Showing posts with label Piala Asia 2015. Show all posts
Showing posts with label Piala Asia 2015. Show all posts

Tuesday, September 8, 2015

Malaysia Melawan Arab Saudi

Malaysia Melawan Arab Saudi.

1. Datuk Ong Kim Swee (OKS) bermula positif dengan tidak menyenaraikan Afif dan Amir Taj. Dua pemain yang sering tertinggal otaknya ini digantikan terus dengan Razman Roslan dan Fadhli Shas. Muka baru lain ialah Alex, Davies, Baddrol Bahktiar dan Nazirul Naim yang merupakan antara faveret OKS.

2. Besor-besor juga pemain Arab Saudi. Tapi besor lagi semangat pemain Malaysia yang berjaya bertahan dengan cemerlang selama 45 minit.

3. Aku menengok live streaming dalam bahasa Arab. Ada seorang pemain Arab Saudi berjersi nombor 7. Al-Faraj namanya. Terganggu jugak aku bila pengulas tu asyik sebut nama pemain ni berkali-kali.

4. Arab Saudi ni memang tak handal mana buat masa sekarang. Bukan macam masa sekitar era 90-an dulu.

5. Separuh masa pertama tamat dengan skor 0-0. Macam biasa corak permainan bosan, tetapi boleh diharapkanlah jugaaaaaak.

6. Separuh masa kedua bermula dengan biase-biase ajek. Tetapi agak fizikal. Namun Arab Saudi masih terkial-kial hendak membolosi gawang Malaysia. Entah berapa besor pawang yang Malaysia guna malam ini agaknya.

7. Jurulatih Arab Saudi bernama Van Marwijk. Individu yang membawa pasukan Belanda muncul naib Juara Piala Dunia 2010. Manakala Malaysia dikawal selia oleh OKS. Itu sahaja yang aku nak bagitau.

8. Gol pada minit ke-69 berjaya disumbat oleh Kapitan Mabeles Misai Kucing Safiq Rahim. Seluruh Malaya bergegar seketika.

9. Malang sekali Arab Saudi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72. Kali ini seluruh Malaya terdiam sejenak mengenangkan nasib.

10. Sekali lagi Malaysia bolos pada minit ke-75 menerusi satu tandukan cantik yang menewaskan Apek. Kelihatan pasukan Harimau Malaya sudah kembali ke fitrah asalnya.

11. Perlawanan secara tiba-tiba terbehenti pada minit ke-88 dek kerana ada mercun, suar, kerusi dan bunga api yang secara bergilir-gilir memasuki padang. Aku rileks bangun pergi amek wuduk dan solat Isyak.

12. Tengku Bola baru umum akan meletak jawatan secara berperingkat-peringkat dan Harimau Malaya hanya kena dua gol berbalas satu. Bayangkan indahnya kalau dia terus meletak jawatan dua hari lepas.

13. Apa pun keputusan pada malam ini secara peribadi aku sambut dengan penuh kesyukuran kerana ia membuktikan bola sepak kita masih kekal terkebelakang 44 tahun berbanding negara Asia yang lain. Baik dari segi mentaliti Presiden, FA Negeri dan juga penyokong-penyokong hijau.


Posted via Blogaway

Saturday, November 16, 2013

Kelayakan Piala Asia 2015: Bahrain 1 - Malaysia 0 (13 Analisis Pasukan Malaysia)



Kelayakan Piala Asia Bahrain 1 - Malaysia 1: Analisis Pasukan Malaysia.


1. Hanya dua orang sahaja pemain yang beraksi di final Piala Malaysia menjadi starting line-up pasukan Harimau Malaya.

2. Selama 45 minit separuh masa pertama Malaysia bermain dengan corak permainan penuh seni. Seni yang dimaksudkan ialah..menyepak bola mengikut arah telur. Selama 43 minit jugalah aku tertidur.

3. Pemain nombor 8 Malaysia yang juga ketua pasukan seperti biasa bermain dengan sangat teruk. Ini adalah rutin beliau ketika bersama kelab dan negara.

4. Pemain nombor 8 ini juga masih tidak tahu yang tugas dia adalah memegang bola dengan tenang dan set tempo permainan.

5. Lebih kurang pada minit ke-70, Alex dikeluarkan dan diganti dengan Safee Sali. Pemain JDT ini masuk dan Malaysia bolos 1-0. Ketika ini di atas padang ada 4 orang pemain JDT. Korang bincangkan hal ini. Aku malas.

6. Seperti juga aksi yang lepas, K. Reuben kelihatan masih berkongsi otak dengan Rajagobal. Jadi dia tidak boleh berfikir banyak.

7. S. Kunalan dan K. Gurusamy membuktikan mereka adalah pemain tengah paling hampas sepanjang musim ini, namun masih mampu mewakili negara.

8. Kekalahan ini bermakna kita akan ada modal untuk terus mendesak Presiden FAM untuk meletak jawatan. Nak desak sampai bila? Aku tak pasti.

9. Sejak JDT wujud dan bermain dalam Liga Malaysia. Pasukan Harimau Malaya sudah merekodkan 15 kekalaha, 2 menang dan 2 seri. Ini adalah kajian aku.

10. Kita dihidangkan dengan drama KJ dan FAM beberapa minggu sebelum perlawanan ini. Tapi ia tetap tidak menghalang fokus pasukan Harimau Malaya untuk bermain bola secara bangang.

11. Kini Harimau Malaya bukan saja sukar untuk layak, malahan hendak mencium bau Piala Asia pun belum tentu dapat lagi.

12. Main bola macam bongok pun nak berharap layak. Bagilah pasukan yang betul-betul layak masuk Piala Asia.

13. Padan muka Malaysia kalah.

Wednesday, October 16, 2013

Kelayakan Piala Dunia 2014



7 lagi pasukan berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia Brazil 2014. Kini 21 pasukan dengan rasminya akan bertanding di kejohanan yang berprestij tersebut. Malangnya ia tanpa kehadiran pasukan Harimau Malaya. Sayu rasanya di hati ini. Ada 11 lagi tempat yang perlu direbutkan. Dibawah ini senarai pasukan yang berjaya layak malam tadi dan juga pagi ini.


Russia

Menjuarai kumpulan F dengan mengumpul 22 mata meninggalkan pasukan Portugal di tempat kedua (21 mata). Ini adalah penampilan ke-10 mereka. Kali terakhir muncul pada tahun 2002. Pencapaian terbaik mereka ialah di tempat ke-4 pada tahun 1966.

Bosnia and Herzegovina
Negara yang  merdeka pada tahun 1992 ini berjaya melayakkan diri buat kali pertama dalam Piala Dunia selepas menjuarai kumpulan G. Gol jaringan Vedad Ibisevic telah membawa mereka ke Brazil tahun depan. Walaupun berkongsi jumlah mata dengan pasukan Greece, namum kelebihan jaringan ternyata berpihak kepada mereka (30 gol).

England

Setelah melalui satu kempen yang kurang konsisten, England akhirnya layak apabila menjuarai kumpulan H. Ini memberikan mereka penampilan ke-14 untuk bekas Juara Piala Dunia 1966. 

Spain

Penyandang juara seperti yang diramal berjaya meletakkan diri mereka ke Brazil tahun depan. Penampilan yang ke-14 ini bolehlah dikatakan agak susah untuk direalisasikan kerana mereka terpaksa menunggu sehingga hari yang terakhir.

Chile

Chile layak buat kali kedua berturut-turut  selepas kehadiran mereka yang menggemparkan pada edisi 1998. Pada edisi 2010, pasukan mereka masih muda. Namun kali ini mereka sudah cukup matang dan bersedia memberikan senyuman manis kepada Ivan Zamorano dan Marcelo Salas. 

Ecuador

Ini adalah penampilan yang ketiga untuk Ecuador. Pencapaian terbaik mereka adalah pada tahun 2006 apabila layak ke pusingan-16 pasukan terakhir. Mereka layak setelah hanya mendahului Uruguay dengan perbezaan jaringan sahaja.

Honduras

Ini juga adalah penampilan ketiga buat Honduras. Hanya berjaya menempatkan diri di peringkat kumpulan sahaja pada edisi tahun 1982 dan 2010. Selamat berjaya buat Honduras!!!

  
8 pasukan dari benua Eropah akan diundi dan bermain menentang sesama mereka pada 15 dan 19 November 2013 untuk mencari 4 lagi pasukan yang akan bermain di Brazil tahun depan.
  • Portugal 
  • Greece
  • Croatia
  • Ukraine
  • France
  • Sweden
  • Romania
  • Iceland


Manakala 2 pasukan lagi akan ditentukan peluang mereka seperti dibawah ini,

1st leg: 13–14 Nov 2013
2nd leg: 20 Nov 2013

AFC 5th place vs CONMEBOL 5th place | Jordan vs Uruguay

CONCACAF 4th place v OFC winner | Mexico vs New Zealand

Tuesday, October 15, 2013

Malaysia 1 - Bahrain 1: Analisis Pemain Malaysia.



1. 20 minit pertama dikuasai pasukan Bahrain. 

2. 20 minit pertama jugalah pemain Malaysia bergembira sesama mereka.

3. Pemain nombor 8 Malaysia sangat teruk. Rutin beliau ketika bersama kelab dan negara.

4. Pemain nombor 8 ini juga tidak tahu tugas dia adalah memegang bola dengan tenang dan set tempo permainan.

5. Kunanlan lebih banyak memiliki bola berbanding pemain nombor 8 yang bermain di posisi central midfielder.

6. K. Reuben berkongsi otak dengan Rajagobal. Jadi dia tidak boleh berfikir banyak.

7. Ini menyebabkan Alex Akil seperti seorang pejuang individu di atas padang. Kami rindukan Abang Jalal.

8. Rehat separuh masa, Nazab Hidzan mula mengomel macamlah masa muda dia sehebat Edgar Davids.

9. Selepas 20 minit separuh masa kedua, Alex Akil mula terikut-ikut dengan penyakit K. Reuben.

10.Kini dua pemain yang tidak berotak bermain bersama di sebelah kanan. Rajagopal masih tenang.

11.Alex dikeluarkan pada minit ke-74 (Nazrin Nawi). Bukti pemain Pahang adalah masalah utama dalam skuad Harimau Malaya.

12.Fakri Saarani masuk pada minit ke-85 (Kunanlan). Ketika peminat mahukan gol kemenangan secara tiba tiba Rajagobal memasukkan Fakri. Rajagopal cuba menjadikan dirinya nampak sedikit cerdik.

13.Fitri Omar masuk menggantikan Asrar bagi melengkapkan kuota 3 pertukaran pemain.

14.Tamat permainan 1-1. Seminggu la kita terpaksa dengar Rajagopal mendabik dada.


Prebiu Kelayakan Piala Asia 2015: Malaysia vs Bahrain




Kalau mengikut kajian si bijak pandai. Secara matematiknya amat mudah untuk menjangka keputusan perlawanan ini. Dengan keadaan semasa prestasi pasukan bola Malaysia ini, tidak mustahil untuk melihat skuad Harimau Malaya tewas dengan jaringan besar, 0-5 sebagai contoh. 


Malam ni ramai yang bercadang untuk menonton perlawanan ini secara serius. Selepas itu, bersedia nak kutuk juga secara serius. Mungkin ramai yang sudah tidak sabar untuk mengutuk corak permainan Safiq Rahim. Mungkin juga ada yang sudah mula membasahkan bibir dengan caci maki untuk dihadiahkan kepada Rajagopal kelak.

Namun apa yang penting ialah....Menang kita puji, kalah kita maki. Tapi sokong tetap sokong. Ayuh Malaysia.

Wednesday, March 13, 2013

Prebiu Kelayakan Piala Asia 2015: Malaysia vs Yaman



Pengenalan Yaman

Negara Yaman telah dan sedang menghadapi pelbagai jenis bentuk peperangan. Mereka tidak seperti Malaysia yang aman damai di bawah pemerintahan Perdana Menteri 1 Malaysia kita, Mohd Najib Razak. Antaranya Yaman telah berhadapan dengan perang saudara dengan sebahagian besar penduduk Syi’ah di bahagian utara. Ia juga berhadapan dengan puak pemisah di selatan yang menuntut rundingan semula kesepakatan penyatuan wilayah utara dan selatan yang termeterai pada tahun 1990. Yaman hari ini merupakan negara yang sebahagian besarnya masih mundur dan dipimpin oleh pelbagai suku (kabilah), manakala kerajaan pusat pula masih gagal mengubah kenyataan ini.

Walaupun pelbagai krisis melanda negara Yaman, namun semangat kecintaan mereka terhadap sukan bola sepak tidak pernah  pudar. Kanak-kanak masih tegar menyepak bola buatan sendiri sambil ditemani periuk api dan diselang seli dengan tujahan motar jenis LLR 81 mm. Mengimbau sejarah bola sepak mereka juga sangat unik. Sebelum tahun 1990, negara Yaman terbahagi kepada 2 bahagian iaitu Yaman Utara dan Yaman Selatan. Tetapi Yaman Selatan lebih berjaya berbanding Yaman Utara. Yemen Selatan juga pernah mengambil bahagian di dalam Piala Asia 1976 dan Kelayakan Piala Dunia 1986. Malangnya mereka terkandas awal. Pada tahun 1990 kedua negara bergabung, maka terbentuklah sebuah negara yang kononnya serba moden dan maju bernama Yaman.


Kenali Pasukan Yaman


Pasukan Yaman diuruskan oleh ABDULWAHAB AHMED MOHAMMED AL-ZURQA dan dilatih seorang warga Belgium bernama TOM SAINTFIET yang menjawat kerja suci ini sejak Oktober 2012. Beliau telah memulakan karier sebagai jurulatih sejak berusia 24 tahun lagi. Dan setakat ini telah melatih pelbagai pasukan antaranya Namibia, Zimbabwe, Ethiopia dan Nigeria (Pengarah Teknikal). Bekerja di Yaman juga amat mencabar buat beliau. Dengan jumlah pemain berbakat yang sangat kecil, beliau terpaksa mengerah segala kudrat untuk mencari yang terbaik di antara yang terbaik di kalangan rakyat Yaman. Maka terbentuklah pasukan Yaman di bawah ini yang terdiri daripada 21 kelab Liga 1 dan 2 serta beberapa liga kampung di Yaman.

Dalam kempen selamatkan Palestin


Penjaga Gol

SALEM ABDULLAH AWADH SAEED
MOHAMMED EBRAHIM ALI AYASH

Pertahanan

AL-RADAEI MUDIR ABDURABU ALI
MOHAMMED FUAD MOHAMMED OMAR
AHMED SADEQ AHMED AL-KHAMRI
MOHAMMED AHMED ALI BOQSHAN
Hamada Al Zubairi
ABDULAZIZ MOHAMMED ALI AL-GUMAEI
AHMED ALI M. AL-DHAHERI

Tengah

AKRAM KAMEL ALI AL-SELWI
AKRAM HAMOOD ABDO AL-WORAFI (C)
ESSAM AL-WORAFI
HUSSEIN AHMED HUSSEIN AL-GHAZI
OSAMAH ANBAR
MOHAMMED AL-DAHI
Mohammed Abdullah Ali Ba Rowis

Penyerang

KHALED HASAN HUSSEIN BALEID
WAHID MOHAMMED MOHAMMED AL-KHYAT
AHMED ALI M. AL-DHAHERI


  
Rekod Pertemuan


Pertemuan pertama:Malaysia 0 - Yaman 1.

Malaysia telah berbesar hati untuk menjadi pasukan pertama yang ditentang Yaman selepas penggabungan negara tersebut pada tahun 1990. Perlawanan penuh sejarah itu telah diadakan pada 8 September 1990 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Walaupun Malaysia beraksi di stadium keramat yang berlumpur dan becak, Harimau Malaya masih tetap tewas kepada Yaman dengan skor 1-0.

Pertemuan terakhir: Malaysia 1 - Yaman 0.

Kali terakhir Malaysia berjumpa Yaman pula adalah pada 27 Februari 2010 ketika rangka persediaan Harimau Malaya untuk ke Piala Asia dan Suzuki. Ketika itu Harimau Malaya menang dengan hasil jaringan dari sepakan percuma Baddrol Bahktiar pada minit ke-55. (video di bawah ini)




Peluang Harimau Malaya

Kedudukan Ranking Semasa Malaysia-Yaman

Berdasarkan ranking semasa, pasukan Harimau Malaya memang sangat boleh menewaskan Yaman. Sebagai contoh, cuba kita lihat pada tahun 2010. Ketika itu ranking Yaman ialah di kedudukan 105 dunia. Sedangkan Malaysia hanya berada pada 159 dunia. Namun berkat semangat dan kebetulan ketika itu ramai pemain Harimau Malaya belum tercemar dek penangan Zandra Aziela serta Leuniey, maka mereka bermain bola sepak sebenar tanpa ada gangguan dari anasir luar.




Perbandingan Statistik Ranking 4 tahun terakhir


Sekiranya Malaysia mahu menewaskan Yaman di Shah Alam nanti. Harimau Malaya perlu bermain seolah-olah dengan 22 pemain di atas padang. Cuba bermain dengan lebih banyak memberi tekanan kepada pasukan Yaman serta membuat hantaran kepada kawan bukannya lawan atau mengikut arah telor.


Beberapa pemain yang dipanggil Rajagopal menjelang pertemuan dengan Yaman ini juga mampu memberikan keputusan cemerlang untuk Harimau Malaya. Berdasarkan prestasi semasa, antara pemain yang patut bermain dalam kesebelasan utama ialah Norazlan Razali. Ini kerana Lan lebih konsisten buat masa ini berbanding Apexs dan Farizal. Di Perak, Khairul Amri sering bermain berbanding Farizal. Manakala Apexs pula seperti sudah hilang aura budunya selepas masuk dalam kepitan Leuniey.


Di bahagian pertahanan tengah, Rajagopal boleh memadankan Fahli Shas dengan kapitan sensasi Selangor, Asraruddin. Manakala disebelah kanan dan kiri pula kita memerlukan pemain yang agresif untuk menyekat pergerakan lawan dan dalam masa yang sama  mampu naik ke atas membantu bahagian serangan. Siapa lagi yang lebih layak kalau bukan Mahalli Jasuli dan Zubir Azmi. Jika ingin melihat pilihan lain, pemain seperti Faizal Muhammad dan Helmi Rameli boleh memecah gandingan di atas. Tetapi tolonglah jangan masukkan Aidil Zafuan dan K Reuben. Sesiapa yang layan liga super setiap perlawanan akan faham maksud kawe ini.

Paling menjadi tumpuan

Mampukah kita melihat aksi Piya di atas padang? Inilah peluang terbaik buat Rajagopal membuktikan adakah beliau yang betul kerana selama ini memerap nama Piya ataupun peminat bola sepak tempatan yang 'tidak mengenali pemain saya'. Rakyat Kelantan mungkin boleh 'menyilang jari' sambil berdoa agar Piya digandingkan dengan Shaakir di bahagian tengah untuk menghidupkan enjin pasukan Harimau Malaya. Sesuatu tugas yang selalu gagal dilaksanakan oleh Safiq Rahim dan Amar Rohidan. Jika mahu melihat bagaimana pemuda pantai timur menggelecek bola sambil mengunyah keropok lekor, King Raja boleh meletakkan Mohd Ashari Samsudin dan Abdul Manaf Mamat di kiri dan kanan sebagai pemain sayap menyerang.


Penyerang hebat Johor Darul Takzim iaitu Norshahrul Idlan Talaha pula semakin pasti berada dalam kesebelasan utama kerana prestasi semasa beliau yang amat cemerlang sekali. Cuma gandingannya sahaja yang masih menjadi tanda tanya. Sekiranya King Raja mahukan pemain yang pantas, kita ada Azamuddin Akil. Sekiranya King Raja mahukan penyerang yang tajam di hadapan gol, kita ada Khyril Muhymeen. Tetapi jika King Raja mahukan pemain yang verstail serta mengamalkan pemakanan tempe secara sihat, tidak lain dan tidak bukan...maka Mohd Amri Yahyah selayaknya diberi peluang bermain.


Namun begitu kita perlu sedar bahawa pasukan Harimau Malaya tidak ada pemain bintang seperti Rooney atau Suarez, tidak juga bermain ala samba atau tiki-taka atau dilatih oleh ‘tuhan’ bernama Maradona. Harimau Malaya hanya bergerak di atas paksi yang lemah berdasarkan pentadbiran FAM yang caca marba. Mengharapkan Harimau Malaya meratah Yaman dengan selesa adalah sesuatu yang agak mustahil tetapi bukanlah langsung tidak boleh dilakukan. Apa yang kita boleh lakukan sebagai peminat ialah dengan penuhkan stadium dan terpacak didepan kaca televisyen. Iringkan mereka dengan doa agar kita tidak dimalukan sekali lagi di rumah sendiri. Sekian...(gila serius...)

Wednesday, March 6, 2013

Pemilihan Dan Latihan Pusat Skuad Kebangsaan Bertemu Yemen

Mac 11 2013: Lapor diri
Mac 17 2013: Perlawanan Persahabatan Antarabangsa: Malaysia mln Arab Saudi (8.45mlm, Stadium Shah Alam)
Mac 22 2013: Kelayakan Piala Asia 2015: Malaysia mln Yemen (8.45mlm, Stadium Shah Alam)
Mac 26 2013: Perlawanan Persahabatan Antarabangsa (Perlawanan Amal): Malaysia mln Palestine (8.45mlm, Stadium Darul Makmur, Kuantan)
 
Senarai pelatih:

1. Mohd Khyril Muhymeen Zambri (Kedah)
2. Mohd Farizal Marlias (Perak)
3. Yong Kuong Yong (Perak)
4. Abdul Hadi bin Yahya (Perak)
5. Mahalli Jasuli (Selangor)
6. Norazlan Razali (Selangor)
7. Mohd Amri Yahyah (Selangor)
8. Asraruddin Putra Omar (Selangor)
9. Abdul Shukor Jusoh (Selangor)
10. Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak (Johor Darul Takzim)
11. Norshahrul Idlan Talaha (Johor Darul Takzim)
12. Safiq bin Rahim (Johor Darul Takzim)
13. Azamuddin Mohd Akil (Pahang)
14. Gopinathan a/l Ramachandra (Pahang)
15. Khairul Fahmi Che Mat (Kelantan)
16. Nik Mohd Shahrul Azim bin Ab Halim (Kelantan)
17. Mohd Shakir Shaari (Kelantan)
18. Mohd Badhri bin Mohd Radzi (Kelantan)
19. Mohd Faizal Muhamad (Terengganu)
20. Mohd Ashari Samsudin (Terengganu)
21. Muhammad Zubir Mohd Azmi (Terengganu)
22. Abdul Manaf bin Mamat (Terengganu)
23. Amiridzwan Taj Tajudin (ATM)
24. Reuben Thayaparan Kathiripillai (ATM)
25. Helmi bin Remeli (PKNS FC)
26. Mohd Fahli bin Mohd Shas (Harimau Muda 'A')
27. Wan Zack Haikal Wan Nor (Harimau Muda 'A')
 
Pemain-pemain yang mewakili Pasukan Selangor dan Kelantan yang akan bermain untuk AFC Cup 2013 di beri pengecualian dan perlu melapor diri sehari selepas perlawanan.
 
Manakala empat belas (14) pemain yang tersebut dibawah diminta bersedia menjalani latihan dan pemilihan Pasukan Bolasepak Kebangsaan sekiranya  dipanggil untuk menggantikan mana-mana pemain yang tersebut diatas sekiranya terdapat pemain-pemain yang disahkan oleh Doktor Pasukan mengalami kecederaan.
 
1. Kunanlan a/l Subramaniam (Selangor)
2. Gurusamy Govandar a/l Kandasamy (Selangor)
3. Muhammad Ramzul Zahini bin Adenan (Selangor)
4. Mohd Fauzi bin Roslan (Pahang)
5. Mohd Amirulhadi bin Zainal (Pahang)
6. Mohd Saiful Nizam bin Miswan (Pahang)
7. Mohamad Azmi bin Muslim (Johor Darul Takzim)
8. Kamarul Afiq bin Kamaruddin (Johor Darul Takzim)
9. Mohd Nazrin bin Mohd Nawi (Negeri Sembilan)
10. Sivakumar a/l Munusamy (Perak)
11. Mohd Fauzan bin Dzulkifli (PKNS FC)
12. Mahathevan a/l Gengatharan (PBDKT T-Team)
13. Amar bin Rohidan (KL Felda United)
14. Thamil Arasu a/l Ambumamee (Harimau Muda 'A')

Thursday, February 7, 2013

Qatar 2 - 0 Malaysia: Analisis Pemain Malaysia.


MALAYSIA XI

Khairul Fahmi bin Che Mat 

  • Bolehlah dikatakan cemerlang. Bolos pun hanya disebabkan bentengnya yang lemah batin ketika menghadapi sepakan percuma Khalfan Ibrahim.

Asraruddin Omar 


  • Tidak banyak aksi dari beliau kerana Qatar gemar menyerang dari sebelah kanan Malaysia. Wajahnya juga kurang muncul di televisyen.


Mohd Fadhli Mohd Shas

  • Aksi beliau hanya di peringkat terpuji sahaja. Namun tidaklah segoyah Aidil Zafuan. Bernasib malang kerana bola sepakan percuma dari Khalfan Ibrahim terkena belakangnya lalu menerjah jaring.


Mohd Aidil Zafuan Abdul Radzak

  • Seperti biasa pemain Darul Takzim ini mempamerkan corak permainan lemah lutut. Saya amat keliru kerana beliau sudah lama terlepas dari kepitan Rita Rudaini. Siapakah gerangannya yang melemahkan lutut beliau?


K. Reuben
  • Sangat keras dan mantap. Juga sangat kelam kabut dan pening. Punca Malaysia bolos gol kedua.


Ashaari Shamsuddin
  • Tidak banyak menyumbang kepada pasukan. Mohon cuba lagi!!! 


Mohd Shakir bin Shaari 
  • Jersi nombor 8 mempunyai badi!!! Permainan Shakir biasa-biasa sahaja. Kerap melakukan kesilapan dalam membuat hantaran.

Mahali Jasuli
  • Paling cemerlang di atas padang. Amar Rohidan sudah boleh bersara!!!


Azammuddin bin Mohd Akil
  • Alex tidak seceria ketika bersama Pahang. Tetapi berjaya juga melakukan larian obor di sebelah kanan. Cuma kurang sokongan dari rakan sepasukan yang lain.


Amri Yahyah
  • Seperti berumur 22 tahun. Si tua Amri membuktikan beliau masih boleh bermain untuk Harimau Malaya. Malangnya lawan beliau adalah pertahanan Qatar yang tegap dan bergaya.

Mohd Khyril Muhymeen
  • Bolehlah berhenti bermain bola dan bersara awal. Kecederaan beliau sudah menjadi makanan ruji bagaikan  mengunyah kacang kuda.

Pemain Gantian.

Hadi Yahya - Mohd Khyril Muhymeen
Mohd Norfarhan bin Muhammad - Ashaari Shamsuddin
Amirizwan Taj bin Tajudin - Asraruddin Omar

Wednesday, February 6, 2013

Prebiu Qatar vs Malaysia: Pemain Pilihan Malaysia.



Harimau Malaya kali ini mungkin tidak ada Safee Sali Yang Menonggeng, Wak Lan Talaha,  Safiq Rahim atau Adik Nazmi Bieber Faiz yang menjadi pujaan ramai wanita. Tetapi untuk malam ini, bermain dengan membawa maruah seluruh umat Malaysia, Rajagopal  tetap yakin, pasukan kebangsaan masih mantap dan 'power'. Saya telah memilih 4 orang pemain tonggak untuk misi berani mati Rajagopal kali ini. MENANG adalah HEBAT, KALAH adalah BANGANG.


Khairul Fahmi Che Mat.

Khairul Fahmi Che Mat tidak dapat dinafikan seorang penjaga gol yang tangkas, cepat membaca arah bola, mempunyai lompatan yang tinggi, tangkapan yang kemas, tampanan bola yang baik serta mampu menafikan sepakan penalti. Jika anda tidak percaya dengan semua ciri-ciri ini, tanyakan sahaja kepada isteri beliau, Leuniey. Inilah puncanya Apeks menjadi pilihan utama di Kelantan. Ia terbukti berdasarkan peribahasa purba Kelantan yang ada menyebut bahawa 'Kelantan itu Apeks dan Apeks pula adalah Kelate'.


Ya sememangya Red Warriors tidak dapat dipisahkan dengan Apeks, ibarat aur dengan tebing. Anak jati Kelantan ini merupakan antara pemain dalam skuad Harimau Malaya yang menjuarai Piala Suzuki 2010. Namun kecewa pada edisi 2012 selepas hanya mampu membuat 1 penampilan sahaja. Mungkin bagi Apeks, the only country for him is Islamic Republic of Kelantan. Sebab itulah gadis Kelate juga yang menjadi pilihan hatinya. Namun malam ini beliau bakal melakukan tugas amal untuk Malaysia berdepan Qatar. Demi isteri tercinta yang sabar menanti di rumah, beliau sudah pasti sentiasa bersedia beraksi cemerlang untuk nusa dan bangsa!!!



Aidil Zafuan

Aidil Zafuan yang suatu ketika dahulu pernah menjadi pujaan Rita Rudaini, kini sudah mula memasang angan-angan untuk memancing bekas kekasih Nazmi Bieber Faiz.  Pernah suatu ketika dahulu Arsene Wenger khabarnya terpesona dengan kepoweran Aidil Zafuan hingga hampir menandatangani pemain ini untuk Arsenal. Namun kecederaan 'hamstring' beliau telah menjadi penghalang.


Itu cerita tahun 2011 dulu ketika Lawatan Kelab BPL ke Asia pada 2011 di mana Malaysia berentap lawan Arsenal dan Liverpool. Ketika itu kerja Aidil Zafuan ialah mengekang Marouane Chamakh dan  Andy Caroll. Jadi kerja-kerja mengekang pemain berbadan gergasi ini lebih kurang macam makan roti canai saja buat Aidil Zafuan. Berkemungkinan besar akan menggalas jawatan sebagai kapitan pada malam ini walaupun Rita Rudaini sudah lagi tiada di sisi.


Mohd Shakir Shaari


Pada suatu ketika dahulu beliau bukanlah pemain utama skuad Harimau Malaya. Rajagopal lebih berminat menggunakan Amar 'Pirlo' Rohidan berbanding Shakir. Tetapi ketika bermain untuk Kelantan lain pula ceritanya, Shakir adalah ibarat budu, tidak ada memang bukan Kelantan namanya. Namun, kini selepas ketiadaan pemain kesayangan Rajagopal itu, Shakir pasti diberi peluang kerana aksinya yang konsisten dalam membantu Kelantan menjuarai treble musim lepas.


Amar Rohidan sebelum ini lebih bernasib baik kerana aksinya dilihat sangat baik jika digandingkan dengan seorang lagi bangang kesayangan Rajagopal iaitu Safiq Rahim dalam kempen Piala AFF 2010 yang lepas. Tetapi pada edisi 2012, Shakir berjaya membuka mata Rajagopal yang selama ini buta dengan bakat yang dimiliki beliau. Kelebihan Shakir ialah terjahan kemas ala Tori Black, hantaran ‘killer’ kepada penyerang ibarat ulian tepung Farah Quinn, serta rajin dan dikenali sebagai ‘Gerrard versi Kelantan’




Amri Yahyah

Sejak bola sepak dimainkan di muka bumi ini, dunia kita hanya ada satu Amri Yahyah sahaja. Satu-satunya pemain bolasepak yang menumpaskan 2 penjaga gol Manchester United (Edwin van der Sar dan Ben Foster) dalam 90 minit permainan. Satu pencapaian yang hanya menjadi impian tidak kesampaian buat Adebayor atau Si Dubuk Liar bernama Didier Drogba.


Pemusnah Red Devils ini walaupun sudah agak berusia tetapi mempunyai pengalaman yang berharga menentang kelab-kelab EPL dan pasukan serantau Asia Tenggara. Mengamalkan pemakanan tempe secara sihat, tidak kiralah siapa gandingan beliau dengan  malam ini sama ada Koji, KM ataupun Hadi Yahya, sudah pasti bakal menggentarkan pertahanan Qatar. Like they said in Tanjung Karang, you don't mess with tempe eater.


Ada beberapa lagi pemain yang perlu diberi perhatian sekiranya diturunkan seperti Farizal Marlias, penjaga gawang Perak, Si Barracuda Mahali Jasuli serta anak muda kelahiran Pekan, Fauzi Roslan a.k.a Koji. Ya, sekalipun Harimau Malaya kali ini kononnya tempang tanpa 10 pemain utama, tetapi skuad Harimau Malaya malam ini bukan juga calang-calang barisan. Perlawanan bermula pada 11.30 malam dan tidak mustahil akan ada siaran langsung. Marilah kita sama-sama doakan kejayaan mereka.


Apa? Tak ada cerita pasal Piya? Jangan tanya saya, tanya DIA!!!!

Wednesday, January 30, 2013

Prebiu Kelayakan Piala Asia 2015: Qatar vs Malaysia



Pengenalan Qatar


Tuan rumah Piala Dunia 2022 ini dalam proses mengembalikan maruah mereka yang tercalar selepas tersingkir awal dalam kejohanan Gulf Cup di Bahrain baru-baru ini. Fahad Thani kemudiannya dilantik menggantikan Paulo Autuori pada Selasa yang lepas. Ini merupakan langkah drastik mereka yang mungkin akan mengganggu persediaan menghadapi Malaysia, pasukan yang paling agung di rantau sendiri iaitu Asia Tenggara.


Berada pada kedudukan ke-106 dalam Ranking FIFA jelas merupakan kelebihan di atas kertas yang berpihak kepada pasukan Qatar. Namun sekiranya falsafah hebat FAM iaitu "Ranking TIDAK PENTING" itu mampu dibuktikan, sudah pasti pasukan Qatar akan mengalami kesulitan yang amat besar apabila melayani kunjungan anak buah Rajagopal kelak.


Seramai 26 orang pemain telah dipanggil oleh Fahad Thani berbanding Rajagopal 'The Scientist' yang hanya memerlukan 24 orang pemain sahaja. Saad Al Sheeb yang berusia 22 tahun dan baru sahaja memiliki 3 penampilan antarabangsa hampir pasti menjadi penjaga gol utama berikutan persembahan semasanya yang amat memberansangkan. Pemain pertahanan penuh pengalaman iaitu Bilal Mohammed yang berusia 26 tahun akan mengetuai barisan 'Back 4' Qatar. Dengan rekod 4 gol dalam 61 penampilan antarabangsa, beliau merupakan antara nadi penting untuk pasukan Qatar.


Selain itu, negara Qatar juga turut melaksanakan Program Naturalisasi seperti Indonesia dan Singapura. Program ini dikenali sebagai PNR1Q iaitu Program Naturalisasi Rakyat 1 Qatar.  Mereka telah menjadikan pemuda Uruguay yang berusia 29 tahun iaitu Sebastian Soria sebagai warganegara Qatar yang sahih lagi sah. Soria adalah penyerang utama Qatar buat masa ini dengan rekod jaringan 26 gol dalam 66 penampilan buat pasukan ini.

Sebastian Soria mangsa Program Naturalisasi Rakyat 1 Qatar

Berikut adalah baki senarai pemain yang dipanggil oleh Fahad Thani (lagi 2 orang gagal dikesan):


  • Qasim Burhan
  • Baba Malik
  • Ibrahim Majed 
  • Abdulkareem Hassan 
  • Mahdi Ali
  • Ibrahim Ghanem 
  • Mohamed Mousa 
  • Khaled Muftah
  • Yousif Muftah 
  • Khalid Abdulraouf 
  • Hamad Ismail Ahmed Yassir 
  • Talal Al Balooshi 
  • Hassan Al Haidous 
  • Abdulaziz Al Sulaiti
  • Abdulaziz Hatem
  • Younis Ali
  • Mohammed Al Sayed 
  • Khalfan Ibrahim
  • Majed Mohammed
  • Yousef Ahmed
  • Jarallah Al Marri

Rekod Pertemuan


Rekod Pertemuan Malaysia lawan Qatar
NegaraPertemuanMenangSeriKalahJaringBolos
Malaysia
503238


Jika dilihat pada rekod pertemuan peringkat senior antara Malaysia dan Qatar, kelebihan jelas berpihak kepada Qatar. Sepanjang 5 pertemuan, Malaysia hanya mampu seri 3 perlawanan manakala tewas dalam 2 perlawanan yang lain. Amat mengerikan. Mari kita sama-sama imbas kembali pertemuan antara Malaysia dan Qatar.


22 September 1980 - Piala Asia, Kuwait.


Malaysia telah seri 1-1 dengan Qatar pada perlawanan peringkat kumpulan B Piala Asia yang berlangsung di Kuwait. Gol hasil jaringan Tukamin Bahari pada minit ke-67 itu membantu Malaysia untuk mengikat keputusan seri. Pada kejohanan ini Malaysia menduduki tempat ketiga dalam kumpulan B di belakang pasukan tuan rumah Kuwait dan musuh tradisi Korea Selatan. Manakala Qatar berada di tangga ke-4. Secara keseluruhan pula Malaysia menjadi pasukan ke-6 terbaik daripada 10 pasukan yang bertanding.


23 September 1986 - Sukan Asia Seoul, Korea Selatan.


Sekali lagi selepas 6 tahun, Malaysia dan Qatar diletakkan dalam kumpulan yang sama. Tetapi kali ini untuk kejohanan Sukan Asia yang diadakan di Seoul, Korea Selatan. Pada perlawanan ini juga Malaysia hanya mampu seri 1-1 dengan Qatar. Gol hasil jaringan menerusi tandukan Ahmad Yusof pada mini-34 berjaya menyelamatkan maruah Malaysia daripada dimalukan Qatar.


Antara pemain yang beraksi ketika mementang Qatar ialah R. Arumugam, Razip Ismail, Serbegeth Singh, K. Gunalan, Subadron Aziz, Lim Teong Kim, Nasir Yusof,  Radhi Mat Din, Zainal Abidin Hassan, dan Dollah Salleh. Namun amat malang bagi Malaysia apabila sekadar menduduki tangga tercorot di belakang Arab Saudi, Indonesia dan Qatar.


27 Mac 1989 - Tour of Qatar-Oman (Persiapan Kelayakan Piala Dunia 1990)


Skuad yang dibimbing oleh Trevor Hartley ini telah berangkat ke Qatar sebagai salah satu persediaan untuk menghadapi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 1990. Namun mereka telah mencatatkan kekalahan pertama bertemu Qatar dengan tewas 1-0. Seterusnya seperti yang dijangka, Malaysia turut gagal layak ke Piala Dunia Itali 1990. Kasihan....


4 Mac 2001 dan 20 Mac 2001 - Kelayakan Piala Dunia 2002


Menjelang pusingan kelayakan ini, skuad Allan Harris dilanda masalah disiplin pemain. Penjaga gol utama Malaysia ketika itu Kamarulzaman Hassan bersama-sama penjaga gol kedua, Azmin Azram Abd. Aziz dan penyerang Perak, Khalid Jamlus diarah meninggalkan kem latihan pusat kerana melanggar tempoh masa perintah berkurung iaitu dengan keluar menghiburkan hati yang lara di Kelab Malam. Mereka bertiga kemudiannya mahsyur dengan gelaran "The Hard Rock Cafe Trio".


Mat Disko

Akibat daripada ini, Allan Haris terpaksa memanggil penjaga gol vateran yang menjangkau usia 34 tahun, Mazelan Wahid untuk menggalas harapan terakhir umat Malaysia. Sementara itu  Mohd. Syamsuri Mustaffa yang baru berusia 20 tahun dan belum cukup berpengalaman untuk diturunkan beraksi ketika itu telah disenaraikan sebagai penjaga gol kedua.


Selepas tujuh tahun tidak beraksi bersama pasukan Malaysia dengan kali terakhir bermain pada Sukan SEA Chiang Mai, jelas Mazelan Wahid sangat gugup. Musibahnya gawang gol Malaysia bolos 5 kali pada aksi pertama menentang Qatar di Hong Kong. Malaysia hanya mampu menjaringkan satu gol menerusi Rosdi Talib pada minit-9.


Antara pemain yang beraksi ketika menentang Qatar ialah  B. Rajanikandh, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Hairuddin Omar, Akmal Rizal Rakhli, Anuar Jusoh (digantikan dengan Gilbert Cassidy), Khairil Zainal (kad merah),  V. Saravanan (digantikan dengan Hardi Jaafar), Bahtiar Othman, dan Mohd. Shukor Adan.


Pada pertemuan kedua, 20 Mac 2001, Malaysia hanya mampu seri 0-0 dengan Qatar ketika peluang Malaysia untuk layak ke peringkat seterusnya sudahpun tertutup rapat. Akhirnya Malaysia menduduki tangga ketiga dibelakang Qatar dan Palestin. Manakala Hong Kong seperti biasa dikedudukan tercorot.


Peluang Harimau Malaya


Berpijak di bumi yang nyata adalah frasa yang sesuai untuk semua peminat Harimau Malaya ketika ini. Ini bermaksud kita perlu sedar diri bahawa Harimau Malaya memang tiada peluang untuk mengejutkan Qatar. Ini semua selepas diambil kira prestasi semasa Harimau Malaya dan keadaan Liga Malaysia yang hancur lodoh ini. Tetapi jika kena pada gaya dan taktikalnya, skuad Rajagopal boleh membuat kita semua tersenyum puas walaupun masih ada ragu di hati.


Cuba kita ambil contoh bagaimana Ong Kim Swee menewaskan pasukan bawah 22 tahun Qatar pada 17 Jun 2012 dengan jaringan 2-0. Bermain di Shah Alam ketika itu sememangnya kelebihan buat OKS. Tetapi mampukah Rajagopal merangka strategi menewaskan Qatar di bumi bertuah Doha, Qatar?

Kecederaan 11 pemain utama kesayangan Rajagopal bukanlah penghalang utama. Ini kerana nama seperti Safee Yang Menonggeng dan Wah Lan Talaha memang tidak patut berada dalam skuad kebangsaan ketika ini. Mujurlah mereka tercedera dan ini memberi peluang kepada pemain yang sedang berada pada prestasi terbaik seperi Fauzi Roslan dan Amri Yahyah mempamerkan tanduk sebenar mereka.

KM, Wak Am, Koji dan Hadi Yahya bersedia beraksi!!!

Manakala di posisi lain pula pasukan Harimau Malaya kelihatan tiada masalah besar. Khairul Fahmi Che Mat dan Farizal Marlias seperti biasa bersaing sihat di posisi penjaga gol. Posisi pertahanan kelihatan ampuh dengan Mahali, Aidil dan Fadli Shas semakin pasti mengisi posisi utama. Sambil itu Asraruddin, Amirizdwan Taj dan Nik Shahrul juga wajar dipertimbangkan aksi untuk pasukan utama berdasarkan prestasi semasa mereka yang dahsyat dalam Liga Malaysia.


Sementara itu dibahagian tengah pula kelihatan sangat cantik dan manis selepas ketiadaan Amar 'Pirlo' Rohidan dan Safiq Rahim. Sebagai ganti Rajagopal membariskan Shakir Shaari, Shukur Jusoh dan Affize Faisal Mamat. Manakala bahagian sayap pula Azammuddin Akil, Nor Farhan Muhammad dan Ashari Samsudin sentiasa bersedia untuk beraksi kepada nusa dan bangsa.


Walaupun kejahilan FAM sering membuatkan tekanan darah kita menyirap naik, namun kita tetap perlu mendoakan kesejahteraan Harimau Malaya. Perlu diingat...jika kita kalah, Rajagopal akan meletakkan jawatannya. Manakala Presiden FAM pula akan sentiasa kebal dengan siri kekalahan ini. Oh, seriusnya aku kali ini. Selamat Maju Jaya HARIMAU MALAYA!!!!!!



Skuad Harimau Malaya


Penjaga gol: Khairul Fahmi Che Mat, Farizal Marlias, Norazlan Razali.

Pertahanan: Aidil Zafuan Abd Radzak, Fadhli Shas, Amirizdwan Taj Tajudin, Faizal Muhammad, Nik Shahrul Azim Ab Halim, Mahalli Jasuli, K Reuben, Asraruddin Putra Omar, Azmi Muslim, Helmi Remeli.

Tengah: Shakir Shaari, Shukur Jusoh,  Affize Faisal Mamat, Yong Kuong Yong, Azammuddin Akil, Nor Farhan Muhammad, Ashari Samsudin.

Penyerang: Khyril Muhymeen Zambri, Amri Yahyah, Abdul Hadi Yahaya, Fauzi Roslan.