There was an error in this gadget

Sunday, October 26, 2014

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.


Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2014: JDT vs Pahang.
1 November 2014 (Sabtu).
8.45mlm, Stadium Nasional Bukit Jalil.


Sesiapa yang rajin mengikuti Mata Pena Si Hitam secara beriman pasti perasan kurangnya cerita bola sepak tempatan daripada aku pada tahun ini. Ini disebabkan beberapa faktor semasa seperti Chelsea yang akan menang EPL serta Piala Dunia 2014 yang membuatkan aku terpaksa meninggalkan kisah bola sepak tempatan buat sementara. Sementara bukan bermakna selamanya dan hilang terus.

Sebelum aku memanjangkan ulasan, aku ingin menyampaikan rasa simpati kepada pasukan Kedah dan Felda United yang tewas pada laga separuh akhir yang lepas. Selepas aku menengok Kedah dimalukan Pahang dengan skor 5-0 di Darul Makmur, aku terfikir mungkin inilah hikmah di sebalik cinta aku yang ditolak oleh makwe Kedah secara mentah-mentah. Sebab tu aku nak berpesan, kalau nak bercinta tu kena nengok dulu negeri mana makwe tu lahir. Ermmmmsss..

Buat Felda United pula kemampuan mereka menjadi Naib Juara Piala FA 2014 dan Liga Perdana 2014 serta menjadi 4 pasukan terakhir yang beraksi di pentas separuh akhir Piala Malaysia adalah rentetan kejayaan yang sudah cukup membanggakan. Irfan Bakti, dari satu sudut yang lain mampu mewujudkan skuad yang mantap walaupun pemainnya terdiri daripada barisan 'reject' Liga Malaysia.

Pun begitu, setiap yang bermula pasti akan berakhir ye anak mude. Sampai separuh akhir sahajalah perjalanan buat Kedah dan Felda United. Sememangnya kekalahan adalah sesuatu yang kelat untuk dihadam. Jadi aku doakan semoga kedua pasukan ini cepat sembuh dari luka kekalahan hendaknya. Cuba lagi musim depan, itupun kalau belum kiamat.


Adakah JDT Sudah Bersedia?

Suatu masa dahulu, lama sebelum munculnya JDT. Sebuah kelab yang diberi nama Johor FC pernah memukau arena bola sepak tempatan. Johor FC adalah sebuah kelab maha hebat dari selatan tanah air. Johor FC untuk beberapa tahun pada suatu ketika berjaya menamatkan liga dengan berada di kelompok empat teratas dan tidak pernah jatuh dari kelompok itu. Begitu juga untuk saingan Piala Malaysia. Dalam tempoh 3 tahun Johor FC sempat dua kali mara ke peringkat separuh akhir. Dan pasukan ini turut pernah bermain dalam Piala AFC.

Dalam masa yang sama, pasukan negeri Johor FA pula sentiasa terkial-kial untuk memanjat divisyen. Seperti yang semua tahu, pasukan inilah yang menjulang Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991. Apa yang berlaku selepas itu?

Muncul satu idea untuk memartabatkan bola sepak negeri Johor dengan mengkuborkan Johor FC menjadi JDT I. Manakala pasukan Johor FA yang lemau dijatuhkan taraf menjadi pasukan JDT II dan sehingga saat ini masih steady di Liga Perdana. Sejarah tidak pernah menipu. Hanya manusia yang menipu diri mereka sendiri.

Rebel secara terang-terangan tidak berlaku dalam pencerobohan bola sepak ini dek kerana penyokong Johor FC yang sedikit kuantitinya kalau nak dibandingkan dengan Kelantan, Selangor ataupun Perak. Dalam 7 orang, tak sampai 3 orang yang berani mengukir tatu lebah dilengan. Mungkin juga hanya seorang sahaja yang berani tampil bersuara menentang ideologi dungu ini. Selebihnya sanggup terkinja-kinja menyokong JDT saban minggu.

Mungkin sudah sampai masanya JDT membuktikan kepada semua bahawa mereka sudah bersedia menawan bola sepak Malaysia dan ASIA. Meminjam kata-kata seorang sahabat, JDT terlampau ‘power’ buat masa ini. Dengan hanya baki 1 sahaja perlawanan untuk JDT menjulang piala kedua tahun ini selepas kejayaan menjuarai Liga Super mereka kecapi.

Tetapi JDT masih perlu menentang Pahang. Ya, Pahang. Kalau JDT jaguh terowong maka Pahang ialah pasukan paling angkuh hebat antara negeri gamaknya.


Pahang Menuju Kejayaan Berturut-turut.

1989....

"Saya memang meminati Zainal Abidin Hassan. Sebab itulah saya ambil dia berlakon dalam filem Kolej 56 ni!!!" - Ahmad Fauzee, Pengarah Filem tersohor.

Ramai yang tidak tahu lama dahulu Zainal Abidin Hassan pernah tewas kepada Ahmad Fauzee dalam satu pertandingan bola sepak. Tetapi itu hanya di dalam filem. Di luar layar perak pemain yang lebih mesra dengan gelaran Chief ini adalah juara. Deretan kejayaannya dalam arena bola sepak tempatan tidak wajar dipersoalkan. Dan kini dia dalam usaha membawa pasukan Pahang sekali lagi menjuarai Piala Malaysia buat kali kedua berturut turut.

Seluruh rakyat Pahang termasuk Perdana Menteri kesayangan ramai, Najib Razak wajib bergembira dengan kejayaan Pahang yang tenang layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia secara 'back-to-back' dan sekaligus mengekalkan status mereka selaku pasukan comeback sejati.

Secara peribadi aku memang memasang keyakinan semenjak Pahang menjulang Piala Perisai Komuniti dan Piala FA tempohari bahawa pasukan ini sekali lagi akan berjaya menempah aksi di perlawanan akhir Piala Malaysia. Tidak keterlaluan sekiranya piala ketiga akan berjaya dijulang oleh mereka pada tanggal malam 1 November kelak.

Secara taktikal, tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Zainal berbanding dengan apa yang telah ditinggalkan oleh Dollah Salleh.

"Pahang bukan sahaja bermain bola sepak untuk mendapatkan keputusan. Pahang itu sendiri membawa maksud PENGALAMAN".

Jelas kata-kata Zainal ini menunjukkan beliau seorang prodigi bola sepak yang bernafsu gila kepada sukan ini.

Walaupun begitu, Pahang masih lagi sebuah pasukan yang bermain dengan corak yang kita panggil 'free flowing football'. Pantas, menyerang dan melakukan gerakan yang cantik dalam pemburuan mereka mencari gol. Menggunakan sepenuhnya kepantasan pemain sayap yang mereka miliki seperti R. Gopinathan dan Azamuddin Akil untuk melakukan hantaran lintang yang merbahaya ke dalam kotak penalti yang kemudiannya disudahkan secara cermat oleh Matías Conti dan Dickson Nwakaeme. Zainal juga adalah seorang jurulatih yang penuh visi dan seorang pakar taktikal yang semulajadi. Lihat apa yang dia lakukan kepada PDRM dan Kedah sebelum ini. Hancor lodoh dibueknyo.

Hatrik Matías Conti pada aksi separuh akhir kedua sudah cukup manis untuk menampung keperluan gula dalam badan semua peminat Tok Gajah. Persefahaman antara Conti dan barisan hadapan pasukan Pahang tidak ada tolok bandingnya. Sekiranya Conti buntu dalam usaha mencari gol, pasukan Pahang masih memiliki Koji, anak jati kelahiran Pekan yang terkenal dengan aksi garang di dalam kotak penalti. Dan Koji adalah pengganti semulajadi bagi Conti untuk posisi ini.

R. Gopinathan pula adalah seorang pemain yang pantas dan tajam di hadapan gol. Dengan kelebihan seperti ini, tidak mustahil beliau akan mendapat tempat sebagai pemain sayap kiri dalam pasukan Harimau Malaya di kejohanan AFF Piala Suzuki bulan hadapan.

Jentera tengah Pahang ketika ini antara yang terbaik dalam Liga Malaysia. Selepas ketiadaan Amirulhadi yang berpindah ke JDT untuk memanaskan bangku simpanan, gandingan antara Faizol Hussien dan Azidan Sarudin bertindak baik untuk menguasai bahagian tengah. Dengan Faizol Hussien dan Azidan menguasai sepenuhnya bahagian tengah, baik Gopi mahupun Alex Akil mereka bebas untuk naik ke atas dan melakukan serangan. Selain itu mereka juga masih memiliki Hafiz Kamal dan R. Surendran yang sentiasa bersedia untuk mengganas sekiranya diberi peluang.


JDT atau Pahang?

Pepatah kuno ada menyebut...

"Kalau JDT yang datang, JDT itu akan kita tentang. Kalau makwe yang datang, barulah kita sayang. Tapi kena tengoklah dulu lawo ke tidak. Kalau lawo kita akan tentang menggunakan perasaan".

Keseluruhan musim ini JDT secara purata menguasai 65% penguasaan bola di setiap perlawanan. Tetapi kita semua tahu Bojan Hodak kadangkala lebih mementingkan keputusan dari gaya permainan. Biar main hodoh, asal jangan lodoh. Itu mungkin menjadi pegangan Bojan Hodak. Dan sekiranya JDT mampu memberikan fokus sepanjang 90 minit permainan. Tidak mustahil Pahang akan tertewas jua.

Sudah pasti Zainal dan para peminat Pahang gerenti tak puas hati dengan pendapat ikhlas aku ini. Jadi sama ada JDT atau Pahang, siapa pilihan juara?

Bualan di jalanan sekarang ialah jika JDT menang ke atas Pahang maka hasilnya ialah JDT akan menjadi Kuasa Baru Bola Sepak Malaysia.

Tetapi dalam musim yang cacamarba ini, semuanya boleh berlaku. JDT dan Pahang bertemu sebanyak 4 kali musim ini. Dua kemenangan berpihak kepada Pahang (aksi di Stadium Darul Makmur) manakala dua lagi seri ketika bermain di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos.

Jadi, yang terbaik ialah untuk memberikan fokus sepenuhnya kepada aksi di Bukit Jalil kerana ia adalah gelanggang berkecuali buat kedua-dua pasukan.

Apa yang pasti, klimaks Piala Malaysia akan mencapai peringkat agung apabila kalendar menuju tanggal 2 November 2013. Sama ada kita terpaksa berpuasa sarapan lontong, atau melilau mencari ikan patin masak tempoyak. Semuanya akan terjawab Sabtu ini.

Akhir kata "LUASKAN KUASAMU HOGOH!!!"

2 comments:

  1. JDT vs Pahang..
    Tak kisahlah siapa yang menang yang penting harap permainan tersebut dimainkan dengan adil dan si pengadil bertindak secara adil.. tapi jauh disudut hati memang mengharapkan kemenangan berpihak kepada Pahang. Adat perlawanan, ada menang dan kalah. Semoga yang menang tidak terlalu disanjung dan yang kalah tidak dicaki maki. :)

    Singgah baca + follow sini..
    jemput ziarah ke http://akukaudansesuatu.blogspot.com

    ReplyDelete
  2. aku suka cara kau review both teams...seperti glukosa yang diperlukan oleh aku untuk hari ini..

    ReplyDelete

Silakan Laser Saye...