Lions XII FC: Safuwan Baharuddin
Pemain Tumpuan Terengganu: Ashaari Samsuddin
Ramalan: Terengganu 3 - Lions XII 1

Tuesday, April 23, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 14


Liga Super Perlawanan 14 | Apr 26, 2013 (Jumaat)

Sisa Perjuangan Jangs
Terengganu mln Negeri Sembilan 
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT

Terengganu baru sahaja menyingkirkan Negeri Sembilan dalam Piala FA. Dan kali ini mereka sekali lagi dijangka tiada masalah untuk menewaskan Negeri Sembilan untuk kali ketiga dalam bulan April yang serba indah ini. Bahagian tengah Terengganu, buat pertama kali dalam sejarah, kawe yakin dengan Ismail Faruqi. Selama ini aku sangat bosan dengan dia. Lembik! tapi beliau sudah membuktikannya pada perlawanan lepas. Membantu Terengganu menang bergaya ke atas Felda di laman lawan mereka itu.

Walaupun Elavarasen secara peribadi mengkritik kekerasan Ismail Faruqi ketika Felda berlaga dengan Terengganu minggu lepas, namun Ismail Faruqi boleh bergandingan cemerlang dengan Puaneswaran atau Nordin Alias. Bahagian serangan akan dibantu dengan baik oleh Manaf Mamat, satu lagi pemain Terengganu yang menyerlah musim ini.

Terengganu akan menang 3 - 0 jika Negeri Sembilan menurunkan Badrulzaman Abdul Halim atau Kaharuddin Abdul Rahman sebagai penjaga gawang merangkap pak lawak mereka. Ikut sejarah, kedua mereka ini ada potensi jadi kartun. Seperti biasa, taktikal Divaldo Alves dan pilihan pemain kadang-kadang diragui atau mengecewakan ramai penyokong Hobin Jang Hobin. Akan tetapi setelah menilai keadaan semama, kawe tetap yakin 'basuhan' pada rehat masa pertama bakal menyaksikan Terrengganu menggila di tempat mereka.

Pemain Tumpuan Terengganu: Ismail Faruqi
Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Hamsani Ahmad
Ramalan: Terengganu 3 - 0 Negeri Sembilan.
Keputusan: Terengganu 1 - 0 Negeri Sembilan
ATM Dalam Bahaya
ATM mln Selangor PKNS FC 
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi

Sekiranya PKNS berjaya menewaskan ATM Jumaat nanti, kelab dari Selangor ini akan menyamai pungutan mata ATM iaitu 21 mata. Tinjauan kawe ketika menyoal siasat beberapa askar pencen, menanyakan tentang peluang ATM dalam permainan ini, ramai antara mereka yakin pasukan bimbingan Sathianathan mampu mengutip 3 mata penuh di Paroi nanti. Seorang bekas askar yang ditugaskan membanteras Al-Maunah (tidak mahu namanya didedahkan) dengan nada penuh angkuh berkata "Apa ada hal lawan PKNS? Itu hari kalah dengan Temasik pun asbabkan padang plastik mereka. Ini kali ATM akan gempur hasbis-habisan pasukan Selengor celup tuh. INI KALILAH"

Walaupun memang jelas Nazmi Faiz membawa kekuatan tambahan kepada pasukan PKNS, tetapi dugaan sebenar Nazmi nanti adalah apabila berhadapan Shukor Adan yang terkenal dengan perangai samsengnya di atas padang. Mungkin Shukor semakin lembut hati sekarang ini. Namun jika tersilap langkah, tidak mustahil buku lali Nazmi akan disauk dengan penuh rakus. Pertembungan klasik di bahagian tengah ini yang kebetulan juga membawa 2 zaman yang berbeza, amat seronok untuk kita saksikan. Nazmi-Shukor bersedia menyediakan satu aksi bertahap antarabangsa apabila wisel sepak mula ditiupkan oleh lelaki berbusana hitam di Stadium Paroi.

Pemain Tumpuan ATM: Shukor Adan
Pemain Tumpuan PKNS: Nazmi Faiz
Ramalan: ATM 2 - PKNS 2
Keputusan:  ATM 2 - PKNS 0

Cinta Mati Najib
Pahang mln KL Felda United FC 
8.45mlm, Std Darul Makmur, Kuantan

Ia menjadi lebih mudah untuk Pahang sekiranya analisis dibuat berdasarkan statistik di atas kertas. Felda juga mungkin kurang bernasib baik kerana gagal mendapatkan pemain tengah terbaik Asia Tenggara ketika ini, Safiq Rahim. Jika tidak, gandingan Safiq Rahim dan Amar Rohidan sudah pasti akan menggegarkan seluruh arena bola sepak tempatan sekaligus bagaikan mengimbau kembali kehebatan gandingan ini ketika Piala Suzuki 2010. Nampaknya K. Devan hanya perlu berpuas hati dengan barisan pemain yang dimiliki mereka ketika ini serta perlu melupakan segera kegagalan mengikat Safiq Rahim.

Sementara itu di kem Pahang semuanya dalam keadaan tenang senjahtera. Dollah Salleh bakal menurunkan kesebelasan utama demi melupakan kekalahan yang berlaku pada perlawanan sebelum ini di Larkin. Captain Marvel Jalaluddin Jaafar bakal mengepalai barisan pertahanan Pahang manakala bekas hero Selangor, Amirulhadi dijangka bergandingan dengan Hafiz Kamal buat menjamin 3 mata penuh.

Dengan Azamuddin Akil berada dalam prestasi yang baik dan Matias Conti seperti biasa bakal merobek kubu lawan, kem Pahang akan membawa balik 3 mata penuh untuk tanpa ragu. Kejayaan Fauzi Roslan, Faizol Hussin dan Gopinathan  menyumbat gol dalam perlawanan sebelum ini diambil kira, firasat kawe mengatakan Pahang bakal menang dengan jaringan 4-0.

Pemain Tumpuan Pahang: Matias Conti
Pemain Tumpuan KL Felda United FC: Azmi Muslim
Ramalan:Pahang 4-0 KL Felda United FC
Keputusan: Pahang 2-0 KL Felda United FC


Liga Super Perlawanan 14 | Apr 27, 2013 (Sabtu)


Zaman Mundur Kelantan
Kelantan mln Terengganu PBDKT T-Team 
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu

Mungkin benar kata seorang pujangga tua tentang bola sepak Kelantan. "Tiba suatu masa nanti sebuah pasukan bola dari pantai timur akan mengganas. Namun kehebatannya akan terhenti seketika dan tenggelam selamanya...". 

Kelantan bakal berdepan tugas sukar dalam Derby Pantai Timur menentang T-Team. Mengikut rekod-rekod sebelum ini kedua pasukan dijangka bakal berkongsi mata. Malahan yang terbaru Kelantan tewas di Kuala Terengganu kepada T-Team dengan skor 1-0.

T-Team bertandang ke Std Sultan Muhammad IV untuk menguji anak buah Bojan Hodak. Seperti yang semua tahu Kelantan diakui agak liat apabila bermain di tempat sendiri maka ada kemungkinan hanya satu mata untuk kedua pasukan minggu ini. Kalau ada pasukan yang kalah, jangan bakar stadium. Tak baik. Berdosa.

Pemain Tumpuan Kelantan: Dickson Nwakaeme
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: G. Mahatdevan
Ramalan: Kelantan 0 - T-Team 0.

 
Seladang Patah Tanduk
Perak mln Johor Darul Takzim FC 
4.45ptg, Std Perak, Ipoh.

Penyokong Perak semakin tidak selesa dengan keadaan pasukan mereka. Kedudukan di dalam liga tidak lagi menggambarkan cita-cita sebenar mereka musim ini. Jika dilihat dari segi barisan pemain, Perak sepatutnya duduk sama tinggi, berdiri sama rendah dengan JDT. Tetapi persembahan dan statistik pasukan membuktikan Perak masih jauh ketinggalan dari segenap segi kepada pasukan JDT.

JDT pula mungkin menurunkan barisan pertahanan yang terbaik kali ini jika Aidil Zafuan diturunkan oleh Fandi Ahmad. Aidil, Kamarul Afiq, Nazri Ahmad dan Farid Ramli - 'the back four' yang terbaik untuk JDT. Barisan pemain JDT tidak terlalu penat, jadi sesi latihan mereka di Sri Gelam minggu lepas nampak tenang dan normal tanpa tekanan. Lionel Nunez pula ketika ini boleh dipakai setiap hari. Lionel Nunez bukan sahaja berbadan lembu, malahan bertenaga lembu, dia boleh saja diturunkan setiap minggu. Dia bukan bertenaga ayam..kejap jek terus pancit. Tapi mungkin Fandi Ahmad akan merehatkan dia dan mencuba gandingan Safee Sali-Mat Yo.

Pemain Tumpuan JDT: Farid Ramli
Pemain Tumpuan Perak: Shaharom Kalam
Ramalan: Perak 1 - JDT 3.

Santapan Daging Sang Singa
Selangor mln Lions XII
8.45mlm, Std Shah Alam

Selangor sentiasa hidup dan bergerak mengikut waktu. Peminat Gergasi Merah sentiasa menunggu perlawanan-perlawanan seterusnya. Menjelang bulan Mei nanti, Selangor ingin terus menjuarai Liga Super untuk kesekian kalinya

Sabtu ini, Lions XII akan bertandang ke Stadium Shah Alam. Adakah anak buah V. Sundramoorthy akan menjadi mangsa Selangor melepaskan 'stim' kegagalan menewaskan Negeri Sembilan minggu lepas? Atau terus menongkah arus?

Yang pasti, Irfan Bakti akan menurunkan kesebelasan yang berbeza. Dalam sidang akhbar, Irfan Bakti memberi amaran kepada Nasriq Baharom, beliau mungkin akan tercicir dalam skuad Selangor dan juga hilang lenyap dari pasukan Malaysia jika terus melakukan kesilapan. Nasriq mesti bangkit dan memperbaiki mutu permainan beliau. Terlalu banyak kesalahan yang telah beliau lakukan dan musibahnya menimpa Selangor. Masalah kecederaan juga masih menghantui Nasriq dan itu mungkin membataskan peningkatan permainannya ke tahap yang sebenar. Atau mungkin juga aktiviti sosialnya diluar. Tarian tiang, online magazine dan parti. Itu semua kemarahan Irfan Bakti. Ingat Nor Azlan kena marah musim lepas?

Selangor perlu menewaskan Lions XII dan seluruh Malaya akan tersenyum, termasuk Soltan Bola.
Pemain Tumpuan Selangor: S. Venood
Pemain Tumpuan Lions XII: Hariss Harun
Ramalan: Selangor 3 - 2 Lions XII.

Monday, April 15, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 13


Liga Super Perlawanan 13  - Apr 19, 2013 (Jumaat)


Bola Sepak Sejati
Negeri Sembilan mln Selangor
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi


Pada minggu lepas di Shah Alam, Selangor mengekalkan reputasi mereka sebagai pasukan bola sepak cemerlang, gemilang dan terbilang hasil bantuan bekas pemain Harimau Muda, K.Gurusamy dan jaringan penuh inspirasi pemain dari Liberia, Forkey Doe. Ketika ini gaya permainan Selangor mirip seperti pasukan Real Madrid. Hantaran yang tepat, pergerakan yang licik serta skil dan kemahiran yang sungguh luar biasa. Nogori Sembilan sudah pasti akan mengalami banyak kesulitan di Paroi kelak.

Walaupun begitu, selepas skuad hobin jang hobin menjaringkan 1 gol untuk mengikat Lions XII tempoh hari dan mengejutkan ramai pakar bolasepak, sekali lagi Divaldo Alves telah menunjukkan kemahiran taktikal bola sepak yang dimilikinya. Kali ini, Divaldo Alves menunjukkan bagaimana Nogori boleh menjaringkan gol menggunakan pemain import baru walaupun pasukan sedang berada di tangga tercorot. Ternyata Leandro Barbosa lebih bagus daripada De Porras.

Kemungkinan besar satu Malaysia bakal terpukau menonton aksi kedua pasukan ini. Budak-budak sekolah yang lepak di kedai mamak Rombau tengok Astro percuma bakal menangis teresak-esak melihat jaringan bekas pemain kesayanagn The Jangs, S. Kunalan. Tidak cukup dengan itu, Irfan Bakti bakal mendedahkan lagi skil maha agung milik Selangor melalui ilmu pukau. Seluruh pemain Nogori hanya akan terpaku melihat Amri Yahyah menggelecek bola secara solo lalu terus menewaskan penjaga gol Negeri Sembilan.

Kemenangan Selangor ke atas Negeri Sembilan nanti adalah bukti kehebatan sebuah pasukan bolasepak yang pernah memenangi 32 kejohanan Piala Malaysia.

Pemain Tumpuan Negeri Sembilan: Leandro Barbosa Fabio
Pemain Tumpuan Selangor: S. Kunalan
Ramalan: Negeri Sembilan 1 - Selangor 2

Keputusan: Seri 0 -0.

Gajah Makan Ghimau Lagi?
Johor Darul Takzim FC mln Pahang
8.45mlm, Std Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, JB.


Sementara itu di Larkin nanti, pasukan anak muda dari Pahang bakal mencatatkan kemenangan kedua mereka ke atas JDT untuk musim ini dengan cara yang lebih konservatif. Tanpa perlu menggunakan penampar Jalaluddin Jaafar atau ilmu pukau, Hafiz Kamal, Faizol Hussin dan R. Gopinathan akan menjalankan tugas yang diamanahkan dengan penuh tekun dan gigih.

Tapi ianya tidak akan semudah yang disangka, sekali lagi seperti perlawanan pusingan pertama menentang JDT tempoh hari, Pahang bakal dipaksa bekerja keras unutk menewaskan JDT. Tetapi resam orang yang lebih makan garam, pengalaman pemain-pemain Pahang seperti Amirulhadi, Azidan Sarudin dan Razman Roslan yang secara kebetulannya merupakan bekas pemain pasukan teragung Selangor, menjadi titik tolak yang membezakan mereka dengan pasukan yang lain.

Walau bagaimanapun gelaran ‘The Comeback Kings’ sudah mula diberikan kepada pasukan Pahang berikutan peningkatan prestasi pemain-pemain Dollah Salleh yang kembali menemui sentuhan emas seperti permulaan liga dahulu.

“Ia boleh berlaku dalam bolasepak dan ianya penting untuk bereaksi dengan baik, untuk tidak menjadi goyah. Kamu perlu mengawal rentak permainan dan kami telah melakukannya dalam 3 perlawanan terakhir. Biar pun kami selalu ketinggalan, kami tetap mengawal permainan”, kata Dollah Salleh dengan nada penuh yakin.

Pemain Tumpuan Johor Darul Takzim FC: Leonel Nunez
Pemain Tumpuan Pahang : Mohd Hafiz Kamal
Ramalan: Johor Darul Takzim FC 2 - Pahang. 0

Keputusan: JDT 1 - Pahang 0.

Tugas Mudah Nazmi Faiz
Selangor PKNS FC mln Kelantan
8.45mlm, Std Shah Alam.


Juara bertahan Liga Super, Kelantan atau juga dikenali sebagai The Red Warriors atau dikenali sebagai 'kelab-janji-kalah-semua-happy' memulakan perlawanan ini dengan rekod di Kota Bahru telah pun dihancurkan oleh Sang ATM. Secara keseluruhan Kelantan perlu memperbaiki banyak aspek permainan untuk menewaskan PKNS dalam perlawanan ini sekaligus menghidupkan kembali peluang mempertahankan kejuaraan Liga Super milik mereka musim lepas.

Sebaliknya pula PKNS tidak perlu panik kerana bakal turun sebagai pasukan bukan pilihan meskipun beraksi sebagai tuan rumah. Mereka hanya perlu panik jika gandingan Nazmi-Ronaldinho gagal menjaringkan gol.

Namun adakah kembalinya Obinna dalam kesebelasan utama Kelantan cukup untuk mereka mengelak daripada PKNS menjaringkan gol? Ataupun adakah sekali lagi Faiz Subri akan membuktikan beliau adalah pemain paling 'on-form' ketika ini mengatasi Fakri Saarani? Huh!!!

Pemain Tumpuan Selangor PKNS: Nazmi Faiz
Pemain Tumpuan Kelantan: Faiz Subri
Ramalan: Selangor PKNS 2 - Kelantan 3.
Keputusan: PKNS 2 - Kelantan 1.

Liga Super Perlawanan 13 -  Apr 20, 2013 (Sabtu).


Di Mana Sepak Terajang Itu?
KL Felda United FC mln Terengganu
4.45ptg, Std Petaling Jaya, Kelana Jaya


Felda United sudah pasti akan turun tanpa kelibat Fauzi Saari, yang digantung oleh FAM kerana terlebih ramah dan rajin 'bersembang' dengan Forkey Doe dalam perlawanan menentang Selangor minggu lepas. Selain itu sekiranya betul ada adengan 'peluk-cium' antara pemain Felda United dan Forkey Doe ketika di terowong masuk bilik persalinan, pemain seperti Helmi Eliza Elias, Kaironnisam Sahabudin, Shafizan Hashim dan Razali Umar Kandasamy akan meninggalkan banyak tempat duduk kosong di bangku simpanan untuk pemain Felda United yang lain.

Bagi pasukan Terengganu pula, situasi Owana pula masih 50-50. Ini kerana persembahannya masih tidak meningkat dan gagal memberikan impak yang diharapkan oleh pengurusan pasukan.

Apa pun, adalah silap besar untuk memandang rendah keupayaan Terengganu. Elavarasan adalah pengurus yang bijak mencatur corak permainan. Dan dengan adanya bekas juara gusti sekolah, Effa Owana, Terengganu dijangka bakal berusaha sedaya upaya untuk menggempur kubu Felda United. Itu belum campur dengan  pemain-pemain senior Manaf Mamat dan Ismail Faruqi antaranya.

Pendek kata, Felda United bakal menempuhi halangan yang sukar kali ini. Dengan kebanyakan pemain Felda United kepenatan akibat diganyang Selangor, adakah ini bermakna rekod kekalahan Felda di bawah Elavarasan bakal berterusan?

Pemain Tumpuan KL Felda United FC: Azmi Muslim
Pemain TumpuanTerengganu : Ismail Faruqi
Ramalan: KL Felda United FC 1 - Terengganu 0.

Keputusan: Felda 1 - T'ganu 2.

T-Team Hanyut
Terengganu PBDKT T-Team mln Perak
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Selepas tumpas 2-1 di tangan Pahang, Peter Butler berkata, “Saya akan berjuang untuk memastikan T-Team tidak tersingkir, hingga ke titisan darah terakhir. Kami masih belum terkeluar dari saingan Liga Super. Saya tidak takut pada kritikan. Saya tidak takut pada sesiapa. Saya akan terus berjuang tanpa mempedulikan sebarang kritikan.”

Walau bagaimanapun, kawe dapat merasakan perlawanan yang bakal berlangsung sekitar jam 4.45 petang di Kuala Terengganu ini, kedua pasukan mempunyai peluang 50-50 untuk menang. Kesemua pemain T-Team jelas bermotivasi tinggi untuk menang. Stadium uzur Sultan Ismail Nasiruddin Shah  juga gelanggang yang boleh menggugat fokus pihak lawan. Kajian baru-baru ini di Pantai Timur mendedahkan para peminat T-Team adalah yang paling lantang dalam Liga Super, dengan purata bunyi mencecah sekitar 101.8 desibel.

Barisan serangan Perak pula ketika ini beraksi agak baik. Statistik menunjukkan Perak sudah menjaringkan 11 gol untuk semua perlawanan dan dijaringkan oleh 6 pemain berlainan. Mohd Rafiuddin Roddin walau nampak ringan, tapi amat bahaya di udara. Hadi Yahya juga sangat pantas untuk menerima hantaran dari Yong Kuong Yong, yang sangat laju itu. Kehadiran pemain baru Paulo Rangel pula akan mengguatkan lagi bahagian Serangan Perak.

Perlawanan ini juga sedikit sebanyak boleh dikira sebagai ujian kepada pasukan T-Team ini. Adakah mereka benar-benar layak untuk berada dikelompok elit atau hanya Sekadar Dipinggiran (Francessa Peters) kerana jika mereka kalah perlawanan ini dan juga kepada Kelantan selepas itu, maka mereka akan terkeluar dari liga super seterusnya cuti pilihanraya mereka bakal dikaji semula.

Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Nuralif Zainal Abidin
Pemain Tumpuan Perak: Paulo Rangel
Ramalan: Terengganu PBDKT T-Team 0 - Perak 3

Keputusan: T-Team 2 - Perak 0.

Hancur Temasik!!
Lions XII FC mln ATM
7.45mlm, Std Jalan Besar, Singapura


Dalam perlawanan ini, kawe ramalkan, ATM akan bermula dengan tanpa Shukor Adan sekali lagi kerana penggantungan perlawanan. Selain daripada itu, ATM mungkin akan mengekalkan barisan pemain yang cemerlang menewaskan Kelantan minggu lepas. Ketika menewaskan Kelantan di Kota Bahru, ramai yang terkejut melihat taktikal dahsyat dari jurulatih terbilang negara, B. Sathianathan. Betullah kata penganalisis sukan yang Sathia ni jenis, 'anything but unpredictable' .

Jadi dengan taktik Sathia itu, kawe ramalkan, gol awal pada minit kelapan oleh Hairuddin Omar. Tapi kalau tak ada gol pada minit kelapan, kawe syak, gol akan datang pada minit 43. Oleh Marlon ALex James.

Lions XII pula, akan sedaya upaya mengimbangi corak serangan ATM. Ditambah pula dengan sorakkan penyokong mereka yang macam nak gila, mereka mungkin akan hilang kosentrasi di tempat sendiri. Padang plastik kegemaran mereka akan bertukar menjadi padang jarak padang tekukur apabila barisan pemain ATM sudah mula mengganas. Selamat tinggal buat  pasukan Temasik!!

Pemain Tumpuan Lions XII FC: Hairuddin Omar
Pemain TumpuanATM: Fairuz Nawaz Shahrul Hameed
Ramalan: Lions XII FC 0 - ATM 1

Keputusan: Lions 3 - ATM 1.

Friday, April 5, 2013

Prebiu Liga Super Perlawanan 12


Liga Super Perlawanan 12 : Apr 12, 2013 (Jumaat)


Salah Siapa?
Terengganu mln Johor Darul Takzim FC 
4.45ptg, Std Sultan Ismail Nasiruddin Shah, KT


Salah siapakah Guiza tidak gembira? Salah siapakah Terengganu mudah hilang fokus? Pada perlawanan pusingan pertama Terengganu hampir sahaja berjaya memalukan JDT di Larkin. Tetapi JDT masih kekal ampuh dengan rekod tanpa kalah di Larkin dan akhirnya mereka berjaya menamatkan saingan pusingan pertama Liga Super di tangga ke-3. Manakala Terengganu di tempat ke-8.


Pada aksi yang lepas, mengikut ratings yang dikeluarkan oleh jabatan sukan Goal.com dan juga Fox Sports, purata semua pemain kedua pasukan mendapat 6 dan 7 mata manakala terdapat 2 pemain mendapat LAPAN MATA iaitu Dani Guiza dan Effa Owana. Sementara penguasaan bola pula 51% memihak kepada JDT. Ada tak pemain tempatan dapat 8 mata? Sila tanya Rajagopal kenapa ini semua berlaku.


Sebenarnya Terengganu bermain lebih cantik dari JDT. Ketika JDT lebih cenderung bermain bola cara British iaitu menghantar bola ke dalam petak penalti sepantas yang boleh dengan hantaran-hantaran bola jauh, Terengganu bermain lebih cantik. Hantaran pendek dan pantas serta gentel sana dan gentel sini melalui gandingan Ashaari dan Manaf Mamat. Permainan Terengganu  memang lain. Cuma Owana sahaja yang kadangkala gelojoh apabila mendapat bola.


Siapakah pula yang boleh diharapkan JDT sekiranya Guiza tiada? Norshahrul Idlan adalah jawapan JDT kepada sekiranya berlaku kehilangan bintang sensasi mereka Dani Guiza dan Del Nero. Apabila Fandi Ahmad meletakkan beliau sebagai  'topman' dalam game menentang Terengganu ini, aku terus yakin dengan pilihan taktikal Fandi Ahmad. 'Solo or duo' serangan JDT tetap berbisa…bagai duri dalam daging! Safiq Rahim pun sudah boleh bersara!!.


Pemain Tumpuan Terengganu: Ashaari Samsuddin
Pemain Tumpuan JDT: Safiq Rahim
Ramalan: Terengganu 2 - JDT 1.

Keputusan:Terengganu 0 - JDT 1


Hisyamuddin Shaari

Demi Maruah Pasukan.
Perak mln Selangor PKNS FC
4.45ptg, Std Perak, Ipoh


Perak sudah bersedia menerima kedatangan PKNS di lumut dengan hati yang terbuka. Perlawanan pusingan pertama di Shah Alam, Perak berjaya menewaskan PKNS hasil jaringan pemain tengah kelahiran Sabah iaitu Rafiuddin Roddin. Nampaknya PKNS betul-betul disekolahkan oleh Perak. Yang membuatkan aku tertanya-tanya, adakah ini bermakna Lions XII dan Pahang sebenarnya ditadikakan oleh PKNS pada pusingan pertama liga tempohari?


Ketika Azraai Khor diminta mengulas tentang kemenangan ini, beliau berkata... “Kami bermain dengan baik di separuh masa pertama. Kami amat bertuah untuk menjaringkan gol di penghujung separuh masa kedua. Kemudian semuanya menjadi lebih mudah. Saya sungguh berbangga melatih pasukan ini kerana mereka pemain yang berkualiti. Saya juga ingin mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh warga Malaysia. Harap tidak terlalu awal.”


Buat masa ini peluang adalah 50-50 untuk kedua pasukan mendapat 3 mata penuh sekaligus mendaki lebih tinggi di dalam carta liga. Sekali lagi kita akan dapat melihat 2 jurulatih terkemuka Malaysia beradu taktikal dalam aksi yang penuh mendebarkan ini.

Pemain Tumpuan Perak: Hisyamuddin Shaari
Pemain Tumpuan PKNS: Mohd Nizad Ayub
Ramalan: Perak 0 - PKNS 0
Keputusan:Perak 2 - PKNS 2


Liga Super Perlawanan 12 Apr 13, 2013 (Sabtu)


Kerang Bakar Nogori 9.
Negeri Sembilan mln Lions XII FC
8.45mlm, Std Tuanku Abdul Rahman, Paroi


Sebenarnya apa kena mengena antara kerang bakar dan Negeri Sembilan? Sudah tentulah 'the bakar part'. Seharusnya setelah dimalukan beberapa kali oleh semua orang, maka 'The Jangs' harus lebih terbakar semangat untuk memberi sokongan dengan penuh hati dan perasaan kepada 'The Mighty Hobin Jang Hobin'. Biarlah mereka hendak mengatakan kita sedang delusional ataupun angan-angan Mat Jenin, selagi darah merah mengalir dalam diri, selama itu kasih sayang tidak berbelah bagi kita berikan kepada pasukan Negeri Sembilan.


Ayoh Jang dan Milah sekalian!! Marilah berjuang demi pasukan Nogori kita!! Lawan Lions XII, jangan kalah bodoh lagi. Jangan sampai aku mula mencarut. Tidak sopan dilihat orang. Lions XII akan menjadi lauk pauk yang enak di Paroi. Ini kalilah!!!!

Pemain Tumpuan Negeri Sembilan : William Paul Modibo
Pemain Tumpuan Lions XII FC: Safuwan Baharudin
Ramalan: Negeri Sembilan 2 - Lions XII FC 0.
Keputusan: Negeri Sembilan 1 - Lions XII FC 1

Hanya ada di Selangor

Keangkuhan Sejati
Selangor mln KL Felda United FC
8.45mlm, Std Shah Alam


Sekarang ini kalau di Felda, dari Taib Andak membawa ke Bera orang hanya bercakap tentang kehebatan Selangor FA. Aku dengar cerita di Kuala Lipis pun sama, kecuali bebudak penyokong pasukan Pahang. Tapi set ni semua jenis lepak mamak minum air kosong dengan roti krim strawberi. Memang tak ‘up to date’ kata Irfan Bakti. Bahkan mengikut luahan Zainal Abidin Hassan yang aku jumpa malam tadi di Lagenda 17, tidak mustahil Selangor boleh mencatat sejarah memenangi Liga Super musim ini jika mereka membeli beberapa pemain berkaliber lagi sebelum tertutupnya tingkap perpindahan 22 April ini. Pemain macam Norsharul Idlan, kata Zainal lagi.


Tapi Selangor tidak kehilangan mana-mana tonggak utama ketika ini. Ini yang membuatkan aku dengan penuh rendah diri dan tawaduk, memilih Selangor untuk menang mudah ke atas Felda United nanti sambil aku duduk depan TV dan makan murtabak baik punya. Berapa gol? 3-0 cukuplah. Aku letak Amri Yahyah dengan 2 gol dan satu lagi gol jaringan Forkey Doe. Jangan tiba-tiba Amri Yahyah tandatangan kontrak dengan Manchester United esok sudah. Kalau tidak kacau juga tekaan aku nanti.


K Devan pula berkata dalam nada tamil tapi fasih bahasa Melayunya: “Pening juga, ada peluang boleh menang, kami tetap gagal menggunakannya. Penyudah kami memang kurang baik sejak dari awal musim lagi. Mungkin kena tukar stadium baru boleh menang di gelanggang sendiri. Selepas ini kami membawa masuk tiga pemain baru iaitu Mohizam Shah Dawood, K Rajan dan Azmi Muslim. Jika jumpa penyerang import yang lebih bagus pula, kami akan pertimbangkan kerana Mohammed Ghaddar dibelenggu kecederaan belakang.”

Pemain Tumpuan Selangor: Amri Yahyah
Pemain Tumpuan Felda Utd: Syazwan Zainon
Ramalan: Selangor 3 - Felda United 0.
Keputusan: Selangor 2 - Felda United 0.


Pahang Not Dead!!!
Pahang mln Terengganu PBDKT T-Team
8.45mlm, Std Darul Makmur, Kuantan


Momentum kemenangan Pahang nampaknya sangat kuat. Jumlah jaringan juga agak tinggi dengan 17 gol sudah mereka jaringkan. Dijangkakan mereka akan bermain dengan baik. Mungkin lebih baik dari Manchester United. Mereka memang terkenal dengan permainan baik dan cantik. Tapi mungkin cuma baik dan cantik sahajalah...sorakan dari Darul Makmur mampu mengkucar-kacirkan pasukan T-Team. Pemain-pemain T-Team juga ini belum kena siku Jalalluddin Jaafar lagi. Nanti mereka tahulah tu bisanya macam mana.


Perlawanan pusingan pertama juga berpihak kepada Pahang. Peminat T-Team mungkin masih ingat perlawanan pusingan pertama yang berlangsung bulan Mac lepas di mana dalam perlawanan itu anak buah Dollah Salleh berjaya memalukan Peter Butler. Apakah mereka sanggup melihat aksi yang serupa nanti?


Pahang juga kembali mendapat momentum mereka dengan kemenangan ke atas T-Team bulan lepas. Walaubagaimanapun, mereka masih belum mempamerkan keupayaan sebenar sebagai pasukan Pahang yang terulung di mata Soltan Bola. Kemenangan dengan permainan bergaya keatas T-Team nanti baru boleh dikatakan yang 'Tok Gajah Telah Kembali!' Gandingan Alex-Koji bersama Faizul Hussin di tengah begitu berbisa. Bagaikan duri dalam daging kata Hafizal Hamad.


Ramalan aku Pahang 2 - 0 T-Team dan selepas perlawanan itu, T-Team terus terlungkup dan merudum macam biasa.


Pemain Tumpuan Pahang: Muhd Fauzi Roslan
Pemain Tumpuan T-Team: Mohd Muinuddin Mokhtar
Ramalan: Pahang 2 - T-Team 0.
Keputusan: Pahang 2 - T-Team 1.


Tebus Dendam
Kelantan mln ATM
8.45mlm, Std Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.

Kelantan seperti biasa akan bermain dengan fizikal. Dengan pertahanan mereka yang bertubuh keras seperti Daudsu, Obinna dan Nik Shahrul, memang kegemaran jurulatih bola sepak di seluruh dunia. Tetapi ATM akan menurunkan pemain yang berasal dari Petaling Jaya juga bertubuh sasa (Keturunan Spartan). Pemain kegemaran Rajagopal hendaknya. K. Reuben ini agak gergasi orangnya walaupun bertubuh pendek dan dia akan membuatkan budak-budak Kelantan menjadi 'adik-adik' sahaja. Kasihan Kelantan. Aku yakin esoknya, budak-budak Kelantan akan keluar di surat khabar dengan tajuk yang sama dengan tajuk Roslan Shah.


Bagi ATM pula, aku juga hendak masukkan Christie Jayaseelan. Dia adalah pemain sayap sejati. Dia sangat pantas, dan gemar merembat terus. Lebih bagus daripada Venice Elphi sebab mamat Sabah itu jenis bawak bola sampai ke depan gol. Sangat individu corak permainannya. Manakala Hairuddin Omar pula munkin akan diturunkan sebagai pemain tengah menyerang. Ini akan memberikan keseimbangan buat ATM ketika menyerang dengan mereka sudahpun memiliki pemain serangan hebat seperti Marlon Alex dan Bruno Martelotto.


Bojan Hodak pula ketika ini agak tertekan kerana terpaksa mengendalikan Kelantan, pasukan terhebat. Sesiapa pun akan berasa tertekan. Silap-silap boleh jadi gila. Kawe harap dia boleh memotivasikan pemain dan membuat keputusan yang munasabah dan menggembirakan peminat Red Warrior. Pesanan peribadi aku untuk Bojan Hodak, “Kelantan, mana cukup 3 Piala musim lepas. Tidak cukup. Kalau pasukan 'adik-adik' macam Pahang takpelah. Kita pasukan abang besar. Ingat tu. Jangan jatuhkan prestij Kelantan. Ok?”


Pemain Tumpuan Kelantan: Daudsu Jamaluddin
Pemain Tumpuan ATM: Hairuddin Omar
Ramalan: Kelantan 2 - ATM 0.

Keputusan: Kelantan 1 - ATM 3.