There was an error in this gadget

Friday, October 31, 2014

Suamiku Pemain Bola Sepak Handalan

Suamiku Pemain Bola Sepak Handalan


Sebelum munculnya Safee Yang Menunggang, Azman Adnan adalah antara penyerang terulung di Malaysia. Dia punya rembatan selepas melakukan 'turning' adalah antara 'trademark' yang menjadi kegemaran beliau. Selepas itu rentak tari beliau dipersembahkan dalam rancangan sehari berdansa yang  jelas membuktikan dia adalah seorang penjaring gol yang berbisa. Tapi kita bukan nak sembang pasal Azman Adnan sebenarnya. Ini kira pengenalan jek. 

Okeh baiklah. Umum mengetahui bahawa pasukan QPR adalah milik seorang taikun dari Malaysia sehinggakan pernah satu ketika, disebabkan atas dasar patriotisme, tulisan 'Malaysia' disematkan di dada jersi kelab ini. Justeru, semangat patriotisme yang sememangnya mengalir deras dalam darah setiap rakyat Tanah Melayu ini, telah membuatkan mereka ini serta-merta mendaftarkan diri sebagai peminat kipas-susah-mati pasukan QPR. Namun begitu ceritanya berubah sejak pasukan ini terjerumus ke lembah divisyen bawahan. Pada awal musim ini pula, kelihatan QPR seakan-akan bersendiri berjuang mengelakkan relegasi. Penyokong mereka yang berada di Tanah Melayu sekitar dua tiga tahun lepas juga turut lenyap. 

Minggu ini tugas sukar menanti mereka apabila dijadual bertemu dengan pendahulu liga yang power nak mampos iaitu Chelsea. Entah apalah nasib yang akan menimpa Harry Redknapp selepas perlawanan ini pun aku tahu. Andaikan QPR kalah, aku rasa elok Redknapp bersara dan buka mini market. Tetapi mungkin kemenangan ke atas Aston Villa pada aksi yang lepas banyak membantu menaikkan motivasi anak buah Redknapp menjelang pertemuan ini. Tumpukan sepenuh perhatian kepada kelibat Charlie Austin. Bahaya jugak mamat ni sebenarnya.

Chelsea pula yang bermasalah dalam posisi serangan terpaksa bergantung kepada bekas lagenda yang kembali menabur bakti di kelab iaitu Didier Drogba. Walaupun badan Drogba ada sedikit susut berbanding ketika mula-mula tiba di Stamford Bridge 10 tahun yang lalu, ketajamannya di dalam kotak penalti tidak pernah berkurangan. Ketika ditemubual selepas menjaringkan gol pada aksi Piala Liga menentang Shrewsbury Town, sambil menghembus hingus beliau berkata....

"Satu benda saja kawe nak kabo. Main bola ni yang penting ialah sumbak gol. Dan itu kerja kawe. Mu duk diam!!". Begitulah tegasnya Drogba apabila dia mula berbicara tentang bola sepak.

Seterusnya ialah pertemuan antara Manchester City lawan Manchester United. Ini bukanlah pertarungan antara merah, biru, city, united, utara, selatan, timur atau barat. Ia lebih daripada itu. Bagi pemuja sejati Syaitan Merah ini adalah pertarungan bola sepak sebenar menentang bola sepak palsu.

Pada minggu lepas kita dapat saksikan keraian yang sudah lama tidak kelihatan di Old Trafford. Van Persie telah menjaringkan gol ketika masa permainan sudahpun tamat. Aku masih ingat lagi dulu Van persie ni masa dekat Arsenal siap skor hatrik lagi masa lawan Chelsea. Tapi bila dah main dengan Manchester ni, itu sahajalah yang dia mampu buat. Dan aku harap Manchester United bersyukur kerana Arsenal telah membawa pemain ini ke London.

Sebenarnya sudah lama kita tak nampak pasukan Manchester United ni seronok sebegitu rupa. Macam aku sendiri, kali terakhir aku bersorak macam budak-budak Manchester United tu masa Sapok Biki menang emas dalam acara tinju kategori 48kg menewaskan Musa Kinyua sekaligus mencatat sejarah sebagai atlit Malaysia yang pertama menggondol emas dalam sukan tinju. Tapi kita biarkan ajelah mereka nak bergembira barang seminit dua. Takde apa yang salah pun buat pasukan pertengahan liga seronok dapat seri dengan pendahulu liga.

Lain-lain perlawanan yang aku rasakan kita perlu tonton ialah pertemuan antara Hull City dengan Southampton. Perbezaan 4 mata sahaja antara The Saints dengan Chelsea sebenarnya merupakan satu petanda persaingan di Liga Perdana Inggeris kini lebih terbuka.

Aku memang tahu Chelsea adalah pasukan yang kuat musim ini. Dan aku rasa lawan yang setara dengan Chelsea buat masa ini adalah Southampton.

Sunday, October 26, 2014

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.


Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.
1 November 2014 (Sabtu).
8.45mlm, Stadium Nasional Bukit Jalil.


Sesiapa yang rajin mengikuti Mata Pena Si Hitam secara beriman pasti perasan kurangnya cerita bola sepak tempatan daripada aku pada tahun ini. Ini disebabkan beberapa faktor semasa seperti Chelsea yang akan menang EPL serta Piala Dunia 2014 yang membuatkan aku terpaksa meninggalkan kisah bola sepak tempatan buat sementara. Sementara bukan bermakna selamanya dan hilang terus.

Sebelum aku memanjangkan ulasan, aku ingin menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Kedah dan Felda United yang tewas pada laga separuh akhir yang lepas. Selepas aku menengok Kedah dimalukan Pahang dengan skor 5-0 di Darul Makmur, aku terfikir mungkin inilah hikmah di sebalik cinta aku yang ditolak oleh makwe Kedah secara mentah-mentah. Sebab tu aku nak berpesan, kalau nak bercinta tu kena nengok dulu negeri mana makwe tu lahir. Ermmmmsss..

Buat Felda United pula kemampuan mereka menjadi Naib Juara Piala FA 2014 dan Liga Perdana 2014 serta menjadi 4 pasukan terakhir yang beraksi di pentas separuh akhir Piala Malaysia adalah rentetan kejayaan yang sudah cukup membanggakan. Irfan Bakti, dari satu sudut yang lain mampu mewujudkan skuad yang mantap walaupun pemainnya terdiri daripada barisan 'reject' Liga Malaysia.

Pun begitu, setiap yang bermula pasti akan berakhir ye anak mude. Sampai separuh akhir sahajalah perjalanan buat Kedah dan Felda United. Sememangnya kekalahan adalah sesuatu yang kelat untuk dihadam. Jadi aku doakan semoga kedua pasukan ini cepat sembuh dari luka kekalahan hendaknya. Cuba lagi musim depan, itupun kalau belum kiamat.


Adakah JDT Sudah Bersedia?

Suatu masa dahulu, lama sebelum munculnya JDT. Sebuah kelab yang diberi nama Johor FC pernah memukau arena bola sepak tempatan. Johor FC adalah sebuah kelab maha hebat dari selatan tanah air. Johor FC untuk beberapa tahun pada suatu ketika berjaya menamatkan liga dengan berada di kelompok empat teratas dan tidak pernah jatuh dari kelompok itu. Begitu juga untuk saingan Piala Malaysia. Dalam tempoh 3 tahun Johor FC sempat dua kali mara ke peringkat separuh akhir. Dan pasukan ini turut pernah bermain dalam Piala AFC.

Dalam masa yang sama, pasukan negeri Johor FA pula sentiasa terkial-kial untuk memanjat divisyen. Seperti yang semua tahu, pasukan inilah yang menjulang Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991. Apa yang berlaku selepas itu?

Muncul satu idea untuk memartabatkan bola sepak negeri Johor dengan mengkuborkan Johor FC menjadi JDT I. Manakala pasukan Johor FA yang lemau dijatuhkan taraf menjadi pasukan JDT II dan sehingga saat ini masih steady di Liga Perdana. Sejarah tidak pernah menipu. Hanya manusia yang menipu diri mereka sendiri.

Rebel secara terang-terangan tidak berlaku dalam pencerobohan bola sepak ini dek kerana penyokong Johor FC yang sedikit kuantitinya kalau nak dibandingkan dengan Kelantan, Selangor ataupun Perak. Dalam 7 orang, tak sampai 3 orang yang berani mengukir tatu lebah dilengan. Mungkin juga hanya seorang sahaja yang berani tampil bersuara menentang ideologi dungu ini. Selebihnya sanggup terkinja-kinja menyokong JDT saban minggu.

Mungkin sudah sampai masanya JDT membuktikan kepada semua bahawa mereka sudah bersedia menawan bola sepak Malaysia dan ASIA. Meminjam kata-kata seorang sahabat, JDT terlampau ‘power’ buat masa ini. Dengan hanya baki 1 sahaja perlawanan untuk JDT menjulang piala kedua tahun ini selepas kejayaan menjuarai Liga Super mereka kecapi.

Tetapi JDT masih perlu menentang Pahang. Ya, Pahang. Kalau JDT jaguh terowong maka Pahang ialah pasukan paling angkuh hebat antara negeri gamaknya.


Pahang Menuju Kejayaan Berturut-turut.

1989....

"Saya memang meminati Zainal Abidin Hassan. Sebab itulah saya ambil dia berlakon dalam filem Kolej 56 ni!!!" - Ahmad Fauzee, Pengarah Filem tersohor.

Ramai yang tidak tahu lama dahulu Zainal Abidin Hassan pernah tewas kepada Ahmad Fauzee dalam satu pertandingan bola sepak. Tetapi itu hanya di dalam filem. Di luar layar perak pemain yang lebih mesra dengan gelaran Chief ini adalah juara. Deretan kejayaannya dalam arena bola sepak tempatan tidak wajar dipersoalkan. Dan kini dia dalam usaha membawa pasukan Pahang sekali lagi menjuarai Piala Malaysia buat kali kedua berturut turut.

Seluruh rakyat Pahang termasuk Perdana Menteri kesayangan ramai, Najib Razak wajib bergembira dengan kejayaan Pahang yang tenang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia secara 'back-to-back' dan sekaligus mengekalkan status mereka selaku pasukan comeback sejati.

Secara peribadi aku memang memasang keyakinan semenjak Pahang menjulang Piala Perisai Komuniti dan Piala FA tempohari bahawa pasukan ini sekali lagi akan berjaya menempah aksi di perlawanan akhir Piala Malaysia. Tidak keterlaluan sekiranya piala ketiga akan berjaya dijulang oleh mereka pada tanggal malam 1 November kelak.

Secara taktikal, tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Zainal berbanding dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Dollah Salleh.

"Pahang bukan sahaja bermain bola sepak untuk mendapatkan keputusan. Pahang itu sendiri membawa maksud PENGALAMAN".

Jelas kata-kata Zainal ini menunjukkan beliau seorang prodigi bola sepak yang bernafsu gila kepada sukan ini.

Walaupun begitu, Pahang masih lagi sebuah pasukan yang bermain dengan corak yang kita panggil 'free flowing football'. Pantas, menyerang dan melakukan gerakan yang cantik dalam pemburuan mereka mencari gol. Menggunakan sepenuhnya kepantasan pemain sayap yang mereka miliki seperti R. Gopinathan dan Azamuddin Akil untuk melakukan hantaran lintang yang merbahaya ke dalam kotak penalti yang kemudiannya disudahkan secara cermat oleh Matías Conti dan Dickson Nwakaeme. Zainal juga adalah seorang jurulatih yang penuh visi dan seorang pakar taktikal yang semulajadi. Lihat apa yang dia lakukan kepada PDRM dan Kedah sebelum ini. Hancor lodoh dibueknyo.

Hatrik Matías Conti pada aksi separuh akhir kedua sudah cukup manis untuk menampung keperluan gula dalam badan semua peminat Tok Gajah. Persefahaman antara Conti dan barisan hadapan pasukan Pahang tidak ada tolok bandingnya. Sekiranya Conti buntu dalam usaha mencari gol, pasukan Pahang masih memiliki Koji, anak jati kelahiran Pekan yang terkenal dengan aksi garang di dalam kotak penalti. Dan Koji adalah pengganti semulajadi bagi Conti untuk posisi ini.

R. Gopinathan pula adalah seorang pemain yang pantas dan tajam di hadapan gol. Dengan kelebihan seperti ini, tidak mustahil beliau akan mendapat tempat sebagai pemain sayap kiri dalam pasukan Harimau Malaya di kejohanan AFF Piala Suzuki bulan hadapan.

Jentera tengah Pahang ketika ini antara yang terbaik dalam Liga Malaysia. Selepas ketiadaan Amirulhadi yang berpindah ke JDT untuk memanaskan bangku simpanan, gandingan antara Faizol Hussien dan Azidan Sarudin bertindak baik untuk menguasai bahagian tengah. Dengan Faizol Hussien dan Azidan menguasai sepenuhnya bahagian tengah, baik Gopi mahupun Alex Akil mereka bebas untuk naik ke atas dan melakukan serangan. Selain itu mereka juga masih memiliki Hafiz Kamal dan R. Surendran yang sentiasa bersedia untuk mengganas sekiranya diberi peluang.


JDT atau Pahang?

Pepatah kuno ada menyebut...

"Kalau JDT yang datang, JDT itu akan kita tentang. Kalau makwe yang datang, barulah kita sayang. Tapi kena tengoklah dulu lawo ke tidak. Kalau lawo kita akan tentang menggunakan perasaan".

Keseluruhan musim ini JDT secara purata menguasai 65% penguasaan bola di setiap perlawanan. Tetapi kita semua tahu Bojan Hodak kadangkala lebih mementingkan keputusan dari gaya permainan. Biar main hodoh, asal jangan lodoh. Itu mungkin menjadi pegangan Bojan Hodak. Dan sekiranya JDT mampu memberikan fokus sepanjang 90 minit permainan. Tidak mustahil Pahang akan tertewas jua.

Sudah pasti Zainal dan para peminat Pahang gerenti tak puas hati dengan pendapat ikhlas aku ini. Jadi sama ada JDT atau Pahang, siapa pilihan juara?

Bualan di jalanan sekarang ialah jika JDT menang ke atas Pahang maka hasilnya ialah JDT akan menjadi Kuasa Baru Bola Sepak Malaysia.

Tetapi dalam musim yang cacamarba ini, semuanya boleh berlaku. JDT dan Pahang bertemu sebanyak 4 kali musim ini. Dua kemenangan berpihak kepada Pahang (aksi di Stadium Darul Makmur) manakala dua lagi seri ketika bermain di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos.

Jadi, yang terbaik ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Bukit Jalil kerana ia adalah gelanggang berkecuali buat kedua-dua pasukan.

Apa yang pasti, klimaks Piala Malaysia akan mencapai peringkat agung apabila kalendar menuju tanggal 2 November 2013. Sama ada kita terpaksa berpuasa sarapan lontong, atau melilau mencari ikan patin masak tempoyak. Semuanya akan terjawab Sabtu ini.

Akhir kata "LUASKAN KUASAMU HOGOH!!!"

Saturday, October 25, 2014

Seni Bola Sepak Hujung Minggu Ada Di Sini.


 Seni Bola Sepak Hujung Minggu Ada Di Sini.

Ramai yang menyangka prestasi pasukan Southampton akan menjunam musim ini selepas berduyun-duyun pemain utama mereka keluar daripada kelab (ada di antara mereka yang kini bermain dengan pasukan Kasta Ke-3 dalam Liga Perdana Inggeris). Namun tidak ramai yang percaya mereka berjaya menduduki tangga ke-3 liga selepas berakhirnya lapan perlawanan musim ini. Sekiranya momentum ini berjaya dikekalkan sehingga akhir musim, The Saints akan menjadi pasukan pertama yang berjersi belang berjaya menamatkan musim di kedudukan empat pasukan teratas selepas kali terakhir berjaya dilakukan oleh Newcastle pada musim 2002-2003. Sesuatu keterujaan buat penyokong Southampton yang tidak terdapat di Tanah Melayu.

Sungguh tidak adil sekiranya aku mengatakan Southampton tidak akan berjaya mengulangi kehebatan mereka minggu lepas. Kejayaan melaukkan Sunderland 8-0 mungkin akan diteruskan ke atas Stoke City pula, pasukan yang berada di tangga ke -10 liga. Jika bukan lapan gol pun, pasukan asuhan Ronald Koeman ini tidak berhadapan sebarang masalah untuk mengekalkan keupayaan mengutip tiga mata apatah lagi beraksi di hadapan penyokong sendiri. Kelebihan yang akan banyak mempengaruhi keputusan dalam perlawanan ini.

Southampton juga pada perlawanan ini akan turun tanpa masalah kecederaan utama dengan hanya James Ward-Prowse, Sam Gallagher dan Jay Rodriguez yang tidak dapat beraksi dalam misi mencari kejayaan sulong menewaskan Stoke City sejak kembalinya mereka ke kancah utama liga Inggeris. Empat pertemuan terakhir kedua pasukan ini juga berakhir dengan keputusan seri. Jadi sebenarnya masih juga terlalu awal untuk kita memilih Southampton sebagai pemenang dalam laga ini.

Stoke City pula musim ini memulakan kempen mereka dengan aksi turun naik. Minggu lepas mereka menumpaskan Swansea City 2-1 sekaligus mengekalkan rekod menang dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri yang mana sebelum itu mereka tumpas kepada Aston Villa dan Leicester di Britannia pada permulaan musim ini. Menentang pasukan Southampton sebenarnya memerlukan Mark Hughes memerah akal memikirkan taktikal terbaik untuk menewaskan pasukan yang sedang berada pada prestasi terbaik ketika ini.

Tumpukan perhatian kita kepada pemain Southampton seperti Pelle, Tadic, Cork, Schneiderlin dan Bertrand. Manakala di pihak Stoke City pula kelibat Begovic, Shawcross, Moses dan Crouch wajar diberi perhatian. Kerana mereka semua inilah yang akan mempersembahkan seni bola sepak hujung minggu. Sedetik gerakan daripada pemain-pemain ini mampu mengubah keputusan perlawanan dalam sekelip mata sahaja.

Selain daripada perlawanan agung yang menemukan antara pasukan kegemaran ramai, Manchester United dengan pasukan yang penuh rendah diri dan berjiwa santun, Chelsea - kita juga akan disajikan dengan beberapa pertembungan berbentuk hiburan hujung minggu. Antaranya ialah Liverpool menjadi tuan rumah kepada pasukan Hull City selepas pasukan Brendan Rogers ini dimalukan oleh Real Madrid pada pertengahan minggu yang lalu. Berjayakah Liverpool memadamkan mimpi ngeri tersebut? Entahlah.

Manchester City pula masih dalam cubaan untuk memintas Chelsea apabila bertandang ke Bolelyn Ground untuk menanti kejutan daripada pasukan West Ham yang ketika ini dipimpin Sam Allardyce secara steady di tangga ke-4 liga. Arsenal pula bertembung dengan pasukan Sunderland yang masih terluka dengan kekalahan 8-0 kepada Southampton minggu lepas. Kalau Arsenal tak boleh jugak nak kalahkan Sunderland, elok tutup jelah pasukan tu.

Friday, October 17, 2014

Berdoalah Untuk Kesejahteraan Tiang Bendera Penjuru Padang



Lupakan perihal tak bertamadun isu 130 keping tiket. Lupakan perangai burok anak raja sanjungan negeri selatan tanah air yang menyepak tiang bendera. Tertanya-tanya juga aku apalah dosa tiang tersebut. Lupakan segala perkara tentang liga syok sendiri. Ini kerana minggu ini kita akan kembali disajikan dengan liga penjajah yang berkualiti tinggi selepas berehat selama hampir 2 minggu.

Aksi pembukaan minggu ini akan menemukan antara pasukan Manchester City dengan Spurs. Manchester City yang dalam usaha mengejar pasukan di puncak liga iaitu Chelsea sangat mengharapkan kejayaan dalam pertemuan ini. 3 mata adalah sasaran mereka. Bahagian serangan pasukan Manchester City mungkin tidak berdepan masalah besar apabila Sergio Aguero dan Edin Dzeko dijangka akan diturunkan selepas masing-masing kembali dari tugasan antarabangsa. Dzeko juga cemerlang ketika beraksi bersama Bosnia dan mungkin akan menjaringkan gol sekali lagi dalam masa seminggu. Cuma bahagian tengah mereka mungkin sedikit pincang apabila Yaya Toure tidak dapat diturunkan dalam perlawanan ini. Tempatnya mungkin akan diambil alih oleh Frank Lampard. Jika Sapik Rahim adalah anugerah tuhan kepada peminat bola sepak Malaysia. Lampard pula adalah anugerah tuhan kepada seluruh peminat bola sepak England. Begitulah POWERnya bekas pemain Chelsea ini yang mempunyai sentuhan amt tajam apabila berada di hadapan gol.

Mauricio Pochettino ketika ini pening dengan prestasi semasa pasukannya apabila hanya mampu menjaringkan 4 gol dalam 5 perlawanan liga mereka. Walaupun begitu Emmanuel Adebayor masih menjadi pilihan bookie bola sepak untuk menjaringkan gol buat pertama kalinya sejak kali terakhir melakukannya pada bulan Ogos. Dalam masa yang sama juga pendukung pasukan Spurs masih boleh tersenyum lebar dengan prestasi semasa Nacer Chadli yang setakat ini telah menjaringkan 5 gol dalam 7 perlawanan liga. Di samping beliau juga hadir Christian Eriksen yang beraksi cemerlang setakat awal musim ini serta dalam pemburuan menjaringkan gol ketiganya buat Spurs.

Mungkin akan ada sedikit saingan daripada pasukan Spurs. Namun sekiranya Manchester City mula menjaringkan gol, pasukan dari London itu akan tenggelam dan terus hanyut.

Selepas itu kita akan dihidangkan dengan pertarungan menarik melibatkan pasukan yang bermasalah dengan deretan kecederaan pemain iaitu Arsenal menentang Hull City. Satu-satunya pasukan yang belum tewas musim ini iaitu Chelsea, merantau ke Selhurst Park untuk bertemu Crsytal Palace. Southampton yang kini di tangga ketiga liga akan menerima kunjungan Sunderland bagi mencari kemenangan pertama selepas kedua pasukan seri sesama mereka dalam 3 perlawanan sebelum ini. Manakala Swansea bertemu Stoke City yang setakat ini kebal dalam 3 aksi di Britannia.

Perlawanan penutup aksi Liga Perdana Inggeris minggu ini akan melibatkan pasukan yang tidak akan bermain di pertengahan minggu. West Brom akan menunggu kunjungan Manchester United dengan Saido Berahino pastinya menjadi tumpuan utama pada laga ini. Saido Berahino telahpun menjaringkan 6 gol setakat ini dengan 5 daripadanya dijaringkan di Hawthorns. Berdasarkan statistik tahyul pula The Baggies hanya berjaya menang 2 perlawanan sahaja ketika mereka turun bermain pada hari Isnin. Tahyul yang akan memberikan sedikit harapan buat pemuja syaitan merah.

Selain itu Manchester United juga tidak perlu bimbang dengan ketiadaan Wayne Rooney kerana masih memiliki Van Persie, Falcao dan Di Maria untuk merobek gawang The Baggies yang dikawal kemas oleh Ben Foster. Robin van Persie juga mempunyai rekod yang baik ketika berdepan dengan WBA apabila meledak 4 gol dan membantu 2 jaringan gol dalam 7 pertembungan. Macam mana Manchester United? Boleh dapat 3 mata? Aku optimis Manchester United boleh dapat 3 mata dalam perlawanan ini. Tetapi aku lagik yakin selepas perlawanan tu kita takkan dapat lihat Van Gaal terajang 'corner flag'. Gila apa buat perangai budak-budak macam gitu? Heh!!