Showing posts with label Bukit Jalil. Show all posts
Showing posts with label Bukit Jalil. Show all posts

Friday, March 22, 2013

Ulasan Minit ke Minit: Malaysia vs Yaman.





Ada cakap-cakap mengatakan malam ini adalah ibarat penentu hidup dan mati buat Rajagopal. Pelbagai kritikan dilemparkan kepada beliau. Namun hatinya tetap tenang. Beliau membulatkan tekad untuk membuktikan kepada semua bahawa gelaran Datuk itu adalah sesuatu yang paling dibanggakan pernah dicapai dalam hidupnya. Harapan untuk membelasah Yaman dikandang sendiri menjadikan darah pahlawan Rajput dalam dirinya berkobar-kobar. 


Sebelum perlawanan bermula beliau sempat berpesan kepada semua pemainnya. "Beraksilah umpama ini perlawanan terakhir kamu!! Saya tidak menjadikan kamu pemain terbaik. Semua ini kurniaan dari Tuhan kepada kamu. Bakat yang kamu ada membolehkan kamu mewakili negara. Jangan sesekali menghampakan harapan rakyat Malaysia"


Pesanan Rajagopal disambut dengan sorakan semangat dari ketua pasukan Safiq Rahim. Ada juga segelintir pemain yang hampir menitiskan air mata mengenangkan pelbagai kritikan yang telah dihamburkan kepada mereka lewat ini. Tapi itu semua dilupakan. Mereka kini bersedia untuk misi yang sangat penting. Misi hidup mati!!

Preeeeetttt!!!!

Pengadil Peter Green meniup wisel permulaan.

Sepak mula dari pasukan Yaman. Selama 10 minit perlawanan berlangsung dan Malaysia jelas menguasai bola. Namun hujan yang turun pada minit ke-11 bagaikan rahmat besar buat Yaman. Penyerang harapan mereka Aiman Saleh Abdullah Al-Hagri berjaya meloloskan diri dari kawalan Mahali lalu membuat lambungan cantik menewaskan Khairul Fahmi. Seluruh penyokong Harimau Malaya terdiam sebentar. Hanya titis hujan sahaja yang kedengaran ketika ini.


Tetapi pemain Harimau Malaya tidak patah semangat. Bagaikan mengimbas kenangan menewaskan Indon pada Suzuki 2012 yang lalu, Wan Zack dan Azamuddin Akil mula memainkan peranan mereka. Mereka bertukar posisi sekali lagi. Hasilnya Mahali dapat bermain satu-dua dengan Wan Zack dan larian kencang pemuda dari Selayang itu ke dalam kotak penalti disusuli dengan hantaran lintang terus mencari Azamuddin Akil yang kosong di sebelah kanan. Azamuddin Akil yang tidak dikawal tenang menewaskan penjaga gol Yaman, Salem Abdullah. Seluruh Malaysia bersorak kegembiraan. Bergegar sebentar restoran mamak yang menyiarkan perlawanan ini. Namun diharap tiada kerusi dan meja yang beterbangan.


Keputusan 1-1 kekal hingga tamat separuh masa pertama. Penjual burger dan kuaci memulakan operasi mereka. Harga masih sebelum sepak mula, RM2 untuk satu burger dan RM1 untuk sepaket kuaci. Mungkin ramai yang merancang untuk membeli selepas perlawanan kerana waktu itu ada potongan 50%.

Preeeeetttt!!!!

Separuh masa kedua dimulakan. Masih ada 45 minit lagi untuk skuad Harimau Malaya memenangi perlawanan ini. Rajagopal ketika ini lebih tenang di tepi padang berbanding sebelum perlawanan ini bermula.


Malaysia menguasai hampir 90% perlawanan pada separuh masa kedua dengan tidak kurang daripada 20 cubaan ke arah gol yang berjaya mereka hasilkan. Serangan bertali arus dari rangkaian peyerang Amri Yahyah dan Norshahrul Idlan sesekali membuatkan kem Yaman tersentak. Namun gol kedua masih tidak kunjung tiba.


Pada minit ke-78, pemain kegemaran ramai buat masa ini, Badri Radzi dibawa masuk untuk menggantikan Gurusamy. Seluruh stadium bersorak kegembiraan. Norshahrul Idlan bagaikan terkena sawan apabila melihat kelibat Badri Radzi. Dengan mengambil iktibar daripada kesilapannya sendiri yang melepaskan banyak peluang gol, Norshahrul Idlan mula menukar status penyerangnya kepada pengumpan pula. Pada minit ke-79, satu hantaran dari beliau singgah  tepat ke kepala Khyril Muhymeen yang masuk menggantikan Amri Yahyah. 


Gooooooooooooooool!!!!!!!!!!! 2-1. Kali ini bukan sahaja restoran mamak. Malahan seluruh rumah urut di sekitar Damansara juga bergegar dengan jaringan hebat Khyril Muhymeen ini. Menteri Buih tersenyum kembali sambil semakin laju mengunyah kacang di kerusi VIP. Penyokong Yaman pula semakin tertekan. Dan mereka mula merasakan masa bergerak terlalu pantas. 


Preeeeetttt!!!!

Tamat perlawanan dengan Malaysia menang 2-1. Walaupun bukan menang dengan bergaya, tetapi ia sudah cukup untuk menyelamatkan karier Rajagopal untuk kesekian kalinya. Ternyata strategi beliau pada malam ini menjadi dan berhasil. Apa yang pasti ruangan sukan di seluruh akbar akan terus memuji kejayaan ini paling tidak pun selama seminggu lamanya.

Monday, December 31, 2012

Lampu Limpah Stadium Masalah Rutin Setiap Tahun



Masalah lampu limpah ini memang satu penyakit sosial dalam bola sepak Malaysia. Setiap tahun ia akan berlaku. Sudah macam satu acara tahunan apabila hendak mula sahaja liga Malaysia, maka berebut-rebutlah persatuan bola sepak negeri cuba menyelesaikan masalah ini. Jika tidak mereka akan terpaksa bermain di siang hari. Kalau dah main di waktu siang tu faham-faham sahajalah. Bermain waktu malam pun tak tentu lagi stadium tu penuh. Inikan pula waktu siang. Ye dak?


Setakat ini hanya 7 stadium sahaja yang dibenarkan bermain di waktu malam. Namun stadium-stadium yang lain masih boleh menaik taraf sistem lampu limpah mereka sebelum bermulanya saingan Liga Malaysia. Bayangkan dalam berbelas stadium yang ada di muka bumi Malaysia ini, hanya 7 sahaja yang menepati syarat iaitu mencapai tahap minimum 800 lux seperti ditetapkan FAM. 

Dahulu basah kuyup Supermokh...kini basah kuyup J.Lo di Stadium Merdeka.

Stadium yang pertama dibina di Malaysia ialah Stadium Merdeka iaitu pada tahun 1956. Namun kini ia hanya layak untuk acara hiburan. Stadium Merdeka juga telah diistiharkan sebagai monumen bersejarah dan kini ia sepi dari sebarang aktiviti bola sepak. Jika hendak dibandingkan dengan Stadium Nou Camp ia sememangnya amat berbeza. Stadium Nou Camp dibina pada tahun 1957 dan sehingga kini masih utuh menjadi medan warga Catalonia menyaksikan kehebatan pasukan bola sepak mereka beraksi saban minggu.

Bayangkanlah betapa dahsyatnya stadium bola sepak di Malaysia ini apabila sebauh stadium yang siap dibina pada Mei 2008, runtuh secara tiba-tiba selepas ditiup angin pada 2 Jun 2009, pukul jam 7.30 pagi waktu Malaysia. Mujurlah tiada seorang manusia pun yang sedang menonton bola sepak ketika itu. Hanya sebuah kereta kancil milik Hanafiah Osman, dan empat buah motosikal milik rakannya sahaja yang tertimbus. Siapa Hanafiah Osman? Sila tanya orang-orang Gong Badak.




Seperti yang kerap saya beritahu, kegilaan persatuan bola sepak negeri yang diuruskan ala-ala kedai runcit (kedai runcit pun ada yang lebih tersusun pentadbirannya) ini sering menjadi punca kepada hilangnya dana dari FAM dan hilangnya keuntungan dari penjualan tiket berlaku secara 'ajaib'. Sudahlah persatuan bola sepak negeri  malas hendak mencari penaja. Duit tajaan yang ditabur oleh Astro pula hilang tanpa dikesan. Entah bila mereka ini akan insaf pun kawe tidak tahulah.


Mengikut kajian kawe, terdapat 26 buah stadium di serata Malaysia ini yang layak digunakan untuk aksi Liga Malaysia. Tetapi antara 26 buah stadium itu, ada antaranya sudah runtuhlah, fasiliti jahanamlah, dalam proses baik pulih selepas anjuran konsert Barisan Nasionallah dan pelbagai lagi punca misteri yang kita sendiri pun tidak terpikir dek akal yang waras ini.  Namun setakat ini hanya 7 buah Stadium sahaja yang boleh beraksi di sebelah malam.  Antaranya ialah:

  • Stadium Sultan Muhammad ke IV.
  • Shah Alam.
  • Darul Makmur.
  • Jalan Besar.
  • Darul Aman.
  • Tuanku Abdul Rahman.
  • Stadium Negeri Kuching.

Lihatlah sendiri betapa hebatnya bola sepak kita. Negeri yang kononya sedang memiliki pasukan terbaik di muka bumi pun masih tidak mempunyai stadium yang menepati syarat FAM. Macam mana mahu menang Piala Kelab Dunia ni? Tetapi jangan risau....FAM sentiasa bersikap tegas-tegas hanjeng. Percayalah apabila Liga Malaysia hendak bermula, maka semua baki stadium itu nanti secara tiba-tiba akan menepati syarat wajib bermain di waktu malam. Ini kerana jika bermain di waktu siang penonton akan kurang datang ke stadium (lagi-lagi hari kerja) maka penjualan tiket pun akan berkurangan. Kesannya poket FAM pun akan kureng masyuuuuk....Tak percaya? Tunggu sahajalah.

Thursday, October 11, 2012

Stadium Nasional Bukit Jalil Sebuah Monumen Kekal



Pendahuluan Cerita

Salam Piala Malaysia. Kini isu stadium menjelma kembali. Buat tahun kedua berturut-turut perlawanan akhir Piala Malaysia diadakan di Stadium Shah Alam. Pada 2011 Shah Alam dipilih selepas Bukit Jalil dikatakan dalam proses baik pulih. Pada tahun ini pula alasan padang masih belum bersedia pula diberikan. Apakah wajar sebuah stadium bertaraf dunia ini hanya layak untuk menganjurkan acara konsert nyanyian rambu ramba sahaja. Sebagai rujukan, kali terakhir Bukit Jalil digunakan secara 'Nasional' adalah pada 31 Ogos 2012 yang lalu untuk satu Majlis Kemerdekaan yang amat meriah.....dan comel....


Cintakan Negara...waaaaaaah

Bukankah ini antara punca kepada jahanamnya padang di Bukit Jalil? Namun atas kapasiti 'Nasional' mungkin ia dihalalkan dan sebelah mata ditutup, sebelah tangan lagi di bawah meja. Siapa tahu bukan? 


2011 vs 2012


Tentang alasan padang masih 70 peratus lembut dan tidak sesuai digunakan itu tidak boleh diterima pakai langsung. Ini kerana pada tahun lepas Oktober 2011, padang di Shah Alam sangat hodoh dan buruk sehingga menyebabkan Sharbinee Allawee melakukan kesilapan ketika hendak membuat tangkapan bola. Namun ia masih dipilih untuk menjadi venue peralawanan akhir. Ketika itu harga tiket perlawanan akhir ialah RM50. Secara kebetulan juga selepas tamat perlawanan akhir itu, Stadium Shah Alam telah ditutup untuk proses baik pulih dan ia dibuka semula pada April 2012 dengan wajah dan kualiti padang yang mantap. 


Apakah sebenarnya yang berlaku dengan SNBJ ini? Adakah benar isu padang sentiasa menjadi penghalang. Tertanya-tanya juga di dalam hati saya berapa kerat sangat perlawanan bolasepak yang diadakan di sini untuk tempoh satu musim? Jika hendak dibandingkan dengan Stadium Tua yang lain seperti Santiago Bernabeu yang dibina siap dibina pada 1947, mampu menganjurkan perlawanan bolasepak saban minggu sambil diiringi terjahan kasar Pepe diatas padang. Langsung tidak pernah kedengaran alasan padang masih belum bersedia.


Memotong, membaja, kawalan rumpai, lebihkan pembenihan dan pengudaraan padang antara cara terbaik mengekalkan kualiti rumput.


Jika benar masalah padang tidak mengapalah. Tetapi jika masalah lain seperti bumbung stadium koyak dan kabel berskru longgar serta berkarat bagaimana pula? Itu belum termasuk masalah kecil yang lain sebagai contoh papan 'scoreboard electoronic' yang sudah berabad jahanam, tandas kotor tidak dibersihkan, tempat solat sempurna tidak ada dan kucing melintas di dalam padang. Oleh itu, tolonglah jaga amanah ini. Peruntukan yang telah diberi Kerajaan itu gunakanlah sebaik mungkin. Perlukah kita menunggu SNBJ runtuh baru nak terhegeh-hegeh menuding telor ke muka orang lain? Pui!!!


Punca


Penutup Cerita


SNBJ diuruskan oleh Perbadanan Stadium Malaysia yang merupakan agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (Menteri Buih a.k.a IDOLA). Jika perkara mudah untuk menguruskan stadium pun gagal dilakukan dengan sempurna. Bagaimana pula dengan urusan lain yang lebih besar? Dalam dunia yang serba laju dan berteknologi ini masih ada lagi kegagalan seperti ini. Kalau dah malas sangat hendak jaga padang, buat sahaja padang sintetik macam Stadium Jalan Besar Singapura. Korang semua pun boleh tidur lena selepas itu. Ok bye!!!


Berbuih molot cakap pun tak guna...