There was an error in this gadget

Friday, February 28, 2014

Piala Dunia 2014: Costa Rica


Piala Dunia 2014: Costa Rica

Pengenalan

Dalam bola sepak, konsistensi dan resilien adalah perkara paling penting untuk menjadi hebat. Perkara inilah yang diterapkan oleh pasukan Costa Rica sepanjang kempen kelayakan Piala Dunia 2014 yang lepas. Mereka hanya tewas 2 kali sahaja (kepada Amerika Syarikat dan Honduras) dalam 10 perlawanan dan mengumpul sejumlah 18 mata untuk menduduki tempat kedua di belakang Amerika Syarikat.

"Tidak apa Costa Rica kalah satu atau dua perlawanan berprofil tinggi asalkan kami menang dengan semua perlawanan celah gigi yang lain", kata seorang bekas pemain Costa Rica, Paulo Wanchope yang pernah menempa nama bersama kelab Manchester City.

Piala Dunia 2014 ini adalah penampilan yang ke-4 buat Costa Rica. Pertama kali membuat kemunculan ialah pada Piala Dunia 1990 dan layak sehingga ke pusingan 16 pasukan. Ianya juga kekal pencapaian terbaik mereka setakat ini berbanding edisi 2002 dan 2006.


Jurulatih: Jorge Luis Pinto. 


Pada usia 61 tahun, jurulatih yang berasal dari Colombia ini sudahpun menguruskan 15 kelab bola sepak yang berbeza dalam masa 30 tahun karier kejurulatihannya termasuk turut pernah melatih pasukan negaranya sendiri iaitu Colombia pada tahun 2007 hingga 2008.

Ini merupakan kali kedua beliau bersama pasukan Costa Rica selepas kali pertama melatih pasukan ini pada tahun 2004-2005.


Ketua Pasukan: Bryan Ruiz. 


Pemain ini menyertai PSV Eindhoven pada 15 Januari 2014 sebagai pemain pinjaman sehingga tamat musim ini. Walaupun tidak dapat menyerlahkan potensi sebenarnya bersama Fulham namun beliau adalah pemain penting dalam kempen kelayakan Piala Dunia untuk Costa Rica.


Pemain Bintang: Keylor Navas.


Penjaga gol yang berpotensi besar ini melakukan debutnya untuk pasukan utama Costa Rica pada usia 18 tahun. Kecermelangannya turut dibawa bersama pasukan Levante apabila dia membantu pasukan itu layak ke Europa League buat pertama kalinya dalam sejarah kelab tersebut.

Kini sudah berusia 27 tahun dan merupakan antara penjaga gol yang sedang meningkat naik namanya di persada bola sepak antarabangsa.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Joel Campbell.


Arsenal telah menandatangani pemain ini pada 2011. Tetapi akibat masalah permit, dia telah dipinjamkan ke 3 buah kelab iaitu Lorient, Real Betis dan Olympiacos.

Seorang pemain yang pantas, penuh skill dan tajam di hadapan gol. Ciri terbaik buat seorang penyerang mantap. Ingat nama ini 'Joel Campbell'.

Piala Dunia 2014: Uruguay


Piala Dunia 2014: Uruguay

Pengenalan

Ketika zaman awal tertubuhnya organisasi bola sepak antarabangsa, Uruguay adalah kuasa dunia sebenar. Sebelum Piala Dunia diadakan, mereka telah memenangi pingat emas olimpik 1924 dan 1928. Oleh kerana mereka adalah pasukan terbaik era mereka, Uruguay telah diberi keistimewaan untuk menganjurkan kejohanan Piala Dunia yang pertama, yang mana mereka mudah memenangi perlawanan tersebut mengatasi Argentina.

Atas sebab politik Uruguay tidak menyertai dua kejohanan Piala Dunia yang berikutnya, namun mereka kembali dengan bergaya pada tahun 1950 apabila meelakukan kejutan paling terbesar dalam sejarah kejohanan dengan menewaskan Brazil di Estadio do Maracana untuk menjulang trofi Piala Dunia. Kejayaan ini dikenali sebagai 'Maracanazo'.

Meskipun membuat kemaraan cemerlang pada tahun 1954 dan 1970, mereka akhirnya mengalami kejatuhan mendadak dan kejohanan 2010 di Afrika Selatan menyaksikan kebangkitan mereka kembali apabila menduduki tempat ke-4. 

Jurulatih: Oscar Tabarez.


Oscar Tabarez semasa usia mudanya banyak menghabiskan karier bola sepak beliau di Argentina dan Mexico dengan mewakili kelab seperti Sud América, Sportivo Italiano, Montevideo Wanderers, Fénix dan Puebla. Namun pada usia 32 tahun beliau sudahpun bersara daripada menyepak bola.

Susuk berbangsa Uruguay  yang berusia 66 tahun ini dikenali sebagai 'El Maestro' di atas kejayaan gemilangnya kariernya sebagai pengurus. Dia sudah bersama Persatuan Bola Sepak Uruguay sejak dari 2006 lagi. Kejayaan manis beliau adalah menamatkan Piala Dunia 2010 di Afrika di tempat ke- 4 serta setahun kemudiannya pula menjuarai pula Copa America.


Ketua Pasukan: Diego Lugano. 


Diego Lugano berpindah ke West Brom pada Ogos 2013 daripada kelab PSG. Namun setakat ini hanya melakukan 5 penampilan sahaja untuk kelab tersebut. Tetapi penampilan terbaik beliau adalah ketika beraksi dengan kelab Turki, Fenerbache dan dianggap sebagai lagenda oleh kelab tersebut.

Memiliki 31 penampilan untuk Uruguay sudah cukup melambangkan betapa berpengalamannya pemain ini di pentas antarabangsa dengan usianya yang mencecah 33 tahun. 


Pemain Bintang:  Luis Suarez.


Siapa lagi kalau bukan beliau? Hero untuk negaranya Uruguay dan juga kelab paling bersejarah di muka bumi yang beliau wakili iaitu Liverpool. Menjadi penjaring terbanyak untuk kempen kelayakan Piala Dunia Amerika Selatan dengan 11 gol sudah cukup untuk menceritakan betapa hebatnya pemain ini. Mari kita berharap agar pemain ini tidak tercedera dan dapat beraksi pada bulan Jun hadapan.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan:  Abel Hernandez.


Beliau berjaya bangkit semula selepas menjalani pembedahan jantung semasa usia remajanya. Sudah beraksi bersama kelab Itali, Palermo sejak dari 2009 dan kini telah mengumpul 28 gol daripada 100 penampilannya.

Dia merupakan antara pemain yang paling dikehendaki oleh kelab-kelab besar di Eropah. Pencapaian terbaiknya adalah ketika menjaringkan 4 gol dalam Piala Konfederasi 2013.

Saturday, February 22, 2014

Piala Dunia 2014: Jepun


Piala Dunia 2014: Jepun

Pengenalan 

Apabila berbicara tentang pasukan Jepun ini ia sedikit sebanyak mendatangkan sentimental pada jiwa kebangsaan aku. Manakan tidak, pasukan yang pernah setara tahap dengan Malaysia kini sudah terlalu jauh meninggalkan kita dari segenap segi cabang bola sepak. Jepun pernah belajar menguruskan liga dari Malaysia dan mereka memulakan Liga J hanya dengan barisan pasukan yang terdiri daripada kilang-kilang di serata Jepun. 

Setelah lebih 20 tahun Tun Doktor Mahathir memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur, selama itulah juga kita terlalu asyik memandang ke Timur. Tetapi hanya setakat pandang sahajah, buatnya tidak. Kalau ada yang di ikut mungkin hanya rentak irama J-Pop dan K-Pop.

Sejak kali pertama menjejakkan kaki di Piala Dunia 1998, Jepun sudah tidak menoleh kebelakang lagi. Mereka tampil secara berturut-turut dalam edisi 2002 (sebagai tuan rumah bersama Korea Selatan), 2006 , 2010 dan juga 2014. Berdasarkan 14 perlawanan mereka di Piala Dunia, mereka berjaya memenangi 4 perlawanan, 3 seri dan 7 kekalahan. Manakala menjaringkan 12 gol dan bolos 16 gol. 

Apa yang jelas Jepun sudah pasti mahu pergi lebih jauh daripada hanya beraksi di Pusingan 16 pasukan (melakukannya sebanyak dua kali pada 2002 dan 2010). Kejayaan layak ke suku akhir mungkin adalah satu permulaan bagi membuktikan mereka adalah Gergasi Asia yang sebenar. 

Jadi, sekarang kita tahu. Tahu betapa bolasepak Jepun telah berubah dari pasukan kilang menjadi pasukan yang mencabar di Piala Dunia. Tahu betapa bolasepak Malaysia makin hari semakin ke belakang, macam Liga Malaysia dan 13 pasukan negerinya. 


Jurulatih : Alberto Zaccheroni. 


Engkorang wajib segan jika mengaku meminati sukan bola sepak tanpa tidak mengenali figura ini. Selama 30 tahun terlibat dalam kancah pengurusan, dia telah menguruskan pelbagai kelab bola sepak gergasi di Itali seperti Inter Milan, AC Milan dan Juventus. Juga beberapa kelab lain seperti Udinese, Lazio, Bologna dan juga Torino. 

Walaupun terpaksa bersara daripada bola sepak sebelum umurnya mencecah 30 tahun, kejayaannya dalam bidang pengurusan selepas itu sedikit sebanyak mampu mengubati kesedihannya. Antaranya beliau berjaya menjulang kejuaraan Serie A musim 1998 - 1999 serta berjaya membantu Jepun menjulang Piala Asia buat kali ke-4 pada tahun 2011. 


Ketua Pasukan: Makoto Hasebe. 


Dengan berbekalkan 70 penampilan bersama pasukan Jepun, beliau adalah antara pemain senior yang mana telah membuat penampilan pertamanya pada 11 February 2006. 

Di Bundesliga namanya tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau telah menjadi pemain Jepun kedua yang memenangi gelaran Bundesliga pada musim 2008-2009 bersama pasukan Wolfsburg. Pada tahun 2013 beliau telah berpindah ke  FC Nurnburg 


Pemain Bintang: Shinji Kagawa. 


Mungkin musim ini tidak memihak kepada Shinji Kagawa.  Beliau tidak dapat peluang turun beraksi secara kerap dengan keadaan kelabnya yang kacau bilau menghadkan dia daripada menyerlahkan prestasi sebenar di atas padang. 

Walaupun begitu rekodnya ketika beraksi dengan pasukan Jepun amat memberansangkan. Kagawa telah mengumpul 16 gol daripada 52 aksinya sudah cukup untuk menceritakan kemampuan beliau sebagai pemain tengah yang kreatif dan merbahaya di hadapan gol. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Keisuke Honda. 


Perpindahannya secara percuma daripada CSKA Moscow ke AC Milan menjadikan beliau adalah pemain Jepun pertama yang mewakili kelab gergasi Itali tersebut. 

Beliau seorang pemain yang mempunyai ketepatan tinggi dalam melakukan hantaran serta seorang pengambil sepakan percuma yang cemerlang. Honda adalah  nadi penting buat Jepun dalam Piala Dunia 2014 kelak. 

Thursday, February 20, 2014

Piala Dunia 2014: Ivory Coast



Piala Dunia 2014: Ivory Coast 

Pengenalan

Romantiknya bola sepak dengan jiwa rakyat Ivory Coast ialah apabila pasukan bola sepak mereka berjaya menamatkan perang sivil yang telah berlarutan selama 5 tahun dengan melayakkan diri ke Piala Dunia 2006. Sedangkan di negara kita penyokong pasukan negeri masing-masing masih sibuk 'berperang' di dalam dan luar stadium serupa tidak berotak dengan berkelahikan pasukan kesayangan mereka yang bermain untuk Liga bertaraf D. 

Selepas Didier Drogba membantu pasukan Ivory Coast layak ke Piala Dunia 2006, beliau mencabar Presiden Gbagbo untuk menamatkan perang saudara. Beliau membuat rayuan ke atas para pejuang perang dan meminta mereka untuk meletakkan senjata mereka. Permintaan Drogba dan rakan-rakannya itu dibalas dengan persetujuan mengadakan gencatan senjata selepas kali pertamanya tercetus perang sivil ini pada tahun 1999. Seluruh Ivory Coast terasa aman buat seketika dan meraikan kejayaan pasukan bola sepak mereka layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya dalam sejarah. 

Piala Dunia edisi 2014 ini adalah yang ke-3 buat mereka selepas 2006 dan 2010. Sebagai rekod juga Ivory Coast masih belum berjaya melepasi peringkat kumpulan dalam Piala Dunia dengan secara keseluruhannya menduduki tangga ke-19 (2006) dan 17 (2010). Peminat bola sepak masih lagi menantikan potensi sebenar pasukan ini untuk menggegar kejohanan paling berprestij di muka bumi ini. 


Jurulatih: Sabri Lamouchi. 


Susuk yang kacak dan bergaya ini dilahirkan di Lyon, Perancis pada  9 November 1971. Semasa zaman mudanya, Lamouchi telah mewakili negara Perancis sebanyak 12 kali. 

Hayatnya sebagai pemain bola sepak banyak dihabiskan di Perancis dan Itali. Kemudiannya pada usia 42 tahun, beliau ditawarkan untuk menguruskan Ivory Coast yang merupakan negara pertama yang akan dilatihnya. 


Ketua Pasukan: Didier Drogba. 


Kata orang, tidak manis dan tidak baik memperkecilkan kelemahan pasukan lain. Jadi aku tidak akan menulis tentang kejayaan Didier Drogba yang telah menjaringkan 15 gol dalam 15 perlawanan menentang Arsenal. Aku juga takkan menulis mengenai statistik yang menunjukkan selama 1175 minit Drogba turun bermain menentang Arsenal, beliau sudah menjaringkan satu gol untuk setiap 78 minit dan 20 saat bagi aksinya. 

Bagi sesetengah pemain, pada usia 35 tahun ini mungkin gereja sudah mula menjadi sahabat karib. Tetapi ia tidak berlaku kepada figura hebat yang telah mengecapi pelbagai kejayaan baik di Perancis, England dan terkini Turki. Kelibatnya masih lagi diperlukan oleh negara beliau. Mungkin ini juga adalah peluang terakhirya untuk bersama Ivory Coast di Piala Dunia. 


Pemain Bintang: Yaya Toure. 


Yaya Toure sememangnya pemain terbaik Afrika buat masa ini. Di Manchester City dia adalah umpama Batu Bersurat di tengah padang. Mampu bertahan dengan cemerlang dan boleh menjaringkan gol serta seorang pengambil sepakan percuma yang baik. 

Sekiranya Yaya Toure mendapat bantuan secukupnya dari keseluruhan pasukan. tidak mustahil dia dapat menterjemahkan aksi yang serupa ketika bersama Manchester City dalam Piala Dunia 2014 nanti. 


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Serge Aurier. 


Pemain yang berusia 22 tahun ini sedang beraksi untuk pasukan Toulouse sebagai bek kanan. Dia yang juga memiliki kerakyatan Perancis membuat debut untuk Ivory Coast pada 8 Jun 2013 ketika perlawanan menentang Gambia. 

Persembahan yang cemerlang dalam kempen Piala Dunia nanti sudah semestinya akan menarik perhatian kelab besar di serata Eropah. 

Piala FA 2014 : Separuh Akhir



Separuh Akhir Perlawanan Pertama  - 13 Mei 2014 (Sabtu) 

Johor Darul Takzim FC mln Pahang 8.45mlm, Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos 
Kelantan mln KL Felda United FC 8.45mlm, Stadium Sultan Muhammad IV 

Separuh Akhir Perlawanan Kedua  - 20 Mei 2014 (Selasa) 

Pahang mln Johor Darul Takzim FC 8.45mlm, Stadium Darul Makmur 
KL Felda United FC mln Kelantan 8.45mlm, Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Macam Mana Hendak Memahami Bahawasanya Liga Malaysia (LM) adalah Liga Melingkup (LM).

Secara kasar dan kejamnya ia sangat mudah ya wahai umat sekalian. 

A) Uruguay 

Jumlah penduduk ialah 3.395 juta (pada 2012). Lebih kurang sama dengan Johor iaitu seramai 3.348 Juta orang penduduk. 

Primera División - 16 kelab. 
Segunda División - 13 kelab. 
Segunda División Amateur - 14 kelab. 

Liga Primera Division juga berada dalam senarai 17 liga TERBAIK DUNIA.(Januari 2013) 

******************************* 

B) Malaysia 

Jumlah penduduk ialah 28.334 Juta iaitu 9.33 kali lebih besar daripada Uruguay. 

Malaysia Super League - 12 pasukan. 
Premier League - 12 pasukan. 
Malaysia FAM League - 11 pasukan. 

Kedudukan Liga Malaysia di mana? 

Ini baru masuk bab liga. Belum lagi pasal berapa kali layak Piala Dunia, berapa kali tukar presiden, berapa ramai Tengku Mahkota Uruguay jaga kelab bola, Menteri Besar mana yang pernah jadi presiden kelab Racing Club de Montevideo dan lain-lain lagi. Apa macam? 

Sunday, February 16, 2014

Piala Dunia 2014: Greece



Pengenalan 

Greece akan membuat penampilan ke 3 dalam kejohanan Piala Dunia 2014. Meskipun dihimpit dengan masalah hutang, mereka masih ada lagi secebis kegembiraan untuk dihadiahkan kepada rakyatnya.  Ya, dan ianya adalah melalui bola sepak. Sukan yang sepatutnya adalah untuk golongan rakyat marhaen, dan ianya bukannya sebidang tanah jajahan, seorang panglima berjambang mahupun koleksi kereta mewah serta wanita jelita. 

Macam mana teruk pun krisis hutang Greece, mereka masih mampu layak ke Piala Dunia. Tidak seperti negara Malaysia yang mana dijangka akan ada 26 peratus peningkatan daripada KDNK menjelang 2016. Tetapi di mana bola sepak kita jika dilihat daripada peta ASIA? Satu persoalan yang masih belum ada jawapannya sehingga saat ini. 

Greece dalam 2 penampilan pada 1994 dan 2010 hanya mampu menyudahkan kejohanan di peringkat kumpulan sahaja. Dalam 6 perlawanan mereka di Piala Dunia, mereka hanya mampu mencatat 1 kemenangan dan menghasilkan 2 biji gol sahaja. Jika statistik ini diambil kira oleh akal yang waras, amat sukar untuk kita melihat Greece pergi lebih jauh. Namun tiada apa yang mustahil apabila mereka diletakkan dalam kumpulan C bersama-sama Colombia, Ivory Coast dan Japan. 

Jurulatih : Fernando Santos. 


Jurulatih berbangsa Portugis ini dilantik menjadi pengurus pasukan Greece pada 1 July 2010 bagi menggantikan Otto Rehhagel. Nama Fernando Santos tidak perlu diperkenalkan lagi di Greece kerana beliau banyak menguruskan kelab di sini. Antaranya AEK Athens (sebanyak dua kali), Panathinaikos dan PAOK F.C. 

Setakat ini pencapaian peribadi terbaik beliau bersama pasukan Greece adalah ketika membawa pasukan ini layak ke Suku Akhir Euro 2012. 

Ketua Pasukan: Giorgos Karagounis. 


Beliau kini sudah memiliki 131 penampilan untuk pasukan Greece. Pemain tengah Fulham dan Greece ini menyimpan kenangan manis sewaktu menjuarai Euro 2004. 

Pemimpin sebenar di dalam pasukan. Seorang yang kental di bahagian tengah dan mempunyai kawalan bola yang baik. Dia sangat berkesan dalam sesuatu perlawanan yang penting. Tanpa kehadirannya bahagian tengah Grecee pasti ketandusan ilham.

Pemain Bintang: Dimitrios Salpingidis. 


Antara pemain veteran yang masih menjadi nadi kepada pasukan Greece. Sudah memiliki 32 penampilan untuk pasukan Greece sejak dari tahun 2005 hingga kini. 

Pencapaian terbaik peribadi beliau ialah menjadi pemain Greece yang pertama menjaringkan gol di kedua-dua kejohanan Piala Dunia dan Piala Eropah.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Konstantinos Mitroglou 



Pemain yang mendapat gelaran 'Mesin Gol' Greece ini pada kempen kelayakan Piala Dunia yang lalu telah menjaringkan 5 gol. Pada musim lepas juga beliau telah menjaringkan 20 gol dalam semua pertandingan ketika bermain untuk pasukan Olympiakos.

Lantaran itu Fulham terus pantas menyambar pemain ini pada 31 Januari yang lalu dengan membelanjakan sejumalah 12 Juta bagi menyelamatkan kelab mereka dari tersingkir ke Liga Kejohanan.

Friday, February 14, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 5


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 5 
  
14 Februari 2014 (Jumaat) 

Selangor PKNS vs KL Sime Darby FC (Siaran Langsung 801)
8.45 malam Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Kesedapan PKNS semacam terbantut apabila mereka gagal mencapai kemenangan dalam 2 perlawanan terakhir mereka. Tewas kepada Sarawak 2-0 di gelanggang sendiri minggu lepas. Juga tewas kepada Kelantan dalam saingan suku akhir Piala FA 3-2. Moral pasukan kini berada pada tahap paling bawah. Semuanya terpulang kepada Wan Jamak untuk menaikkan semula semangat pemainnya dalam masa yang pendek ini. Sime Darby mungkin mendapat sedikit kelebihan dengan mempunyai rehat selama seminggu kerana sudah tidak terlibat dengan Piala FA. Keputusan seri sudah memadai buat Sime Darby jika kedudukan semasa dalam liga diambil kira. 

Pemain Tumpuan PKNS Patrick Ronaldinho Wleh 
Pemain Tumpuan Sime Darby Mohd Failee Mohamad Ghazli 
Ramalan: PKNS 1 - Sime Darby 1 


15 Februari 2014 (Sabtu) 

Johor Darul Ta'zim vs Selangor 
8.45 malam, Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos 

Naib Juara Piala FA 2013, JDT memulakan saingan suku akhir Piala FA dengan langkah kanan apabila menang 3-1 ke atas Kedah di Larkin. Antara penjaringnya ialah Amri Yahyah yang menewaskan penjaga gol Kedah seawal minit ke-15. Kemenangan ini sudah cukup untuk mengukir senyuman di wajah TMJ dan Irfan Ghani, dua penyokong fanatik JDT, walaupun Amri Yahyah sebenarnya lahir di Tanjung Karang, Selangor (saja selit fakta). Kejayaan inilah yang menjadi bekalan mereka untuk berhadapan pasukan paling POWER musim ini yang juga pendahulu liga dengan 9 mata, Selangor. Adakah tuah akan menyebelahi Jiminez yang bongkak atau Mehmet Durakovic mempunyai rencana tersendiri menundukkan pasukan selatan tanah air ini, kita nantikan debarannya. 

Pemain Tumpuan JDT: Amri Yahyah 
Pemain Tumpuan  Selangor: Paulo Rangel 
Ramalan JDT 2 - Selangor 2. 


Terengganu vs Pahang 
8.45 malam, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 

Terengganu nampak stabil di tangga ke-3 liga. Mereka akan menanti kehadiran pasukan kegemaran Soltan Bola, Pahang di Kuala Terengganu. Perlawanan terakhir menyaksikan mereka seri dengan Singa Dua Belas di Stadium Jalan Besar. Ia satu keputusan yang baik sebenarnya. Manakala lawan mereka pasukan Pahang juga sedang berada dalam prestasi terbaik. Bolehlah aku labelkan perlawanan derbi pantai timur paling teruja untuk disaksikan. Engkorang pula bagaimana? 

Pemain Tumpuan Terengganu: Mohd Ashari Samsuddin 
Pemain Tumpuan  Pahang:R. Gopinathan 
Ramalan:Terengganu 2 - Pahang 1 


ATM vs Lions XII FC 
8.45 malam, Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Selepas 4 perlawanan, ATM telah memungut 7 mata manakala Singa Dua Belas pula 5 mata. ATM masih lagi pasukan yang perlu diberi perhatian walaupun jurulatih mereka Sathianathan gusar dengan pertemuan ini kerana ramai pemain utamanya yang masih mengalami kecederaan. Christe Jayaselan, K Reuben, Spase Dilevski, Marlon Alex James kesemuanya masih lagi cedera, Manakala Afize Faisal Mamat pula digantung dua perlawanan. Disampin itu, Sathianathan juga menamakan Syed Adney sebagai penjaga gol yang akan diturunkan pada perlawanan ini. Kata beliau "Berdasarkan kepada rekod, saya memberi kepercayaan kepadanya untuk mengawal pintu gol dalam pertemuan dengan LionsXII nanti,” 

Pemain Tumpuan ATM: Syed Adney 
Pemain Tumpuan   Lions XII FC: Hafiz Sujad 
Ramalan ATM 2 - Lions XII FC 1 


Kelantan vs Terengganu PBDKT T-Team 
8.45 malam, Stadium Sultan Mohamad Ke IV 

Jurulatih pasukan Kelantan, Steve Darby telah nekad kembali semula kepada formasi 4-4-2 selepas sistem 3-5-2 tidak berkesan dalam beberapa perlawanan sebelum ini. Berdepan T-Team adalah peluang terbaik untuk Kelantani mengutip 3 mata. Pasukan kelab dari Terenggau itu masih sibuk bersumpah sana sini dan tercari-cari matlamat sebenar bersaing dalam Liga Super. Tiada masalah buat Red Warriors untuk menang ke atas T-Team. 

Pemain Tumpuan Kelantan: Ahmad Shakir Ali 
Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Khairan Ezuan Razali 
Ramalan : Kelantan 3 - Terengganu PBDKT T-Team 1 


Sarawak vs Perak (Siaran Langsung RTM1) 
8.45 malam, Stadium Negeri Sarawak 

Seluruh negeri Sarawak bergembira menyambut kehadiran Ketua Menteri yang baru setelah sekian lama menanti. Jadi hanya kemenangan ke atas Perak sahaja yang akan menjadi hadiah kepada Ketua Menteri yang baru. Ketika zaman Awang Mahyan dan Ngap Sayot dulu, mana-mana pasukan yang bertandang ke Kuching pastinya berdepan tugas getir. Hari ini tempat Awang Mahyan diganti oleh Robert Alberts. Aku yakin Perak tidak akan ada peluang untuk bernafas dalam perlawanan ini.

Pemain Tumpuan Sarawak: Gabor Gyepes 
Pemain Tumpuan  Perak: Khairul Asyraf Sahizah 
Ramalan: Sarawak 4 Perak 0. 

Tuesday, February 11, 2014

Terowong Larkin dan Pergaduhan Darul Makmur Bukan Satu Peristiwa Revolusi Bola Sepak Malaysia


Terowong Larkin dan Pergaduhan Darul Makmur Bukan Satu Peristiwa Revolusi Bola Sepak Malaysia.

Aku sebenarnya takdelah teruja sangat dengan peristiwa terowong larkin ni. Cuma secara tiba-tiba selepas bangun pagi dan membuang hadas, hati aku terbuka nak komen sikit perihal ajaib ini sambil melihat biri-biri berkejaran di belakang rumah. Jadi, aku  harap engkorang baca dengan tenang pendapat peribadi aku yang tak seberapa ini atas kapasiti aku yang mula memahami erti bola sepak Malaysia sejak dari tahun 1993. Sejak daripada aku mengenali John Hunter yang rongak dan Alan Davidson, Nasir Yusof si genius dan Radhi Mat Din. Kalau engkorang ada percanggahan pendapat, apa kata engkorang penuhkan ruangan komen nanti ye. Sudah bersedia? Nah!!!

1. Pergaduhan di terowong dan angkat sumpah tidak akan berlaku sekiranya bola sepak kita ditadbir oleh mereka yang berakal dan bijaksana tanpa ada campur tangan daripada entiti luar yang kononnya pandai dan serba tahu dalam bola sepak. Ingin sekali lagi aku tegaskan. Bola sepak adalah sukan untuk rakyot marhaen, rakyat kebanyakan, sukan kaum buruh, sukan golongan proletariat. Dan ia masih kekal sukan untuk semua orang hingga ke hari ini. Bola sepak bukan hanya sekadar mahir bermain POLO, kemewahan kereta, kepandaian menahan lori roti dan juga kek kuda. Ia mencakupi lebih besar daripada itu. Tidak salah sekiranya golongan ini ikhlas membantu bola sepak mereka asalkan ilmu bola sepak mereka penuh di dada. Apabila akal tidak digunakan pada jalan yang benar dan stabil. Maka berlakulah adegan terowong, angkat sumpah dan beberapa lagi ceritera pandir yang akan muncul. Mereka ini merasakan pangkat serta jawatan adalah tiket untuk melakukan apa sahaja. Inilah sebabnya bola sepak Malaysia tidak pernah maju dan kita tidak akan pernah ke Piala Dunia. Kerana bola sepak kita dipasung oleh FA yang dipimpin ahli politik atau orang istana yang bertindak mengikut keinginan mereka sendiri.

2. Mendidik akal peminat bola sepak ke suatu tahap yang mencapai professionnalisme sejati adalah satu lagi masalah utama dalam bola sepak di Malaysia. Setiap kali selepas perlawanan mesti berlaku kekecohan. Tidak kiralah menang atau kalah. Dan ini berpunca daripada segelintir penyokong yang aku gelarkan mereka sebagai 'baru hendak naik' atau lebih manis lagi 'hijau'. Suatu masa dahulu ianya pernah terjadi kepada Kelantan. Menang ke, kalah ke mesti ada kejadian bakor kereta dan kerusi di stadium. Tapi sebenarnya bukan Kelantan sahaja yang pernah berperangai macam gini. Hampir semua penyokong bola sepak pasukan negeri di Malaysia pernah buat aksi konon-konon ganas ni. Apa yang engkorang dapat dengan melakukan kehancuran semata-mata kerana Liga Malaysia yang entah tahap apa agaknya di mata dunia?

3. Hooliganism dalam Liga taraf D, E, F hatta Z sekalipun adalah sesuatu yang payah hendak diterima akal dan bagi aku sangat merugikan. Kalau di Eropah mereka bertindak ganas apabila pasukan mereka bermain di Piala Dunia, Piala Eropah, Liga Juara-Juara dan juga liga tempatan yang sangat power seperti Liga Inggeris dan Liga Turki misalnya. Jadi aku ishtiharkan ia sebagai berbaloi. Benar kata seorang sahabat yang mana scene bola sepak Malaysia ni ketinggalan 40 tahun ke belakang. Bukan sahaja dari segi corak permainan dan pentadbiran, penyokong juga seakan-akan ketinggalan 40 tahun ke belakang daripada Korea Selatan dan Jepun. Semangat kesukanan dicampak keluar, diisi penuh dengan emosi kebencian, caci maki pasukan lawan. Api yang marak merebak kepada pergaduhan yang lebih teruk. Apakah budaya bola sepak sebegini yang kita mahu? Budaya yang penuh keganasan?

4. Rasanya sudah sampai masanya setiap penyokong mengkritik pengurusan masing-masing dan pasukan anda sendiri supaya lebih profesional dan lahirkan pemain bola lebih bagus. Berhenti daripada bergaduh sesama penyokong. Berhenti daripada menuuduh penyokong pasukan lain dengki dengan pasukan anda. Cuba perhatikan adakah pasukan kegemaran anda bermain bola secara cantik dan tidak berterabur serta terkial-kial dalam menahan dan menghantar bola? Jangan menyokong secara membuta tuli. Kelak anda juga yang rugi.

5. Semangat kenegerian yang melampau sudah menjadi sebati dalam darah daging rakyat Malaysia dek kerana mereka dibesarkan dengan "13 pasukan negeri dan 1 pasukan wilayah persektuan serta kelab-kelab bola yang bangang serta hidup segan mati tunggu masa ajek". Tak kira sama ada negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Perlis, Pahang, Melaka, P.Pinang, Selangor, Perak, N.Sembilan, Sabah, Sarawak, Johor mahupun Wilayah Persekutuan pasti mempunyai penyokong-penyokong sendiri yang kebanyakannya obses dan fanatik dengan semangat kenegerian. Semangat menyokong negeri kelahiran sekaligus menyokong bola sepak tempatan amatlah digalakkan tetapi adakah perbuatan menghina penyokong negeri lain, bergaduh sesama sendiri dan permusuhan antara negeri boleh dibiarkan? Lama kelamaan ia akan menjadi wabak hati yang tiada faedah. Bukak mata hati dan istighfar banyak-banyak. Ini aku belum bukak cerita tentang larangan sesetengah keluarga 'jangan kahwin dengan orang Sarawak' , 'jangan carik jodoh orang Kelantan'. Itu cerita lain yang juga penyakit bahaya dalam masyarakat Malaysia.

6. Sebenarnya dalam kes terkini ni aku masih lagi menyalahkan Presiden FAM yang secara jelas sudah gagal dalam mewujudkan satu institusi sukan yang mantap dan berakal serta berotak. Kenapa aku kata gagal? Engkorang akan tahu jawapannya jika engkorang betol-betol masak dan perhatikan dengan mendalam bagaimana bola sepak kita ditadbir, diuruskan dan dilingkupkan secara pukal.

Sunday, February 9, 2014

Piala FA 2014 : Suku Akhir



Suku Akhir Perlawanan Pertama

11 Februari 2014 (Selasa)

Johor Darul Takzim FC mln Kedah 9.45mlm, Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunus 
PDRM mln Pahang Stadium
Kelantan mln Selangor PKS FC 8.45mlm, Stadium Sultan Muhammad IV
2KL Felda United mln Sarawak Stadium


Suku Akhir Perlawanan Kedua

18 Februari 2014 (Selasa)

Kedah mln Johor Darul Takzim FC 8.45mlm, Stadium Darul Aman
Pahang mln PDRM 8.45mlm, Stadium Darul Makmur
Selangor PKNS FC mln Kelantan Stadium
Sarawak mln KL Felda United Stadium Negeri Sarawak

Piala Dunia 2014: Colombia


Pengenalan

Ramai yang tahu Colombia merupakan negara penghasil kopi terbesar kedua di dunia selepas Brazil. Negara yang dilintasi garis khatulistiwa ini juga menghasilkan zamrud yang mana hampir 95% zamrud di dunia berasal dari negara ini. Ramai juga yang tahu Colombia terkenal dengan Pablo Escobar, Raja Dadah Colombia yang merupakan antara pengedar dadah paling kaya dan berjaya dalam sejarah dunia.

Tetapi bagi peminat bola sepak pula, nama-nama seperti  Carlos Valderrama 'Si Rambut Kembang' , René Higuita seorang penjaga gol yang terkenal dengan aksi Kala Jengking, penyerang licik Faustino Asprilla, Juan Pablo Ángel yang malap serta siapa lagi kalau bukan insan yang malang Andrés Escobar.

Sememangnya Colombia tidak pernah ketandusan dalam melahirkan pemain bintang. Cuma mungkin ia agak perlahan berbanding negara seperti Argentina mahupun Brazil. Piala Dunia 2014 ini adalah penampilan ke-5 mereka selepas layak pada 1962, 1990, 1994 dan kali terakhir 1998. Berdasarkan rekod juga edisi 1990 adalah yang cemerlang buat mereka apabila layak ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Jurulatih: Jose Pekerman 


Siapa yang tidak kenal Jurulatih terbilang ini? Pada usia 64 tahun beliau antara Jurulatih paling berpengalaman dan berpengaruh baik di negara kelahirannya Argentina mahupun serantau Amerika Selatan. 

Pencapaian terbaik peribadi beliau di Piala Dunia adalah ketika membawa Argentina ke suku akhir pada edisi 2006 sebelum ditewaskan oleh pasukan Jerman melalui sepakan penalti.

Ketua Pasukan: Mario Yepes 


Walaupun akan menjangkau usia 38 tahun ketika Piala Dunia 2014 berlangsung. Kapitan berambut panjang ini masih merupakan pemain penting dalam percaturan pasukan Colombia. 

Hanya membuat 38 penampilan sahaja selama 3 tahun hayatnya bermain untuk pasukan AC Milan. Dia berpindah ke Atlanta demi mendapatkan aksi dalam kesebelasan utama sebagai persediaan mengahadapi Piala Dunia 2014. 

Pemain Bintang: Jackson Martínez


Ketiadaan Falcao pada Piala Dunia nanti mungkin seribu rahmat buat pemain ini. Ketika ini beliau merupakan penjaring kedua terbanyak Liga Portugis di belakang seorang lagi pemain Colombia iaitu Fredy Montero.

Jackson Martínez merupakan antara pemain yang paling dikehendaki di Eropah ketika ini dengan menjadi sasaran kelab seperi Arsenal dan juga Borussia Dortmund. Kemampuannya meletakkan diri dalam posisi yang sering menghasilkan gol menjadikan susuk ini antara penyerang yang mungkin akan menyerlah.

Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: James Rodríguez 



Tidak perlu berkerut seribu apabila mendengar nama pemain ini jika anda mengaku seorang peminat bola sepak sejati. Lainlah ceritanya kalau anda menjadikan Pablo Aimar sebagai idola masakini. 

James Rodríguez merupakan antara pembelian sensasi AS Monaco musim ini dengan jumlah perpindahan sebanyak £40 Juta. Setakat hari ini beliau baru sahaja berusia 22 tahun. James Rodríguez juga adalah antara pemain tengah kreatif yang perlu diberi perhatian sepanjang kejohanan Piala Dunia ini berlangsung. Dengan mengambila kira ketiadaan Falcao, seluruh Colombia akan bergantung harap kepada pemain muda ini. 

Thursday, February 6, 2014

Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 4


Prebiu Kilat Liga Super 2014 Perlawanan 4 

7 Februari 2014 (Jumaat) 

Pahang vs Johor Darul Ta'zim (Siaran Langsung 801)
8.45 malam Stadium Darul Makmur 

Selepas 3 perlawanan Liga Super, Pahang hanya mampu mencatat 1 kemenangan. Ia adalah permulaan yang agak perlahan buat pasukan Pahang jika hendak dibandingkan dengan status mereka selaku Juara Piala Malaysia 2013 dan Piala Sumbangsih 2014. Tetapi kemampuan mereka meleburkan rekod 19 bulan tanpa kalah pasukan Singa Dua Belas di Jalan Besar adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian serius oleh pasukan JDT. 

Kali terakhir JDT berkunjung ke Darul Makmur, mereka disajikan dengan aksi kucing berak. Kali ini seramai 784 anggota polis dan 2 ekor hanjeng pula akan turun menyambut kehadiran mereka dengan penuh mesra. Lupakan cerita terowong, lelaki berjambang dan perbalahan engkorang sesama penyokong yang dah macam hape jek aku nengok walhal liga kita bukan power mana pun. Jadi, 3 mata perlu dikutip oleh JDT meskipun beraksi sebagai pelawat. Agak mustahil, tetapi masih logik akal untuk dilakukan. 

Pemain Tumpuan Pahang : Hafiz Kamal 
Pemain Tumpuan Johor Darul Ta'zim : Luciano Gabriel Figueroa 
Ramalan: Pahang 2 - Johor Darul Ta'zim  1 


Selangor PKNS vs Sarawak 
8.45 malam Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Segala-galanya bermula agak cantik buat Wan Jamak dan pasukannya PKNS FC pada awal musim ini. Menewaskan Kelantan di Kota Bahru dan seterusnya layak ke suku akhir Piala FA adalah antara pendorong buat mereka bagi menjadikan skuad Bujang Senang sebagai santapan seterusnya. Lawan mereka yang dinanti adalah pasukan yang paling sukar dijangka musim ini iaitu Sarawak. Sarawak baru sahaja menyingkirkan pasukan Gergasi Merah Selangor daripada Piala FA dan ini merupakan tonik terbaik buat anak didik Robert Albert mengejutkan pasukan Selangor yang satu lagi ni pulak. 

Pemain Tumpuan Selangor PKNS : Primorac Karlo 
Pemain Tumpuan Sarawak  : Reshafiq Alwi 
Ramalan: Selangor PKNS 3 - Sarawak  2 


8 Februari 2014 (Sabtu) 

Lions XII FC vs Terengganu 
7.45 malam, Stadium Jalan Besar. 

Fandi Ahmad, bekas pujaan JDT pada musim lepas akan menghadapi jurulatih paling prolifik dari segi taktikal iaitu Haji Abdul Rahman. Penangan tewas kepada Pahang mungkin masih dirasai dan menjadi igauan ngeri buat seluruh pasukan dan pengurusan Singa Dua Belas. Namun dalam bolasepak moden, kalah dan menang adalah rencah penyedap. Sudah pasti Terengganu mahukan kemenangan bagi menyedapkan lagi kedudukan mereka di dalam Liga Super yang mana ketika ini mereka sedang menghuni tangga kedua. Mampukah Terengganu? 

Pemain Tumpuan Lions XII FC : Safuwan Baharudin 
Pemain Tumpuan Terengganu : Ashaari Shamsuddin 
Ramalan : Lions XII FC 0 - Terengganu 0 


Perak vs Kelantan 
8.45 malam, Stadium Perak. 

Hari Sabtu nanti, kedua-dua pasukan hebat ini bakal bertembung dalam perlawanan yang secara kasarnya akan menjadi milik pasukan Kelantan. Engkorang pasti akan setuju dengan apa yang aku cakap ni. Itupun jika engkorang betol-betol menengok macam mana pemain import Perak dan pemain muda mereka menahan dan menghantar bola. Jika bukan menggunakan lutut, mereka akan melakukannya dengan hidung. Kalah atau menang itu adat permainan. Tapi sebagai seorang yang lebih cenderung kepada Kelantan pastinya aku harapkan kemenangan Kelantan dan lebih manis lagi melalui gol jaringan Fakri Saarani. 

Pemain Tumpuan Perak : Eliel da Cruz Guardiano 
Pemain Tumpuan Kelantan : Fakri Saarani. 
Ramalan Perak 0 - Kelantan 1 


Terengganu PBDKT T-Team vs ATM 
8.45 malam, Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah 

ATM yang masih tidak tentu hala selepas tersingkir awal dalam saingan Piala FA terpaksa bertandang ke Kuala Terengganu untuk berdepan T-Team, yang mana minggu lalu terlibat dalam kes terowong paling sensasi di dunia mengatasi mana-mana siri pergaduhan Roy Keane dan Patrick Vieira.  T-team pastinya akan bangkit dengan jiwa yang bengis dan aksi penuh bertenaga bagi menewaskan ATM. Namun, satu lagi kekalahan kepada ATM bakal meletakkan kerjaya Azraai Khor selaku jurulatih T-Team dalam bahaya kerana mereka sekarang berada di tangga tercorot liga. 

Pemain Tumpuan Terengganu PBDKT T-Team: Evaldo Rodrigues 
Pemain Tumpuan ATM : Juan Arosteguei 
Ramalan : Terengganu PBDKT T-Team 2 - ATM 0 


KL Sime Darby FC vs Selangor 
8.45 malam, Stadium Majlis Perbandaran Selayang 

Ini adalah pertembungan antara 2 pasukan yang berbeza darjat. Selangor ketika ini adalah pendahulu liga. Manakala Sime Darby pula di tangga kedua tercorot liga. Persoalannya kini adakah Ismail Zakaria bakal terus bersandar kepada taktik 'long ball' kerana ia bersesuaian dengan barisan pemain yang kurang berkemahiran milikinya? Dan adakah Mehmet Durakovic yang sebelum ini gagal dalam laga Piala FA bersama Selangor bakal terus gagal apabila bertemu Sime Darby pula? 

Pemain Tumpuan KL Sime Darby FC: Juzaili Samion 
Pemain Tumpuan Selangor : K. Gurusamy 
Ramalan KL Sime Darby 1 - FC Selangor 3 

Tuesday, February 4, 2014

Piala Dunia 2014: Australia


Pengenalan 

Australia layak ke Piala Dunia buat pertama kalinya pada tahun 1974. Selepas itu mereka secara berturut-turut layak pada edisi 2006, 2010 dan terkini 2014. Manakala pasukan Malaysia pula, sejak dari Piala Dunia edisi 1974 hinggalah membawa kepada edisi 2014. Juga dari zaman televisyen tidak canggih serta hitam putih, hinggalah ke zaman facebook, twitter dan istagram, pasukan bola sepak Malaysia hanya banyak berlegar-legar dengan senang hari dalam lingkaran Sukan Sea dan Piala Tiger a.k.a Piala Suzuki.   

Betul juga kata orang, usaha itu tangga kejayaan. Tapi usaha yang sama jika dibuat berkali-kali tanpa mendatangkan hasil boleh juga dikata sebagai kerja yang sia-sia. Cuma kita bernasib baik kerana dalam melakukan kerja sia-sia ini kita tidak keseorangan. Baiklah, kita kembali fokus pada pasukan Australia. 

Empat tahun yang lalu mereka diletakkan dalam kumpulan yang agak sukar terdiri daripada pasukan Jerman, Ghana dan Serbia. Walaupun begitu Australia tetap berjaya mengutip 4 mata dan mengakhiri kejohanan 2010 di tangga ketiga. Mungkin masih belum ada rezeki buat Socceroos apabila tahun ini mereka sekali lagi ditempatkan dengan pasukan-pasukan hebat seperti Sepanyol, Belanda dan Chile. Tetapi jika di fikir secara positif, tiada apa yang mustahil dalam bola sepak moden. 


Jurulatih: Angelos Postecoglou. 


Figura yang pendiam ini berasal daripada Greece, sebuah negara yang mengalami krisis kewangan dan hutang yang teruk. Semasa keluarganya berpindah ke Melbourne pada tahun 1970, dia baru sahaja berusia 5 tahun. Namun berkat usaha keras beliau yang tidak pernah mengenal erti jemu, pada usia 48 tahun akhirnya Angelos Postecoglou berjaya muncul antara jurulatih terbaik dalam liga domestik Australia dan sekaligus dilantik menggantikan  Holger Osieck pada 23 October 2013. 


Ketua Pasukan: Lucas Neill. 


Ramai yang mengatakan kapitan Lucas Neill sudah tidak lagi layak menerajui pasukan negaranya. Seperti mana tidak layaknya Safiq Rahim menyarungkan jersi Harimau Malaya di bandannya. Seperti tidak layaknya David Moyes membebel serta merungut tidak henti pasal penjaga garisan yang gagal menjalankan tugas dengan baik. 

Ketika artikel ini ditulis, bekas pemain Blackburn, West Ham dan Everton ini sedang mencari kelab pada perpindahan Januari demi mendapatkan aksi dalam kesebelasan utama menjelang Piala Dunia nanti. Walaupun secara kasarnya resume beliau sangat impresif, namun pada ketika ini pemain yang sudah menjangkau usia 36 tahun pada bulan Mac ini sudah semakin hilang dari perhatian umum.

Angelos Postecoglou juga menegaskan, kapten Socceroos ini perlu mendapatkan aksi dalam kesebelasan utama sekiranya ingin mengikuti penerbangan kelas pertama ke Rio de Janeiro. Jika tidak, naik sahaja Air Asia 'Where Everyone Can Fly'.


Pemain Bintang: Tim Cahill. 


Ternyata program pembangunan bola sepak di Australia tidak berkembang dengan baik apabila melihat nama pemain ini yang masih lagi disandarkan untuk mendapatkan gol. Memang tidak dinafikan suatu masa dahulu beliau adalah antara pemain yang menyerlah dalam skuad Socceroos ini. Tetapi memandangkan usianya yang mencecah 34 tahun dan bermain di Liga luar daripada Eropah (MLS), ia kelihatan amat mustahil buat pemain ini memacu Australia untuk pergi jauh dalam kejohanan edisi 2014 ini.

Jika terpilih bermain dalam kesebelasan utama, Cahill sekali lagi akan menjadi pemain penting dalam perancangan permainan jurulatih Angelos Postecoglou.


Pemain Paling Teruja Untuk Disaksikan: Mathew Leckie 


Mungkin ramai yang baru pertama kali mendengar nama pemain ini. Walaupun kemunculan beliau tidaklah sehebat  Mark Viduka, namun pemain ini telah membina reputasinya sendiri di Jerman. Beraksi untuk kelab 2. Bundesliga iaitu FCV Frankfurt dan merupakan pemain serangan yang lasak dan mempunyai kemahiran tinggi di hadapan gol. Pada usia 22 tahun, masih banyak yang perlu dipelajari oleh pemain ini.