There was an error in this gadget

Monday, January 27, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 3



Liga Super Perlawanan 3 
28 Januari 2014 (Selasa) 


Selangor vs Pahang 
4.45 ptg, Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (Siaran Langsung Astro Arena 801) 

Selangor hanya tidak bernasib baik tewas kepada Temasik Sabtu lepas. Tewas dalam jaringan pada minit-minit akhir sememangnya amat memeritkan. Selangor akan melayan skuad Tok Gajah yang ketika ini juga mengalami penurunan prestasi. Pahang dikejutkan dengan kekalahan kepada Sime Darby, sebuah kelab yang aku sendiri tak tahu siapa penyokongnya selain daripada pekerja di firma tersebut. Petang yang redup rasanya akan menjadi milik Gergasi Merah apabila mereka dijangka meratah Tok Gajah hidup-hidup. 

Pemain Tumpuan Selangor : Mohd Fitri Shazwan Raduwan 
Pemain Tumpuan Pahang : Azamuddin Alex Akil 
Ramalan: Selangor 2 - Pahang 1. 


Johor Darul Ta'zim vs Lions XII FC 
8.45 mlm, Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos (Siaran Langsung Astro Arena 801) 

"Tiada butang kecemasan". Begitulah laungan keyakinan sesetengah penyokong tulen pasukan Harimau Selatan. Penyokong palsu pula terus-terusan menyalahkan pengadil dan juga SR Chopot. Berdepan jiran dari seberang tambak ini memerlukan satu persediaan mental yang kuat. Mungkin Singa Dua Belas mempunyai sedikit kelebihan kerana Fandi Ahmad pernah berkhidmat dengan JDT musim lepas. 90% kekuatan dan kelemahan pemain JDT berada dalam poket seluar beliau. Perlawanan yang sengit ini dijangka berakhir dengan seri. 


Pemain Tumpuan Johor Darul Ta'zim : Pablo Aimar 
Pemain Tumpuan Lions XII FC : Khairul Amri. 
Ramalan: Johor Darul Ta'zim 2 - Lions XII FC 2. 


ATM vs Perak 
8.45 mlm, Stadium Majlis Perbandaran Selayang (Siaran Langsung RTM) 

Seperti ada yang tidak kena dengan permulaan musim ini dari pasukan ATM. Ketiadaan Zahid Hamidi mungkin dirindui oleh para pemain. Nampaknya Sathianathan perlu berhenti merungut tentang pengadil dan mula memberikan fokus 150% kepada pasukannya jika tidak mahu tercicir mata lagi. Perak yang juga pada awal musim ini lebih banyak terlibat dengan isu luar padang, manakala aksi dalam padang mereka masih kucar-kacir. Tidak sukar untuk meramalkan bahawa pasukan tuan rumah akan bangkit pada perlawanan ini dan menewaskan pasukan Perak yang entah apa-apa tu. 

Pemain Tumpuan ATM : K. Reuben 
Pemain Tumpuan Perak : Eliel da Cruz Guardiano 
Ramalan: ATM 3 - Perak 1. 


Terengganu vsTerenganu PBDKT T-Team 
8.45 mlm, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 

Pada kebiasaanya perlawanan antara kedua pasukan ini akan menjadi amat bosan. Kedua-duanya akan bermain secara berhati-hati. Tiada siapa antara mereka mempamerkan semangat untuk mengutip 3 mata. Jadi aksi membosankan ini dijangka akan berakhir dengan keputusan seri. 

Pemain Tumpuan Terengganu : Zairo Anuar 
Pemain Tumpuan PBDKT T-Team : Ptrick Wanggai 
Ramalan: Terengganu 0 - PBDKT T-Team 0 


Kelantan vs Selangor PKNS 
8.45 mlm, Stadium Sultan Mohamad Ke IV

Kelatan adalah satu-satunya pasukan sudah yang mengutip 6 mata penuh dalam 2 perlawanan setakat ini. Analisis di atas ketas juga menunjukkan Kelantan mampu mengatasi PKNS dengan mudah dalam perlawanan ini. Ditambah pula dengan aksi mereka di gelanggang keramat, Stadium Sultan Mohamad Ke IV. PKNS pula sekiranya berhajat mengutip satu mata dari tempat lawan ini perlu bermain dengan lebih teratur dan mengurangkan kesilapan individu. Walaubagaimanapun aku merasakan pada akhir wisel penamat, Kelantan akan berjaya mengutip 3 mata berharga dari gelanggang sendiri.

Pemain Tumpuan Kelantan
Pemain Tumpuan Selangor PKNS 
Ramalan: Kelantan 2 -Selangor PKNS 0 


Sarawak vs KL Sime Darby FC 
8.45 mlm, Stadium Negeri Sarawak 

Sarawak masih lagi gagal mengutip mata dalam 2 perlawanan mereka. Tewas kepada ATM dan Kelantan dalam 2 aksi sebelum ini. Ketiadaan Muamer Salibasic sedikit sebanyak menganggu rentak permulaan Liga Super Sarawak musim ini. Pasukan pelawat Sime Darby tidak wajar dipandang remeh. Kejayaan mereka mengejutkan juara Piala Sumbangsih 2014 iaitu Pahang merupakan satu pencapaian yang hebat bagi sebuah pasukan yang baru sahaja dinaikkan pangkat dari Liga Perdana musim lepas. Sebagai tuan rumah dalam pertembungan ini, pasukan Sarawak wajar menewaskan Sime Darby. Tiada pilihan lain jika mahu bersaing dengan pasukan atasan.

Pemain Tumpuan Sarawak : Joseph Kalang
Pemain Tumpuan KL Sime Darby FC : Fahrul Razi Kamaruddin
Ramalan: Sarawak 1 - KL Sime Darby FC 0

Wednesday, January 22, 2014

Prebiu Liga Super 2014 Perlawanan 2



24 Januari 2014 (Jumaat) 

Selangor PKNS vs ATM 
8.45 mlm, Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Momentum kejayaan pasukan ATM mengutip tiga mata dijangka akan dapat dikekalkan apabila bertemu dengan pasukan Selangor PKNS. Buat masa ini ATM sedang berada pada prestasi terbaik mereka walaupun pada perlawanan pertama tempohari mereka tidak menurunkan beberapa tonggak utama. Sekali lagi Marlon Alex akan dijadikan sandaran untuk menjaringkan gol di Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang sememangnya sudah sebati dengan pasukan ATM meskipun mereka akan turun sebagai pelawat pada perlawanan ini. Walaupun begitu, luka tewas kepada Sime Darby dalam aksi Piala FA mungkin merencatkan sedikit persiapan The Gladiators menjelang pertemuan menentang PKNS. 

Malang buat pasukan PKNS pada perlawanan pertama bertemu Terengganu apabila jaringan pendahuluan pada minit ke-17 daripada Hamka Hamzah masih belum mampu menghadidahkan pasukan Sang Semut Merah ini kemenangan sulung musim ini. Wan Jamak sudah pasti akan merencana persediaan terbaik buat PKNS melakar kejutan ke atas pasukan yang gah seperti ATM. Dengan sedikit magis dari Wan Jamak, B. Sahthianathan akan terkulai di Selayang. Perhatikan juga aksi Hamka Hamzah yang telah menjaringkan 2 gol dalam perlawanan pusingan pertama Piala FA ketika PKNS menewaskan JDT II. 

Pemain Tumpuan Selangor PKNS : Hamka Hamzah 
Pemain Tumpuan ATM : Jayaseelan 
Ramalan: Selangor PKNS  2 - ATM  1. 


25 Januari 2014 (Sabtu) 

Lions XII FC vs Selangor 
7.45 mlm, Bishan Stadium 

Dahulu Lions XII memiliki Shahril Ishak, Baihaki Khaizan dan Hariss Harun. Tidak lupa juga padang plastik. Tetapi kini semua itu tiada lagi. Cuma yang boleh dibanggakan hanyalah Izwan Mahbud sahaja yang masih kekal kebal di posisi penjaga gol dan beliau adalah antara punca utama kepada kejayaan Lions XII menjuarai Liga Super 2014 dengan penuh sombong. 

Selangor pula bertuah kerana memiliki Mehmat Durakovic pada musim ini. Selain itu, kehadiran Paulo Rangel juga merupakan satu rahmat besar kepada skuad Gergasi Merah. Mengikut kajian majalah bola terkemuka Brazil, 'TheGoaLines'. Sekiranya sesebuah pasukan itu memiliki Paulo Rangel, maka pasukan itu sudahpun lengkap 99.99%. Gandingan Mehmat Durakovic-Paulo Rangel kini mengatasi mana-mana gandingan jurulatih-pemain seperti Seedorf-Balotelli dan Simeone-Costa. Paolo Rangel telah menjaringkan 2 gol yang cantik ketika menentang T-team minggu lepas. Dan dijangka dia akan sekali lagi berjaya mengulangi aksi yang sama di Bishan. 

Pemain Tumpuan Lions XII FC : Gabriel Quak Jun Yi 
Pemain Tumpuan Selangor :  Paulo Rangel 
Ramalan: Lions XII FC  1 - Selangor  3   


Sarawak vs Kelantan 
8.45 mlm, Stadium Negeri Sarawak 

Juara Liga Perdana 2013, Sarawak akan menanti kehadiran Kelantan di Stadium keramat mereka Stadium Negeri Sarawak. Sarawak yang kecewa pada perlawanan pertama kerana tewas kepada ATM di Selayang minggu lepas sudah tentu mahu bangkit apabila menghadapi Kelantan. Mungkin kini mereka sudah mulai terasa kehilangan mesin gol mereka iaitu Bobby Gonzalez yang berpindah ke pasukan PDRM musim ini. Dengan Akmal Rizal dibarisan serangan, sedikit sebanyak akan menyulitkan peluang mereka untuk memburu gol atas kerana faktor usia pemain tersebut. 

Kelantan pula kelihatan garang bagaikan amukan Haiyan dengan kehadiran semula Mat Ghaddar. 'The Kijang' menewaskan KL Sime Darby FC 2-1 untuk mengutip mata penuh pertama musim ini. Meskipun mereka ketinggalan seawal minit ke-7, namun semangat juang tinggi yang dipamerkan anak buah Steve Darby membolehkan mereka berjaya mengatasi pasukan KL Sime Darby FC. Secara kasarnya kelebihan berpihak kepada pasukan Kelantan untuk menewaskan Sarawak di Kuching. 

Pemain Tumpuan Sarawak : Hairol Mokhtar 
Pemain Tumpuan Kelantan : Mat Ghaddar 
Ramalan: Sarawak 2 - Kelantan 0 


Perak vs Terengganu 
8.45 mlm, Stadium Perak 

Dalam tempoh seminggu pasukan Perak sudah mengalami 2 kekalahan. Tewas kepada pasukan paling agung, JDT ketika saingan Liga Super dan kemudiannya disingkirkan oleh Pahang dalam aksi Piala FA. Jurulatih Perak, Abu Bakar Fadzim perlu menaikkan semula moral pasukan yang pada ketika ini berada di tahap yang amat rendah. Meskipun aksi beberapa pemain baru seperti Kyaw Zayar Win dan lagenda Hardi Jaafar agak memuaskan, pasukan Perak sebenarnya perlu lebih daripada itu sekiranya ingin menewaskan Terengganu. 

Sementara itu Terengganu yang kembali mendapat sentuhan ajaib Haji Abdul Rahman sudahpun mengumpul 3 mata hasil daripada perlawanan pertama mereka menentang PKNS. Bukan itu sahaja, Terengganu juga mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala FA apabila membelasah Shahzan Muda 4-0. Jika dinilai secara kasar, pasukan Terengganu berpeluang menewaskan pasukan tuan rumah Perak meskipun tidak beraksi di hadapan penyokong sendiri. 

Pemain Tumpuan Perak : Kyaw Zayar Win 
Pemain Tumpuan Terengganu : Nor Farhan 
Ramalan: Perak 0 - Terengganu 2 


Terengganu PBDKT T-Team vs Johor Darul Ta'zim 
8.45 mlm, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 

Umum mengetahui pemburuan menjadi juara liga super bukanlah satu tugas semudah membaca Aliff Ba Ta. Banyak halangan yang perlu ditempuhi, tidak lupa juga ujian-ujian yang mendatang tiba baik di atas padang mahu pun di luar padang. Inilah yang sedang dihadapi oleh pasukan paling agung di dunia iaitu JDT. Walaupun terlalu banyak cerita luar padang yang mengganggu JDT, tetapi fokus pasukan ini tidak pernah luntur walau sekelumit pun. Bertemu T-Team, sudah pasti ia bukan masalah besar buat mereka. 

Minggu ini T-Team akan melayani kunjungan JDT di Kuala Terengganu dengan penuh debar. Tekanan mungkin kurang dirasai oleh para pemain T-Team kerana turun sebagai pasukan bukan pilihan. Jika mereka bermain secara tenang dan kurang melakukan kesilapan, maka tidak mustahil mereka sekurang-kurangnya mampu mengutip satu mata. 

Pemain Tumpuan PBDKT T-Team: TIADA 
Pemain Tumpuan Johor Darul Ta'zim: Amri Yahyah 
Ramalan: PBDKT T-Team 2 - Johor Darul Ta'zim 4 


KL Sime Darby FC vs Pahang 8.45 mlm 
Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Sime Darby hampir berjaya mengejutkan Kelantan pada perlawanan pertama liga super. Dalam aksi Piala FA pula mereka dengan tenang menewaskan ATM 2-1 menerusi 2 gol  jaringan Mahmoud Al Amna . Maka tidak mustahil anak buah Ismail Zakaria boleh menewaskan Juara Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih ini. 

Berdasarkan prestasi semasa pula, pasukan Pahang gagal mempamerkan status mereka sebagai pasukan pilihan musim ini. Mungkin kelemahan di bahagian pertahanan perlu diperbaiki di samping aksi longlai Azidan Sarudin yang bermain di bahagian tengah yang nampaknya masih belum mampu menampung kehilangan Amirulhadi. Stadium Selayang sekali lagi akan menjadi saksi rebahnya sebuah pasukan gergasi pantai timur. 

Pemain Tumpuan KL Sime Darby FC : Mahmoud Al Amna 
Pemain Tumpuan Pahang : Azidan Sarudin 
Ramalan:KL Sime Darby FC 1- Pahang 0 

Wednesday, January 15, 2014

Preview Piala Soltan Bola 2014: Pahang VS Lions XII FC.


Pahang VS Lions XII FC
Stadium Darul Makmur
17 Januari 2014 | 8.45 malam

Pahang dan Lions XII FC adalah dua pasukan elit yang tidak asing lagi pada musim 2013. Pasukan Tok Gajah layak bermain dalam Piala Sumbangsih ini atas kapasiti Juara Piala Malaysia 2013. Manakala Lions XII ialah juara bagi Liga Super 2013. Untuk makluman semua ia bukanlah JDT dan juga bukan pasukan Kelantan. Yang ini kita kena selalu ingat. 

Pada edisi 2014 ini juga Piala Sumbangsih dilangsungkan di tempat yang sepatutnya iaitu Stadium Darul Makmur. Nama pun Piala Soltan Bola, jadi adalah lebih manis sekiranya ia dimainkan di Pahang. Mungkin juga kerana Stadium Shah Alam dan Bukit Jalil ketika ini ditutup untuk kerja baik pulih. Baik pulih stadium jelah kerjanya. Kualiti padang tetap sama jugak aku nengok. 

Pahang adalah finalis dalam edisi sulung pada tahun 1985. Namun ketika itu mereka tewas kepada pasukan yang paling hebat di muka bumi, Selangor dengan skor 2-1. Sebagai rekod juga Pahang sudah bermain sebanyak 6 kali di Piala Sumbangsih dengan 2 kali muncul Juara menewaskan Johor FA dan Sarawak pada tahun 1992 dan 1993. 

Pada musim 2014 ini, Ronald Smith yang menggantikan Dollah Salleh akan mengetuai barisan pemain Pahang dalam misi memburu 3 Piala mereka - Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Mungkin Piala Sumbangsih ini akan menjadi makanan pembuka selera bagi pasukan Pahang sebelum mereka benar-benar mentekedarah kesemua piala yang dipertandingkan di Malaysia. Tetapi persoalannya sekarang mampu ke? 

Secara peribadi aku merasakan kepulangan Fandi Ahmad ke Temasik bukanlah satu rahmat besar buat pasukan Lions XII. Ini kerana selepas Fandi Ahmad berjaya mengkucar-kacirkan jiran seberang tambak mereka, kini giliran pasukan Temasik ini pula merasai pengalaman yang sama. 

Bolehlah dikatakan skuad Lions XII ini adalah barisan termuda dalam Liga Malaysia 2014 kerana dalam barisan 24 orang pemain Lions XII ini hanya Khairul Amri, Sufian Anuar dan Isa Halim sahaja yang berumur melebihi 23 tahun. Selebihnya berumur 23 tahun dan ke bawah. Selain itu, Fandi Ahmad juga turut akan dibantu oleh Nazri Nasir bagi melancarkan pengurusan pasukan Lions XII. 

Walaupun ini adalah perlawanan Piala Sumbangsih, namum pengiraan mata bagi Liga Super akan mula dikira. Pasukan yang menang akan mendapat 3 mata. Jika seri pula satu mata akan diberikan kepada setiap pasukan. Namun sepakan penalti akan dilakukan bagi memilih Juara Piala Sumbangsih 2014. 

Pemain tumpuan Pahang: Khairul Azhan Khalid. 
Pemain tumpuan Lions XII: Mohamad Izwan Bin Mahbud. 
Ramalan: Pahang 3 - Lions XII 1. 

Tuesday, January 14, 2014

Senarai Skuad 2014: Sabah



SENARAI PASUKAN SABAH 2014

PENGURUS
Rahman Zakaria

KETUA JURULATIH
Milomir Seslija

PENJAGA GOL
Irwan Jamil
Mohd Fazli Paat
Mohd Fazrul Iman Malan

PERTAHANAN
Md Reithudin Ag Emran
Dendy Lowa
Julamri Muhammad
Varathan Arumugam
Rawilson Batuil
Pocuca Predrag (import)

TENGAH
Mohd Shahrul Chankui
Mohd Redzuan Nawi
Mohammad Ezaidy Mohammad Khadar
Rosdin Wasli
Didie Arizal Ibrahim
Isma Alif Mohd Salim
Pritam Singh Charun Singh
Maxsius Musa
Jenius Karib
Mitrovic Srecko (import)

PENYERANG
Rozaimi Abd Rahman
Marwan Sayedeh (import)
Rexjeson Pitirus
Md Farid Ideris
Wan Hoesne Wan Hussein
Zainizam Marjan
Sabri Sahar -paku-

Sunday, January 12, 2014

Piala Dunia 2014: Chile



Pengenalan. 

Sebut sahaja negara Chile, sudah pasti kita akan teringat pada nama Ivan Zamorano dan Mrcelo Salas. Sensasi duo pada Piala Dunia 1998 di Perancis. Walaubagaimanapun kempen mereka pada tahun itu hanya setakat di pusingan kedua sahaja apabila tewas 4-1 kepada Brazil.

Chile adalah salah satu antara negara asal daripada 13 negara yang bermain di pusingan akhir tahun 1930. Pasukan ini terkenal dengan gaya permainan menyerang dengan aksi penuh bertenaga. Mereka akan sedaya upaya memburu gol seawal minit pertama. Apabila mereka sedang mendahului permainan, mereka akan meneruskan tekanan dengan menyerang dan tidak akan sesakali menukar taktik kepada bertahan. 

Namun kelemahan di barisan pertahanan boleh mengakibatkan Chile sering berada dalam keadaan bahaya. Mereka perlu memperbaikinya menjelang sepak mula Piala Dunia 2014. Pencapaian terbaik mereka sewaktu menjadi tuan rumah pada 1962 apabila menduduki tempat ketiga wajib diulangi. Jika tidak sekalipun, kemampuan untuk layak ke suku akhir kelak sudah boleh dikira baik untuk skuad yang digelar La Roja ini.

Jurulatih: Jorge Sampaoli


Jorge Sampaoli telah melalui satu kehidupan yang amat menyedihkan. Dia terpaksa berhenti daripada bermain bola akibat kecederaan teruk hanya pada ketika usianya baru sahaja mencecah 19 tahun. Pada ketika itu dunia dirasakan amat gelap baginya. Namun beliau berjaya bangkit selepas itu dengan mula melibatkan diri dalam bidang kejurulatihan pada tahun 1992 dengan kelab amatur.

Jurulatih berbangsa Argentina ini mengambil alih tugas daripada  Claudio Borghi selepas kecermelangannya bersama kelab Universidad de Chile yang memenangi 3 kejuaraan Liga serta Piala Sudamericana. Kemasukkannya juga mengembalikan semula Chile kepada sebuah pasukan yang bertenaga, bermain pada tempo yang tinggi sama seperti ketika era Marcelo Bielsa.

Ketua Pasukan: Claudio Bravo. 


Claudio Bravo adalah penjaga gol hebat yang sudah beraksi bersama Real Sociedad bermula pada musim 2006-2007. Pada usia 30 tahun juga beliau telah menjadi penjaga gol nombor satu Chile sejak hampir 10 tahun yang lalu. Malahan telah menjadi ketua pasukan Chile sejak dari tahun 2007.



Pemain Bintang: Alexis Alejandro Sánchez


Barcelona berhabis duit sebanyak £23 Juta untuk menandatangani pemain yang berketinggian 5 kaki 7 inci ini daripada Udinese. Beliau boleh beraksi sama ada di posisi sayang ataupun penyerang tengah.

'El Nino Maravilla' yang bermaksud The Wonderboy akan berusia 26 tahun di Piala Dunia 2014 nanti. Dia sememangnya sudah ditakdirkan menjadi antara pemain terhebat pasukan Chile buat masa ini. Ketajamannya di hadapan gol semakin meningkat dengan setakat ini telah merekodkan sejumlah 22 gol daripada 64 penampilan bersama pasukan kebangsaan Chile.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Arturo Vidal


Arturo Vidal yang bermain untuk pasukan Juventus adalah antara tonggak penting yang menjana pergerakan dari bahagian tengah pasukan Chile. Dengan memegang prinsip seperti permainan bola keranjang "kau serang aku, aku serang kau semula'- Vidal merupakan pemain yang paling sesuai untuk memberi inspirasi kepada Chile ketika pasukan ini mula mencorak serangan mereka.

Berkemampuan tinggi dalam melakukan jaringan daripada jarak jauh dan ini akan menjadi senjatanya yang akan dipersembahkan di Brazil nanti.



Piala Dunia 2014: Holland


Pengenalan.

Aku lebih senang memanggil mereka Belanda. Pasukan ini seperti biasa akan memulakan aksi di Piala Dunia dengan harapan untuk menjadi Juara. Pencapaian terbaik mereka adalah apabila menjadi Naib Juara pada tahun 1974, 1978 dan 2010. Belanda adalah satu-satunya pasukan yang paling berpotensi di muka bumi untuk menjadi Juara Piala Dunia yang masih belum menjulang Piala teragung ini (selain Malaysia).

Sebab itu ada yang mengatakan sejarah Belanda di Piala Dunia amat tidak sesuai dengan reputasi mereka selaku antara kuasa besar dalam era moden bola sepak dunia. Pada edisi kali ini, sekali lagi mereka tampil untuk membuktikan yang mereka masih berpengaruh meskipun pada hakikatnya mereka masih lagi di bawah tahap sebenar dalam sejarah Piala Dunia.

Pemain seperti Robin Van Persie, Wesley Sneijder dan Arjen Robben masih lagi menjadi sandaran utama Belanda untuk menggegar Piala Dunia tahun ini. Ternyata bahagian serangan Belanda sangat kuat dan bertaraf dunia. Kepintaran teknikal Van Persie, kualiti gerakan Sneijder dan kepantasan menggelecek Arjen Robben pasti menjadi ancaman besar pada mana-mana sahaja lawan mereka. Jika cergas sepenuhnya, trio ini pastinya menjadi senjata yang amat merbahaya.


Jurulatih: Louis Van Gaal.

Ketika artikel ini ditulis, Van Gaal sedang hangat diburu oleh pasukan Tottenham Hotspurs. Walaupun begitu fokusnya tidak akan terganggu dan perhatiannya masih 100% untuk pasukan Belanda. 

Pada pusingan kelayakan, pasukan Belanda bimbingan Van Gaal ini berjaya mengutip 28 mata daripada 10 perlawanan yang meletakkan mereka di tangga pertama kumpulan D. Sekaligus menjadikan pasukan Belanda ini berada dalam kedudukan 8 pasukan pilihan di Brazil Jun depan. 


Ketua Pasukan: Robin Van Persie.

Beliau kini sudah berjaya memintas rekod Patrick Kluivert untuk menjadi penjaring terbanyak dalam sejarah bola sepak Belanda dengan 41 gol. Manakala persembahannya untuk peringkat kelab juga amat memberansangkan buat pemain yang berasal dari Rotterdam ini. Musim lepas memperlihatkan Van Persie menjadi tonggak utama untuk pasukan Manchester United dalam menjulang kejuaraan ke-20 liga mereka. 

Pemain ini semasa remajanya banyak menghabiskan masa dengan bermain 'street soccer' yang mana banyak membantunya mencipta asas untuk skil dan kepintaran tekniknya. Menurut Arsene Wenger suatu ketika dahulu "Tiada pemain yang boleh memegang bola begitu hampir dengan kaki pada sentuhan pertamanya seperti Van Persie". Itu dulu punya ceritalaaaa.


Pemain Bintang: Arjen Robben.

Arjen Robben adalah pemain lagenda yang telah memenangi 3 kejuaraan liga di 3 negara yang berbeza : Chelsea, Real Madrid, Bayern Munich. Pemain sayap lincah dan berkemahiran tinggi ini boleh membuatkan lawannya menjadi gila isim. Skil menggelecek dan kepantasan beliau memang hebat dan ia menjadikan beliau pemain yang akan sentiasa berjaya memecahkan kebuntuan perlawanan dan menjadi punca kemenangan dalam sesuatu pertarungan. 

Jika cergas sepenuhnya pada Piala Dunia 2014 nanti, Robben akan menjadi senjata berbahaya kepada mana-mana pasukan yang akan bertemu dengan Belanda.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Stefan de Vrij.

Baru berusia 21 tahun. Ketua pasukan untuk kelab Fayenoord ini mempunyai ketinggian 6 kaki 2 inci. Merupakan pertahanan tengah yang tenang dan mantap dalam kawalan bola.

Debut pertamanya adalah pada 15 Ogos 2012 dan sejak itu dia sudah mengumpul 9 penampilan untuk skuad Louis Van Gaal.

Piala Dunia 2014: Sepanyol



Pengenalan  

Kali terakhir pasukan Sepanyol jatuh dari rangking pertama FIFA ialah pada Ogos 2011. Itupun jatuh ke tangga kedua. Melihat kepada statistik ini, sudah pasti ia akan mendatangkan gerun kepada setiap lawan mereka.

Namun begitu, kemenangan Sepanyol 4 tahun yang lalu dibayangi dengan protes lebih dari sejuta rakyat Catalonia yang berarak di Barcelona menuntut lebih kuasa autonomi dari Sepanyol ataupun jika tidak, mereka mahukan kemerdekaan. Maka tidak hairanlah kejayaan Sepanyol itu disambut hangat di Madrid tapi di wilayah-wilayah Sepanyol yang lain ianya tidak berapa diraikan. 

Berdasarkan rekod pada tahun 2010. Sebagai sebuah wilayah autonomi, Catalonia dihuni oleh 7 juta penduduk berbanding 47 juta penduduk seluruh Sepanyol tetapi wilayah ini menyumbangkan 25% KDNK untuk seluruh Sepanyol. Sekiranya Catalonia berpisah maka jawabnya ekonomi Sepanyol akan melingkup lagi teruk dari Greece.

Ia bukan setakat itu sahaja, kemerdekaan Catalonia juga akan turut melingkupkan bola sepak Sepanyol. Ini dek kerana sebahagian besar pemain skuad Sepanyol yang menang Piala Dunia pada tahun 2010 adalah bangsa Catalan atau rakyat Catalonia. Victor Valdes, Carles Puyol, Gerard Pique, Joan Capdevila, Sergio Busquets, Cesc Fabregas dan Xavi Hernandez adalah mereka yang berdarah Catalan. Itu belum dikira dengan pemain lapisan muda seperti Bojan Krkić, Marc Bartra, Martín Montoya, Jordi Alba dan juga Cristian Tello.

Bayangkan pasukan Sepanyol tanpa kehadiran pemain-pemain tersebut. Bayangkan......

Jurulatih: Vicente del Bosque. 


Sebelum kejayaan membawa Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah 2012, Vicente del Bosque lebih dikenali sebagai pengurus yang dipecat secara kejam oleh Real Madrid meskipun meskipun membawa pasukannya menang La Liga pada tahun 2003.

Kini figura yang berusia 62 tahun ini adalah individu genius yang dilihat mampu menjinakkan perang tradisi antara pemain Barcelona dan Real Madrid. Dia menggabungkan semua pemain berbakat menjadi satu kelompok kumpulan pejuang yang akan membawa dirinya menjadi pengurus pertama yang menjulang 3 kejuaraan utama dunia secara berturut-turut.

Ketua Pasukan: Iker Casillas.


Kehadiran Casillas telah mencuri perhatian dunia sejak dari zaman remajanya lagi. Beliau telah diiktiraf sebagai antara pemain terbaik Eropah dengan pelbagai anugerah yang sudah menjadi miliknya.

Sekarang Casillas sudah memiliki sejumlah 152 penampilan antarabangsa bersama Sepanyol. Tetapi dengan usianya baru mencecah 32 tahun, angka 200 mungkin tidak mustahil untuk dicapainya kerana dia adalah pilihan utama Sepanyol sejak 14 tahun yang lalu.

Pemain Bintang: Andres Iniesta. 


Pass, pass, dan pass lagi. Ini adalah kerja rutin Iniesta baik dalam pasukan Barcelona mahupun Sepanyol. Merupakan enjin pasukan Sepanyol yang mana sentuhannya mampu mengubah permainan apabila dia turun bermain.

Pada usia 29 tahun, sudah pasti dia mahu mengulangi kejayaan manis menjulang Piala Dunia 4 tahun yang lalu.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Cristian Tello.


Mungkin beliau adalah penyelesai kepada masalah serangan pasukan Sepanyol ketika ini. Roberto Soldado, Alvaro Negredo, Fernando Llorente, David Villa dan juga Fernando Torres semuanya jika tidak cedera, berada pada prestasi yang kurang memberansangkan.

Cristian Tello adalah produk Barcelona. Pada usia 22 tahun dia mungkin akan diberi peluang sekiranya penyerang senior dalam pasukan Sepanyol mengalami kemerosotan prestasi. 

DAVID MOYES - The Record Breaker!



DAVID MOYES - The Record Breaker!

(1) Everton's first win at Old Trafford after 21 years.
(2) Newcastle United's first win at Old Trafford after 41 years.
(3) West Brom's first win at Old Trafford after 35 years.
(4) Man United's worst start after six games since 1989/1990.
(5) Swansea's first ever win at Old Trafford. Respect! The Chosen One!
(6) Stoke's first win over United since December 1984. (30 years)

Friday, January 10, 2014

Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara



1. Muhyidin Yassin. 

TPM menyeru semua pihak bersatu padu bergabung memberi sokongan kepada pasukan bola sepak Malaysia untuk layak ke Piala Dunia suatu hari nanti. Ya!!! Seru... 


2. Theo Walcott. 

Pemain ini akan terlepas semua baki musim ini dan juga kejohanan Piala Dunia akibat kecederaan buku lali. 


3.  TMJ. 

Presiden JFA ini telah melaungkan amaran kepada anak buah mereka agar tidak membakar suar di dalam stadium. Jika tidak dia akan letak jawatan. Kahkahkah... 


4. David Moyes.

Selepas membantu pelbagai pasukan memecahkan rekod di Old Traffod, beliau telah diberi bajet perpindahan sebanyak £100  Juta untuk dibelanjakan. 


5. Eusebio 

Lagenda Portugal ini meninggal dunia pada usia 71 tahun akibat penyakit jantung. 


6. Cristiano Ronaldo 

Pemain hebat Real Madrid ini menjaringkan gol ke- 400nya dalam pertemuan menentang Celta Vigo. 


7. Capital One Cup Semi Final 1st Leg.

Sunderland 2 - 1 Man Utd.
Man City West Ham


8. Kelantan

Khairul Fahmi Che Mat, Nik Shahrul kekal di Kelantan sehingga 2019. Manakala Piya menyambung kontrak bersama Kelantan selama 2 tahun lagi.


9. Piala Dunia FIFA 2022.

Piala Dunia yang akan berlangsung di Qatar dijangka akan diadakan sama ada 15 November 2022 ataupun 15 January  2022 bagi mengelakkan musim panas pada bulan Jun-July.


10. Philippe Troussier

Cubaan FAM melantik jurulatih ini mungkin gagal kerana FA Tunisia sedang berusaha melakukan perkara yang sama,

Wednesday, January 8, 2014

Piala Dunia 2014: Mexico



Pengenalan. 

Angkat tangan siapa ada jersi England? Belanda? Jerman? Argentina? Haaaa...Bagus...bagus. Sekarang siapa pula yang ada jersi Mexico? Huuurrrmmmms....Tak bagus ni. 

Ceritanya begini wahai kawan-kawan. Sebelum Tanah Melayu bergegar dengan gelekan Maria Mercedes di kaca televisyen saluran NTV7 pada sekitar tahun 1999, aku sudah pun khatam jumlah warna yang digunakan untuk mencorak jersi penjaga gol Jorge Campos. Selepas itu gerak skill kepit bola-lompat Cuauhtémoc Blanco juga aku berjaya praktikkan setiap petang ketika turun menewaskan Pasukan Anak-Anak Pekerja Persatuan Peladang Tangkak. Sejarah tidak pernah menipu apabila pasukan yang aku wakili sentiasa menang. Begitulah kuatnya pengaruh pasukan Mexico dalam kehidupan aku. 

Seperti yang kita tahu, Mexico telah mengalami krisis mata wang yang sangat teruk pada tahun 1994. Dan ianya masih lagi berlaku sehingga kini. Walaupun begitu, Krisis Matawang Peso ini masih gagal menyekat perkembangan bola sepak Mexico. Sebagai rekod, ini adalah penampilan ke-6 Mexico secara berturut-turut sejak dari Piala Dunia edisi 1994 lagi. 

Penyeludupan manusia, pengedaran dadah dan masalah senjata semuanya ditutup rapi dengan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia. Biarpun hanya sebulan. Kegembiraan ini wajib diraikan bersama di serata Mexico. Viva El Tri!!!! 

Jurulatih: Miguel Herrera. 




Nama susuk ini sudah tidak asing lagi dalam kancah bola sepak di Mexico. Perkara pertama yang beliau lakukan apabila dilantik menjadi jurulatih untuk perlawanan play-off menentang New Zealand ialah dengan memanggil 10 orang pemain yang dilatihnya ketika bersama kelab America. Ia langkah drastik yang berkesan apabila 7 daripada pemain itu diletakkan dalam kesebelasan utama dan berjaya menewaskan New Zealand dengan aggregate 9-3 sekaligus memacu Mexico layak ke Piala Dunia 2014 setelah mengharungi satu kempen yang terumbang-ambing.

Miguel Herrera yang berbadan gempal ini masih lagi berjaya mengekalkan rekod 100% kemenangan untuk pasukan Mexico apabila sudah memenangi kesemua 3 perlawanan sejak daripada dilantik menjadi jurulatih Mexico pada bulan Oktober 2013.

Ketua Pasukan: Rafael Marquez Alvarez




Pemilihan semula Rafael Marquez ke dalam pasukan Mexico adalah sesuatu tindakan tepat yang dilakukan oleh Herrera. Pada usia 34 tahun, ketenangan yang dibawanya ke dalam barisan pertahanan Mexico banyak membantu pasukan ini.

Telah mengumpul sejumlah 116 penampilan untuk Mexico dan bekas pertahanan Barcelona ini masih lagi belum hilang sentuhan emasnya. Kemahiran dalam melakukan hantaran jauh yang sangat tepat sudah pasti akan menjadi senjata utamanya.

Pemain Bintang: Javier Hernandez.


Little Pea menggegar kancah bola sepak England pada musim pertamanya dengan Manchester United apabila berjaya menjaringkan 20 gol. Tetapi kariernya dengan pasukan kebangsaan Mexico mengalami sedikit penurunan. Beliau hanya mampu menjaringkan 12 gol sahaja sepanjang tahun 2012 dan 2013  untuk pasukan Mexico. Statistik yang amat membimbangkan.

Walaupun begitu, ketajamannya dihadapan gol masih didambakan Mexico bagi memacu arah tuju pasukan ini dalam kejohanan Piala Dunia 2014 di Brazil nanti.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Raul Jimenez


Penyerang sensasi kelab America ini baru sahaja berusia 22 tahun. Namun pada usia muda begini dia adalah harapan utama untuk kelab dan negaranya. Menyelamatkan Mexico dengan jaringan melalui sepakan gunting sekaligus memberi kejayaan menewaskan Panama dan seterusnya membawa skuad El Tri untuk bertemu dengan New Zealand.

Raul Jimenez pastinya akan menggegar Piala Dunia 2014 bersama-sama Oribe Peralta dan Javier Hernández yang akan membentuk gandingan merbahaya buat pasukan Mexico.











Friday, January 3, 2014

Renungan Bola Jumaat: 10 Perkara




1. Zlatan Ibrahimovic 

"Santa Claus". Itulah jawapan daripada Zlatan apabila ditanya tentang siapa yang berhak memenangi anugerah Ballon d'Or. 


2. Vincent Tan 

Pemilik kelab bola sepak Cardiff City telah memecat Malky Mackay selepas pasukan tersebut mengalami kemerosotan persembahan. 


3. Nicholas Anelka 

Pemain ini sekali lagi terlibat dengan kontroversi selepas aksinya meraikan gol dengan gaya 'quenelle' kononnya bersifat anti-yahudi. 


4. Pahang dan Amirulhadi 

Kes ini semakin bangang dan mengarut. Pahang FA akan menghantar surat bantahan kepada FAM kerana tidak puas hati dengan hukuman yang telah dikenakan kepada Amirulhadi iaitu hanya denda bernilai 25 ribu. 


5. Hazwan Bakri 

KLFA tidak puas hati dengan jumlah 25 ribu yang akan dibayar oleh FAS kerana mereka berasakan berhak menuntut sejumlah 200 ribu bagi pemain tersebut.


6. Ole Gunnar

Ole Gunnar telah dinamakan sebagai Pengutus Pasukan Candiff City yang baru.


7. BPL Result

Swansea 2-3 Man City
Arsenal 2-0 Cardiff
Crystal Palace 1-1 Norwich
Fulham 2-1 West Ham
Liverpool 2-0 Hull
Southampton 0-3 Chelsea
Stoke 1-1 Everton
Sunderland 0-1 Aston Villa
West Brom 1-0 Newcastle
Man Utd 1-2 Tottenham


8. Chelsea Rugi

Chelsea mencatatkan kerugian £49.4 juta (RM268.2 juta) pada penyata kewangan tahun lalu.


9. Ronaldinho

Ronaldinho memenangi Anugerah Pemain Terbaik Amerika Selatan dengan 156 mata. Neymat tempat kedua dengan 81 mata dan Maxi Rodriguez 79 mata.


10. Amirulhadi Tiada

Tiada Amirulhadi, tiada masalah. Itulah keyakinan yang diluahkan oleh Zainal Abidin Hassan yang mahukan Azidan Saruddin mengambil alih posisi pemain yang berpindah ke JDT musim ini.


Thursday, January 2, 2014

Piala Dunia 2014: Cameroon



Pengenalan

Apabila berbicara tentang pasukan Cameroon, ingatan aku pantas terimbas pada aksi gelek Roger Milla di penjuru padang meraikan jaringannya. Siapa yang boleh melupakan keraian gol sebegitu rupa? Sehingga kini rekod penjaring tertua dalam sejarah Piala Dunia juga masih dipegang oleh lagenda Cameroon ini. Iaitu menjaringkan gol pada usia 42 tahun dan 39 hari. 

Negara yang mempunyai keluasan 1.44 kali lebih daripada Malaysia ini akan membuat kemunculan ke-6 dalam Piala Dunia 2014 dengan pencapaian terbaik mereka masih lagi pada tahun 1990 ketika layak sehingga ke Suku Akhir. Pada ketika itu mereka tewas kepada England di Naples dalam masa tambahan dengan jaringan 3-2.

Walaupun hanya layak menerusi penentuan aksi 'play-off', skuad 2014 ini perlu segera keluar dari bayang-bayang kejayaan pada tahun 1990 dan melakar sejarah baru dalam bola sepak Cameroon. Jadi, jatuh bangun pasukan Cameroon tahun depan semuanya akan bergantung pada strategi Jurulatih mereka iaitu Volker Finke.

Jurulatih: Volker Finke.


Ramai yang menganggap Volker Finke adalah kejutan sebenar daripada pasukan Cameroon. Ini kerana beliau adalah seorang bekas guru yang telah menghabiskan masa selama 16 tahun di SC Freiburg dan hanya dilantik untuk menguruskan Cameroon pada May 2013.

Walaupun begitu dia mempunyai rekod cemerlang setakat ini dengan memenangi kesemua 3 perlawanan sejak dilantik menjadi pengurus pasukan Cameroon.

Ketua Pasukan: Samuel Eto’o.


Penyerang terbaik Cameroon sejak era Roger Milla, Samuel Eto'o memiliki peluang untuk mengulangi atau mungkin mengatasi pencapaian heronya itu. Eto'o yang kini berusia 32 tahun merupakan penyerang untuk pasukan hebat Chelsea dan dia juga adalah penjaring terbayak pasukan negaranya dengan 55 gol.

Eto'o yang gagal beraksi di Jerman 2006 dan tidak berjaya membawa pasukannya melepasi peringkat kumpulan pada 2010 kini berpeluang sekali lagi untuk mengetuai sebuah negara Afrika yang semetinya mahu memperbaiki pencapaian gemilang tahun 1990.

Pemain Bintang: Stephane Mbia. 


Pemain ini mempunyai pengalaman luas dalam karier remajanya. Bermain dalam Piala Dunia FIFA Bawah 17 tahun dan juga Olimpik 2008 di China. Membuat penampilan sulung dalam skuad utama Cameroon untuk kejohanan Piala Afrika pada 2008 di Ghana.

Dia juga berada dalam pasukan QPR yang telah diturunkan divisyen dan kini sedang dipinjamkan ke kelab Sevilla. Di samping pemain Barcelona, Alex Song, Stephane Mbia juga akan memegang peranan penting untuk menjana kejayaan pasukan Cameroon.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Fabrice Olinga.


Jika Malaysia berbangga dengan penyerang handal Izzaq Faris, Cameroon juga tidak mahu mengalah dengan melahirkan bakat sehebat Fabrice Olinga. 

Beliau akan berumur 18 tahun apabila kejohanan Piala Dunia Brazil ini dilangsungkan. Dengan ketinggian hanya mencecah 5 kaki 7 inici pemain ini telahpun menyinar bersama kelab Malaga di La Liga. Gelaran bintag muda ini ialah 'Happy Feet' gitu.